20 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 7

SIAP! Naim menutup dokumen tender tebal di hadapannya sambil menarik nafas lega. Barulah dia boleh bernafas sedikit. Dia bersandar malas sambil memejam mata. Melepaskan rasa letih yang dialami setelah hampir separuh hari dia bergelumang dengan kerja-kerja di pejabat. Perutnya berbunyi tiba-tiba. Naim celik mata semula. Jam di tangan ditoleh. Sudah mencecah pukul 1.45 petang. Patutlah perut dia menggila lapar. Dia bingkas dari kerusi dan mengorak langkah keluar dari bilik. Misi mencari makanan yang sedap-sedap bermula!
               
Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, telefon yang terpegang di tangan berkelip-kelip menyala. Nama Bella terpampang pada skrin. Naim mengeluh. Hai, masa-masa beginilah baru Bella sibuk hendak menelefon dia. Akhirnya, butang menjawab panggilan ditekan sebelum menekap telefon ke telinga.
               
“Sayang….” Suara Bella berjeda panjang dalam keadaan sayu sebelum sempat Naim membuka mulut.
               
“Bella, kenapa dengan you ni? You tak sihat ke?” soal Naim sedikit cemas.
               
Jarang sekali Bella telefon dia dalam nada sedih begitu. Yang dia selalu dengar hanyalah nada-nada yang ceria sahaja. Kadang-kadang, nadanya mengada-ada sedikit. Begitulah Bella yang dia kenal. Tetapi, kali ini, lain macam sahaja bunyinya. Ada sesuatukah yang terjadi?
               
“Bukan I, tapi Chicky. I tengah susah hati ni, sayang. Chicky tak mahu makan. Dia asyik termenung aje dari pagi tadi. I risau ni,” kata Bella diiringi satu keluhan yang berat, menggambarkan betapa dia benar-benar runsing.
               
Naim tercengang. Chet! Buang masa sahaja dia berasa risau tadi. Ingatkan Bella yang sakit. Tetapi, rupa-rupanya kucing Bella, Chicky. Kalau Chicky yang sakit, tidak beritahu dia pun tidak apa. Bukan dia kisah sangat pun pasal kucing kesayangan Bella itu.
               
“Habis tu, kalau you beritahu I, I boleh buat apa? I bukannya ada ubat nak sembuhkan dia.” Mati lebih bagus kut. Naim menyambung ayat terakhir itu dalam hati.
               
“Sayang, you tolong I bawakan dia pergi ke klinik, boleh? I risaulah kalau jadi apa-apa dekat dia,” pinta Bella.
               
Naim meneguk air liur. Gerun semacam dia mendengar permintaan Bella itu. Oh, itu kerja gila namanya. Mana mungkin orang yang tidak sukakan kucing seperti dia akan bawa kucing pergi ke klinik. Mimpi di siang hari sahajalah.
               
“Kenapa I pulak? Itu kan kucing you. You pergilah hantar sendiri. I nak keluar pergi lunch ni. I belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Perut I lapar tau. Lagipun...”
               
“Alah, takkanlah you sanggup biarkan kucing I ni sakit macam ni? Makan tu bila-bila masa pun you boleh makan. Tapi, kucing I ni, kalau tiba-tiba aje dia sakit tenat, macam mana?” Bella lebih pantas menyampuk kata-kata Naim.
               
Naim tercengang lagi. Mudahnya Bella bercakap. Seolah-olah kucing itu lebih penting berbanding dirinya. Bella tidak tahukah betapa perut dia ini sudah mencucuk-cucuk sakitnya minta diisi. Ini pilih kasih namanya apabila melebih-lebihkan hal lain berbanding hal kekasih sendiri. Ah! Tidak semena-mena pula dia berasa cemburu dengan kucing jantan itu.
               
“Yang you beria-ia sangat nak suruh I pergi hantarkan dia pergi ke klinik, kenapa? You kan tak kerja hari ni. You ajelah yang pergi hantar sendiri,” jawab Naim. Dia malas mahu membuat kerja yang buang masa begitu. Banyak lagi hal lain yang lebih penting dia mahu buat. Makan, salah satu daripadanya. Dia fikir, itu lebih nikmat berbanding hantar kucing pergi ke klinik.
               
“I mana boleh pergi. Nanti kalau I pergi, siapa pulakyang nak jaga Anchu kat rumah? Lagipun, Anchu belum mandi dan makan lagi ni.” Bella memberi alasan.
               
Pulak dah! Naim menepuk dahinya berulang-ulang kali. Sakit hati sungguh dia mendengar jawapan Bella itu. Semuanya memihak kepada kucingnya sahaja.
               
“Sayang, you tolong I ya. You datang ambil Chicky dan bawa dia pergi ke klinik sekarang. Please...” Bella terus memujuk Naim dengan nada suara manja yang kedengaran sedikit mengada-ada.
               
Naim mengeluh panjang. Bukan sebab jiwa dia bergetar mendengar rayuan Bella, tetapi disebabkan Bella tidak mengerti keadaannya yang sedang kelaparan.
               
“Sekarang mana boleh. I nak pergi makan ni.” Suara Naim mendecit.
               
“Alah, sayang… bolehlah. Tolonglah I, pergi hantarkan Chicky pergi ke klinik sekejap. Bukannya lama sangat pun. Lepas dah bawa dia pergi jumpa doktor, you pergilah makan.” Bella masih belum mahu berputus asa melembutkan hati Naim supaya bersetuju dengan permintaannya.
               
Tangan Naim serta-merta naik ke belakang kepala. Rambut dia yang tersisir kemas sudah menjadi sedikit kusut dek penangan tangan yang ligat menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. Permintaan Bella itu kian merunsingkan fikirannya. Hisy! Bella ni memang tidak faham bahasa Melayu ke?
               
“Macam ni ajelah. Kalau you nak suruh I hantarkan jugak Chicky tu pergi ke klinik, you tunggu I balik kerja dulu. Nanti I temankan you bawa Chicky pergi sana. Tapi, sekarang, I memang betul-betul tak free,” jelas Naim.
               
Kalau kehendak Bella itu dituruti, bila masa pulanya dia hendak makan? Waktu rehat pun hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi mahu tamat. Manalah sempat untuk dia berbuat demikian.
               
“Petang karang? Mana boleh, sayang! Nanti kalau terjadi apa-apa dekat Chicky, siapa yang nak bertanggungjawab?” Suara Bella berubah nada serta-merta. Jika tadi kedengaran manja, tetapi sekarang sudah bertukar sedikit kasar pula.
               
“Habis tu, kalau I mati kebulur, siapa pulak yang nak bertanggungjawab? Sekarang ni, siapa yang lebih you sayang? I atau kucing you tu?” Naim bertanya kembali dalam nada geram bersama intonasi suara yang tinggi.
               
Memang dia tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan itu. Bella seolah-olah meminggirkan perasaannya. Kalau beginilah keadaannya, lebih baik Bella bercinta dengan kucing dia sendiri sahaja.
               
Bella berdengus kuat. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi tut beberapa kali.
               
Naim mendengus dan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas dashboard.Dia mengeluh panjang sambil meraup muka. Letih betul perasaan dia melayani kerenah Bella yang suka merajuk. Dia memang sudah sedia maklum, jika dia ada meninggikan suara ataupun tidak dapat memenuhi sebarang kehendak Bella, Bella pasti akan tarik muka masam dengannya.
               
Naim termenung lama sebelum tangannya mencapai semula telefon bimbit. Nombor telefon Bella didail pantas.
               
“Yalah, yalah… You tunggulah sekejap. Nanti I datang ambil Chicky,” kata Naim sejurus panggilannya disahut oleh Bella.
               
Akhirnya, dia mengalah jua. Kalau dia berkeras sekalipun, dia tidak akan menang juga. Bagaikan sudah termaktub dalam perhubungan mereka apabila Bella merajuk, dia yang kena pujuk. Tetapi, apabila tiba giliran dia merajuk, dia sendiri yang memujuk rajuknya. Nak harapkan Bella pujuk dia, tunggu janggut dia tumbuh dululah. Itu pun kalau Bella sudi hendak memujuk.
               
Serta-merta suara Bella menjerit riang. Rajuknya sebentar tadi sudah bertempiaran lari.
               
“Terima kasih, sayang. I tahu, you takkan sampai hati biarkan Chicky I sakit. Okey, I tunggu you datang ya. Bye.” Bella menoktah bicaranya sekali gus memutuskan panggilan.
               
Muka Naim berkerut memandang telefonnya.
               
“Huh! Ni bukan pasal tak sampai hati tengok kucing kau sakit. Tapi, sebab aku tak sampai hati tengok orang yang aku sayang merajuk. Kalau tak, jangan haraplah aku nak peduli dengan semua tu!” omelnya dalam geram yang tidak tertahan.
               
Terpaksalah dia korbankan waktu makannya walaupun perut dia sudah mencucuk pedih. Semuanya sebab Chicky. Siaplah kau nanti, Chicky! 

******

MATAHARI mencacak tinggi di atas kepala. Peluh mulai berembun di dahi. Namun, Husna terus mengheret kaki tanpa arah tujuan. Mahu meneruskan agenda mencari kerja, rasanya seperti sudah penat sahaja. Penat naik lif dan turun naik tangga pejabat orang. Namun, hasilnya tetap mengecewakan. Pelik sungguh. Orang lain dia lihat senang-senang sahaja dapat kerja. Tetapi, dia pula, satu peluang pun susah hendak dapat. Malangnya nasib dia.
               
Husna mengeluh mengenangkan kesukarannya memperoleh pekerjaan. Tetapi, apabila dia menyedari keterlanjurannya, dia cepat-cepat beristighfar. Mungkin semua ini ujian Allah buat dirinya. Bak kata ibu kepada ayahnya semalam, mungkin rezeki dia lambat tiba dan dia tidak seharusnya berasa kesal. Yang penting, dia sudah berusaha sedaya upaya. Selebihnya, biarlah dia bertawakal sahaja.   
               
Husna terus melangkah sambil meliarkan mata ke arah deretan bangunan yang tersergam tinggi di kiri dan kanan kawasan yang dilaluinya. Secara tidak sengaja, dia terpandang sebuah klinik haiwan. Lantas, dia teringat kucing yang kena langgar semalam. Bagaimanakah keadaan kucing itu sekarang? Dia tertanya-tanya sendirian. Akhirnya, Husna memanjangkan langkah pergi ke klinik haiwan tersebut.
               
“Ha, Cik Husna… Datang nak tengok kucing ke?” Doktor Haikal, doktor haiwan yang bertugas di klinik itu ramah menyapa Husna sebaik sahaja ternampak Husna masuk ke dalam kliniknya. Kebetulan pula ketika itu tidak ada pesakit.
               
“Ya, doktor. Macam mana keadaan kucing tu sekarang?” tanya Husna sambil menguntum senyum. Dia selesa sekali berbual dengan doktor itu kerana orangnya sangat ramah. Rupa parasnya juga boleh tahan kacak. Berkaca mata berbingkai hitam, rambut belah tepi dan ada sejemput janggut di dagu. Manis sahaja dipandang.
               
“Nampaknya keadaan dia dah semakin baik berbanding semalam. Pembantu saya cakap, dia dah mula makan pagi tadi. Mari saya bawakan awak pergi tengok dia,” ajak Doktor Haikal seraya berjalan mendahului Husna di hadapan.
               
Husna mengekor dari belakang. Doktor Haikal menjemputnya masuk ke dalam sebuah bilik yang menempatkan kucing-kucing yang tercedera dirawat. Dia kira itu merupakan wad kucing. Kucing-kucing di situ ditempatkan di dalam sebuah sangkar khas berjaring yang panjang. Setiap sangkar mempunyai nombor masing-masing sebagai pengenalan identitinya.
               
Doktor Haikal berhenti di sangkar nombor lima, di mana kucing tersebut ditempatkan. Pintu sangkar dibuka luas. Tangannya ligat mengelus-elus badan kucing yang terbaring lemah itu. Namun, kondisinya tidaklah selemah semalam.
               
“Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi keadaannya akan bertambah okey. Awak tak perlu risaulah. Kucing nisaya tengok semangatnya kuat,” terang Doktor Haikal. Sebagai seorang pakar haiwan, dia boleh mengenal pasti daya semangat dan kekuatan yang dimiliki oleh haiwan-haiwan yang dirawatnya.
               
“Baguslah kalau macam tu. Saya harap kucing ni akan cepat sembuh. Nanti legalah sikit hati saya ni, doktor,” jawab Husna. Matanya mengerling kucing itu sambil mengukir senyum.
               
Kucing itu memberi respons dengan mengeong perlahan apabila Doktor Haikal mengusap-usap badannya.
               
“Bagus ada orang macam awak ni. Kasihkan haiwan macam kasihkan nyawa sendiri. Mujurlah awak cepat-cepat bawa dia ke sini semalam. Kalau kucing ni lambat dirawat, mungkin peluang dia untuk hidup tipis.” Doktor Haikal memuji Husna. Terselit perasaan kagumnya terhadap gadis itu.
               
Husna tertunduk malu mendengar pujian yang dihamburkan oleh Doktor Haikal kepadanya. Apa yang dia lakukan adalah sebahagian daripada tuntutan dantanggungjawabnya sebagai seorang manusia. Bukankah setiap hamba Allah itu perlu ada sifat saling kasih mengasihi sesama makhluk?
               
“Kucing pun sama macam manusia jugak, doktor. Ada hati dan perasaan. Cuma orang yang langgar dia tu aje yang tak ada hati dan perasaan,” kecam Husna mengenai sikap lelaki yang melanggar kucing itu.
               
Hatinya masih lagi berasa marah apabila mengenang sikap tidak bertanggungjawabnya. Tidak bolehkah tanamkan sedikit perasaan belas ihsan terhadap kucing walaupun tidak sukakan haiwan itu? Bukannya susah sangat pun.
               
“Betul cakap awak tu, Husna. Tapi, tak apalah, yang penting kucing ni dah selamat. Saya akan pantau keadaannya sampai dia sihat semula. Insya-Allah, dia akan pulih seperti sediakala.” Doktor Haikal memberi jaminan. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan Husna. Tangannya sudah berhenti menggosok badan kucing dan diselukkan ke dalam poket baju kot putihnya pula.
               
Perbualan mereka terganggu sejenak apabila pembantu Doktor Haikal menjengulkan kepala di dalam bilik itu, memaklumkan Doktor Haikal mempunyai pesakit yang perlu dirawat. Doktor Haikal meminta diri dan meninggalkan Husna keseorangan di situ.
               
Kini giliran Husna pula yang membelai-belai tubuh kucing itu. Air matanya bergenang melihat ketabahan yang dipamerkan oleh haiwan tersebut. Lawanlah kesakitanmu itu, wahai kucing.Esok masih ada sinar buatmu, desis hatinya.
               
“Kucing, kau kena kuat semangat tau. Nanti bila kau dah sembuh, aku bawa kau balik ke rumah aku. Kau tinggal dengan aku ajelah. Rumah aku pun banyak kucing. Nanti kau boleh berkawan dengan dia orang,” kata Husna. Di hatinya sudah terdetik mahu membela kucing itu. Tetapi, biarlah keadaannya pulih terlebih dahulu.
               
Setelah hampir 15 minit meluangkan masa di situ, Husna memutuskan mahu pulang. Tombol pintu dipulas dan dia menapak keluar. Sesudah menutup pintu dan berpaling ingin pergi, tanpa sengaja Husna terlanggar seorang lelaki yang kebetulan juga baru keluar dari bilik hadapan bersetentangan dengan bilik dia keluar tadi.
               
“Err… Maaf, encik. Saya tak sengaja,” ucap Husna kelam-kabut. Mujur dia sempat memegang bakul yang dibibit oleh lelaki itu daripada terjatuh.
               
Kenapalah aku cuai sangat? Husna sempat memarahi dirinya sendiri. Bakul itu dihulurkan semula kepada lelaki dilanggarnya tadi.
               
“Eh, kau lagi!” Muka lelaki itu terkejut apabila terpandangkan wajah Husna.
               
Husna mendongak. Terus sahaja matanya membesar. Dia mula rasa tidak tentu arah. Kenapa banyak sangat pertemuan yang tercipta antara dia dengan lelaki itu hari ini? Adakah ini yang dikatakan jodoh? Ah! Tidak inginlah dia bertemu jodoh dengan pembuli kucing ini lagi. Buat sakit hati sahaja. Tanpa berlengah, Husna cepat-cepat berjalan ke arah pintu keluar.
               
“Hei! Tunggu! Aku ada sesuatu nak minta tolong dengan kau ni.” Lelaki itu berteriak dan tergesa-gesa mengejar Husna dari belakang.           
               
Husna berhenti melangkah. Perlahan-lahan dia memusing badan, menghadap lelaki itu semula. Hatinya menahan debar melihat langkah lelaki itu yang semakin mendekat.
               
“Aku…”
               
“Chicky Arshavin.” Tiba-tiba nama tersebut dipanggil oleh seorang petugas di kaunter.
               
Secara serentak, mata lelaki itu dan mata Husna ditarik ke arah kaunter. Sepatah ayat yang keluar dari mulut lelaki itu tadi tergantung lama. Kemudian, lelaki itu menoleh Husna semula.
               
“Aku nak pergi selesaikan urusan kat kaunter sekejap. Kau jangan lari ke mana-mana tau. Tunggu aku kat sini,” pesan lelaki itu sebelum terkocoh-kocoh menghampiri kaunter.
               
Husna hanya memerhatikan gelagat lelaki itu. Apa pula lelaki itu buat di klinik haiwan ini? Mustahil ada kucing yang dia langgar lagi kut. Huh! Tidak mungkinlah baik sangat hati pembuli kucing itu hendak bawa kucing yang dilanggarnya pergi ke klinik. Semalam pun, dia sendiri yang hantarkan, bukannya lelaki itu. Lelaki itu cuma menghantarnya di luar klinik sahaja. Itu pun setelah jenuh dipaksa.
               
“Ada apa ni, encik? Apa yang encik buat kat sini? Encik langgar kucing lagi ke?” soal Husna bertalu-talu setelah mereka berdua keluar dari klinik. Hatinya dihujani pelbagai persoalan.
               
Lelaki itu meletak bakul yang dipegangnya di atas lantai. Sejurus kemudian, dia menepuk-nepuk kedua-dua belah tangan. Badannya digigilkan apabila memandang bakul tersebut.
               
“Huh! Kalau aku langgar, tak adanya aku baik hati nak datang hantar dia ke klinik. Biar ajelah dia mati kat tepi jalan tu,” jawabnya sinis. Matanya menjeling Husna tajam.
               
Husna mencebik. Naik menyampah pula mendengar jawapan itu. Tanya elok-elok pun dijawab secara kurang ajar. Hatinya berasa geram. Memang sah lelaki itu manusia yang jenis tidak ada hati dan perasaan.
               
“Habis tu, dalam bakul tu apa? Biawak ke?” Sinis Husna bertanya sambil melipat kedua-dua tangannya ke dada. Rasanya, tidak salah kut kalau dia meniru rentak percakapan lelaki itu. Kalau dia bercakap lembut sekalipun, lelaki itu tetap bercakap kasar juga dengan dia.
               
“Biawak abah kau! Ni kucing kekasih aku, Chicky. Yang kau duk mandikan semalam tulah. Kau dah lupa? Agaknya, kau ni menghidap penyakit nyanyuk tahap kronik kut.” Lelaki itu pulangkan paku buah keras kepada Husna. Wajahnya begitu garang sekali apabila Husna menyindirnya.
               
Chikcy? Akhirnya Husna berjaya menangkap kucing yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Oh, jadi Chicky Arshavin tadi nama penuh kucing kekasih lelaki itulah. Amboi, nama… bukan main hebat lagi. Macam nama pemain bola antarabangsa Rusia, Andrey Arshavin. Manalah dia tahu Chikcy Arshavin itu merupakan kucing sama yang dia mandikan semalam.
               
“Kenapa dengan Chicky? Dia sakit ke?” tanya Husna sambil cepat-cepat tunduk menjenguk Chicky di dalam bakul. Kata-kata pedas yang ditujukan kepadanya sudah tidak diambil peduli lagi setelah mengetahui keadaan kucing tersebut. Dari celah-celah lubang bakul itu, dia dapat melihat Chicky sedang mengekerot dan kelihatan sedikit lemah.
               
“Semalam, saya tengok kucing ni sihat aje. Kenapa hari ini tiba-tiba jatuh sakit pulak?” tanya Husna lagi. Dia pandang lelaki itu meminta kepastian.
               
“Kau tanya aku, manalah aku tahu! Aku ni bukannya hantu kucing macam kau yang tahu serba-serbi pasal kucing. Dah, dah… Kau jangan tanya aku banyak-banyak. Aku malas nak jawab. Ni, aku nak minta tolong sesuatu dengan kau, boleh?” Lelaki itu bertanya sambil menjongket kening tinggi. Soalan Husna terus berkubur tanpa jawapan.
               
“Tolong apa?”
               
“Tolong aku jagakan kucing ni sekejap. Aku nak pergi makan,” kata lelaki itu.
               
Ha? Mulut Husna ternganga. Lelaki ni sebenarnya betul ke tidak betul? Semalam suruh dia mandikan kucing, beri kucing makan dan tidurkan kucing. Hari ini, suruh jaga kucing pula? Kenapa mesti dia?
               
“Err… kalau macam tu, encik bawalah dia pergi makan sekali,” cadang Husna. Hisy! Ingat aku ni ada banyak masa sangat ke nak jaga kucing orang lain? Aku nak balik rumahlah.
               
“Takkanlah sambil aku makan, aku nak kena jaga dia pulak. Tak berseleralah aku makan nanti. Kau suka kucing, kan? Ha, kau tolonglah jaga kucing ni untuk aku sekejap. Lagipun perut aku dah lapar sangat-sangat ni. Aku belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi, tahu?”
               
Lelaki itu menekankan perkataan tahu sambil mendekatkan mukanya ke muka Husna. Bebola matanya mencerlung Husna dengan tajam.Kepala Husna terdorong sedikit ke belakang dan matanya terkelip-kelip memandang wajah lelaki itu. Air liurnya tersekat-sekat di kerongkong. Eii… Cara lelaki itu bercakap macam gaya Ahlong nak minta hutang sahaja. Kecut perut dia dibuatnya. Tidak beragak langsung!    
               
“Hoi! Yang kau duk tengok-tengok aku macam orang tak puas hati ni, kenapa? Boleh ke tidak ni?” sergah lelaki itu sambil mencekak pinggangnya.
               
Husna tersentak. Hei, dia ni… Tak boleh cakap elok-elok ke? Sudahlah nak minta tolong dengan orang, tetapi budi bahasa dicampak ke laut. Pelik betul. Biasanya, lelaki kalau berjumpa dengan mana-mana perempuan, tutur katanya semua manis-manis belaka. Namun, lelaki itu tidak. Mulutnya jenis mulut longkang, yakni setiap kata-kata yang dilafazkan hanya menyakitkan hati dan perasaan sahaja.
               
“Hmm, yalah….” Husna akhirnya bersetuju. Dia malas mahu bertekak dengan lelaki itu. Sebab itu dia bersetuju sahaja.
               
“Bagus. Kau duduk kat situ jaga kucing tu sampai aku datang ke sini semula, tahu?” pesan lelaki itu sebelum meninggalkan Husna dan berjalan ke arah sebuah restoran berhampiran. Bayangannya menghilang setelah masuk ke dalamnya.
               
Husna pula duduk di kaki lima sambil mengosok-gosok tubuh Chicky yang sedang tidur lena. Terasa panas sedikit suhu badannya. Mungkin kucing itu demam. Dia menduga sendiri. Ketika dia leka bermain-main dengan Chicky, tiba-tiba lelaki itu muncul kembali di hadapannya.
               
“Eh, cepatnya encik makan?” tegur Husna, hairan. Dia segera bangun dan menyapu kotoran di belakang punggungnya. Takkan makan pun macam pelesit juga?
               
“Makan apa, semua lauk kat kedai tu dah habis licin. Makan angin ajelah perut aku ni,” jawab lelaki itu. Terpamer riak hampa pada wajahnya.
               
“Habis tu, macam mana sekarang?” Husna ternanti-nanti apakah rancangan lelaki itu seterusnya.
               
“Tak apalah, nanti aku cuba tengok kat kedai lain pulak. Kau tolong aku sekali lagi, boleh? Tolong bawa kucing tu masuk ke dalam kereta aku,” arah lelaki itu seraya berlalu ke arah keretanya yang diparkir di hadapan klinik tersebut.
               
Husna mengetap bibir. Sekali lagi? Ingat dia ini kuli ke nak suruh buat itu dan ini sesuka hati? Tadi, boleh sahaja lelaki itu pegang bakul itu sendiri. Sekarang, tiba-tiba suruh dia pula? Huh! Ambil kesempatan betullah mamat ni. Kasihankan Chicky, Husna menurut. Pintu kereta bahagian penumpang belakang dibuka dan bakul itu diletakkan di tengah-tengah kerusi.
               
“Bye, Chicky. Jangan lupa makan ubat ya. Nanti cepat sembuh,” pesan Husna kepada Chicky sebelum menutup pintu kereta. Dilambai-lambaikan tangannya sebagai tanda perpisahan.
               
“Kau pesan dekat kucing macam tu, dia faham ke apa yang kau cakap?” tegur lelaki itu yang sedari tadi memerhatikan gelagat Husna. Dia mencemik kurang senang.
               
“Fahamlah kut. Kalau orang macam encik yang cakap, barulah dia tak faham,” perli Husna lantas menghempas pintu kereta dan terus berlalu pergi.
               
“Hoi! Kau nak ke mana tu?” tanya lelaki itu setelah Husna menapak agak jauh.
               
“Balik!” jerit Husna tanpa menoleh.
               
“Jomlah, aku hantarkan.”
               
Husna segera berpaling. Dia salah dengarkah?

© Reeani Annur 2014

2 comments:

  1. Da bli da baca. Story yg sempoi, best terhibur. Tahniah Reeani thumps up.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih, Shzakiah. Meow! :)

      Delete