06 July 2015

Benci Tanda Sayang 9

“INI minit mesyuarat yang awak suruh saya tengok hari tu. Saya dah betulkan mana yang silap. Nanti terus buat final ya,” pinta Adib sambil menghulurkan fail berwarna biru itu kepada Nor.
Nor menyambut dan mengangguk perlahan. Selepas tiga hari baru periksa? Macamlah sibuk sangat. Perkara yang boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 15 minit pun boleh menjadi tiga hari apabila sibuk berkepit dengan perempuan. Tidak fasal-fasal banyak kerja dia yang tertangguh, gerutu Nor sendirian.
“Awak cakap apa tadi?” soal Adib memandang tepat ke muka Nor.
Nor tersentak.
“Mana ada saya cakap apa-apa dekat Encik Adib,” nafi Nor yang mula cuak. Mustahil Adib boleh dengar apa yang hati dia kata.
“Ya ke? Tapi saya rasa macam awak mengata saya aje tadi,” ujar Adib lagi.
“Eh, tak adalah. Mana ada saya mengata Encik Adib. Mungkin Encik Adib yang suka bersangka buruk kut.”
Wajah Adib terus berubah. Hih, perli dialah pula. Nak kena ni!
“Hmm... apa-apa ajelah. Tapi kalau awak ada mengata saya, baik awak tarik semula kata-kata awak tu. Kalau tak, nanti awak kena denda keluar makan dengan saya lagi,” ujar Adib lagi sambil tersengih nakal sebelum beredar dari situ.
“Gila!” ucap Nor sambil mencebik bibir. Fail yang berada di tangannya itu dihempas ke atas meja. Dia kembali duduk menyandar di kerusi dan melepaskan nafas panjang. Sakit jiwa betul melayan kerenah Adib.
“Apa awak cakap tadi? Saya gila?” soal Adib yang tiba-tiba Adib menjengahkan kepalanya ke meja Nor.
Nor tersentak dan menjerit kuat.
“Err... ma... mana ada, Encik Adib. Sa... saya cakap, Saleha tu yang gila,” tukas Nor sambil jari telunjuknya dituju tepat ke arah Saleha yang sedang tekun menaip di sebelah mejanya. Apa nak buat, itu sahaja alasan yang terlintas di fikiran dia untuk menutup penipuan tersebut.
Maafkan aku, Saleha, ucapnya dalam hati.
“Encik Adib ada perlukan apa-apa lagi ke?” Nor cuba mengalihkan perhatian Adib. Dia ingatkan tadi Adib benar-benar sudah pergi. Sebab itulah dia cakap Adib gila. Tetapi tidak sangka pula Adib dengar dan berpatah semula.
“Buatkan saya secawan kopi. Sekarang,” pinta Adib sebelum masuk ke biliknya.
Kali ini barulah Nor mampu menarik nafas selega-leganya. Permintaan Adib itu segera dilaksanakan tanpa berlengah lagi.

NOR mengetuk perlahan pintu bilik Adib sebelum masuk dan meletakkan cawan kopi di atas meja Adib. Ketika itu Adib sedang membelek dokumen-dokumen di dalam fail yang berselerakan di atas mejanya.
“Encik Adib, ini kopi Encik Adib. Ada apa-apa lagi ke?” soal Nor memandang Adib sejurus selepas meletak cawan kopi itu di sisinya.
“No, thanks,” ucap Adib pendek tanpa menoleh.
Nor mengangguk dan mula mengorak langkah. Namun ketika tangannya hampir-hampir ingin memulas tombol pintu, Adib memanggilnya semula.
“Ya, Encik Adib,” sahut Nor sambil berpaling semula menghadap Adib. Dia sabar menanti bicara yang bakal terbit dari bibir Adib.
“Hmm... fasal hal hari tu, saya harap awak jangan salah faham ya,” ujar Adib.
“Hal apa pulak ni, Encik Adib?” soal Nor, hairan. Mindanya ligat mentafsirkan kata-kata Adib yang sedikit kabur itu.
“Fasal hal saya dan Aurora yang awak nampak tempoh hari,” jelas Adib memandang Nor lama. Dia harap Nor mengerti apa yang dia maksudkan. Entah mengapa, dia jadi seperti risau pula apabila memikirkan tanggapan Nor terhadap dirinya mengenai kejadian tersebut.
Nor terdiam lama sebelum bersuara semula.
“Ooo... fasal hal tu. Okey, saya faham,” balas Nor sambil tersenyum. Ah, hal Adib dengan Aurora bukannya penting sangat untuk dia fikirkan. Banyak lagi benda penting lain yang dia kena fikir dan ambil tahu.
“Saya bukannya apa, saya cuma tak nak awak fikir yang bukan-bukan fasal diri saya,” tingkah Adib lagi.
“Tak apalah, Encik Adib. Saya faham. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu,” ucap Nor.
“Sebenarnya, saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia,” terang Adib lagi.
Nor tidak mengerti. Kenapa pula Adib beria-ia memberitahu dia tentang semua itu? Kalau Adib nak ada apa-apa hubungan ke, skandal ke, dia peduli apa! Bukannya dia berminat pun hendak mengambil tahu!
“Tak apalah, Encik Adib. Kalau Encik Adib ada hubungan pun, saya tak ada apa-apa masalah,” balas Nor.
Adib segera bingkas dari kerusi. “Nor, saya tahu, awak ada tanggapan buruk terhadap saya. Sebab tu awak acuh tak acuh aje dengan saya, kan?”
“Kalau Encik Adib tahu, baguslah. Tak perlulah saya beritahu Encik Adib sebab-sebabnya, kan?” balas Nor pula sambil tersenyum sinis. Tombol pintu dipulas dan ditarik kuat. Dia segera keluar dari bilik Adib. Kalau Adib faham, baguslah. Senang cerita. Tidak perlu dia terang dengan panjang lebar lagi.
Adib bagaikan terpempan. Dia kembali duduk bersandar di kerusinya dan menghela nafas panjang. Dia tahu, Nor sememangnya mempunyai stigma yang buruk terhadap dirinya. Walaupun dari luaran dia dilihat seperti tidak kisah, namun Adib tahu, jauh di sudut hatinya, Nor tetap mengganggap dirinya bukan seorang lelaki yang baik untuk didampingi. Ah, bagaimana lagi dia harus membuktikannya? Adib kebingungan.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment