06 July 2015

Cinta Sama Cinta 3

HUJUNG minggu itu, Izam mengajak Hanis menemaninya ke bandar untuk membeli buku rujukan dan kasut sukan bagi menghadapi pertandingan sepak takraw yang bakal berlangsung pada minggu hadapan. Selesai membeli, mereka singgah di sebuah kedai makan untuk mengalas perut.
“Terima kasih, Hanis, sebab pilihkan kasut takraw tu untuk aku tadi. Harap-harap pasukan sekolah kita akan menang nanti,” ucap Izam. Tidak sabar rasanya hendak turun bertanding pakai kasut yang Hanis pilih. Pasti berkobar-kobar semangatnya menentang pasukan lawan.
“Insya-Allah. Aku doakan kejayaan kau dan pasukan sekolah. Semoga kau terpilih jadi atlit takraw negara jugak nanti,” balas Hanis tersenyum.
Dia tahu, Izam ada bakat dalam sukan itu. Di sekolah, nama Izam menjadi sebutan kerana sering membantu pasukan takraw membawa pulang trofi setiap kali pergi bertanding. Malah, Izam juga turut menjadi rebutan para pelajar perempuan yang meminatinya. Namun, dia rasa bertuah kerana akhirnya dia yang menjadi pilihan hati Izam.
Izam menyedut perlahan teh ais di hadapannya. Terasa lega sedikit tekaknya yang haus.
“Tapi, papa aku tak suka aku jadi ahli sukan. Dia nak aku jadi arkitek macam dia,” jelas Izam.
Hasrat itu memang selalu diluahkan oleh papanya setiap kali dia pulang bercuti ke rumah. Kadang-kadang naik bosan mendengarnya. Sebab itulah dia lebih suka menghabiskan masa cuti di asrama. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan. Hendak bersukan 24 jam pun tidak ada sesiapa yang melarang.
Berbeza halnya kalau pulang ke rumah. Baru sahaja timang bola, sudah kena panggil masuk ke dalam kereta, pergi ke firma papa. Alasan papa, bagi memupuk minat dan memberi pendedahan cara arkitek bekerja.
“Tak apalah. Mana-mana pun tak kisah, asalkan kau jadi orang yang berguna.”
“Lepas habis SPM nanti apa perancangan kau? Kau ada nak sambung belajar ke mana-mana ke?”
“Mestilah. Aku kan nak jadi seorang pereka fesyen. Jadi, aku kenalah sambung belajar dalam bidang tu. Lepas habis belajar nanti aku nak kerja dan kumpul duit untuk buka butik sendiri. Aku nak reka pakaian yang ada label nama aku sendiri,” jawab Hanis mengenai cita-citanya.
Sejak kecil, dia sudah terdedah dengan fesyen. Emaknya seorang tukang jahit dan ada kedai jahit sendiri. Melihat keupayaan emak menghasilkan bermacam-macam jenis baju, secara tidak langsung telah memupuk minatnya untuk mendalami bidang itu.
Izam terlopong.
“Kalau macam tu, tentu ambil masa yang lama, kan? Kesianlah dekat aku nanti terpaksa tunggu kau lama-lama,” sungutnya seakan-akan kecewa.
“Taklah. Mana ada lama. Mungkin akan ambil masa dalam lima hingga tujuh tahun aje. Tapi pejam celik, pejam celik... sekejap aje masa berlalu. Tengok macam kita sekarang, lagi beberapa bulan dah nak habis sekolah dah pun.”
“Bagi kau mungkin sekejap. Tapi, bagi aku tempoh tu lama. Aku risau kalau ada sesiapa yang rampas kau daripada aku nanti,” kata Izam.
Hanis sembunyikan rasa malu di sebalik ketawa kecil yang terlepas dari bibirnya.
“Hanis, lepas habis SPM nanti kita terus kahwin, nak tak?” Izam melamar Hanis tiba-tiba sekali gus membuatkan mata Hanis terbelalak.
Sememangnya dia sudah menjangkakan reaksi Hanis itu. Namun, dia mahu Hanis tahu yang dia serius dan tidak main-main dengan lamaran tersebut.
“Gila apa lepas SPM terus nak kahwin? Tahun depan usia kita baru 18 tahun tau. Takkanlah secepat tu kita nak ikat hubungan ni?” Hanis mempertikai lamaran Izam.
Sempat dia menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan keadaan. Nasib baik tidak ramai orang berada berdekatan mereka. Kalau tidak, pasti ada yang mentertawakan dia dan Izam kerana bercakap pasal hal kahwin. Orang dewasa yang sudah cukup syarat hendak berkahwin pun kadang-kadang terpaksa berfikir 10 kali sebelum buat keputusan hendak berkahwin. Tetapi Izam langsung tidak berfikir panjang.
“Kau tak sudi ke kahwin dengan aku?”
“Bukan tak sudi. Cuma belum tiba masanya lagi. Perjalanan kita masih jauh lagi nak ke arah tu,” sangkal Hanis lembut kerana tidak mahu Izam berasa hati dengannya.
“Salah ke kalau kita kahwin muda? Sekurang-kurangnya kita dapat elak perkara yang tak elok berlaku. Kau sendiri pun tahu kan, orang muda macam kita ni kadang-kadang tak dapat nak kawal perasaan,” balas Izam pula. Dia rasa, tidak ada apa-apa yang salah tentang hasratnya tadi. Dia benar-benar ikhlas nak bina hidup bersama Hanis.
Hanis melepas keluhan panjang. Kata-kata Izam mungkin ada betulnya. Tetapi kahwin bukanlah satu-satunya jalan keluar. “Cara kau bercakap ni mengalahkan orang dewasa yang dah kerja dan ada duit berkepuk-kepuk kat dalam bank tau. Kalau ya pun kau nak kahwin dengan aku, biarlah kita sama-sama berjaya dulu. Bila dah berjaya, barulah kau datang pinang aku. Lepas tu kita kahwin.”
“Semua tu bukan masalah bagi aku. Papa aku dah belikan rumah untuk aku. Duit kat dalam bank aku pun dia selalu tabungkan untuk aku. Jadi, dari segi tu aku rasa kau tak perlulah bimbang sangat. Aku boleh tanggung kau nanti.” Izam bersungguh-sungguh meyakinkan Hanis.
Hanis senyum. Beruntungnya jadi anak orang kaya seperti Izam. Tidak perlu fikir banyak perkara. Mahu apa-apa, semuanya boleh dapat dengan mudah. Namun, dia tidak boleh berfikiran seperti Izam. Ada banyak perkara yang harus dipertimbang sebelum membuat sesuatu keputusan.
“Izam, kahwin ni bukan semudah yang kau fikir. Banyak tanggungjawab yang kita kena tanggung lepas jadi suami isteri. Soal kahwin bukan soal ikatan cinta antara dua hati aje.”
“Tapi, aku dah tak sabar nak bina hidup bersama dengan kau,” tegas Izam. Kalau boleh kahwin hari ini, sekarang juga dia mahu menikahi Hanis.
“Kalau kau betul-betul ikhlas, dah tentu kau sanggup tunggu aku, kan? Lama atau sekejap, itu bukanlah soalnya. Yang penting hati dan perasaan kau. Selagi jodoh tertulis buat kita, insya-Allah kita akan dapat hidup bersama nanti,” ujar Hanis mengharapkan pengertian Izam.
Kahwin dalam usia muda bukan matlamat utamanya. Dia ada perancangan hidup sendiri selepas tamat sekolah nanti. Dia mahu capai apa yang dia inginkan sebelum buat keputusan berkahwin. Itu yang lebih penting.
Izam diam. Terselit rasa kecewa di hati apabila keinginannya itu tidak senada dengan Hanis. Namun, dia berjanji. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap akan pastikan impiannya untuk memiliki Hanis tercapai satu hari nanti.

“IZAM, jom singgah kat gerai apam balik pak cik tu sekejap.” Hanis menggamit Izam.
Mata Izam berkalih ke arah yang dimaksudkan oleh Hanis sebelum jatuh semula ke wajah Hanis dengan muka berkerut.
“Tadi baru aje lepas makan. Tak kenyang lagi ke?” soal Izam pelik.
“Aku teringin nak makan,” ungkap Hanis seraya berjalan mendekati motosikal beroda tiga milik penjual tersebut. Bau aroma apam balik yang manis lagi berlemak itu semakin membuatkan perutnya rasa bergelora walaupun baru sahaja menghabiskan sepinggan nasi ayam sebentar tadi.
Izam menggeleng. Namun diikuti sahaja kemahuan Hanis. Jika itu mampu membuatkan Hanis berasa gembira, dia tidak akan membantah.
“Pak cik, beri saya apam balik dua. Jagung lebih ya,” kata Hanis sambil menaikkan jari telunjuk dan hantu kepada si penjual.
“Untuk siapa satu lagi tu?” tanya Izam. Banyaknya Hanis beli. Tak padan dengan tubuh kurus. Kuat makan mengalahkan Farid.
Hanis tersenyum cuma. Selepas bayar, dia ajak Izam duduk di atas sebuah bangku di kaki lima siar jalan. Apam balik tadi keluarkan dari plastik lalu dihulurkan kepada Izam.
“Satu untuk kau. Satu untuk aku. Makanlah, aku belanja. Apam balik pak cik ni sedap tau.”
Izam tergamam namun tetap menyambut dengan senang hati. Untuk dia rupanya.
“Terima kasih,” ucap Izam lalu terus membuka bungkusan apam balik yang masih panas. Ternyata benar seperti yang diperkatakan oleh Hanis tadi. Rasanya sangat sedap.
“Lepas ni kalau nampak ada orang jual apam balik, aku mesti akan ingat dekat kau.” Izam kerling Hanis yang begitu asyik makan apam balik sehingga tidak sedar bibirnya bersememeh. Comel. Sempat hatinya memuji.
“Sebenarnya aku kurang suka makan kuih manis. Tapi, apam balik ni memang sedap. Manis macam kau,” puji Izam membuatkan Hanis tertunduk malu.
“Makanlah dulu sampai habis. Lepas tu baru puji aku. Karang tak habis pulak aku makan.” Hanis berseloroh, cuba menutup rasa malunya. Lama-lama begini kena kencing manis juga dia nanti. “Lepas ni kita nak pergi ke mana lagi?”
Izam bergumam seketika sambil matanya meliar ke arah deretan kedai yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Bibirnya tidak semena-mena mengukir senyum tatkala terpandang sebuah kedai menjual aksesori perhiasan diri.
“Aku nak ajak kau pergi ke satu kedai. Ada barang yang aku nak beli untuk kau,” ujar Izam.
Kunyahan Hanis menjadi perlahan. Dia pandang Izam dengan muka berkerut. “Untuk aku? Beli barang apa?”
Izam hanya menyimpul senyum sambil menghabiskan potongan terakhir apam balik di tangannya.
“Hanis...” seru Izam perlahan sambil tunjuk isyarat tangannya ke tepi mulut Hanis.
Hanis terkesima lantas cepat-cepat keluarkan cermin kecil dari beg galasnya. Alamak! Malunya...
Izam tergelak melihat wajah Hanis yang sudah bertukar jadi merah.
“Dah lama dah jagung tu duduk kat situ,” bisiknya.
“Jahat!” kata Hanis sambil menyinggung lengan Izam yang mentertawakannya kuat.
Sesudah makan, Izam mengajak Hanis pergi membeli barang yang dijanjikan tadi. Dia pilihkan Hanis seutas rantai perak berloket huruf I dan H iaitu gabungan nama mereka berdua, Izam dan Hanis.
“Rantai ni tanda cinta aku pada kau. Aku harap kau suka,” ujar Izam. Cantik sekali rantai itu terkalung pada leher Hanis.
Hanis tunduk sambil memegang loket. Kemudian memandang Izam penuh terharu. Dia langsung tidak menjangka itulah barang yang Izam hendak beli untuknya.
“Aku suka. Aku akan jaga baik-baik,” ungkapnya. Izam buat bibirnya tidak henti tersenyum pada hari itu.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment