HANIS tersenyum melihat lakaran baju
pengantin yang baru disiapkannya. Setelah beberapa hari bergelut mencari idea,
akhirnya siap juga. Pukul 4.00 nanti dia ada temu
janji dengan pelanggan. Harap-harap rekaannya itu berjaya memenuhi cita rasa
pelanggannya. Seronoknya orang nak kahwin. Dia? Entah bila.
Nafas dihela lembut. Ingatannya terimbau kepada Izam,
lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Entah
di mana Izam sekarang. Andai kata perpisahan itu tidak terjadi, pasti mereka
masih bersama. Atau mungkin juga sudah menjadi suami isteri. Izam, percayalah...
Aku masih
mencintaimu seperti waktu-waktu dahulu. Cintamu selalu ada dalam setiap hela nafasku,
desis hati Hanis. Dia memejam mata membayangkan saat-saat manis bersama Izam
dahulu. Tiada satu pun yang dia lupa.
“Ehem!”
Bunyi dehaman menyentak lamunan Hanis sekali gus membuatkan
dia celik mata semula. Wajah Izam terus lenyap. Kini wajah Sarah pula menggantikannya.
“Jauhnya akak berangan. Teringat dekat siapa tu?” tanya
Sarah seraya menarik kerusi duduk menghadap Hanis. Nak kata Hanis tidur tidak
logik pula sebab bibirnya tersenyum.
Giliran Hanis pula berdeham menyembunyi perasaan malu.
“Tak ada siapa-siapalah. Sarah dari mana ni?” nafi Hanis
cepat-cepat mengalih topik lain.
“Baru lepas lunch tadi. Kebetulan dah
dekat, singgahlah jenguk akak sekejap,” balas Sarah. Matanya kemudian berkalih pada lukisan di sebelah Hanis.
Terus dia capai dan meneliti satu per satu.
“Wah, cantiknya design baju pengantin
akak lukis ni. Kalau dah jadi baju nanti tentu lagi cantik, kan? Siapalah pasangan pengantin yang bakal pakai baju ni ya?
Bertuahnya dia orang,” soal Sarah.
Giliran dia kahwin nanti memang dia tidak cari orang lain
dah. Suruh Hanis sahaja yang buatkan. Semua baju rekaan Hanis memukau
perhatiannya. Kagum sungguh dia dengan bakat istimewa yang dimiliki kakaknya
itu.
Hanis hanya tersenyum mendengar pujian Sarah.
“Pukul 4.00 nanti tuan empunya badan ada appointment dengan akak. Kalau Sarah nak tengok orangnya,
duduklah sini sampai petang,” beritahu Hanis.
“Akak nak suruh bos Sarah mengamuk ke? Tak kuasa Sarah nak
dengar dia pot-pet, pot-pet bila balik ofis nanti.” Sarah menyusun semua lukisan dan
letak semula di tempat asalnya. Kemudian dia tongkat dagu merenung Hanis.
“Baju pengantin akak pulak, bila akak nak buat? Sarah dah tak sabar ni nak tengok akak pakai baju rekaan
sendiri.”
Hanis ketawa lucu.
“Akak faham apa maksud Sarah. Tapi, jawapannya tetap sama.
Tak ada istilah kahwin dalam hidup akak buat masa ni,” kata Hanis menegaskan.
Sarah mencebir. Balik-balik
jawapan lapuk itu juga yang dia dengar. Bosannya.
“Akak tak teringin ke nak kahwin? Hidup bahagia di
samping suami dan anak-anak. Tak pernah berangan macam tu?”
“Nak kahwin macam mana? Boyfriend pun akak tak
ada tau. Sarah tu lainlah. Dah ada buah hati
pengarang jantung.”
“Alah, akak tu cakap aje tak ada boyfriend.
Habis, Abang Heris tu, siapa? Dia dah lama tau dia tunggu akak.”
“Hisy! Pandai-pandai aje Sarah buat cerita. Akak dengan
Abang Heris tu kawan biasa ajelah. Akak dah anggap dia macam abang sendiri. Tak
lebih daripada tu. Mana boleh akak kahwin dengan abang sendiri,” jelas Hanis,
berharap jawapannya itu dapat memuaskan hati Sarah.
“Yalah tu. Ke akak ada tunggu seseorang?” Sarah serkap jarang. Terasa
susah hendak percaya penjelasan Hanis. Adakah Hanis ada menyembunyikan sesuatu
di luar pengetahuannya?
Dada Hanis tidak semena-mena diserang debar.
Bersungguh-sungguh Sarah cuba membongkar isi hatinya. Namun, dia sengaja
mengelak daripada menjawab soalan itu. “Hmm...
Dah mulalah tu nak sakat akak.”
“Alah, dengan adik sendiri pun nak berahsia jugak ke? Tak
apa... Sepandai-pandai
tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jugak nanti,” ujar Sarah bersama rasa ralat.
“Kalau tupai tu cerdik tentu dia boleh elak diri daripada terjatuh,”
sakat Hanis pula. Tergelak dia melihat wajah Sarah yang bertukar jadi cemberut.
Dia faham maksud Sarah. Tetapi biarlah dia simpan sahaja semua itu dalam
hatinya.
IZAM menggeliat ke kiri dan kanan membetulkan urat-urat dalam
badan. Terasa lega sedikit tubuhnya selepas itu. Menyedari hari sudah lewat
petang, dia segera menutup komputer. Perutnya pula sudah berkeroncong minta diisi.
Dapat makan char kuetiau sedap juga ni, fikirnya sambil terangguk-angguk.
Tiba-tiba Izam teringat sesuatu tatkala mata jatuh pada
muka jam di pergelangan tangannya. Dia tepuk dahi perlahan.
“Aduh! Macam mana pulak aku boleh lupa dengan pesanan mak
singa tu? Habislah kalau dia tahu aku tak pergi jumpa designer
tu,” omel Izam seraya mencapai telefon pintarnya.
SMS Rehan yang dihantar tengah hari tadi dibaca kembali untuk memastikan nama dan
alamat butik tersebut. Selepas itu dia terus bergegas pergi ke sana.
Setibanya di
butik bernama Hanaqi Couture itu, Izam berasa hampa kerana ia telah tutup. Buat
seketika, dia termangu memikirkan apakah yang patut dia lakukan. Nombor telefon
tuan butik itu pun dia tidak tahu. Perlukah dia hubungi Rehan untuk bertanya?
Suka ataupun tidak, dia terpaksa telefon Rehan juga untuk
mendapatkan nombor telefon tersebut. Malangnya, panggilan dia tidak dijawab
oleh Rehan.
“Hisy, perempuan ni! Mana pulaklah dia pergi? Tak reti nak
jawab telefon ke?” sungut Izam sambil mendecit.
Mungkinkah Rehan masih merajuk dengannya? Ah, kalau ya pun
tak kuasalah dia nak layan. Akhirnya Izam memutuskan beredar dari situ. Ada
baiknya kalau dia pergi mencari makanan untuk mengisi perutnya yang kosong.
Di pertengahan jalan, Izam singgah di sebuah pasar malam
membeli char kuetiau. Sementara menunggu pesanan siap, dia leka memerhati
penjual apam balik di gerai sebelah yang menyediakan pesanan untuk pelanggan. Tidak semena-mena dia teringatkan Hanis. Memori
lama makan apam balik bersama Hanis tersingkap kembali. Senyum di bibir
terlorek tanpa sedar. Indahnya kenangan lama itu.
“Pak cik, beri saya apam balik dua. Jagung lebih ya.”
Izam tersentak. Jagung lebih? Hanis pun suka makan apam
balik yang diletak jagung lebih. Perlahan-lahan dia menoleh, mencari pemilik
suara tadi. Hanis? Dia tergamam. Kelu. Belum sempat dia membuka mulut ingin menegur, penjual char
kuetiau memanggilnya.
“Bang, char kuetiau siap!”
“Berapa ringgit, dik?” Izam kalut mengeluarkan dompet dari
poket belakang seluar. Dalam masa yang sama, matanya melilau-lilau mencari
kelibat Hanis yang sudah pun beredar dari gerai apam balik.
“Empat setengah, bang,” balas si penjual sambil menghulur plastik yang
mengandungi polisterina kepada Izam.
“Terima kasih.”
“Eh, bang! Bang! Duit baki tak nak ke?” soal penjual itu
terpinga-pinga apabila melihat Izam terus beredar usai bayar.
Panggilan itu tidak diendahkan oleh Izam. Setakat 50 sen, kira halal sahajalah. Dia
enggan terlepas peluang bersemuka dengan Hanis jika berpatah semula. Izam
berasak-asak dengan orang ramai mengejar Hanis. Walaupun hanya melihat Hanis
dari sisi akibat dilindungi oleh pelanggan lain, namun hatinya kuat mengatakan bahawa
gadis tadi adalah Hanis.
“Hanis, tunggu!” Bahu gadis itu ditepuk dari belakang
sekali gus membuatkannya berhenti berjalan dan berpaling.
“Siapa Hanis? Saya Dahlia,” kata gadis yang disangka oleh Izam sebagai Hanis. Dia
terpinga-pinga memandang Izam atas bawah.
“Dahlia? Err... maaf, saya salah orang,” ucap Izam,
perlahan-lahan menjatuhkan semula tangannya. Dia terkebil-kebil melihat gadis
itu berlalu.
Nafasnya dihela panjang. Sukar untuk mempercayai semua itu.
Mustahil dia tersilap orang. Atau mungkinkah dia hanya berhalusinasi akibat
terlalu merindui Hanis?
REHAN memandang kosong Blackberry
hitamnya. Dia masih berharap Izam akan menghubunginya
semula selepas dia sengaja mengeraskan hati untuk tidak menjawab panggilan Izam
tadi. Penantiannya hanya sia-sia apabila nama tunangnya itu langsung tidak
muncul pada skrin telefon.
Dasar lelaki ego. Hati keras macam batu! Rehan
menyumpah-nyumpah Izam dalam hati.
Hisyam di sebelah sudah tersenyum-senyum memandang Rehan
sambil menjeling telefon pintar gadis itu.
“Tak payahlah you duk renung-renung telefon tu. Dia takkan
telefon banyak kali untuk pujuk you. Izam tu bukannya reti sangat nak memujuk
perempuan.”
Rehan mencebik. Namun, sedikit pun dia tidak menafikan
kata-kata Hisyam itu. Setiap kali mereka bergaduh, Izam lebih suka membiarkan
dirinya terkapar-kapar sendirian. Hati dan perasaannya Izam jarang nak ambil
tahu. Sudah banyak kali dia makan hati dengan sikap Izam.
“Tapi... kalau Izam tak reti nak pujuk you, you janganlah
susah hati. I kan ada. I boleh ubati rajuk you tu, sayang,” ujar Hisyam lagi
sambil merapatkan kedudukannya dengan Rehan.
Mata Rehan berkalih ke wajah Hisyam. Dia tersenyum.
Pinggang Hisyam dirangkul erat dan perlahan-lahan dia rebahkan kepalanya di
atas bahu lelaki itu.
“I tahu you boleh pujuk I. Sebab itulah I sukakan you. You
lebih memahami perasaan I berbanding dengan Izam yang tak guna tu,” ungkap
Rehan.
Sedikit demi sedikit, luka di hatinya mula terubat. Hisyam
memang pandai menyejukkan perasaannya. Sikap prihatin Hisyam benar-benar
membuatkan dia berasa dihargai.
Tersengih Hisyam dengar Rehan mengutuk tunang sendiri.
Kasihannya Rehan sebab dapat tunang macam Izam.
“Persiapan kahwin you dengan dia dah siap banyak mana? Dah confirm ke tarikhnya?” soal Hisyam ingin tahu. Tangannya galak
bermain-main dengan rambut Rehan. Sesekali dikucup hangat.
Mendengar pertanyaan itu, terlepas keluhan berat daripada deru nafas Rehan. Kalau
boleh, dia enggan memikirkan langsung tentang hari bahagianya bersama Izam.
Kalau orang lain berasa teruja mahu bergelar raja sehari, dia pula sebaliknya.
“Tarikh tu memang dah ada. Tapi, I malas nak ingat.”
“Jadi, you dah sedia ke nak sehidup semati dengan Izam dan
jadi suri di hati dia?”
Rehan terus angkat kepala dan tampar dada Hisyam.
“Sayang! You perli I ke ni?” Wajah Hisyam dijeling tajam.
Macamlah dia teringin sangat nak sehidup semati bersama Izam.
“Mana ada I perli you. I tanya aje. Janganlah marah,”
sangkal Hisyam yang tersentak dengan tindakan Rehan tadi.
“Yalah, ayat you tadi tu... buat I rasa meluat aje. You
sendiri tahu kan yang I kena kahwin dengan dia sebab famili I yang suruh.
Bukannya sebab I sukakan dia. Kalau I ada pilihan, I lebih rela berkahwin
dengan you daripada kahwin dengan dia.” Rehan tarik muncung panjang sambil
peluk tubuh.
Hisyam senyum seraya menarik manja hidung mancung Rehan.
Lega hatinya apabila melihat Rehan kembali tersenyum selepas itu. Bukannya
susah sangat nak hilangkan rajuk Rehan. Izam sahaja yang tidak pakar dalam bab
begitu.
“Apa bezanya kalau you jadi isteri Izam? Walaupun you dah
dah kahwin dengan dia sekalipun, you tetap milik I jugak. Kan kita dah janji
dulu yang kita akan tetap bersama walaupun antara kita nanti bakal bertemu
jodoh dengan orang lain. I tak kisahlah dengan status isteri yang bakal you
pegang nanti tu. Yang penting, I nak you tahu yang I sayangkan you dan I takkan
sesekali tinggalkan you. Pegang kata-kata I ni sampai bila-bila tau.”
Janji-janji manis itu ditabur oleh Hisyam bagi mengukuhkan kepercayaan Rehan
terhadapnya.
Sesungguhnya, dia sendiri tidak pernah rasa bersalah
menjalin hubungan dengan tunang orang. Untuk apa dia perlu ada perasaan
sebegitu? Apa sahaja milik Izam, dia akan pastikan menjadi miliknya juga.
Berbunga hati Rehan mendengar kata-kata Hisyam. Inilah
salah satu sebab mengapa dia jatuh suka kepada lelaki itu. Apa sahaja ayat yang
terpacul dari mulut Hisyam sentiasa membuatkan dia berasa bahagia dan
disayangi. “Tapi... you tak takut ke kalau Izam tahu pasal hubungan kita ni
nanti?”
Pertanyaan Rehan membuatkan Hisyam mengilai kuat. Dia takut
dengan Izam? Tak ada maknanya. Izam yang sepatutnya berasa takut dengan dia.
“Apa yang nak ditakutkan? Berani buat, beranilah tanggung,”
balas Hisyam bersahaja.
Dia langsung tidak berasa gentar dengan kemungkinan itu.
Hidup perlukan keberanian. Itu adalah prinsip hidupnya. Walaupun dia hidup di
atas penderitaan orang lain sekalipun.
Rehan tersenyum lebar. Tubuh Hisyam dirangkul kembali.
Erat.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment