06 July 2015

Benci Tanda Sayang 11

NOR memandang lama mejanya. Hai, siapa pulalah yang rajin sangat buat kerja gila macam ni pagi-pagi buta begini? getusnya sendirian. Hatinya diburu persoalan.
“Eh, Sal... Siapa yang bagi bunga ni?” soal Nor sambil mengerling Saleha yang sedang leka bermain game di dalam komputernya itu. Senang hati betul minah seorang ni.
Saleha memanjangkan leher dan mengerling sekilas ke arah sejambak bunga mawar merah yang terletak diam di atas meja Nor. Dia senyum memandang Nor.
“Alah, siapa lagi kalau bukan bos kesayangan kau tu. Kau tengoklah apa dia tulis kat dalam kad yang dia bagi tu. Cintamu mekar di hati...” ujar Saleha, mengulangi kembali apa yang telah dia baca tadi. Boleh tahan jiwang juga mamat handsome itu. Karang ayat serupa macam lagu rock kapak zaman dulu-dulu.
Nor tersentak. Adib? Dia seperti tidak percaya. Lalu, bunga itu segera dicapai dan dibaca bait-bait ayat yang tertera di atas sekeping kad kecil yang terselit di celah-celah kuntuman bunga tersebut.

Kau mahadewi yang tercipta untukku. Cintamu mekar di hati. ~ Qusyairy Adib.

Ah, terasa seperti mahu pengsan sahaja setelah habis membaca ayat yang Adib tulis itu. Sudah gilakah lelaki itu? Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja beri dia bunga. Isy, menyampahnya! Nor mendengus kasar.
“Nah, ambillah,” ujar Nor lalu bunga mawar itu kemudiannya dihempaskan ke atas meja Saleha.
Saleha tersentak. Dia mendongak.
“Eh, kenapa pulak kau bagi bunga ni dekat aku? Dia bagi dekat kaulah, bukannya dekat aku,” balas Saleha. Bunga itu diletak semula ke atas meja Nor.
“Aku tak nak!” balas Nor lantas menepis bunga itu ke tepi.
“Kau ni peliklah. Orang lain dapat bunga, bukan main suka lagi. Tapi, kau dapat bunga, tak suka pulak. Kau ni, tak ada perasaan ke?” soal Saleha yang hairan dengan sikap kawannya itu. Laju dia membidas Nor.
Setahu Saleha, semua perempuan sukakan bunga. Apatah lagi kalau bunga itu diterima daripada seseorang yang istimewa. Mahunya tidak melompat kegembiraan. Kalau dia sendiri yang dapat, lagilah. Mesti tersenyum bahagia berhari-hari, bukannya mencebik macam Nor.
“Kalau kau suka, kau ambillah. Aku tak kisah pun. Tapi kalau kau tak nak, aku nak buang aje dalam tong sampah,” getus Nor yang sudah bersiap sedia mahu mencampakkan bunga tersebut ke dalam tong sampah. Namun hasratnya itu cepat-cepat dihalang oleh Saleha.
“Eh, kau ni... Ada pulak macam tu. Tak baik tau. Kau kena ingat, kalau ada orang beri apa-apa dekat kita, kita kena hargai. Bukannya suka-suka hati nak buang pemberian orang tu dalam tong sampah!” nasihat Saleha sambil menjeling tajam ke arah Nor. Dia geram dengan sikap Nor yang langsung tidak menghargai pemberian Adib itu. Macam tidak ada adablah pula.
Nor melepaskan keluhan.
“Kau tahu apa maksud pemberian ni?” soal Nor serius, memandang Saleha sambil mencekak pinggang.
Saleha mengangguk laju.
“Maksud dia, Encik Adib tu sukakan kau,” balas Saleha dalam nada yang serius juga.
Apalah Nor ni, soalan macam itu pun hendak tanya dia juga. Sendiri fahamlah. Dalam drama Melayu pun banyak buat cerita fasal lelaki beri bunga kepada perempuan. Kalau bukan sebab suka, sebab apa lagi? Takkanlah sebab benci pula kut. Tidak pernah dengarlah pula.
Nor ketawa sinis. Dia berasa lucu mendengar jawapan Saleha. Adib sukakan dia? Kelakarnya.
“Nope! Maksud dia, pemberian ni kena ada balasan,” balas Nor, menekan kuat suaranya.
“Yalah... kalau dia sukakan kau dan kau pun sukakan dia, memanglah kau kena balas cinta dia,” kata Saleha.
Nor mengetap bibir dengan perasaan geram. Perasaan marahnya sudah tidak dapat dibendung lagi tatkala mendengar kata-kata Saleha itu.
“Hei, kau ni tak faham-faham ke? Aku tak suka dialah. Dan aku pun tak suka bunga ni jugak. Faham! Okey, kalau kau tak nak bunga ni, aku buang sekarang jugak,” ujar Nor.
“Eh, eh... janganlah. Kau ni... Cantik tu bunga yang Encik Adib beri. Kalau tak suka pun, janganlah sampai nak buang dalam tong sampah. Letaklah dalam pasu ke. Boleh jugak buat hiasan kat atas meja ni,” pujuk Saleha lembut. Gila betul si Nor ni. Nanti kalau dilihat oleh Adib, apa pula perasaannya. Tidak pandai jaga perasaan orang langsung, gumam Saleha dalam hati.
“Kalau nak buat hiasan, letak aje kat atas meja kau. Jangan letak kat atas meja aku. Aku tak nak bunga tu semakkan meja aku. Nah, ambil!” sambung Nor lagi.
Bunga itu bertukar tangan. Ah, tidak ada maknanya untuk dia menerima pemberian Adib itu. Semua itu sudah pasti ada maksud yang tersirat. Bukannya dia tidak tahu taktik lelaki yang mahu memikat. Adib memang silap besar kalau mahu memenangi hatinya dengan cara itu.
Saleha tersenyum lebar menerima jambangan bunga tersebut. Dia mencium mawar merah itu berkali-kali. Wangi. Bukan senang mahu dapat bunga daripada mana-mana lelaki. Dengan tunang dia sendiri pun dia jarang terima. Jadi, anggap sahajalah bunga pemberian Adib itu diterima daripada tunangnya.

LIMA minit sebelum pukul 1.00 tengah hari, Hadi keluar dari biliknya. Niatnya mahu turun makan awal. Tetapi apabila melihat Saleha masih berada di mejanya, hasrat itu terbantut. Dia mula panjang akal mahu mengusik Saleha.
“Gugusan hari-hari, indah bersamamu Saleha… Bangkitkan kembali rinduku mengajakmu ke sana…” Hadi menyanyi sambil mengunjurkan tangannya ke arah Saleha sebaik sahaja menghampiri. Sekejap tangannya di dada, sekejap dia pejam mata. Penuh penghayatan dia menyanyi.
“Eii… kau ni, memekak ajelah. Kalau kau nak tunjuk bakat, pergilah masuk uji bakat Mentor ke, Mental ke? Kau menyanyi depan aku, apa yang kau dapat?” cela Saleha. Dia merengus geram melihat gelagat Hadi itu.
Hadi berhenti menyanyi dan tersengih.
“Dapat menghiburkan kaulah. Suara aku kan sedap. Tentulah dapat pikat hati kau pulak nanti,” balas Hadi sambil mengelus-elus rambutnya ke belakang. Keningnya dijongketkan sebelah.
Saleha mencebik. Perasan tidak habis-habis si Hadi ni.
“Yalah… Aku tahulah aku ni tak setaraf dengan tunang kau yang jadi Detektif Conan tu. Tapi aku ada satu kelebihan yang dia tak ada. Aku ada empat mata,” ujar Hadi. Tangannya menggerakkan kaca mata yang dipakainya berulang-ulang kali. Ah, dia melawak sahaja.
Hadi ketawa sendiri. Kemudian, matanya ditarik pula ke arah bunga yang terletak di atas meja Saleha. Dia menyambung lagi pertanyaannya. “Uih, dapat bunga? Siapa yang beri?”
Mata Saleha turut sama mengerling ke arah bunga yang dimaksudkan Hadi. Dia tersenyum bangga.
“Encik Adib,” jawab Saleha.
“Hah? Adib beri kau bunga?” tanya Hadi dengan hairan. Sepantas kilat tangan Hadi menyambar bunga itu dari pasu.
“Hei! Apa ni pegang-pegang bunga orang!” tempelak Saleha. Dia merampas semula bunga itu dan meletakkan semula di tempat asalnya.
“Sejak bila pulak Adib tu sukakan kau? Tak baik tau kau curang dengan tunang kau…” tegur Hadi perlahan.
“Bila masa pulak aku curang dengan dia? Sumbat bunga ni kat dalam mulut tu baru tahu,” omel Saleha dengan geram.
“Habis tu, kenapa dia beri kau bunga?” tanya Hadi lagi yang semakin musykil dengan kata-kata Saleha tadi. Mukanya semakin keruh. Hairan memikirkan apa yang Saleha katakan tadi.
Hari itu, seingat dia Adib cakap dia sukakan Nor. Hari ini, suka Saleha pula? Kasanova memang macam itu kut. Cepat berubah-ubah perasaan. Tanpa sedar, Hadi mengutuk Adib dalam hati.
“Bukan beri dekat akulah. Dia beri dekat Nor. Tapi Nor tak mahu terima, jadi Nor sedekahkanlah pada aku,” terang Saleha. Tangannya ligat membetulkan kuntuman-kuntuman bunga tersebut.
Hadi memuncungkan mulutnya sambil mengangguk.
“Ooo… bunga untuk Nor. Habis tadi, kau cakap Adib yang beri bunga tu dekat kau. Kau nak suruh aku cemburu ek?” usik Hadi.
“Hih, tak kuasalah aku…” balas Saleha. Dia mencebikkan mulutnya.         
“Kau tu yang cakap berkias-kias. Lain kali, cakap biarlah terang sikit. Barulah aku faham,” ujar Hadi mengurut dada. Tidak jadi dia hendak cemburu.
“Kau tu yang tak faham maksud aku. Lurus macam lidi!” bentak Saleha lagi.
“Si Nor ni ke mana pulak? Dah turun rehat ke?” soal Hadi sambil menjuihkan mulut ke arah tempat duduk Nor yang kosong. Atau sudah keluar dating dengan Adib? teka Hadi dalam hatinya.
“Ada kat pantri kut. Eh, dahlah… malas aku nak layan kau. Aku nak turun beli makanan ni. Kalau duk melayan kau, habislah semua lauk kat kedai bawah tu,” balas Saleha lantas tergesa-gesa bangun dari kerusi. Dia sempat menoleh ke pergelangan tangannya.
Tepat-tepat pukul 1.00 tengah hari. Pekerja-pekerja lain pun sudah mula beransur-ansur meninggalkan pejabat.
“Ha… kalau macam tu, aku ikut kau sekalilah,” ucap Hadi sambil tersengih-sengih.
“Eii… sibuk ajelah kau ni!” ujar Saleha. Dia bergegas mendahului Hadi yang mengekori rapat dari belakang.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment