“ABANG masih sayangkan Bella lagi ke?”
“Taufik dengan Lela pulak bila sampai?”
Tangan Naim yang sedang menggentel onde-onde automatik
terhenti. Dia toleh Husna di sebelah. Apa motif soalan tu? Nak ajak bergaduh
ke?
“Sayang, tukar soalan lain boleh tak? Kan banyak lagi soalan
lain yang lebih relevan.”
Husna kerling Naim sekilas. “Una saja aje nak tahu. Lagipun
Bella kan cinta pertama abang.”
“Jadi, apa kaitannya?”
“Kata orang, cinta pertama tu susah nak lupa.”
Naim mengeluh panjang. “Elok-elok abang dah dapat lupakan
Bella, sayang buat abang teringat dekat dia semula. Nanti kalau hati sayang tu
tiba-tiba terkoyak, siapa yang nak jahit? Abang tak reti bab-bab menjahit ni.”
Husna siku lengan Naim. Pecah juga ketawanya mendengar
kata-kata Naim itu. Simbolik sangat bunyinya.
“Tapi… Una tengok cara Bella pandang abang petang tadi macam
dia tu masih sukakan abang aje,” luah Husna tentang apa yang dia rasa.
“Sayang macam mana sekalipun, tapi kalau dah tak ada jodoh
nak bersama, tak ke mana jugak sayang tu,” ujar Naim. Dia kembali menyambung
kerja-kerjanya yang tergendala.
Husna tak membalas. Adunan yang telah diletakkan inti gula
Melaka dimasukkan ke dalam air menggelegak di atas dapur dan dibiarkan seketika
sampai ia timbul di permukaan.
Melihat Husna diam, Naim mula mencari idea untuk menarik
perhatiannya. “Sayang, nak dengar satu cerita tak?”
“Cerita apa?”
“Kisah cinta seorang lelaki terhadap perempuan yang dia
cinta.”
“Macam mana kisahnya?” soal Husna lagi sambil tangannya ligat
mengangkat onde-onde yang sudah masak lalu digaulkan bersama dengan kelapa
parut. Siap!
“Dulu, ada seorang lelaki bercinta dengan seorang perempuan.
Bertahun-tahun mereka bercinta. Tapi, lelaki tu akhirnya tinggalkan kekasih
dia.”
Husna toleh Naim sekilas. Mukanya berkerut. “Kata cinta. Tapi
kenapa lelaki tu sanggup tinggalkan kekasih dia?”
“Sebab… lelaki tu jatuh cinta dekat perempuan lain,” jawab
Naim.
“Teruknya! Nampak sangat lelaki tu tak setia dengan kekasih
dia. Kalau Una jadi perempuan tu, mesti Una rasa sedih,” komen Husna. Lama kut
bercinta. Tetapi punca perpisahan amat menyakitkan.
“Tapi… lelaki tu lagi sedih.” Suara Naim mendatar.
“Sedih sebab apa? Dia yang tinggalkan perempuan tu. Bukannya
perempuan tu yang tinggalkan dia.” Husna mula beremosi. Cerita Naim ni macam
tak kena aje dengan tajuk.
Naim tarik nafas seketika. “Lelaki tu sebenarnya sangat
cintakan kekasih dia. Tapi, kekasih dia tak pernah nak hargai kesungguhan
cintanya. Dia ajak kahwin, perempuan tu tolak. Lima kali melamar, lima kali
jugaklah lamarannya kena tolak.”
Husna telan air liur. Terkebil-kebil dia pandang Naim. Macam
tu pulak? “Kenapa perempuan tu tak nak kahwin?”
“Kalau sayang jadi kekasih lelaki tu, sayang akan terus
terima ke atau main tarik tali dulu?”
“Mestilah terus setuju. Dah cinta sama cinta, kan? Buat apa
nak tunggu lama-lama lagi?”
Jawapan Husna membuatkan Naim tersenyum. “Okey, abang sambung
lagi ceritanya. Nak dijadikan cerita, satu hari lelaki tu berjumpa dengan
seorang perempuan. Perempuan tu taklah cantik sangat macam kekasih dia. Tapi,
kali pertama terpandang, hati dia terus jatuh suka.”
“Cinta pandang pertama?” Husna meneka sambil tergelak.
Naim bergumam. “Sayang tahu tak apa jadi selepas tu?”
“Itu kan cerita abang. Manalah Una tahu,” balas Husna
sekali gus mengundang tawa Naim.
“Lelaki tu nekad melamar perempuan tu.” Naim angguk apabila
melihat mata Husna terbuntang memandangnya seolah-olah tidak percaya. Kemudian,
dia menyambung lagi,“Sayang nak tahu apa lelaki tu cakap semasa dia melamar
perempuan tu?”
Husna angguk dan semakin berminat ingin tahu.
Naim senggeng tubuh rapat ke badan Husna lalu mendekatkan
bibirnya ke telinga Husna. “Lelaki tu cakap, dalam hati aku dah tak ada nama
Bella. Yang ada cuma nama Nurul Husna.”
Husna tergamam. Waktu itu, barulah dia tersedar yang cerita
Naim tadi merupakan kisah cinta mereka. Terus ditolak tubuh Naim menjauhinya
dan menumbuk lengan Naim bertalu-talu.
“Abang ni jahat tau. Suka mainkan Una!” marahnya sambil
mengacip gigi geram.
Ketawa Naim bergema di segenap ruang dapur. Lambat tangkap
betullah Husna ni…
*****
NAIM perhati gelagat Husna di sebelahnya.
Dia menggeleng perlahan.
“Bila sayang nak berhenti makan ni? Tak penat ke asyik
mengunyah aje dari tadi?” tegur Naim.
Husna tersengih memandang Naim sebelum menyuap sebiji lagi
onde-onde ke dalam mulutnya. Entah yang ke berapa biji sejak duduk di depan
televisyen tadi.
“Sedaplah, abang...”
“Ya, abang tahu onde-onde tu sedap. Tapi takkanlah tak
kenyang lagi kut?”
“Una dah kenyang. Tapi, baby ni yang lapar,” balas Husna
lurus. Tak semena-mena pipinya kena cubit dengan Naim selepas itu.
“Sayang, nanti kita balik kampung, macam mana dengan Anchu
dan Chicky?”
“Kita bawa balik sekalilah. Dia orang pun nak beraya jugak
dengan kita.”
Naim sudah tidak sedap hati mendengar jawapan Husna. Sibuk
ajelah kucing dua ekor tu. Orang nak beraya dia pun nak beraya juga.
“Tak payah bawa baliklah, sayang. Kita tinggalkan dia orang
dekat hotel kucing aje, boleh?” usul Naim. Dia memang tak mahu pening kepala
fikir pasal kucing semasa tengah sibuk nak beraya.
“Selamat ke? Dia orang jaga kucing dengan baik tak?” Husna
ragu-ragu. Dia tahu tentang hotel kucing. Tetapi tak pernah guna lagi
perkhidmatan itu.
“Mestilah selamat. Sayang jangan risau. Abang akan cari hotel
kucing bertaraf lima bintang untuk kucing-kucing kesayangan sayang tu. Semua
bil, abang tanggung,” kata Naim bersungguh-sungguh.
Husna kerling Naim. Dalam hati mula dilanda tanda tanya.
“Entah-entah, abang tak nak jaga dia orang tak? Sebab tu abang beria-ia sangat
nak hantar dia orang tinggal dekat hotel.”
Ah, macam tahu-tahu aje bini aku ni, desis hati Naim. Dia
terus berlagak tenang di depan Husna. “Bukan abang tak nak jaga. Abang cuma nak
memudahkan keadaan aje. Supaya nanti kita dapat beraya dengan gembira.”
“Kalau dia orang ada, abang tak rasa gembiralah ya?”
“Bukan macam tu maksud abang. Kan nanti kita sibuk nak pergi
ke sana sini. Sekurang-kurangnya bila tinggalkan dia orang dekat hotel, ada
orang lain yang tolong jaga dan tengok-tengokkan dia orang. Mana sempat nak
uruskan pasal makan minum, berak kencing tu semua masa tengah beraya. Dengan
keadaan sayang yang tengah sarat macam ni dan diri abang lagi yang tak berapa
nak berani dengan kucing, sayang fikirlah…” jelas Naim bersama
alasan-alasannya.
Husna bergumam seketika. Ada betulnya juga kata-kata suaminya
itu. “Okeylah, kalau macam tu Una setuju. Nanti abang carikan hotel kucing yang
terbaik untuk Anchu dan Chicky.”
Naim tarik nafas lega. Kini dia mampu tersenyum lebar. Tetapi
apabila teringatkan kucing-kucing di rumah Husna, hatinya gundah kembali. Di
sana bilangan kucing lebih banyak daripada di sini. Argh! Matilah aku…
*****
Di kampung Husna…
2 hari sebelum raya…
“UNA dengan Naim jadi ke balik malam ni?”
Pak Hashim menyoal Mak Milah yang sedang tuang kopi untuknya.
“Jadi. Tadi lepas berbuka, Una ada telefon beritahu dia orang
bertolak lepas terawih. Ni dalam perjalananlah kut,” ujar Mak Milah sambil
hulur kopi kepada Pak Hashim.
“Taufik dengan Lela pulak bila sampai?”
“Yang dua orang lagi tu, malam raya baru sampai sini. Sebab
sehari sebelum raya Lela kerja lagi. Tapi separuh hari aje. Jadi, Taufik tunggu
Lela habis kerja dululah baru mereka bergerak balik ke kampung.”
Pak Hashim angguk bergumam. Kopi dalam cawan dihirup
perlahan-lahan.
“Meriah raya kita tahun ni kan, abang. Dapat beraya dengan menantu.
Tahun depan raya dengan cucu pulak.” Mak Milah berkata dengan penuh teruja.
Sudah terbayang dalam kepala menu apa yang nak dimasak pada hari raya nanti.
Pak Hashim kerling Mak Milah yang tersenyum sorang-sorang.
“Bukan ke awak ni dah ada ramai cucu?”
Mak Milah kerut dahi hairan. “Cucu mana pulak abang maksudkan
ni? Cucu kita kan masih belum lahir lagi.”
“Tu… yang duk tidur bergelimpangan tu. Bukan cucu awak ke?”
Pak Hashim juih mulut ke lantai sambil mengekek.
Mak Milah menjeling geram apabila Pak Hashim
mempermainkannya. Ada ke patut suaminya kata kucing-kucing itu cucu dia.
“Abang, bila abang nak buat rumah kucing? Hari tu cakap nak
buat. Kucing kat rumah ni dah semakin bertambah. Nanti balik menantu kita tu,
mahunya terperanjat tengok semua kucing ni.”
Pak Hashim ambil sekeping biskut lalu cicah dalam air kopi.
“Tak payah risaulah, Milah. Kucing-kucing ni semua bukannya makan orang pun.
Naim tu aje yang trauma lebih,” katanya.
“Nanti abang jangan suruh Naim pegang kucing pulak. Karang
tak pasal-pasal pengsan lagi dia macam hari tu.” Mak Milah mengingatkan Pak
Hashim. Mereka sama-sama ketawa selepas itu.
“Hah, panjang umur dia orang. Baru aje sebut dah pun sampai,”
ujar Mak Milah lagi apabila terdengar bunyi enjin kereta menderum-derum di luar
rumah.
Kalau bunyi macam enjin kereta lumba, memang tak lain tak
bukan kereta Naimlah tu. Selain enjin, kereta Naim boleh dicam melalui spoiler
juga. Menantunya itu menurut Husna, jenis yang suka mekap kereta. Jadi, tak
hairanlah rupa keretanya begitu.
“Awak pergilah sambut dia orang naik ke rumah. Nanti ajak
mereka datang minum kat dapur,” gesa Pak Hashim.
Mak Milah bergegas naik ke atas rumah pergi buka pintu.
*****
“APA khabar, mak?” Husna dakap tubuh Mak
Milah selepas bersalaman. Terubat rasa rindu dapat tatap wajah ibuya.
“Mak sihat. Marilah masuk pergi dapur. Mak tengah minum kopi
dengan ayah tadi,” pelawa Mak Milah sambil memimpin Husna berjalan.
“Mak ada masak apa-apa tak? Una lapar ni…”
“Bubur lambuk yang ayah bawa balik dari surau tadi ada banyak
lagi. Hari ni mak dengan ayah berbuka makan tu aje.”
“Sedapnya bubur lambuk. Budu ada tak?” tanya Husna. Tak sabar
dah rasanya nak makan. Letak budu ada rasa masin-masin sikit tetapi memang
membangkitkan selera.
“Ada kat dalam peti tu. Tak luak pun. Kat rumah ni siapa yang
nak makan?” balas Mak Milah.
Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, Husna berpaling ke
arah Naim. “Abang, nanti bawa semua beg masuk dalam bilik ya.”
“Okey, sayang,” sahut Naim yang ketika itu baru nak buka but
kereta.
“Lepas dah habis angkat semua barang, Im pergi dapur ya. Kita
minum kopi dan makan bubur lambuk sama-sama.” Giliran Mak Milah pula menitip
pesan.
“Baik, mak.” Naim angguk.
Dia keluarkan semua barang dan letak di atas tangga. Baru
sahaja nak tanggalkan kasut, matanya terpandang seekor kucing yang duduk di
muka pintu. Dibatalkan terus niat nak naik atas rumah. Haih, masalah besar ni!
“Nama kau, Mat Topo, kan?” teka Naim sambil acu jari telunjuk
kepada kucing yang tak berkelip memandangnya.
Setahunya, itulah kucing yang dia langgar dahulu. Husna bawa
balik bela sampai jadi sihat dan gemuk begini.
Mat Topo diam tak menyahut.
“Mat, boleh tak kau ke tepi sikit? Aku nak bawa masuk barang
ke dalam rumah ni,” kata Naim. Namun,
Mat Topo buat tak tahu sahaja sehingga buat dia berasa geram.
“Oi, yang kau pandang aku macam tak puas hati ni, kenapa? Aku
cakap elok-elok, kan? Mana ada aku cakap kasar dengan kau. Jadi, tolong beri
kerjasama sikit.”
Misai Mat Topo bergerak-gerak. Mulutnya menyeringai sehingga
menampakkan gigi taring. Daripada duduk, kini dia sudah berdiri.
Naim mengangkat kedua-dua belah tangan. “Okey, okey… aku tahu
kau masih berdendam dengan aku sebab aku langgar kau dulu. Tapi, salah siapa?
Salah kau jugak sebab tak guna lampu isyarat. Kau tak boleh salahkan aku
seratus peratus.”
“Woi, Mat Topo! Kau dengar tak ni? Aku suruh kau ke tepi. Aku
nak masuk ke dalam rumah ni. Janganlah tunjuk eksyen dekat aku pulak.”
Kesabaran Naim sudah menipis apabila Mat Topo tetap tidak berganjak dari muka
pintu.
Berlagak betullah kucing Husna ni. Mujur dia ni geli pegang
kucing. Kalau tak, memang dah lama dia humban Mat Topo ke tanah.
Mat Topo mara ke arah Naim membuatkan Naim cuak dan terus
lari ke arah kereta. Dia berdiri di situ memerhati Mat Topo yang duduk di atas
tangga pula.
“Huh! Dia tak nak kasi aku masuk dalam rumah pulak. Hampeh
betullah! Hisap rokok dululah nampak gayanya,” omel Naim sambil mengeluarkan
kotak rokok dan lighter dari poket jean.
Tengah sedap hisap rokok tiba-tiba terdengar suara Husna
memanggilnya dari muka pintu.
“Abang, buat apa lagi tu kat kereta? Nak tidur kat luar ke?”
“Abang nak layan rokok sekejap, sayang. Nanti abang naiklah,”
balas Naim. Matanya berkalih ke tangga. Mat Topo masih lagi tidak berganjak
dari situ. Cis!
Husna mengeluh. “Tak puas lagi ke? Tadi dah berapa batang dah
abang hisap. Cepatlah naik. Ayah sibuk duk cari abang nak ajak sembang.”
Naim sedut rokok dalam-dalam sebelum buang puntungnya ke
tanah. Kemudian dilenyek sehingga api padam.
“Yalah, yalah… Abang naik sekarang. Err… sebelum tu, boleh
tak sayang suruh Mat Topo lari dulu. Abang takutlah nak lalu sebelah dia.”
Husna tunduk ke tangga sebelum pandang Naim semula. Patutlah
lama sangat duduk di luar. Ada pak guard rupanya.
*****
“TAMBAH lagi bubur lambuk tu, Im. Bubur ayah
masak kat surau petang tadi,” pelawa Pak Hashim apabila melihat mangkuk Naim
sudah hampir kering.
Naim menggeleng. “Dah kenyang dah, ayah. Im sambung makan
masa sahur nantilah pulak,” tolaknya.
Cawan kopi ditarik menggantikan tempat mangkuk tadi. Dalam
masa yang sama, dia sempat menjeling Husna di sebelah. Tak angkat muka langsung
kalau dah dapat makan bubur lambuk.
Husna ni, sejak mengandung selera makannya bukan main besar
lagi. Dulu-dulu, jarang boleh tengok dia makan banyak begitu. Kadang-kadang
naik gerun dia dibuatnya.
“Im cuti lama ke? Sampai raya ke berapa duduk sini?”
“Seminggu aje, ayah. Duduk sini sampai raya kedua. Raya
ketiga dah balik ke rumah mama dan papa.”
“Nanti ajaklah mama dan papa datang beraya kat sini masa hari
raya pertama. Mak cadang nak masak nasi minyak dengan rendang daging,” celah
Mak Milah.
“Awal-awal lagi Im dah suruh dia orang datang, mak.” Naim
tersenyum.
“Kalau kat rumah, mama biasa masak apa pagi raya?”
“Nasi dagang. Itu makanan kegemaran papa. Tiap-tiap tahun
memang tak tinggal menu tu. Nanti rendang daging tu mak buat sedap-sedap ya. Im
dah lama tak makan. Kalau dapat makan dengan lemang, nikmatnya! Macam Una makan
ni, ha… tak pandang kiri kanan langsung,” seloroh Naim sambil tergelak memandang
Husna.
Husna berhenti makan apabila dengar Naim sebut namanya. Dia
siku lengan Naim perlahan. “Abang perli Una ya?”
“Mana ada. Memang betul pun sayang makan tak pandang kiri
kanan. Kalau tak percaya, cuba tanya mak dan ayah,” ujar Naim.
Husna mengalih mata ke wajah Mak Milah dan Pak Hashim. Dia
tersengih-sengih memandang kedua-duanya.
“Bubur lambuk yang ayah masak ni sedap sangat. Sebab tu Una
makan tak hiraukan orang lain.” Alasan itu digunakan bagi menutup rasa malunya.
“Kalau sedap, tambahlah lagi,” kata Pak Hashim.
“Sayang!” Mata Naim terjegil apabila melihat Husna menambah
sekali lagi. Ya Allah, bini aku ni… biar betul. Tak kenyang-kenyang lagi ke?
“Last.” Husna buat muka tak bersalah.
Pak Hashim dan Mak Milah hanya menggeleng melihat gelagat
anak dan menantunya.
“Ni, Im… ayah nak tanya. Im suka makan tapai pulut tak?”
Naim menumpukan matanya kepada Pak Hashim pula. “Makan jugak.
Tapi tak berapa sangat. Kenapa, ayah?”
“Esok ayah nak pergi cari daun getah kat dalam kebun belakang
rumah tu. Im nak ikut?”
Naim angguk tanpa berfikir panjang. “Boleh jugak.”
Husna toleh Naim. Tersenyum. “Seronokkan balik kampung Una.
Aktiviti padat.”
Naim hanya angkat kening.
© Reeani Annur 2014
Aktiviti padat xla naim tembung dgn kucing sngt
ReplyDeleteHehe... entah-entah kucing yang mai cari dia nanti.
DeleteApadaaa ... kucing pn buat seteru...
ReplyDeletemat topo apa agik..... balun aje naim...
Hahahahahahha
Mat Topo dah bersedia melancarkan perang. Jaga-jaga Naim Naqiuddin. Hahaha!
DeleteMat topo nk tunjuk samseng.. hahaha
ReplyDeleteHahaha... ganti samseng kg dusun si Haji Ripin.
DeleteEkk .... ade sambungan lg best.. mcm x tamat lg. Thanks Reeani terubat rindu dgn Naim & Una. Klu blh smp Una bersalin hihihi..
ReplyDeleteNaim dan Husna buat penampilan khas sempena puasa dan raya. Err... nak sampai Husna bersalin ke? Tapi cerita ni esok dah habis. Hehe... InsyaAllah, nanti kalau ada kesempatan saya tulis lagi kisah mereka.
DeleteBest nak sambungan lg klu blh sampai Una bersalin. Thanks Reeani terubat rindu kisah Naim & Una.
ReplyDeleteSama-sama, Shazakiah. ;)
DeletePart yg mula2 tu buat kak yong teringat kat satu incident terserempak dgn bakal tunang x jadi Naim kat umah nih. Mcm cacing kepanasan dia sbb bdk ppuan tu asyik pandang kitorg. Selidik punya selidik... Ooo.. Bakal tunang x jd rupanya.. Adehsss..
ReplyDeleteLaa...ada tunang tak jadi rupanya si abam Naim tuh... hot abam Naim kak yong tu... Tapi alhamdulillah, endingnya tetap dengan Husna aka kak yong. Hahaha...
DeleteSapa hero ni...mat topo hehe
ReplyDeleteMat Topo cuba nak caras Naim jadi hero pulak. Inikalilah... hehe...
DeleteNaim versi suami ni macam dah macho. cuma dengan kucing je jadi brutal balik. Hmmm... macam tak puas. Nanti versi seorang ayah pulak boleh ke adik? Ngee
ReplyDeleteNgeee!! Sungguh tinggi permintaan ateh itu... terketar-ketar dah tangan ni. Haha...
Deletebest.
ReplyDelete