“NENEK rasa warna untuk tema
perkahwinan Mus nanti nenek nak pilih warna coklat pastel atau putih gading. Mus pakai tuksedo. Zara pulak pakai
gaun. Apa pendapat Mus?” Hajah Rokiah tersenyum memandang Muslim di sebelah.
“Err...”
“Hah, lagi satu... nenek nak cipta kelainan. Nenek nak buat konsep forest wedding. Buat dekat kawasan hutan macam FRIM tu. Kiri
kanan penuh dengan pokok-pokok aje. Dengan bunyi cengkerik dan bau alam semula
jadi. Mesti cantik, kan? Silap hari bulan, perkahwinan Mus dan Zara nanti boleh
jadi wedding of the year. Wah! Tak sabarnya nenek nak
tengok semua tu jadi nyata. Mesti meriah sangat-sangat.” Hajah Rokiah saling
menggenggam kedua-dua tangannya sambil memejam mata rapat, membayangkan suasana
tersebut.
Muslim sudah menggaru kepala. Teruja sungguh neneknya merancang
perkahwinan dia dengan Zara. Macam neneknya pula yang hendak berkahwin.
Nampaknya semakin sukarlah dia nak berterus terang hal yang sebenar.
“Kawasan hutan macam tu bukan tempat jin bertendang ke, nek? Nanti tak
pasal-pasal ada orang kena sampuk. Alah... tak payahlah beria-ia sangat. Karang
kalau Mus tak jadi kahwin, nenek jugak yang frust menonggeng nanti,” komen Muslim. Dia tidak tahu di
mana neneknya mendapat idea sebegitu. Mungkin banyak terpengaruh dengan cerita
Tarzan kut.
Kuat tangan Hajah Rokiah menampar paha Muslim. “Isy! Ada pulak cakap
macam tu. Mestilah jadi kahwin. Mak dan ayah Zara pun dah terima pinangan Mus
tu. Hujung bulan ni tercapailah hasrat nenek nak tengok Mus kahwin dengan
Zara.”
Muslim mencongak hari dengan jari. Masanya sudah kian suntuk. Sempat ke
nak halang semua itu daripada berlaku?
“Err, nenek... apa kata kalau kita tangguhkan dulu perkahwinan Mus tu? Kita buat tahun depan ke? Tak pun dua tahun akan
datang ke, boleh?”
“Mus nampak tak pasu bunga besar tu?”
Mata Muslim menghala ke arah pasu bunga hiasan yang terletak di atas meja
berhampiran. Teragak-agak dia mengangguk.
“Mus nak ke nenek hempuk kepala Mus dengan pasu tu?” Hajah Rokiah mendengus
geram. Berapa kali lagi dia hendak mengingatkan Muslim tentang tradisi
berkahwin pada usia 28 tahun yang dipegang oleh
keturunannya?
Muslim mengeluh. Susahlah macam ni. Minta tangguh kahwin pun kena ugut
hempuk kepala dengan pasu bunga. Kalau cakap tak nak kahwin tidak tahulah apa
nasib malang yang bakal diterimanya. Kejam!
“Tapi... hujung bulan ni cuma tinggal beberapa minggu aje lagi, nek. Mana
sempat nak buat semua tu dalam masa yang singkat. Kelam-kabut
majlis kahwin tu nanti,” nyata Muslim lagi.
Dia mahu neneknya sedar,
menguruskan persiapan kahwin bukannya boleh dibuat secara tangkap muat sahaja.
Setidak-tidaknya, perlu ada perancangan yang rapi supaya semua perkara berjalan
lancar. Dia harap neneknya akan segera ubah fikiran setelah mendengar kata-katanya
itu.
“Siapa cakap tak sempat? Nenek kenal ramai perunding perkahwinan kat
dalam Malaysia ni. Bila-bila masa aje nenek boleh minta tolong dengan mereka.
Nenek tak kisah walaupun terpaksa bayar lebih. Asalkan hajat nenek nak tengok
Mus dan Zara berkahwin tercapai.” Bibir Hajah Rokiah terherot-herot. Masalah
yang Muslim nyatakan itu bukanlah satu masalah besar buatnya. Hujung jari
kelengkeng sahaja dia boleh selesaikan.
Muslim hentak tangan kiri ke atas tapak tangan kanannya sambil mendecit.
Dia terlupa neneknya itu ada harta yang tidak akan habis walaupun selepas 10 keturunan. Sudah pasti boleh umpan sesiapa sahaja
melaksanakan apa yang disuruh. Ada duit banyak sangat pun susah juga. Tak ada
duit, lagilah susah!
Rambut Muslim sudah jadi kusut-masai. Kiri
kanan, depan belakang, semuanya ada masalah. Dia sudah tidak nampak mana-mana
jalan keluar lagi. Namun, dia juga tidak mahu mengalah begitu cepat. “Tapi, nek...
Mus masih belum bersedia lagi nak kahwin. Berilah Mus masa sampai Mus
betul-betul rasa bersedia.”
Bagaikan ada spring menolak punggung Hajah Rokiah bangun dari sofa yang
didudukinya. Wajah Muslim yang sedang mendongak memandangnya ditentang
setajam-tajamnya sambil bercekak pinggang. “Apa kena dengan Mus ni? Suruh
kahwin pun susah. Macam-macam alasan yang Mus beri. Dah naik berbulu dah
telinga nenek ni dengar alasan lapuk Mus tu. Kali ni Mus jangan sesekali berani
bantah cakap nenek lagi. Hujung bulan ni, Mus tetap kena kahwin dengan Zara.
Muktamad!”
Muslim terkebil-kebil melihat Hajah Rokiah berlalu meninggalkannya.
AWAL pagi keesokannya, Muslim pergi berjumpa dengan Encik Peon
di pejabatnya dan menceritakan kejadian yang berlaku antara
dia dan Hajah Rokiah pada malam tadi.
Encik Peon mengetuk-ngetuk jari-jemarinya di atas meja. Wajah Muslim yang
sugul itu direnung tidak berkelip. Semakin pening dia dengan masalah yang
dihadapi oleh lelaki itu. Dapat keluar daripada masalah kena kahwin dengan
gadis bukan pilihan, sekarang terjebak pula dengan masalah kena kahwin dengan
gadis lain.
“Senang-senang, awak pujuk ajelah si Zara tu kahwin dengan awak. Habis
cerita. Masalah pun selesai. Lagipun Zara tu masih bujang dan belum jadi milik
sesiapa. Hah, memang sesuai sangatlah kalau awak kahwin dengan dia,” cadang
Encik Peon.
“Masalahnya sekarang... dia tak nak. Sebab tulah cerita ni belum habis
dan masalah saya belum selesai,” jawab Muslim pula penuh runsing.
“Tolak tuah betullah Zara tu. Lelaki kacak macam awak ni pun dia tolak
jugak?” Encik Peon mendecit beberapa kali sambil menggeleng.
Melebar senyum Muslim apabila dengar Encik Peon puji dia kacak. Mungkin
Zara ada masalah mata kut. Sebab itulah Zara tidak nampak kekacakannya.
“Pekerja Encik Peon tu lurus sangat orangnya. Asyik berpegang pada
perjanjian yang Encik Peon buat tu aje,” omel Muslim.
“Maksud awak?” Dahi Encik Peon berkerut cuba menghadam kata-kata Muslim.
“Yalah... Kan dalam perjanjian tu Encik
Peon tulis dia hanya kena menyamar jadi kekasih saya aje, bukannya kena kahwin dengan saya. Sebab itulah dia tak nak kahwin
dengan saya. Lagipun dia cakap dia tak cintakan saya,” terang Muslim.
“Oh... Habis, awak cintakan dia ke?” Encik
Peon serkap jarang. Dia ketawa apabila melihat muka Muslim berubah menjadi
merah. Tahu malu juga rupanya Muslim ni.
“Suka tu adalah. Cinta tu belum lagi kut.” Muslim terkeseng-keseng. Kalau
cinta itu sudah ada sekalipun biarlah dia simpan sahaja dalam hati. Takkanlah
semua perkara dia hendak mengaku depan Encik Peon. Malulah dia nanti.
“Lama-lama nanti jatuh cintalah tu,” usik Encik Peon.
“Tapi tak ada gunanya jugak kalau sebelah pihak aje yang suka. Sebelah
pihak lagi tu buat bodoh aje.”
“Mana awak tahu dia tak suka awak? Entah-entah, dalam diam-diam dia pun
sukakan awak jugak. Cuma dia malu nak mengaku pada awak. Zara tu kadang-kadang
mulut cakap lain. Hati cakap lain. Saya memang kenal sangat dengan perangai dia
tu.” Encik Peon membongkar sisi peribadi Zara kepada Muslim. Dia fikir,
satu-satunya jalan penyelesaian yang ada sekarang adalah Muslim kena berkahwin
dengan Zara. Kalau Muslim tidak tahu cara nak memikat Zara, dia boleh tolong
ajar.
Muslim tersenyum. Kalau betullah apa yang dikatakan oleh Encik Peon itu,
hari ini juga dia ajak Zara kahwin. Tidak perlu tunggu sampai akhir bulan ini
sepertimana rancangan neneknya itu.
“Tapi, Encik Peon... Kalau Zara tak suka, saya
pun tak boleh nak paksa dia. Yalah, Encik Peon takkan tak pernah dengar istilah
cinta cakap cinta tu tak boleh dipaksa. Kalau dipaksa jugak kena makilah
jawabnya.”
“Huh... Setakat kena maki tu apalah
sangat. Bukan ke ada istilah lain yang lebih dahsyat? Lautan api sanggup
direnangi demi sebuah cinta,” balas Encik Peon sambil mengangkat kening.
“Berenang pakai baju kalis api bolehlah. Kalau tak pakai, sengaja cari
maut tu, Encik Peon.” Muslim berseloroh sekali gus
membuatkan suasana di dalam bilik Encik Peon semakin gamat dengan bunyi ketawa.
“Pasal hal Zara tu awak jangan risaulah. Tak susah pun nak handle dia. Perempuan ni biasalah... mula-mula
dia memang jual mahal sikit. Tapi, kalau kena caranya cepatlah hati dia cair,”
kata Encik Peon setelah berhenti ketawa.
“Kalau macam tu, Encik Peon kenalah tolong saya. Otak saya ni dah kering
idea fikir macam mana nak selesaikan masalah ni.”
“Mestilah saya tolong. Kan hari tu saya dah janji dengan awak. Saya akan
pastikan nilai 50 ribu yang awak bayar tu berbaloi.
Sungguh ni, saya tak tipu.” Encik Peon angkat tangan separas dada macam orang
sedang mengangkat sumpah.
Mata Muslim bercahaya. Lega sedikit hatinya mendengar janji yang Encik
Peon tabur itu. “Tapi kalau tak berjaya, agak-agak saya boleh dapat balik tak
duit tu?”
“Mana boleh. Buruk siku namanya tu. Alah, setakat 50 ribu tu apalah yang awak nak berkira sangat. Gaji awak kan
besar. Mesti boleh cover balik
duit yang awak dah laburkan untuk guna perkhidmatan syarikat saya ni.”
Ewah! Encik Peon ingat 50 ribu tu macam 50 sen ke? Bertahun-tahun dia ambil masa kumpul duit
sebanyak itu. Kalau duit boleh dipetik dari pokok sahaja, hilang 50 juta pun dia tidak berasa hairan. Ah, tak ada
gunanya dia nak kesalkan semua itu sekarang. Lebih baik dia fokus pada jalan penyelesaian masalahnya.
“Jadi sekarang, apa yang saya perlu buat?” tanya Muslim selanjutnya.
“Buat macam yang saya suruh,” balas Encik Peon.
Dahi Muslim berkerut. “Buat apa, Encik Peon?”
“Pikat dia.” Encik Peon tersengih sambil menjongket kening.
Muslim terlopong. Berkelip-kelip matanya merenung wajah Encik Peon. Pikat
Zara? Macam mana?
ZARA segera bangun mendekati
Muslim setelah melihat lelaki itu keluar dari bilik Encik Peon. Kehadiran
Muslim yang muncul secara tiba-tiba di tempat kerjanya pada pagi itu mengundang
pelbagai persoalan di fikiran.
“Ada apa hal awak datang jumpa dengan Encik Peon?” soalnya dalam rasa
ingin tahu yang begitu menebal.
“Bincang pasal masalah kita tulah,” jawab Muslim tanpa berselindung.
“Encik Peon cakap apa?”
“Dia cakap...” Muslim tidak jadi meneruskan kata-kata. Tidak mungkin dia
akan beritahu Zara tentang cadangan Encik Peon yang menyuruhnya memikat Zara.
Mengamuk gadis itu nanti.
Dengan perlahan-lahan, dia mendekatkan mukanya ke muka Zara. Sambil
menoleh ke kiri dan kanan, dia berbisik, “Zara, masalah kita dah jadi semakin
besar sekarang.”
Spontan tubuh Zara terdorong ke belakang. Bulat matanya merenung Muslim.
“Maksud awak?” Hati Zara terus disapa debar. Masalah semakin besar? Besar
mana?
Muslim tarik nafas seketika sebelum menghembusnya perlahan. Kemudian dia
berkata, “Nenek saya tetap dengan keputusannya. Dia nak kita kahwin jugak
hujung bulan ni.”
“Saya tak nak!” balas Zara laju. Sesungguhnya dia tidak suka dengar semua
itu. Kenapa Hajah Rokiah kemaruk sangat hendak suruh Muslim kahwin dengan dia?
“Nenek saya cakap, keputusan tu muktamad.”
“Ini mesti sebab awak tak beritahu dia lagi kan pasal hal yang
sebenarnya? Kenapa awak tak cakap? Awak memang sengaja tak nak cakap ek?” Jari
telunjuk Zara naik tepat ke muka Muslim.
“Macam mana saya nak beritahu kalau dia langsung tak beri saya peluang
nak bercakap? Awak tahu tak, dia sekarang dah sibuk uruskan persiapan kahwin
kita tau,” terang Muslim sekali gus membuatkan
mata Zara terbelalak lagi.
“Eii... kalau macam ni, sampai bila-bila pun semua masalah tak akan
selesai!” dengus Zara lantas terus berlalu pergi ke mejanya semula. Argh! Tertekannya dia. Kenapa semua ini harus berlaku
dalam hidupnya? Dia tidak mahu berkahwin dengan Muslim.
Muslim berjalan mendekati Zara. Wajah Zara yang masam mencuka itu ditatap
lama sebelum melafazkan kata. “Zara, kalau kita...”
“Mustahil! Saya tak akan ikut cakap nenek awak tu.” Laju Zara memintas
percakapan Muslim. Dia sudah tahu apa yang Muslim hendak cakap. Jangan harap!
Semua itu tidak akan berlaku sama sekali.
Lidah Muslim jadi kelu seketika. Aik, dia belum habis cakap lagi Zara
sudah tahu apa yang dia hendak cakap. Ada ilmu psikik ke Zara ni?
“Apa lagi awak nak cakap? Awak nak ajak saya teruskan rancangan gila awak
tu? Kahwin enam bulan, lepas tu bercerai. Saya jadi janda dan awak jadi duda.
Macam tu?” Zara mencerlung Muslim dengan muka yang membera.
“Saya tak cakap apa-apa pun. Awak yang cakap macam tu,” nafi Muslim
bersahaja. Dalam hati, dia menggerutu. Memang itu yang terlintas di fikirannya
tadi. Tetapi apabila Zara berkata begitu dia tidak jadi hendak cakap.
“Saya dah tahu apa yang awak fikir. Sebelum awak cakap, lebih baik saya cakap dulu,” ujar Zara.
Muslim mengeluh. Isy! Kenapalah otak Zara ni cepat sangat menangkap? Mati akal dia dibuatnya hendak mempertahankan diri.
Tiba-tiba dia teringat kisah lembu yang Zara beritahu kepadanya beberapa hari
yang lepas. Ya, dia harus memanipulasikan lembu itu supaya Zara tidak ada
alasan untuk mengatakan tidak pada perkahwinan
yang bakal berlangsung pada hujung bulan nanti.
“Ayah awak dah beli lembu ke?” soal Muslim.
“Belum. Tapi kalau dia dah beli tanpa pengetahuan saya, saya harap lembu
tu cabut lari masuk ke dalam hutan,” kata Zara dengan serius.
Muslim ketawa geli hati. Sampai macam tu sekali Zara berharap. Nampak
sangat Zara memang tidak sudi berkahwin dengannya. Perlu ke dia melutut di
depan Zara supaya Zara jadi lembut hati dan bersetuju dengan rancangan
neneknya?
“Awak sanggup tengok ayah awak tanggung rugi? Harga lembu sekarang
bukannya murah tau.”
Hati Zara mula terdetik sesuatu. Adakah Muslim sedang melancarkan perang
psikologi terhadapnya?
“Yang awak tiba-tiba cakap pasal harga lembu ni kenapa pulak?” Zara
bertanya bengang.
“Yalah, lembu pun ada kaitan jugak dalam soal ni. Kalau ayah awak dah
beli lembu, bermakna awak dengan saya... kena kahwin.” Muslim rapatkan
kedua-dua jari telunjuknya sambil tersengih memandang Zara.
Mata Zara terjegil. Dia ketap bibir dan tumbuk meja dengan kuat.
“Hei! Awak ni tak faham-faham lagi ke? Berapa kali saya nak beritahu awak
yang saya tak nak kahwin dengan awak? Ke awak ni ada penyakit pekak? Dah, dah,
dah... Kalau awak ada impian nak duduk
bersanding kat sebelah saya di atas pelamin yang indah, lebih baik awak lupakan
aje. Saya langsung tak berminat nak jadi isteri awak!” tegas Zara penuh
lantang.
“Betul ke awak tak nak? Encik Peon cakap, awak ni selalu cakap terbalik.
Kalau kat mulut cakap tak nak, tapi kat dalam hati sebenarnya nak.” Muslim
tersengih-sengih lagi. Kata-kata nista Zara tadi langsung tidak berbekas di
hatinya. Kali ini, dia sudah nampak jalan bagaimana hendak memerangkap Zara
agar Zara tidak menjumpai jalan keluar. Dia harap Zara dapat memaafkan dirinya
kerana bersikap mendesak.
“Ma... mana ada!” Zara cepat-cepat menyangkal. Sampai begitu sekali Encik
Peon malukan dia di depan Muslim. Sekejap lagi memang dia pergi serang bilik
bosnya itu.
“Encik Peon cakap lagi, kalau awak cakap tergagap-gagap dan pipi awak
jadi merah maknanya apa yang dia cakap tu memang betul,” tambah Muslim. Okey,
ayat ini dia reka sendiri.
Zara pegang kedua-dua belah pipinya. Serentak dengan itu, dia dengar
Muslim melepaskan ketawa kuat. “Harith Muslim! Saya benci awak!”
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment