“KAU dengan Encik Adib tu ada apa-apa ke?”
Saleha yang duduk bersebelahan dengan mejanya tiba-tiba saja membuka topik bicara pada pagi itu.
Jemari Nor yang sedari tadi rancak menekan butang komputer terhenti seketika. Wajah Saleha diamati lama.
“Ada apa-apa apa pula ni?” soalnya kehairanan.
“Eleh, buat-buat tak tahu pula. Cuba kau cakap kat aku terus terang. Kau dengan Encik Adib tu ada apa-apa hubungan ke?” Saleha mengulangi kembali pertanyaannya.
“Hubungan apa pula ni? Kau ni, apa hal tiba-tiba je tanya soalan bodoh macam tu? Dah tak ada soalan lain ke yang kau nak tanya?”
Nor menjegilkan matanya ke arah Saleha. Pelik betul. Tiba-tiba saja nama dia dikaitkan dengan Adib. Apa pula kaitannya?
“Haaa... lagi satu, sejak bila pula kau ni jadi penjaga tepi kain orang? Tak ada kerja ek?” soal Nor menyindir.
Tak cukup gajilah tu sampai kena buat kerja part-time macam tu. Omelnya dalam hati.
Saleha melepaskan keluhan panjang. Masuk kali ini sudah dua kali dia tanya. Tapi soalannya masih juga belum terjawab. Tak faham Bahasa Melayu ke apa dia ni? Huh!
“Aku tanya, kau jawab jelah. Apa hubungan kau dengan dia?” ulangnya lagi dengan nada geram. Kalau tak jawab juga, siaplah.
“Ish, kau ni... mana aku ada apa-apa hubungan dengan dia. Kawan jelah.”
“Iya ke kawan? Tapi kawan tu banyak istilah. Kawan biasa, kawan karib, kawan istimewa. Haaa, kau dengan dia ni kategori kawan yang mana?” Saleha seakan-akan meragui jawapan yang dia berikan.
Haih, dah aku jawab kau tak percaya pula. Apa kena dengan dia ni? Nor berasa sedikit bengang dengan sikap Saleha itu.
“Umm, yang kau duk sibuk-sibuk nak tahu pasal hubungan aku dengan dia ni pasal apa? Ada orang upah kau suruh siasat pasal hal aku dengan dia ke?” soalnya kembali.
Tanya soalan macam ejen FBI. Banyak komisen sangatlah tu Saleha dapat.
“Tak adalah. Ada orang beritahu aku, semalam dia nampak kau naik kereta Encik Adib. Betul ke?”
Saleha cuba mendapat kepastian. Sebelum ini tak pernah pula dia lihat Nor rapat dengan majikannya itu. Alih-alih hari ini perihal tersebut sampai ke telinganya. Itu yang membuatkan dia teruja ingin tahu.
Sebenarnya orang yang dimaksudkannya tadi adalah Hadi. Hadilah yang beritahu dia tentang hal tersebut. Lelaki itu bagaikan lubuk emas berita sensasi. Apa jua cerita hangat yang berlaku di dalam Syarikat Morphosis Archiland ini, Hadilah orang pertama yang tahu. Kiranya dalam pada masa yang sama, Hadi juga memegang jawatan sebagai wartawan tidak bertauliah di syarikat itu.
Selain daripada Nor, dia juga rapat dengan Hadi. Hadi merupakan pembantu arkitek di syarikat kepunyaan Adib itu. Sebagai seorang pembantu, Hadi memang rapat dan berkongsi banyak perkara bersama Adib. Atas faktor itulah, dia sentiasa cekap menghidu cerita-cerita yang hangat. Lebih-lebih lagi kalau hal yang berkaitan dengan Adib dan perempuan-perempuan di sekelilingnya. Sumber berita Hadi memang tiada unsur penipuan. Terbaik dan sensasi.
“Memanglah. Dah dia yang hantarkan aku balik,” akui Nor tidak berselindung.
“Haaa, jadi betullahkan kau memang ada apa-apa dengan dia. Kalau tak, takkanlah dia hantarkan kau balik. Ooo... dalam diam rupa-rupanya kau dengan Encik Adib bermain perasaan ya?” Saleha serkap jarang.
Jari telunjuknya digerakkan berkali-kali ke muka Nor. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali.
“Laaa... dia cuma tolong hantarkan aku balik je. Semalamkan hujan lebat. Teksi tak ada, jadi dia tumpangkanlah aku. Itu je, bukannya ada apa-apa pun. Kau ni, benda kecil macam tu pun kau nak kecoh,” rungut Nor.
Apalah Saleha ni. Isu pasal dia naik kereta Adib pun nak diperbesarkan. Lainlah kalau isu dia dengan Adib tiba-tiba bercinta. Itu barulah boleh nak kecoh-kecoh.
Tapi, kalau bukan Adib yang paksa dia semalam, memang tak ingin dia naik kereta bosnya itu. Kalau diikutkan, dia lebih suka naik teksi saja. Kalau naik teksi, tak mungkinlah akan kecoh-kecoh begini.
“Hurmm... setahu aku, Encik Adib tu hanya tertarik dekat perempuan yang seksi-seksi je. Yang badannya ala-ala macam supermodel. Tapi bila aku dapat tahu dia approach kau, tu yang aku naik hairan tu. Takkanlah Encik Adib suka perempuan yang badan berisi pula kot...”
Nor ketawa kecil mendengar kata-kata Saleha.
“Iya ke? Entahlah Saleha. Aku pun tak tahu pula kenapa. Kalau kau nak tahu jawapan dia, baik kau sendiri yang pergi tanya dia. Lagipun, kaukan dah naik pangkat jadi penjaga tepi kain orang. Haaa... pergilah siasat. Untung-untung bulan ni kau dapat bonus satu bulan gaji. Bolehlah belanja aku makan.”
Saleha menjeling tajam ke arah Nor. Cis, perli dia pula.
Nor hanya ketawa melihat reaksinya. Tahu pun terasa. Dah tu, sibuk sangat nak ambil tahu hal orang lain.
“Dahlah, Saleha. Malas aku nak layan kau. Aku ada banyak kerja nak kena buat ni. Kalau layan kau, memang tak siap-siaplah kerja aku ni nanti.”
Nor kembali menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Buat kerja lagi baik. Buang masa dia saja melayan cerita karut Saleha tu.
Saleha mencebikkan bibirnya. Walaupun Nor menafikan tapi entah mengapa dia masih merasakan seperti ada yang tidak kena. Dia berasa seperti tidak mendapat jawapan yang benar-benar meyakinkan disebalik soalannya tadi.
Tak apa, lambat laun dia pasti akan tahu juga kebenarannya. Tunggulah. Masa tu tak perlu nak nafikan apa-apa lagi dengan dia. Huh! Getus Saleha sendirian.
*****
TANGAN Adib memutar-mutarkan pen yang berada di tangannya. Dia senyum sendirian mengenangkan kembali kejadian yang berlaku pada lewat petang semalam. Seorang gadis comel berbaju kurung, basah kuyup disimbahi hujan. Seksi dan cukup memikat pandangan matanya. Sampai tidur malamnya termimpi-mimpi. Nor Qaseh Umairah, nama itu meniti di bibirnya berulang kali. Lantas mengundang bayangan wajah gadis itu di fikirannya.
Berambut ikal mayang, berkulit cerah, tinggi lampai dan sedikit berisi. Namun walaupun berisi masih tetap mampu menarik perhatiannya. Tidak seperti gadis-gadis lain. Penampilannya setiap hari hanyalah baju kurung. Menambahkan lagi kecantikan sedia ada yang dimilikinya. Hatinya tertawan dalam diam.
“Oi, apa yang kau senyum sorang-sorang tu? Gila ke apa?” Hadi menegur majikannya yang dari tadi dia lihat begitu leka melayani perasaan.
Patutlah ketuk pintu pun dia buat derk saja. Layan perasaan rupanya. Huh, buat sakit tangan dia saja ketuk pintu berkali-kali.
Adib tersentak apabila melihat kelibat Hadi yang duduk menyilangkan kaki di atas kerusi di depan mejanya itu. Aik, tiba-tiba saja ada Hadi di depan mata. Tadi tak ada sesiapa pun dalam biliknya itu. Hadi ni buat dia terkejut saja. Nak berangan pun tak senang. Kacau daun betullah.
“Eh, bila kau masuk? Tak perasan pun...” soal Adib sambil membetulkan kedudukan tali lehernya.
Kedengaran suara Hadi mengeluh perlahan.
“Umm... dah kalau orang tu tengah syok layan perasaan, manalah nak sedar ada orang keluar masuk dalam bilik ni. Agaknya kalau hantu duduk sebelah kau pun, kau tak sedar. Huh! Yang kau ni apa pasal? Duk senyum-senyum dari tadi aku tengok...” tegur Hadi lagi.
Buang tabiat ke apa? Hairan betul dia melihat sikap pelik Adib pagi itu. Biasanya pagi-pagi kalau dia masuk ke bilik itu, Adib mesti tekun menghadap pelan. Tak pun menghadap komputer di atas mejanya. Tapi hari ini, macam luar biasa pula. Duduk termenung sambil senyum sorang-sorang. Macam orang tak betul saja dia lihat.
Hahaha! Adib ketawa mendengar pertanyaan Hadi itu. Kemudian dia merapatkan dadanya ke meja dan memandang Hadi lama.
“Eh, Hadi... aku rasa aku nak kenal dia dengan lebih rapatlah.”
“Siapa?” soalnya Hadi.
Dahinya berkerut mendengar kata-kata Adib itu. Dia terpinga-pinga sendirian. Adib bercakap pasal siapa pula ni? Tak tahu hujung pangkal cerita, tiba-tiba saja nak kenal lebih rapat.
“Nor Qaseh Umairah…”
“Nor?”
Hadi meneguk air liur. Kawan Saleha tu ke? Ish, dia silap dengar ke apa ni?
“Setiausaha kau yang comel-comel tu ke?”
Adib angguk.
“Hai, sejak bila pula kau ni dah tangkap cintan dengan dia, Dib? Kau ni biar betul...”
Hadi tidak berkelip memandang wajah Adib. Dia masih lagi berasa sangsi. Takkanlah gadis itu pula kot.
“Kenapa? Salah?” Adib mengangkat keningnya.
“Err, tak adalah. Terkejut je. Biasa taste kau bukan perempuan macam dia,” ujar Hadi.
Dia kenal citarasa lelaki itu macam mana. Biasanya Adib lebih tertarik dengan gadis-gadis cantik yang berpenampilan seksi. Kebanyakan gadis yang rapat dengan dia memang semuanya terdiri daripada ciri-ciri seperti itu. Kalau tak ada pendamping Adib yang cantik dan seksi, itu memang bukan Adib namanya.
“Maksud kau chubby?” soal Adib disusuli dengan ketawa. Kemudian menyambung kembali, “She’s so sweet. Comel apa? Sekali sekala tukar taste tak salahkan?”
Kalau hati sudah tertawan, kurus atau gemuk bukan lagi menjadi persoalan. Tapi gadis itu bukanlah berisi sangat pun. Barangkali disebabkan oleh rangka badannya yang besar, atas faktor itulah yang membuatkan dirinya kelihatan seperti itu. Tapi sepadanlah juga dengan ketinggian yang dimilikinya.
Ah, tak kisahlah. Walaupun ada kekurangan namun tetap jua mampu menarik perhatian naluri lelakinya.
“Kau serius?” Hadi bertanya. Antara percaya dan tidak. Eh, Adib ni biar betul.
“Kenapa? Muka aku ni tak macam orang yang serius ek? Hei, aku memang dah lama la perhatikan dia,” luah Adib.
Sebenarnya sejak dari awal Nor mula bekerja di syarikat dia itu lagi dia memasang impian untuk menawan hatinya. Cuma keinginan untuk mendekati gadis itu tidaklah sekuat yang dirasakan sekarang. Seperti ada satu daya tarikan yang dimiliki olehnya yang membuat jiwa lelakinya bergetar. Cintakah?
“Tapi dia tu mana layan lelaki. Pandang lelaki pun sebelah mata je. Kau yang kaki perempuan ni lagilah dia tak mahu pandang...” Hadi mentertawakan Adib.
Adib ni dah silap pilih orang kot. Setahu dia, Nor bukan seperti gadis-gadis lain. Sepanjang dia kenal dengan Nor pun, memang jarang dia melihat gadis itu berkawan dengan lelaki lain. Saleha pun turut mengkhabarkan perkara yang sama.
Gadis itu memang susah hendak melayan lelaki. Macam antilelaki pun ada. Kalau dengan lelaki pun dia susah nak bercakap, ini kan pula nak melayan. Kalau lelaki macam Adib ni, lagilah. Agaknya, nak jeling pun tak sudi. Alahai, Adib ni. Sedarlah diri tu sikit.
Adib sedikit terkejut mendengar kata-kata Hadi itu. Cis! Kurang asam kau, Hadi. Ketawakan dia pula. Tak layakkah dia? Bukannya dia rampas hak orang pun. Adib mengepal rapat tangannya.
“Kau jangan cabar aku, Hadi. Aku tak pernah gagal tau dalam soal hati dan perasaan. Takkan kau tak kenal siapa Adib?!” bentaknya.
Selama ini bukan satu masalah yang besar untuk dia menakluki hati mana-mana perempuan. Kadang-kadang tak perlu usaha keras pun, senang-senang saja dia dapat. Begitu juga dengan Nor. Dia rasa gadis itu pun akan cepat menyerah. Perempuan manalah yang sanggup melepaskan peluang untuk mendampinginya. Adib sedia maklum akan kelebihan yang dimilikinya.
“Okey, kita tengok. Kalau kau berjaya tackle dia, aku belanja kau makan kat hotel lima bintang. Tapi kalau kau gagal, kau yang kena belanja aku makan kat hotel enam bintang. Setuju?”
Hahaha! Adib ketawa mendengar cabaran Hadi. Hadi tu tak sedar ke dengan siapa dia bertaruh? Jangan bila tiba masanya nanti macam-macam alasan pula yang dia cuba beri.
“Okey, deal! Tapi pastikan kau mula saving dari sekarang. Takutlah nanti terpaksa berhutang dengan orang lain pula kan...” Adib berpesan dalam nada sinis.
Hadi sekadar senyum. Bukan main yakin lagi Adib dengan percaturannya itu. Tak apa, kita tengok saja siapa yang terkena. Gumam Hadi sendirian.
© Noraini Mohamad 2011
No comments:
Post a Comment