NAIM mempercepat langkahnya apabila
menyedari ada seekor kucing berwarna hitam mengekorinya dari belakang sebaik
sahaja dia keluar dari sebuah kedai makan. Semakin laju dia berjalan, semakin
laju kucing itu mengejarnya. Apa hal pula kucing ni ikut aku? Hati Naim
tertanya-tanya.
Naim memberhentikan langkah dan berpaling.Dia benar-benar
kecut perut melihat kucing itu berada begitu hampir dengan kakinya. Dia
mengundur beberapa tapak ke belakang. Tetapi, kucing itu juga ikut menapak
sama.
“Hei, kucing! Yang kau ikut aku ni, kenapa? Aku ni bukannya
tuan kau. Siuh!” halau Naim sambil menggerak-gerakkan tangannya beberapa kali.
Sambil-sambil itu, dikerling juga matanya ke kiri dan kanan, mencari sesuatu
yang boleh dijadikan perisai untuk mempertahankan diri. Sayangnya, tidak ada.
Kucing itu memandang Naim dengan pandangan yang cukup tajam
sekali.Seolah-olah ada menyimpan perasaan marah terhadap Naim. Mulutnya
menyeringai sehinggakan misainya yang panjang itu mencacak tinggi. Gigi
taringnya turut terserlah. Manakala suaranya pula mengeluarkan bunyi garau.
“Aku kata pergi, pergilah!” Naim menghentakkan kakinya pula,
cuba mengacah kucing itu dengan harapan ia akan berasa takut dengannya. Namun,
kucing itu tetap statik. Malah, ia terus mengiau dalam bahasa yang dia sendiri
tidak faham. Semakin lama semakin garang bunyinya.
Sekarang, keadaan sudah bertukar menjadi sebaliknya pula.
Bukan kucing itu yang berasa takut dengannya, tetapi dia pula yang berasa
semakin takut dengan kucing itu. Tanpa berlengah, Naim terus memecut sekuat
hati, menyelamatkan diri.
Kucing itu mengejar Naim lalu menerkamnya dari belakang.
“Argh! Tolong! Tolong! Jangan cakar aku!” Naim menjerit kuat
sambil menepis serangan kucing hitam itu yang datang bertalu-talu. Dek kegelian
bercampur takut, dia jatuh tergolek di atas lantai di kaki lima bangunan.
Sementara orang ramai yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu
pula hanya memerhati sahaja kejadian kucing menyerang manusia tanpa
menghulurkan sebarang pertolongan.
“Tolong, kucing… Lepaskan aku. Aku tak bersalah!” Naim
merayu-rayu. Ketakutan yang dirasakannya begitu hebat sekali.
Namun, rayuannya seakan-akan tidak diendahkan oleh kucing
itu. Seperti berdendam dengan dia, kucing itu terus mencakar mukanya tanpa
belas. Membuak-buak darah keluar dari bekas cakaran tersebut.
“Argh! Sakit! Sakit! Mama… tolong Naim, ma….” Naim
menggelupur sambil menekup mukanya.
Nama mamanya dijerit berulang-ulang kali meminta bantuan.
Terasa sungguh pedih sekali apabila kuku kucing yang tajam itu menoreh mukanya.
Kulitnya pula terasa seperti disiat-siat.
*****
“IM, kenapa ni?” soal Datin Hanim sambil
menepuk bahu Naim.
Dia cemas apabila melihat keadaan Naim yang tiba-tiba sahaja
meracau seperti orang yang sedang dirasuk. Tangan Naim bergerak ke kiri dan ke
kanan seolah-olah sedang menepis sesuatu. Sementara kakinya pula
menunjal-nunjal hujung tilam sehingga selimut yang menutupi tubuhnya itu
melurut ke bawah katil.
“Im, bangun, sayang….” Kali ini goncangan tangan Datin Hanim
semakin kuat menggegarkan tubuh Naim.
Naim terus terjaga. Tercungap-cungap dia mencari nafas. Peluh
sudah membasahi seluruh muka dan badannya.
“Im, kenapa terjerit-jerit ni?” soal Datin Hanim lagi. Rambut
Naim yang terjuntai jatuh ke dahi itu diselak ke belakang.
“Ada kucing kejar Im tadi, mama. Dia cakar muka Im. Mama ada
nampak tak kucing tu? Warna hitam dan badan gemuk. Besar kucing tu, mama...”
Mata Naim meliar ke segenap ruang biliknya, mencari kelibat kucing yang
menyerangnya tadi. Air liurnya ditelan dengan susah payah.
“Kucing mana pulak Im cakap ni. Rumah kita mana ada bela
kucing. Im ni, mengigau pasal kucing agaknya,” jawab Datin Hanim yang akhirnya
dapat menebak punca mengapa Naim meracau-racau yang bukan-bukan sebentar tadi.
“Hah?” Naim terkebil-kebil. Dia memandang lama wajah Datin
Hanim yang duduk di birai katil. Ketika itu, barulah dia sedar bahawa itu semua
hanyalah mimpi semata-mata.
Naim meraup muka sambil menarik nafas lega. Dia ingatkan
betul-betul tadi. Tetapi, apa kejadahnya tiba-tiba sahaja dia mengigau pasal
kucing? Yang paling dia benci itulah yang selalu mendatangi dia. Bukankah bagus
kalau Lisa Surihani yang muncul dalam igaunya tadi. Hati Naim sempat
menggerutu.
“Im tidur tak salin baju ke? Tak mandi lepas balik semalam?”
Datin Hanim memandang Naim dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki.
Semuanya masih lengkap dengan pakaian kerjanya.
Naim tunduk. Dia hanya tersenyum nipis. Dia ingatkan hendak
tidur sekejap sahaja. Tetapi, tidak sangka pula terlajak sampai ke pagi. Isyak
ke mana, subuh pun tidak tahu ke mana. Bertambah-tambah dosanya kepada Tuhan.
Datin Hanim menggeleng lemah.
“Itulah… Siapa suruh tak bersihkan diri dulu sebelum tidur.
Kan dah dapat mimpi pelik-pelik. Dahlah, bangun cepat. Dah pukul berapa ni.
Nanti lewat pulaknak ke pejabat.” Datin Hanim menepuk lembut bahu Naim sebelum
bangun dan keluar dari bilik anaknya.
Naim hanya memerhati. Selepas Datin Hanim keluar, dipandang
sekali lagi ke sekeliling biliknya dengan perasaan cuak. Kelibat kucing hitam
gemuk yang menyerangnyamasih terbayang-bayang di mata. Ngeri sungguh mimpi
tadi.
Kemudian, Naim bangun dari katil, mendekati cermin berbentuk
empat segipanjang yang tergantung pada dinding bilik. Dia menilik mukanya
beberapa kali untuk memastikan wajahnya bukanlah seperti dalam mimpi buruknya
tadi. Bibirnya melakar senyum. Mujurlah masih kacak lagi. Hati Naim
menghamburkan pujian sebelum tangannya mencapai tuala mandi yang tersidai di
rak penyidai berhampiran. Lalu dia berjalan masuk ke dalam bilik air.
*****
“MANA Naim? Tak bangun lagi ke?” soal
Dato’ Mazlan ketika sampai di meja makan untuk bersarapan. Dia menarik kerusi
dan duduk di sebelah Datin Hanim.
“Dah bangun. Tengah mandi agaknya. Tadi masa saya kejutkan
dia, dia meracau-racau jerit minta tolong,” kata Datin Hanim sambil menyenduk
nasi lemak ke dalam pinggan. Aroma nasi lemak itu merebak ke segenap ruang
makan. Wangi.
“Kenapa pulak dia jerit minta tolong? Apa yang dah berlaku?”
Dahi Dato’ Mazlan berkerut hairan.
“Mengigau kucing cakar muka dia,” jawab Datin Hanim sambil
meletak pinggan yang sudah berisi nasi lemak di hadapan suaminya. Kemudian
dituangkan pula kopi ke dalam cawan sebelum diletak di sebelah kiri pinggan
tersebut. Selepas itu barulah disendukkan untuk dirinya sendiri pula.
Dato’ Mazlan ketawa kecil. Terasa lucu mendengar cerita itu.
Dia memang sedia maklum dengan sikap anak lelakinya yang takut dengan binatang
berkaki empat itu.
“Anak awak tu nampaknya kena bawa pergi berubat jumpa dengan
tok bomoh. Minta air penawar untuk hilangkan perasaan takut dia kepada kucing,”
seloroh Dato’ Mazlan seraya menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.
Datin Hanim ikut ketawa sama.“Tak tahulah saya nak kata apa
lagi, abang. Kalau dah memang jenis tak suka kucing tu, buatlah apa-apa pun,
tetap tak jadi apa-apa juga.”
“Selamat pagi, mama, papa. Ha, pagi-pagi ni dah sebut nama
Im, kenapa? Mengata Im ya?” sapa Naim sebaik sahaja datang menyertai Datin
Hanim dan Dato’ Mazlan di meja makan. Dari jauh lagi dia sudah mendengar mama
dan papanya menyebut namanya. Pasti ada sesuatu yang diperkatakan oleh mereka.
“Ha, Im, duduklah. Ni ha, papa duk dengar mama cerita pasal
Im mengigau ada kucing cakar muka Im, betul ke?” tanya Dato’ Mazlan sambil
memandang Naim yang kelihatan segak mengenakan kemeja ungu polos dan seluar
slek hitam.
Naim yang baru sahaja duduk di atas kerusi berhadapan dengan
Dato’ Mazlan tercengang. Terus wajahnya terasa membahang. Lebih-lebih lagi
apabila melihat ada senyuman nakal terukir di bibir lelaki tua itu. Apabila dia
memandang ke arah mamanya, bibir merah wanita itu juga turut ikut tersenyum
sama. Apa ni, pakat-pakat mengusik dia pula. Malulah!
“Mimpi aje, pa. Tak ada apa-apalah,” jawab Naim. Dia mencapai
sekeping roti di hadapannya lalu menyapu mentega kacang di atasnya. Roti itu
kemudiannya dikunyah perlahan-lahan.
“Tidur dalam keadaan tak bersih macam tu, memanglah dapat
mimpi yang buruk-buruk,” sampuk Datin Hanim pula sambil menjeling manja ke arah
Naim.
“Im letih sangat semalam, mama. Tak sedar bila masa Im
terlelap,” jawab Naim tersengih-sengih. Tangannya menjengkau cawan kopi pula.
Air di dalamnya dihirup perlahan-lahan.
“Jangan amalkan macam tu selalu, Im. Kalau boleh, setiap kali
sebelum tidur tu ambillah wuduk. Baca selawat dan ayat Kursi. Barulah terhindar
daripada mimpi yang bukan-bukan,” nasihat Dato’ Mazlan kemudiannya.
Naim hanya mengangguk. Pagi-pagi lagi dia sudah kena dengar
ceramah. Beginilah keadaannya kalau dia balik ke rumah mama dan papanya. Selalu
sahaja disumbat dengan kata-kata nasihat. Hendak tak hendak, terpaksalah dia
menadahkan telinga mendengar semua itu.
Oh, patutlah dia selalu mengigau dan mimpi yang bukan-bukan.
Selama ini dia tidur bertemankan lagu-lagu jiwang rock kapak zaman 80-an dan
90-an. Bukannya ayat suci al-Quran. Teruknya dia!
*****
HUSNA berlegar-legar di bawah Wisma Dato’
Mazlan setinggi lima tingkat itu sambil berkira-kira mahu masuk ataupun tidak
ke dalam bangunan tersebut. Betulkahkeputusan yang dia buat ini? Minta kerja
dengan syarikat terkenal macam ini, bolehkah diterima bekerja? Tetapi, kalau
dia tidak cuba, macam mana dia hendak tahu nasibnya baik ataupun buruk?
Akhirnya, setelah berjaya memujuk diri supaya berfikiran
positif, Husna melangkah yakin ke arah lif dan pergi ke tempat yang ingin
dituju. Perasaan takut dan tidak yakin dibuang jauh-jauh.
“Selamat datang ke Mazlan Construction Sdn. Bhd. Ada apa-apa
yang boleh saya bantu, cik?” Penyambut tetamu di kaunter hadapan syarikat itu
menyapa Husna sebaik sahaja Husna mendekati kaunter tersebut. Senyuman manis
yang terukir di bibirnya membuatkan hati Husna berasa sedikit lega.
“Cik, saya datang nak tanya, ada kerja kosong tak dekat
sini?” nyata Husna terus terang.
“Maaf, cik. Buat masa sekarang belum ada sebarang kekosongan
lagi. Biasanya kalau ada, kami akan iklankan dalam surat khabar. Tapi, kalau
cik tak keberatan, cik boleh tinggalkan dulu resume cik kepada kami,” terang
pekerja bernama Suri itu. Nama yang tertera pada kad nama yang tersemat di
dadanya.
Husna mengangguk tanda faham. Dikeluarkan resume dari fail
yang dipegangnya lalu dihulurkan kepada Suri.
“Nanti kalau ada kekosongan, pihak kami akan hubungi cik
semula ya,” kata Suri lagi setelah menyambut resume yang dihulurkan Husna.
“Terima kasih,” ucap Husna sambil tersenyum. Kemudian, dia
terus keluar dari pejabat itu, menuju ke arah lif.
Butang lif ditekan dan pintu terus terbuka. Hampir-hampir
sahaja Husna hendak berlanggar dengan seorang lelaki yang kebetulan baru keluar
dari lif itu dalam masa yang sama. Husna segera berganjak ke sebelah kiri bagi
mengelak perlanggaran berlaku.
Lelaki itu ikut bergerak arah yang sama. Husna mengelak ke
sebelah kanan pula. Namun, lelaki itu juga turut mengelak ke sebelah kanan.
Hih! Dia ni tak nampak ke laluan yang aku beri? Husna mengomel, geram.
“Eh, yang kau halang laluan aku ni, kenapa? Ke tepilah
sikit!” tengking lelaki itu dengan nada keras.
Husna pantas mendongak. Dan di saat itu juga dia terlopong.
Belum sempat dia bersuara, lelaki itu terlebih dahulu berkata, “Kau?” sambil
menujahkan jari telunjuknya ke muka Husna. Husna menggigit bibir. Hisy! Kenapa
aku boleh bertembung dengan pembuli kucing ni dekat sini pula? Mana-mana aku
pergi, asyik pandang muka dia sahaja. Tak ada muka lain ke? Kalau muka Fahrin
Ahmad tu sedaplah juga hendak memandang.
“Kau buat apa dekat sini?” soal lelaki itu sambil menjongket
keningnya.
“Err… Encik pulak buat apa dekat sini?” Soalan lelaki itu
dibalas dengan soalan. Husna semakin kaget.
Lelaki itu mendengus kuat.“Aku tanya kau, kau tanya aku
balik? Dah kat sini tempat kerja aku, buat apa lagi, datang kerjalah. Kau tu,
buat apa dekat sini?”
“En… encik kerja kat sini ke?” Husna menelan air liur. Biar
betul! Dia salah dengar ke apa ni? Kalau benar lelaki itu bekerja di sini,
bermakna tadi dia minta kerja di pejabat lelaki inilah? Oh, tidak! Tanpa
berlengah, Husna terus berpatah masuk ke dalam pejabat itu semula.
“Cik, boleh pulangkan semula resume saya tadi?” pinta Husna
sebaik sahaja dia menghampiri kaunter hadapan. Ah, kalau buruk siku pun tidak
apalah. Yang penting, dia mahu dapatkan semula resumenya tadi. Dia tidak mahu
lelaki itu tahu yang dia datang ke situ sebab hendak minta kerja.
“Kenapa, cik?” soal Suri terpinga-pinga.
“Err… Saya tak jadilah nak minta kerja dekat syarikat ni.
Tolong ya, cik.” Husna memandang Suri penuh pengharapan. Akhirnya, dia menarik
nafas lega apabila Suri mengembalikan semula resume itu ke tangannya.
Setelah mengucap terima kasih, Husna terus pergi. Tetapi,
sampai di muka pintu, sekali lagi dia bertembung dengan lelaki tadi. Dia buat-buat
tidak nampak dan menonong laju menuju ke arah lif.
“Hei, tunggu!” Lelaki itu berteriak memanggil Husna.
Namun, Husna mengeraskan perasaannya untuk tidak berpaling.
Tangannya terus menekan butang lif berkali-kali. Beberapa saat kemudian, pintu
lif terbuka dan Husna cepat-cepat masuk. Husna menghela nafas lega sambil
bersandar pada dinding setelah pintu lif tertutup semula. Mujurlah dia sempat
melarikan diri daripada lelaki itu. Huh! Malang betul nasibnya hari ini.
Kalaulah dia tahu syarikat Mazlan Construction Sdn. Bhd. tempat kerja lelaki
itu, tidak ingin dia jejakkan kakinya ke situ tadi. Rasa kesal bertimpa-timpa
datang menjengah di hati Husna.
*****
NAIM masuk ke pejabat penuh dengan tanda
tanya. Apa pula hantu kucing itu buat di sini? Kalau nak kata pergi ke pejabat
orang lain, mustahillah pula. Hanya pejabat dia sahaja yang ada di aras empat
ini. Sudahlah begitu, apabila nampak muka dia, dipandangnya seperti orang yang
nampak hantu sahaja. Buruk sangat ke rupa dia? Hati Naim diselubungi persoalan.
“Suri, siapa perempuan yang pakai baju kurung warna ungu tu
tadi? Apa dia buat dekat pejabat kita ni?” tanya Naim kepada Suri apabila dia
melintas kaunter hadapan. Pakai baju pun sama warna dengan dia juga. Macam
sehati sejiwa pula.
“Oh, dia datang nak minta kerja dekat sini, Encik Naim. Tapi,
saya beritahu dia buat masa sekarang tak ada kerja kosong lagi. Saya suruh dia
tinggalkan resume. Tapi, lepas tu dia datang balik minta pulangkan semula
kepada dia,” jawab Suri.
Naim bergumam. Dikerling sekali lagi ke arah pintu.
Seolah-olah bayangan perempuan tadi masih berada di situ. Ada juga ke macam tu?
Sudah beri sesuatu kepada orang, lepas itu boleh pula ambil semula. Buruk siku
betul.
“Kenapa, Encik Naim? Encik Naim kenal ke dengan dia?” Giliran
Suri pula menyoal Naim.
Naim cepat-cepat berpaling semula ke arah Suri. Kenal tu,
memanglah kenal. Tetapi, setakat kenal muka sahajalah. Nama dan asal usulnya
dia tidak tahu.
“Tak ada apa-apalah. Saya masuk ke bilik dulu.” Naim senyum
seraya beredar menuju ke biliknya.
Setelah meletak briefcase di atas meja, Naim duduk di atas
kerusi. Dia masih terkenangkan kejadian di depan pintu lif tadi. Semalam jumpa
di tepi jalan. Hari ini jumpa di tempat kerja dia. Esok jumpa di mana pula? Ah,
jumpa di mana-mana pun tidak kisahlah. Jangan datang jumpa dia bawa kucing
sudah.
© Reeani Annur 2014
No comments:
Post a Comment