06 July 2015

Cinta Sama Cinta 5

SUASANA di dalam stadium tertutup itu begitu bingit sekali dengan bunyi sorakan suara penonton yang datang menyaksikan pertandingan akhir Kejohanan Takraw Piala Emas.
Sudah hampir dua jam perlawanan berlangsung. Keputusan set pertama dan kedua sebelum ini seri antara Sekolah Menengah Kebangsaan Kristal Bayu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Makmur. Set ketiga yang akan dimulakan sebentar lagi bakal menentukan siapakah yang bakal bergelar juara pertandingan tersebut.
Mata Izam meliar mencari kelibat Hanis di tempat duduk penyokong pasukan sekolahnya. Sampai sekarang dia gagal menjumpai wajah gadis itu. Bas yang membawa penyokong sudah lama sampai. Tetapi, mengapa Hanis tiada di dalam stadium? Adakah Hanis telah lupa dengan janjinya?
“Izam!”
Panggilan itu membuatkan Izam tersentak lalu menoleh ke kanan. Cikgu Naspu, jurulatih takraw yang membimbing pasukan sekolah datang mendekati lalu memaut erat bahunya.
“Kamu okey ke tak ni? Cikgu tengok dalam perlawanan tadi kamu tak berapa fokus bermain. Ada apa-apa masalah ke?” tanya Cikgu Naspu.
“Tak ada apa-apa, cikgu.” Izam menggeleng, menafikan tanggapan Cikgu Naspu.
“Kalau ada apa-apa masalah, tolak dulu ke tepi. Cikgu nak kamu fokus pada permainan betul-betul. Jangan buat silap dan biarkan lawan curi mata dengan mudah. Perlawanan penentuan ni penting buat pasukan kita.”
 Izam hanya mengangguk lemah walaupun dia tidak pasti mampu melakukannya ataupun tidak. Sebelum masuk ke gelanggang semula, sekali lagi dia pandang ke arah tempat duduk penyokong. Namun, Hanis tetap tiada.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kristal Bayu yang berjaya mengalahkan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Makmur dengan keputusan 2-1. Selain menjuarai pertandingan itu, nama Izam juga turut harum apabila diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan.
“Cayalah kau, Izam. Semua kejohanan kau rembat anugerah pemain terbaik. Semakin tinggilah saham kau sekarang. Lepas ni mesti berguni-guni dapat surat cinta daripada awek.” Dali mengusik Izam sejurus Izam turun dari podium mengambil pingat. Dia tumpang bangga dengan kejayaan Izam dan pasukan sekolah.
“Tak ada maknanya aku nak melayan. Cinta aku dekat Hanis sorang aje,” balas Izam.
Sekali gus membuatkan Dali, Bojan dan Farid berkata, “Wau...” Kagum sambil mengekek.
Izam merenung pingat yang terkalung pada leher. Tanpa Hanis, kemenangan itu seperti tidak bermakna apa-apa kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan bersamanya. Ke manalah Hanis pergi?
“Hai, dah menang anugerah pemain terbaik pun masih tak gembira lagi ke?” tegur Bojan apabila menyedari Izam tidak ceria seperti selalu.
Izam menarik nafas panjang. “Kau orang ada jumpa Hanis tak tadi? Dia cakap nak datang. Tapi aku tak nampak pun muka dia kat dalam stadium ni. Si Ifa tu pun sama.”
Dali mengerut muka. “Hanis tak datang ek? Aku tak perasan pulak dalam bas tadi dia dan Ifa ada naik sekali ke tak. Yang aku perasan, geng-geng Joyah tu aje. Buat kepoh kat tempat duduk belakang.”
“Tertinggal bas kut?” Farid pula membuat andaian.
“Dua trip kut bas datang ambil penyokong. Takkanlah dua-dua dia tertinggal?” sangkal Izam.
“Mungkin dia ada hal dan tak sempat beritahu dekat kau yang dia tak dapat datang. Fikir positif ajelah. Balik asrama nanti kau pergilah jumpa dia tanya.” Bojan memujuk Izam.
Izam termangu.
“Hmm... Tengoklah nanti,” jawabnya lemah lalu meminta diri seketika, pergi menyertai rakan-rakan sepasukan yang berkumpul tidak jauh dari situ.

PULANG dari stadium pada sebelah petangnya, Izam terus bergegas mencari Hanis. Nama Hanis dilaung beberapa kali dari luar pagar pekarangan asrama perempuan. Namun, tiada sahutan. Jika Hanis tidak dengar, dia berharap ada orang lain yang dengar supaya dia boleh minta tolong dengan orang itu panggilkan Hanis bagi pihaknya.
Tiba-tiba dia ternampak Joyah berjalan di koridor asrama. Walaupun dia tidak suka Joyah, tetapi kali ini dia terpaksa tepis kebencian itu.
“Oi, Joyah! Sini sekejap.” Izam menggamit Joyah datang menghampirinya. Nasib baik Joyah dengar cakap dia.
“Apa hal kau datang ke sini? Nak sekodeng perempuan ke?” soal Joyah setelah berdiri di depan Izam. Dia pandang Izam atas bawah penuh sangsi.
“Aku cari Hanis. Boleh tolong aku panggilkan dia keluar sekejap?”
“Hanis tak ada. Dia balik kampung. Mak dan ayah dia meninggal pagi tadi.”
Mata Izam terjegil. Jantungnya seperti hendak gugur mendengar khabar tersebut. “Ha? Betul ke ni? Kau tak main-main?”
“Kau ingat soal mati boleh buat main-main ke?” Joyah bidas Izam sinis.
Izam meraup muka. Dia hilang kata-kata sejenak.
“Ak... aku tak tahu apa-apa. Dengan Hanis pun aku tak jumpa lagi hari ni,” nyata Izam terus terang. Sekarang dia faham kenapa Hanis tidak muncul di stadium pagi tadi. Semua persoalannya sudah terjawab.
Joyah lipat tangan ke dada dan perhatikan Izam yang sedang termangu. “Kau dengan Hanis... bercinta ek?”
Perlahan-lahan Izam mendongak. “Kalau ya, kenapa?”
“Setakat cinta monyet macam tu, tak payahlah kau nak feeling sangat bercinta. Aku berani cakaplah yang cinta kau dengan Hanis takkan kekal lama. Habis sekolah nanti mesti putus kat tengah jalan punya!”
Tidak semena-mena darah Izam jadi menyirap mendengar kata-kata Joyah. “Kau apa hal? Ada masalah ke aku bercinta dengan Hanis? Kau cemburu?”
“Huh! Tak kuasalah aku nak cemburu dekat kau. Kau bukannya handsome pun. Bluwerk!” Joyah jelir lidah dan terus berpaling pergi.
Namun, dalam hati dia mengakui apa yang Izam kata. Memang dia cemburu sebab dia sudah lama meminati Izam dalam diam. Menyesalnya dia lambat bertindak. Sekarang, tertutup sudah peluangnya nak rapat dengan Izam.
Izam mencebik. Nak sahaja dia sekeh kepala Joyah sampai terteleng.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment