HARI sudah melewati waktu tengah hari. Husna membuat keputusan
untuk berhenti makan di sebuah kedai makan yang terletak di pinggir jalan.
Setelah hampir separuh hari mencari kerja, akhirnya barulah dia tersedar bahawa
perutnya masih belum terisi apa-apa makanan sejak dari pagi.
Di rumahnya pagi tadi, ibunya ada
memasak nasi goreng untuk sarapan. Namun, dia tidak menjamah. Bukan tidak
sedap, tetapi kerana ingin mengelak daripada bertembung dengan ayahnya. Hatinya
masih lagi terasa dengan kata-kata ayahnya pada malam tadi. Hanya air kosong
sahaja yang diminum sebagai alas perut.
Husna melewati meja yang tersusun
dengan pelbagai jenis lauk-pauk di atasnya. Dia rambang mata. Semuanya
sedap-sedap belaka. Namun, akhirnya lauk ayam goreng dan sayur lemak pucuk paku
yang menjadi pilihannya. Cukuplah untuk mengisi perutnya. Yang penting dapat
menghilangkan rasa lapar. Dia pun bukanlah seorang yang cerewet sangat dalam
soal makan.
Ketika dia sedang makan, terasa
kakinya digesel-gesel oleh sesuatu. Husna segera tunduk ke bawah meja. Ada seekor
kucing sederhana besar mengeong meminta diberikan makanan.
“Hei, comel. Kamu lapar ya? Nak
makan?” tanya Husna.
Beberapa pasang mata yang melihat
gelagatnya bercakap dengan kucing tidak dipedulikan. Salahkah dia
bercakapdengan kucing? Di rumah pun dia bercakap macam ini juga dengan semua
kucingnya.
Kucing yang bulunya bertompok
warna hitam dan putih itu menyahut, seolah-olah mengiakan pertanyaan Husna. Ia
mengangkat kedua-dua belah tangannya dan mendarat di atas paha Husna, bagaikan
meminta simpati.
Husna mencubit sedikit isi ayam
yang hampir-hampir tinggal tulang di dalam pinggan lalu diberikan kepada kucing
itu. Dengan lahap, kucing itu makan dan menghabiskannya dalam sekelip mata.
Husna tunduk menggosok-gosok
belakang badan kucing itu. Dia tahu, kucing itu lapar. Terdetik rasa sedih di
hati mengenangkan nasib kucing itu yang terpaksa mencari makan sendiri.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan fizikalnya yang cacat sebelah tangan. Sekiranya
ia kucing buangan, tergamak benar manusia yang menyisihkannya.
Selepas habis makan, kucing itu
mengeong kembali. Husna beranggapan kucing itu masih lagi berasa lapar. Nasi
yang tinggal di dalam pinggannya pula sudah hampir licin dimakan. Kalau diberi
pun memang tidak akan mengenyangkan kucing itu.
Oleh kerana tidak sampai hati,
Husna bangun semula pergi menambah nasi dan mengambil seekor ikan goreng. Lalu,
ikan itu digaul bersama-sama dengan nasi. Nasi itu kemudiannya diletak di atas
sehelai tisu sebelum diberikan kepada kucing itu yang menanti di bawah meja. Bersungguh-sungguh
kucing itu memakannya.
Husna tersenyum puas kerana dapat
menolong kucing itu makan. Habis licin kesemua nasi yang diberi. Tambah
membuatkan hati dia berasa senang apabila melihat ia tidur kekenyangan di bawah
meja selepas itu. Secara tidak langsung, perutnya turut berasa kenyang.
*****
“PAGI tadi, saya jumpa dengan Haji Ripin kat kedai Pak Mat. Dia ada
tanya pasal anak kita.” Pak Hashim memberitahu Mak Milah mengenai hal tersebut
tatkala mereka bersiap-siap mahu menjamu selera makan tengah hari.
“Anak kita yang mana satu? Kita
ni ada tiga orang anak, bang,” kata Mak Milah sambil menghulur mangkuk air
basuh tangan kepada suaminya.
“Si Una tulah…” jawab Pak Hashim
sambil menyeluk tangan kanannya ke dalam mangkuk putih itu. Kemudian, dia
menyudu lauk gulai lemak nangka yang terhidang di hadapannya ke dalam pinggan.
Sambil menyuapkan nasi ke dalam
mulut, Mak Milah mengerut dahi.
“Kenapa pulak si Haji Ripin tu
tanya pasal Una? Dia berkenan dekat anak kita ke?” tebaknya.
“Apa pendapat awak, Milah?” tanya
Pak Hashim pula. Bibirnya mengukir senyum.
Mak Milah terbatuk tiba-tiba.
Sampai berair-air matanya menahan batuk yang menggila itu. Pantas tangannya
mencapai gelas berisi air kosong berhampiran, lalu diteguk perlahan bagi
menghilangkan batuknya.
“Abang ni, dah gila ke? Haji
Ripin tu kan dah tua. Dah sama umur dengan abang dah. Takkanlah abang jodohkan
dia dengan Una pulak,” bantah Mak Milah setelah batuknya reda. Sungguh, dia
benar-benar terkejut dengan hasrat suaminya itu.
“Apa salahnya? Dia kan duda.
Bukannya suami orang. Lagipun, orangnyajugak berduit. Kalau Una kahwin dengan
dia, senanglah sikit hidup dia nanti. Tak payah susah-susah nak cari kerja.
Duduk kat rumah aje, jaga makan minum si suami. Tiap-tiap bulan, suami beri
duit nafkah buat belanja. Kan elok macam tu,” jawab Pak Hashim tenang.
Tangannya terus-menerus menyumbat nasi masuk ke dalam mulut.
“Saya tak setuju! Anak kita tu
baru 26 tahun. Haji Ripin tu, dah 56 tahun. Lelaki macam dia tu, boleh
diibaratkan sebagai ayah Una tau, abang, bukannya suami.” Mak Milah memandang
Pak Hashim dengan rasa tidak puas hati. Selera makannya sudah ditarik pergi
sedikit demi sedikit.
“Saya cuma fikir untuk kesenangan
dia saja. Haji Ripin tu bukanlah tua sangat pun. Lagipun, dia sendiri berkenan
dengan Una. Salah ke?” tanya Pak Hashim lagi sambil menghentak tangan, bagi
menjatuhkan nasi yang bertenggek di celah-celah jarinya.
“Mana abang tahu hidup Una akan
senang kalau kahwin dengan dia? Kaya tu belum tentu akan buat anak kita berasa
bahagia. Kalau nak tengok anak kita senang sekalipun, janganlah sampai sanggup
memperjudikan masa depan anak kita, abang.” Mak Milah terus menghentam hasrat
Pak Hashim. Kalau dia sendiri yang menentang, tidak mustahil Husna juga akan
turut menentang sama nanti. Siapa yang hendak berkahwin dengan orang tua?
Pak Hashim berhenti menyuap.
Wajah Mak Milah dipandang lama. Timbul rasa bengang setelah mendengar kata-kata
isterinya itu. “Itulah awak… Bila saya nak buat sesuatu untuk anak-anak, awak
cakap saya ni gilalah, tak betullah. Cubalah awak fikir ke depan sikit. Kalau
Una tu kahwin dengan Haji Ripin, kita jugak yang boleh menumpang kesenangan
mereka nanti.”
“Habis sekarang, abang rasa kita
sekeluarga tak cukup senang ke?” bidas Mak Milah lagi. Lebih lantang berbanding
tadi.
“Hati saya ni, tak cukup senang
tengok anak awak tu. Satu benda pun tak ada apa yang boleh membanggakan saya.
Nak contohi abang dan kakak dia tu, lagilah jauh dia nak capai semua tu. Lebih
baik dia kahwin saja daripada buat saya rasa malu. Haji Ripin tu orang paling
kaya dekat kampung kita ni tau. Paling kurang, bila dia kahwin dengan Haji
Ripin, tak adalah saya rasa malu sangat. Tak ke awak pun berasa bangga nanti
bila dapat bermenantukan orang kaya?” Pak Hashim bersungguh-sungguh
mempertahankan hasratnya.
Dia sudah dapat membayangkan
sedikit sebanyak keadaan itu apabila semuanya menjadi kenyataan. Pasti semua
orang kampung akan memuji dia sekeluarga kerana dapat menantu dalam kalangan
orang yang berduit. Tentang usia Haji Ripin yang hampir memasuki usia emas pula
bukanlah satu persoalan yang besar. Baginya, cinta boleh dipupuk dan tidak
mengenal usia.
“Abang ni, memanglah. Yang kaya,
yang berjaya itulah yang abang agung-agungkan sangat. Perasaan anak, abang
langsung tak ambil peduli. Walau macam mana sekalipun, saya tetap tak bersetuju
dengan keputusan abang!” Mak Milah terus bangun dari kerusi dan membasuh
tangannya di singki. Dia benar-benar berasa marah dengan suaminya.
Pak Hashim pula hanya mengekori
kelibat isterinya yang berlalu dari meja makan dengan mata. Dia berdengus
sambil merungut-rungut sendirian.
*****
MAK MILAH duduk di atas pangkin di belakang rumah, membawa hati
yang kecewa di atas apa yang telah berlaku antara dia dan suaminya tadi. Segala
macam perasaan yang berkampung dalam dirinya.Kalaulah suaminya benar-benar
memaksudkan kata-katanya tadi, dia akan menentang habis-habisan. Manalah dia
sanggup melihat anaknya berkahwin dengan lelaki tua seperti Haji Ripin itu.
Haji Ripin dengan dia pula hanya berbeza umur dua tahun sahaja. Takkanlah mahu
jadi menantu dia pula.
Memanglah Haji Ripin itu orangnya
kaya-raya. Tetapi, itu tidak bermakna dialelaki yang sesuai dijodohkan dengan
Husna. Siapa yang tidak kenal dengan lelaki itu. Pantang benar apabila melihat
perempuan cantik di depan mata. Mulalah datang penyakit gatal macam orang
terkena miang buluh. Lagipun, sejarah perkahwinan Haji Ripin banyak yang tidak
menyenangkan hatinya.
Sebelum ini, Haji Ripin sudah
berkahwin sebanyak lima kali. Namun, semuanya tidak kekal lama. Ini disebabkan
oleh sikapnya yang mata keranjangnya. Siapa yang tahan bersuamikan lelaki
begitu. Usia sudah tua, tetapi perangai mengalahkan orang muda. Tetapi, yang
itu jugalah yang suami dia berkenan mahu buat menantu.
Sebagai ibu, kalau boleh, dia
mahu melihat Husna bertemu jodoh dengan pasangan yang sesuai dengannya.
Bukanlah dia memilih sangat. Tetapi, biarlah semua itu akan menyenangkan
hatinya dan hati anaknya juga. Dia yakin, dalam soal ini, Husna lebih suka
membuat keputusan sendiri berbanding campur tangan orang tua.
Walaupun suaminya seringkali
mengatakan tiada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan anaknya bongsunya itu,
namun dia tetap sayangkan Husna. Husna seorang anak yang baik. Tahu tanggungjawab
terhadap kedua-dua orang tuanya. Setiap bulan, Husna seringkali menghulurkan
duit belanja kepada dia. Sedangkan Taufik dan Lela yang bekerja sebagai pegawai
kerajaan pun jarang menghulur duit belanja. Namun, Husna yang tidak bekerja dan
hanya bergantung dengan duit simpanan belajarnya dahulu dilihat lebih
bertimbang rasa.
Dia hairan melihat sikap suaminya
yang bersikap berat sebelah. Kalau dia yang tidak membela Husna daripada
ketidakadilan orang lain terhadapnya, siapa lagi?
© Reeani Annur 2014
No comments:
Post a Comment