BARU sahaja Husna
mahu mendaki anak tangga untuk naik ke atas rumah, terdengar pula deruman enjin
motosikal masuk ke halaman rumah. Husna segera berpaling. Seorang lelaki tua
berbadan sedikit gempal menghulurkan salam selepas mematikan enjin
motosikalnya. Salamnya segera disambut.
“Haji Ripin datang cari ayah ke? Ayah ada kat kebun,”
beritahu Husna tanpa dipinta.
Dia memang sedia maklum dengan tujuan kedatangan Haji Ripin
setiap kali menjejakkan kaki ke rumahnya. Mahu cari siapa lagi kalau bukan
ayahnya. Haji Ripin dengan ayahnya sememangnya bersahabat baik sejak dari
dahulu. Dia pun sudah anggap Haji Ripin seperti ayahnya sendiri.
“Taklah, abang datang nak jumpa dengan Unalah,” jawab Haji
Ripin sambil membuka topi keledar. Kemudian, rambutnya disisir rapi melalui
cermin sisi motosikal EX5 miliknya.
Abang? Air liur Husna terasa tersekat di anak tekak. Abang
apanya kalau sudah tua macam tu? Pak ciklah! Husna mengutuk dalam hati. Kalau
umur muda dalam lingkungan 30-an, bolehlah Haji Ripin hendak membahasakan
dirinya abang. Ini, sudah sama baya ayah dia. Buang tabiat agaknya orang tua
ni.
“Ke… kenapa Haji nak jumpa Una?” tanya Husna dalam rasa cuak
yang menggila. Ada debar yang berkampung dalam hati.
“Saja nak bertanya khabar. Dah lama abang tak nampak Una.
Dulu, selalu jugak jumpa kat kedai Mak Piah. Sekarang ni, nak temu bayang pun
susah. Una sihat?” soal Haji Ripin sambil meratah wajah Husna penuh minat.
Cantik sungguh gadis di hadapan matanya itu. Hati dia rasa berkenan.
“Una sihat. Tak apalah, Haji. Una nak naik atas dulu. Belum
solat zuhur lagi ni. Kalau Haji nak jumpa ayah, pergilah ke kebun belakang
sana.” Husna menjuihkan mulutnya ke belakang rumah.
Haji Ripin hanya mengintai-intai. Ah, dia datang ke mari
bukan sebab mahu berjumpa dengan Pak Hashim. Tetapi, sebab mahu berjumpa dengan
gadis idamannya. Mahu lepas rindulah katakan. Matanya terus galak mencumbui
wajah Husna.
Husna sudah mula berasa semacam apabila melihat cara Haji
Ripin memandangnya. Apa hal pula orang tua ni? Tiba-tiba sahaja bersikap lain
macam.
“Una, tadi abang nampak ada kereta keluar dari kawasan rumah
ni. Kereta siapa tu?” Haji Ripin cuba mendapat kepastian. Hatinya
tertanya-tanya siapakah pemilik kereta Honda Sport berwarna putih tadi.
“Oh, itu kawan Una. Dia tolong hantarkan Una balik,” jawab
Husna. Dia sudah dapat menebak gerangan orang yang dimaksudkan oleh Haji Ripin.
Siapa lagi kalau bukan si pembuli kucing, Naim Naqiuddin.
“Ya ke? Kawan ke kekasih?” Haji Ripin cuba serkap jarang.
Ada rasa cemburu bertamu di hatinya.
“Kawan biasa aje. Haji, Una naik atas dululah ya.” Husna
terus menaiki tangga. Tidak mahulah dia berlama-lama lagi di situ melayan Haji
Ripin. Macam ada yang tidak kena sahaja.
“Una, tunggu!” jerit Haji Ripin sekali gus mematikan langkah
Husna.
Husna menoleh semula.Dia sudah mula berasa kurang senang.
Haji Ripin seolah-olah cuba melengah-lengahkan kepergian dia.
“Ada apa lagi, Haji?” Sedaya upaya dia cuba memaniskan
senyumannya walaupun dalam hati, dia sudah mula berasa jengkel dengan sikap
Haji Ripin.
“Nanti dah selesai solat, Una turunlah semula ke bawah ya.
Boleh kita sembang-sembang kat bawah pokok tu.” Mulut Haji Ripin dimuncungkan
ke arah sebuah pangkin kayu yang terletak di bawah pokok rambutan rendang di
hadapan rumah kayu tersebut.
Ha? Husna terlopong. Sah! Haji Ripin sewel. Apa hal pula
hendak duduk berbual di bawah pokok? Hendak ajak dia berdating ke? Mengarutlah
orang tua ni.
“Err… Tak bolehlah,
Haji. Una ada banyak kerja yang nak kena buat. Tak apalah, Haji. Husna masuk
dalam dulu ya. Assalamualaikum.”
Husna melajukan langkahnya tanpa berpaling lagi. Yang dia
tahu, dia hanya ingin cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan lari daripada Haji
Ripin. Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa Haji Ripin bersikap seperti lelaki
miang. Selama ini tidak pernah Haji Ripin bersikap begitu.
Haji Ripin mengeluh mengenangkan usahanya mahu bersembang
dengan Husna tidak kesampaian. Dia termangu sejenak di atas motosikal. Adakah
cara dia hendak memikat itu sudah lapuk ditelan zaman? Kalau tidak, mustahil
Husna bersikap acuh tidak acuh sahaja dengannya. Tetapi, kalau hendak
dibandingkan dengan cara dia memikat bekas-bekas isterinya dahulu, sama sahaja
caranya. Atau mungkinkah Husna lebih sukakan gaya bahasa berbunga-bunga?
Haji Ripin mengurut-urut misainya yang sudah dikerumuni oleh
uban putih sambil fikirannya ligat memikirkan sesuatu.
*****
KETIKA Haji Ripin
mahu menghidupkan enjin motosikal, terdengar pula satu sapaan dari belakang.
Segera dia berpaling. Hasratnya mahu beredar dibatalkan sejenak.
“Hashim. Ada kau rupanya. Aku ingatkan kau tak ada tadi.”
Haji Ripin berbasa-basi. Padahal, dari tadi lagi dia sudah tahu Pak Hashim
tidak ada di rumah. Huluran salam daripada Pak Hashim disambut kemas.
“Ada. Aku kat belakang tadi. Bersihkan kebun sikit. Kau ni
dari mana? Kacak semacam aje,” puji Pak Hashim sambil memandang Haji Ripin atas
bawah. Mana tidak kacaknya, hujung baju-T berkolarnya siap dimasukkan ke dalam
seluar slek lagi. Rambut pula dibelah tepi. Di kakinya pula tersarung kasut
kulit. Orang muda pun boleh kalah.
“Kalau datang jumpa buah hati, kenalah pakai kemas-kemas,
Hashim. Nanti barulah orang sudi nak pandang.” Haji Ripin berkias sambil
menyulam ketawa.
Pak Hashim ikut ketawa sama.
“Ya tak ya jugak tu. Dari mata turun ke hati. Tak gitu,
Ripin?” seloroh Pak Hashim. Dia faham maksud Haji Ripin itu. Jadi, dia buat
kesimpulan bahawa Haji Ripin bukannya datang sebab mahu berjumpa dengannya
semata-mata, tetapi mahu berjumpa dengan Husna juga.
“Eh, jemputlah naik ke atas rumah dulu. Nanti boleh
sembang-sembang sambil minum kopi kat serambi,” pelawa Pak Hashim kemudiannya.
“Tak apalah, Hashim. Aku tak boleh berlama-lama kat sini.
Nak pergi kutip hutang rumah sewa sekejap. Lain kali sajalah ya,” tolak Haji
Ripin.
“Ya ke? Kalau macam tu, tak apalah. Senang-senang, kau
datanglah lagi. Nanti boleh tengok pujaan hati kau,” usik Pak Hashim lagi.
Haji Ripin tergelak. Dia mengangguk perlahan. Memang dia
memasang hajat mahu datang semula ke rumah Pak Hashim untuk mengambil peluang
mendekati Husna. Selagi dia tidak dapat memiliki Husna, selagi itulah dia akan
berusaha. Sementelah Pak Hashim juga seperti sudah merestui niatnya. Ini
peluang yang dia tidak patut lepaskan.
“Insya-Allah, Hashim. Aku minta diri dulu ya.
Assalamualaikum,” ucap Haji Ripin sebelum beredar dari situ.
“Ada apa orang tua gatal tu datang ke rumah kita ni, bang?”
tanya Mak Milah pula setelah bayang Haji Ripin lenyap.
Sejak dari tadi lagi dia memerhatikan Haji Ripin dan
suaminya bersembang. Tetapi, dia malas mahu datang dekat. Menyampah hendak
tengok muka Haji Ripin.
“Datang tengok bakal isteri dialah agaknya,” jawab Pak
Hashim sambil menyeka peluh di dahinya menggunakan tuala lusuh yang tersangkut
di bahu.
Wajah Mak Milah berkerut. Dia berasa tidak sedap hati
mendengar jawapan Pak Hashim.
“Siapa bakal isteri dia? Saya takkan izinkan dia
peristerikan Una. Kalau dia nakkan si Una tu, hadapi saya dulu!” tegas Mak
Milah lantang. Rasa benci dan meluat terhadap Haji Ripin semakin tidak tertahan
lagi.
Pak Hashim menjeling Mak Milah.“Yang awak nak bantah sangat
ni, kenapa? Anak awak tu, bukannya laku sangat pun. Dah ada orang yang nakkan
dia, itu dah kira bersyukur tau.”
“Saya lebih rela anak saya tu tak berkahwin daripada tengok
dia kahwin dengan lelaki miang macam Haji Ripin tu!” Mak Milah tergopoh-gapah
mendaki anak tangga rumah. Bunyi hentakan yang kuat di setiap langkahnya
menggambarkan betapa dia benar-benar marah dengan hasrat suaminya.
Pak Hashim mendengus. Bengang perasaannya apabila Mak Milah
mengutuk kawan baiknya sendiri. Teruk sangatkah calon pilihan menantunya itu?
*****
“NAH, kucing you.
Lepas ni, cukup-cukuplah suruh I uruskan pasal kucing you tu. I dah tak
laratlah nak layan kerenah dia orang.” Naim menghulur bakul berwarna biru
kepada Bella yang berdiri di muka pintu apartmennya. Sengaja dia memilih untuk
berdiri di luar pintu sahaja kerana tidak mahu melengah-lengahkan masa.
Bella segera menyambut dan membuka bakul tersebut. Kemudian,
dikeluarkan Chicky lalu didukung erat. Tidak ubah seperti orang yang sedang
mendukung bayi.
“Doktor cakap apa pasal Chicky?” soal Bella sambil mencium
pipi Chicky berkali-kali.
Naim yang melihat keadaan itu hanya menggeleng. Apa lagi
yang dia hendak kata. Kalau dia, baik cium bunga daripada cium kucing.
“Demam biasa aje. Doktor dah suntik dia tadi. Okeylah, I nak
kena balik ke pejabat dulu. Dah lewat ni. Nanti papa I mengamuk pulak.” Naim
tidak berlengah lagi. Lagi lama dia berasa di situ, lagi cerahlah harapan dia
kena bebel dengan Bella.
“Eh, sayang. Nantilah dulu. I ada sesuatu nak cakap dengan
you ni.” Bella berteriak memanggil Naim.
Langkah Naim kembali mati. Dia menoleh semula ke arah Bella.
Apa lagilah si Bella ni nak? Nak suruh dia basuh bakul Chikcy pula ke? Kalau
itulah permintaan Bella, dia memang sudah berkira-kira mahu lari pecut 100
meter.“Apa dia? Kalau cakap lain kali tak boleh ke? I betul-betul dah lambat
ni.”
“Tak boleh. Ini hal penting. I kena beritahu you sekarang
jugak,” balas Bella, tidak bersetuju.
“Ha, cakaplah cepat. Apa dia?” gesa Naim setelah mendekati
Bella kembali. Sambil-sambil itu matanya tidak henti-henti melirik jam di
tangan. Bukan jarum jam yang dia nampak, tetapi muka papanya yang sedang naik
seh.
“Minggu depan I kena pergi ke Australia,” nyata Bella
mengenai berita yang baru sahaja diterima daripada bosnya sebentar tadi.
“Berapa lama?”
“Tiga bulan.”
Mata Naim terbeliak. Tiga bulan? Lamanya!
“Kenapa lama sangat? You nak buat apa pergi ke sana
lama-lama?” soal Naim. Sebelum ini memanglah Bella selalu pergi ke luar negara.
Tetapi, tidaklah selama itu. Sebab itu apabila Bella beritahu mahu pergi selama
tiga bulan dia berasa terkejut.
“Butik I kerja tu ada buka cawangan baru kat sana. Tapi,
buat masa sekarang, cawangan tu belum ada pengurus lagi. Jadi, bos I suruh I
pergi ke sana dulu untuk selesaikan beberapa perkara,” terang Bella lagi.
Hatinya berasa sedih kerana tiga bulan itu bukanlah satu jangka masa yang
singkat. Teruklah dia menanggung rindu terhadap Naim dan kucing-kucingnya.
Kalau tiga hari dia masih boleh pejam mata lagi. Mungkin inilah pengorbanan
yang harus dia pikul sebagai seorang pengurus di butik yang terkenal.
Naim bergumam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus
diperkatakan.
“Kalau macam tu, tak apalah. Nak buat macam mana lagi,”
katanya.
“Tapi, you kena tolong I satu perkara.” Bella merenung Naim
sambil menghulur senyum manja.
“Kalau you nak suruh I tengok-tengokkan apartmen you ni, you
jangan risaulah. I boleh jagakan untuk you. Bukannya I tak biasa jaga sebelum
ni.” Naim cuba meredakan kerisauan Bella. Biasanya itulah pertolongan yang
Bella selalu damba daripadanya sekiranya hendak pergi berjalan jauh.
Bella menggeleng laju.
“Yang itu memanglah. Tapi, yang paling utama, Anchu dan
Chicky. I nak minta tolong you jagakan dia orang sepanjang I tak ada kat sini,
boleh?” Mata Bella terkelip-kelip menanti persetujuan Naim.
Di saat itu juga Naim ternampak pancaran kilat di depan
matanya. Lututnya serta-merta menjadi longlai. Sekali lagi? Ah, sudah!
“Kalau you nak minta tolong I jagakan apartmen you ni, I
boleh tolong. Tapi, kalau you nak suruh I tolong jagakan kucing-kucing you tu,
I memang tak dapat tolong.” Naim menegaskan.
Apa Bella ni… Nak suruh dia jaga kucing pula. Dia bukannya
tukang jaga kucing. Eii, tolonglah! Baru sebentar tadi dia beritahu Bella
supaya berhenti menyuruh dia uruskan pasal hal kucingnya. Alih-alih sekarang,
terkena lagi. Naim menggerutu dalam hati.
“Habis tu, kalau bukan you yang boleh tolong I, siapa lagi?
Hanya you sorang aje harapan I sekarang. I tak boleh nak bawa dia orang pergi
ke sana,” kata Bella. Dia cuba membuat muka yang paling sedih untuk memancing
persetujuan Naim. Harap-harap Naim akan bersimpati.
“You dah tahu I ni tak suka kucing dan takut kucing, tapi
you masih nak suruh I jugak buat semua tu? I gelilah, Bella. You suruh ajelah
orang lain yang jaga.” Naim tetap bertegas dengan keputusannya. Hih, tidak
habis-habis dia terperangkap dengan masalah kucing. Kenapalah dia sahaja yang
selalu terpilih. Adakah ini suratan takdir dia?
“Siapa yang you maksudkan?” tanya Bella.
“Kawan baik youlah, Awin. You suruh ajelah dia yang jaga.
Dia tu pun hantu kucing macam you jugak. Lebih baik you suruh dia aje yang
jaga,” cadang Naim.
Serta-merta muka Awin terbayang dalam kotak fikirannya. Awin
dengan Bella memang tidak ada bezanya. Kedua-duanya peminat kucing yang tegar.
“I dah tanya Awin. Tapi, dia tak dapat jaga Anchu dan Chicky
untuk I. Dia pun nak kena pergi travel jugak. Sayang, hanya tinggal you seorang
aje harapan I sekarang. Tolonglah I, sayang…” Bella memujuk dalam nada manja.
Dia masih tidak berputus asa mahu membuat Naim bersetuju dengan permintaannya.
Setakat jaga kucing, apalah yang susah sangat. Kucingnya
merupakan kucing yang paling baik dan mendengar kata. Tidak susah hendak
menjaga mereka.
Naim menggeleng. Kali ini jangan harap dia akan tunduk
dengan permintaan Bella yang mengarut itu. Sama ada Bella nak memujuk dia guna
suara manja, suara menggoda atau suara kucing sekalipun, dia tetap dengan
keputusannya. Dia tidak mahu jaga kucing Bella!
“Maaf, sayang. I tak dapat tolong you,” tegas Naim.
“You ni tak kesiankan I ke? Sampai hati you buat I macam ni.
You cakap you sayangkan I dan sanggup buat apa saja untuk I. Tapi, bila I minta
tolong, you tak sudi pulak nak tolong I. Sayang apa macam tu?” Bella menarik
muncung panjang. Tergores perasaannya apabila Naim menolak permintaannya.
Entah-entah, sayang Naim itu hanya ungkapan di bibir semata-mata.
“I boleh tolong apa saja yang you minta. Tapi, kalau pasal
kucing, awal-awal lagi I minta maaf. Tak cukup lagi ke selama ni kucing-kucing
you tu menyusahkan I? You sendiri tahu kan yang I ni tak suka kucing? Kenapa
you beria-ia sangat nak suruh I jaga dia orang?”
“Kalau I ada pilihan lain, takkanlah I minta tolong dengan
you pulak. Sudahlah kalau you tak mahu tolong pun. Lepas ni, jangan cari I
lagi!” Bella terus masuk ke dalam rumah dan menghempas pintu kuat.
“Bella!” Naim mengetuk pintu beberapa kali. Namun,
panggilannya tidak bersahut. Merajuklah tu. Hih, susah betullah ada kekasih
mengada-ada macam ini. Naim sempat mengeluh dalam hati. Tangannya tergaru-garu
kepala yang tidak gatal.
Setelah usahanya memujuk Bella tidak berhasil, Naim berlalu
pergi meninggalkan apartmen itu. Satu masalah besar menimpa dia lagi.
© Reeani Annur 2014
P/s: Done! Harap-harap 10 bab pertama ni dapat beri gambaran sedikit sebanyak mengenai novel Meow! Kau Curi Hatiku. Novel Meow dah ada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku yang lain. Jika masih sukar nak dapatkan, boleh order dengan pihak Fajar Pakeer secara online. Terima kasih semua. Love.
No comments:
Post a Comment