Sekolah Menengah Kebangsaan
Kristal Bayu
LANGKAH kaki Dali terhenti tatkala terpandang Farid dan Bojan
berdiri di luar kelas mereka bersama cikgu disiplin. Ketika itu dia baru sahaja
keluar dari tandas yang terletak di hujung bangunan. Tidak lama selepas itu,
dia lihat punggung kedua-duanya kena libas dengan rotan. Dia segera faham dan
terus berlari masuk ke kelas, mendapatkan Izam.
“Izam, Cikgu Zakri ada buat spot-check
kat kelas sebelah. Farid dengan Bojan dah kena cekup sebab pakai seluar skinny. Jom kita cabut lari sebelum dia datang ke sini,”
beritahu Dali cemas.
Mata Izam terbuntang. “Ha? Kau biar betul?” soalnya mula berasa cuak.
Kelas Farid dan Bojan terletak di sebelah kelas mereka
sahaja. Sempat ke nak lari? Kalau lari, nak pergi ke mana? Sekejap lagi kelas
Biologi sudah hendak bermula.
“Betullah! Takkan aku nak reka cerita pulak. Ha, kau tengok
tu... Dia orang dah kena heret pergi ke bilik disiplin dengan pengawas.” Dali
muncung mulut ke luar kelas apabila melihat Bojan dan Farid lalu depan kelas
mereka. Bojan sempat menoleh ke arah dia dan Izam sambil buat isyarat leher kena kerat.
“Jomlah kita cabut cepat-cepat sementara cikgu tak masuk
lagi ni,” gesanya lagi. Sekejap-sekejap, dia mengerling ke arah pintu kelas.
Risau sekiranya muka Cikgu Zakri sudah terjengul di situ. Nanti tidak sempat
lari pula.
“Okey, jom.” Izam bangun dari kerusi lalu menyusup keluar
bersama Dali melalui pintu belakang. Tiba-tiba...
“Ha! Kamu dua orang tu? Nak pergi ke mana? Mari sini!”
sergah satu suara dengan kuat sekali gus mematikan langkah Izam dan Dali.
“Alamak! Dia dah mai dah. Habislah kita kali ni, Zam. Dapat parutlah punggung
kita nanti,” bisik Dali kepada Izam. Dia sudah mula menggeletar satu badan.
Izam mendecit. Niatnya hendak melarikan diri tidak kesampaian.
Nak tak nak, dia dan Dali terpaksa akur dengan perintah Cikgu Zakri.
“Nak lari ke mana tadi?” soal Cikgu Zakri setelah Izam dan
Dali berdiri di hadapannya.
“Err... Nak pergi ke tandas, cikgu. Sakit perut,” jawab
Izam sambil mengerut muka. Tangannya pula menekan-nekan perut. Dalam masa yang
sama, dia kenyit mata ke arah Dali.
“Halah, cikgu. Saya pun sakit perut jugak macam Izam. Saya rasa,
saya terkena simptom keracunan makanan ni. Aduh! Sakitnya perut saya, cikgu...”
Dali tiru Izam buat mimik muka orang sakit perut.
“Sakit perut ke cuba nak cabut lari? Kamu jangan nak tipu cikgu. Berdiri
betul-betul!” sergah Cikgu Zakri penuh lantang membuatkan Izam dan Dali terus
berdiri tegap.
Sambil mengitari kedua-dua pelajar itu, dia memerhati
penampilan mereka dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. “Seluar yang kamu
berdua pakai ni, seluar jenis apa?”
Izam dan Dali saling tunduk.
“Seluar sekolahlah, cikgu,” jawab Dali selamba.
“Ada ke seluar sekolah yang kaki dia kecil macam seluar
yang kamu berdua pakai ni? Kamu tak tahu peraturan sekolah ke? Tengok! Seluar skinny satu hal. Poket belakang siap bertampal lagi. Kamu
berdua ni memang sengaja nak cari pasal dengan cikgu ya?” Tanpa sebarang
amaran, Cikgu Zakri terus melibas rotan ke punggung Izam dan Dali. Kemarahannya
tidak dapat dibendung lagi. Dia cukup pantang dengan sikap pelajar yang tidak
tahu menghormati peraturan sekolah.
“Aduh!” Izam dan Dali menjerit serentak sambil menggosok
laju bekas libasan rotan tadi.
“Tak payah nak aduh-aduh sangatlah. Sekarang, ikut pengawas
pergi ke bilik disiplin!” arah Cikgu Zakri dengan tegas.
Izam dan Dali akur lalu menonong keluar dari kelas. Hendak
bantah, tidak berani. Silap hari bulan kena sebat sekali lagi, tinggal parut
kekal di punggung nanti.
“HUH! Cikgu Zakri ni memang tak patut betullah. Ada ke patut dia
suruh kita pakai kain pelekat yang dah berbau masam macam ni? Entah-entah ada bekas
kudis buta atau kurap ke? Tak pasal-pasal punggung kita kena jangkitan kuman
nanti,” sungut Izam.
Atas kesalahan memakai seluar yang tidak menepati peraturan
sekolah, dia dan Dali telah didenda pakai kain pelekat sehingga tamat waktu
sekolah.
“Nak buat macam mana lagi? Ini aje pilihan yang kita ada.
Takkanlah kau nak bogel pulak sampai balik?” balas Dali, cuba menyedapkan hati
Izam yang tidak henti-henti bersungut sejak keluar dari bilik disiplin tadi.
Izam jeling Dali sambil mencebik. “Aku bukan macam kau yang
tak peka dengan kebersihan. Kau tu, seluar dalam tak basuh tiga hari pun kau
selamba aje rembat pakai. Pengotor!”
“Shhh... Kau janganlah cakap kuat-kuat sangat. Orang dengar
malu aku nanti.” Dali tersengih-sengih meletak jari telunjuk pada bibir. Mulut
Izam ni puaka habis. Cakap tidak bertapis langsung.
“Kau tak rasa gatal ke pakai kain pelekat ni?” Izam menyoal
sambil tangannya menggaru-garu celah paha dan punggung. Tidak tahulah sudah
berapa lama kain itu tidak dibasuh.
“Kut ya pun punggung kau tu gatal, tolonglah cover sikit. Kau tak nampak ke geng Joyah yang lepak kat
kantin tu tengah sakan duk gelakkan kita?”
Izam terus pandang ke arah sekumpulan pelajar perempuan
yang dimaksudkan Dali. Telinganya berjaya menangkap bunyi ketawa dari mulut masing-masing.
“Oi! Apa gelak-gelak? Nak kena penampar ke?” herdik Izam
geram.
“Lawalah kain pelekat kau. Beli kat mana? Nak pinjam,
boleh?” usik Joyah, ketua kumpulan pelajar perempuan tersebut yang jenakanya
disambut dengan hilai tawa oleh rakan-rakan yang lain.
“Hisy! Minah senget ni nak kena makan tapak kasut aku agaknya.”
Izam sudah naik angin. Dia ingin meluru ke arah Joyah, namun Dali sempat
menarik tangannya terlebih dahulu.
“Kau ni, kena usik dengan perempuan pun nak ambil hati
jugak ke? Tak payahlah layan kalau dah tahu dia tu senget.” Dali cepat-cepat
mengheret Izam pergi. Risau dia kalau Izam bergaduh dengan kumpulan pelajar
itu. Tak pasal-pasal kena panggil masuk bilik disiplin semula nanti.
“Itu bukan mengusik, tapi
menyindir! Kain pelekat lusuh dan busuk macam
ni mana ada lawa. Buat kain buruk bolehlah,” balas Izam mendengus bengang.
Dia berpaling semula ke arah sekumpulan pelajar tadi dan
angkat tangan tinggi, tayang penumbuk. Hatinya semakin terbakar apabila Joyah
membalas dengan menjelir lidah kepadanya.
“Kau tengok! Joyah ejek aku lagi. Isy! Joyah ni memang
melampau betullah. Tak boleh tahan aku macam ni.” Izam tumbuk tangan sendiri,
melepaskan rasa geramnya yang semakin tidak tertahan.
“Sudah-sudahlah tu melayan perangai
dia. Kau bukannya tak tahu yang dia tu kaki
mengejek. Silap hari bulan, kau yang tersentap nanti kalau si Joyah tunjuk jari
tengah dia dekat kau.” Dali menegur Izam. Tak gentleman langsung
cari gaduh dengan orang perempuan.
Izam toleh Dali semula. “Huh! Kau ingat aku gerun sangat ke
dengan jari hantu dia tu? Aku pun adalah. Tapi memang aku bengang habis dengan
si Joyah tu. Kalau ikutkan hati aku yang tengah bengkek ni, nak aje aku tampar
mulut dia sampai berterabur semua gigi dan gusi. Gedik!”
Ketawa Dali meletus. Kelakar pula dengar Izam menyumpah
seranah Joyah. “Kalau Joyah tu Hanis, kau tergamak jugak ke nak tampar dia?”
Hanis? Izam tersenyum. Kemarahannya terus reda setelah
mendengar nama itu disebut. Ah, Dali ni... Kenapa sebut nama Hanis? Tidak
semena-mena pula dia berasa rindu kepada gadis itu sekarang.
“Hanis lain. Mustahil dia akan jadi macam Joyah. Kalau
Hanis yang ejek aku tadi, aku takkan marah. Tapi aku akan cubit-cubit manja aje
pipi dia,” kata Izam tersengih-sengih.
“Tadi bukan main garang lagi. Bila sebut nama buah hati aje
terus mood jadi okey. Tak boleh blah
langsung.”
“Mestilah. Hanis tu ibarat air-cond
yang mampu menyejukkan badan aku yang sedang kepanasan.”
“Ceh!” Dali mencemik. Tak tahan sungguh dengar kata-kata
Izam itu. Melankolik habislah tu kononnya.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment