Aku dah nak sampai kat
bus stand ni. Meh datang jemput aku sekarang.
Jari Zara laju menaip SMS kepada Sheila. Beberapa minit kemudian, Sheila
membalas.
Naik bas apa?
Zara merenung lama mesej tersebut.
Aik, buat-buat tanya pula. Macamlah Sheila tidak tahu dia selalu naik bas apa
setiap kali pulang ke kampung. Mengada-ada. Nak suruh kredit telefon dia cepat
habislah tu.
SP BUMI WARNA BIRU, MERAH, OREN, KUNING. NOMBOR PLAT TAW 3333.
Nah! Siap dengan warna dan nombor plat bas sekali dia beri. Sengaja dia
tulis huruf besar biar mata Sheila terang sedikit apabila membacanya nanti.
K.
Zara ketawa kecil membaca balasan mesej daripada Sheila. Sentaplah tu.
Bas henti-henti yang dinaiki Zara akhirnya selamat sampai di Hentian Bas
MBKT. Setelah semua penumpang turun, barulah dia bangun dari kerusi. Sengaja
dia turun lambat disebabkan tidak mahu berebut dengan penumpang lain. Lagipun
dia bawa banyak barang. Dibuatnya nanti jatuh tergolek di tangga, tak ke malu?
Jadi, lebih baik dia pilih jalan selamat.
Baru selangkah pijak anak tangga, dia terkejut melihat Muslim berdiri di
depan pintu bas sambil melambaikan tangan. Perlahan-lahan dia berpaling.
Manalah tahu sekiranya Muslim lambai tangan kepada pemandu bas di belakangnya.
Namun, dia lihat pemandu itu sudah pun keluar menghisap rokok di luar. Jadi,
Muslim lambai tangan ke arah dialah?
“Awak buat apa dekat sini?” soal Zara sambil memandang Muslim atas bawah
dengan muka berkerut.
“Datang jemput awaklah,” balas Muslim.
“Bila masa pulak saya suruh awak datang jemput saya?” Semakin hairan Zara
mendengar jawapan Muslim. Rajin terlajak mamat ni, kutuknya.
“Aik? Tadi bukan awak ke yang mesej saya, suruh saya datang jemput awak?
Siap beritahu warna dengan nombor plat bas sekali.” Muslim menarik keluar
telefon pintarnya lalu menayangkan mesej yang terpapar pada skrin ke muka Zara.
Mata Zara terjegil. Eh, bila masa pula dia mesej Muslim? Seingatnya, dia
hantar mesej itu kepada Sheila. Mustahil dia salah hantar mesej kut? Spontan
Zara hulur plastik yang dipegangnya kepada Muslim. Setelah bertukar tangan, dia
terus merampas telefon Muslim dan baca sepatah demi sepatah kandungan mesejnya.
Kemudian dia tepuk dahi perlahan. Sungguh sukar dia nak percaya semua itu.
Kenapa mesti tersalah hantar kepada Muslim dan bukannya kepada emak atau ayahnya?
“Itu nombor awak, kan?” Muslim sudah tersengih-sengih melihat muka Zara
yang sudah merona merah tatkala Zara mengembalikan telefon pintarnya.
“Memanglah nombor saya. Tapi, saya bukan nak hantar mesej tu dekat awak.
Saya nak hantar dekat housemate saya,”
jelas Zara. Bibirnya dikemam rapat-rapat. Tidak tahu di mana hendak sorok muka.
“Kalau awak rindu saya mengaku ajelah. Jangan buat-buat salah hantar
mesej pulak.”
“Bila masa saya rindu awak? Perasan!” Zara menjeling. Menonong dia turun
dari bas dan tinggalkan Muslim yang terkial-kial membimbit barang-barangnya.
“Zara! Awak nak pergi ke mana tu? Kereta saya parkir dekat sebelah sana,”
laung Muslim sekali gus mematikan langkah Zara.
Zara pusing badan menghadap Muslim semula.
Muslim tunjuk isyarat tangan ke arah tempat letak kereta yang berlawanan arah
dengan arah yang dia tuju sebentar tadi. Alamak! Salah jalan ke?
Muslim pula sudah terkekek-kekek mentertawakan Zara. Tadi sudah dapat
malu. Sekarang dapat malu lagi. Dia berasa simpati terhadap Zara. Tetapi, dalam
masa yang sama dia juga tidak dapat menahan rasa lucunya.
“Malu bertanya sesat jalan,” kata Muslim sewaktu Zara melintas di
hadapannya.
Zara menjeling penuh sebal. Tanpa membalas sindiran Muslim yang
menyakitkan hatinya itu, dia terus melajukan langkah pergi ke tempat Muslim
memarkirkan keretanya. Kalau kereta Muslim kena calar, dia tidak
bertanggungjawab.
“BANYAKNYA buah duku dan
rambutan yang awak bawa balik dari kampung. Ni nak jual semula ke apa ni?”
tanya Muslim sewaktu buka but kereta nak letak barang-barang Zara.
“Taklah. Mak dan ayah saya beri free dekat
awak.”
“Hah? Untuk saya?” Mata Muslim terbuntang pandang Zara.
“Yalah, untuk awaklah. Bakal menantu kesayangan dia orang.” Zara menjawab
sinis. Perkataan bakal menantu sengaja ditekankan sebab hendak perli Muslim.
Meluat tengok muka mimik Muslim yang dirasakan seperti dibuat-buat itu, dia
terus berlalu masuk ke dalam kereta.
“Beruntungnya saya. Belum pun jadi menantu betul-betul, dah jadi
kesayangan mak dan ayah awak,” kata Muslim sebaik sahaja duduk di sebelah Zara.
Dia tersenyum memandang Zara yang sejak tadi asyik tarik muka masam
dengannya. Dia tahu hati Zara masih mendongkol pasal tadi. Nampaknya, dia kena
cari jalan untuk pujuk Zara sampai tersenyum semula.
Zara hanya menjeling. Malas nak melayan cakap-cakap Muslim yang terlebih
perasan itu.
“Kita dah tak ada masa. Saya nak awak selesaikan hal tu cepat-cepat
sebelum ayah saya pergi beli lembu,” ujar Zara dengan nada serius.
Entah mengapa, apabila teringat kata-kata ayahnya semalam dia jadi kecut
perut. Semasa majlis perkahwinan kakak dan abangnya dahulu, ayahnya tumbang
seekor lembu sahaja. Apabila tiba giliran dia pula sampai dua ekor. Tak patut!
Muslim ketawa tiba-tiba.
“Apa yang kelakar sangat?” Zara ketap bibir geram.
“Ayah awak tu mesti tak sabar-sabar kan nak tengok awak kahwin? Saya
tanya sikit, boleh? Dalam keluarga awak, berapa orang lagi adik-beradik awak
yang masih belum kahwin?”
“Semua dah kahwin kecuali saya.”
“Patutlah. Habis tu, awak tak teringin nak
kahwin ke?”
“Kalau saya tak nak kahwin sampai bila-bila pun, awak peduli apa? Dah,
jangan sibuk-sibuk sangatlah nak tahu pasal diri saya. Selesaikan dulu masalah
yang awak dan nenek awak beri kepada saya tu.” Zara mendengus sambil melipatkan
tangan ke dada. Dalam hatinya sekarang bukan main risau lagi memikirkan masalah
itu.
Tetapi, Muslim pula kelihatan tenang-tenang sahaja. Mana perginya
perasaan lelaki itu?
Muslim tarik nafas. Amboi, dia tanya elok-elok pun kena marah juga?
Datang bulan agaknya Zara ni.
“Awak rasa kalau saya suruh nenek saya tarik balik pinangan tu, semua
masalah akan selesai ke?” tanya Muslim setelah keretanya mula bergerak di atas
jalan raya.
“Habis tu, kalau kita kahwin, semua
masalah akan selesai ke?” Soalan Muslim dibalas dengan soalan.
“50 ribu, Zara. Bukannya 50 ringgit duit yang saya labur untuk selesaikan
masalah ni. Hangus macam tu ajelah nampaknya,” keluh Muslim sambil hela nafas
lemah.
Buat penat sahaja dia kumpul duit selama ini. Kalaulah dia tahu usaha itu
tidak membuahkan hasil, tidak ingin dia ambil risiko sebesar itu. Kan bagus
kalau dia derma kepada rumah anak-anak yatim. Ah! Tetapi apa gunanya dia
menyesal sekarang?
“Sebelum awak dapatkan khidmat syarikat Encik Peon hari tu awak
sepatutnya fikir dulu 10 kali. Sekarang bila dah
jadi macam ni, siapa yang susah? Dengan saya sekali yang dapat susah!” Zara
menempelak.
Biarlah. Dia tetap hendak salahkan Muslim juga. Sebab Muslimlah orang
yang bertanggungjawab heret dia ke dalam masalah ini. Muslimlah punca segala
kecelaruan yang berlaku. Encik Peon pun sama.
“Saya terdesak. Tak ada pilihan. Kalau ada, saya pun tak sanggup nak
buang duit sebanyak tu bagi dekat bos awak.”
“Kenapa awak tak ikut aje cakap nenek awak? Kan senang.”
Muslim getap rahang. Naik geram dia dengar kata-kata Zara itu. Mudahnya
Zara bercakap. Zara tidak duduk di tempatnya bolehlah cakap macam tu. “Senang
awak cakap? Kalau saya ajak awak kahwin dengan saya, awak sanggup tak?”
“Tentulah tak sanggup. Saya bukannya cintakan awak pun.”
“Jadi, itulah jawapan saya untuk soalan awak tadi tu. Lain kali, sebelum
tanya apa-apa, fikir dulu 10 kali!” Muslim
menjeling Zara bersama senyum mengejek.
Zara tahan bengang dalam hati. Alih-alih dia pula yang kena perli dengan
Muslim. Sakit hati betul.
Muslim membelok kereta masuk ke persimpangan jalan menuju ke Pantai Batu
Burok. Kemudian dia berhenti di bawah sepohon pokok ru.
“Kenapa pulak kita berhenti dekat sini?” soal Zara hairan. Sekejap dia
pandang Muslim. Sekejap dia pandang ke luar. Suasana di persekitaran pantai itu
dilihat agak lengang. Hanya terdapat beberapa buah kereta sahaja yang berhenti
mengambil angin.
“Jom kita lepak-lepak sekejap sambil makan buah duku dan rambutan yang
bakal mentua kesayangan saya kirim tu,” ujar Muslim seraya mematikan enjin
kereta.
Pintu dikuak luas. Serentak itu, angin pantai terus menyapa tubuhnya.
Terasa nyaman sekali. Duduk bersama orang yang dia suka, lagilah terasa nyaman.
Muslim kerling Zara sekilas sambil tersenyum nakal. Dia suka Zara? Suka gila
kut.
“Saya nak baliklah. Tak boleh ke kalau awak hantar saya balik ke rumah
dulu?” desak Zara kurang selesa.
“Tentulah tak boleh,” jawab Muslim selamba lantas terus keluar dan pergi
ke belakang kereta.
Zara merengus. Mendidih hatinya dengar jawapan Muslim. Kalau Muslim nak
makan sangat, biarlah Muslim makan sorang-sorang. Dia malas mahu ikut serta. Tubuh
disandarkan malas pada kerusi dengan mata terkatup rapat. Namun, bunyi cermin
diketuk bertalu-talu membuatkan matanya celik kembali. Dia menoleh ke kiri.
“Mak!” jerit Zara sambil menekup muka.
Serentak itu, telinganya menangkap bunyi suara orang ketawa dari luar kereta.
Tangan dijatuhkan semula perlahan-lahan. Tidak tunggu lama, dia terus keluar
dan menghempas pintu kuat.
“Awak ni nak suruh saya mati terkejut ke? Kalau saya betul-betul mati
tadi macam mana? Awak nak bertanggungjawab?” Zara bercekak pinggang memarahi
Muslim. Kalau dia jadi raksasa, memang dia sudah telan Muslim hidup-hidup.
“Iman awak tu dah penuh ke kat dada nak mati betul-betul?” soal Muslim
pula. Makin menyemarakkan lagi kemarahan Zara.
“Awak ni...” Zara kacip gigi dan kepal tangan. Bengkak hati dengar ayat
pedas yang Muslim tuju kepadanya. Buat dia rasa macam nak jerit kuat-kuat, biar sampai pantai itu dilanda ribut pasir.
“Saya buat macam tu sebab nak suruh awak keluar. Nak ajak awak temankan
saya makan buah duku dan rambutan ni. Tak boleh ke?” Muslim terus berlalu pergi
ke belakang kereta semula. Dia ajak Zara keluar elok-elok Zara tidak mahu.
Jadi, terpaksalah dia guna cara kasar begitu. Apabila teringatkan muka Zara
yang terkejut tadi, dia ketawa sendirian. Lucu habis.
Zara mendengus. Kalau ya pun nak suruh dia keluar, tak boleh guna cara
yang sopan sikit ke? Ini gaya setan bertanduk dengan mata terjuling dan lidah
terjelir itu juga yang Muslim guna pakai. Ingatkan hantu betul tadi. Zara
berjalan lambat-lambat pergi mendekati Muslim yang dilihat begitu kusyuk makan buah
duku dan rambutan. Seolah-olah di sepanjang hayatnya, Muslim tidak pernah
langsung makan buah-buahan tersebut.
Apabila menyedari kelibat Zara semakin mara ke arahnya, Muslim terus
bersuara, “Hmm... manisnya buah rambutan ni. Awak nak?”
Zara menggeleng, menolak buah yang Muslim hulurkan kepadanya.
“Sedap ni. Takkanlah awak tak terliur tengok saya makan?”
“Saya dah makan banyak dekat rumah semalam.”
“Alah, itu dekat rumah awak. Sekarang dekat pantai. Banyak bezanya tu.
Ambillah.” Muslim terus menggesa Zara supaya mengambil buah itu dari tangannya.
Akhirnya Zara mengalah. Teragak-agak dia menyambut. Namun, rambutan itu
hanya digenggam sahaja di dalam tangan. Matanya
terus ralit memerhatikan Muslim makan.
“Hmm... buah duku ni pun manis jugak rasanya. Macam muka awak,” usik
Muslim sambil menyimpul senyum pada bibir.
Zara terkedu. Tidak tahu sama ada hendak senyum atau mencemik. Mukanya
tiba-tiba sahaja jadi panas. Bagi menutup rasa malu, dia cepat-cepat ubah topik
lain. “Awak ni tak ada kerja ke dekat pejabat? Macam banyak masa sangat ajak
saya melepak dekat sini.”
Kalau diikutkan, sekarang memang waktu bekerja. Muslim sendiri pun pakai
baju kemeja dan seluar slek. Lengkap dengan tali leher lagi. Tetapi yang
peliknya, boleh pula Muslim datang jemput dia di stesen bas dan ajak melepak di
tepi pantai.
“Kerja banyak. Tapi malas nak hadap lama-lama. Hadap muka awak lagi
seronok,” jawab Muslim tersengih-sengih memandang Zara. Manalah tahu selepas
berjumpa Zara mood malasnya akan bertukar
menjadi luar biasa rajin.
Zara tertunduk malu. Kakinya menguis-uis
pasir. Ah! Muslim... Itu baru beberapa biji
telan buah duku dan rambutan manis. Kalau habis sampai dua plastik, ada
kebarangkalian dia akan mendapat penyakit kencing manis akibat dengar ayat
jiwang karat Muslim itu.
“Eh, saya gurau ajelah. Awak janganlah marah,” kata Muslim apabila Zara
menghulurkan kembali buah rambutan kepadanya. Kasar sangat ke gurauan dia tadi?
“Mana ada saya marah,” sangkal Zara.
“Habis tu, kalau tak marah kenapa beri balik buah ni pada saya?”
“Sebab... saya nak minta tolong awak kupaskan untuk saya.”
Muslim pandang Zara dan buah di tangannya bergilir-gilir.
“Awak nak suruh saya kupaskan untuk awak?” tukasnya inginkan kepastian.
Zara angguk.
“Maksudnya... awak nak manja-manja dengan sayalah ni ya? Oh, boleh
sangat. Kalau awak nak suruh saya suapkan awak makan lagilah
sudi tolong,” kata Muslim dengan hati yang berbunga-bunga. Namun, dia terlopong
apabila Zara tarik semula tangannya tatkala dia mahu ambil buah rambutan itu dari tangan Zara.
“Tak ada maknanya saya nak manja-manja dengan awak!” Zara menidakkan
tanggapan Muslim tadi.
“Kalau macam tu awak kupaslah sendiri.”
“Saya tak pandai.”
“Hah? Betul ke ni? Awak tak tipu saya?” Tidak berkelip Muslim renung
Zara.
Zara teragak-agak mengangguk. Segannya nak mengakui kelemahan itu kepada
Muslim. Tetapi, sekarang dia tidak mampu nak sembunyikannya lagi.
“Saya memang tak pandai kupas buah rambutan sejak dari kecil,” jelas
Zara. Kalau di kampung, emak dan ayahnya yang selalu kupaskan apabila teringin
hendak makan. Di bandar pula, Sheila yang selalu menjadi mangsa suruhannya.
“Oh... Macam tu ke?” Muslim kemam mulut.
Pipinya pula sudah kembung tahan ketawa. Tinggal hendak dilepaskan sahaja.
“Jangan gelak!” Zara siku lengan Muslim, memberi amaran dengan mimik muka
serius.
Muslim menggeleng dua tiga kali.
“Tak... saya tak gelak,” nafi Muslim. Namun, tidak sampai beberapa saat,
ketawanya terus meletus kuat.
“AKU punyalah lama tunggu kau
mesej aku. Alih-alih kau balik dengan mamat tu? Kau ni memanglah. Buat penat
aje aku bersiap pakai baju lawa-lawa.” Sheila hempas punggung di atas kusyen
sambil mendengus. Geramnya dia apabila Zara mungkir janji.
Zara ikut duduk di sebelah Sheila dan memegang lengannya erat. “Maaflah...
aku bukannya sengaja nak tipu kau. Tapi, aku sendiri pun tak tahu macam mana
aku boleh tersilap hantar mesej dekat si Muslim tu. Aku ingatkan kau yang balas
mesej aku.”
“Dalam kepala kau tu memang duk teringatkan dia kan. Sebab tu kau salah
hantar mesej dekat dia. Sampai nombor aku pun kau tak cam.” Sheila menjeling
Zara sambil berpeluk tubuh.
“Mana ada!” Zara pantas menyangkal tanggapan Sheila.
“Ada. Kau aje yang tak nak mengaku.”
“Tak baik tau buat fitnah macam tu. Alah, Sheila... janganlah merajuk. Ha...
aku ada bawa balik buah duku untuk kau. Dikutip segar dari kebun buah ayah aku.
Kau suka makan buah duku, kan? Ini, banyak ni... Buah
rambutan pun ada ayah aku kirim untuk kau.” Zara mencapai plastik buah duku dan
rambutan lalu meletaknya di depan Sheila.
Harap-harap rajuk Sheila akan cepat hilang apabila terpandang buah
kegemarannya.
Sheila mencemik. “Nak rasuah akulah tu.”
“Bukan rasuah. Nak memujuk.” Zara tersengih. Lega hatinya apabila melihat
Sheila mula menghadap kedua-dua plastik buah itu dan makan dengan penuh nikmat.
Sheila memang hantu buah. Tetapi, yang paling dia suka buah duku. Kalau
bagi duku seguni pun dia rasa Sheila tidak ada masalah hendak menghabiskannya.
“Betul ke nenek Muslim masuk meminang kau?” soal Sheila tiba-tiba. Dia
memang hendak tanya Zara tempoh hari. Namun, melihat Zara kelam-kabut hendak
balik ke kampung, terus dibatalkan niatnya itu.
Zara mengangguk.
“Habis, kau setuju?”
“Tak. Tapi, mak dan ayah aku setuju. Dia orang dah terima pun pinangan
tu.” Zara bersandar melepas keluhan lemah. Dia kesal sebenarnya kerana emak dan
ayahnya terima pinangan itu tanpa berbincang dengan dia terlebih dahulu.
Mata Sheila buntang. Hampir tertelan biji duku yang dikulumnya.
“Jadi, kau dengan Muslim bakal berkahwinlah tak lama lagi? Tahniah, Zara!
Sampai jugak akhirnya jodoh kau. Eh, aku nak jadi pengapit kau tau nanti.”
“Eii... Kau ni tak kesiankan aku ke?” Zara
berasa geram melihat reaksi Sheila yang tampak teruja macam orang baru lepas
menang cabutan bertuah.
“Nak kesian sebab apa pulak? Kau nak kahwin, kan? Tentulah aku rasa
seronok.” Sheila tersenyum sambil mulutnya terus laju mengunyah buah duku. “Masalahnya
sekarang, aku ni belum bersedia lagi nak kahwin. Dan Harith Muslim tu... untuk
pengetahuan kau, dia bukan lelaki pilihan aku.”
Yalah, memang Muslim tidak tercalon pun dalam kategori pencalonan suami
idamannya. Takkanlah dia hendak berkahwin dengan Muslim pula.
“Tapi kau tak ada pilihan, kan? Aku rasa kau memang terpaksa pilih dia
jugak walau macam mana sekalipun.”
Zara mencebir. Tidak semena-mena telinganya terasa panas mendengar
kata-kata Sheila itu.
“Pilih Muslim? Memang taklah jawabnya. Kecuali kalau semua lelaki kat
dalam dunia ni dah nak pupus. Ha, masa tu barulah aku akan pertimbangkan semua
tu,” tegas Zara. Badannya digigil-gigilkan tanda tidak suka.
Sheila mencubit paha Zara. “Isy! Tak baiklah kau cakap macam tu. Manalah
tahu kalau Muslim tu memang betul-betul merupakan jodoh kau dunia dan akhirat.
Kau tak boleh tolak takdir Tuhan.”
“Kau ni... bukannya nak sokong kawan sendiri. Kenakan lagi ada!” Zara
sudah tarik muka masam.
Kenapa semua orang macam suka dia berkahwin dengan Muslim? Memanglah
Muslim tu orangnya sedap dipandang. Tetapi, itu hanya luaran. Hakikat
sebenarnya Muslim sangat menjengkelkan. Dia tidak betah bersama lelaki itu. Dalam
ramai-ramai lelaki yang pernah dia kenal, dia rasa Muslimlah lelaki yang paling
teruk sekali perangainya. Andai kata benar jodohnya bersama Muslim, dia tidak
tahu bagaimana hendak menerima hakikat itu.
“Eh, aku sokong apa kau nak kahwin. Lagipun kau tu memang dah patut kahwin
pun. Umur kau sekarang dah 27 tahun tau. Lagi
tiga tahun dah nak masuk 30 tahun. Sementara ada
orang yang sudi nakkan kau ni lebih baik kau kahwin aje. Nanti kalau dah tak
ada orang nak, jadi andartulah kau sampai ke tua.” Bahu Sheila turun naik dengan
laju ketawakan Zara. Kemudian dia mengaduh kesakitan apabila tangan Zara
mencubit kuat kedua-dua belah pipinya.
“Mulut kau tu memang nak suruh aku sumbat dengan buah duku ni
banyak-banyak ek?” ujar Zara dengan rasa geram. Suara Sheila yang
terjerit-jerit minta dia melepaskan tangannya langsung tidak dihiraukan.
Rasakan! Biar Sheila rasa serik nak mengata dia selepas ini.
Sheila terpaksa mencekit tangan Zara bagi menghentikan perbuatannya.
Hanya selepas itu barulah Zara berhenti menyakitinya.
“Malang betul nasib Muslim dapat bakal isteri yang tangan macam sepit
ketam ni,” sungut Sheila sambil menggosok-gosok pipinya.
“Nasib aku lagi malang tau kena kahwin paksa dengan lelaki yang aku tak
suka. Dan lebih malang sebab kau menyokong seratus peratus!” bidas Zara seraya
angkat punggung meninggalkan Sheila. Malas dia nak layan cakap-cakap Sheila
itu. Buat naik darah dia sahaja.
“Aku salah cakap ke? Dah kahwin tu benda baik, kan? Mestilah aku sokong,”
gerutu Sheila seorang diri. Dia kembali sambung makan buah duku yang terhenti
sebentar tadi.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment