BELUM pun reda dengan masalah
yang sedia ada, masalah lain pula yang timbul. Dua hari kemudian, Zara menerima
panggilan daripada emaknya yang memberitahu ada orang masuk meminangnya. Lebih
mengejutkan, pinangan yang diterima itu datang daripada Hajah Rokiah, nenek
Muslim sendiri! Oh, hampir nak pengsan dia dibuatnya setelah tahu semua itu.
Dari mana Hajah Rokiah mendapat alamat rumahnya, dia sendiri tidak tahu. Nak
tak nak, dia terpaksa minta cuti mengejut daripada Encik Peon untuk pulang ke
kampung.
“Sampai hati Zara rahsiakan semua ni daripada pengetahuan mak dan ayah.
Kalau Hajah Rokiah tu tak masuk meminang Zara, sampai sudah mak tak tahu yang
Zara ni dah ada pilihan hati,” kata Mak Leha ketika duduk berkumpul di ruang
tamu sekeluarga.
Zara menggaru-garu kepala yang sarat dengan masalah. Fikirannya ligat
mencari alasan untuk menjelaskan keadaan itu kepada orang tuanya.
“Zara tak ada niat pun nak sembunyikan semua ni daripada pengetahuan mak
dan ayah. Lagipun Zara dengan Muslim tu cuma kawan biasa aje, mak. Kami baru
aje kenal,” ujar Zara sambil memaniskan muka. Dia amat berharap agar pintu hati
emak dan ayahnya terbuka untuk mempercayai kata-katanya tadi.
Dahi Mak Leha berkerut-kerut memandang Zara.
“Baru kenal? Tapi, Hajah Rokiah beritahu mak, Zara dengan Muslim dah
kenal selama dua tahun. Zara ni, benda baik macam tu pun Zara nak sorok jugak
ke daripada mak dan ayah? Apa yang Zara nak malukan? Takut mak dan ayah tak
restu dengan pilihan Zara, begitu?”
Hajah Rokiah, siap kau! Hati Zara menggerutu geram. Baru sahaja dia hendak
membuka mulut, Pak Mutalib terlebih dahulu masuk menyampuk.
“Zara jangan risaulah. Pilihan Zara tu memang dah tepat. Ayah pun
berkenan tengok Muslim. Pandai anak ayah ni cari calon suami. Legalah hati ayah
sebab lepas ni kami dah tak perlu risaukan pasal jodoh Zara lagi.”
“Betul cakap ayah tu. Mak pun berkenan jugak dengan pilihan hati Zara.”
Mak Leha mengangguk, mengiakan kata-kata Pak Mutalib.
Zara melongo. Mak dan ayah dia berkenan dekat Muslim? Ah, sudah! Matilah
aku kali ni. Apa aku nak cakap dekat dia orang? Eii... nenek Muslim ni, suka
betul mengacau-bilaukan hidup orang. Sama macam cucu dia juga. Hati Zara
semakin gundah. Sungguh, dia tidak menjangkakan sama sekali keadaan akan
menjadi seteruk ini.
Sekarang, ada dua perkara yang dia kena fikir. Pertama, cari jalan nak
hentikan perkahwinannya dengan Muslim. Kedua, cari jalan untuk buat emak dan
ayah tidak berkenan dengan Muslim. Tetapi, bagaimana?
“Err... mak, ayah... sebenarnya, itu semua bukan macam yang mak dan ayah
fikirkan. Tolong dengar dulu apa yang Zara nak cakap.”
Mak Leha dan Pak Mutalib saling berbalas-balas pandangan.
“Cakaplah. Apa
dia?” desak Pak Mutalib.
Zara menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sungguhpun
begitu, ia tetap tidak mampu memadamkan debaran yang bertalu-talu mengetuk
jantungnya sejak tadi.
“Zara belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, Zara harap mak dan ayah boleh
beritahu Hajah Rokiah yang Zara tak setuju dengan pinangan tu.” Takut-takut
Zara bersuara. Walaupun emak dan ayahnya berkenan dengan lelaki yang bernama
Harith Muslim itu, tetapi tidak semestinya dia juga turut berkenan sama.
Kahwin dengan Muslim? Minta maaf zahir dan batin!
Mak Leha dan Pak Mutalib beradu mata lagi. Kali ini, entah yang kali ke
berapa. Lama mereka terdiam sebelum Mak Leha membuka mulut semula.
“Tapi... mak dan ayah dah terima pinangan Muslim tu. Majlis kahwin Zara
pun dah ditetapkan pada hujung bulan ni. Tinggal nak buat persiapan dan
langsungkan aje.”
“Hah?!” Mata Zara terbuntang. Menggeletar seluruh tubuh badannya
mendengar semua itu. Hendak menjerit, suaranya tersekat. Hendak menangis, air
mata enggan keluar. Akhirnya, dia jadi bisu membayangkan kehidupannya yang
bakal musnah selepas ini.
“INI semua salah awak! Saya
benci awak!” Zara melepaskan perasaannya kepada Muslim sebaik sahaja berjaya
menghubungi lelaki itu.
Ya, memang semuanya berpunca daripada Muslim. Muslim yang heret dia ke
dalam masalah itu sehingga dia terperangkap dan tidak berjaya menemui jalan
keluar.
“Zara, saya tak tahu-menahu pasal hal
nenek saya ke rumah awak dan masuk meminang
awak. Sumpah! Bukan saya yang suruh dia buat semua tu,” nafi Muslim
bersungguh-sungguh.
“Huh! Kalau bukan awak, siapa lagi? Bukan ke awak yang beria-ia sangat
nak berkahwin dengan saya sebab nak selesaikan masalah awak tu? Sampai hati
awak buat saya macam ni. Sekarang, puaslah hati awak sebab dah berjaya buat
masa depan saya hancur?” Hati Zara terasa sebak. Dia sedih mengenang nasib
dirinya yang malang.
Bagaimana dia hendak berkahwin dengan Muslim? Muslim bukanlah lelaki yang
dia cinta. Malah, dia sendiri belum bersedia hendak menoktahkan zaman
bujangnya.
“Aik! Aik! Mulut awak... nak kena cium dengan saya ke? Bila masa pulak
saya hancurkan masa depan awak? Saya tak pernah ajak awak pergi check-in hotel dan buat perkara
terkutuk tu tau!”
Zara ketap bibir. Sengal betullah mamat ni. Lain yang dia maksudkan, lain
pula yang Muslim faham. Menyampah!
“Zara, betul... Saya tak tipu awak. Saya
tak pernah bincang pun pasal hal ni dengan nenek saya. Itu semua rancangan dia, bukannya rancangan saya,” jelas Muslim lagi setelah
Zara terdiam lama.
“Awak dengan nenek awak tu, sama aje. Sama-sama terdesak, sama-sama gila.
Saya menyesal terlibat dalam permainan bodoh ni. Saya menyesal kenal dengan
awak!” Bertubi-tubi Zara melepaskan rasa tidak puas hatinya kepada Muslim.
Dia dengar Muslim mengeluh. Ah! Dia tidak mahu peduli jika Muslim terasa
hati dengan kata-katanya tadi. Apa guna dia jaga perasaan orang lain jika orang
lain tidak pernah peduli perasaannya?
“Zara, saya minta maaf sebab banyak menyusahkan awak. Saya tahu awak
marahkan saya. Tak apalah, nanti saya suruh nenek saya batalkan semula pinangan
tu.” Suara Muslim mendatar lembut memujuk Zara.
Mata Zara bercahaya. Dia senyum kembali.
“Betul ke ni?” soal Zara tidak percaya. Kalau Muslim benar-benar
memaksudkannya, legalah sedikit kerisauannnya. Hilang satu masalah.
“Dah tu, awak sudi ke kahwin dengan saya?” Soalan
Zara dijawab dengan soalan.
Pertanyaan Muslim itu kembali menghangatkan perasaan Zara.
“Helo! Dalam perjanjian tu, saya hanya disuruh menyamar jadi kekasih awak
aje. Bukannya disuruh kahwin dengan awak. Kalau awak lupa, tolong baca balik
surat perjanjian tu!” tempelak Zara. Keras.
“Kalau saya memang betul-betul sukakan awak, awak sudi kahwin dengan
saya?”
“Apa yang awak mengarut ni? Lempang nak?” Zara kacip gigi tahan geram.
Dia tengah serabut kepala begini, Muslim merepek yang bukan-bukan pula.
Muslim tergelak besar.
“Yang awak seronok sangat gelak-gelak ni, kenapa? Masalah kita belum
selesai lagi tau. Sekarang, macam mana? Apa kata putus awak?” Zara malas hendak
melayan gurauan Muslim yang tidak kelakar itu. Tidak tahulah dia apa yang lucu
sangat sampai Muslim ketawa macam tengok lawak Mr. Bean.
“Macam mana apa, macam yang saya cakap tadilah. Saya akan suruh nenek
saya tarik balik pinangan tu. Tapi dengan satu syarat...” Muslim berjeda
panjang.
Zara mencebir. Bukan main lagi Muslim ni. Letak syarat macam hendak ugut
dia pula. “Okey, apa syaratnya?”
“Saya nak, awak pun ada sekali masa bincang pasal tu, boleh?” usul Muslim
sekali gus membuatkan mata Zara terjegil.
“Kenapa pulak?”
“Kalau nenek saya mengamuk, kita sama-sama kena marah. Barulah adil.”
Zara mendongkol geram. Tambah-tambah apabila terdengar suara Muslim
ketawa mengekek.
“Sejak bila pulak saya ni ada buat salah dekat nenek awak? Awak tu ha
yang bersalah sebab kelentong dia. Saya terpaksa cakap bohong dengan dia sebab
awak yang suruh. Jadi, itu semua salah awak bukannya salah saya!”
“Berat sama dipikul. Ringan sama dijinjing. Tak gitu?”
“Sewel!”
BAHU Muslim terjongket-jongket
tahan ketawa apabila Zara memutuskan panggilannya secara tiba-tiba. Dia dapat
bayangkan betapa Zara begitu bengang dengannya yang masih boleh main-main
walaupun masalah yang dihadapi mereka sekarang semakin besar.
Muslim bersandar pada kerusi sambil memikirkan apa yang Zara beritahu
tadi. Sebenarnya, sebelum Zara maklumkan hal itu, dia sudah tahu terlebih
dahulu. Namun, terpaksa merahsiakan daripada pengetahuan Zara kerana bimbang
Zara akan marah.
Biarpun begitu, dia tidak dapat menghalang kerana setelah tahu perkara
tersebut neneknya sudah selamat meminang Zara. Pantas betul orang tua itu
bertindak. Tanpa bertanya apa-apa kepadanya terus sahaja masuk meminang. Yang
buat dia lebih terperanjat, keluarga Zara terima pinangan itu tanpa banyak
soal.
“Hai, Encik Muslim... Termenung jauh
nampak? Teringat dekat bakal isteri ke?”
Muslim tersentak dan terus pandang ke muka pintu bilik pejabatnya.
Kelibat Lily berdiri di situ sambil menyimpul senyum.
“Bakal isteri? Siapa yang nak kahwin?” soal Muslim pura-pura tidak
mengerti.
“Encik Muslim tak nak jemput saya masuk ke?” tanya Lily pula tanpa
menjawab soalan Muslim.
Muslim buat muka. Ek eleh Lily
ni. Macam tak biasa pula dengan dia. Padahal, setiap hari masuk ke dalam
biliknya datang hantar surat. Tak jemput masuk pun Lily masuk juga.
“Masuk ajelah. Takkanlah nak tunggu saya bentang karpet merah baru awak
nak masuk? Tak kuasalah saya. Awak bukannya VIP pun,” balas Muslim bersahaja.
“Banyak ke surat saya hari ni?” soal Muslim lagi setelah Lily sampai di
depan mejanya.
“Tiga keping aje.” Lily hulur surat di tangannya kepada Muslim.
Muslim sambut dan belek semua surat itu sebelum letak di atas rak kecil
berhampiran. Nanti-nantilah dia buka. Bukan surat penting pun.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu,” kata Lily kemudian meminta
diri. Baru sahaja nak berpaling, Muslim menahan sekali
gus membuatkannya tak jadi keluar dari situ. Matanya bergerak-gerak
memandang Muslim dari saat Muslim bangun dari kerusi sampailah berdiri di
hadapannya.
Sambil menyeluk poket seluar, Muslim menyoal Lily.
“Tadi awak ada sebut perkataan bakal isteri, kan? Mana awak tahu saya ni ada
bakal isteri?”
Lily senyum. “Bukan saya aje yang tahu, Encik Muslim. Satu pejabat ni dah
heboh dah pasal cerita Encik Muslim nak kahwin tak lama lagi.”
Mata Muslim terbeliak. “Hah?! Siapa yang beritahu awak pasal semua ni?”
Setahunya, dia tidak pernah buka mulut dekat staf-staf pejabat mengenai
perihal kahwin. Siapa pula yang mulut macam longkang ni?
“Siapa lagi, nenek Encik Muslimlah. Awal-awal lagi Hajah Rokiah dah
jemput kami semua pergi ke majlis kahwin Encik Muslim nanti. Tahniah ya, Encik
Muslim. Semoga bahagia sampai ke anak cucu,” ucap Lily lalu meminta izin
beredar.
Muslim terkebil-kebil dan hilang kata-kata. Huh! Nenek aku sendiri
rupanya yang mulut longkang, desisnya dalam hati. Betullah cakap Zara tadi.
Nenek dia memang gila. Belum apa-apa lagi dah jemput orang datang ke majlis
kahwin. Dia pula jadi gila sebab campur tangan neneknya yang tak sudah-sudah. Buat kepalanya
pening.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment