06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 5

ZARA kembali semula ke mejanya. Kelibat Muslim di depan mata sedikit pun tidak diendahkan. Dia masih berasa bengang dengan kejadian yang berlaku di dalam bilik Encik Peon tadi. Tak pasal-pasal dia terjebak dalam masalah lelaki itu.
Muslim kerling Zara. Bukan main kuat lagi dia dengar jari-jemari Zara mengetuk papan kekunci komputer. Tidak tahu sama ada Zara betul-betul sibuk buat kerja atau sengaja buat sibuk.
“Kita kena bincang,” kata Muslim sambil berpeluk tubuh.
Zara berhenti menaip dan mendongak. Dia menyandar pada kerusi dan ikut sama berpeluk tubuh.
“Sekarang baru nak bincang? Sebelum sain surat perjanjian, kenapa tak nak bincang?” soal Zara penuh sinis.
“Yang awak nak marah-marah saya ni, kenapa pulak?” Muslim bengang mendengar nada percakapan Zara. Betul-betul menyakitkan hatinya. Perempuan ni memang sengaja nak cari pasal dengan aku.
“Sebab awak libatkan saya dalam masalah awak. Apa masalah awak sebenarnya ni?”
“Saya cuma minta tolong Encik Peon selesaikan masalah saya aje. Urusan siapa yang kena jadi kekasih upahan saya tu bukan saya yang tentukan. Kalau awak nak marah, pergilah marah dekat bos awak. Dia yang letakkan awak dalam masalah ni!” Muslim meninggikan suara. Dia cakap elok-elok tetapi Zara jawab kasar pula. Macam mana dia tak naik angin?
Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia berjumpa dengan gadis kuat melawan macam Zara. Buat hatinya bengkek sahaja. “Sudahlah. Saya tak ada masa nak bergaduh dengan awak. Kalau awak nak cari gaduh dengan saya, tunggu masalah saya selesai dulu. Lepas dah selesai semua, awak nak lancar perang dunia ketiga pun suka hati awaklah!”
Zara kacip bibir. Lancangnya mulut lelaki ni. Kalau dia jadi kekasih Muslim pasti tipis kesabarannya. Tak tahanlah macam ni. Zara tarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan. Dia pujuk diri supaya bertenang dan bersabar. Masalah tidak akan selesai kalau asyik bertekak sahaja. Jadi, dia perlu kawal kemarahannya.
“Okeylah. Tadi awak cakap nak bincang, kan? Bincanglah sekarang,” kata Zara dengan intonasi suara yang lebih lembut berbanding tadi.
Muslim tersenyum. Ha, boleh pun cakap lembut-lembut dengan aku. Tadi garang macam emak singa hilang anak. Kini hatinya mula terasa sejuk sedikit. Baru sahaja hendak buka mulut, telefon pintar dalam poket seluar berbunyi. Muslim beri isyarat kepada Zara agar tunggu sekejap. Dia berjalan ke arah sudut menunggu dan menjawab panggilan di situ.
Zara hanya memerhati. Dalam masa yang sama, sempat dia meneliti penampilan Muslim yang berdiri membelakanginya. Hmm... boleh tahan bergaya juga mamat ni. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki memang tak ada apa-apa yang kurang. Tetapi, takkanlah tak ada buah hati kut sampai perlu upah orang menyamar jadi kekasih?
Setelah tamat berbual, Muslim mendekati Zara semula. Namun, dia jadi hairan apabila mata Zara tidak berkelip merenung mukanya.
“Helo...” Muslim melambai-lambaikan tangan beberapa kali di depan muka Zara tetapi tidak ada respons. Aik! Kena sumpah jadi tugu ke ni?
Mata Muslim berkalih ke arah sebuah kerusi berdekatan meja Zara. Timbul satu idea nakal dalam kepala. Dia tarik dan duduk di sebelah Zara sambil menopang dagu di atas meja. Wajah Zara yang sedang tersenyum-senyum itu direnung lama. Cantik sudah tentu. Kalau tidak, masakan dia terkedu saat pertama kali terpandang Zara tadi.
Dalam masa yang sama, Encik Peon keluar dari biliknya. Dia tergamam melihat Muslim dan Zara duduk sebelah-menyebelah sambil berbalas renungan. Biar betul? Tadi bergaduh sakan. Sekarang bermain mata pula. Encik Peon terus menghampiri meja Zara dan berdeham kuat. “Ehem!”
Tiada respons.
“Uhuk! Uhuk!”
Pun tiada respons juga.
Encik Peon menggeleng beberapa kali. Dia termangu seketika memikirkan cara nak buat kedua-duanya sedar. Akhirnya dia dapat satu idea. Nombor telefon pejabat didail menggunakan telefon pintarnya.
Zara tersentak dan kalut menjawab telefon. “Syarikat Peon Sdn Berhad. Zara bercakap. Boleh saya bantu?”
“Hah, Zara. Encik Peon kat depan meja awak ni. Awak tak dengar ke saya panggil awak banyak kali tadi?” Encik Peon menjawab sambil memandang Zara. Dia ternanti-nanti reaksi daripada Zara.
Mata Zara berkalih ke depan. Serentak dengan itu, ketawa Encik Peon bergema.
“Apa ni, Encik Peon? Mainkan saya pulak,” marah Zara sambil hempas gagang ke tempat asal. Wajah Encik Peon dijeling geram. Dia larikan muka kemudian menjerit kuat.
“Hei! Siapa suruh awak duduk sebelah saya ni? Awak nak ambil kesempatan ya?” tuduh Zara seraya bangkit dari kerusi dan menapak selangkah ke belakang. Berdegup-degup jantungnya berdetak melihat Muslim berada begitu rapat dengannya. Entah sudah berapa lama, dia sendiri tidak tahu.
Muslim terlopong dan bangun perlahan-lahan. Alih-alih, dia pula kena tuduh bukan-bukan. Padahal bukan dia yang memulakan. Bengkak juga mulut Zara tu dia jentik karang.
“Eh, bukan awak ke yang ambil kesempatan dekat saya? Masa saya tengah cakap kat telefon tadi, awak renung saya, kan? Ha... sekarang siapa yang ambil kesempatan atas siapa?” Muslim berdiri peluk tubuh dan mengangkat kening tinggi. Senyumnya senget.
Zara gugup. Dia pandang Muslim dengan serba salah. Malunya! Tak tahu mana nak sorok muka.
Encik Peon pula hanya tersengih-sengih memandang kedua-duanya. Dia mula berfikir ke hadapan. Kalau Zara dan Muslim betul-betul jadi pasangan kekasih bagus juga. Seorang cantik, seorang lagi kacak. Memang sepadan sangat, gumam hati kecilnya.
“Nampaknya pelaburan Encik Muslim dah mula nampak hasil. Tak lama lagi selesailah masalah Encik Muslim tu. Tapi, rasanya Encik Muslim kena banyakkan lagi latihan macam tadi,” kata Encik Peon berkias.
Muslim cuba mentafsir kata-kata Encik Peon. Dia tersenyum panjang setelah berjaya menangkap maksudnya.
“Kalau banyak sangat buat latihan main mata, takut hati ni terpaut pulak nanti,” selorohnya sambil mengerling Zara yang tunduk merenung lantai.
Encik Peon menggamit Muslim agar mendekatinya. Setelah Muslim berdiri di sebelah, dia berbisik di telinga Muslim. “Kalau terpaut pun apa salahnya? Awak dengan Zara kan, dua-dua masih belum ada yang punya.”
“Saya tak ada komen.” Muslim ketawa kecil sebelum hulur tangan kepada Encik Peon. “Okeylah, Encik Peon, saya minta diri dulu. Terima kasih sebab sudi bantu saya. Saya harap semuanya akan berjalan lancar lepas ni.”
“Encik Muslim jangan risau. Saya akan pastikan semuanya baik-baik aje tanpa sebarang masalah,” balas Encik Peon sambil menepuk-nepuk lengan Muslim.
“Lepas ni tak payah berencik-enciklah dengan saya. Panggil Muslim aje cukup. Barulah mesra sikit.”
“Yalah, Muslim.” Encik Peon mengangguk.
Muslim alih pandangan ke wajah Zara pula. Selepas dia pulang paku buah keras tadi, Zara diam tidak berkutik. Malulah tu.
“Esok awak datang ke pejabat saya, boleh? Kita sambung perbincangan tadi dekat sana,” tanya Muslim.
“Kenapa saya pulak yang kena pergi jumpa awak? Saya bukannya tahu kat mana pejabat awak,” balas Zara dingin. Selepas itu dia lihat Muslim keluarkan sesuatu dari dompetnya.
“Ini kad saya. Alamat pejabat dan nombor telefon saya ada tertulis kat dalam kad tu. Kalau sesat, awak boleh telefon saya. Jumpa lagi esok.”
Zara tidak berkata apa-apa. Dia tengok sahaja Muslim berlalu setelah beri kad nama kepadanya. Sehingga Muslim hilang daripada pandangan, matanya masih lagi terpaku pada pintu.
“Ha... Awak dah jatuh suka dekat Muslim ya?” Encik Peon menyakat. Tersengih dia melihat Zara yang pegun memandang pintu pejabat, seolah-olah Muslim masih berada di situ.
Zara tersedar. Dia kerling Encik Peon sambil bercekak pinggang.
“Apa yang Encik Peon merepek ni? Nak suruh saya mengamuk lagi ke macam tadi? Jangan, Encik Peon... Marah saya belum habis lagi ni.”
“Marah ke malu?” Encik Peon mengekek sebelum meninggalkan Zara yang kelihatan bengang dengannya.
Zara tersentap. Encik Peon ni memang nak kena baling dengan kerusi agaknya.

SHEILA ketawa terbahak-bahak. Tak tahan sungguh dia dengar cerita Zara tadi. Lucu ada, simpati ada, tidak masuk akal pun ada juga. Macam-macamlah Zara ni. Terbantut hasratnya nak suap mi goreng ke dalam mulut.
“Shhh... kau ni, janganlah ketawa kuat sangat. Orang tengok malulah.” Zara tegur Sheila sambil menjeling ke kiri dan kanan ruang di dalam kedai makan yang mereka lepak. Dia memang sudah agak Sheila akan ketawa besar setelah mendengar ceritanya. Encik Peonlah ni punya angkara. Menyampah betul dia dengan bosnya.
Sheila terus menekup mulut. Namun bahunya masih terjongket-jongket menahan rasa lucu.
“Jadi, kau terimalah kerja tu?” tanyanya setelah ketawanya reda.
“Habis, apa lagi pilihan yang aku ada? Klien tu dah bayar semua duit. Dia siap bagi arahan lagi dekat aku suruh pergi ofis dia esok.” Zara mengacau-ngacau ketulan ais di dalam gelas dengan penyedut minuman sebelum menyedutnya sedikit.
Kecut perutnya memikirkan apa yang bakal berlaku esok. Entah tugas apa yang dia kena buat nanti. Jangan Muslim suruh buat perkara tidak elok sudahlah.
“Maksudnya, sekarang ni kau kau kerja bawah dua majikanlah? Encik Peon dan...”
“Muslim. Nama dia Harith Muslim.” Zara sambung ayat Sheila yang tergantung. Itulah nama penuh Muslim yang dia tengok dalam kad namanya. Nama boleh tahan sedap. Yang tak boleh tahan, perangai tuan pemilik nama itu. Menjengkelkan.
Mata Sheila membulat.
“Harith Muslim? Wau! Dengar nama pun dah dapat rasa yang dia tu kacak dan bergaya macam Won Bin, kan? Tak pun macam Yutaka Takenouchi. Betul tak?” kata Sheila penuh teruja. Kalau tanggapannya betul, untunglah Zara dapat kenal lelaki itu.
Zara membayangkan semula wajah Muslim dan tersenyum tanpa sedar.
“Kira sedaplah jugak mata memandang walaupun tak putih dan jambu macam hero-hero kesayangan kau tu. Tapi, aku tak adalah berkenan sampai jadi gila bayang,” beritahunya sambil ketawa.
“Kalau dia berkenan dekat kau?”
“Isy! Merepeklah kau ni.” Laju sahaja Zara menyangkal tanggapan Sheila.
Dia rasa, Muslim pun akan berfikir seribu kali kalau hendak jatuh hati kepadanya. Tahan ke Muslim dengan mulut lepas dia? Di pejabat tadi pun banyak ayat yang tidak sedap didengar dia lempar kepada Muslim. Tidak tahulah apa tanggapan Muslim terhadapnya.
“Manalah tahu masa kau menyamar jadi kekasih dia tu, tiba-tiba dia terjatuh suka dekat kau. Lepas tu terus ajak kau kahwin. Wah! Beruntunglah kau nanti, Zara...” Sheila terkekek-kekek sambil menyuap mi goreng.
“Kau jangan nak mengarutlah, Sheila. Tugas aku sekarang ni, menyamar jadi kekasih dia aje. Kahwin-kahwin ni tak termaktub dalam surat perjanjian,” dengus Zara.
“Manalah tahu kut-kut dia tu jodoh kau ke? Rencana Tuhan ni tak ada sesiapa yang tahu tau. Jadi, kau dah bersedia ke nak bercinta dengan dia?”
Zara terdiam. Rasa macam susah hendak jawab pertanyaan Sheila itu. Air jus tembikai disedut perlahan buat hilang resah yang dialaminya.
“Sedia tak sedia, aku redah ajelah. Aku bukannya reti sangat bab bercinta ni. Aku buat semua ni pun sebab terpaksa tau. Bukannya sebab aku rela,” jawab Zara.
Memang dia tidak ada pengalaman langsung dalam soal cinta. Bukan tidak ada lelaki yang mendekati atau ajak bercinta. Cuma pintu hatinya sahaja yang belum terbuka nak pergi ke arah itu. Kerja pun masih terumbang-ambing, ada hati pula hendak bercinta. Bagi dia, bercinta bukannya percuma.
Nak telefon buah hati semestinya kena sediakan kredit yang banyak. Cakap seminit dua bukannya boleh lepas rindu. Paling kurang, kena bergayut dalam setengah jam atau sejam. Barulah tubuh berasa segar dan boleh tidur lena sampai ke pagi. Kalau pergi dating pula, pasti akan singgah makan di mana-mana. Kemudian tengok wayang, beli itu, beli ini.
Ah, banyak juga duit yang perlu dilaburkan. Kalau dapat kekasih jenis kaki pengikis lagilah banyak kena sediakan duit. Jadi, dia rasa dia belum mampu lagi hendak bercinta.
“Mana boleh macam tu. Bercinta ni ada petuanya. Barulah berjaya. Meh aku beritahu kau cara-cara nak jadi seorang kekasih yang baik.” Sheila tawar diri menurunkan ilmu cinta yang pernah dia kutip sepanjang bercinta dengan bekas-bekas kekasih terdahulu dan sekarang.
Itulah kelebihannya apabila bercinta banyak kali. Boleh berkongsi ilmu kepada sesiapa yang memerlukan.
“Alah, aku bukannya nak bercinta betul-betul. Menyamar aje pun. Perlu ke aku tahu semua tu?”
“Perlulah supaya lakonan kau tu nanti tak keras macam kayu jati. Petua yang paling penting adalah keikhlasan. Kau kena ikhlaskan diri kau mencintai dia. Tak boleh bercinta sebab terpaksa. Nanti aura cinta tu tak terpancar,” jelas Sheila.
Zara menggaru kepala. Ikhlaskan diri? Dia rasa baru sebentar tadi dia beritahu Sheila yang dia buat semua ini sebab terpaksa. Jadi, mungkinkah aura cinta itu tidak akan terserlah semasa dia menyamar jadi kekasih Muslim nanti? Erk? Persetankanlah sahaja semua itu.
“Masalahnya sekarang, aku buat semua ni sebab aku terpaksa, bukannya ikhlas. Aku terpaksa sebab lelaki tu dah sain surat perjanjian dan bayar semua caj perkhidmatan tu. Kalau aku sendiri yang suka dan rela, itu lainlah. Baru aku boleh ikhlaskan diri aku macam yang kau cakap tadi tu.”
“Aku tanya kau satu soalan, boleh? Tapi, kau kena jawab dengan jujur. Tak boleh selindung-selindung.” Sheila pandang Zara dengan muka serius.
“Apa dia?” Kening Zara terangkat sebelah. Cuak hatinya melihat mimik muka Sheila yang tiba-tiba berubah menjadi serius.
“Masa pertama kali kau tengok Harith Muslim tu, kau memang tak ada rasa apa-apa ke?”
Zara kerut dahi.
“Rasa macam mana maksud kau? Kalau rasa menyampah tu adalah. Kalau rasa suka memang tak ada langsung,” jawab Zara penuh yakin.
Kemudian dia berfikir sejenak. Tetapi semasa Muslim duduk merenungnya di meja pagi tadi, kuat juga perasaan dia bergetar. Itu kategori bergetar sebab suka ke sebab dia menggelabah? Ah, tidak tahulah dia.
Tidak semena-mena Sheila tergelak. Terasa hatinya seperti kena geletek mendengar jawapan Zara.
“Menyampah? Kalau macam tu, potensi kau untuk sukakan dia mesti besar. Orang kata, daripada rasa menyampah itulah akan hadirkan perasaan suka dan cinta. Baik kau berhati-hati dengan perasaan kau tu,” kata Sheila seraya menyambung makan semula.
“Huh! Banyaklah kau punya potensi.” Zara mendengus sambil cubit lengan Sheila.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment