Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

24 January 2016

Lelaki Penuh Kejutan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Maaf, sebab lama sangat tak update entri di blog ni. Laptop saya tak boleh nak loading web. Selalu saja error. Jadi, saya banyak update di Facebook saja, terutamanya di grup. 

Okey, saya ada berita gembira buat followers yang follow e-novel Heroku Superstar Meletup! Alhamdulillah, kalau tak ada aral, novel tu akan diterbitkan pada bulan Februari ni. Tak lama dah. Tinggal beberapa hari saja lagi. Tapi, tajuknya telah bertukar kepada Lelaki Penuh Kejutan. Jadi, yang ternanti-nanti buah tangan terbaru Reeani Annur, inilah dia. 

Saya kongsikan gambar cover dan blurb sekali. Penerbit iaitu Penerbitan Fajar Pakeer akan buka pre-order pada 26hb Januari 2016. Jadi, bila pesanan dah dibuka, cepat-cepat inbox dia orang dekat Facebook dan order LPK.

Seperti biasa, novel saya masih mengekalkan gaya santai dan humor. Konflik pun tak berat sangat. Kalau rasa nak baca cerita yang relaks dan kelakar, saya rekomen belilah. Haha! 

Dekat bawah saya sertakan gambar cover dan blurb. Jadi, jomlah buat koleksi. 

Cover rasmi Lelaki Penuh Kejutan

Daripada seorang penyanyi jalanan yang tidak punya apa-apa, Fadil menempa kemasyhuran bergelar superstar terkenal setelah menjuarai satu pertandingan realiti TV. Namanya menjadi sebutan, digilai ramai peminat dan perempuan-perempuan yang memandangnya sebelah mata dahulu kini cuba mendekati dia semula.

Nena - “Boleh kita jadi macam dulu semula?”
Qistina - “Tapi… Kalau I jadi girlfriend you, I berani jamin I takkan merajuk. Lagi I sayang you adalah.”

Dua-dua cantik orangnya. Tetapi, hanya cinta Nuha yang dia dambakan. Cuma masalahnya sekarang, Nuha pula berbelah bahagi hendak terima lamarannya.

“Tak apa ke saya kahwin dengan awak?”
“Dah tak ada soalan bodoh lain ke kau nak tanya?”
“Yalah, awak tu Fad Ashraf. Penyanyi tersohor Malaysia. Saya ni siapa? Taraf saya dengan awak ibarat enggang dengan pipit. Tak kecewa ke peminat awak nanti kalau awak kahwin dengan gadis nobody macam saya ni?”

Dapatkah Fadil memujuk Nuha mengahwininya? Sejauh manakah Nena dan Qistina berusaha memenangi hati Fadil?

“Bahagia dalam bercinta tu kau hanya boleh rasa bila jumpa dengan orang yang betul. Yang tahu hargai diri kau dan boleh terima kau seadanya.”

06 July 2015

Cinta Sama Cinta 15 [Akhir]

HANIS menolak perlahan pintu butik. Terasa lega sekali apabila disapa oleh kesejukan pendingin hawa di dalamnya. Baru sahaja masuk bilik dan ingin duduk di atas kerusi, tiba-tiba terdengar pintu diketuk.
“Ada apa, Aida?” tanya Hanis setelah pekerjanya itu melangkah masuk.
“Cik Hanis, ada pelanggan nak jumpa,” beritahu Aida.
“Okey, suruh dia tunggu sekejap. Nanti saya keluar.”
Aida mengangguk dan terus beredar.
Hanis terus mencapai sebuah cermin kecil yang berada di atas meja bagi memastikan solekan pada wajahnya masih kelihatan elok. Setelah berpuas hati, dia keluar mendapatkan pelanggan yang dimaksudkan oleh Aida.
“Encik...?” Hanis menyapa pelanggan yang berdiri membelakanginya dan sedang leka memerhati baju-baju yang dipamerkan pada badan patung. Apabila pelanggan itu berpaling, dia tergamam.
Izam?
Izam tersenyum memandang Hanis.
“Err... Kau ada buat temu janji ke hari ni?” soal Hanis sedikit gugup. Seingatnya tak ada. Atau dia sendiri yang terlupa?
Izam menggeleng.
“Tak ada. Aku datang bagi pihak Rehan. Kau sendiri dah nampak kan dia mengamuk marahkan aku sebab aku tak datang jumpa kau. Jadi, terpaksalah aku datang jugak. Kalau tak, kau faham-faham sendirilah,” ujar Izam.
Disebabkan enggan mengusutkan keadaan, dia terpaksa mengalah dengan Rehan. Namun, sampai ke saat ini Rehan masih bermasam muka dengannya.
Hanis mengangguk. Memahami kerana telah menyaksikan pergaduhan Izam dan Rehan malam kelmarin. Mujurlah dia kurang sibuk hari ini. Dapatlah dia penuhi temu janji yang sudah tamat tempoh itu.
“Tunang kau tu garang semacam. Takut aku dibuatnya,” komen Hanis sambil mengajak Izam pergi ke bilik pejabatnya.
“Aku panggil dia mak singa,” balas Izam separuh berbisik.
Hanis tahan gelak. Patutlah garang sangat!
Setelah masing-masing mengambil tempat, Hanis tunjuk rekaan baju pengantin yang dihasilkannya dan menerangkan kepada Izam apa yang dikehendaki oleh Rehan dalam rekaan tersebut.
Izam hanya berpeluk tubuh merenung wajah Hanis. Apa yang Hanis beritahu ibarat masuk telinga kanan, keluar pula telinga kiri. Dia tidak begitu berminat mendengar. Sebaliknya, wajah manis gadis itu yang lebih mencuri perhatiannya.
“Jadi, macam mana? Okey tak design baju ni? Ada apa-apa komen atau kau nak tambah?” Hanis menyoal Izam setelah tamat beri penerangan.
“Ha? Apa kau cakap?” Izam tersentak dan pandang Hanis terpinga-pinga. Postur badannya ditegakkan semula.
“Design baju pengantin tu. Okey ke tak okey?”
Mata Izam turun ke meja. Diteliti lama lakaran tersebut. Cantik sudah semestinya. Tetapi, apa yang Hanis tulis mengenai fabrik, lace dan manik yang akan digunakannya dia langsung tidak faham apa-apa. Memang Hanis ada terangkan kepadanya tadi. Disebabkan ralit merenung Hanis, semuanya tidak melekat dalam kepala.
“Okay, proceed.” Izam mengangguk. Dia tidak kisah bagaimana rupa baju itu setelah siap nanti. Dia yakin Hanis tidak akan mengecewakan hati pelanggannya.
Di luar tadi dia telah meneliti baju-baju rekaan Hanis. Semuanya menambat hati. Ternyata Hanis mengotakan janjinya untuk jadi seorang pereka fesyen yang berjaya. Cita-cita Hanis dahulu kini sudah menjadi nyata. Dia tumpang bangga dengan pencapaian Hanis.
“Kalau semuanya dah okey, aku akan cuba siapkan semua ni secepat mungkin. Ukuran badan Rehan aku dah ada. Cuma yang kau aje belum ada. Boleh aku ambil ukuran sekejap?” soal Hanis. Apabila Izam mengangguk, dia terus capai tali inci dan mula membuat ukuran.
Ketika mengambil ukuran di bahagian dada, pandangannya dan Izam saling berlaga. Dada Hanis mula dilanda debar.
“Ke mana kau menghilang selama ni, Hanis? Kenapa kau tinggalkan aku tanpa sebarang khabar?” tanya Izam. Matanya masih tumpah pada wajah Hanis.
Pertanyaan itu buat Hanis tersentak. Bukankah mereka sekarang sedang berbincang mengenai baju pengantin Izam dan Rehan? Mengapa pula Izam membangkitkan soal yang tidak berkenaan?
“Semuanya dah selesai untuk hari ni. Untuk proses fitting nanti aku akan beritahu semula bila kau dan Rehan perlu datang ke butik aku.” Hanis ingin duduk kembali di atas kerusi sejurus selesai mengukur badan Izam tetapi tangan lelaki itu pantas menyambar lengannya terlebih dahulu.
“Hanis, aku nak dengar jawapan kau. Kenapa kau tinggalkan aku dulu?” Izam berasa tidak puas hati dengar jawapan Hanis yang tidak ada kena-mengena langsung mengenai soalannya tadi
“Apa gunanya aku jawab? Hal tu dah lama lepas. Semuanya dah tak penting lagi untuk dibincangkan,” balas Hanis.
Izam terkedu. Terkelip-kelip dia merenung Hanis.
“Semudah tu aje kau cakap? Aku separuh mati cari kau lepas kau pindah sekolah dulu. Hidup aku betul-betul rasa terseksa kehilangan kau. Sampai sekarang aku masih rasa derita dengan perpisahan kita.”
Hanis mengangkat muka tatap wajah Izam. Jelas terpancar kesedihannya. Kalau Izam derita, dia juga turut merasakan hal yang sama. Dia dan Izam sama-sama derita.
Suasana di dalam pejabat itu hening seketika.
“Aku masih tak dapat lupakan kau, Hanis,” kata Izam setelah lama mendiamkan diri.
“Tapi kau dah jumpa pengganti aku. Tahniah untuk perkahwinan kau yang bakal berlangsung nanti. Aku tumpang gembira.” Hanis menggagahkan diri mengukir senyum walaupun hatinya terluka.
“Kau silap! Aku tak pernah menggantikan kau dengan orang lain.”
Hanis tersenyum tawar. Benarkah? Jika begitu mengapa Izam memilih Rehan?
“Kau tak perlu jaga hati aku, Izam,” kata Hanis sebal.
“Dari dulu aku sentiasa jaga hati kau. Tapi kau yang tak pernah jaga hati aku. Kau cakap kau cintakan aku. Tapi, kenapa aku orang terakhir yang tahu kau tukar sekolah? Dan kau tak datang jumpa aku pun nak ucap selamat tinggal. Hati aku sakit, Hanis. Sakit sangat-sangat. Kau tak tahu macam mana keadaan aku lepas kau pergi. Pelajaran aku merosot. Prestasi sukan aku hancur! Semua sebab kau!” Izam meluahkan segala apa yang dia pendam dalam hati selama ini. Bertahun-tahun tersimpan amat menyesakkan dadanya.
Hanis sudah teresak-esak menangis. Langsung tidak berdaya hendak mempertahan diri. Memang salah dia pergi tanpa pesan. Salah dia kerana membiarkan cinta mereka tergantung tanpa pengakhiran yang manis. Semua salah dia!
“Izam, aku tak berniat nak lukakan hati dan perasaan kau. Aku cuma tak tahu apa cara yang tepat untuk beritahu kau yang aku harus pergi. Maafkan aku,” ungkap Hanis perlahan sambil tunduk menahan sebak yang masih bersisa.
Perasaan Izam terpujuk sedikit setelah mendengar ungkapan maaf daripada Hanis.
“Tak ada luka yang paling teruk selain kau tinggalkan aku, Hanis. Tapi, lepas jumpa kau semula dekat rumah Jasmin, aku rasa bahagia sangat. 10 tahun aku tunggu peluang tu datang. Kau boleh rasa tak apa yang aku rasa?” tanya Izam. Perlahan-lahan dia bawa tangan Hanis ke dadanya. Tatkala itu pandangan dia dan Hanis saling berlaga.
Hanis dapat merasakan degupan jantung Izam. Namun, dia kalah dengan renungan mata Izam. Dia tarik semula tangannya dan kembali ke meja mengemas barang-barang. Siap sedia mahu menamatkan perbincangannya dengan Izam.
“Ada apa-apa lagi ke yang kau nak bincang pasal baju tu? Kalau tak ada, perbincangan kita tamat kat sini aje,” ujar Hanis enggan memanjang-manjangkan lagi hal tersebut. Urusan antara dia dan Izam sekarang adalah atas dasar klien semata-mata dan tidak melibatkan soal peribadi.
“Antara kita ada banyak lagi hal yang perlu dibincangkan,” tekan Izam.
“Tapi tak ada kena-mengena dengan hal peribadi. Pasal hal kita tu, aku rasa lebih baik lupakan aje. Ia dah tak penting lagi untuk dibincangkan.”
Izam benar-benar rasa terpukul. Kata-kata Hanis umpama belati tajam yang menoreh hatinya.
“Hanis...” Izam masih ingin meneruskan bicara, namun niatnya terhalang apabila pintu terkuak luas secara tiba-tiba.
“Aunty!” Seorang kanak-kanak perempuan meluru masuk mendapatkan Hanis.
“Iman...” Hanis sempat menyeka pipi sebelum memeluk erat tubuh gadis kecil itu dan mendukungnya.
“Iman rindu sangat-sangat dekat aunty.” Iman mengucup mesra kedua-dua belah pipi Hanis.
Izam pula hanya melihat sahaja gelagat Hanis dan anak kecil bernama Iman itu tanpa kata. Dalam hati, dia tertanya-tanya apakah perhubungan mereka kerana kedua-duanya kelihatan begitu rapat sekali. Bagaikan ibu dan anak.
“Dia yang paksa saya bawa datang jumpa awak,” sampuk satu suara lain dari muka pintu, membuatkan Izam terus berpaling. Matanya terjegil.
“Eh, Heris!” tegur Izam. Patutlah dia rasa macam pernah dengar sahaja suara lelaki itu tadi. Jadi, Iman anak Herislah?
“La... Kau pun ada sekali, Izam?” Heris turut terkejut sama. Lantas dia masuk menghampiri Izam. “Bincang pasal baju pengantin ke?”
“Ha’ah.” Izam mengangguk.
“Maaflah sebab ganggu urusan kau dengan Hanis. Kalau macam tu, kau bincanglah dulu,” kata Heris kemudian merapati Hanis untuk mengambil Iman daripada dukungannya.
Namun, Iman menggeleng laju. Enggan melepaskan pelukannya yang memaut erat leher Hanis.
“Iman tak nak! Iman nak duduk dengan aunty. Aunty, sebenarnya tadi papa tipu aunty. Bukan Iman yang paksa papa datang ke sini. Tapi papa yang ajak Iman. Papa cakap, papa rindu nak jumpa aunty,” adu Iman sekali gus membuatkan Hanis tergamam. Kemudian dia ketawa. Dia tidak mahu mengambil serius dengan apa yang diperkata oleh Iman.
Heris kerut muka sambil menyentuh pangkal lehernya. Malu sungguh dia rasa apabila Iman berkata begitu di depan Hanis dan Izam. Isy, Iman ni... Tak boleh nak berselindung langsung. Tetapi dia akur. Kanak-kanak sememangnya jujur dalam berkata-kata. Orang dewasa macam dia sahaja yang suka berselindung.
“Hanis, awak jangan ambil hati dengan cakap Iman tu. Dia memang suka kenakan saya,” ujar Heris sambil ketap bibir memandang Iman.
“Papa tipu!” Iman menafikan lagi.
Heris menggigit bibir. Dapat malu lagi dia. Tak boleh jadi macam ni, getus Heris yang sudah tidak keruan dipermain oleh Iman.
“Jomlah ikut papa keluar. Aunty Hanis nak buat kerja tu. Tak boleh ganggu dia lama-lama. Nanti papa belanja Iman makan aiskrim, nak?” pujuk Heris bersungguh-sungguh. Selepas itu barulah Iman mendepakan tangan kepadanya. Dia menarik nafas lega.
“Duduk dengan papa dulu ya. Nanti aunty datang jumpa Iman dan papa,” ujar Hanis sambil mengusap-usap kepala Iman yang sudah pun berada dalam dukungan Heris.
Iman mengangguk.
“Okeylah, Hanis, Izam, aku keluar dulu ya. Jumpa lagi,” ungkap Heris sebelum beredar meninggalkan kedua-duanya.
Izam tersenyum hambar memandang Hanis sambil menyeluk sebelah tangan ke dalam poket seluar.
“Sekarang aku dah faham kenapa kau cakap hal kita dah tak penting lagi untuk dibincangkan. Nampaknya kau pun dah jumpa pengganti aku jugak. Tahniah, Hanis,” perli Izam bersama cemburu yang mula berputik dalam hati. Malam kelmarin di rumah Jasmin. Hari ini di butik Hanis pula.
“Ia bukan seperti yang kau fikirkan.” Hanis cepat-cepat menyangkal. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Izam kala itu. Heris bukan kekasih dia. Bukan!
“Kalau ia bukan seperti yang aku fikirkan, apa lagi yang sepatutnya aku fikir?”
Hanis terdiam apabila Izam meninggi suara kepadanya. Dadanya didatangi sebak lagi.
Izam menghembus nafas perlahan. Kemudian dia mendekati Hanis rapat. Wajah Hanis direnung sedalam-dalamnya. Tangannya mahu mengelus wajah itu namun, dijatuhkan semula.
“Mungkin kau dah lupa aku ni cinta pertama kau. Tapi aku masih ingat. Sampai bila-bila pun aku takkan lupakan kau, Hanis. Sebab kau sentiasa penting buat aku,” ungkap Izam sebelum berlalu pergi.
Hanis duduk bersandar pada meja melepaskan tangisannya.
“Aku tak lupa, Izam. Aku selalu ingat.” Lambat-lambat Hanis menjawab. Perlahan dan penuh sebak.

“EMM... Sedapnya aiskrim ni. Nah, aunty rasalah sikit.” Iman dekatkan aiskrim di tangannya ke bibir Hanis.
Hanis bersedia hendak buka mulut. Apabila hampir-hampir hendak makan, Iman melarikan semula aiskrim tersebut.
“Pandai kenakan aunty ya?” Pipi Iman dicubit manja. Suara Iman ketawa riang. Seronok barangkali dapat menyakat dia.
Heris yang menyaksikan gelagat nakal Iman itu turut tergelak sama. Kemesraan kedua-duanya diterjemahkan oleh Heris di dalam buku lukisan saiz A3 yang turut dibawa bersama. Dia tersenyum senang hati melihat Hanis melayan keletah Iman dari jauh.
Ia mengingatkannya kepada Munirah, arwah isterinya. Sebagaimana rapatnya hubungan Iman dengan Munirah, begitulah juga dengan Hanis. Kadang-kadang Iman tidak betah berjauhan dengan Hanis dalam tempoh yang lama. Jika tidak, Iman pasti akan merengek meminta dibawa berjumpa dengan Hanis. Namun, jika Iman tidak meminta sekalipun, dia tetap cuba mencari masa membawanya bertemu dengan gadis itu.
Setelah hampir dua tahun mengenali Hanis, dia akui telah jatuh cinta kepadanya. Hanis berjaya memecah tembok hatinya yang membeku semenjak Munirah pergi menghadap Ilahi. Sifat keibuan yang ada dalam diri Hanis juga turut mencuit naluri lelakinya untuk bercinta semula. Kini, hanya Hanis sahaja yang bertakhta di hati. Dia memasang impian untuk membina hidup bersama Hanis.
“Awak lukis gambar saya dan Iman?” soal Hanis setelah mengambil tempat di sebelah Heris.
Penat melayan Iman, dia melepaskan lelah berbual dengan Heris seketika. Sementara Iman pula dibiarkan bermain gelongsor sendirian.
Heris menghulur lukisan kepada Hanis. “Untuk awak.”
“Wah, cantiknya. Nanti awak tolong framekan lukisan ni untuk saya, boleh? Saya nak gantung kat dalam bilik tidur saya,” puji Hanis sambil meneliti lukisan tersebut.
Halus sekali sentuhan tangan Heris. Ah, pelukis berbakat seperti Heris ini memang tidak perlu diragui kemampuannya. Heris melukis cincai-cincai pun hasilnya tetap menjadi juga.
“Sekali lagi? Agaknya dah berapa banyak ya gambar awak dengan Iman yang awak letak kat dalam bilik awak tu?” soal Heris.
Setiap kali dia melukis gambar Hanis bersama Iman, Hanis memang sentiasa meminta dia berbuat demikian. Namun, dia tidak kisah memenuhi permintaan itu. asalkan mampu menggembirakan hati Hanis.
“Banyak jugak. Kalau dikumpul, rasa-rasanya dah boleh buka mini galeri kut,” jawab Hanis disulami ketawa kecil.
“Saya rasa Iman sukakan awak,” kata Heris seraya melempar pandangan ke arah Iman yang dilihat bermain buai pula.
“Ya, saya pun sukakan Iman jugak.”
“Kalau macam tu, mungkin awak boleh pertimbangkan hasrat saya untuk menggantikan tempat mama Iman,” ungkap Heris bersahaja.
Hanis terkesima. Adakah Heris cuba melamarnya lagi?
“Saya tak layak. Mungkin ada orang lain yang lebih sesuai menggantikan tempat Munirah sebagai mama Iman,” balas Hanis. Matanya dilarikan sejauh mungkin daripada wajah Heris.
“Siapa?”
“Sesiapa saja.”
“Kenapa bukan awak?”
Hanis menarik nafas panjang. Hatinya berdebar-debar setiap kali berbicara tentang soal itu. Dia faham maksud Heris. Tetapi pintu hatinya masih belum terbuka untuk lelaki lain.
“Heris, awak tahu kan apa jawapan saya?” ujar Hanis perlahan. Dia yakin, Heris tetap akan faham sekalipun dia tidak bertanya begitu.
Heris melepas keluhan. Perlahan-lahan dia mengangguk. Ah, dia sendiri tidak tahu mengapa dia terlalu berharap. Sedangkan harapannya sudah berkali-kali punah setiap kali Hanis menolak hasrat hatinya itu. Sungguh, cintanya terhadap Hanis begitu menebal sekali hadir dalam diri. Sehinggakan dia rasa tidak mampu untuk berpaling daripada Hanis dan membuka ruang kepada gadis lain.
“Agaknya, siapa ya lelaki bertuah yang berjaya mencuri hati awak nanti?” Heris berseloroh dalam senyum. Kalau ada, mungkin dialah lelaki yang paling cemburu.
“Atau awak ada simpan seseorang kat dalam hati awak dan tak dapat lupakan dia sampai sekarang?” Heris terus menebak apabila Hanis hanya diam tidak berkutik. Mungkinkah telahannya benar kerana dia lihat air muka Hanis terus berubah selepas itu.
“Saya nak pergi tengok Iman.” Hanis cepat-cepat bangun meninggalkan Heris. Biarlah Heris berteka-teki sendiri. Dia tidak mahu pengakuannya akan menggores hati Heris. Memang kebenaran itu menyakitkan!
Heris hanya memerhati Hanis berlalu pergi. Dia tersenyum tawar.

Reeani Annur 2015
 

Cinta Sama Cinta 14

MELANGKAH masuk ke dalam rumah, Izam tidak terus masuk ke dalam bilik. Sebaliknya, dia duduk di ruang tamu melayan perasaan. Televisyen dipasang namun sekadar jadi pemecah kesunyian. Fikirannya jauh melayang ke arah lain.
Dia tersenyum sendiri apabila teringatkan Hanis. Dia berterima kasih pada takdir kerana menemukan semula dirinya dengan gadis itu. Ternyata jodoh mereka begitu kuat sekali. Tanpa sedar, kelakuannya itu diperhati oleh Mak Yam yang terjaga daripada tidur akibat terdengar bunyi suara televisyen dipasang kuat.
“Izam, baru balik ke? Pergi ke mana tadi?” tegur Mak Yam.
Izam terperanjat lalu menoleh. Tak tidur lagi rupanya Mak Yam ni. “Ha’ah. Izam jumpa kawan.”
Selepas menghantar Rehan pulang, dia melepak di sebuah medan selera bersama Dali, Bojan dan Farid. Kalau bertemu dengan tiga orang sahabatnya itu, memang payah nak balik awal ke rumah.
Mak Yam tengok jam. Sudah pukul 3.10 pagi. Tak mengantuk lagi ke Izam ni?
“Pergilah masuk tidur. Dah lewat pagi ni. Karang liat pulak nak bangun sembahyang subuh.”
“Sekejap lagi Izam tidurlah, Mak Yam. Sekarang ni Izam tengah berangan. Mak Yam janganlah kacau,” balas Izam bersahaja. Dia buat tidak tahu sahaja melihat muka Mak Yam berkerut setelah mendengar jawapannya. Orang tengah syok berangan dia suruh pergi tidur pula.
Mak Yam garu belakang kepala. Buang tabiat ke apa anak Dato’ Dahlan ni pagi-pagi buta duduk berangan di depan TV? getusnya. “Berangan pasal apa?”
Izam sengih. “Mak Yam... Mak Yam ingat lagi tak pasal kisah cinta Izam dekat Kristal Bayu?
“Dengan gadis bernama Hanis Aqilah tu?”
“Ha’ah. Mak Yam tahu tak tadi Izam jumpa dia?” beritahu Izam penuh teruja.
“Ya ke? Kiranya tadi Izam keluar dengan dialah?” tebak Mak Yam.
“Taklah. Tadi tu jumpa dengan kawan lama. Dengan Hanis, Izam jumpa dekat majlis hari jadi kawan Rehan sebelum tu. Rupa-rupanya kawan Rehan tu pun kawan dia jugak. Tak sangka betul Izam.”
“Hmm... Patutlah Mak Yam tengok Izam segar lain macam aje. Suruh tidur pun tak nak. Padahal dah pukul 3.00 lebih ni.” Mak Yam mengusik. Nampaknya, wajah Izam lebih ceria bercerita pasal kekasih lamanya berbanding cerita pasal tunang sendiri.
Izam terus bangun berdiri di sebelah Mak Yam. Bahu wanita itu dipeluk erat. “Mak Yam, Hanis cantik sangat tadi. Dia buat Izam jatuh cinta lagi. Izam dapat rasa semua tu.”
“Hisy, tak baiklah Izam cakap macam tu. Izam kan dah jadi tunang Rehan. Kalau Rehan dengar, kecil hati dia nanti,” tegur Mak Yam.
“Suka hati dialah kalau nak kecil hati dengan Izam pun. Izam memang tak ada hati apa-apa dekat dia. Izam rasa Izam nak putuskan pertunangan kami. Mungkin itu aje cara nak elak daripada kena kahwin dengan dia.”
“Janganlah ikut perasaan sangat.”
“Ni Izam ikut kata hati. Kata hati tak pernah menipu.”
Mak Yam menggeleng. Pandai pula Izam menjawab. “Habis tu, papa dah tahu ke?”
Izam angguk perlahan. “Dah. Tapi... papa tak setuju. Dia suruh Izam kahwin jugak dengan Rehan.”
“Mak Yam pun tak setuju Izam putuskan pertunangan tu,” sahut Mak Yam laju.
Terlepas keluhan panjang dari mulut Izam. “Mak Yam tak tahu perangai sebenar Rehan macam mana. Hati Izam ni dah banyak kali dah kena toreh dengan dia.”
“Biasalah tu. Gaduh-gaduh sayang...”
“Tak ada maknanya nak gaduh-gaduh sayang. Dengan dia kalau bergaduh rasa benci gila.”
Tangan Mak Yam segera menggosok-gosok bahu Izam. “Sabar... benci macam mana sekalipun dia tu tunang Izam jugak. Cubalah bawa berbaik dengan dia. Tak lama lagi dah nak jadi suami isteri pun.”
Izam sudah menarik muka. Kenapa Mak Yam sentiasa memihak kepada Rehan?
“Kalau dia layan Izam dengan buruk tak apalah pulak, kan? Mak Yam dengan papa sama aje. Tak faham isi hati Izam langsung,” kata Izam lantas meninggalkan Mak Yam keseorangan di situ.
Mak Yam mengeluh. “Tengoklah tu... Orang nasihat bukannya dia nak dengar. Degil betul.”

IFA menyambut senang kedatangan Hanis yang datang berkunjung ke tempat kerjanya pada pagi Isnin itu. Jika ada masa senggang, Hanis memang rajin datang menjenguk dan bertanya khabar dia. Waktu bekerja Hanis lebih fleksibel berbanding dengannya yang kerja makan gaji sebagai peguam. Nak jumpa kawan kena tunggu habis kerja dahulu. Lainlah Hanis, bekerja sendiri. Boleh curi masa hendak singgah ke mana-mana.
“Aku ganggu kau ke tak ni?” soal Hanis ketika melabuh punggung di depan Ifa.
“Macamlah kau tu tak biasa ganggu aku,” balas Ifa berseloroh sambil ketawa. “Dari mana ni?”
“Bank,” jawab Hanis ringkas. Surat khabar di atas meja diselak-selak sepintas lalu.
Ifa merenung Hanis lama. Lain macam sahaja sikap Hanis hari ini. Apa yang tak kena? soalnya dalam hati. “Kau okey?”
Hanis panggung muka. Dahinya berkerut memandang Ifa.
“Kenapa pulak kau tanya aku macam tu? Aku nampak tak okey ke?” tanya Hanis kembali.
“Kau tak cakap banyak macam selalu,” ujar Ifa.
Dia yakin memang ada sesuatu yang Hanis sembunyikan daripadanya. Namun dia tidak mahu mendesak. Biarlah Hanis membuka mulut sendiri. Dia pun tahu Hanis tidak akan memendam rasa seorang diri jika ada apa-apa masalah.
Hanis menutup surat khabar dan bersandar pada kerusi. Dia termangu seketika sebelum meneruskan bicara.
“Aku jumpa Izam malam kelmarin.”
Mata Ifa membulat. “Ha? Betul ke ni? Kau jumpa dekat mana?”
“Rumah Jasmin,” balas Hanis.
Tidak semena-mena bibirnya mengoles senyum apabila mengimbau semula pertemuannya dengan Izam. Takdir Allah. Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu Izam di situ.
“Izam pun ada pergi jugak ke? Wah, kuat betul jodoh kau dengan dia. Lepas berpisah 10 tahun pun masih boleh jumpa lagi. Mesti dia semakin kacak kan sekarang. Kau ada ambil gambar dia tak?”
“Kami tak bergambar pun. Tapi... memang ya, dia semakin kacak dan bergaya. Kalah pelakon kesayangan kau si Adi Putra tu.” Hanis tergelak. Sudah tentulah kekacakan itu masih menjadi milik Izam. Malah, tidak terluntur sedikit pun.
Ifa tongkat dagu sambil menjongket kening. “Bunyinya macam kau jatuh hati aje. Apa lagi, cubalah pikat dia semula. Nanti boleh sambung balik cinta lama yang tak kesampaian tu.”
“Merepeklah kau ni. Izam dah bertunanglah.”
“Ha? Betul ke ni? Siapa tunang dia?” soal Ifa tidak percaya.
“Rehan. Tunang dia tu kawan Jasmin jugak. Dia pergi ke majlis tu sebab temankan Rehan. Kau mesti terkejut kalau aku beritahu pasal satu perkara ni.”
“Apa dia?”
“Aku jadi designer baju pengantin dia orang.”
“Apa?!” Mata Ifa terjegil seperti hendak keluar. Apabila Hanis mengangguk, rahangnya terus jatuh. Terkedu.
Hanis mengangguk.
“Tak lama lagi dia orang dah nak kahwin dah. Mungkin aku dengan Izam tak ada jodoh nak bersama.” Nada suara Hanis kini bertukar lirih. Tersiat hatinya saat Izam memperkenalkan Rehan sebagai tunangnya. Apalah ertinya pertemuan itu jika duka yang menghambat diri?
Ifa mengamati wajah Hanis. Jari-jemari Hanis kemudiannya dicapai lalu digenggam erat. Dingin terasa. “Hanis...”
“Jangan risau. Aku okey.” Hanis menepuk lembut tangan Ifa sambil tunduk tersenyum.
“Aku tahu kau sedih. Sebab kau dah tunggu dia selama 10 tahun. Tapi mungkin ada hikmahnya semua ni berlaku. Kau sabarlah ya,” pujuk Ifa. Entah mengapa dia rasa senyuman itu bukanlah senyuman ikhlas seperti yang selalu Hanis berikan kepadanya. Hanis, kuatlah...
Hanis cuba menampakkan dirinya kuat menghadapi kenyataan itu. Namun, ternyata dia gagal. Bibirnya yang terketar-ketar digigit rapat. Rasa sebak yang bertandang tidak dapat ditepis lagi.
Menyedari situasi itu, Ifa cepat-cepat menghulur tisu kepada Hanis. Selepas Hanis menyambut, telinganya terus menangkap bunyi tangisan hiba gadis itu. Ifa hanya membiarkan sahaja Hanis menangis. Dalam masa yang sama, hatinya turut dihambat sayu. Di saat itu juga dia mula teringat kata-kata pujangga yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan orang.
Cinta boleh datang dan pergi dalam pelbagai cara. Mencintai seseorang tidak semestinya harus bersama dengan orang itu. Benarlah, kisah cinta Hanis dan Izam jadi buktinya.
Setelah beberapa ketika, Hanis mengangkat semula mukanya memandang Ifa. Dia tergelak kecil. Tiba-tiba dia jadi segan dengan Ifa sebab menangis di hadapannya sebentar tadi.
“Dah lega?” tanya Ifa lembut.
“Maaflah. Hari ni aku terlebih emosi sikit.” Hanis menyeka pipinya yang masih ada sisa-sisa air mata.
“Pipi kau dah merah. Itu mesti sebab kau malu dengan aku, kan?” Ifa sengaja menyakat Hanis.
“Taklah. Terlebih pakai blusher,” seloroh Hanis sekali gus membuatkan dia dan Ifa tergelak bersama.
Suasana muram sebentar tadi kembali bertukar ceria. Ifa menarik nafas lega melihat Hanis kembali tenang.
“Aku tahu kau boleh lalui semua ni sebab kau seorang gadis yang tabah. Kalau kau boleh sabar tunggu Izam selama 10 tahun, tentu sekarang pun kau boleh bersabar jugak kan terima semua ketentuan ni?”
“Harap-harap macam tulah. Terima kasih, Ifa.” Hanis tersentuh mendengar kata-kata Ifa. Ifa memang seorang sahabat yang memahami. Dia bersyukur kerana Ifa sentiasa berada di sisinya setiap kali dia rebah berdepan dengan ujian hidup.

Reeani Annur 2015