06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 3

MUSLIM mendongak memandang papan tanda Syarikat Peon Sdn Bhd. Kedudukan bangunannya terletak agak tersorok sedikit dari jalan utama. Tetapi, di sekitarnya ada banyak premis perniagaan seperti bank, kedai makan, klinik dan pejabat. Dia kira, Syarikat Peon itu bukanlah sebuah syarikat terkenal. Mungkin hanya suam-suam kuku sahaja. Atau mungkin juga syarikat yang sudah hendak muflis. Dia sendiri tidak pernah tahu kewujudannya sehinggalah Sudin menunjukkan iklan syarikat itu kepadanya semalam.
“Kau fikir, betul ke apa yang kita tengah buat ni?” Muslim kerling Sudin di sebelah. Entah mengapa kakinya terasa begitu berat sekali hendak panjat tangga pejabat Syarikat Peon Sdn Bhd yang terletak di tingkat dua itu. Macam ada gam di tapak kasut.
“Betul ataupun salah, kita tolak dulu semuanya ke tepi. Sekarang ni, kita dah hampir dengan jalan penyelesaian. Tinggal nak daki anak tangga dan tolak pintu pejabat dia aje,” jawab Sudin cuba meredakan kerisauan hati Muslim. Dia tahu Muslim masih ragu-ragu dengan keputusan yang telah dilakukan. Namun, dia yakin masalah itu pasti boleh diselesaikan.
“Aku rasa tak sedap hatilah, Sudin.”
“Sudahlah... jangan fikir apa-apa lagi. Mari kita naik atas jumpa dengan si Peon tu. Manalah tahu hati kau tu rasa sedap sikit lepas jumpa dia.” Sudin tarik lengan Muslim supaya mengikut dia menaiki anak tangga.
Muslim terpaksa menurut walaupun hatinya bergelut dengan seribu macam perasaan.
Kini mereka sudah berdiri di depan pejabat Syarikat Peon Sdn Bhd. Sudin menolak perlahan-lahan pintu kaca lut sinar berwarna hitam dan menjengulkan sedikit kepalanya ke dalam pejabat tersebut. Sunyi sepi. Ada orang ke tidak ni? Hatinya tertanya-tanya. Serba salah pula hendak masuk.
“Eh, kenapa duk intai-intai macam orang nak mencuri tu? Jemputlah masuk.” Seorang lelaki tiba-tiba menegur Sudin sekali gus membuatkannya terperanjat dan mengurut dada.
Sudin toleh ke belakang. Muslim beri isyarat mata kepadanya supaya masuk.
“Kami nak jumpa dengan Encik Peon. Dia ada?” tanya Sudin setelah dia dan Muslim melangkah masuk.
Berdiri di hadapan mereka, seorang lelaki berbadan kurus yang berkulit gelap dan rambut keriting separas bahu macam Maggi. Lelaki itu memakai baju kemeja kuning dan seluar Khaki berwarna coklat. Kasutnya hitam berkilat.
“Sayalah Encik Peon. Pemilik Syarikat Peon Sdn Bhd ni. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Jangan malu-malu. Kalau ada masalah cakap aje. Orang nama Peon macam saya ni sikap dia suka tolong orang,” ujar Encik Peon dengan ramah. Gembira rasa hati menerima kunjungan dua orang pemuda itu kerana pejabatnya sudah lama tidak didatangi orang. Semoga kedatangan mereka membawa berita gembira buatnya.
Muslim pandang Sudin. Belum apa-apa lagi dah angkat bakul sendiri? Lain macam aje Peon ni. Lebih kurang macam perangai aku jugak, getusnya.
Sudin senyum dan beri isyarat mata kepada Muslim agar bertenang. Dia tahu Muslim mesti ada nak komen apa-apa pasal Encik Peon.
“Hah, kalau macam tu tak sia-sialah kami datang ke pejabat Encik Peon sebab kami memang dalam kesusahan sekarang dan perlukan pertolongan. Sebelum tu, biar saya kenalkan diri dulu. Nama saya, Sudin. Di sebelah saya ni, Muslim,” balas Sudin sambil memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan sebenar kedatangan mereka ke situ.
Senyum Encik Peon melebar tatkala menghulur salam.
“Eh, mari duduk. Tak manis bercakap sambil berdiri. Sila... sila... Buat macam kerusi sendiri.” Encik Peon mengajak Sudin dan Muslim ke satu sudut yang terdapat sebuah sofa panjang.
Sudin dan Muslim duduk. Sebaik sahaja punggung mencecah permukaan sofa, debu-debu berterbangan dan mereka bangkit semula sambil menepuk-nepuk punggung masing-masing.
“Syarikat Peon ni tolong orang selesaikan masalah ke atau beri orang masalah?” Muslim ketap gigi jeling Sudin. Habis kotor seluar dia terkena debu yang bertempek pada sofa yang didudukinya tadi.
“Shhh... jangan cakap kuat-kuat sangat. Nanti dia dengar kecil hati pulak,” bisik Sudin menenteramkan Muslim. Sempat dia intai belakang punggung Muslim. Ada setompok kesan debu melekat pada seluar slek hitamnya. Memang patut pun Muslim rasa bengang. Mujurlah dia pakai seluar berwarna coklat. Kurang sedikit kesan kotor yang kelihatan.
Encik Peon yang melihat situasi itu menggelabah.
“Err... minta maaflah encik berdua. Kerusi pejabat saya ni memang berdebu sikit. Maklumlah, tukang cuci dah lama berhenti kerja. Tapi tak apa, ambil surat khabar ni buat lapik duduk,” ujar Encik Peon lantas mengambil beberapa helai surat khabar lama yang sudah kekuningan lalu menghulur kepada Muslim dan Sudin.
Muslim tercengang. Dia mula rasa tersilap langkah datang ke situ. Cara Encik Peon itu tidak profesional langsung.
“Aku rasa Encik Peon ni tak betullah. Jomlah kita balik,” desak Muslim, tetapi Sudin tidak setuju.
Sudin sambut surat khabar dari tangan Encik Peon dan hampar atas sofa bagi pihaknya dan Muslim. Kemudian dia menggesa Muslim duduk.
“Kau duduk aje diam-diam. Biar aku yang uruskan semua ni,” pujuk Sudin lagi, menepuk paha Muslim perlahan.
Encik Peon tersengih-sengih duduk menghadap Muslim dan Sudin. Nampaknya selepas ini dia kena upah seorang tukang cuci untuk bersihkan pejabat supaya kejadian itu tidak berulang kembali. Tak pun suruh Zara sahaja yang cuci. Jimat sedikit duit mengupah.
“Sekarang, cuba cerita apa yang saya boleh bantu encik berdua?” soal Encik Peon.
Sudin mengerling Muslim sekilas sambil menarik nafas panjang. Kemudian dia meneruskan kata-katanya.
“Begini, Encik Peon. Yang ada masalah, kawan saya ni ha. Saya tolong dia cari jalan aje nak selesaikan masalahnya. Nak jadikan cerita, semalam saya ada terbaca iklan syarikat Encik Peon kat dalam surat khabar. Jadi, saya dan kawan saya ni naklah cuba. Manalah tahu kut-kut boleh selesai ke?”
“Isy! Mestilah boleh. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Tambah-tambah kalau guna khidmat syarikat saya. Lagilah cepat masalah tu selesai. Encik Sudin jangan risau. Objektif Syarikat Peon Sdn Bhd ni ditubuhkan memang nak bantu orang ramai selesaikan masalah. Walaupun khidmat yang ditawarkan tu pelik dan jarang dibuat orang, tapi saya boleh jamin servis syarikat saya, macam ni!” Encik Peon acung tinggi kedua-dua ibu jari dengan penuh semangat semasa menerangkan kelebihan syarikatnya kepada Sudin dan Muslim.
“Untuk pengetahuan Encik Sudin dan Encik Muslim, boleh dikatakan hampir 99 peratus klien saya berpuas hati dengan perkhidmatan Syarikat Peon Sdn Bhd. Keputusan encik berdua nak gunakan khidmat syarikat saya ni memang tepat sangat-sangat. Jadi, jangan ubah fikiran lagi,” sambung Encik Peon lagi. Dalam kepala sudah ternampak duit terbang masuk ke dalam akaun syarikat.
Sudin teruja mendengar penjelasan Encik Peon. Dia terus dekatkan mulut ke telinga Muslim.
“Ha... Kau dengar tu, Mus. Semua orang puas hati guna khidmat syarikat ni. Jadi, kau kenalah yakin masalah kau tu boleh selesai.”
Muslim tidak membalas. Hanya matanya sahaja yang berkelip-kelip.
“Baiklah, kita pendekkan cerita. Apa masalah kawan Encik Sudin ni? Perkhidmatan apa yang dia nak guna?” Encik Peon pandang Muslim yang diam sahaja sejak tadi. Pandang dia pun penuh curiga. Nasib baik kawan di sebelahnya peramah. Selesalah sedikit berbual.
“Dia nak guna khidmat menyamar. Dia perlukan seseorang untuk menyamar jadi kekasih dia,” jelas Sudin.
Encik Peon bergumam. “Boleh ceritakan kronologi kesnya kepada saya? Supaya senang saya nak faham masalah dia.”
Sudin menoleh wajah ke Muslim, meminta persetujuan. Apabila Muslim menjongket kening, dia memandang Encik Peon semula.
“Kawan saya ni kena paksa kahwin dengan calon pilihan nenek dia. Tapi, dia tak setuju sebab dia belum bersedia lagi nak kahwin. Lagipun dia sendiri tak kenal siapa perempuan tu. Jadi, sebab itulah dia perlu upah seseorang jadi kekasih dia untuk elak daripada kena kahwin dengan calon pilihan neneknya tu,” terang Sudin panjang lebar. Rasanya, tidaklah susah sangat kut Encik Peon hendak faham.
“Oh... Kes kahwin paksalah ni ya? Kesiannya. Dah macam cerita dalam novel pulak.” Encik Peon menggeleng sambil mendecit beberapa kali. Namun, decitan itu serta-merta hilang apabila Muslim menjelingnya tajam. Amboi! Jeling maut gitu. Terkesot hati aku.
Muslim mengepal tangan. Baru jumpa beberapa minit sudah berani sindir dia? Tarik rambut baru tahu. Hatinya menggerutu geram.
“Itulah, Encik Peon. Tak sangka pulak dalam realiti, kawan saya yang terjebak dengan kes macam tu. Saya harap sangat Encik Peon tolong dia. Kesian dia. Sampai gugur rambut sebab asyik duk fikir pasal semua tu. Tinggal tak pergi buat rawatan rambut dekat Yun Nam Hair Care aje.” Sudin menokok nambah cerita agar Encik Peon akan berasa lebih simpati terhadap nasib Muslim.”
Bulat mata Encik Peon pandang muka Sudin. “Sampai macam tu sekali?”
Sudin angguk laju.
“Tak apa, lepas guna khidmat syarikat saya nanti insya-Allah masalah rambut gugur tu dapat diatasi. Syarikat saya memang ada banyak pengalaman menguruskan kes-kes macam ni. Saya jamin semua tu boleh diselesaikan dengan baik,” kata Encik Peon yakin.
Sudin pantas mengangkat ibu jari ke arah Muslim.
Muslim hanya senyum tawar. Walaupun kata-kata Encik Peon itu melegakan, tetapi dia tidak boleh berasa gembira sangat selagi belum ada apa-apa tindakan. Manalah tahu kalau cakap Encik Peon tadi hanya sekadar pemanis di bibir. Dia kena bersikap waspada juga.
“Hmm... Dari segi bayarannya macam mana pulak? Berapa Encik Peon caj?” soal Sudin lebih lanjut. Jika bayarannya munasabah, bolehlah selesaikan masalah ini cepat-cepat.
Encik Peon tarik nafas seketika. Bab sebut harga ni dia rasa berdebar sedikit. Bimbang klien mempertikai.
“Untuk khidmat penyamaran ni biasanya saya letak harga 50 ribu ringgit.”
“Apa?! 50 ribu? Mahalnya!” Mata Muslim terbuntang. Sesak nafas dia sekejap. Cekik darah sungguh. Kalau macam ni, lebih baik dia selesaikan sendiri.
“Err... bertenang, Encik Muslim. Memang caj khidmat menyamar ni agak mahal sikit. Tapi saya jamin harga ni berbaloi dengan kualiti perkhidmatan yang syarikat saya tawarkan. 50 ribu tu merangkumi banyak perkara, Encik Muslim. Contohnya legal fees, masa dan tenaga pekerja yang menyamar, risiko keselamatan, upah pekerja dan beberapa lagi faktor lain,” terang Encik Peon lebih terperinci.
Sememangnya dia sudah menduga reaksi terkejut Muslim itu. Malah, pernah juga berlaku satu kejadian di mana seorang klien pengsan di hadapannya akibat terlalu terkejut setelah mendengar harga bayaran yang dikenakan.
Sudin serba salah. Dia tidak tahu hendak sebelahkan siapa. Tetapi, jika Encik Peon boleh selesaikan masalah Muslim, 50 ribu itu apalah sangat nilainya. Muslim pun bukannya tidak ada duit.
“Macam mana sekarang?” soal Sudin kepada Muslim.
Muslim terdiam lama. Dia tidak menemukan sebarang kata putus yang tepat pada masa ini. Sekalipun dia terdesak, tidak mungkin dia akan terima semua itu secara bulat-bulat sahaja. Duit bukannya jatuh dari langit. “Macam nilah, Encik Peon. Beri saya sedikit masa untuk fikirkan pasal tawaran harga tu, boleh?”
“Boleh, tak ada masalah. Saya tak paksa Encik Muslim terima tawaran ni. Tapi, kalau Encik Muslim bersetuju, bila-bila masa aje Encik Muslim boleh datang semula ke pejabat saya dan kita sain surat perjanjian. Ini kad saya. Kalau ada apa-apa masalah, bolehlah hubungi saya.” Encik Peon menghulur kad perniagaannya kepada Muslim, tetapi Sudin yang menyambut.
“Terima kasih, Encik Peon. Kami minta diri dulu,” ucap Sudin sambil bersalaman dengan Encik Peon. Kemudian, dia pamit Muslim keluar dari pejabat Encik Peon.

“50 ribu! Bapak punya mahal bayaran perkhidmatan dia. Aku tak setuju! Buat bazir duit aku aje.” Muslim bersuara sebaik sahaja keluar dari pejabat Encik Peon. Kalau setakat lima ribu mungkin dia boleh pertimbangkan lagi. Ini menyamai kos artis Malaysia nak buat kenduri kahwin. Encik Peon ingat dia ni anak-beranak jutawan Donald Trump ke?
“Memanglah mahal sebab kerja menyamar tu bukannya kerja senang. Orang yang menyamar tu berdepan dengan banyak risiko tau. Tambah-tambah kalau rahsia dia menyamar jadi kekasih kau tu terbongkar. Silap hari bulan, kalau famili kau saman dia atau syarikat Encik Peon tu, macam mana? Kau kenalah fikir ke depan sikit.” Sudin cuba membuka minda Muslim. Dalam masa yang sama, dia juga turut berasa geram dengan sikap Muslim yang berkira. Berhabis duit demi menyelamatkan diri sendiri, apa salahnya?
“Kalau aku bayar 50 ribu tu, tapi hasil yang aku dapat nanti tak memuaskan hati aku, macam mana pulak? Tak ke aku jugak yang menanggung rugi. Lagipun aku tengok Encik Peon tu macam orang tak betul aje. Susahlah aku nak percaya.” Muslim terus menerus berprasangka terhadap Encik Peon. Payah sungguh dia hendak pujuk hati sendiri supaya berasa yakin dengan kemampuan Encik Peon dan syarikatnya.
“Habis tu, kalau kau tak nak guna khidmat dia, kau nak suruh siapa pulak menyamar jadi kekasih kau? Aku?” Sudin tuju jari telunjuk ke muka sendiri. Erk! Takkanlah dia pula yang jadi mangsa?
Muslim pandang Sudin dari atas sampai bawah. Tidak semena-mena dia menggigilkan badan.
“Muka kau tu muka jantan. Tak ada kelembutan dan ciri-ciri perempuan langsung. Kalau kau pakai rambut palsu dan alat mekap sekalipun, tak payah suluh. Terang-terang dah nampak muka pondan. Sah-sahlah nenek aku tak percaya. Karang tak pasal-pasal pulak dia tuduh aku ni gay,” kutuk Muslim tanpa belas. Dia terus berjalan laju mendahului Sudin, mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ.
Sudin melepaskan ketawa kuat. Cis, tak guna betul Muslim ni. Cakap langsung tidak bertapis. Dia berlari-lari anak mengejar Muslim.
“Senang-senang, kau kahwin ajelah dengan calon pilihan nenek kau tu. Habis cerita. Duit kau pun tak melayang,” usul Sudin setelah masuk ke dalam kereta. Siapa tahu, lama-lama nanti Muslim akan berkenan dan jatuh sayang kepada gadis itu? Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
“Tak ada maknanya aku nak ikut cakap nenek aku tu. Aku hanya akan kahwin dengan pilihan hati aku sendiri aje. Aku tak percaya dengan perkahwinan yang diatur oleh keluarga.” Muslim tegas menyatakan pendiriannya sambil menghidupkan enjin kereta. Setelah itu, dia memecut laju meninggalkan kawasan tersebut.
“Aku rasa kan, nenek kau tu banyak sangat kut baca novel pasal kisah kahwin paksa. Sebab tu dia beria-ia sangat desak kau kahwin dengan calon pilihan dia. Yalah... Setahu aku, konsep kahwin paksa ni kebanyakannya sama aje. Mula-mula benci. Lepas tu lama-lama jatuh cinta. Ha... mungkin dia nak jadikan kau sebagai bahan eksperimen untuk tengok keberkesanan teori kahwin paksa ni,” ulas Sudin sambil tergelak. Tiba-tiba dia teringatkan Nadia, buah hati kesayangannya. Nadia pun suka baca novel kahwin paksa. Selepas baca, Nadia buat ulasan di hadapannya pula.
“Nenek aku mana baca novel. Dia baca buku agama aje. Tapi, aku tak tahulah pulak kalau kat belakang aku diam-diam dia baca novel cinta.” Muslim menyambung ketawa Sudin tadi. Suasana di dalam kereta bingit dengan gelak tawa.
“Habis tu... Sekarang macam mana?” Sudin timbulkan semula persoalan yang masih tergantung. Ketawa, ketawa juga. Tetapi masalah mana boleh dibiarkan tanpa penyelesaian.
Muslim mengeluh lemah. Mukanya kembali keruh. Dia rasa tidak berdaya hendak jawab pertanyaan Sudin. Ah! Alangkah bagusnya kalau hidup tidak ada sebarang masalah. Jiwa pasti terasa tenang dan tenteram. 

Reeani Annur 2015


No comments:

Post a Comment