HAJI RIPIN memerhati kereta Honda Sport berwarna putih yang
masuk ke pekarangan rumah Husna dari jauh. Diikuti kelibat Husna yang keluar
dari perut kereta sambil membibit sebuah bakul. Tidak lama selepas itu, kereta
itu perlahan-lahan beredar. Ketika kereta itu ingin membelok keluar dari lorong
rumah Husna, dia dapat melihat dengan jelas wajah pemandunya.
Boleh tahan kacak juga orangnya. Siap berkaca mata hitam dan
berbaju kot lagi. Gayanya seperti orang kaya sahaja. Dia yakin, lelaki itu
merupakan lelaki sama yang pernah dilihatnya sebelum ini menghantar Husna
pulang. Patutlah Husna lebih sudi menumpang kereta lelaki itu berbanding
membonceng motosikalnya. Huh! Tiba-tiba Haji Ripin menaruh rasa benci terhadap
lelaki itu.
Kalau beginilah keadaannya, pasti cinta dia akan terhalang
nanti. Ini tidak boleh dibiarkan. Dia tidak akan benarkan mana-mana lelaki lain
mendekati Husna melainkan dia seorang. Husna hak dia. Maka, hanya dia sahaja
yang berhak mendampingi Husna.
Haji Ripin terkocoh-kocoh menghidupkan enjin motosikalnya
dan menekan gear kuat sehingga terangkat tayar hadapan motosikalnya. Jauh di
sudut hatinya, dia mengakui dia cemburu!
MAK MILAH tergesa-gesa keluar dari dapur apabila mendengar
pintu rumahnya diketuk dari luar. Siapa pula yang datang semasa dia tengah
sibuk memasak begini?
“La… Una ke? Mak ingatkan siapa. Una pergi ke mana? Mak
balik dari kebun tadi, tengok-tengok pintu rumah dah berkunci. Tak ada orang,”
tegur Mak Milah setelah melihat Husna berdiri di muka pintu.
“Una minta maaf mak sebab keluar tak beritahu mak tadi. Una
pergi ke bandar, temu duga kerja,” jawab Husna seraya melangkah masuk ke dalam
rumah. Dilabuhkan punggungnya di atas kusyen sambil menanggalkan tudung di
kepalanya.
“Dah ada orang panggil ke?” Mak Milah ikut sama duduk di
sebelah Husna. Wajah Husna dipandang tidak berkelip.
“Ada iklan jawatan kosong kat dalam surat khabar tadi. Jadi,
Una pun cepat-cepatlah telefon syarikat tu, tanya pasal iklan tu. Dia orang
suruh Una datang ke sana untuk temu duga. Ini, Una baru balik dari sanalah ni,
mak,” terang Husna panjang lebar.
“Habis tu, dapat tak kerja tu?”
“Tak tahu lagi, mak. Una belum beri jawapan lagi,” jawab
Husna. Dia sendiri tidak pasti sama ada mahu terima ataupun tidak tawaran kerja
itu. Tetapi, Naim seperti menaruh harapan tinggi agar dia menerimanya.
“Jawatan apa yang Una minta?” tanya Mak Milah lagi.
“Setiausaha.” Pendek jawapan yang Husna beri.
“Ha, baguslah tu. Mak harap Una berjaya dapat kerja tu. Mak
doakan Una ya. Amin.” Mak Milah meraup mukanya dengan tangan.
Husna sekadar tersenyum tawar.
“Tapi, mak, kerja tu nama aje setiausaha. Tugas-tugas dia
bukannya ada kena-mengena dengan tugas setiausaha pun,” jawabnya, menerangkan
hal sebenar.
Husna mengeluh. Hal inilah yang membuatkan dia berasa
berbelah bagi mahu menerima tawaran daripada Naim. Bukanlah dia memilih sangat.
Tetapi, kalau setakat jaga kucing, lebih baik dia jaga kucing di rumah dia
sahaja.
Mak Milah mengerut dahi. “Kalau tak ada kena-mengena dengan
tugas setiausaha, ada kena-mengena dengan apa pulak?”
“Kucing. Una kena jaga kucing.” Perlahan sahaja Husna
menjawab. Terbit sedikit rasa malu mahu memberitahu ibunya. Tetapi, selama ini,
dia tidak pernah merahsiakan apa-apa perkara daripada pengetahuan ibunya.
“Jaga kucing? Hisy! Apa kena-mengena pulaknya?” Mak Milah
tergelak kecil. Ada ke kerja macam tu?
Husna senyum melihat reaksi Mak Milah. Kalau ibunya sendiri
tergelak mendengarnya, usahkan orang lain pula. Dia sendiri pun berasa hendak
tergelak juga tadi. Namun, ditahan sahaja perasaan itu dalam hati. “Dia tu
memang tak betul sikit, mak. Mak ingat tak kawan Una yang hantar Una balik masa
hari dah dekat maghrib hari tu?”
“Yang pandu kereta mahal tu ke?” Fikiran Mak Milah terbayang
kereta berwarna putih yang berhenti di hadapan rumahnya tempoh hari. Bukan
calang-calang orang dapat memandu kereta macam itu. Hanya orang yang berduit
sahaja mampu memilikinya.
Husna mengangguk.
“Dialah yang temu duga Una tadi. Dia tu anak kepada Dato’
Mazlan. Pemilik syarikat kontraktor yang terkenal tu,” jelas Husna lagi.
Mak Milah terlopong. Tidak sangka pula anaknya itu berkawan
dengan anak Dato’.
“Ya ke? Hah, kalau macam tu, lagilah senang Una nak dapat
kerja tu, kan? Mesti dia boleh tolong Una. Minta-minta Una dapat kerja tu.
Tapi, macam mana Una boleh kenal dia?” Mak Milah terus bertanya macam pegawai
polis yang sedang menyoal siasat suspek yang berbuat salah.
Tersenyum Husna mendengar pertanyaan ibunya itu.
“Kenal secara kebetulan aje, mak. Dia langgar kucing kat
tepi jalan hari tu. Tapi, bila dah langgar, tak nak tolong bawa pergi ke klinik
pulak. Bila Una marah dia, baru dia tolong Una hantarkan kucing tu pergi ke
klinik. Sekarang, kucing tu dah sembuh. Ini, Una ada bawa balik. Comel tak,
mak?” Husna mengeluarkan kucing itu dari bakul dan meletak di atas ribanya.
Belakang badan kucing itu digosok-gosok perlahan.
“Kucing kat rumah ni dah berapa banyak ekor dah Una kutip.
Hari ni bawa balik seekor lagi?” Mak Milah menggeleng lemah melihat gelagat
Husna yang kemudiannya mencium pula muka kucing itu.
“Una kesiankan dia. Jadi, Una bawa baliklah. Kucing ni, Una
namakan dia Mat Topo. Okey tak, mak?” Husna memandang Mak Milah sambil
tersenyum. Kucing jantan mana boleh beri nama yang feminin. Kenalah beri nama
yang menampakkan sifat-sifat maskulin sedikit. Barulah nampak gagah.
“Hmm… suka hati Unalah nak beri nama Mat Topo ke, Mat Ganja
ke. Asalkan jangan bagi dia kencing dan berak merata-rata sudahlah.” Mak Milah
bangun, meninggalkan Husna sendirian di situ. Dia nak marah pun memang tidak
ada gunanya juga. Dia sudah sedia maklum kegilaan anaknya itu terhadap kucing.
SETELAH mandi dan menunaikan solat zuhur, Husna duduk
berbaring di atas katil sambil merehatkan badan. Matanya dipejam rapat.
Walaupun dia cuba mengosongkan fikiran, namun ingatannya tetap menghala ke arah
perbualannya dengan Naim di pejabat lelaki itu pagi tadi.
“Kelebihan yang kau akan dapat kalau kau berjaya dapat kerja
ni adalah… gaji kau, aku bayar by hand. Cash! Tiga ribu ringgit sebulan.” Naim
tersengih memandang Husna sambil menjongket kening.
Sementara mata Husna pula terbeliak seperti mahu keluar.
Tiga ribu ringgit sebulan? Banyaknya! Dia salah dengar ke apa ni?
“Mana ada orang jaga kucing dapat gaji banyak macam tu.”
Husna seperti susah mahu mempercayai kata-kata Naim.
“Dah aku nak bagi, suka hati akulah. Duit aku, bukannya duit
kau! Tiga ribu ringgit tu tak cukup lagi ke? Kau nak aku tambah jadi 30 ribu
ringgit?” Naim kelihatan bengang apabila Husna mempertikai gaji yang dia hendak
beri.
“Tak adalah… Cuma saya rasa macam tak logik aje,” jawab
Husna, menyangkal tanggapan Naim. Dia bukan mata duitanlah!
“Tugas jaga kucing tu bukannya sembarangan tugas. Kucing
yang kau nak kena jaga tu nanti kucing yang mengada-ada dan jenis cerewet.
Kalau aku bayar sikit nanti kau merungut pulak.” Naim mengemukakan alasan
sambil turut menempelak Husna.
“Selain tu?” soal Husna lagi.
“Selain tu… Semua makan minum kau aku akan tanggung
sepanjang tempoh tiga bulan kau jaga kucing tu.”
“Maksud encik, saya kena tinggal kat rumah encik ke?”
Naim mengangguk perlahan.
“Mana boleh macam tu. Kita bukannya pasangan muhrim,” bantah
Husna.
Gila ke? Dibuatnya kena tangkap khalwat nanti, bagaimana?
Tidakkah dia akan menanggung malu besar? Percuma sahaja kena kahwin koboi
dengan Naim. Naim ni, macam orang yang tidak tahu halal haram sahaja.
“Kau memang kena tinggal kat rumah aku. Tapi, aku takkan
tidur kat situ malam-malam. Apa kau ingat aku teringin sangat ke nak duduk
serumah dengan kau? Aku pun tak inginlah kena tangkap khalwat dengan kau!”
bidas Naim pula sambil mendengus.
Husna mengetap bibir geram. Sakit hati betul dia mendengar
jawapan Naim itu. Namun, dipujuk hatinya supaya tidak terlalu mengambil hati.
Orang yang tidak ada hati dan perasaan memang suka bercakap lepas. Dia tahu
semua itu.
“Lain-lain lagi?”
“Itu saja. Tapi, tetap ada syarat-syaratnya jugak.”
“Syarat apa?” Dahi Husna berkerut memandang Naim.
“Bila kau dah jaga kucing tu, bererti kau adalah tuan dia.
Kalau ada apa-apa kesalahan yang kucing-kucing tu buat, kau yang akan tanggung
akibatnya. Syarat aku senang aje. Pertama, aku tak nak rumah aku ada bau yang
kurang menyenangkan. Jadi, kau kena pastikan kucing dua ekor tu tahu bawa diri
kalau kau lepaskan dia kat dalam rumah. Kedua, jangan bagi kucing-kucing tu
sentuh ikan guppy yang aku bela. Kalau aku dapat tahu ikan aku mati kena makan,
siap sedialah kau dengan sapu tangan atau tisu. Yang ketiga, jangan bagi ada
sehelai bulu kucing pun yang melekat kat atas kerusi, meja atau semua perabot
kat dalam rumah aku. Kalau aku jumpa, siaplah!” Panjang lebar sekali Naim
menyatakan syarat-syaratnya.
Husna meneguk air liur beberapa kali. Kalau begitulah
syarat-syarat yang dikenakan oleh Naim, bererti dia tidak boleh memandang
enteng. Kalau Naim seorang yang gilakan kucing, tidak mungkin dia akan
mengenakan semua syarat yang tidak munasabah begitu. Wajah Naim di hadapannya
ditentang tanpa kelipan.
“Boleh tak kalau encik beri saya sedikit masa untuk saya
fikirkan tawaran ni?” tanya Husna. Dia juga perlukan masa untuk mengkaji
kebaikan dan keburukan tawaran kerja tersebut. Ini termasuklah syarat-syarat
yang Naim kemukakan tadi.
“Berapa lama masa yang kau perlukan?” Naim menyoal.
“Err… saya tak pasti. Tapi, kalau saya dah ada jawapan, saya
beritahu encik semula, boleh?”
“Tak boleh!” bantah Naim sambil menggerak-gerakkan jari
telunjuknya ke kiri dan ke kanan.
“Kenapa pulak tak boleh?” Husna mencemik, tidak berpuas
hati.
“Sebab aku tak suka tunggu lama-lama sangat. Aku beri kau
tempoh tiga hari aje. Dalam masa tu, kau fikirlah baik-baik pasal tawaran aku
ni. Nanti bila kau dah ada jawapan, kau telefon aku,” balas Naim.
“Tapi...” Husna cuba membangkang, namun Naim pantas
mengangkat tangannya, tanda dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi.
“Tiga hari saja. Muktamad!” tegas Naim sekali lagi.
Husna mencelik matanya semula. Dia mengeluh panjang.
Patutkah dia bersetuju dengan tawaran itu?
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment