06 July 2015

Benci Tanda Sayang 6

ADIB hanya tersenyum melihat reaksi Nor yang menghempas kuat pintu kereta sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya. Sekiranya dia tidak membunyikan hon tadi, sudah pastilah Nor tidak akan masuk ke dalam keretanya. Dia menang lagi, tetapi harga yang dia perlu bayar untuk kemenangan itu adalah terpaksa menghadapi riak-riak marah Nor. Buktinya sangat jelas. Nor hanya mendiamkan diri di sepanjang perjalanan pulang. Perlukah dia memujuk?
“Awak marah saya ke?” soal Adib berbasa-basi. Walaupun dia tahu soalan itu nampak seperti sedikit bodoh, tetapi dia tetap ingin bertanya. Mana dia betah duduk bersama dengan gadis yang dia suka tanpa sepatah perkataan pun yang keluar dari bibir.
Nor tidak menjawab. Huh, sudah tahu jawapan pun masih mahu bertanya lagi? Memang sah dia ni tidak ada perasaan! Nor menyumpah-nyumpah Adib dalam hati.
“Orang kata... marah tu tanda sayang tau,” seloroh Adib lagi sambil menyulam senyuman nakal. Wajah Nor dan jalan raya di hadapannya dipandang silih berganti.
Ah, banyaklah kau punya sayang! Benci adalah, gerutu Nor dalam hati. Hatinya terasa kian panas.
“Oh, baru saya teringat. Tentulah awak tak sayangkan saya kan, sebab saya ni bukan lelaki idaman awak,” ujar Adib lagi. Kali ini dia seperti menyindir Nor pula. Senyuman nakal tadi telah bertukar menjadi jengkel apabila teringat kembali kata-kata Nor yang begitu galak menghentam dia dalam perbualannya bersama Saleha di pejabat petang tadi.
Tercabar sungguh dia rasa apabila Nor mengatakan dirinya tidak layak menjadi lelaki idaman Nor. Semudah itu sahaja Nor menjatuhkan hukuman ke atas dirinya. Siap menawarkan dia kepada Saleha lagi. Berani betul Nor berkata begitu terhadap bosnya sendiri. Jangan Nor berasa menyesal sudah kalau dia buat Nor tergila-gilakan dia nanti.
“Jadi, boleh awak beritahu saya macam mana ciri-ciri lelaki idaman awak yang sebenarnya?” tanya Adib kemudiannya, cuba mengorek rahsia. Perasaan ingin tahunya begitu membuak-buak hadir.
Nor menjeling sekilas.
“Kenapa pulak Encik Adib sibuk nak tahu? Penting ke semua tu?” soal Nor sinis.
“Penting!” jawab Adib laju.        
“Kenapa pulak penting?” soal Nor pula.
“Sebab setahu saya, saya ni lelaki idaman semua perempuan yang ada kat dalam Malaysia ni. Tapi, awak boleh pulak cakap yang saya ni bukan lelaki idaman awak. Tak pernah lagi ada perempuan yang cakap macam tu dekat saya tau. Awak seorang aje yang berani cakap macam tu!” bentak Adib dengan nada yang sedikit menekan. Geramnya semakin menjadi-jadi.
Mungkin sebab semua perempuan tu buta kut. Tidak tahu menilai kaca dan permata. Nor sekadar menjawab dalam hati. Tidak berani pula dia mahu menjawab secara terang-terangan setelah mendengar bentakan Adib. Dia bimbang jika Adib semakin naik angin sekiranya mendengar jawapan dia yang jujur itu.
“Cepatlah jawab soalan saya tu,” desak Adib lagi.
“Saya memang tak suka lelaki jenis playboy,” jawab Nor tanpa menoleh ke wajah Adib. Jangan nanti Adib nak salahkan dia pula sebab beri jawapan yang tulus daripada hati. Dalam masa yang sama, hatinya berdoa agar Adib tidak akan memaksa dia supaya terjun keluar melalui cermin tingkap keretanya.
Adib seperti ingin tergelak mendengar kata-kata Nor.
“Kenapa tak suka? Sebab takut kena main? Jadi, kalau cita rasa awak tu bukan pada lelaki playboy macam saya ni, lelaki yang jenis macam mana pulak yang awak suka?” tanya Adib lagi, semakin menunjukkan minat untuk mengetahui.
Isy, Adib ni... Kenapa beria-ia benar mahu mengambil tahu tentang semua itu? Dia ingatkan jawapan dia tadi akan membuat Adib berasa sentap tetapi ternyata sekali tanggapannya meleset. Sekarang Adib sudah bertukar menjadi ejen perisikan pula. Dia pula yang berasa semakin cuak. Nor mula tidak selesa.
“Nanti Encik Adib berhenti kat depan pintu pagar ajelah. Tak payah susah-susah hantarkan saya sampai depan pintu rumah macam hari tu,” pinta Nor.
 Dia memilih untuk tidak menjawab pertanyaan Adib itu, sebaliknya dia menukar topik lain pula. Ah, itu lebih penting supaya kejadian tempoh hari tidak berulang lagi. Dan paling penting juga topik itu dapat menyelamatkan dia daripada hal-hal peribadinya yang ingin dibongkar oleh Adib.
Adib hanya memandang sekilas ke arah Nor. Dia tahu, Nor cuba untuk berselindung. Dia berasa hampa apabila jawapan yang dicari tidak diketemui.
Setelah kereta Adib berhenti di hadapan pintu pagar rumah Nor, Nor segera menguak pintu. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Adib, dia terus keluar dari kereta. Dia sudah tidak sanggup berlama-lama lagi dengan Adib.
“Nor...” panggil Adib sekali gus menahan Nor pergi dari situ.
Nor berpaling sekilas dan bergumam.
“Awak tak nak jemput saya minum kopi dulu ke?” tanya Adib berseloroh sambil menjengahkan sedikit mukanya ke cermin tingkap kereta yang terbuka.
Hah? Nak minum kopi pula! Apa motif tumpangkan dia balik? Nor mula berasa musykil.
“Maaflah, Encik Adib. Kopi kat rumah saya dah habis. Gula pun tak ada stok. Lain kali ajelah kut,” ujar Nor sengaja mereka-reka alasan untuk mematikan hasrat hati Adib. Dalam hati tidak putus-putus berdoa supaya Adib cepat-cepat beredar dari situ.
Sebab itulah dia tidak mahu balik dengan Adib. Sebab Adib kelihatan benar-benar liat mahu meninggalkan kawasan rumah dia setiap kali menjejakkan kaki ke sini. Walaupun baru dua kali Adib menghantarnya pulang, namun sikap Adib itu mengundang rasa pelik di hati. Mungkin juga kerana Adib berasa damai apabila melihat pokok-pokok bunga daripada pelbagai spesies yang ditanam oleh ibunya di halaman rumahnya berbunga lebat. Entahlah.
“Nor! Kenapa berbual kat luar pagar aje tu? Ajaklah kawan kamu tu masuk dalam rumah dulu, minum kopi,” ujar satu suara.
Mata Nor segera beralih ke arah jeritan suara yang datang dari pintu rumahnya. Kemudian dia mengeluh. Ini memang satu petanda yang tidak baik. Dia baru sahaja beritahu Adib kopi dan gula di rumahnya sudah kehabisan stok, tetapi sekarang ibunya pelawa minum pula. Aduh! Tangan Nor menggaru-garu belakang kepalanya.
“Tak payahlah, mak. Dah lewat dah ni. Lain kali ajelah,” balas Nor dalam nada separuh menjerit. Dia tidak bersetuju dengan pelawaan ibunya itu. Kalau jemput nanti, takut Adib terus meminta izin mahu tidur di rumahnya pula.
“Alah... jemput sajalah. Mak pun baru aje lepas goreng keropok lekor dengan mi goreng. Ajaklah kawan kamu tu masuk. Boleh makan sekali,” pelawa Mak Eton.
Ha? Nor mengeluh lagi. Namun kali ini lebih panjang keluhannya. Kenapalah ibu dia baru siap memasak pada waktu-waktu begini? Tidak boleh ke siap memasak selepas Adib pergi dari sini? Dia tidak mahu menjemput Adib singgah di rumahnya.
“Hmm... nampaknya mak awak dah belikan kopi dan gula yang kehabisan stok tu,” sampuk Adib pula dari belakang.
Nor tersentak. Dia segera berpaling memandang Adib. Entah masa bila Adib keluar dari kereta, dia sendiri tidak sedar. Adib membalas pandangannya bersama senyuman nakal sambil kedua-dua belah keningnya terangkat tinggi. Barangkali Adib juga sudah mendengar dengan jelas pelawaan ibunya tadi. Ah, benci!
Tanpa membuang masa, Nor terus berjalan ke arah pintu pagar rumahnya yang berkunci. Kemudian, dibukakan sedikit untuk laluan.
“Jemputlah masuk, Encik Adib,” ajak Nor diiringi langkah yang longlai. Sungguh, dia tidak ikhlas menjemput Adib.
Adib mengekori dari belakang bersama senyuman yang masih tidak lekang dari bibir. Buat ke sekian kalinya dia menyaksikan kekalahan Nor. Sesiapa yang cuba menentang dia memang tidak akan pernah menang.

“JEMPUTLAH makan, Encik Adib. Jangan malu-malu,” pelawa Mak Eton sambil menghulurkan sepinggan mi goreng kepada Adib.
Adib senyum dan menggangguk perlahan.
“Panggil Adib aje, mak cik. Tak payahlah nak berencik-encik sangat,” ujar Adib sopan.
“Yalah, Adib. Jemputlah makan. Kalau tak cukup, boleh tambah lagi. Mak cik ada masak lebih,” pelawa Mak Eton.
Adib angguk lagi dan menyuap sesudu mi goreng ke dalam mulutnya. Memang menjadi benar mi goreng air tangan ibu Nor itu. Berselera sekali dia menikmati. Makan berulamkan keropok lekor, lagilah membuak-buak seleranya.
Mak Eton hanya tersenyum melihat Adib makan. Diamatinya wajah lelaki muda itu lama. Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan Adib secara berdepan. Sebelum ini, dia hanya mendengar sahaja perihal Adib daripada Nor. Boleh tahan juga orangnya.
“Mak cik minta maaflah ya. Menyusahkan Adib aje sebab kena hantar Nor balik,” ujar Mak Eton berbasa-basi.
Adib senyum.
“Tak adalah, mak cik. Adib yang nak hantarkan dia balik. Bukannya Nor yang suruh. Tak ada menyusahkan pun,” balas Adib seraya menoleh ke arah Nor yang duduk di sebelah Mak Eton. Mana ada istilah menyusahkan. Itu peluang yang baik untuk mendekati Nor. Bukan senang mahu mendapat peluang seperti itu. Puas dipaksa baru akur. Jika tidak, gigit jarilah dia sentiasa.
“Sebenarnya, dah berbuih dah mulut mak cik ni nasihatkan dia suruh ambil lesen. Tapi dia tak nak. Macam-macam alasan yang dia beri. Takutlah, ngerilah. Tak tahulah mak cik nak nasihatkan dia macam mana lagi,” luah Mak Eton bersama keluhan.
“Tak apa, mak cik. Kalau mak cik nak Adib jadi pemandu dia hari-hari pun tak ada masalah. Lagipun, jalan nak balik ke rumah Adib pun satu laluan jugak. Jadi, apa salahnya Adib tumpangkan dia balik sekali. Ha, Nor... Lepas ni, kalau awak nak tumpang balik dengan saya, beritahu ajelah. Jangan segan-segan. Saya tak akan kenakan bayaran pun,” ucap Adib berseloroh sambil mengerling Nor. Sengaja dia memancing Nor untuk ikut serta dalam perbualan itu. Dari tadi dia lihat Nor hanya diam sahaja.
Mak Eton yang mendengar kata-kata Adib itu pantas menyampuk. “Eh, ada pulak macam tu. Kamu ni, Adib... Naik lemaklah dia kalau selalu dimanjakan macam tu. Nanti kamu pulak yang terbeban.”
“Mana ada terbeban, mak cik. Lagi Adib suka adalah,” balas Adib dengan jujur. Rasa malunya sudah hilang entah ke mana.
“Tak apalah, Encik Adib. Nanti kalau kerap sangat tumpang kereta Encik Adib, pak cik-pak cik teksi tu tak dapat nak cari makan pulak. Kesian mereka tak dapat bagi anak bini makan,” tekan Nor sambil cuba mengawal perasaannya.
Kalau diikutkan hatinya itu, mahu sahaja dia halau Adib keluar dari rumahnya. Geram. Sejak tadi lagi, nama dia tidak lekang-lekang disebut. Cakap fasal diri sendiri sudahlah. Janganlah hendak sabitkan nama dia pula.
“Patutlah awak suka sangat naik teksi ya? Suka buat amal jariah rupanya,” sambung Adib lagi.
Nor mengetap bibir. Isy! Adib perli dia pula. Sakitnya hati. Depan ibu dia pun Adib cuba nak cari fasal juga? Wajah Adib terus menjadi mangsa jelingannya.
“Hah, yang kamu ni pulak kenapa tak makan mi goreng tu? Dah sejuk dah tu. Nanti tak sedap pulak makan sejuk-sejuk,” tegur Mak Eton apabila mendapati mi goreng yang terhidang di pinggan itu tidak diusik oleh Nor.
“Kejap lagilah, mak. Perut Nor masih kenyang lagi ni,” balas Nor.
Ah! Kalau diikutkan, perut dia mencerut-cerut bunyinya. Tetapi sengaja ditahan apabila mengenangkan kelibat Adib yang turut serta di meja makan itu. Malulah dia mahu makan kalau asyik diperhatikan sahaja. Mahu menambah pun mungkin terpaksa fikir dua tiga kali.
“Angah ada balik, mak? Mana dia? Tak makan sekali ke?” tanya Nor mengalihkan topik perbualan tentang Naim pula, adik bongsunya yang mesra disapa sebagai angah sahaja. Tengok kasut di luar rumah tadi ada, tetapi orangnya tidak nampak bayang pula.
“Angah keluar. Lepas zohor tadi, kawan dia ada datang. Katanya nak pergi main futsal dekat dewan yang selalu dia pergi tu. Kau bukan tak tahu perangai adik kau tu. Balik ke tak balik ke, sama aje. Tak lekat di rumah jugak,” ujar Mak Eton tentang satu-satunya anak lelakinya.
Tuntutan tugas Naim sebagai seorang pelajar memaksa dia duduk berasingan dengan mereka sekeluarga dan menetap di kolej walaupun jarak kolej tidaklah terlalu jauh dari rumah. Namun sesekali, Naim tetap pulang sekiranya ada masa senggang.
Tidak berapa lama kemudian, kedengaran sayup-sayup suara orang memberi salam dari luar rumah sekali gus menghentikan perbualan mereka. Mak Eton terkocoh-kocoh membuka pintu.
“Hah, panjang pun umur anak mak ni. Masuklah, angah. Mak duduk di dapur tadi. Sembang dengan along dan Abang Adib,” sapa Mak Eton sebaik sahaja menguak pintu.
Naim yang sedang terbongkok menanggalkan stoking dan kasut sukannya mengerut dahi.
“Abang Adib? Siapa pulak tu? Hah... kereta kat depan pagar tu, kereta siapa, mak?” soal Naim bertalu-talu.
“Kut ya pun, masuklah ke dalam dulu. Nanti angah tahulah siapa,” ujar Mak Eton menutup semula pintu setelah Naim masuk. Kemudian, dia kembali ke dapur. Langkahnya turut diekori oleh Naim dari belakang.
“Eh, along bawa balik boyfriend baru, mak?” soal Naim dengan reaksi yang sedikit terkejut apabila melihat ada seorang lelaki duduk bersama Nor sebaik sahaja sampai di meja makan. Wajah kakaknya dan lelaki yang tidak dikenali itu dipandang silih berganti.
“Hei! Mulut tu jangan cabul. Nanti ada yang kena sumbat dengan botol sos cili ni,” getus Nor menjegilkan mata sambil memegang kemas botol sos cili yang berada di hadapannya. Ada ke patut Naim cakap Adib itu kekasih dia? Bikin hati dia panas sahajalah.
 “Ha… itulah Abang Adib yang mak cakapkan tadi. Kawan along,” sampuk Mak Eton pula.
Naim terus bersalaman dengan Adib dan duduk di sebelahnya.
“Alah, kalau boyfriend pun apa salahnya. Along kan bujang tua. Semua orang kat dalam rumah ni tengah duk tertunggu-tunggu along bawa balik calon suami,” ujar Naim bersahaja sambil tangannya mencapai sebatang keropok lekor di dalam pinggan yang terhidang di atas meja itu. Cerlungan mata Nor yang dituju tepat ke wajahnya sedikit pun tidak dia endahkan.
“Angah!” ucap Nor sudah mula mengetap bibirnya.
“Apa? Bujang tua?” tanya Adib mencelah sambil memandang kedua-dua beradik itu silih berganti. Dahinya sedikit berkerut.
Naim mengangguk laju.
“Yalah, bujang tua. Umur dah tua, tapi masih tak ada boyfriend lagi. Abang Adib tahu tak, kawan-kawan dia yang lain semuanya dah ada boyfriend tau. Ada yang dah kahwin, dah ada anak. Tapi, dia sorang aje lagi yang masih single. Sebab itulah kami di rumah ni panggil dia bujang tua,” sambung Naim sambil berdekah-dekah ketawa sebaik sahaja cerita di sebalik bujang tua itu dibongkar.
Adib yang tadinya kelihatan terpinga-pinga turut ikut ketawa. Fikirannya kemudian mula mentafsirkan sesuatu. “Ooo... kalau macam tu, siapa-siapa yang nak masuk line, bolehlah ya?”
“Tak payah masuk line, masuk meminang aje terus,” balas Naim lagi. Masih juga disulami sisa-sisa ketawanya.
Elok sangatlah kalau ada yang sudi masuk meminang kakaknya itu. Lagipun, umur Nor sudah mencecah angka 26 tahun. Sebetulnya, umur seperti itu sudah layak untuk berkahwin dan memiliki anak.
“Ya? Boleh ke?” soal Adib sambil membuntangkan mata. Jawapan Naim seolah-olah membuka harapannya.
“Kenapa? Abang Adib berminat nak cuba ke? Tapi kalau nak cuba, hati kena kuat. Maklumlah, takut nanti kena reject. Si bujang tua tu memilih sikit orangnya,” bisik Naim perlahan di telinga Adib sambil menghalakan jari telunjuk ke arah Nor.
“Ooo....” ucap Adib menganggukkan kepala. Ah, tetapi takkanlah lelaki sekacak dia pun kena reject juga? Bahu Naim itu kemudiannya dicuit perlahan.
 “Sebelum ni, dah berapa orang lelaki yang along reject?” soal Adib lagi. Tangannya mencapai cawan kopi. Kopi panas itu kemudiannya dihirup perlahan-lahan sementara menanti jawapan Naim.
“Ha... Kalau Abang Adib nak tahu, setakat ni along saya dah reject lima orang lelaki yang datang meminang dia tau,” kata Naim lagi.
Adib terbelahak panjang. Hampir sahaja tersembur kopi yang dihirupnya. Mujur sempat dia mencapai tisu di atas meja.
Nor yang melihat situasi itu mengetap bibir rapat. Marahnya sudah tidak dapat dibendung lagi. Haih, baru sahaja berjumpa sudah pandai mengenakan dia pula.
“Angah, kau ni... memang jenis tak sayang mulut, kan? Mak, tengoklah tu. Eii, geramnya Nor dengan mulut dia tu,” adu Nor, tidak berpuas hati dengan Naim. Dengan Adib pun dia berasa geram juga, tetapi takkanlah dia mahu tunjukkan di depan ibunya pula. Perasaan tidak puas hati itu hanya dipendam dalam hati sahaja.
“Sudah, sudah... Kau orang berdua ni, depan tetamu pun nak bertekak jugak ke? Isy, buat malu ajelah,” tegur Mak Eton menggelengkan kepala melihat gelagat anak-anaknya yang sedang berkelahi.
“Angah tu ha...” adu Nor lagi.
“Aik, fasal apa pulak angah? Angah cakap benda yang betul aje. Bukannya angah tipu pun,” balas Naim pula, mempertahankan dirinya.
“Yalah, tapi tak perlulah nak beritahu semua tu dekat orang lain!” getus Nor marah.
“Dah Abang Adib tanya, angah jawab ajelah. Yang along nak marah-marah sangat ni, kenapa? Takut Abang Adib masuk meminang along ke?” soal Naim kembali. Keropok lekor yang dipegangnya itu digigit kasar tanda protes terhadap Nor.
“Apa hal pulak nak sabitkan nama orang yang tak berkenaan dengan along?” soal Nor lagi, masih tidak berpuas hati.
“Dah tu?”sahut Naim tidak mahu mengalah.
Naim dan Nor terus bertelagah. Masing-masing seperti tidak mahu mengalah. Mak Eton pula seperti tidak ada kuasa lagi mahu melayan kerenah anak-anaknya. Dia memandang Adib. Lelaki itu asyik tersenyum sahaja dari tadi melihat ‘drama’ yang tercetus antara kedua-dua anaknya.
“Maaflah, Adib, dua orang anak mak cik ni memang tak boleh berjumpa. Kalau jumpa, macam anjing dengan kucinglah jawabnya,” jelas Mak Eton mengenai sikap Nor dan Naim yang sememangnya tidak boleh mengelak daripada bercakaran setiap kali mereka bertemu muka.
Adib sekadar tersenyum. Sedikit pun dia tidak peduli tentang soal itu. Yang dia tahu, hatinya terhibur melihat gelagat Nor sekeluarga. Dia mula berasa selesa dengan situasi tersebut.

Reeani Annur 2015


No comments:

Post a Comment