“HMM... aku rasa dia tu memang bukan sebarang gadis la, Hadi. Kau tahu tak, semalam masa aku hantar dia balik, mak dia jemput aku makan. Sembang punya sembang, adik dia beritahu aku yang dia dah tolak lima pinangan lelaki yang datang meminang dia tau.”
Hadi membeliakkan matanya memandang Adib. Air liur yang diteguknya seperti tersekat.
“Lima pinangan? Biar betul...” Hadi seakan tidak percaya.
Adib mengangguk, mengiakan pertanyaan Hadi itu. Kalau Hadi sendiri yang terperanjat apabila mengetahui perihal tersebut, dia apatah lagi. Sampaikan tersedak dia semalam di meja makan.
Tak pernah lagi seumur hidup dia, dia dengar ada perempuan yang menolak pinangan lelaki sebanyak itu. Ramai peminat juga rupanya gadis itu.
“Agak-agak kaulah kan, kalau aku masuk meminang dia, kau rasa aku kena reject tak?” soal Adib sambil mengangkat keningnya. Sebenarnya, dia pun ada keinginan juga untuk ke arah itu. Manalah tahu kalau-kalau dia merupakan lelaki bertuah yang mampu membuka hati dan perasaan Nor.
Hadi mengamati wajah Adib lama.
“Kau? Umm... aku rasa kalau kau yang masuk meminang dia, memang sah kena reject terus!”
Ketawa Hadi terhambur kuat. Hai, ada hati nak pinang Norlah pula si Adib ni. Geli hati betul dia mendengarnya. Dia rasa kalau Adib yang masuk meminang, nasib Adib pun sama juga seperti lima orang lelaki yang lain tu. Nak tackle pun tak lepas usahkan nak masuk meminang. Mimpi di siang hari sajalah Adib ni.
Adib berdengus kasar mendengar jawapan Hadi itu. Cis, perlekahkan dia pula! Haram betul si Hadi ni. Bukannya nak beri kata-kata semangat dekat dia.
“Kau ni, aku tengok kebelakangan ni asyik bercerita pasal dia aje. Kau memang serius ke nak rapat dengan dia ni?”
Hadi berasa musykil. Dia masih lagi berasa seperti tidak percaya dengan apa yang sedang Adib cuba lakukan biarpun Adib berkali-kali menyatakan kesungguhannya.
“Kenapa? Kau ingat aku main-main ke? Hei, aku betul-betul seriuslah...” tegas Adib.
Memang dia serius. Dia rasa hatinya sudah terpaut pada Nor. Dia tak pernah merasakan perasaan yang sebegini kuat terhadap mana-mana gadis yang pernah dia cuba dampingi sebelum ini. Tetapi dengan Nor, dia rasa berlainan sekali perasaannya. Bersama dengannya bukan hanya setakat suka saja. Malah perasaan itu telah bercambah menjadi sayang. Dan lagi nyata sudah bertukar menjadi cinta.
Hadi mengerutkan wajahnya. Biar betul Adib ni. Sebelum ini, dengan mana-mana perempuan tak pernah pula dia serius begini. Tapi kali ini berlainan sungguh. Hadi berasa pelik dengan perubahan sikap Adib.
“Habis, awek-awek keliling pinggang kau tu, kau nak campak mana? Jenny, Rina, Aurora, Melissa...”
Hadi menyebut nama teman wanita Adib satu persatu. Bukan setakat empat orang itu saja. Kalau diikutkan, ramai lagi. Tapi dia sendiri pun ingat tak ingat sebab ramai sangat kenalan perempuan yang menjadi peneman hidupnya. Kasanova terhebatlah katakan, memanglah ramai kekasih. Hari ini dengan orang lain, esok dengan orang lain pula. Yang pasti semuanya seksi-seksi belaka. Cerah mata dia kalau memandang mereka semua. Dosa pun turut bertambah. Haih!
Adib sengih.
“Ala, tu stok main-main jelah. Bukan aku serius sangat pun. Kau pun bukannya tak tahu, dia orang rapat dengan aku pasal apa...” balas Adib sambil menyandarkan badannya di kerusi yang di dudukinya itu.
Ah, tak ada maknanya dia nak serius dengan mereka semua. Setakat buat teman sosial tu bolehlah. Lagipun dia sedia maklum, ramai perempuan mendampingi dia adalah disebabkan oleh status yang dimilikinya. Ada kerjaya yang mantap, ada rupa dan ada harta. Bukannya atas dasar keikhlasan. Jadi tidak hairanlah, dirinya itu menjadi rebutan ramai.
Biasalah, perempuan ni kalau nampak kelebihan lelaki sikit, mulalah mahu ambil kesempatan. Padahal mereka semua tu bukannya setia sangat. Belakang dia pun, ada yang pasang lelaki lain juga. Macamlah dia tidak tahu taktik-taktik mereka. Tapi dia layankan saja permainan mereka semua untuk keseronokannya. Bukan salah dia kalau ada yang benar-benar jatuh cinta terhadapnya. Dia hanya sekadar ingin bergembira saja. Bukannya ingin ada apa-apa perasaan pun.
“So, kalau dia orang semua tu stok main-main, si Nor ni stok apa pula?”
Hadi mengangkat keningnya tinggi.
“Stok apa lagi, stok binilah wei...”
Hahaha! Adib dan Hadi ketawa serentak. Kalau sekadar main-main, takkanlah dia sampai bersungguh-sungguh begini.
Hadi menggeleng-gelengkan kepalanya. Lucu pula bila mendengar Adib berseloroh sedemikian. Tahu pula Adib ni nak cari gadis yang baik untuk dijadikan calon isteri. Tengok daripada gaya dia pasang skandal bukan main lagi. Semuanya yang jenis-jenis tak cukup pakai kain baju.
“Tapi aku tengok dia tu macam tak ada perasaan je dekat kau. Kau tak perasan ke cara dia layan kau? Dingin semacam je.”
Adib senyum. Ya, memang dia tidak menafikan kata-kata Hadi itu. Sikap Nor terhadap dia sangat dingin. Kadangkala boleh buat dia rasa tercabar. Tapi dia tidak mahu cepat berputus asa. Qusyairy Adib mana pernah tewas!
“Sebab itulah aku sukakan dia. Selama ni, mana-mana perempuan yang aku nak, senang-senang je aku dapat. Tapi, dengan dia ni... kau tengoklah. Langsung tak pandang aku. Mana ada perempuan yang pernah reject aku, der. Dia sorang je yang berani reject,” akui Adib terus terang. Sesungguhnya, itulah yang membezakan sikap Nor dengan gadis-gadis lain.
Bibir Hadi mengukir senyuman sinis. Memanglah dia reject kau, sebab kau tu tak layak untuk dia. Sedarlah diri tu sikit. Kalau aku jadi dia pun, aku pun akan reject kau juga. Getus Hadi sendirian.
“Dia reject kau sebab dia tahu kau tu kaki perempuan. Bukannya dia tak pernah nampak kau berkepit dengan ramai perempuan sebelum ni. Entah-entah sebab itulah dia rasa jijik nak pandang kau.” Hadi ketawa memandang Adib.
Sepatutnya Adib kena pegang dengan kata-kata ini, “lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik”. Barulah dia sedar hakikat yang sebenarnya. Harap-harap lepas ni Adib insaf jadi orang yang baik sikit. Mana tahu kalau-kalau terbuka hati Nor untuk menerima dia.
Adib diam sejenak. Dia tahu Hadi menyindir dia. Tapi dia peduli apa. Suka hati Hadi la nak cakap apa pun. Lagipun memang sejak dari dulu lagi Hadi tu suka perli dia. Tak apa... kau tengoklah nanti, Hadi. Aku akan buktikan semua tu sampai mulut kau melopong. Adib berikrar dalam hati.
“Tak apa. Lagi susah nak dapat, lagi aku suka...” balas Adib dengan yakin sambil mengenyitkan matanya ke arah Hadi.
Lagi susah nak dapat, lagi menarik perjalanan ceritanya. Baru ada cabaran. Memang dia teruja dengan cabaran yang dia sedang lalui kini. Dia tak akan cepat mengalah. Gadis itu akan tetap menjadi milik dia. Adib meyakininya.
“Sayang!!”
Tiba-tiba pintu biliknya dikuak dari luar. Muncul seorang gadis tinggi lampai persis model dan berkaca mata hitam berdiri di depan pintu tersebut sambil melambaikan tangannya ke arah Adib.
Adib dan Hadi tersentak. Mereka berdua saling berpandangan.
“Aurora?”
Adib menyebut nama itu perlahan di depan Hadi. Hadi sekadar menjungkitkan bahunya dan mula bangun perlahan-lahan dari kerusi yang di dudukinya. Tu dia, bala Adib sudah sampai. Habislah Adib kali ni.
“Umm, nampaknya lagi bertambah susahlah usaha kau lepas ni Dib...” Hadi sempat berbisik ke telinga Adib sambil menepuk-nepuk bahunya sebelum berlalu keluar dari bilik Adib.
Mata Adib sekadar mengekori langkah yang diatur oleh Hadi. Setelah bayangan Hadi menghilang, matanya melirik pula ke arah gadis seksi yang mengenakan gaun hitam singkat separas paha itu.
“Aurora... you buat apa kat sini?” soalnya terkejut.
Tanpa diundang tiba-tiba saja menjelma di pejabatnya pada pagi itu. Mimpi apa pulalah gadis gedik itu datang berjumpa dengannya? Dia tertanya sendirian. Adui, masalah, masalah... Hatinya berasa seperti tidak senang dengan kehadiran Aurora.
Aurora menutup rapat pintu dan berjalan masuk mendekati Adib. Kemudian dia melentok manja duduk di atas riba Adib. Kedua-dua tangannya merangkul leher Adib.
“I dah tak boleh datang jumpa you lagi ke, sayang?” soalnya manja memandang tepat ke wajah Adib.
Adib senyum. Cuba mengawal perasaannya. Dia kaget dengan tindakan Aurora yang berkelakuan di luar jangkaan itu. Bukan dia tak biasa tapi entah, dia rasa seperti tidak selesa pula.
“Eh, tak adalah. Bukan tu maksud I. You dari mana ni?” soal Adib berbasi-basi.
“Dari rumahlah, sayang. I cuti hari ni sebab tu I datang jumpa you. Jom, temankan I. Kita keluar pergi makan, tengok wayang, pergi shopping. Nak tak?”
Aurora mengelus pipinya perlahan.
Adib sedikit terpempan mendengar ajakan itu. Pergi shopping? Gila ke apa perempuan ni? Adui... Aurora ni, tak ada kerja lain ke? Shopping, shopping, shopping. Datang jumpa dia semata-mata nak suruh dia temankan Aurora pergi shopping? Buang masa betul.
“Tak bolehlah, Aurora . I ada banyak kerja. Lain kali jelah ek...” Adib menolak ajakan Aurora.
Haih, waktu-waktu bekerja begini takkanlah dia mahu keluar berjoli pula. Hanya semata-mata mahu temankan Aurora pergi membeli-belah. Dia pun ada banyak kerja mahu dibuat.
Aurora mencebikkan bibirnya. Huh, alasan! Tapi dia tetap mahu Adib tunaikan keinginannya. Sudah lama dia tidak menghabiskan masa bersama Adib. Rasa rindu terhadap Adib begitu menebal hadir dalam dirinya. Seingat dia, hampir sebulan mereka tak bertemu.
“Ala sayang, jomlah... I dah lama tak jumpa you tau. Rindu kat you sangat-sangat. I telefon you, you tak jawab. Mesej pun you tak balas. Sampai hati you tau. Jomlah, sayang… temankan I.” Aurora memujuk sambil memintal-mintal tali leher Adib.
Adib mengeluh perlahan.
“Aurora , I ada banyak kerjalah nak buat. Kejap lagi I nak kena pergi meeting. Lain kali okey.”
“Ala , meeting tu suruhlah pembantu you yang attend. Please... you ni tak sayang I ke?” soalnya manja.
Mata Aurora menusuk dalam ke mata Adib. Memandangnya dengan penuh menggoda. Jemari halus gadis itu bermain-main di wajah dan bibirnya.
Adib kaget. Parah dia kali ni kena goda dengan Aurora.
“Sayang, tapi I...”
Belum sempat dia membalas pertanyaan Aurora itu, pintu biliknya sekali lagi terbuka luas.
“Encik Adib...”
Kelibat Nor muncul di situ tanpa di duga. Dia melangkah beberapa tapak namun kemudiannya dia tersentak apabila melihat ada seorang perempuan yang sedang duduk mesra di atas riba Adib. Adib dan Aurora memandang tepat ke arahnya.
“Err... sa.. saya mengganggu ke? Sa.. saya minta maaf...”
Nor berpatah semula. Aduh, drama apa pula yang dibikin oleh Adib di dalam bilik itu. Buat malu dia sajalah. Hish! Nor mengomel dalam hati.
Dia tak tahu pula Adib ada tetamu. Dia ingatkan hanya Adib seorang saja yang ada di dalam bilik itu. Lagipun, dia tidak nampak pula ada kelibat orang lain yang memasuki pejabat syarikat itu tadi. Atau barangkali dia yang terlepas pandang.
Adib cepat-cepat bangun dari kerusi dan membetulkan kemeja dan tali leher yang dikenakannya. Aiseh!! Kantoilah pula dia dengan Nor. Kenapalah semuanya terjadi pada waktu sama.
“Ada apa Nor?” soalnya lantas mematikan langkah yang di atur oleh Nor.
Nor menoleh semula ke arah Adib.
“Saya nak minta Encik Adib tandatangan dokumen ni.”
Nor menunjukkan fail biru yang dipegangnya kepada Adib.
“Umm, okey. Letak kat atas meja. Nanti saya sain.”
Nor akur dan berjalan semula ke arah meja Adib. Fail yang mengandungi dokumen pembayaran itu diletakkan di atas meja tersebut. Tanpa menoleh ke arah Adib dan gadis berambut perang yang berdiri di sebelahnya itu, dia segera berlalu dari situ.
“Jomlah, sayang... temankan I.”
Aurora masih belum berputus asa memujuk Adib. Dia tak peduli, dia tetap juga mahu Adib menemani dia. Kalau tidak, sia-sia sajalah dia minta cuti. Memang dia sengaja mengambil cuti pada hari ini semata-mata kerana ingin menghabiskan masa berdua-duaan bersama dengan Adib.
Adib mengeluh panjang. Akhirnya dia mengalah jua.
“Okey, tapi sekejap saja ye. I banyak kerja ni, ” ujar Adib lemah.
Dia pun tahu, banyak mana pun alasan yang dia cuba beri, Aurora tetap akan mendesak dia untuk memenuhi permintaannya itu. Ah, rimas betul dia dengan perempuan itu. Sudahlah adegan mesra mereka tadi turut disaksikan oleh Nor. Apa pulalah tanggapan Nor terhadap dia.
Bak kata Hadi tadi, pasti usahanya untuk mendampingi Nor akan menjadi lebih rumit selepas ini. Bertambah keraslah hati dan perasaan gadis itu terhadapnya nanti. Ini semua Aurora punya angkaralah ni. Hati Adib menyumpah-nyumpah.
Aurora melompat-lompat kegirangan dan tersenyum puas. Akhirnya dia berjaya memujuk Adib. Dia tahu, lelaki itu tidak akan menghampakan dia.
“Umm, ni yang buat I sayang sangat-sangat dekat you ni. Thanks sayang.”
Leher Adib dirangkul erat. Sekucup ciuman singgah di pipinya. Adib tersentak lagi. Dia ingin menegur tindakan Aurora itu namun belum sempat dia membuka mulut, lengannya terlebih dahulu dipaut mesra oleh Aurora dan mengheretnya pergi dari situ.
Adib menurut dalam terpaksa. Kalau diikutkan, dia bukan mahu pergi sangat pun. Dia cuma tidak mahu Aurora berada di situ lebih lama. Lepas ambil hati Aurora nanti pandai-pandailah dia mencipta alasan lain untuk melarikan diri.
*****
“NOR, kalau ada sesiapa yang cari saya, cakap saya pergi jumpa klien okey...”
Adib sempat menitipkan pesanan kepada Nor semasa dia melintasi meja gadis itu. Serba salah pula dia dibuatnya apabila terpaksa memberi alasan sedemikian kepada Nor. Sah-sah nampak sangat dia menipu. Entah apalah yang akan difikirkan oleh Nor nanti.
Nor mengangguk perlahan dan hanya memerhati gelagat Adib dan Aurora sehingga bayangan mereka hilang dari pandangan.
“Eh, Encik Adib keluar pergi mana pula tu?” soal Saleha sambil menyiku lengan Nor sebaik saja dia sampai di tempat duduknya itu.
Saleha memanjangkan lehernya ke arah pintu masuk pejabat. Mengintai-intai kelibat Adib. Sewaktu dia keluar dari bilik fotostat tadi, dia terlihat Adib berjalan berpimpinan tangan dengan seorang gadis. Bukan main mesra lagi dia tengok.
“Hai, kau tak nampak ke buah hati kesayangan dia tu ada datang ke mari? Nak pergi mana lagi, keluar pergi berasmaralah,” balas Nor dalam nada menyindir.
Bukan main gedik lagi dia tengok gelagat teman wanita Adib itu. Sudahlah pakai baju tak cukup kain. Buat malu kaum perempuan saja. Macam miskin sangat nak beli baju. Adib pun sama, dua kali lima saja. Kalau sudah kaki perempuan tu, memanglah.
Saleha tergelak kecil. Macam cemburu je dia dengar.
“Ala... nak buat macam mana. Dah buah hati dah datangkan, takkan nak dibiarkan pula. Nanti merajuk susah pulak nak memujuknya.”
“Tapi masalahnya, dia keluar time waktu kerja macam ni. Kalau ada hal urgent ke nanti, tak ke susah? Balik-balik aku juga yang nak kena menjawab, mereka-reka cerita dengan klien dia tu. Kau bukannya tak tahu, klien-klien dia tu semuanya cerewet-cerewet belaka. Ish, benci betul!” Nor mengomel geram.
Saleha hanya tersenyum mendengar kata-kata Nor itu. Dia mengerti akan kemarahan yang ditunjukkan oleh Nor. Memang apa saja yang Adib buat serba tak kena di matanya.
“Nanti dia balik, kau beritahulah dia...”
Nor mencebikkan bibir.
“Ah, malaslah aku nak cakap. Takkan dia tak boleh nak fikir sendiri. Umm, bos kaulah tu.”
Saleha menjeling ke arah Nor.
“Eleh! Kau pun makan gaji dengan dia juga okey...” sungutnya geram.
“Memanglah. Tapi aku ni tunggu masa nak resign je. Sakit mata, sakit hati, dan segala jenis sakitlah kalau kerja kat sini lama-lama,” luah Nor pula.
Tidak dinafikan, sepanjang dua tahun dia bekerja di syarikat milik Adib itu, pelbagai perasaan yang muncul dalam diri. Semua itu gara-gara sikap Adib yang suka berpeleseran dengan ramai perempuan. Tempat dia bekerja itu bagaikan hotel pula. Semua gadis boleh masuk dan keluar sesuka hati.
Kalau diikutkan seperti bersubahat saja. Maksiat berlaku di depan mata namun didiamkan saja. Kalau kawan rapat bolehlah juga dia menegur. Ini bos besar. Hendak diluah terasa berat pula. Serba salah dia dibuatnya.
Saleha tergelak besar mendengar kata-kata yang terbit dari bibir sahabatnya itu.
“Dibuatnya dia tak terima hasrat hati kau tu, sakit barah kau nanti...”
Nor memandang Saleha.
“Kenapa pula? Suka hati akulah. Dia tak ada hak tau nak halang aku.”
“Yalah, dia sekarangkan tengah sibuk nak tackle kau. Takkanlah senang-senang dia nak lepaskan kau.”
Eh, dia ni. Ada pula macam tu. Saleha ni nak kena ketuk kepala dengan telefon agaknya. Huh!
“Hei, tolong ek. Aku tak inginlah lelaki macam dia tu...”
Wajah Saleha dijeling tajam.
“Iya ke? Hurmm, tapi aku dengar cerita dia ada datang makan-makan kat rumah kau. Haa, tu apa pula maksudnya? Sesi suai kenal dengan keluarga mertua ke?” Saleha sengaja ingin menebak.
Dia memandang Nor sambil tersenyum nakal. Sudahlah. Tak ingin konon. Tapi dalam hati bukan main teringin lagi. Kalau Nor tak mengaku pun dia tahu apa yang tersirat di dalam hatinya itu.
Hadi ada bercerita dengan dia perihal Adib yang dijemput makan bersama keluarga Nor sewaktu menghantar Nor pulang tempoh hari. Hah, kalau sudah sampai ke tahap begitu, takkanlah tak ada apa-apa lagi kot.
“Hei, tu bukan aku yang ajak, okey. Mak aku yang beria-ia mengajak. Kalau tak disebabkan oleh mak aku, tak inginlah aku nak jemput dia.”
Bibirnya digigit rapat. Dia teringat peristiwa Adib yang menghantarnya pulang tempoh hari. Ibu dialah yang bersungguh-sungguh sangat mempelawa. Baik hati sangat. Kalau ikutkan hati dia, mahu saja dia halau Adib daripada memasuki rumahnya.
Bukan setakat ibu dia saja yang baik hati. Adik dia pun dua kali lima saja. Yang itu lagilah teruk. Sangat bermurah hati membongkar cerita mengenai dirinya kepada Adib. Buat dia malu je. Merasa juga si Naim itu penangan tapak tangannya yang lebar ini di belakang badannya selepas kepulangan Adib. Balasan sebab bocorkan rahsia dia.
“Tengok, mak sendiri pun dah mula terpikat. Takkanlah anak dia tak terpikat kot?” Saleha berseloroh dan mengekek-ngekek ketawa.
“Eeee, tak ingin aku. Kau jangan memandai-mandai nak memadankan aku dengan lelaki kasanova tu, okey. Gelilah!”
Nor menggeliangkan badannya tanda kurang senang. Beri sejuta ringgit pun dia tak mahu ada apa-apa perasaan terhadap lelaki itu. Minta dijauhkanlah daripada berjodoh dengan lelaki sebegitu.
© Noraini Mohamad 2011
Salam :)
ReplyDeleteApa sebab Nor menolak banyak pinangan orang ya? Keep it up! Lebih banyak unsur kejutan, lebih bagus.
Wslm...
ReplyDeleteThanks Rei (panggil Rei je boleh ek) :)
Dalam cerita ni Nor digambarkan sebagai seorang gadis yang dibayangi oleh kekecewaan silam dia. Boleh dikatakan sebagai antilelaki juga. Atas faktor itulah dia bertindak sedemikian.
Boleh je, no problem hehe..
ReplyDeleteAha, lepas ni cuba awak gambarkan kekecewaan dan ketakutan dia tu pada perbuatan, kata-kata dan monolog Nor supaya pembaca lebih rasa. Sekarang ni saya fikir Nor saja-saja nak jual mahal hehe..
Thanks Rei atas cadangan tu..:)
ReplyDeleteTapi sebenarnya Rei, manuskrip novel ni dh siap sampai 40 bab dah. Nak tunggu publish kt P2U rasa macam lambat sangat. Jadi saya update kat blog ni ikut flow bab dia..Mungkin perjalanan awal cerita ni macam lambat panas. Tapi kalau Rei follow cerita ni Rei akan tahu apa kesudahannya nanti. Semoga dapat memuaskan hati pembaca. Insyaallah.
Thanks ya sebab sudi jenguk blog saya dan tinggalkan komen. Saya sangat-sangat menghargai.