IZAM menoleh ke belakang, mencuri pandang ke arah Hanis. Dia tersenyum sendiri. Hatinya disapa bahagia setiap kali menatap wajah gadis itu.
Dali di sebelah sudah naik rimas melihat kelakuan Izam.
Tumpuan belajarnya benar-benar terganggu.
“Kau tengok apa? Sikit-sikit paling ke belakang. Cikgu
mengajar kat depan, bukannya mengajar kat belakang,” tegur Dali sambil mengetap bibir. Sudahlah dia
susah hendak faham mata pelajaran matematik. Izam pula datang kacau daun.
Izam tersengih-sengih memandang Dali sebelum berbisik, “Aku
tengok pujaan hati akulah. Dali, kau kena tolong aku kali ni.”
“Tolong apa?” Dali menjongket kening.
“Tolong aku pikat Hanis.”
Dali ternganga. Hampir-hampir dia nak menjerit. Namun, Izam
terlebih dahulu menekup mulutnya.
“Shhh... Cakap perlahan sikit. Nanti cikgu dengar.” Izam
jatuhkan semula tangannya.
“Kenapa aku kena terlibat sama? Kau yang nak dekat dia, kau
pikatlah sendiri. Aku tak nak masuk campur.” Dali menggeleng tidak setuju.
Trauma rasanya dengar permintaan Izam itu.
“Minta tolong sikit pun tak boleh ke? Cakap kawan dunia
akhirat,” sungut Izam sedikit tercuit dengan penolakan Dali.
“Bila masa pulak? Kau yang pandai-pandai tambah perkataan
akhirat kat belakang. Aku cakap setakat dunia aje hari tu.”
“Ah, tak kisahlah. Tapi kalau kau tolong aku, aku belanja
kau makan nasi kerabu spesial dekat kantin masa rehat nanti.” Izam terus gigih
memujuk Dali. Kali ini, dia yakin Dali akan mengangguk kepala dan berkata setuju.
Dali meneguk air liur. Terus terbayang-bayang solok lada,
hirisan daging salai, ayam panggang, ikan celup tepung, telur masin dan
ulam-ulaman nasi tersebut. Kalau tolak memang rugi besar, gumamnya dalam hati. “Okey,
setuju!”
“Ha... macam tulah kawan dunia akhirat.” Izam tersengih
serentak mengenyit mata. Episod cintanya akan memasuki bab pertama.
SEJURUS loceng berbunyi, Izam cepat-cepat menggesa Dali keluar dari
kelas. Ada rancangan yang hendak dilaksanakan dan dia perlu bersiap sedia untuk
memastikan semuanya berjalan lancar seperti yang telah diatur.
“Okey, macam ni. Nanti bila Hanis turun, kau tahan dia dan
beritahu aku kirim salam. Kirim salam aje tau. Jangan pandai-pandai kau tambah
ayat sejahtera pulak dekat belakang,” pesan Izam sambil menuding jari telunjuk
ke muka Dali.
“Aku akan beritahu dia yang kau kirim salam sayang,” kata
Dali menambah ayat rekaannya sendiri.
“Tak payah nak sayang-sayang sangatlah. Kirim salam aje
sudah. Kalau aku dah bercinta dengan dia, barulah kau boleh tambah perkataan
sayang kat belakang tu. Faham?” Izam kacip gigi, menekankan perkataan faham dalam intonasi suara yang
sedikit bengang. Lain yang dia suruh cakap, lain pula yang ditokok tambah.
Geramnya dia dengan Dali ni.
“Err... Faham kut.” Dali mengangguk sambil menghafal ayat
yang Izam suruh sampaikan dalam hati. Minta-minta dia tidak tersasul cakap
apabila berdepan dengan Hanis nanti.
“Bagus. Kalau faham, cuba kau ulang balik apa yang aku cakap
tadi tu. Aku nak dengar betul ke tidak. Kau buat dalam bentuk dialog macam kau
sedang bercakap dengan dia.”
Dali telan air liur. “Nak kena buat demonstrasi jugak ke?”
“Kalau tak buat, entah apa-apa yang kau cakap nanti. Ha,
cepatlah cakap. Aku nak dengar ni. Karang Hanis turun tak sempat pulak nak
praktis,” desak Izam tidak sabar-sabar.
Dali menarik nafas panjang, meredakan debaran yang sudah
mula menyelinap dalam hati.
“Hanis, aku kirim salam dekat kau.”
Izam tercengang dan menepuk dahi kuat. Kenapalah si Dali ni
bengap sangat? Nak suruh sebut ayat mudah macam tu pun payah ke?
“Buat apa nak kirim salam dekat kau pulak? Sekarang ni, aku
yang syok dekat dia bukannya kau. Bengong! Kalau kau cakap macam tu, maksudnya kau yang syok dekat
dia. Terlebih minum air semut ke apa kau ni? Suruh cakap ayat senang macam tu
pun susah. Aku tak puas hati. Aku nak kau ulang sekali lagi. Tapi, kali ni aku
nak dengar ayat yang betul. Bukannya ayat merepek yang kau reka tu.”
“Senang-senang kau sendiri ajelah yang cakap dekat Hanis.
Karang kalau aku tersasul ajak dia keluar dating, kau jugak yang melopong.
Lagipun kau takkan tak tahu penyakit Parkinson’s aku ni kalau aku bercakap
dengan orang perempuan. Lemah semangat aku
dibuatnya.” Dali memandang Izam sayu. Berharap agar Izam akan jatuh simpati
terhadapnya.
Izam mula naik berang. Mudah sahaja Dali beri alasan begitu. Memang nak kena luku
kepala nampaknya Dali ni. “Kau jangan nak macam-macam sangatlah. Aku dah
belanja kau makan nasi kerabu spesial tau
tadi. Kalau kau tak nak tolong aku, kau kena muntahkan balik apa yang kau dah
makan.”
“Takkan sampai macam tu sekali kut?” Gerun Dali mendengar ugutan Izam itu.
“Cepatlah, Dali! Kita dah tak ada masa dah ni. Kau ni
main-mainlah.”
Izam mendengus geram. Sesekali matanya mengintai-intai ke tangga atas untuk
memastikan keadaan. Kalau Hanis muncul secara tiba-tiba, rosaklah semua
rancangan.
Dali menghembus nafas perlahan. Nak rasa menyesal memang
sudah terlambat. Nasi kerabu spesial sudah tercerna elok di dalam perut.
“Hanis, Izam kirim salam dekat kau. Dia cakap...” Kata-kata
Dali terputus di separuh jalan. Dia pandang Izam yang sedang merenungnya sambil
menjongket sebelah kening dengan gaya samseng.
“Err... Dia cakap...” Dali menggaru-garu kepalanya.
“Eh, kau cakap apa ha?” soal Dali kepada Izam setelah gagal
mengingati ayat Izam tadi.
“Ya Allah, Dali... Tolonglah jangan buat aku rasa nak
terajang kau sampai ke hujung dunia.” Izam sudah mengepal kedua-dua tangannya. Kembang
kempis hidungnya tahan geram.
“Okey, okey. Aku cuba ingat. Dia cakap...”
“Dia cakap apa?!” sergah Izam sambil menghentak kaki kuat.
Dali terperanjat lantas berkata laju. “Dia cakap dia cintakan
kau dan dia ajak kau dating dekat dewan makan masa makan tengah hari nanti.”
Izam ketawa terbahak-bahak sambil menepuk bahu Dali
berulang-ulang kali. Kelakar sungguh dia tengok gelagat Dali yang menggelabah
itu. Habis merepek semua ayat yang dituturkannya.
“Kau ni, yang aku tak suruh tulah kau pandai-pandai pergi
tambah. Bila masa pulak aku suruh kau cakap aku cintakan dia? Aku cuma suruh
kau beritahu aku nak jumpa dia aje. Huh! Ayat kau selalu nak gah, kan? Tapi,
tak apalah. Dah tak cukup masa dah ni nak mengajar kau sampai pandai. Sekarang
kau tunggu Hanis kat sini dan buat macam apa yang aku suruh tadi. Aku tunggu kau
dekat pondok telefon sana. Ingat tau... jangan tersasul cakap yang bukan-bukan
pulak.” Izam sempat mengingatkan Dali sekali lagi sebelum berlari
meninggalkannya.
Dali mengesat-ngesat peluh yang sudah melarat ke seluruh muka dan belakang
badan. Sungguh dia berasa menyesal jadi posmen cinta Izam.
HANIS dan Ifa menjerit serentak apabila disergah secara tiba-tiba
oleh seseorang yang muncul dari bawah tangga. Ketawa yang bermain di bibir
mereka sebentar tadi terus hilang dan kini diganti dengan rasa cuak pula.
“Eii! Kau ni, Dali, buat orang terkejut ajelah. Kau buat apa kat bawah tangga
tu? Tak ke
surau ke?” Ifa mengurut dada. Dia ingatkan jembalang manalah tadi. Mujur dia
dan Hanis tidak pengsan di situ.
“Aku uzur hari ni.”
“Ha?!” Ifa dan Hanis saling ternganga.
“Eh, tak! Tak! Aku... aku normal.” Dali ketap bibir menahan resah. Macam mana
nak mulakan ni? Kuat sangat jantungnya berdegup sampai tersasul menyebut
dirinya uzur.
“Kau ni dah kenapa, Dali? Tak sihat ke? Kenapa muka kau
berpeluh-peluh macam tu?” tanya Ifa sambil mengerling Hanis di sebelah.
Hanis mengangkat bahu dengan muka berkerut.
Dali mengesat dahi. Gementar punya pasal habis berpeluh
satu badan. Macam manalah nak pikat perempuan nanti? Bercakap dengan perempuan
pun sudah terketar lutut dan tergagap-gagap. Kenapalah Izam pilih dia buat
kerja macam ni?
“Err... Aku nak jumpa Hanis. Izam suruh beritahu sesuatu
dekat dia.” Mata Dali berkalih ke wajah Hanis.
“Beritahu apa?” Hanis menyoal bersama debaran.
“Dia ki... kirim salam dekat kau.” Fuh! Azab sungguh nak
habiskan kata-kata itu. Dali tarik nafas seketika dan cuba memujuk diri agar bertenang.
Ifa menjerit gembira sambil bertepuk tangan manakala Hanis
pula terlopong sejenak.
“Betul ke Izam kirim salam dekat Hanis? Lagi? Apa lagi yang
Izam suruh kau beritahu Hanis?” Ifa berasa teruja hendak tahu. Jadi, betullah
tekaan dia yang Izam sukakan Hanis.
“Izam cakap dia cin...” Dali tidak jadi meneruskan
kata-kata. Ini ayat yang dia reka. Bukannya ayat Izam. Lebih baik tak payah cakap, gumamnya dalam hati.
“Cin apa? Cintakan Hanis?” Ifa sudah tersenyum-senyum
memandang Hanis yang sudah jadi seperti orang bisu.
“Err... Yang tu kena tanya Izam sendirilah. Aku no comment. Tapi, Izam pesan dia nak jumpa Hanis dekat dewan
makan masa makan tengah hari nanti.”
“Waa, Hanis... Izam ajak kau datinglah,” seloroh Ifa sambil
menyenggol bahu Hanis.
Hanis meneguk air liur dengan susah payah. Seperti susahnya
dia hendak mempercayai semua itu. Tadi kirim salam. Sekarang nak berjumpa pula.
Kenapa semua ini berlaku serentak dan secara tiba-tiba? Cinta dia sudah
berbalas ke?
“Kenapa Izam nak jumpa aku?” tanya Hanis.
“Entahlah, Hanis. Aku tak tahu pulak sebab apa.” Dali
menjongket bahu.
Namun, dia yakin semua itu ada kena-mengena dengan hati dan
perasaan Izam terhadap Hanis. Mengenai hal itu, dia enggan masuk campur.
Biarlah Izam selesaikan sendiri. Jadi posmen tidak bergaji ini pun dia sudah rasa
terbeban. Inikan pula hendak fikir pasal cinta Izam.
“Aku tahu sebab apa. Mesti Izam nak luahkan perasaan dekat
kau, kan?” Ifa mencelah dan membuat andaiannya sendiri. Kalau bukan nak luah
perasaan, sebab apa lagi?
“Hisy! Mengarutlah kau ni,” sangkal Hanis malu-malu. Dia mencubit lengan Ifa
perlahan. Mukanya sudah panas semacam.
“Nanti kau pergi jumpa Izam ya. Dia berharap sangat kau
datang jumpa dia,” pesan Dali lagi.
“Alah, Dali... Kau jangan risaulah. Hanis mesti pergi
punya. Pucuk dicita, ulam mendatang. Kan, Hanis?” Ifa tersengih sambil memeluk
erat bahu Hanis.
“Kalau macam tu, baguslah. Itu aje yang aku nak beritahu.
Aku pergi dulu.” Dali segera berpaling. Namun, jeritan Ifa membuatkan dia
menoleh semula.
“Dali! Nanti kau cakap dekat Izam, Hanis pun kirim salam
jugak dekat dia tau.”
Mata Dali tertancap ke arah Hanis yang kelihatan tercengang
mendengar kata-kata Ifa. Sambil mengangguk, Dali membalas, “Okey, nanti aku
beritahu Izam, Hanis kirim salam rindu.”
Ifa ketawa besar. Sementara Hanis pula terus terkedu.
PINGGAN berisi nasi putih berserta lauk ayam goreng dan sayur lemak
kangkung ditolak perlahan ke tepi. Gara-gara berdebar memikirkan pertemuannya
dengan Hanis, makanan itu hanya terusik separuh pinggan sahaja. Mata Izam
meliar ke segenap ruang di dalam dewan makan. Dia mengeluh. Mana Hanis ni?
Sudah hampir setengah jam dia tunggu. Tetapi bayang Hanis masih belum nampak lagi. Datang ke tidak?
“Ehem!”
Bunyi dehaman satu suara melarikan khayalan Izam. Segera
dia mendongak. Bibirnya menguntum senyum.
“Hanis... Aku ingatkan kau tak datang. Nyaris-nyaris dah aku nak
pergi tadi,” kata Izam.
“Maaflah sebab buat kau tertunggu lama. Ada apa hal kau nak
jumpa aku?” soal Hanis. Walaupun hatinya ketika itu bergetar hebat, namun dia
cuba bersikap selamba seperti yang Ifa ajar sebentar tadi.
“Duduklah dulu.”
Hanis menarik kerusi lalu duduk menghadap Izam. Pertama kali dia pandang
wajah Izam sedekat ini. Hatinya berulang kali berkata dia jatuh cinta. Cinta
pandang pertama.
“Kau dah makan ke?” Izam berbasa-basi. Kelu lidah hendak
memulakan bicara. Hentam sahajalah apa yang terlintas di fikiran.
“Dah.” Hanis
angguk. Matanya jatuh ke pinggan sebelah Izam. Mungkinkah Izam juga seperti dia
yang tidak berselera hendak makan sebab resah bergelut dengan macam-macam
perasaan dalam hati?
Izam bergumam. Dia menarik nafas panjang menghalau debar yang masih belum hilang.
“Sebenarnya... tujuan aku ajak kau jumpa ni sebab nak
berbual-bual dengan kau. Aku nak kenal kau dengan lebih rapat. Kalau kau nak
tahu, aku dah lama perhatikan kau. Cuma aku takut nak tegur. Manalah tahu
kut-kut kau tak sudi melayan,” luah Izam tanpa berselindung lagi tentang isi
hatinya.
Hanis terkedu sehingga hilang kata-kata hendak bersuara.
Hanya matanya sahaja yang berkerdip memandang wajah Izam. Haruskah dia
menyatakan perasaannya juga?
“Hanis, kenapa diam aje? Kau tak nak cakap sesuatu ke?”
Izam masih menanti respons Hanis.
“Aku pun sama macam kau,” balas Hanis tersipu-sipu.
“Maksud kau... Kau pun rasa apa yang aku rasa?”
Hanis tertunduk malu. Dia
mengangguk. Seluruh mukanya terasa begitu
berbahang.
Hati Izam diselubungi bahagia. Memang sah tidur malamnya
nanti bersulamkan mimpi indah bersama Hanis. “Kau nak jadi kekasih aku tak?”
Hanis terus angkat muka. “Ha?”
“Kita couple, nak?”
“Err...”
“Kalau tak sudi tak apa. Aku tak paksa.” Izam pantas
memotong kata-kata Hanis terlebih dahulu. Dia tahu Hanis terkejut mendengar lamarannya.
Jauh di sudut hati, dia benar-benar berharap Hanis bersetuju.
“Okey, kita declare,” tutur Hanis
malu-malu.
Mata Izam bercahaya. “Betul ke kau sudi jadi kekasih aku?”
Hanis bergumam. Mestilah dia sudi. Takkanlah dia sanggup
lepaskan peluang bersama lelaki yang dia suka? Itu tolak tuah namanya.
Izam bersorak gembira. Jawapan Hanis benar-benar
menceriakan hati dan perasaannya. Malah, turut membuatkan dia rasa lebih
bersemangat.
“Lagi satu, Hanis... Lepas ni, kalau kita buat study group dan belajar sama-sama, boleh tak?”
“Tapi, bukan ke kau dah ada grup sendiri dengan Dali, Farid
dan Bojan?”
Izam tersengih. Ah, belajar sesama jantina mana seronok.
Mengantuk sahaja yang lebih. Kalau belajar dengan perempuan barulah rasa
bersemangat sikit. Setiap hari buat ulang kaji pelajaran pun tak ada masalah.
“Itu study group dengan
kaum-kaum Adam. Sekali-sekala, teringin jugak nak join belajar dengan kaum Hawa. Barulah seronok sikit. Boleh
ya?” ungkap Izam penuh berharap. Mungkin dengan cara itu sahaja dia boleh
mendekati Hanis dengan lebih rapat.
Hanis hanya tersenyum. Angguk tidak, geleng pun tidak.
Namun, dia yakin Izam boleh menebak apakah jawapannya.
Yes! Izam menggenggam erat sebelah tangannya dan bersorak kuat
dalam hati.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment