“APA ni, Encik Peon? Hari tu
janji nak bayar gaji saya akhir bulan ni. Sekarang bila dah sampai akhir bulan,
lain pulak ceritanya. Encik Peon ni selalu aje cakap tak serupa bikin.” Zara
menempelak Encik Peon tanpa bertapis. Bengang sungguh dia dengan bosnya itu.
Cakap putar belit macam benang bersimpul. Sakit hati. Sudahlah dia sedang
sengkek sekarang.
“Zara, saya bukannya tak nak bayar gaji awak. Tapi, syarikat saya
sekarang ada masalah kewangan yang kritikal. Awak sendiri pun tahu kan, kita
dah lama tak dapat projek besar. Jadi, macam mana saya nak bayar semua gaji
awak tu?” balas Encik Peon.
Keadaan syarikatnya sekarang ibarat hidup segan mati tak mahu. Gaji
pekerja pula sudah tiga bulan tidak berbayar. Sebab itu Zara naik angin
dengannya. Nasib baik dia cuma menggaji seorang pekerja sahaja. Kalau ramai,
boleh keluar api dari telinga dengar caci-maki
mereka.
“Encik Peon pun satu hal jugak. Buat bussines entah
apa-apa. Macam mana syarikat nak maju? Orang lain berniaga dapat untung
berjuta-juta ringgit. Tapi, Encik Peon? Hmm... sambung sendirilah ayat saya
tu,” kutuk Zara bersama rasa geram yang membuak-buak.
Majikan tidak bayar gaji berbulan-bulan, siapa yang tidak sakit hati?
Lainlah kalau duit dia berkepuk-kepuk dalam bank. Gaji tertunggak setahun pun
dia tidak hairan atau ambil peduli.
“Amboi, mulut awak... Dah habis tempoh
insurans ya? Dah tu, kalau syarikat saya buat bussines
entah apa-apa, kenapa awak terima jugak tawaran kerja tu dulu?” tingkah Encik
Peon pula sambil bercekak pinggang. Mulut ni Zara tak ada brek langsung. Karang
terbang juga kasut dia masuk ke dalam mulut Zara.
“Saya terima sebab Encik Peon cakap kerja kat sini banyak kelebihan. Gaji
on time setiap bulan. Ada bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap
tahun. Lepas tu dapat macam-macam elaun lagi. Tapi, bila dah masuk kerja
rupa-rupanya banyak yang menyimpang daripada asal. Gaji satu sen pun tak naik.
Tiap-tiap bulan dapat lambat dan banyak tertunggak. Bonus, elaun... tak payah
cakaplah. Ikut suka Encik Peon aje nak bagi dan tak nak bagi. Siapa yang tak
bengang?” Satu per satu Zara bangkitkan
janji-janji Encik Peon yang tidak ditunaikannya.
Tidak ada apa-apa yang perlu dia takut. Dengan Encik Peon, dia memang
tidak suka berselindung. Apa sahaja perkara yang menimbulkan rasa tidak puas
hati, dia akan cakap terus terang dengan bosnya. Malah, Encik Peon sendiri
sudah sedia maklum dengan mulut celoparnya itu.
“Alah, nanti kalau saya dapat projek besar, saya bayarlah semua gaji dan
bonus awak yang tertunggak tu. Termasuk ganti rugi kelewatan gaji awak tu
sekali. Sabarlah sikit,” pujuk Encik Peon lembut. Kata-kata Zara tadi ibarat
masuk ke telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Langsung tidak
meninggalkan apa-apa bekas di hatinya.
Zara mencebik. Naik jelak dia dengar janji manis Encik Peon yang tidak
berapa manis itu. Bukan sekali dua bosnya tabur janji begitu. Masuk kali ini,
sudah tidak terhitung banyaknya. Sungguhpun begitu, dia tidak faham mengapa dia
masih boleh bertahan kerja dengan Encik Peon walaupun kebajikannya sebagai
pekerja sering kali ditindas.
“Encik Peon ni, kalau berjanji dari dulu sampailah sekarang... ayat tu
sama aje. Tak ada ayat lain ke? Sampai masa, habuk pun tak ada. Kalau macam ni,
saya nak berhenti kerjalah.” Muka Zara serius menggertak Encik Peon. Seperti
yang dia duga, muka Encik Peon terus berubah riak.
“Eh, janganlah macam tu. Saya masih perlukan pekerja untuk uruskan hal
syarikat ni. Hanya awak aje harapan saya sekarang. Takkanlah awak nak
tinggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting macam ni? Awak tak kesiankan
saya ke?” Encik Peon buat muka sedih dengan harapan Zara akan menarik semula
kata-katanya tadi.
“Habis, kalau saya terus kerja dengan Encik Peon bukannya saya dapat
apa-apa pun. Tiap-tiap bulan asyik makan pasir aje. Tak berbaloi langsung. Saya
pun teringin jugak nak makan Pizza Hut, Secret
Recipie, Big Apple, Tutti Frutti. Encik Peon tak rasa simpati ke dengan nasib
malang saya?” Zara turut tidak mahu kalah memancing simpati Encik Peon. Memang
syarikat Encik Peon sedang mengalami masalah kewangan yang teruk. Tetapi, dia
yakin bosnya tidaklah sengkek macam dia.
“Isy! Janganlah cakap macam tu. Sedih pulak saya dengar. Nah, ambillah
duit ni. Saya bayar gaji awak dua ratus dulu. Selebihnya saya bayar bila dah
ada duit nanti, okey?” Encik Peon mengeluarkan not 50
ringgit sebanyak empat keping dari dompet lalu
hulur kepada Zara.
Mata Zara bergilir-gilir memandang duit dan muka Encik Peon. Perasaannya
berbolak-balik.
“Dua ratus aje? Mana cukup banyak ni. Nanti nak makan lagi, bayar sewa
rumah lagi. Beli itu, beli ini. Eii... Encik Peon ni kedekut betullah!” sungut
Zara sambil mendecit. Padahal, tadi dia nampak ada banyak duit Encik Peon di
dalam dompetnya.
“Alah... cukuplah tu buat masa sekarang. Awak kena belajar bersyukur,
Zara. Paling kurang, ada jugak gaji awak yang saya bayar bulan ni. Nah, ambil
duit ni pergi beli apa yang awak cakap nak makan tadi tu. Lepas ni, saya tak
nak dengar lagi awak merungut asyik makan pasir aje. Orang lain makan nasi, dia
pulak makan pasir. Malaysia belum darurat lagi tau.” Encik Peon menggesa Zara
menerima duit di tangannya.
Akhirnya Zara akur. Dua ratus pun dua ratuslah,
walaupun kalau diikutkan jumlah itu tidak cukup hendak menampung
perbelanjaannya bulan ini.
“Terima kasih. Tapi disebabkan Encik Peon bayar gaji saya ciput, hari ni
saya minta nak balik awal. Saya dah tak ada mood nak
kerja.” Tanpa menunggu kebenaran Encik Peon, Zara terus mengemas barang-barang
di atas mejanya.
“Yalah... Tapi, esok jangan tak datang
kerja pulak,” pesan Encik Peon sebelum Zara berjalan ke arah pintu.
“Kalau saya rajin, saya datanglah kerja. Kalau malas, kira saya ambil
cuti ajelah,” balas Zara selamba lantas terus keluar tanpa menoleh lagi.
“Isy! Budak ni... suka hati mak bapak dia aje. Aku ke dia yang jadi bos
sekarang?” Encik Peon mengomel sambil menggeleng dua tiga kali. Kemudian dia
ketawa sendirian mengenangkan sikap Zara.
Zara satu-satunya pekerja yang paling lama bertahan di syarikatnya.
Sebelum Zara, dia pernah menggaji beberapa orang pekerja. Tetapi, semuanya
sudah cabut lari sebab tidak tahan dengan masalah yang dialami oleh syarikat. Semangat
bekerja Zara memang buat dia rasa kagum. Walaupun gaji tertunggak
berbulan-bulan, tetapi
Zara tetap setia menjalankan tugasnya. Bukan senang nak dapat pekerja setia begitu.
Kalau orang lain, dia rasa sudah lama hantar notis berhenti kerja.
“ZARA, kau dah dapat gaji ke
belum? Tadi tuan rumah dah telefon. Dia tanya bila nak bayar duit sewa?”
Sheila, teman serumah Zara menyoalnya ketika mereka duduk melepak minum petang
di depan televisyen.
“Dah. Tapi bos aku tu kedekut. Dia bayar dua ratus aje untuk bulan ni,”
jawab Zara tanpa menoleh. Matanya terus ralit menonton drama televisyen yang
disiarkan.
Sheila melopong.
“Ha? Dua ratus aje? Isy, teruk betullah bos kau tu! Nak makan apa dengan
duit sebanyak tu? Belum cukup seminggu pun dah habis,” sungut Sheila. Kasihan
Zara dapat bos tidak berhati perut begitu.
“Nak buat macam mana? Dah banyak tu aje rezeki aku bulan ni. Tak apalah,
nanti aku beri duit sewa tu dekat kau. Esok kau tolong pergi bayar ya.”
“Kau cukup duit ke tak nak belanja? Sewa pun dah 150.
Lepas bayar nanti tinggal baki 50 ringgit aje.
Boleh ke bertahan sampai bulan depan?” Sheila semakin berasa simpati dengan
Zara. Aduhai... Kalaulah dia di tempat Zara,
tentu dia sudah menangis. Dia tahu bagaimana peritnya hidup kalau tidak ada
duit.
Zara tergelak. Sudah tentulah tidak boleh. Nak tunggu bulan depan, ada
lebih kurang empat minggu lagi. 50 ringgit zaman
sekarang banyak manalah sangat nilainya. Bukannya macam zaman 80-an dan 90-an
dahulu.
“Kau jangan risaulah. Pandai-pandailah aku korek duit ASB aku tu kalau
terdesak sangat,” balas Zara sambil mencapai keropok lekor di dalam pinggan.
Balik-balik, duit di dalam akaun ASB itu juga yang menjadi mangsa.
Daripada beribu-ribu, kini sudah tinggal beberapa ratus ringgit sahaja. Kalau
duit simpanannya itu habis nanti, tidak tahulah di mana lagi dia hendak cekau
duit. Nak minta dengan emak dan ayah di kampung memang mustahil.
“Kalau kau tak ada duit, guna duit aku ajelah dulu. Nanti dah dapat gaji
penuh kau bayarlah balik.” Sheila memberi cadangan,
namun Zara tidak bersetuju.
“Tak payah, Sheila. Selama ni pun dah selalu sangat aku guna duit kau.
Naik segan dah aku asyik meminjam dengan kau aje,” kata Zara. Walaupun Sheila tidak
berkira soal duit dengannya, tetapi dia pun ada perasaan malu juga. Dia tidak mahu
ambil kesempatan di atas kebaikan gadis itu.
“Aku kesiankan kau aje. Bab duit ni, aku memang tak ada masalah kalau kau
nak pinjam. Lagipun bukannya kau tak ganti, kan?” nyata Sheila. Disebabkan Zara
seorang yang tidak suka menangguhkan hutang, dia mudah meletak kepercayaan
terhadap gadis itu.
Zara menggeleng laju.
“Tak apalah, guna aje duit aku dapat tadi tu. Aku cukup duit. Kau jangan
bimbanglah,” ujar Zara bersungguh-sungguh meyakinkan
Sheila.
Akhirnya Sheila akur dengan kehendak Zara.
“Lepas ni kau cari kerja lain ajelah, Zara. Tak payahlah kau kerja dekat
situ lagi. Tak sanggup dah aku tengok kau asyik kena tindas aje. Kalau aku jadi
kau, dah lama aku pergi buat laporan dekat pejabat
buruh. Biar bos kau tu kena tindakan
undang-undang. Baru dia sedar diri sikit,” saran Sheila dengan rasa tidak puas
hati.
Biarpun bukan dia yang mengalami nasib malang itu, namun dia boleh
menyelami perasaan Zara. Sesetengah majikan memang pentingkan diri sendiri.
Sedangkan pekerja pun ada tanggungan juga yang hendak disara. Berniaga nak
untung banyak. Tetapi, kebajikan pekerja tidak dijaga dengan baik.
“Aku ada jugak intai-intai kerja lain. Tapi, belum jumpa yang sesuai
lagilah. Pasal nak buat aduan tu, rasa macam tak sampai hatilah pulak. Biar
ajelah... Selagi aku boleh tahan, aku akan
bertahan.” Zara menjawab tenang. Dia yakin, kalau Encik Peon dengar
kata-katanya itu, pasti Encik Peon akan berasa terharu dan cepat-cepat cari
jalan untuk melunaskan semua gajinya yang tertunggak.
Sheila mengeluh panjang. Lemah semangatnya dengar jawapan Zara. Kena
tindas teruk macam tu pun Zara masih boleh bersabar lagi? Kebal sangat dinding
kesabaran Zara ni.
“Bos kau tu sebenarnya kena celik mata luas-luas. Sepatutnya dia kenalah
jaga kebajikan pekerja yang baik macam kau ni. Ingat senang ke nak dapat
pekerja yang setia dalam keadaaan syarikat tak stabil dan kena tindas macam ni?
Eii... nak aje aku pergi jumpa dengan bos kau tu dan beri tazkirah dekat dia
panjang-panjang.” Sheila menumbuk-numbuk lantai, meluahkan perasaan geramnya.
“Tak payahlah kau beria-ia sangat. Mulut aku ni dah berbuih-buih beri
tazkirah dekat dia. Tapi, telinga dia tu tebal macam telinga gajah. Aku cakap
macam ni, dia pusing ikut lain pulak. Buat lenguh rahang aje bercakap.”
“Huh! Patutlah tak makan saman. Telinga gajah rupanya. Kalau macam
keropok lekor ni, aku nak gigit biar sampai putus dua,” omel Sheila seraya
menggigit kasar keropok di tangannya.
“Sheila, kau tolonglah berdoa supaya syarikat bos aku tu dapat projek
besar. Paling kurang nanti dapatlah dia bayar gaji aku yang tertunggak tu.
Selagi aku tak dapat tuntut hak aku, selagi itulah aku takkan berhenti kerja
dekat Syarikat Peon dan cari kerja lain.”
Sheila terus menadah tangan dan berdoa. “Ya Allah ya Tuhanku, Kau murahkan rezeki sahabatku, Zara. Berilah syarikat
tempat dia kerja dapat projek besar dalam masa terdekat ini agar dia dapat
merasa semua gajinya yang tertunggak. Amin!”
“Amin...” Zara meraup mukanya sambil tergelak. Mudah-mudahan termakbul
semuanya.
Sheila cuit paha Zara.
“Zara, nanti kan... kalau kau dah dapat gaji, bolehlah kita pergi shopping baju dan kasut banyak-banyak. Eii... seronoknya,
Zara! Tak sabar nak tunggu saat tu,” ujar Sheila penuh teruja sambil bawa
kedua-dua tangannya ke dada.
“Aku pun tak sabar jugak. Lepas shopping baju dan kasut,
kita pergi tengok wayang. Lepas tu kita makan dekat restoran yang sedap-sedap.”
“Setuju!”
Zara dan Sheila ketawa serentak.
MUSLIM menguap. Dia mengeluh
bosan. Tak ada satu pun rancangan televisyen pada malam itu menarik
perhatiannya. Alat kawalan jauh dicapai lalu dimatikan siaran. Dia berkira-kira
hendak masuk ke bilik. Tetapi, panggilan telefon daripada Sudin menangguhkan
seketika niat tersebut.
“Mus, kau dah tidur ke?” tanya Sudin setelah panggilan bersambung.
“Belum lagi. Baru lepas tengok TV. Ada apa call?” soal
Muslim kembali. Dia menguap lagi selepas itu. Entah kali ke berapa.
“Aku nak beritahu kau satu berita baik. Aku dah jumpa jalan penyelesaian
masalah kau tu.”
Mulut Muslim terkatup secara automatik. Matanya yang sebelum itu terasa
layu kini segar kembali.
“Serius?” soal Muslim tidak percaya.
“Mestilah! Kalau main-main kau marahkan aku pulak,” balas Sudin. Kemudian
dia menyambung lagi. “Jom ambil aku sekarang.
Kita lepak kat kedai mamak. Nanti kat sana aku beritahu kau pasal hal tu.”
“Okey, okey... Kau tunggu sekejap. Dalam
sepuluh minit lagi aku sampai.” Muslim bangkit dari sofa dan bergegas ke kamar
untuk menukar baju dan seluar. Inilah berita yang dia nanti-nantikan.
Harap-harap jalan penyelesaian yang Sudin jumpa itu
bernas dan boleh diguna pakai.
Sampai di kedai mamak, Muslim
terus mendesak Sudin membuka mulut. “Hah, cepatlah cerita macam mana nak
selesaikan masalah aku tu.”
“Kut ya pun, duduklah pesan minum dulu. Aku dahaga ni,” tegur Sudin
seraya mengangkat tangan memanggil pelayan kedai dan memesan minuman.
Setelah pesanan sampai dan membasahkan anak tekak, dia terus membuka
surat khabar yang dibawanya.
“Ha... aku ada nak beritahu kau pasal satu iklan kat dalam surat khabar
ni. Kau dengar aku baca, ya...” Sudin berdeham beberapa kali, membetulkan suara.
Muslim pula menanti penuh sabar dan berdebar-debar.
“Syarikat Peon Sdn Bhd. Kami menawarkan
pelbagai perkhidmatan berkaitan hal remeh-temeh dan hal serius. Jenis-jenis
perkhidmatan yang ditawarkan adalah menjadi ejen penyiasat untuk membongkar
skandal pasangan bercinta atau yang telah
berkahwin. Memberi khidmat nasihat kepada pasangan yang baru pertama kali nak
pergi dating. Menjadi orang tengah kepada pasangan yang bergaduh besar. Menjadi...”
Muslim pantas angkat tangan. “Sekejap! Sekejap! Syarikat Peon ni syarikat
apa? Semuanya dia nak jadi. Ada ke syarikat macam ni yang wujud dalam dunia
yang serba canggih macam zaman sekarang ni?”
Kenyataan yang dibaca oleh Sudin itu menimbulkan rasa ragu. Tidak pernah
lagi dia dengar ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan merapu sebegitu.
Sekiranya benar-benar wujud, bagaimana ia boleh dapat lesen berniaga? Boleh ke
jalankan perniagaan macam tu?
“La... mestilah ada. Kalau tak, takkanlah surat khabar ni iklankan
perkhidmatan syarikat dia pulak,” ujar Sudin. Dia capai gelas air teh tariknya
lalu meneguk beberapa kali.
“Aku tak nak dengar kau baca iklan merepek tu. Aku nak dengar macam mana
cara nak selesaikan masalah aku. Dah, tutup surat khabar tu. Balik semula
kepada topik asal kita. Jangan nak buang masa aku.” Muslim mendengus bengang.
“Ni aku tengah ceritalah ni macam mana nak selesaikan semua tu. Hah, cuba
kau baca ayat terakhir dalam iklan ni. Syarikat kami juga menawarkan
perkhidmatan penyamaran dalam kes-kes tertentu. Menyamar jadi kekasih, tunang,
isteri dan suami orang untuk menyelesaikan masalah kahwin paksa, rela dan
sebagainya. Nah! Inilah jawapan kepada masalah kau tu, Mus!” Sudin menghentak
belakang tapak tangan kiri ke atas tapak tangan kanannya. Tersengih-sengih dia
memandang Muslim.
Muslim terus menarik surat khabar dari
tangan Sudin dan membacanya sendiri. Kemudian dia menguis kasar.
“Huh! Aku tak percayalah dengan syarikat ni. Iklan yang dia buat tu
nampak macam tak berapa nak betul aje. Nama syarikat pun tak profesional tau.
Peon? Dah tak ada nama lain ke yang dia nak guna? Tak sedap langsung aku
dengar. Entah-entah, Syarikat Peon ni syarikat
palsu yang ada unsur-unsur penipuan. Kau jangan, Sudin... Karang bertambah besar pulak masalah aku nanti,” komen
Muslim menolak cadangan Sudin mentah-mentah.
Walaupun perkhidmatan syarikat itu ada kaitan dengan masalah yang dia
sedang hadapi, namun
dia enggan mengambil tindakan terburu-buru tanpa berfikir panjang. Takut
memakan diri sendiri. Dia juga yang akan menyesal nanti.
Sudin tutup surat khabar. Wajah Muslim yang nampak semakin keruh itu
diperhati lama. Mengeluh. Siang tadi bukan main beria-ia lagi Muslim minta
tolong dia cari jalan penyelesaian. Apabila sudah jumpa, Muslim membantah pula.
Banyak songeh betul.
“Habis tu, nak buat macam mana lagi? Ini ajelah cara yang ada buat masa
sekarang. Aku rasa tak salah kalau kau cuba dapatkan khidmat bantuan Syarikat Peon tu. Kalau kau tak nak terima cadangan
ni, terpulanglah. Aku tak paksa. Mungkin kau dah bersedia kut nak kahwin dengan
calon pilihan nenek kau tu.” Sudin sengaja berkata begitu untuk melihat reaksi
Muslim. Dia tahan gelak apabila melihat muka Muslim terus berubah menjadi cuak.
Tahu pun takut, getusnya dalam hati.
Muslim meraup muka ketat sambil bersandar lemah pada kerusi. Serabutnya
fikiran dia.
“Dah tak ada cara lain lagi ke selain tu?” soalnya bersama kening yang
terjongket tinggi. Nafas dihembus kuat bagi meredakan ketegangan yang melanda.
Sudin menggeleng. Dalam banyak-banyak cara, dia rasa itulah cara terbaik
untuk bawa Muslim keluar daripada masalahnya. Tidak perlulah Muslim bersusah
payah nak cari perempuan lain suruh menyamar jadi kekasihnya bagi mengaburi
mata Hajah Rokiah. Syarikat Peon Sdn Bhd pasti sudah ada orangnya sendiri yang
akan melaksanakan tugas tersebut.
“Syarikat Peon tu alamat dia dekat mana?” soal Muslim setelah bergumam
lama.
“Jalan Kota Lama. Alah, dekat Bank Simpanan Nasional tu,” jawab Sudin.
Dia kenal tempat itu. Jadi, tidak ada masalah kalau Muslim ajak dia ke sana.
Muslim termenung seketika. Dia masih buntu dan rasa berbelah bagi hendak
terima cadangan Sudin tadi. Tetapi, dalam keadaan genting macam ni, apa lagi
pilihan lain yang dia ada?
“Okeylah... Kalau macam tu pagi esok kau
temankan aku pergi ke sana sekejap. Kita tengok dulu macam mana keadaan
syarikat tu. Kalau nampak meragukan, kita kensel
guna khidmat dia orang,” putus Muslim sambil mengeluh berat. Boleh ke Syarikat Peon itu bantu dia keluar daripada masalah
ini?
“Okey.” Sudin mengangkat tinggi ibu jarinya kepada Muslim. Kini dia sudah
boleh tarik nafas lega. Selepas ini tidak perlulah dia perah otak lagi.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment