06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 4

“MUS kena dengar cakap nenek. Dalam tradisi keluarga nenek, semua lelaki mesti kahwin pada usia 28 tahun. Tak boleh lebih ataupun kurang daripada tu. Sekarang usia Mus dah cecah 28 tahun. Jadi, Mus mesti kahwin dan teruskan tradisi tu!” Hajah Rokiah membantah sekeras-kerasnya permintaan Muslim yang enggan berkahwin dengan gadis pilihannya.
“Nenek, semua tu cuma tradisi aje, bukannya perkara wajib. Nenek mana boleh paksa Mus ikut semua cakap nenek. Mus pun ada hak jugak terhadap diri Mus. Lagipun ini zaman moden, bukannya zaman purba yang nak kena ikut tradisi yang mengarut macam tu.” Penuh lantang Muslim membalas kata-kata Hajah Rokiah.
Walau apa pun yang terjadi, dia tetap tidak akan tunduk kepada permintaan merepek neneknya. Ia juga demi mengelakkan duit sebanyak 50 ribu masuk ke dalam kantung syarikat Encik Peon. Dia sudah memutuskan untuk menolak tawaran gila daripada lelaki bertubuh keding itu.
Hajah Rokiah mendengus. Semakin geram dia dengan kedegilan Muslim. Muslim tidak tahu ke apa yang dia lakukan itu adalah untuk kebaikannya sendiri? Perkara baik mengapa hendak ditolak pula?
“Muslim, nenek cuma nak tengok cucu nenek hidup bahagia. Lagipun, apa yang nenek buat ni untuk masa depan Mus jugak. Supaya kehidupan Mus jadi lebih terurus selepas ni. Susah sangat ke Mus nak patuh permintaan nenek?” Rahang Hajah Rokiah bergerak-gerak menahan marah. Degil sungguh cucu dia yang seorang ini.
“Ya... Mus tahu semua tu, nek. Tapi, nenek tak boleh paksa Mus kahwin dengan gadis yang Mus tak suka. Hidup Mus bukannya macam watak hero dalam novel kahwin paksa yang melambak-lambak kat pasaran tu!” Muslim menjeling Hajah Rokiah dengan muka tidak puas hati. Panas satu badan bertekak dengan orang yang ego tinggi macam langit ni.
Melihat kesungguhan neneknya yang begitu beria-ia menyuruh dia berkahwin, dia mula mengakui kata-kata Sudin. Mungkin benar neneknya itu sudah terpengaruh dengan novel kahwin paksa.
“Mus, janganlah berdegil. Cuba dengar cakap nenek tu. Tak baik tau melawan cakap orang tua. Ibu rasa apa yang nenek buat tu tak ada salahnya. Nenek dah banyak makan garam berbanding Mus. Jadi, mestilah nenek tahu apa yang terbaik untuk diri Mus,” tegur Puan Mariam yang tidak berkenan dengan cara Muslim bercakap dengan ibu mentuanya.
“Tapi, ibu...” Belum sempat Muslim berkata panjang lebar, Encik Syukri pula memotong percakapannya.
“Memang ada betulnya apa yang nenek dan ibu cakap tu. Mus sepatutnya dah kena fikir pasal semua ni. Umur Mus pun bukannya muda lagi. Memang sesuai sangat dah kalau Mus berkahwin sekarang.”
Muslim melongo memandang wajah Encik Syukri. “Abah pun sependapat jugak dengan cadangan nenek?”
“Kalau demi kebaikan Mus, apa salahnya? Lagipun kahwin tu kan perkara baik. Lagi cepat Mus kahwin, lagi cepat abah dan ibu dapat main dengan cucu. Pasal rupa calon isteri Mus tu, Mus tak perlu risau. Abah dah tengok orangnya. Memang cantik dan sepadan dengan Mus. Kalau Mus tengok mesti Mus jatuh hati,” kata Encik Syukri lagi sambil mengerling Puan Mariam yang tersenyum-senyum di sebelahnya.
Rahang Muslim terus jatuh. Masalahnya kini sudah jadi semakin besar. Aduhai... Apa aku nak buat sekarang? Macam mana aku nak halang semua ni daripada berlaku? Muslim menggaru-garu kepala sehingga rambutnya menjadi kusut. Tiba-tiba datang satu idea.
“Tapi... kalau abah tengok calon pilihan Mus, tentu abah akan tarik semula kata-kata abah tadi tu,” ujar Muslim bersahaja.
“Apa?! Mus dah ada calon pilihan sendiri?” soal Hajah Rokiah separuh menjerit.
Sementara Encik Syukri dan Puan Mariam pula melopong sesama sendiri.
Muslim mengangguk penuh yakin memandang ketiga-tiganya. Gasaklah! Itu sahaja idea yang muncul dalam kepala buat masa ini. Tetapi, dia seronok melihat muka terkejut nenek, ibu dan abahnya.
Suasana di ruang tamu jadi hening seketika.
Hajah Rokiah berasa geram dengan Muslim kerana tidak dimaklumkan tentang perkara itu lebih awal. Kini, rancangannya sudah jadi tunggang-langgang. Takkan nak suruh kahwin dua-dua?
“Baiklah, kalau betul Mus dah ada calon pilihan sendiri, bawa dia jumpa nenek. Nenek nak tengok orangnya macam mana. Nenek tak nak Mus kahwin dengan gadis sembarangan. Kalau nenek berkenan, nenek akan terima. Tapi, kalau nenek tak berkenan, Mus tetap kena kahwin dengan calon pilihan nenek tu.” Hajah Rokiah memberi kata putus setelah lama berdiam diri.
“Okey, Mus setuju.” Muslim menjawab laju walaupun dia sendiri tidak tahu siapakah calon pilihan yang dimaksudkannya. Dia lega. Sekurang-kurangnya dia dapat melengahkan seketika cadangan merepek neneknya yang entah apa-apa itu.

“SAYA setuju dengan harga yang Encik Peon tawarkan tu. Tapi, Encik Peon kena janji dengan saya yang Encik Peon akan selesaikan semua ni dengan baik tanpa ada sebarang masalah.”
Muslim datang ke pejabat Encik Peon semula pada keesokan hari bagi meterai perjanjian dengan Encik Peon. Disebabkan tidak jumpa jalan penyelesaian lain, dia terpaksa mengambil keputusan drastik guna khidmat syarikat Encik Peon. Dia harus bertindak cepat sebelum neneknya bertindak lebih jauh. Soal duit 50 ribu tu... Ah! Pejam mata sahajalah.
Hati Encik Peon kembang macam bunga di pagi hari. Persetujuan Muslim membuatkan dia tidak boleh berhenti senyum. Inilah yang dia mahukan. Alhamdulillah, masuk juga rezekinya kali ini.
“Encik Muslim tak perlu risau. Saya janji semuanya akan diselesaikan dengan baik. Dan saya berani jamin perkahwinan yang diatur oleh nenek Encik Muslim tu tak akan berlaku. Percayalah cakap saya.” Encik Peon bersungguh-sungguh meyakinkan Muslim.
Muslim bergumam. Dia harap janji Encik Peon itu bukan omong kosong semata-mata.
“Jadi, siapa yang akan menyamar jadi kekasih saya? Saya nak orang tu cantik, sedap mata memandang dan boleh buat nenek saya berkenan bila pandang dia,” kata Muslim. Dia tidak peduli kalau Encik Peon cakap dia seorang yang demand. Dah bayar mahal-mahal, mestilah dia mahukan hasil yang bagus. Barulah setimpal dengan wang yang dia labur.
“Saya gerenti bukan nenek Encik Muslim aje yang rasa berkenan. Encik Muslim sendiri pun akan jatuh suka jugak nanti. Tunggu sekejap ya.” Encik Peon tekan nombor sambungan interkom meja Zara dan meminta Zara masuk ke dalam biliknya.
Beberapa minit kemudian, Zara muncul di situ.
Saat terpandang wajah gadis di hadapannya, Muslim terus terkaku. Benar bagai dikata oleh Encik Peon tadi. Memang dia jatuh suka melihatnya. Muslim tarik nafas dalam-dalam. Habislah. Apa dah jadi dengan jantung aku ni? Kuat sangat berdegup. Macam baru lepas berlari pecut 100 meter. Muslim jadi resah dan tidak keruan.
Encik Peon tersengih melihat gelagat Muslim yang tidak berkelip memandang Zara. Kan betul apa yang dia cakap tadi. Jangan sampai air liur Muslim jatuh meleleh ke atas lantai sudahlah.
Sementara Zara pula kehairanan melihat lelaki yang tidak dikenalinya itu merenung dia semacam. Hatinya berdesis. Apa hal pulak mamat ni tengok aku macam orang tak pernah tengok perempuan aje?
“Encik Muslim...” panggil Encik Peon sambil menyentuh lembut tangan Muslim.
Muslim tersentak dan terus berkata, “Okey, saya setuju kahwin dengan dia.”
“Hah?!” Encik Peon dan Zara terlopong.
“Eh! Tak, tak... Maksud saya, saya setuju dengan pilihan Encik Peon ni.” Muslim membetulkan semula kata-katanya setelah tersedar.
Hei, mulut ni... Pantang nampak perempuan cantik sikit. Mulalah tersasul cakap, gerutu Muslim seraya memalingkan muka dan menampar mulutnya perlahan.
“Kalau Encik Muslim setuju, bolehlah tandatangan surat perjanjian ni.” Encik Peon keluarkan surat perjanjian dari laci meja dan letak di hadapan Muslim. Dia memang sudah taip siap-siap di rumah selepas Muslim menghubunginya malam tadi.
Butir-butir dalam surat perjanjian itu dibaca sepintas lalu oleh Muslim. Ah, bolehlah tu. Tanpa banyak soal, dia terus tandatangan surat tersebut sebelum menyerahkan cek kepada Encik Peon. Lega. Selesai masalah. Akhirnya dia berjaya mendapatkan seseorang untuk dijadikan kekasih upahannya. Zara. Itulah nama gadis yang akan membantu dia menggagalkan perkahwinan paksa yang dicetuskan oleh neneknya.
“Terima kasih, Encik Muslim. Selamat bekerjasama,” ucap Encik Peon setelah cek berjumlah 50 ribu ringgit itu berada di tangannya. Wah, kaya! Kaya! Hatinya melonjak riang.
“Err... Sebenarnya, ada apa Encik Peon panggil saya ke mari?” celah Zara pula setelah merasakan kehadirannya di situ seperti dipinggirkan.
“Eh, terlupa pulak saya. Zara, kenalkan... ini Encik Muslim. Dia merupakan klien baru kita. Awak ditugaskan menyamar jadi kekasih dia dan tolong selesaikan masalah dia,” terang Encik Peon.
“Apa? Menyamar jadi kekasih dia?” Zara hala jari telunjuk ke arah Muslim. Apa semua ni? Kenapa tiba-tiba sahaja dia kena jadi kekasih lelaki yang dia tidak kenal itu? Encik Peon ni dah gila ke?
“Saya setuju dapatkan khidmat syarikat Encik Peon untuk bantu selesaikan masalah saya. Saya dah bayar semua duit dan sekarang awak kena jalankan tugas awak,” tambah Muslim pula menerangkan lebih lanjut.
Zara ternganga. Jalankan tugas jadi kekasih mamat ni? Sah! Lelaki ini pun gila macam Encik Peon juga. Isy! Apa sebenarnya yang sedang berlaku ni?
“Encik Peon, saya tak faham kenapa Encik Peon libatkan saya dalam masalah ni. Setahu saya, tugas saya dekat sini hanya buat kerja-kerja kerani aje. Bukannya menyamar jadi kekasih orang. Ini semua merepek!” Zara menjeling Encik Peon dan Muslim dengan rasa tidak puas hati. Dia tidak akan sesekali bersetuju buat kerja yang tidak masuk akal itu.
Muslim tolak kerusi ke belakang dan bangun menghadap Zara. Dia berasa bengang mendengar kata-kata Zara tadi. Belum boleh tarik nafas lega lagi rupanya dia.
“Hei! Saya dah bayar 50 ribu ringgit dekat bos awak untuk selesaikan masalah saya. Kenapa pulak awak tak setuju? Dalam surat perjanjian ni pun ada tertulis nama awak yang akan jadi kekasih saya. Ini... baca surat perjanjian ni betul-betul. Zara Zafirah binti Mutalib. Bukan nama awak ke tu?” Muslim ambil surat perjanjian lalu tayang di depan muka Zara.
Zara rampas dan baca keseluruhan isi surat perjanjian tersebut. Tidak semena-mena dia rasa hendak lanyak Encik Peon sampai masuk ke hospital.
“Encik Peon! Saya tak pernah beri kebenaran kepada Encik Peon guna nama saya untuk buat semua kerja mengarut ni. Kenapa Encik Peon nak libatkan saya pulak? Saya tak kira. Saya nak Encik Peon padamkan semula nama saya dan letak nama orang lain. Saya tak nak buat kerja bodoh macam ni!” bentak Zara sambil melempar surat perjanjian itu ke atas meja.
Memang dia sedia maklum syarikat Encik Peon ada menawarkan khidmat menyamar bagi kes-kes tertentu. Tetapi tugas itu biasanya dilakukan oleh pekerja khas yang diupah oleh Encik Peon. Mengapa sekarang dia yang kena buat semua itu? Argh! Dia tidak suka dengan cara dan sikap tidak profesional Encik Peon. Encik Peon suka mendera jiwanya secara halus. Stres dapat bos macam ni!
“Kerja bodoh awak cakap? Hei! Ini urusan antara hidup dan mati saya tau. Mana ada kerja bodoh. Ini kerja mulia sebab awak tolong orang yang susah macam saya ni. Cakap tu, lain kali pakai otak sikit boleh tak?!” Tembok kesabaran Muslim akhirnya runtuh jua. Percuma sahaja Zara menjadi mangsa amukannya. Boleh tahan celopar mulut gadis itu. Buat dia rasa nak tenyeh-tenyeh dengan cili padi, biar sampai bibir Zara jadi tebal macam bibir orang Negro.
Encik Peon segera mendekati Zara dan Muslim apabila keadaan menjadi semakin tegang. Dia duduk di tengah-tengah di antara mereka dan cuba menenangkan kedua-duanya.
“Zara, bertenang. Dengar dulu penjelasan saya,” kata Encik Peon.
“Penjelasan apa? Encik Peon ni suka tau buat saya macam ni...” Zara ketap bibir sambil melipat tangan ke dada. Sempat dia jeling ke arah Muslim. Huh! Benci. Dia kena jadi kekasih lelaki itu? Kirim salam! Cari sahajalah orang lain.
Encik Peon serba salah. Nampaknya Zara benar-benar marahkan dia. Bukan dia sengaja hendak libatkan Zara. Tetapi dia tidak ada pilihan. Pekerja upahannya sebelum ini tidak mahu bekerja dengannya lagi disebabkan gaji yang ditawarkannya tidak setimpal. Hanya Zara sahaja yang difikirkan calon sesuai untuk menggalas tugas itu.
“Err... Encik Muslim, boleh tunggu kat luar sekejap? Saya ada hal sikit nak bincang dengan Zara,” bisik Encik Peon.
Muslim mengangguk. Sebelum pergi, dia kerling Zara sekilas pandang. Zara lempar satu jelingan tajam kepadanya. Sombong! kutuknya dalam hati.
Setelah Muslim keluar, Encik Peon kembali menghadap Zara.
“Zara, awak kena tolong saya selesaikan masalah Encik Muslim tu. Dia dah sain surat perjanjian dan buat bayaran. Saya dah tak boleh tarik balik terma-terma yang tertulis kat dalam surat perjanjian tu. Walau macam mana keadaan sekalipun, awak tetap kena jalankan tugas tu,” terang Encik Peon, berharap agar Zara dapat memahami tindakannya.
“Tugas apa? Menyamar jadi kekasih dia? Bila masa pulak skop tugas saya bertukar? Saya betul-betul rasa tak puas hati dengan Encik Peon. Sekarang, saya nak Encik Peon jelaskan kepada saya macam mana nama saya boleh ada kat dalam surat perjanjian tu tanpa kebenaran saya. Terang dekat saya sekarang!” Suara Zara tinggi memarahi Encik Peon. Eii! Rasa nak hantuk-hantuk sahaja kepala Encik Peon itu ke dinding. Bengang!
“Saya terpaksa buat macam tu sebab dah tak ada orang yang saya boleh upah untuk buat kerja tu. Pekerja upahan saya semuanya dah lari. Hanya awak aje harapan yang saya ada sekarang. Awak anggap ajelah tugas tu kerja sambilan awak dekat sini. Lagipun dia dah bayar duit. Takkanlah saya nak batalkan semula. Rugilah saya nanti.”
“Encik Peon senang-senang dapat duit. Saya pulak senang-senang dapat masalah. Masalah saya yang lain pun banyak lagi yang tak selesai. Sekarang, Encik Peon dah tambah masalah baru pulak. Apa masalah Encik Peon ni sebenarnya?” Zara jongket kening berkali-kali. Nampak sangat Encik Peon pentingkan diri sendiri.
Encik Peon kerut muka sambil menggaru-garu pipi. Isy! Susah sungguh nak pujuk si Zara ni. Hati keras macam batu.
“Alah, awak janganlah risau. Bahagian awak pun ada dalam 50 ribu ni. Nanti saya bayarlah upah dekat awak. Sekali dengan gaji dan bonus yang tertunggak tu. Tolonglah, Zara... Bukan senang tau syarikat saya nak dapat projek besar macam ni. Kalau dia tak datang minta bantuan dekat sini, duit gaji awak tu entah bila saya dapat bayar. Awak sepatutnya berterima kasih dekat saya, bukannya marah-marah saya macam ni.” Encik Peon sengaja pamer muka sedih sebab hendak pancing simpati Zara.
Apa salahnya jika Zara bersetuju menyamar jadi kekasih Muslim? Sebagai pekerja, setidak-tidaknya boleh berbakti kepada majikan. Paling kurang, bernyawalah sedikit syarikatnya yang hampir tumbang. Dari segi keuntungan pula, dia dan Zara sama-sama mengutip untung. Kalau Zara dapat kahwin dengan Muslim betul-betul, lagilah berlipat kali ganda keuntungan yang Zara dapat. Boleh juga dia tumpang berasa untung sekaki.
Zara mencemik. Menyampah betul tengok Encik Peon buat muka sedih di depannya. Bab berlakon memang nombor satu bos dia tu.
“Sepatutnya Encik Peon kena bincang dulu dengan saya. Bukannya lepas dah deal dengan klien dan dapat semua bayaran baru nak beritahu saya pasal semua ni. Saya kerja kat sini tahu menaip, jawab telefon dan buat air aje untuk Encik Peon. Menyamar jadi kekasih orang manalah saya pandai. Saya mana ada kekasih!”
“Sebab awak tak ada kekasihlah saya pilih awak menyamar jadi kekasih dia. Sekurang-kurangnya, awak bolehlah belajar macam mana cara nak bercinta. Orang kata, ambil pengalaman. Hah, elok sangatlah tu...” kata Encik Peon yang masih belum berputus asa meredakan amarah Zara.
“Encik Peon pilih saya sebab terdesak. Untuk kepentingan Encik Peon sendiri. Bukannya sebab nak suruh saya belajar bercinta. Saya tahulah perangai Encik Peon ni. Suka sangat ambil kesempatan dekat saya.” Zara mendengus dan bidas Encik Peon dengan penuh lantang. Lantaklah kalau Encik Peon terkesot hati atau beralih jantung sekalipun. Memang hakikatnya begitu.
Encik Peon terkedu. Mujur dia tidak terbelahak sewaktu menelan air liur tadi. Kata-kata Zara macam mata pedang. Tajam dan melukakan. Tetapi, dia tidak kisah. Yang penting 50 ribu sudah berada di dalam genggaman. Lain-lain perkara, dia tidak mahu fikir sangat.
“Zara, masa awak jalankan tugas tu nanti buat betul-betul tau. Apa saja yang Encik Muslim suruh buat, awak ikut aje. Jangan sesekali melawan. Awak kena ingat, the client is always right. Yang paling penting jaga nama baik syarikat saya.”
Zara mencebir. Tekaknya terasa mual mendengar pesanan hipokrit Encik Peon itu.
“Saya memanglah selalu jaga nama baik syarikat Encik Peon ni. Nama Encik Peon sendiri pun saya tak pernah calarkan walaupun Encik Peon dah banyak kali mencalar hati dan perasaan saya.”
“Tak baik tau awak mengungkit macam tu. Janganlah kutuk saya lebih-lebih sangat. Mengata sikit-sikit dahlah.” Encik Peon kerut muka tahan telinga kena maki dengan Zara.
“Saya harap ini adalah kali terakhir Encik Peon libatkan saya dalam masalah bodoh macam ni. Kalau hal yang sama terjadi lagi pada masa-masa akan datang, saya akan letak jawatan dan buat aduan dekat pejabat buruh!” Usai menuturkan kata-kata itu, Zara terus keluar dari bilik Encik Peon. Pandang muka Encik Peon lama-lama boleh buat dia dapat penyakit barah hati yang kronik!
Bahu Encik Peon terjongket tinggi apabila Zara menghempas pintu kuat. Ceh! Ugut bos sendiri pulak, sungutnya. Namun, ugutan Zara itu cepat sahaja dilupakan apabila terpandang cek di tangannya. Aku kaya!

Reeani Annur 2015


No comments:

Post a Comment