MUSLIM menolak perlahan pintu
pejabat Cili Pedas Sdn Bhd. Sambil memutar-mutar kunci kereta, dia bersiul
riang.
“Hello, sweety, good morning.” Cermin mata hitam
ditanggalkan dan dia kenyit mata nakal kepada Lily sebaik sahaja melintasi meja
kerani merangkap penyambut tetamu syarikat itu.
“Err... Encik Muslim,” panggil Lily sekali gus
mematikan langkah Muslim.
“Kenapa, Lily? Awak jatuh cinta dengan saya ke?” Muslim pamer senyum
nakal.”
Hajah Rokiah,” bisik Lily seraya memuncungkan mulut ke sudut menunggu
yang membelakangi Muslim.
Muslim berpaling. Nak tercabut jantungnya melihat seorang wanita duduk
berpeluk tubuh di atas sofa sambil merenung tajam ke arahnya. Bila masa pula
orang tua ni wujud kat dalam pejabat ni? Kenapa dia tak perasan tadi?
“Dah lama ke dia sampai?” tanya Muslim setelah memandang Lily semula.
Hatinya mula tidak keruan.
“Masa saya sampai pukul 8.00 tadi dia dah ada kat pejabat.”
Mata Muslim terjegil. Sempat dia kerling jam di tangan yang ketika itu
menunjukkan pukul 9.30 pagi. Matilah aku kali ni! Muslim tarik nafas panjang
sebelum menghampiri Hajah Rokiah.
“Assalamualaikum, nenek. Awal nenek sampai hari ni?” tegur Muslim ramah.
Senyum paling manis dia lemparkan kepada Hajah Rokiah dengan harapan neneknya
tidak membebel macam mak nenek.
Hajah Rokiah mengerling Muslim dengan muka masam. “Kenapa? Bos tak boleh
datang kerja awal ke?”
Muslim telan air liur dengar pertanyaan sinis Hajah Rokiah. Walaupun
berasa cuak, namun
dia sedaya upaya cuba bersikap selamba.
“Eh, mestilah boleh. Siapa pulak cakap tak boleh? Yang tak boleh masuk
pejabat lambat hanya pekerja bawahan aje,” balas Muslim tersengih-sengih
sebelum menyambung lagi. “Macam Mus...”
“Hah, tahu pun! Dah tu, kenapa datang lambat jugak? Kalau nenek boleh
masuk pejabat awal, kenapa Mus tak boleh?” Kening Hajah Rokiah tinggi sebelah
menyoal Muslim.
Muslim terkial-kial hendak membalas. Belum sempat dia buka mulut, Hajah
Rokiah sudah bangkit dari sofa dan memberi arahan tegas. “Masuk ke bilik nenek
sekarang!”
“Bad day!” keluh
Muslim perlahan setelah Hajah Rokiah berlalu meninggalkannya. Kenapalah
nasibnya malang sangat hari ni? Sebelum ni kalau datang kerja lambat tak pernah
lagi sampai kena cekup dengan bos sendiri. Depan pekerja lain pula tu.
Memalukan diri sendiri sahaja.
“Selamat dengar ceramah, Encik Muslim.” Lily kemam bibir tahan ketawa.
Muslim berjalan mendekati meja Lily. “Giliran awak, tunggu lepas lepas
saya keluar dari bilik bos.”
Muka Lily berkerut. “Kenapa pulak Encik Muslim nak ceramahkan saya? Apa
kesalahan yang saya dah buat?”
“Kesalahan awak adalah awak tak beritahu saya bos masuk pejabat awal hari
ni. Sebab awak, saya dah kantoi dengan bos,” kata Muslim membuatkan Lily
ternganga.
“Err... maaflah, Encik Muslim. Saya bukannya sengaja tak nak beritahu
Encik Muslim. Tapi, sampai aje pejabat tadi bos terus beri saya kerja. Tak
sempat nak pegang telefon pun.”
Muslim mencebik. “Yalah tu...”
“Sumpah, Encik Muslim. Saya tak tipu,”
tegas Lily bersungguh-sungguh sambil mengangkat tangan kanan separas bahu.
“Apa-apa ajelah. Ni, awak ada kapas?”
Lily pandang Muslim terpinga-pinga. “Encik Muslim nak buat apa pulak
dengan kapas?”
“Nak buat apa lagi? Nak sumbat dalam telingalah. Awak ingat sedap sangat
ke dengar bos membebel?”
Ketawa Lily meledak. Pening kepalanya melayan perangai sengal cucu Hajah
Rokiah itu.
“Saya mana ada simpan kapas. Kalau Encik Muslim nak, cuba pergi tengok
kat dalam first aid kit dekat pantri. Mungkin ada kut.”
“Tanya pasal kapas pun kelakar ke?” bebel Muslim sebelum berlalu
meninggalkan Lily. Langkah diatur ke pantri. Baru sahaja angkat kaki nak masuk,
tiba-tiba terdengar suara Hajah Rokiah melaung panggil namanya.
“Muslim!”
Muslim tersentak lantas menoleh. Dia cemas melihat Hajah Rokiah bercekak
pinggang di muka pintu bilik Pengarah Urusan sambil mencerlungnya penuh tajam.
Alamak! Nenek aku dah naik hantu.
“Ya, ya... Mus datang sekarang,” jawab Muslim menggelabah. Niat nak cari
kapas dibatalkan terus dan terkocoh-kocoh dia pergi ke bilik Hajah Rokiah.
“APA, nek? Kahwin?” Muslim
mengulang semula ayat Hajah Rokiah sebentar tadi.
“Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada
sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan diri orang lain,” putus Hajah
Rokiah dengan penuh serius dan tegas. Dia percaya itulah keputusan terbaik buat
Muslim. Gelaran suami yang bakal Muslim sandang nanti pasti akan membuatkan
dirinya jadi lebih matang dan bertanggungjawab.
Muslim bangun dari kerusi dan menghampiri Hajah Rokiah.
“Apa ni, nenek? Tiba-tiba aje cakap pasal hal kahwin. Takkanlah sebab Mus
masuk pejabat lambat nenek terus nak paksa Mus kahwin. Nenek ni...” Muslim
mendecit tidak puas hati.
“Siapa cakap kahwin tak penting? Sepatutnya, dari dulu lagi Mus dah kena
fikir pasal soal ni tau. Lagipun nenek dah lama bersabar dengan sikap sambil
lewa Mus tu. Buat kerja tak serius. Etika kerja langsung tak ada. Semua perkara
Mus nak main-main. Sampai bila Mus nak jadi macam ni? Mus jangan nak fikir
pasal enjoy aje setiap masa.” Hajah Rokiah
membebel panjang lebar sambil memandang Muslim atas bawah.
Disebabkan sikap itulah dia hanya tawarkan jawatan pengurus kepada Muslim walaupun Muslim layak mengambil
alih jawatannya sebagai Pengarah Urusan di syarikat Cili Pedas Sdn Bhd.
“Yalah, yalah... Mus minta maaf. Lepas ni Mus janji takkan buat lagi
perangai macam tu. Mus akan cuba ubah sikap Mus. Tapi, bukan dengan berkahwin,” nyata Muslim.
Gila apa suruh dia berkahwin semata-mata nak tengok dia jadi seorang
manusia yang bertanggungjawab. Tak sangguplah dia memperjudi
diri sendiri dengan hal sebegitu. Kalau selepas kahwin nanti perangai jadi
semakin teruk, macam mana pula?
Hajah Rokiah menggerakkan jari telunjuk ke kiri dan kanan beberapa kali
tanda tidak bersetuju. Jangan harap dia akan tunduk dengan cakap Muslim itu. “No! No! No! Mus
tak boleh bantah cakap nenek sebab nenek dah ada calon isteri buat Mus. Nenek
pun dah bincang soal ni dengan ibu dan abah Mus. Mereka setuju dengan cadangan
nenek. Jadi, Mus mesti kahwin.”
Muslim terlongo. Inilah berita yang paling pilu pernah dia dengar. Terasa
dirinya seperti watak hero dalam novel yang
terjebak dalam perkahwinan paksa aturan keluarga. Sungguh sukar dia nak percaya
semua ini.
“Yang nenek rajin sangat pergi cari calon isteri Mus tu, kenapa? Kalau
Mus nak kahwin nanti pandai-pandailah Mus cari sendiri. Nenek tak payahlah
susah payah macam ni,” balas Muslim. Geram rasanya apabila orang lain sibuk nak
masuk campur dalam urusan peribadinya.
“Kalau nak tunggu Mus cari sendiri, sampai bila?”
“Bila Mus dah bersedia, Mus carilah. Alah, nenek... janganlah macam ni. Biarlah Mus tentukan hidup Mus sendiri,” pujuk Muslim.
Bahu Hajah Rokiah diusap-usap lembut, cuba memancing simpati agar keputusan
tadi ditarik balik.
Kahwin dengan calon pilihan nenek? No! No! No!
Hajah Rokiah tepis tangan Muslim. “Dah, tak payah nak pujuk-pujuk nenek
lagi. Keputusan nenek muktamad. Nenek dah carikan Mus calon isteri dan Mus kena
kahwin dengan pilihan nenek tu. Kalau tak, nenek turunkan pangkat Mus jadi mat despatch, nak?”
“Mana aci ugut Mus macam ni...” Muslim pandang Hajah Rokiah dengan rasa
tidak puas hati. Dia tahulah neneknya itu bos syarikat Cili Pedas Sdn Bhd dan
semua pekerja kena patuh dengan arahannya. Tetapi, takkanlah soal nikah kahwin
pun dia kena ikut kata telunjuk neneknya juga?
“Kahwin atau turun pangkat!” Hajah Rokiah
berkeras.
“Hah?!” Mulut Muslim ternganga. Dua-dua dia tak nak.
MUSLIM tongkat dagu atas meja.
Pening. Gara-gara fikir pasal soal kahwin paksa, dia tidak ada mood nak buat kerja. Tak patut betul neneknya
buat dia macam ni. Tiba-tiba Muslim teringat dekat kawan karibnya, Sudin. Dia
petik jari kuat. Ya, Sudin! Sudin pasti boleh tolong dia keluar daripada
masalah ini. Tanpa buang masa, dia terus telefon Sudin.
“Sudin, kau free tak sekarang? Aku nak jumpa kau
sekejap, boleh? Penting!” Muslim terus nyatakan hasrat setelah panggilannya
dijawab oleh Sudin.
“Apa yang dah berlaku? Kenapa suara kau cemas semacam aje ni?” soal Sudin
terpinga-pinga.
“Aku ada masalah. Masalah besar dan serius.”
“Serius sangat ke?”
“Sangat. Ini antara hidup dan mati aku. Aku nak minta tolong kau bantu
aku selesaikan masalah tu. Kalau tak, hidup aku akan musnah nanti.”
“Masalah apa?”
“Nanti kita jumpa aku ceritalah. Cakap dekat telefon tak best. Boleh ke tak ni aku nak jumpa kau
sekarang?” tanya Muslim, sekali lagi mendapatkan
kepastian.
“Kalau macam tu, kau datanglah ofis aku. Aku tak boleh keluar sebab tak
ada orang nak jaga ofis. Semua staf keluar pergi seminar,” kata Sudin.
Muslim tarik nafas lega. “Okey, sekejap lagi aku sampai.”
“Eh, kejap-kejap! Kau tak kerja ke hari ni?”
“Kerja. Tapi sekarang aku dah malas nak fikir pasal kerja. Masalah aku
sekarang jauh lebih penting daripada kerja. Okeylah, tunggu aku datang. Chaw!” Muslim terus bergegas
keluar dari bilik pejabatnya setelah menamatkan perbualan dengan Sudin.
Sepuluh minit kemudian, dia sudah berada di pejabat Sudin untuk berkongsi
masalahnya dengan lelaki itu.
“Sudin, nenek aku tu memang dah gila agaknya. Tadi dia cari pasal dengan
aku. Dia cakap, dia dah carikan calon isteri untuk aku. Dia nak suruh aku
kahwin!” Muslim menekankan perkataan kahwin dengan kuat. Gerun rasanya apabila
kena ugut kahwin dengan perempuan yang dia tidak kenal. Macam terlibat dalam
nahas ngeri. Dia tidak sanggup menjadi mangsa korbannya.
Mata Sudin membulat. Tidak berkelip dia pandang muka Muslim.
“Apa? Nenek kau carikan calon isteri untuk kau? Kau biar betul, Mus.
Takkanlah dia dah tak sabar-sabar nak timang cicit kut?”
“Bukan pasal cicit. Tapi pasal nak ubah sikap aku. Katanya kalau aku
kahwin, aku akan jadi lebih bertanggungjawab dekat diri sendiri dan orang lain.
Eii... merepek ajelah orang tua tu. Aku tak tahulah daripada mana dia dapat
idea tak bernas tu.” Muslim melepaskan rasa geramnya terhadap Hajah Rokiah
dekat Sudin.
“Habis tu, kau dah jumpa ke gadis tu?
Cantik tak orangnya? Kalau cantik, kau setuju ajelah. Nanti tak payah dah kau
susah-susah fikir pasal calon isteri,” kata Sudin seakan-akan memihak kepada
nenek Muslim.
Muslim mendengus. Bengang sungguh dia dengar cadangan Sudin itu. Ada ke
patut Sudin suruh dia bersetuju? Itu sengaja
menggelapkan masa depannya.
“Aku belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, aku peduli apa kalau calon
isteri yang dia cari tu cantik ataupun tak. Yang aku tahu, aku tak nak kahwin.
Dan, kau kena tolong aku selesaikan masalah ni,”
tegas Muslim. Mustahil dia akan membiarkan perkahwinan itu berlaku. Dia akan
berusaha cari jalan untuk menghalangnya.
“Aku rasa nenek kau main-main aje tu. Mungkin dia saja nak gertak kau ke?
Salah kau jugak sebab tak kahwin-kahwin lagi sampai sekarang. Kan dia dah sibuk
nak kahwinkan kau,” komen Sudin tergelak-gelak.
“Gertak apa bendanya? Dalam salasilah keluarga aku, apa saja yang keluar
dari mulut dia, tak ada istilah main-main tau. Semuanya serius belaka. Abah aku
pun tak berani nak bantah cakap mak dia tu.” Muslim menyangkal laju tanggapan
Sudin.
Ketawa Sudin lenyap serta-merta. Kalau
begitu, memang besarlah masalah yang dihadapi oleh Muslim. Patutlah Muslim
cemas sangat semasa telefon dia tadi.
“Habis, kau nak aku tolong kau macam mana?” soalnya serius. Wajah Muslim
yang cemberut itu direnung lama.
“Kau tolonglah buat apa-apa yang patut,
asalkan aku dapat keluar daripada masalah ni.” Muslim raup muka beberapa kali.
Stres sungguh dia rasa.
“Senang-senang, kau cari ajelah mana-mana kawan perempuan kau. Minta
tolong dia orang menyamar jadi kekasih kau sekejap. Lepas tu, kau beritahulah
dekat nenek kau yang kau dah ada calon pilihan sendiri. Mesti dia tak jadi nak
jodohkan kau dengan calon pilihan dia tu,” cadang Sudin. Hanya cara itu sahaja
yang terlintas di fikirannya sekarang.
Mata Muslim terkelip-kelip pandang wajah Sudin. “Menyamar?”
Sudin angkat kening. Tersenyum.
“Hmm... cadangan kau tu memanglah bagus. Tapi, masalahnya siapa pulak
yang nak berlakon jadi kekasih aku? Aku ni dahlah tak ramai kawan perempuan.
Kalau ada pun, semuanya dah jadi hak orang. Takkanlah aku nak libatkan dia
orang pulak dalam masalah aku. Karang tak pasal-pasal aku ni kena tuduh
memecah-belahkan hubungan orang lain. Tak boleh. Tak boleh,” ujar Muslim sambil
menggeleng-geleng kepala beberapa kali. Sekarang, dia nak selesaikan masalah, bukannya tambah masalah.
“Itulah kau... Lain kali kalau nak cari
kawan perempuan, carilah yang single and available.
Sekurang-kurangnya, bila ada masalah besar macam ni bergunalah jugak dia orang
tu buat kau. Isy! Susah betullah nak selesaikan masalah kau ni, Mus. Dah ada
cara, tapi tak boleh nak guna pakai pulak.”
Sudin mendecit. Tangannya ligat menggaru-garu belakang kepala.
“Sebab susah nak selesailah aku minta tolong dengan kau. Otak aku ni dah
beku dan tak boleh nak fikir apa-apa lagi dah. Rasa macam nak miring pun ada. Kau tolonglah fikirkan bagi pihak aku.
Carilah apa-apa idea pun. Yang penting boleh bantu selesaikan masalah aku tu.”
Sudin tarik nafas panjang. Dia termangu sekejap sebelum bersuara semula.
“Masalah kau ni bukannya masalah kecil. Nak cari jalan keluar kena perah otak
kuat sikit. Tapi, otak aku ni pagi-pagi dia tak berapa nak cerdas sangat.
Nantilah aku balik fikirkan kat rumah, boleh?”
“Tak kisahlah kau nak fikir kat mana-mana pun. Janji kau ada idea nak
selesaikan semua tu. Macam mana susah sekalipun,
kau tetap kena tolong aku jugak tau sebab ni melibatkan soal masa depan aku.
Aku tak nak hidup aku musnah kat tangan nenek aku. Aku harap dekat kau aje ni.
Tolong aku ya, Sudin...” Muslim menepuk-nepuk bahu Sudin berulang-ulang kali.
Dia amat berharap dapat mengakhiri semua itu secepat mungkin.
“Yalah... Kalau bukan aku, siapa lagi yang
nak tolong kau? Nak harap nenek kau, dia cuma tolong beri kau masalah aje,”
balas Sudin selamba.
Muslim sengih. “Kau cakap macam tu legalah sikit hati aku ni. Aku doakan
otak kau cerdas bila balik rumah karang. Apa pun,
terima kasih banyak-banyak, Sudin. Kaulah kawan aku yang paling sejati kat
dalam dunia ni.”
“Dan maco.” Sudin menambah.
“Betul!” sokong Muslim walaupun dalam hati tidak sepenuhnya.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment