10 November 2014

Teaser 2 - Kahwin Dengan Aku Ajelah!

"Oh… kes kahwin paksalah ni ya? Kesiannya. Dah macam cerita dalam novel pulak." Encik Peon menggeleng sambil mendecit beberapa kali. Namun, decitan itu serta merta hilang apabila Muslim menjelingnya tajam. Amboi! Jeling maut gitu. Terkesot hati aku.

Muslim mengepal tangan. Baru jumpa beberapa minit sudah berani sindir dia? Tarik rambut baru tahu, hatinya menggerutu geram. 

"Itulah, Encik Peon. Tak sangka pulak dalam realiti, kawan saya yang terjebak dengan kes macam tu. Saya harap sangat Encik Peon tolong dia. Kesian dia. Sampai gugur rambut sebab asyik duk fikir pasal semua tu. Tinggal tak pergi buat rawatan rambut dekat Yun Nam Hair Care aje." Sudin menokok nambah cerita agar Encik Peon akan berasa lebih simpati terhadap nasib Muslim." 

Bulat mata Encik Peon pandang muka Sudin. "Sampai macam tu sekali?"

Sudin angguk laju.

"Tak apa, lepas guna khidmat syarikat saya nanti insya-Allah masalah rambut gugur tu dapat diatasi. Syarikat saya memang ada banyak pengalaman menguruskan kes-kes macam ni. Saya jamin semua tu boleh diselesaikan dengan baik," kata Encik Peon yakin.

*****

“Encik Muslim...” panggil Encik Peon sambil menyentuh lembut tangan Muslim.

Muslim tersentak dan terus berkata, “Okey, saya setuju kahwin dengan dia.” 


“Hah?!” Encik Peon dan Zara terlopong.

“Eh! Tak, tak... Maksud saya, saya setuju dengan pilihan Encik Peon ni.” Muslim membetulkan semula kata-katanya setelah tersedar. Hei, mulut ni... Pantang nampak perempuan cantik sikit. Mulalah tersasul cakap, gerutu Muslim seraya memalingkan muka dan menampar mulutnya perlahan. 


“Kalau Encik Muslim setuju, bolehlah tandatangan surat perjanjian ni.” Encik Peon keluarkan surat perjanjian dari laci meja dan letak di hadapan Muslim.
 
*****

"Sedap kan cendol kat gerai mak cik tu. Lain kali bolehlah singgah lagi. Kenyang tak awak makan tadi?" Muslim tanya Zara setelah masuk ke dalam kereta.

Zara tunduk pandang perutnya. Dah buncit sedikit. Muslim punya pasallah ni. Dah cakap tak boleh nak telan pun kena paksa habiskan juga semua makanan.

"Sebab awaklah perut saya jadi buncit tau. Kalau berat saya bertambah, awak kena bertanggungjawab," omel Zara sambil menjeling Muslim.

Muslim tengok perut Zara. Kemudian gelak sakan. "Alah, buncit sikit aje tu. Bukannya sampai jadi macam belon pun.Yang penting senang hati."

"Senang hati?"

"Yalah… bila perut dah kenyang mestilah hati rasa senang. Dada pun terasa lapang. Awak tak rasa macam tu ke?"

"Rasa serabut adalah…" jawab Zara selamba.

Muslim hanya sengih. Enjin kereta dihidupkan dan dia pandu perlahan. Biar lambat sedikit sampai ke rumah Zara. Dia belum puas lagi nak bersembang dengan Zara.

Zara toleh Muslim. "Kereta awak ni nak habis minyak ke? Apasal perlahan sangat awak bawa? Musang pun boleh pintas kalau macam ni," sungutnya apabila merasakan kereta Muslim bergerak terlalu perlahan di atas jalan raya. 

Kalau ya pun berpegang dengan kata-kata biar lambat asalkan selamat, agak-agaklah sikit. Ada juga yang kena hempuk kepala dengan stereng nanti. 


"Zara, kita pergi jalan-jalan dulu nak tak?" pelawa Muslim. Manalah tahu Zara setuju. Bertambah kenangan manisnya bersama gadis itu. 

Zara kerut muka. "Pergi jalan-jalan ke mana pulak ni? Awak tak rasa letih ke?"
Muslim geleng. "Kalau keluar dengan awak, rasa segar macam baru lepas mandi. Tak letih langsung."

Huh! Penangan gula Melaka dalam cendol mak cik tu tadilah kut. Manisnya melekat sampai ke kata-kata.

Reeani Annur 2014

02 November 2014

Antologi Cerpen Cinta Pertama - Bulan

RA terlupa nak promo antologi cerpen terbaharu RA yang baru terbit di bawah penerbitan JS Adiwarna. Ada sesiapa yang suka baca cerita pendek tak? Ha... kalau suka, RA nak rekomen anda beli Antologi Cerpen Cinta Pertama (ACCP) ni. Bukan sebab ada karya RA semata-mata tau. Tapi, ada banyak cerpen yang manis-manis dan comel-comel di dalamnya. 
 
Cerpen RA yang terpilih kali ini adalah BULAN. Kisahnya mestilah pasal cinta sebab temanya adalah cinta pertama. Tapi kali ini RA tulis bukan sekadar cinta sesama manusia sahaja. Malah, kepada haiwan juga. Apa lagi kalau bukan kucing. RA kan hantu kucing. Tapi tak ada kena mengena dengan novel Meow! Kau Curi Hatiku tau. Ahaks!
 
Apa maksud Bulan tu ya? Adakah Bulan yang mengambang di malam hari? Nama orang atau haiwan? Kalau nak tahu, kenalah beli dan baca. Di dalamnya ada 44 buah cerpen termasuklah cerpen RA sendiri. Cuba jenguk page FB JS Adiwarna senarai nama-nama penulis lain. Manalah tahu ada terselit nama penulis kesayangan anda juga dalam ACCP tu. Yang pasti, masing-masing tulis pasal kisah cinta pertama mengikut cara tersendiri.
 
ACCP ini merupakan antologi cerpen RA yang ke-5. Alhamdulillah, RA harap di masa akan datang RA masih ada kesempatan menulis cerpen sebab sekarang RA lebih banyak fokus kepada penulisan novel. 

Okey, jangan lupa dapatkan naskah ACCP ni. Nak order senang aje. Tengok gambar di bawah. 

 

Reeani Annur 2014

31 October 2014

Novel Reeani Annur

Mungkin ada yang masih belum tahu saya sudah terbit tiga buah novel bersama Penerbitan Fajar Pakeer. Mungkin juga ada yang masih belum baca ketiga-tiganya. Jadi, hari ni saya naklah promo sikit cinta hati kesayangan saya ni. Untuk BTS dan Meow, saya ada letak beberapa bab di sini. Boleh intai-intai di sebelah kiri blog. Cubalah baca. Manalah tahu terjatuh cinta ke dengan ceritanya. Kalau berminat nak beli, pm laju-laju PFP untuk dapatkan harga pakej di bawah. Ini harga kasih sayang tau. Order sebelum 14 November, akan dapat tandatangan daripada saya. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, pada 15 November nanti saya akan berada di pejabat PFP untuk sesi tandatangan novel KDAA. Yang free bolehlah datang ke sana dan jumpa dengan penulis yang pemalu ni. Hahaha!
 


Reeani Annur 2014

Teaser 1 - Kahwin Dengan Aku Ajelah!

Hari ni Internet manja betul dengan saya. Dapatlah saya online menggunakan laptop dan masukkan sedikit teaser KDAA di blog tercinta ni. Tapi saya copy paste daripada Facebook Penerbitan Fajar Pakeer sahaja. Harap-harap terhiburlah hendaknya. Jom baca-baca sikit. Kalau berkenan, cepat-cepat order dengan PFP ya. Order sudah dibuka dan ada harga pakej istimewa lagi.

*****
 
“Sudin, nenek aku tu memang dah gila agaknya. Tadi dia cari pasal dengan aku. Dia cakap, dia dah carikan calon isteri untuk aku. Dia nak suruh aku kahwin!” Muslim menekankan perkataan kahwin dengan kuat. Gerun rasanya apabila kena ugut kahwin dengan perempuan yang dia tidak kenal. Macam terlibat dalam nahas ngeri. Dia tidak sanggup menjadi mangsa korbannya.
 
“Apa? Nenek kau carikan calon isteri untuk kau? Kau biar betul, Mus. Takkanlah dia dah tak sabar-sabar nak timang cicit kut?”
 
“Bukan pasal cicit. Tapi pasal nak ubah sikap aku.”
 
“Habis tu, kau dah jumpa ke gadis tu? Cantik tak orangnya? Kalau cantik, kau setuju ajelah. Nanti tak payah dah kau susah-susah fikir pasal calon isteri,” kata Sudin seakan-akan memihak kepada nenek Muslim.
 
“Aku belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, aku peduli apa kalau calon isteri yang dia cari tu cantik ataupun tak. Yang aku tahu, aku tak nak kahwin. Dan, kau kena tolong aku selesaikan masalah ni,”.
 
“Habis, kau nak aku tolong kau macam mana?”
 
“Kau tolonglah buat apa-apa yang patut, asalkan aku dapat keluar daripada masalah ni.”
 
“Senang-senang, kau cari ajelah mana-mana kawan perempuan kau. Minta tolong dia orang menyamar jadi kekasih kau sekejap. Lepas tu, kau beritahulah dekat nenek kau yang kau dah ada calon pilihan sendiri. Mesti dia tak jadi nak jodohkan kau dengan calon pilihan dia tu,” cadang Sudin.
 
“Menyamar?”
 
 *****
 
“Ha... aku ada nak beritahu kau pasal satu iklan kat dalam surat khabar ni. Kau dengar aku baca, ya...” Sudin berdeham beberapa kali, membetulkan suara.
 
Muslim pula menanti penuh sabar dan berdebar-debar.
 
“Syarikat Peon Sdn Bhd. Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan hal remeh-temeh dan hal serius. Menjadi ejen penyiasat untuk membongkar skandal pasangan bercinta atau yang telah berkahwin. Memberi khidmat nasihat kepada pasangan yang baru pertama kali nak pergi dating. Menjadi orang tengah kepada pasangan yang bergaduh besar. Menjadi...” 
 
“Sekejap! Sekejap! Syarikat Peon ni syarikat apa? Semuanya dia nak jadi. Ada ke syarikat macam ni yang wujud dalam dunia yang serba canggih macam zaman sekarang ni?” 
 
“La... mestilah ada. Kalau tak, takkanlah surat khabar ni iklankan perkhidmatan syarikat dia pulak,” ujar Sudin.. “Aku tak nak dengar kau baca iklan merepek tu. Aku nak dengar macam mana cara nak selesaikan masalah aku..” 
 
“Ni aku tengah ceritalah ni macam mana nak selesaikan semua tu. Hah, cuba kau baca ayat terakhir dalam iklan ni. Syarikat kami juga menawarkan perkhidmatan penyamaran dalam kes-kes tertentu. Menyamar jadi kekasih, tunang, isteri dan suami orang untuk menyelesaikan masalah kahwin paksa, rela dan sebagainya. Nah! Inilah jawapan kepada masalah kau tu, Mus!” 
 
“Huh! Aku tak percayalah dengan syarikat ni. Iklan yang dia buat tu nampak macam tak berapa nak betul aje. Nama syarikat pun tak profesional tau. Peon? Dah tak ada nama lain ke yang dia nak guna? Tak sedap langsung aku dengar. Entah-entah, Syarikat Peon ni syarikat palsu yang ada unsur-unsur penipuan. Kau jangan, Sudin... Karang bertambah besar pulak masalah aku nanti,” komen Muslim menolak cadangan Sudin mentah-mentah. 
 
 
 
Reeani Annur 2014
 

24 October 2014

KAHWIN DENGAN AKU AJELAH! BAKAL TERBIT NOVEMBER 2014

Assalamualaikum. Lama kan saya tak masukkan entri? Selain sibuk menulis, internet saya pun bermasalah. Maaflah kalau ada yang tertunggu-tunggu entri. Okey, ada berita berita baik saya nak kongsi. Siapa pernah baca e-novel Kahwin Dengan Aku Ajelah!? Novel itu bakal terbit pada bulan November nanti. Yeay! Yang suka dekat Muslim dan Zara jangan lupa ya dapatkan nanti. Ini saya sertakan cover dan blurb KDAA.




TAJUK: KAHWIN DENGAN AKU AJELAH!
PENULIS: REEANI ANNUR

Kata Hajah Rokiah kepada Muslim, “Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan diri orang lain.”
Balas Muslim pula, “Yang nenek rajin sangat pergi cari calon isteri Mus tu, kenapa? Kalau Mus nak kahwin nanti pandai-pandailah Mus cari sendiri. Nenek tak payahlah susah payah macam ni.”
Tapi, kalau nenek dengan cucu bertekak mestilah orang tua yang menang. “Kahwin atau turun pangkat!”

Nak tak nak, Muslim terpaksa minta tolong dengan si pakar cinta bernama Sudin Otai. Pertolongan Sudin telah menemukan dia dengan gadis bernama Zara. Kali pertama tengok Zara, jantung berdegup macam baru lepas lari pecut 100 meter! Sampai tersasul cakap, “Okey! Saya setuju kahwin dengan dia.”
Terkejut Zara mendengarnya. Dan tanpa dia sangka, Muslimlah lelaki yang bakal buat hidupnya jadi huru-hara sampai terjebak dengan konspirasi kahwin paksa.

Penangan cinta Zara buat Muslim jadi angau. Lalu masalah itu dirujuk lagi kepada Sudin. Sudin beri kepada Muslim sekeping kertas yang bertulis 10 cara-cara memikat perempuan.
“Kau yakin semua cara ni menjadi? Kau tak tipu aku?”
“Pernah ke kau tengok aku kena reject dengan mana-mana perempuan sebelum ni? Ha… itulah rahsianya. Jadi, kalau kau nak pikat Zara, kau guna semua cara tu. Aku jamin kau pasti akan berjaya dengan cemerlang. Percayalah cakap aku.”

Lalu, dengan 10 cara itu, bermulalah acara Muslim memikat Zara. Walaupun Zara meluat dengannya, namun dia tak berputus asa kerana dia hanya nak Zara seorang sahaja kahwin dengannya.

Reeani Annur 2014 

16 July 2014

Meow! Kau Curi Hatiku Edisi Puasa & Raya [Part 3 - Akhir]

NAIM seka dahinya yang berpeluh. Walaupun belum tengah hari, namun bahang sudah terasa. Tambah-tambah buat kerja guna tenaga. Nak boleh sampai ke tempat yang dituju, lenguh juga tangannya melibas semak samun di kiri kanan laluan tadi.

“Banyak mana lagi ni nak kena petik, ayah?” tanya Naim kepada Pak Hashim yang petik daun getah di pokok belakangnya.

“Cukuplah tu, Im. Dah banyak dah ni,” ujar Pak Hashim.

Naim bawa hasil kutipannya dekat Pak Hashim. Apabila digabung dengan hasil kutipan Pak Hashim, dapatlah seguni penuh. Guni yang dibawa taklah begitu besar. Sederhana kecil sahaja.

“Mak memang selalu buat tapai pulut ke tiap kali hari raya?”

“Bukan selalu. Tapi wajib buat. Abang dan kakak ipar kamu tu hantu tapai. Kalau dapat makan, memang tak tinggal kat orang lain dah.” Tangan Pak Hashim ligat mengikat kepala guni setelah memasukkan kesemua daun getah di dalamnya.

“Husna?”

“Bini kamu tu bukan hantu tapai. Tapi hantu kucing.”

Tergelak besar Naim mendengar gurauan ayah mentuanya. Hantu kucing memang gelaran sinonim buat Husna. Dia seorang sahaja yang layak pegang gelaran tersebut.

Pak Hashim mengelap mukanya dengan tuala sambil menarik nafas seketika. “Husna pun suka makan jugak. Tapi taklah segila abang dan kakak dia. Lagipun sekarang dia tengah mengandung. Orang mengandung tak boleh makan tapai banyak-banyak. Ragi tu panas. Takut menjejaskan kandungan,” jelas Pak Hashim panjang lebar.

“Ayah, betul ke petua orang dulu-dulu cakap, kalau buat tapai jangan beritahu dekat orang. Nanti tapai tu tak jadi?” Naim cuba mendapatkan kepastian daripada Pak Hashim mengenai pantang larang membuat tapai pulut. Dia pernah terbaca perkara itu dalam Internet tetapi tak tahu sejauh mana kebenarannya.

Pak Hashim tergelak panjang. “Orang lama ni memang banyak petua dan pantang larang, Im. Tapi tak jadi masalah pun kalau langgar pantang larang tu semua. Kalau pantang larang tu betul-betul terjadi, itu mungkin kebetulan aje kut.”

Naim mengangguk faham. “Ada apa-apa lagi ke, ayah?”

“Tak ada dah. Marilah kita balik,” ajak Pak Hashim seraya berjalan mendahului Naim.

*****

DARI jauh, Naim melihat Mat Topo duduk di atas bumbung keretanya sambil menjilat bulu. Perasaan geramnya sudah tak tertahan. Namun, mengenangkan Pak Hashim ada bersama, dia terpaksa buat-buat tak kisah.

Setelah Pak Hashim masuk dalam rumah melalui pintu dapur, dia terus meluru ke arah keretanya. Terkejut bukan kepalang apabila mendapati bahagian depan dan cermin dipenuhi dengan tapak kaki kucing yang bersalut selut.

Naim kacip gigi dan kepal kedua-dua tangannya. Argh!! Stressnya aku dengan kucing ni!

“Hoi, Mat Topo! Apa kau dah buat dekat kereta aku ni ha? Ni semua tapak kaki kau, kan?” Naim sergah Mat Topo dengan penuh rasa bengang.

Mat Topo berhenti jilat bulu dan pandang Naim sambil mengiau. Bagaikan bertanya, “Apa?”

“Kau tahu tak aku baru aje basuh kereta ni semalam? Hari ni kau dah kotorkan balik. Kau sengaja nak balas dendam dekat aku, kan? Kau turun sekarang!” Rahang Naim bergetap memarahi Mat Topo. Sakit sungguh jiwanya dipermainkan oleh si kucing jantan itu. Tambah menyakitkan hati, Mat Topo buat endah tak endah sahaja dengan suruhannya tadi.

Naim berfikir sejenak bagaimana nak halau Mat Topo turun dari bumbung keretanya. Secara tak sengaja, dia terpandang satu baldi berdekatan paip di tepi tangga. Tak tunggu lama, dia terus ambil baldi itu lalu menjirus air di dalamnya ke badan Mat Topo.

Mat Topo terperanjat sehingga melompat tinggi. Seperti lipas kudung dia menyelamatkan diri daripada Naim.

Naim mengeluh melihat kekotoran keretanya. Nak tak nak, dia terpaksa basuh keretanya sekali lagi. Berganda-ganda dia dapat penat hari itu.

Husna muncul di muka pintu memerhati Naim basuh kereta dengan rasa hairan. “Kenapa dengan kereta abang tu? Bukan ke semalam baru hantar pergi car wash?”

Naim toleh Husna selayang pandang. “Kucing sayanglah ni punya kerja. Habis kotor kereta abang dia pergi tampal selut,” sungut Naim. Bukan bahagian depan sahaja yang kotor. Atas bumbung pun penuh dengan tapak kaki Mat Topo!

Husna tergelak. Marah benar Naim dengan Mat Topo. “Bulan puasa tak baik marah-marah, abang. Kucing tu bukannya tahu apa pun.”

Ya Allah, sakitnya hati dia dengar jawapan Husna yang berat sebelah tu.

“Kereta abang kena sabotaj takkanlah abang nak steady aje. Sayang ni, agak-agaklah sikit kalau nak menangkan kucing kesayangan sayang tu pun.” Naim jeling Husna bersama rasa geram yang tak tertahan.

Husna tak dapat tahan rasa lucu melihat muka cemberut Naim. “Alah, abang ni… janganlah serius sangat. Mat Topo main-main aje tu.”

“Ini bukan main-mainlah, sayang. Ini kes balas dendam. Abang tak tahu apa masalah kucing sayang tu. Dari malam tadi lagi dia macam tak puas hati dengan abang.”

“Mungkin dia rasa terancam kut?”

Naim pandang Husna dengan muka berkerut. “Terancam sebab apa? Bukannya abang ada ugut nak bunuh dia pun. Merepeklah sayang ni.”

“Tapi abang pernah langgar dia, kan?”

Terlepas keluhan dari bibir Naim. Penatnya berbalah dengan Husna pasal kucing. “Okay, fine! Sayang menang,” ujar Naim malas memanjangkan pertelingkahan. Mat Topo ni pun satu hal jugak. Yang dah lepas tu, kira lepaslah… Buat apa nak kenang perkara lama?

Husna tersenyum lebar. Kemudian dia tunduk ke bawah apabila terasa kakinya basah. Matanya terbuntang melihat keadaan Mat Topo yang basah kuyup macam baru lepas kena hujan.

“Mat… kenapa badan kamu ni?” soal Husna terkejut.

Mat Topo mengiau sayu menyahut pertanyaan Husna sambil menggeselkan badannya ke kaki Husna.

Ah, ini mesti Naim yang punya angkara. Husna terus bercekak pinggang mencerlung Naim. 

“Abang! Apa yang abang dah buat dekat Mat Topo ni? Habis basah badan dia kena air. Abang aniaya kucing Una ya?”

Tangan Naim berhenti menggonyoh cermin kereta. Tersenyum senget bibirnya tatkala melihat keadaan Mat Topo.

“Itu upah sebab kotorkan kereta abang,” jawab Naim selamba.

“Eii… abang ni teruk tau. Sampai hati buat dia macam tu. Patutlah Mat Topo rasa tak puas hati dengan abang.” Husna menggerutu Naim. Kata takut kucing. Tetapi, bab buli kucing nombor satu!

Naim buat-buat tak dengar dan bersiul-siul riang menyambung kerja-kerja membasuh.

*****

NAIM berbaring di atas katil selepas menunaikan solat zuhur. Nikmatnya apabila dapat merehatkan badan selepas buat macam-macam kerja. Dia berkira-kira hendak pejam mata. Namun tak jadi apabila melihat Husna masuk ke dalam bilik.

“Sayang, abang nak tidur sekejap. Nanti sayang kejutkan abang sebelum asar, boleh?”

“Okey.”

“Sayang tak nak join sekali ke? Katil ni luas…” Naim tepuk tilam sambil tersenyum nakal.

“Una banyak kerjalah, abang. Sekejap lagi nak tolong mak buat agar-agar. Una masuk bilik ni pun sebab nak solat aje. Abang tidurlah ya,” ujar Husna seraya mara ke almari lalu menarik keluar kain sembahyang.

Semasa bersiap-siap nak mengangkat takbir, Husna berpaling memandang Naim. “Yang abang duk renung Una macam tu pasal apa? Cakap tadi nak tidur…”

“Abang nak lepas rindu sekejap sebelum tidur.” Naim tersengih sambil kenyit mata.

Husna tergelak. Salah masa ni Naim nak mengurat dia. “Abang ni ada-ada ajelah. Dahlah, jangan kacau Una nak solat. Tak kusyuk Una dibuatnya nanti.”

“Okey, abang tidur dulu. Nak keluar karang jangan lupa tutup pintu tau,” pesan Naim mengingatkan.

“Yalah.” Husna mengangguk sebelum menunaikan solat.


*****

HUSNA membantu Mak Milah menyediakan bahan-bahan nak memasak agar-agar. Kata ibunya tadi nak buat agar-agar pandan. Di rumah pun dia selalu buat juga. Tetapi, air tangan ibu sendiri lebih sedap. Seronoklah perutnya dapat makan makanan sedap-sedap sepanjang duduk di sini. 

“Naim mana? Dari tadi lagi mak tak nampak dia,” tanya Mak Milah tercari-cari kelibat menantunya.

“Tidur kat dalam bilik. Penat sangat kut tadi ikut ayah pergi cari daun getah. Basuh kereta lagi,” jawab Husna tersenyum. Tangannya ligat menarik keluar agar-agar daripada plastik untuk dibasuh.

“Kat rumah sana Naim selalu tolong Una buat kerja tak?”

“Kalau mak nak tahu, menantu mak tu rajin orangnya. Suruh buat apa-apa tak pernah kata tidak. Kecuali pegang kucing.” Husna ketawa kecil.

Memang jauh berbeza kalau nak dibandingkan sikap Naim sebelum dan selepas kahwin. Sikap kereknya dah hilang entah ke mana. Sekarang jadi romantis ala-ala hero novel pula. Hari-hari dia jatuh cinta dengan suami sendiri.

Bibir Mak Milah melebar mendengar cerita Husna. “Bagusnya menantu mak tu. Untunglah Una dapat suami macam Naim. Mak doakan perkahwinan Una dengan Naim kekal sampai bila-bila.”

“Insya-Allah. Kebahagiaan kami berkat daripada restu mak dan ayah jugak,” ungkap Husna tersenyum penuh makna sebelum teringat sesuatu.

Alamak! Pintu bilik lupa nak tutup! Husna terus bergegas naik ke atas rumah pergi ke bilik. Sampai di muka pintu, dia tergamam melihat Naim duduk di kepala katil sambil berkelubung dengan selimut.

“Abang, kenapa ni? Apa yang dah berlaku?” Husna menyoal cuak. Semasa meninggalkan Naim tadi, suaminya itu sedang tidur nyenyak. Sekarang macam hantu bungkus pula.

Tangan Naim terketar-ketar mengacu ke balik pintu. “Mat… Mat Topo…” sebutnya tergagap- gagap.

Husna memanjangkan leher, mengintai belakang pintu. Mat Topo terkebil-kebil memandangnya sambil mengiau manja.

“Mat, apa yang kamu buat ni? Tak baik tau kacau orang tidur. Dah, pergi main kat luar.”

Mat Topo bagaikan faham kata-kata Husna lantas terus keluar dari bilik.

Husna menghampiri Naim dan duduk di birai katil. Dahi Naim yang berpeluh itu dijamah dan diseka lembut. “Abang, abang okey ke tak ni? Maaflah, tadi Una lupa nak tutup pintu.”

Naim hela nafas perlahan-lahan. Mujurlah Husna datang tepat pada waktunya.

“Kucing sayang tu buruk betul perangainya. Sampai ke dalam bilik dia cari abang sebab nak balas dendam,” ujar Naim mendengus.

Tidurnya terganggu apabila terdengar suara kucing mengiau di tepi telinga. Celik mata sahaja, terkejut bukan kepalang melihat Mat Topo berada di depan muka. Sampai tercungap-cungap nak bernafas.

Husna mengekek. “Dia bosan agaknya. Nak ajak abang main dengan dialah kut. Abang tu aje yang tak faham maksud dia.”

Spontan Naim cubit pipi Husna. “Suka tau sakat abang!”

Husna meraih tangan Naim lalu menggenggam erat. “Sampai bilalah abang nak terus macam ni? Una betul-betul teringin nak tengok abang berbaik dengan kucing. Pegang kucing, dukung kucing… Tak boleh ke kalau abang buang sikap takut abang tu dan belajar sukakan kucing demi Una?”

Mata Naim terjegil memandang Husna. Apa Husna melalut ni? “Sayang, abang lebih sanggup terjun tingkap lagi tau daripada buat apa yang sayang suruh tu. Cukuplah abang sukakan sayang sorang. Dunia dan akhirat.”

“Abang nak beli hati Una ke ni?” tanya Husna tersenyum-senyum.

“Bukan dah lama ke sayang jual dekat abang?”

Ketawa Husna terlepas lagi. Kalau dilayan cakap-cakap manis Naim ni memang tergendala habislah semua kerjanya. “Dahlah, abang. Una nak pergi sambung buat kerja kat dapur. Abang tidurlah balik.”

“Sayang temankan abang?” Mata Naim merenung Husna redup.

Alahai Naim… janganlah romantis sangat. Jiwa ni cepat goyah tau! “Kerja Una banyak lagi yang belum beres. Malam nanti Una temankan abang ya?” Husna memujuk Naim.

“Kalau macam tu, abang ikut sayanglah,” ujar Naim seraya mencampak gebar ke tepi dan mengajak Husna bangun dari katil.

Hmm… takut Mat Topo datang cari semulalah tu. Husna mengeluh. Hilang semua kemacoan Naim gara-gara seekor kucing.

*****

1 Syawal…

DI atas meja ada nasi minyak, rendang daging, serunding, lemang dan beraneka jenis kuih raya. Riuh rendah seisi keluarga Pak Hashim menjamu selera kecuali Naim.

“Una, Naim mana? Tak makan sekali ke?” Lela tertanya-tanya ke mana adik iparnya menghilang. Dari tadi tak nampak muka.

“Dia tak sihat. Ada kat dalam bilik,” balas Husna sambil mencicah lemang dengan serunding. Kedua-duanya dibeli oleh Lela dalam perjalanan pulang ke kampung malam tadi. Sedap.

“Tak sihat? Malam tadi sembang dengan dia nampak sihat aje. Bila masa pulak jatuh sakit?” sampuk Taufik pula memandang Husna dengan muka berkerut.

“Malam tadi badan dia dah mula panas dah. Bangun nak solat subuh, semakin teruk keadaannya. Lepas telan ubat terus tidur.”

“Agaknya terkejut kena sergah dengan Mat Topo tak petang semalam?” tebak Mak Milah.

Lela berhenti mengunyah. Dia pandang Husna sekilas. “Biar betul laki kau ni, Una… takkanlah kena sergah dengan kucing sampai boleh demam macam tu sekali kut?”

“Kamu jangan tak tahu. Naim tu pernah pengsan tau sebab ayah suruh dia pegang kucing.” Giliran Pak Hashim mencelah sekali gus membuatkan suasana di meja makan itu riuh dengan gelak ketawa.

Taufik garu kepala mendengar cerita ayahnya. Lucunya adik ipar dia tu. “Nampaknya, lepas ni ayah kenalah buat rumah kucing untuk kucing-kucing kat rumah ni. Kalau Naim balik ke sini, kurung semuanya kat dalam tu. Barulah dia rasa selamat sikit.”

“Dah banyak kali dah mak suruh ayah buat. Tapi ayah kamu tu buat tak tahu aje.” Mak Milah menjeling Pak Hashim.

“Nanti lepas raya, abang buatlah…” ujar Pak Hashim.

Husna hanya tersenyum mendengar semua orang bercakap pasal Naim. Kalau Naim ada tentu merah mukanya menahan malu.

Mak Milah memandang Husna. “Una, nanti bawa nasi minyak ke bilik ya. Beri Naim makan. Kesian dia tak makan apa-apa lagi dari tadi.”

“Baik, mak…” Husna mengangguk perlahan.

*****

HUSNA melangkah mendekati Naim yang terbaring lesu di atas katil. Dulang berisi nasi minyak dan air suam diletakkan di atas meja bersebelahan katil.

“Abang… bangun, bang… kita makan sikit. Una ada bawa nasi minyak untuk abang.” Bahu Naim ditepuk lembut.

Naim terjaga dan buka mata perlahan-lahan.

“Sayang…” Serak suara Naim menyeru Husna. Dengan bantuan Husna, dia bangkit bersandar di kepala katil.

Pelipis dipicit berulang-ulang kali menghilangkan rasa pening. Badan masih terasa lemah walaupun sudah mandi selepas subuh tadi. Apalah malang nasibnya ditimpa demam di hari raya begini.

“Senyumlah sikit. Kan hari ni hari raya.” Pipi Naim dijamah mesra. Masih lagi terasa panas. Kesian Naim.

Naim jatuhkan tangan Husna lalu meramasnya kejap. Dipaksa bibirnya senyum walaupun payah. Matanya tertancap pada dress chiffon muslimah berwarna merah jambu yang tersarung pada tubuh Husna.

“Cantik sayang abang hari ni. Baju abang beli hari tu, kan?”

Husna angguk mengiakan. Tangannya membetul-betulkan baju Melayu Naim. “Abang pun handsome jugak walaupun tak sihat.”

“Sayang perli abang ke ni?” Kening Naim terjongket sebelah.

“Mana ada. Una puji ikhlas tau.”

“Yalah… manalah tahu kut-kut sayang sengaja perli abang ke? Pakai baju Melayu siap-siap tapi hanya mampu terbaring kat atas katil aje.”

“Tak baik tau abang bersangka buruk macam tu dekat Una. Sama ada abang sihat ataupun sakit, abang selalu nampak handsome kat mata Una.” Husna tergamam apabila Naim tiba-tiba mengucup dahinya selepas itu. Belum sempat dia buka mulut bertanya, Naim terlebih dahulu memotong.

“Upah sebab buat hati abang berbunga-bunga,” kata Naim. Sempat juga bermain mata dengan Husna seketika sebelum Husna tunduk menyalami tangannya.

“Abang, sempena hari raya ni… Una nak minta ampun kalau Una ada buat salah dekat abang. Halalkan semua makan minum Una ya,” ujar Husna seraya mendekatkan bibir ke belakang tapak tangan Naim.

Naim sentuh kepala Husna lembut. Hatinya disapa rasa terharu. “Abang dah maafkan dan halalkan semuanya. Abang pun sama. Terima kasih sebab sanggup bersabar dengan kerenah abang sepanjang sayang kenal abang sampailah kita hidup bersama macam sekarang.”

Perlahan-lahan Husna mengangkat muka. Senyum di bibir terukir indah buat Naim.

“Una tak pernah ambil hati. Una terima abang seadanya. Terima kasih jugak sebab bahagiakan Una. Semoga hidup kita berdua akan selalu dilimpahi kebahagiaan.”

Mata Naim kemudian jatuh ke perut Husna pula. Sambil mengusap, dia berkata, “Sayang papa… cepat –cepat lahir ya. Nanti boleh tambah kebahagiaan papa dan mama.”

“Baby duduk diam-diam dulu tau. Mama nak suapkan papa makan. Kesian papa belum makan lagi,” kata Husna seraya mengambil pinggan lalu menyuap Naim makan.

“Sayang dah makan?”

“Dah.”

“Makan sekali lagi dengan abang ya. Abang suapkan sayang.” Sudu di tangan Husna diambil dan dia lakukan perkara sama macam Husna buat kepadanya tadi.

Naim tersenyum memandang Husna yang tersipu-sipu malu. Bahagia yang dirasa tak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Alhamdulillah.

© Reeani Annur 2014
 
-TAMAT-


P/S : Tamat sudah Meow edisi puasa dan raya. Semoga terubat rindu dekat Naim dan Husna. Ke ada yang nak baca lagi? Hehehe… Apapun terima kasih sebab sudi baca entri khas ini. Maafkan semua kekurangannya. Kalau rindu dekat mereka, jenguk-jenguklah ke sini. Yang dah memiliki novel Meow, muah banyak-banyak. Ingat Meow ingatlah RA ya. :)

Selepas ni saya akan update semula cerita Kahwin Dengan Aku Ajelah! dan Esok Masih Ada Cinta versi yang dah edit. Harap-harap masih ada sokongan daripada anda semua. Terima kasih! Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. 

15 July 2014

Meow! Kau Curi Hatiku Edisi Puasa & Raya [Part 2]

“ABANG masih sayangkan Bella lagi ke?”

Tangan Naim yang sedang menggentel onde-onde automatik terhenti. Dia toleh Husna di sebelah. Apa motif soalan tu? Nak ajak bergaduh ke?

“Sayang, tukar soalan lain boleh tak? Kan banyak lagi soalan lain yang lebih relevan.”

Husna kerling Naim sekilas. “Una saja aje nak tahu. Lagipun Bella kan cinta pertama abang.”

“Jadi, apa kaitannya?”

“Kata orang, cinta pertama tu susah nak lupa.”

Naim mengeluh panjang. “Elok-elok abang dah dapat lupakan Bella, sayang buat abang teringat dekat dia semula. Nanti kalau hati sayang tu tiba-tiba terkoyak, siapa yang nak jahit? Abang tak reti bab-bab menjahit ni.”

Husna siku lengan Naim. Pecah juga ketawanya mendengar kata-kata Naim itu. Simbolik sangat bunyinya.

“Tapi… Una tengok cara Bella pandang abang petang tadi macam dia tu masih sukakan abang aje,” luah Husna tentang apa yang dia rasa.

“Sayang macam mana sekalipun, tapi kalau dah tak ada jodoh nak bersama, tak ke mana jugak sayang tu,” ujar Naim. Dia kembali menyambung kerja-kerjanya yang tergendala.

Husna tak membalas. Adunan yang telah diletakkan inti gula Melaka dimasukkan ke dalam air menggelegak di atas dapur dan dibiarkan seketika sampai ia timbul di permukaan.

Melihat Husna diam, Naim mula mencari idea untuk menarik perhatiannya. “Sayang, nak dengar satu cerita tak?”

“Cerita apa?”

“Kisah cinta seorang lelaki terhadap perempuan yang dia cinta.”

“Macam mana kisahnya?” soal Husna lagi sambil tangannya ligat mengangkat onde-onde yang sudah masak lalu digaulkan bersama dengan kelapa parut. Siap!

“Dulu, ada seorang lelaki bercinta dengan seorang perempuan. Bertahun-tahun mereka bercinta. Tapi, lelaki tu akhirnya tinggalkan kekasih dia.”

Husna toleh Naim sekilas. Mukanya berkerut. “Kata cinta. Tapi kenapa lelaki tu sanggup tinggalkan kekasih dia?”

“Sebab… lelaki tu jatuh cinta dekat perempuan lain,” jawab Naim.

“Teruknya! Nampak sangat lelaki tu tak setia dengan kekasih dia. Kalau Una jadi perempuan tu, mesti Una rasa sedih,” komen Husna. Lama kut bercinta. Tetapi punca perpisahan amat menyakitkan.

“Tapi… lelaki tu lagi sedih.” Suara Naim mendatar.

“Sedih sebab apa? Dia yang tinggalkan perempuan tu. Bukannya perempuan tu yang tinggalkan dia.” Husna mula beremosi. Cerita Naim ni macam tak kena aje dengan tajuk.

Naim tarik nafas seketika. “Lelaki tu sebenarnya sangat cintakan kekasih dia. Tapi, kekasih dia tak pernah nak hargai kesungguhan cintanya. Dia ajak kahwin, perempuan tu tolak. Lima kali melamar, lima kali jugaklah lamarannya kena tolak.”

Husna telan air liur. Terkebil-kebil dia pandang Naim. Macam tu pulak? “Kenapa perempuan tu tak nak kahwin?”

“Kalau sayang jadi kekasih lelaki tu, sayang akan terus terima ke atau main tarik tali dulu?”

“Mestilah terus setuju. Dah cinta sama cinta, kan? Buat apa nak tunggu lama-lama lagi?”

Jawapan Husna membuatkan Naim tersenyum. “Okey, abang sambung lagi ceritanya. Nak dijadikan cerita, satu hari lelaki tu berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan tu taklah cantik sangat macam kekasih dia. Tapi, kali pertama terpandang, hati dia terus jatuh suka.”

“Cinta pandang pertama?” Husna meneka sambil tergelak.

Naim bergumam. “Sayang tahu tak apa jadi selepas tu?”

“Itu kan cerita abang. Manalah Una tahu,” balas Husna sekali gus mengundang tawa Naim.

“Lelaki tu nekad melamar perempuan tu.” Naim angguk apabila melihat mata Husna terbuntang memandangnya seolah-olah tidak percaya. Kemudian, dia menyambung lagi,“Sayang nak tahu apa lelaki tu cakap semasa dia melamar perempuan tu?”

Husna angguk dan semakin berminat ingin tahu.

Naim senggeng tubuh rapat ke badan Husna lalu mendekatkan bibirnya ke telinga Husna. “Lelaki tu cakap, dalam hati aku dah tak ada nama Bella. Yang ada cuma nama Nurul Husna.”

Husna tergamam. Waktu itu, barulah dia tersedar yang cerita Naim tadi merupakan kisah cinta mereka. Terus ditolak tubuh Naim menjauhinya dan menumbuk lengan Naim bertalu-talu.

“Abang ni jahat tau. Suka mainkan Una!” marahnya sambil mengacip gigi geram.

Ketawa Naim bergema di segenap ruang dapur. Lambat tangkap betullah Husna ni…

*****

NAIM perhati gelagat Husna di sebelahnya. Dia menggeleng perlahan.

“Bila sayang nak berhenti makan ni? Tak penat ke asyik mengunyah aje dari tadi?” tegur Naim.

Husna tersengih memandang Naim sebelum menyuap sebiji lagi onde-onde ke dalam mulutnya. Entah yang ke berapa biji sejak duduk di depan televisyen tadi.

“Sedaplah, abang...”

“Ya, abang tahu onde-onde tu sedap. Tapi takkanlah tak kenyang lagi kut?”

“Una dah kenyang. Tapi, baby ni yang lapar,” balas Husna lurus. Tak semena-mena pipinya kena cubit dengan Naim selepas itu.

“Sayang, nanti kita balik kampung, macam mana dengan Anchu dan Chicky?”

“Kita bawa balik sekalilah. Dia orang pun nak beraya jugak dengan kita.”

Naim sudah tidak sedap hati mendengar jawapan Husna. Sibuk ajelah kucing dua ekor tu. Orang nak beraya dia pun nak beraya juga.

“Tak payah bawa baliklah, sayang. Kita tinggalkan dia orang dekat hotel kucing aje, boleh?” usul Naim. Dia memang tak mahu pening kepala fikir pasal kucing semasa tengah sibuk nak beraya.

“Selamat ke? Dia orang jaga kucing dengan baik tak?” Husna ragu-ragu. Dia tahu tentang hotel kucing. Tetapi tak pernah guna lagi perkhidmatan itu.

“Mestilah selamat. Sayang jangan risau. Abang akan cari hotel kucing bertaraf lima bintang untuk kucing-kucing kesayangan sayang tu. Semua bil, abang tanggung,” kata Naim bersungguh-sungguh.

Husna kerling Naim. Dalam hati mula dilanda tanda tanya. “Entah-entah, abang tak nak jaga dia orang tak? Sebab tu abang beria-ia sangat nak hantar dia orang tinggal dekat hotel.”

Ah, macam tahu-tahu aje bini aku ni, desis hati Naim. Dia terus berlagak tenang di depan Husna. “Bukan abang tak nak jaga. Abang cuma nak memudahkan keadaan aje. Supaya nanti kita dapat beraya dengan gembira.”

“Kalau dia orang ada, abang tak rasa gembiralah ya?”

“Bukan macam tu maksud abang. Kan nanti kita sibuk nak pergi ke sana sini. Sekurang-kurangnya bila tinggalkan dia orang dekat hotel, ada orang lain yang tolong jaga dan tengok-tengokkan dia orang. Mana sempat nak uruskan pasal makan minum, berak kencing tu semua masa tengah beraya. Dengan keadaan sayang yang tengah sarat macam ni dan diri abang lagi yang tak berapa nak berani dengan kucing, sayang fikirlah…” jelas Naim bersama alasan-alasannya.

Husna bergumam seketika. Ada betulnya juga kata-kata suaminya itu. “Okeylah, kalau macam tu Una setuju. Nanti abang carikan hotel kucing yang terbaik untuk Anchu dan Chicky.”

Naim tarik nafas lega. Kini dia mampu tersenyum lebar. Tetapi apabila teringatkan kucing-kucing di rumah Husna, hatinya gundah kembali. Di sana bilangan kucing lebih banyak daripada di sini. Argh! Matilah aku…

*****

Di kampung Husna…
2 hari sebelum raya…

“UNA dengan Naim jadi ke balik malam ni?” Pak Hashim menyoal Mak Milah yang sedang tuang kopi untuknya.

“Jadi. Tadi lepas berbuka, Una ada telefon beritahu dia orang bertolak lepas terawih. Ni dalam perjalananlah kut,” ujar Mak Milah sambil hulur kopi kepada Pak Hashim.

“Taufik dengan Lela pulak bila sampai?”

“Yang dua orang lagi tu, malam raya baru sampai sini. Sebab sehari sebelum raya Lela kerja lagi. Tapi separuh hari aje. Jadi, Taufik tunggu Lela habis kerja dululah baru mereka bergerak balik ke kampung.”

Pak Hashim angguk bergumam. Kopi dalam cawan dihirup perlahan-lahan.

“Meriah raya kita tahun ni kan, abang. Dapat beraya dengan menantu. Tahun depan raya dengan cucu pulak.” Mak Milah berkata dengan penuh teruja. Sudah terbayang dalam kepala menu apa yang nak dimasak pada hari raya nanti.

Pak Hashim kerling Mak Milah yang tersenyum sorang-sorang. “Bukan ke awak ni dah ada ramai cucu?”

Mak Milah kerut dahi hairan. “Cucu mana pulak abang maksudkan ni? Cucu kita kan masih belum lahir lagi.”

“Tu… yang duk tidur bergelimpangan tu. Bukan cucu awak ke?” Pak Hashim juih mulut ke lantai sambil mengekek.

Mak Milah menjeling geram apabila Pak Hashim mempermainkannya. Ada ke patut suaminya kata kucing-kucing itu cucu dia.

“Abang, bila abang nak buat rumah kucing? Hari tu cakap nak buat. Kucing kat rumah ni dah semakin bertambah. Nanti balik menantu kita tu, mahunya terperanjat tengok semua kucing ni.”

Pak Hashim ambil sekeping biskut lalu cicah dalam air kopi. “Tak payah risaulah, Milah. Kucing-kucing ni semua bukannya makan orang pun. Naim tu aje yang trauma lebih,” katanya.

“Nanti abang jangan suruh Naim pegang kucing pulak. Karang tak pasal-pasal pengsan lagi dia macam hari tu.” Mak Milah mengingatkan Pak Hashim. Mereka sama-sama ketawa selepas itu.

“Hah, panjang umur dia orang. Baru aje sebut dah pun sampai,” ujar Mak Milah lagi apabila terdengar bunyi enjin kereta menderum-derum di luar rumah.

Kalau bunyi macam enjin kereta lumba, memang tak lain tak bukan kereta Naimlah tu. Selain enjin, kereta Naim boleh dicam melalui spoiler juga. Menantunya itu menurut Husna, jenis yang suka mekap kereta. Jadi, tak hairanlah rupa keretanya begitu.

“Awak pergilah sambut dia orang naik ke rumah. Nanti ajak mereka datang minum kat dapur,” gesa Pak Hashim.

Mak Milah bergegas naik ke atas rumah pergi buka pintu.

*****

“APA khabar, mak?” Husna dakap tubuh Mak Milah selepas bersalaman. Terubat rasa rindu dapat tatap wajah ibuya.

“Mak sihat. Marilah masuk pergi dapur. Mak tengah minum kopi dengan ayah tadi,” pelawa Mak Milah sambil memimpin Husna berjalan.

“Mak ada masak apa-apa tak? Una lapar ni…”

“Bubur lambuk yang ayah bawa balik dari surau tadi ada banyak lagi. Hari ni mak dengan ayah berbuka makan tu aje.”

“Sedapnya bubur lambuk. Budu ada tak?” tanya Husna. Tak sabar dah rasanya nak makan. Letak budu ada rasa masin-masin sikit tetapi memang membangkitkan selera.

“Ada kat dalam peti tu. Tak luak pun. Kat rumah ni siapa yang nak makan?” balas Mak Milah.

Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, Husna berpaling ke arah Naim. “Abang, nanti bawa semua beg masuk dalam bilik ya.”

“Okey, sayang,” sahut Naim yang ketika itu baru nak buka but kereta.

“Lepas dah habis angkat semua barang, Im pergi dapur ya. Kita minum kopi dan makan bubur lambuk sama-sama.” Giliran Mak Milah pula menitip pesan.

“Baik, mak.” Naim angguk.

Dia keluarkan semua barang dan letak di atas tangga. Baru sahaja nak tanggalkan kasut, matanya terpandang seekor kucing yang duduk di muka pintu. Dibatalkan terus niat nak naik atas rumah. Haih, masalah besar ni!

“Nama kau, Mat Topo, kan?” teka Naim sambil acu jari telunjuk kepada kucing yang tak berkelip memandangnya.

Setahunya, itulah kucing yang dia langgar dahulu. Husna bawa balik bela sampai jadi sihat dan gemuk begini.

Mat Topo diam tak menyahut.

“Mat, boleh tak kau ke tepi sikit? Aku nak bawa masuk barang ke dalam rumah ni,” kata Naim.  Namun, Mat Topo buat tak tahu sahaja sehingga buat dia berasa geram.

“Oi, yang kau pandang aku macam tak puas hati ni, kenapa? Aku cakap elok-elok, kan? Mana ada aku cakap kasar dengan kau. Jadi, tolong beri kerjasama sikit.”

Misai Mat Topo bergerak-gerak. Mulutnya menyeringai sehingga menampakkan gigi taring. Daripada duduk, kini dia sudah berdiri.

Naim mengangkat kedua-dua belah tangan. “Okey, okey… aku tahu kau masih berdendam dengan aku sebab aku langgar kau dulu. Tapi, salah siapa? Salah kau jugak sebab tak guna lampu isyarat. Kau tak boleh salahkan aku seratus peratus.”  

“Woi, Mat Topo! Kau dengar tak ni? Aku suruh kau ke tepi. Aku nak masuk ke dalam rumah ni. Janganlah tunjuk eksyen dekat aku pulak.” Kesabaran Naim sudah menipis apabila Mat Topo tetap tidak berganjak dari muka pintu.

Berlagak betullah kucing Husna ni. Mujur dia ni geli pegang kucing. Kalau tak, memang dah lama dia humban Mat Topo ke tanah.

Mat Topo mara ke arah Naim membuatkan Naim cuak dan terus lari ke arah kereta. Dia berdiri di situ memerhati Mat Topo yang duduk di atas tangga pula.

“Huh! Dia tak nak kasi aku masuk dalam rumah pulak. Hampeh betullah! Hisap rokok dululah nampak gayanya,” omel Naim sambil mengeluarkan kotak rokok dan lighter dari poket jean.

Tengah sedap hisap rokok tiba-tiba terdengar suara Husna memanggilnya dari muka pintu.

“Abang, buat apa lagi tu kat kereta? Nak tidur kat luar ke?”

“Abang nak layan rokok sekejap, sayang. Nanti abang naiklah,” balas Naim. Matanya berkalih ke tangga. Mat Topo masih lagi tidak berganjak dari situ. Cis!

Husna mengeluh. “Tak puas lagi ke? Tadi dah berapa batang dah abang hisap. Cepatlah naik. Ayah sibuk duk cari abang nak ajak sembang.”

Naim sedut rokok dalam-dalam sebelum buang puntungnya ke tanah. Kemudian dilenyek sehingga api padam.

“Yalah, yalah… Abang naik sekarang. Err… sebelum tu, boleh tak sayang suruh Mat Topo lari dulu. Abang takutlah nak lalu sebelah dia.”

Husna tunduk ke tangga sebelum pandang Naim semula. Patutlah lama sangat duduk di luar. Ada pak guard rupanya.

*****

“TAMBAH lagi bubur lambuk tu, Im. Bubur ayah masak kat surau petang tadi,” pelawa Pak Hashim apabila melihat mangkuk Naim sudah hampir kering.

Naim menggeleng. “Dah kenyang dah, ayah. Im sambung makan masa sahur nantilah pulak,” tolaknya.

Cawan kopi ditarik menggantikan tempat mangkuk tadi. Dalam masa yang sama, dia sempat menjeling Husna di sebelah. Tak angkat muka langsung kalau dah dapat makan bubur lambuk.

Husna ni, sejak mengandung selera makannya bukan main besar lagi. Dulu-dulu, jarang boleh tengok dia makan banyak begitu. Kadang-kadang naik gerun dia dibuatnya.

“Im cuti lama ke? Sampai raya ke berapa duduk sini?”

“Seminggu aje, ayah. Duduk sini sampai raya kedua. Raya ketiga dah balik ke rumah mama dan papa.”

“Nanti ajaklah mama dan papa datang beraya kat sini masa hari raya pertama. Mak cadang nak masak nasi minyak dengan rendang daging,” celah Mak Milah.

“Awal-awal lagi Im dah suruh dia orang datang, mak.” Naim tersenyum.

“Kalau kat rumah, mama biasa masak apa pagi raya?”

“Nasi dagang. Itu makanan kegemaran papa. Tiap-tiap tahun memang tak tinggal menu tu. Nanti rendang daging tu mak buat sedap-sedap ya. Im dah lama tak makan. Kalau dapat makan dengan lemang, nikmatnya! Macam Una makan ni, ha… tak pandang kiri kanan langsung,” seloroh Naim sambil tergelak memandang Husna.

Husna berhenti makan apabila dengar Naim sebut namanya. Dia siku lengan Naim perlahan. “Abang perli Una ya?”

“Mana ada. Memang betul pun sayang makan tak pandang kiri kanan. Kalau tak percaya, cuba tanya mak dan ayah,” ujar Naim.

Husna mengalih mata ke wajah Mak Milah dan Pak Hashim. Dia tersengih-sengih memandang kedua-duanya.

“Bubur lambuk yang ayah masak ni sedap sangat. Sebab tu Una makan tak hiraukan orang lain.” Alasan itu digunakan bagi menutup rasa malunya.

“Kalau sedap, tambahlah lagi,” kata Pak Hashim.

“Sayang!” Mata Naim terjegil apabila melihat Husna menambah sekali lagi. Ya Allah, bini aku ni… biar betul. Tak kenyang-kenyang lagi ke?

“Last.” Husna buat muka tak bersalah.

Pak Hashim dan Mak Milah hanya menggeleng melihat gelagat anak dan menantunya.

“Ni, Im… ayah nak tanya. Im suka makan tapai pulut tak?”

Naim menumpukan matanya kepada Pak Hashim pula. “Makan jugak. Tapi tak berapa sangat. Kenapa, ayah?”

“Esok ayah nak pergi cari daun getah kat dalam kebun belakang rumah tu. Im nak ikut?”

Naim angguk tanpa berfikir panjang. “Boleh jugak.”

Husna toleh Naim. Tersenyum. “Seronokkan balik kampung Una. Aktiviti padat.”

Naim hanya angkat kening.

© Reeani Annur 2014