06 July 2015

Cinta Sama Cinta 4

IZAM berasa pelik melihat sikap Hanis yang tiba-tiba dingin dengannya. Tertanya-tanya dia sendiri apakah kesalahan yang telah dilakukannya.
“Hanis, kenapa diam aje ni? Ada apa-apa masalah ke?” soal Izam lembut.
“Aku nak putuskan hubungan kita,” kata Hanis senafas.
Izam terpempan. Dadanya terasa seperti ditusuk dengan benda tajam mendengar permintaan Hanis itu. Kelu lidahnya seketika hendak berkata-kata.
“Aku tak faham. Apa salah aku?” Mata Izam terkebil-kebil merenung Hanis, meminta pengertian. Tanpa sebarang sengketa, adakah logik Hanis mahu memutuskan hubungan mereka?
“Banyak,” jawab Hanis laju tanpa membalas renungan Izam.
“Kalau banyak, sebutlah satu per satu.”
“Tak perlu sebut pun tak apa kut. Kau sendiri mungkin boleh fikirkan sendiri.” Hanis berpeluk tubuh dan terus mengeraskan perasaan untuk tidak berpaling menatap wajah Izam.
Kata-kata Hanis membuatkan Izam termangu.
“Ini ada kena-mengena dengan kes aku kena cekup dengan warden malam tadi ke?” tebak Izam.
Dia sudah mengagak itulah puncanya. Malam tadi dia bersama Dali, Bojan dan Farid ditangkap warden asrama sebab curi-curi keluar asrama pergi makan burger di gerai seberang jalan sekolah. Akibatnya, mereka berempat kena rotan di hadapan semua penghuni asrama.
“Kalau kau marahkan aku pasal hal tu, aku minta maaf. Aku mengaku itu memang salah aku. Tapi, takkanlah sebab hal tu kau nak putuskan hubungan kita?”
Hanis menghela nafas panjang. Sebenarnya, dia sendiri pun tidak sanggup nak memutuskan hubungannya dengan Izam. Dia hanya berniat mahu menggertak Izam sahaja. Tujuannya ingin mengajar Izam supaya berubah sikap. Dia tidak boleh tahan dengar orang mengata Izam budak bermasalah. Seolah-olah dia juga turut bermasalah macam Izam.
“Kalau kau tak nak hubungan kita putus, kau kena janji sesuatu dengan aku.” Di saat itu barulah Hanis menala pandangan ke wajah Izam.
“Apa dia?”
“Mulai hari ni, kau tak akan langgar lagi peraturan sekolah dan asrama. Kau kena berubah jadi seorang pelajar yang patuh pada arahan guru dan tinggalkan semua sikap buruk kau tu. Boleh?”
Izam menelan air liur. Hanis mahu dia jadi pelajar yang dengar kata? Selama ini sikap dia teruk sangat ke? Ini yang susah ni. Jika dia tidak setuju bermakna hubungan mereka berdua akan berakhir. Alamak! Takutnya. Hanis pun satu hal juga. Lain kali berilah syarat yang mudah sikit, gumam Izam dalam hati.
Hanis kerling Izam yang sedang termangu. “Susah ke? Kalau kau rasa tak mampu...”
“Mestilah aku mampu buat. Jangan risau. Aku akan penuhi permintaan kau tu,” putus Izam pantas, memotong percakapan Hanis terlebih dahulu. Dia sudah tahu apakah ayat terakhir yang Hanis nak cakap. Tak sangguplah dia nak dengar.
Hanis tersenyum gembira mendengar jawapan Izam. Dia tahu Izam tidak akan tergamak menghampakannya.
“Izam, aku bukannya nak kongkong kebebasan kau. Tapi, semua ni untuk kebaikan kau jugak. Lagipun kau seorang atlit. Kalau kau terus bersikap nakal macam tu, kau sendiri yang susah nanti. Kau tak rasa rugi ke kalau kena singkir daripada pasukan sekolah? Dan yang paling penting, kau fikirlah perasaan mama dan papa kau. Kalau mereka tahu sikap kau macam ni, tentu mereka rasa sedih,” nyata Hanis penuh hemah.
Dia tidak berniat nak tunjuk pandai. Dia hanya mahu Izam sedar tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar dan anak. Malah, dia percaya Izam sendiri sudah pandai menilai baik dan buruk sesuatu perkara.
Izam menarik nafas panjang. Kata-kata Hanis begitu cepat meresap ke dalam fikirannya.
“Memang betul apa yang kau cakap. Terima kasih sebab sedarkan aku tentang semua tu,” ucap Izam perlahan, seolah-olah baru tersedar daripada mimpi.
“Jadi, mulai hari ni kau kena berubah jadi Mohd Shahrul Aizam yang baru. Kau dah tak boleh nakal-nakal lagi tau. Lepas ni kau kena selalu pergi surau untuk sembahyang jemaah. Malam-malam, kau dah tak boleh panjat pagar asrama pergi makan kat luar. Dan kalau boleh, jangan pakai seluar ketat macam mat rock tu lagi.” Hanis berkata panjang lebar.
Kalau diikutkan, ada banyak lagi tabiat buruk Izam yang lain. Tetapi, itu sahajalah yang paling Izam suka buat.
Izam tunduk memandang seluar yang dipakainya. Dia ketawa lucu. Terasa seperti Hanis perli dia pula. Biarpun semua yang Hanis cakap tadi terasa susah nak buat, namun dia tetap bersetuju. Demi Hanis, dia sanggup lakukan apa sahaja.
“Okey, aku janji akan berubah seperti yang kau nak. Asalkan aku tak kehilangan kau,” ujar Izam. Jika kehilangan Hanis, tak berertilah hari-hari yang dilaluinya.
“Terima kasih.” Hanis tersenyum penuh makna.

HANIS berdiri di depan cermin merapikan rambutnya yang diikat tocang. Sesudah berpuas hati, dia mengukir senyum. Tanpa sedar, kelakuannya itu menjadi perhatian Ifa yang sudah lama memerhatinya.
Ifa dapat merasakan ada kelainan pada sikap Hanis. Sepanjang tinggal di asrama bersama Hanis, tidak pernah lagi dia melihat Hanis gembira begitu.
“Amboi, bukan main ceria lagi kau hari ni, ya? Sejak bangun tidur tadi sampailah dah pakai lawa-lawa macam ni, aku tengok senyum tu tak hilang-hilang lagi dari bibir. Seronok sangatlah tu nak pergi tengok buah hati dia bertanding,” usik Ifa.
Hanis terus memusingkan badannya, menghadap Ifa yang duduk bersila di atas katil.
“Mestilah seronok. Hari ni kan aku jadi orang penting buat Izam. Izam pun mesti rasa bersemangat nak kalahkan pasukan lawan dia nanti bila tengok aku ada kat dalam stadium tu,” balas Hanis penuh ceria.
Tidak sabar rasanya nak tengok Izam beraksi dalam gelanggang. Pasti banyak aksi-aksi spontan yang dipamerkan oleh Izam nanti. Yang pasti, gayanya semua memikat hati. Ah! Pendek kata, serba-serbi tentang Izam semuanya buat hati dia rasa terpaut.
“Yalah, orang tengah mabuk bercinta. Memanglah semangat dia lain macam, kan?” Ifa tersenyum nakal sambil mengangkat kening. Seronok menyakat Hanis.
“Kau dah habis bersiap ke belum? Kalau dah, jomlah kita gerak sekarang. Nanti lambat-lambat kena tinggal dengan bas pulak,” gesa Hanis yang enggan melayan usikan Ifa itu. Kalau bab mengusik, Ifa memang juara bertahan.
Ifa bangun dari katil lalu mencapai beg sandangnya yang tergantung di tepi almari.
“Kita singgah dewan makan sekejap, boleh? Perut aku laparlah. Kena isi makanan dulu. Nanti tak ada tenaga nak jerit kuat-kuat kat dalam stadium tu.”
“Kau ni, ada-ada ajelah,” sungut Hanis sambil menggeleng lemah.
Ifa hanya tayang gigi selamba.
“Hanis Aqilah...”
Hanis pantas berpaling apabila terdengar namanya dipanggil seseorang. Dia tergamam setelah melihat warden dan seorang wanita di muka pintu asrama.
“Mak teh!” jerit Hanis lantas terus meluru mendapatkan ibu saudaranya. Mereka berdakapan seketika.
“Hanis sihat?” soal mak teh usai melepaskan pelukan. Wajah Hanis ditatap lama penuh kasih.
“Sihat. Kenapa mak teh tak beritahu Hanis dulu nak datang ke sini? Nasib baik Hanis belum keluar lagi,” kata Hanis.
Dia melihat mak teh pandang warden dan mengangguk perlahan. Terus timbul tanda tanya dalam hati menyaksikan tingkah laku kedua-duanya. “Apa hal ni, mak teh?”
“Hanis, mak cik awak datang ke sini sebab nak bawa awak pergi hospital. Mak dan ayah awak kemalangan. Mereka sekarang sedang dirawat di wad ICU,” beritahu warden.
Hanis terpempan. Senyumnya hilang serta-merta.
“Ya Allah! Macam mana boleh jadi macam tu? Mak teh, teruk tak keadaan mak dan ayah?” soal Hanis sambil menggoncang tangan mak teh. Pelbagai perasaan mula melanda, membuatkan dia jadi tidak tentu arah.
“Mereka masih belum sedarkan diri lagi. Hanis pergilah kemas barang-barang Hanis cepat. Lepas ni kita terus pergi ke hospital. Sarah dah ada kat sana,” gesa mak teh. Dia gusar sekiranya berlaku apa-apa dan Hanis tidak sempat berjumpa dengan kedua-dua orang tuanya.
Hanis segera menurut. Dengan bantuan Ifa, dia mengemas apa-apa yang patut. Di saat hampir selesai, mak teh datang menghampiri dan memegang lembut bahunya.
“Hanis...” Mak teh berjeda panjang.
“Kenapa ni, mak teh?” soal Hanis terpinga-pinga. Dia nampak mata mak teh digenangi air dan bibirnya terketar-ketar hendak mengungkapkan sesuatu. Berdebar-debar dia menanti mak teh membuka mulut.
“Sarah baru aje hantar SMS dekat mak teh. Dia beritahu... mak dan ayah Hanis dah tak ada.”
Hanis terkedu. Seluruh tubuhnya menggeletar. Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Akhirnya dia terjelepok di atas lantai seperti orang yang dungu.
“Mak, ayah... kenapa tinggalkan Hanis?” Hanis merintih sambil menyeru nama emak dan ayahnya berulang-ulang kali.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment