09 June 2011

Mahadewi Tercipta Untukku 3

 ADIB mengatur langkah keluar dari biliknya. Sudah melewati waktu tengahari. Seluruh pejabatnya juga sudah kosong. Masing-masing sudah keluar makan tengahari. Dia pun turut mahu menjejaki langkah mereka. Sejak dari pagi tadi lagi perutnya berkeroncong.

Di rumah tadi pun, dia tidak sempat bersarapan. Cuma sempat menjamah secawan kopi saja. Sementelah, pagi tadi dia ada mesyuarat dengan Encik Marzuki, jurutera dari Syarikat Alam Bina yang berkerjasama dengan syarikatnya dalam perlaksanaan projek perumahan yang sedang dijalankan sekarang. Takut lambat tiba, itu yang dia tak sempat bersarapan.

Adib berjalan melintasi kaunter hadapan pejabatnya itu. Namun langkahnya mati apabila matanya menangkap satu susuk badan yang duduk di meja kaunter tersebut. Eh, ada orang lagi rupanya. Dia ingat dia seorang saja yang ada di dalam pejabat itu. Adib berpatah semula dan merapati meja kaunter.

“Dah pukul 1.00 ni. Awak tak keluar makan ke?” Adib menegur.

Nor menoleh sekilas. Pandangan matanya dan Adib bertembung. Laa, dia ni tak keluar-keluar lagi ke? Ada je kat mana-mana dia ada. Huh!

“Saya dah kenyang...” jawab Nor pendek, acuh tak acuh.

“Iya ke? Atau awak diet?” Adib memandangnya sambil senyum sinis.

“Ala... tak payah diet. Awak dah comel. Jom ikut saya,” pelawanya mesra.

Nor memandang Adib sambil mengerutkan wajahnya.

“Ikut Encik Adib? Nak pergi mana?” soalnya kehairanan.

“Pergi mana lagi, pergi lunch la. Kan dah pukul 1.00 dah ni. Jomlah, hari ni saya belanja awak makan.”

Eh, tiba-tiba saja. Kenapa baik sangat ni? Nor berasa hairan dengan sikap mesra ketuanya pada tengahari itu. Ah, kalau Adib baik pun, jangan harap dia nak keluar dengan lelaki itu.

“Tak naklah, saya dah kenyang. Lain kali jelah. Atau mungkin Encik Adib boleh ajak orang lain je...”

Mata Adib meliar ke segenap ruang di dalam pejabat itu. Kemudian kembali tertancap ke wajah Nor.

“Tapi saya tak nampak sesiapa pun yang ada kat sini melainkan awak seorang...”

Nor melihat ke sekeliling pejabat. Alamak, betullah. Hanya dia dan Adib saja yang ada di dalam pejabat itu. Nor mula terkial-kial mencari alasan.

“Err… betul Encik Adib, saya dah kenyang. Lagipun saya ada banyak kerja yang nak kena siapkan ni.”

Nor pantas mencapai sebuah fail yang berada di atas mejanya dan berpura-pura membeleknya di depan Adib. Dia harap Adib akan cepat-cepat berlalu dari situ apabila melihat dia sibuk membuat kerja.

“Umm... mengikut peraturan kat office ni, waktu rehat adalah waktu untuk berehat. Bukannya untuk buat kerja. So, awak kena patuhi peraturan tu.”

Fail yang dipegangnya dirampas oleh Adib dan ditutup rapat. Banyak kerjalah sangat. Hari ni dia mana ada beri apa-apa kerja pun lagi pada Nor. Nak tipu dia lagilah tu. Kuat betul beralasan. Adib berdengus.

“Ta.. tapi...”

“Satu jam je... bukannya lama pun. Jom ikut saya. Kalau tak, nanti awak akan dipersalahkan sekiranya perut saya ni masuk angin.”

Eh, apa kena mengena dengan dia pula? Adib ni mengada-ada betul. Eee, bencinya! Suka betul memaksa dia. Nor ingin menolak, tetapi apabila melihat mata lelaki itu merenung tajam ke arahnya akhirnya dia akur. Memang dia tak ada pilihan lagi.

“Okey...” tuturnya lemah.

“Haaa, macam tulah gadis idaman saya. Jom!”

Adib senyum lebar. Berjaya juga dia memujuk gadis itu supaya bersetuju dengan pelawaannya. Sebenarnya, tiada syarat khusus pun yang ditetapkan dalam polisi peraturan syarikat dia. Dia sengaja berkata begitu tadi untuk mematikan alasan yang Nor berikan.

Bukan dia tidak tahu sikap Nor yang seringkali menghampakan dia jika dia mempelawa keluar kemana-mana. Pantang betul dia kalau pelawaannya ditolak. Tambah-tambah kalau penolakan itu datangnya daripada gadis yang menjadi perhatiannya.

Nor mengerutkan dahinya. Gadis idaman? Sejak bila pula dia jadi gadis idaman Adib? Tolonglah! Tak ingin dia. Nor melangkah longlai mengikut langkah Adib dari belakang. Dia berasa seperti tidak bersemangat. Ah, lelaki itu memang gemar mematikan semangat dan perasaan gembira yang dinikmatinya. Setiap hari ada saja tindakannya yang membuatkan dia berasa sakit hati.

*****
 
ADIB membawa Nor menjamu selera di sebuah restoran makanan laut. Restoran yang bernama Thai Seafood Paradise itu memang sentiasa menjadi restoran kegemarannya untuk singgah makan. Di situ terdapat banyak pilihan makanan dan citarasa masakannya benar-benar memenuhi selera dia.

Adib mengambil tempat di hujung ruang yang sedikit tersorok daripada pandangan orang yang lalu lalang. Selesa sikit mahu menikmati selera berdua-duaan dengan Nor. Namun sejak dari mula masuk ke dalam keretanya sehinggalah sampai ke restoran itu, Adib lihat Nor sekadar membisu.

Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Mahu bersembang pun tak seronok. Tiada kemesraan antara mereka. Barangkali Nor masih berasa marah dengan tindakan dia yang memaksa dirinya itu supaya mengikutnya datang ke situ.

“Kenapa awak tak makan? Tak sedap?” soal Adib memandang Nor.

Dia lihat makanan yang berada di depannya juga tidak terusik. Makanan dia sendiri pun sudah hampir separuh pinggan dia habiskan. Takkan tak sedap? Dia makan okey saja. Rasa seperti nak tambah lagi sepinggan.

Nor menggeleng. Menafikan telahan Adib itu.

“Hurmm, sedap...” tuturnya perlahan.

Nasi yang sedang dikunyah oleh Adib bagaikan mahu tersembur keluar. Hahaha! Adib tidak dapat menahan ketawa. Dia ketawa berdekah-dekah mendengar kata-kata Nor itu. Hai, dia buat lawaklah pula. Mujur tak tercekik dia dibuatnya.

“Awak ni, kelakar juga ya...” ujar Adib usai meneguk jus oren di dalam gelas itu.

Nor memandang hairan ke arah Adib. Kenapa pula dengan mamat ni? Gila ke apa? Tiba-tiba saja ketawa. Bukannya ada orang buat lawak pun.

“Kenapa Encik Adib ketawa? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soalnya geram.

“Macam mana awak tahu makanan tu sedap kalau awak sendiri pun tak makan lagi? Nasi tu beritahu awak ek?” soal Adib kembali dalam ketawa yang masih lagi tersisa. Terasa lucu pula mendengarnya.

Nor memandang nasi goreng seafood yang berada di depan matanya itu. Dia hilang kata-kata. Ah, terkena pula dia. Wajahnya mula terasa membahang. Tiba-tiba saja dia berasa malu dengan Adib. Ish, macam mana pula dia boleh tidak perasan semua itu. Tak semena-mena pula dia menjadi bahan jenaka Adib tengahari itu.

Adib menyedari perubahan wajah Nor yang mulai kemerahan itu. Ala, dia malulah pula. Adib senyum memandang Nor. Terserlah kecantikannya. Terbuai juga perasaan dia seketika.

“Kalau sedap, makanlah. Tak payah nak malu-malu dengan saya. Bukannya awak tak kenal sayakan?”

Adib cuba meredakan perasaan malu gadis itu.

“Saya dah kenyanglah Encik Adib...”

Nor masih beralasan. Sebenarnya dia cuba untuk menutup perasaan malu yang dialaminya sebentar tadi.

Adib meletakkan sudu yang di pegangnya di atas pinggan. Kemudian mengesat perlahan mulutnya dengan kain napkin putih yang terletak di atas ribanya. Jus oren itu di sedut buat sekian kalinya.

“Setakat makan biskut dua keping, cicah dengan air Milo kenyang ke? Mana ada orang kenyang setakat makan macam tu. Kalau nak diet pun, janganlah sampai menyeksa diri macam tu.”

Glurp! Nor berasa sentap mendengar kata-kata Adib itu. Lelaki itu tahu saja apa yang dia makan. Semua perkara dia siasat. Padahal bukan dia makan depan Adib pun.

Adib senyum. Bukan dia tak nampak di atas meja Nor tadi, ada secawan Milo dan sepeket kecil biskut Tiger. Kalau dia makan biskut itu pun dia rasa tidak kenyang sampai ke petang. Kalau sekadar buat alas perut bolehlah.

“Dah, tak payahlah awak nak beri alasan apa-apa lagi. Makan nasi tu. Kalau tak, kita takkan balik selagi nasi awak tu tak habis.”

Adib menyandarkan badannya di kerusi dan berpeluk tubuh memandangnya.

Nor menggetap rapat bibirnya. Ini dah macam arahan. Eee, lelaki ni memang suka benar memaksa dia. Teruk betul. Nor menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Mahu tidak mahu dipaksa juga dirinya untuk menghabiskan nasi goreng tersebut. Renungan mata Adib yang memerhatikannya tidak lagi dia pedulikan.

******

“AKU tengok Encik Adib tu, macam nak pikat kau je. Kau perasan tak?”

Saleha menegur Nor sebaik saja sahabatnya itu kembali semula ke pejabat usai makan tengahari bersama Adib. Hari ini Saleha dilanda kejutan lagi. Baru sebentar tadi dia dapat tahu Nor keluar makan bersama Adib.

Terkejut badak dia apabila melihat Nor dan Adib berjalan beriringan masuk ke dalam pejabat. Tadi dia ajak Nor turun makan, Nor beria-ia menolak. Malas makanlah, kenyanglah. Macam-macam alasan yang dia beri.

Tapi bila Adib yang ajak, cepat pula setuju. Kalau Nor tolak pelawaan dia tadi disebabkan mahu keluar dengan Adib, mengaku sajalah. Tak perlu mereka cipta banyak alasan. Haih! Geram betul dia dengan Nor.

“Entah...” Nor menjawab acuh tak acuh.

“Kalau tak, takkanlah dia tu ajak kau keluar makan. Lepas tu ajak tumpang balik naik kereta dia. Mestilah nak memikatkan?” Saleha membuat andaian.

“Umm, kau ni dah mulalah tu nak mengarut buat cerita yang bukan-bukan. Huh!”

Nor mengerling tajam ke arah Saleha. Ah, dia ni ada-ada sajalah. Macam ahli nujum pun ada.

“Mana ada. Aku cakap hal yang betul je. Takkanlah kau tak perasan. Cara Encik Adib tu dah terang-terang sangat menunjukkan yang dia tu cuba nak rapat dengan kau. Hei, kau tahu tak, semua orang dalam office ni dah mula bercakap pasal hal kau dengan dia tau,” ungkap Saleha separuh berbisik.

“So?” Nor mengangkat keningnya.

“Eh, kau tak rasa bertuah ke bila ada orang approach kau? Lebih-lebih lagi lelaki yang kacak macam Encik Adib tu. Kalau akulah, eee sukanya...”

Saleha menggeletik kesukaan. Kedua-dua tangannya saling digenggam erat dan dibawa ke dadanya sambil matanya dipejam rapat. Cuba membayangkan dirinya sendiri yang berada dalam situasi tersebut.

Nor ketawa lucu mendengar kata-kata Saleha serta melihat gelagatnya yang mencuit hati itu. Bertuah? Bertuahlah sangat.

“Kau ni kelakarlah, Saleha...”

Saleha memandangnya kehairanan.

“Apa yang kelakarnya? Aku salah cakap ke? Hei, kau dengar sini baik-baik. Bukan senang tau nak dapat perhatian daripada  Encik Adib tu. Hanya orang-orang yang terpilih je. Bukannya kau tak tahu, dalam office ni berapa ramai yang tergila-gilakan dia? Tapi mana ada dia layan pun. Jadi, bila dia cuba nak dekat dengan kau, kau tu dikira beruntunglah. Kau tak rasa semua tu?” soalnya sambil mencekak pinggang.

Siapa yang tak kenal dengan lelaki yang bernama Qusyairy Adib itu. Seorang arkitek terkenal yang menjadi rebutan ramai gadis di Kuala Lumpur ini. Dia rasa bukan setakat Kuala Lumpur saja, luar daripada itu pun mungkin ada juga.

Siapalah yang tidak mahu rapat dengan dia. Sudahlah kaya, ada rupa pula tu. Muda-muda lagi sudah ada empayar sendiri. Kalaulah Adib yang cuba mendampingi dia, memang dia takkan jual mahal. Itu tolak tuah namanya.

Nor mencebikkan bibirnya. Beruntung ke? Dia rasa lagi malang ada. Entah kenapalah ramai sangat orang yang begitu memuja lelaki itu. Padahal bukan istimewa sangat pun. Dia pun tak ada keinginan langsung untuk berdamping mesra dengannya. Rasa meluat adalah.

“Tapi aku tak ada apa-apa perasaan pun dekat dia. Dia bukan ciri-ciri lelaki idaman aku laa...”

Saleha menelan air liur.

“Apa Nor? Encik Adib yang kacak macam tu kau cakap bukan lelaki idaman kau?”

Ya Allah!! Buta ke apa dia ni?

“Yalah, lelaki yang kaki perempuan macam tu takkanlah nak jadi lelaki idaman aku. Kalau sekadar kacak tapi suka mainkan perasaan orang, nak buat apa? Sah-sahlah tak masuk dalam senarai lelaki yang aku suka. Kalau kau nak dia, kau ambillah,” ujarnya sambil senyum sinis memandang Saleha.

Saleha pun satu, kalau ya pun nak jodohkan dia dengan mana-mana lelaki, carilah yang baik sikit. Ini tidak, nak jodohkan dia dengan Adib pula. Memanglah tak layak. Macam dah tak ada lelaki lain saja.

“Habis, kalau bukan saya, lelaki yang macam mana pula yang boleh jadi lelaki idaman awak?” Suara Adib tiba-tiba mencelah perbualan mereka.

Matanya memandang Nor dan Saleha silih berganti. Dia menggetap bibirnya rapat. Tercabar betul dia mendengar kata-kata Nor itu.

Hah? Adib? Nor dan Saleha tergamam dan saling berpandangan. Sejak bila pula Adib berada di situ dan mencuri dengar perbualan mereka?

“Eh, Encik Adib. Errr...”

Suara Nor terketar-ketar menahan getar. Mata Adib tajam merenungnya. Adui, habislah dia kali ni. Mesti Adib sudah mendengar segala-galanya tadi. Ish, macam manalah dia boleh tidak perasan kelibat Adib yang ada di situ? Kantoi, kantoi.

“Eh, Saleha, tadi kau nak minta tolong aku fotostat dokumenkan? Mana dokumen tu? Dalam fail ni, ek? Aku pergi fotostat sekarang ya...”

Nor segera mencapai fail hitam yang berada di atas meja Saleha itu. Entah fail apa yang dia ambil, dia sendiri pun tak tahu. Ah, tibai sajalah. Kalau dia tidak membuat alasan begitu, mati kutulah dia di depan Adib. Kalau Adib bersoal jawab dengan dia, lagi haru dia nanti. Jalan terbaik, lari saja dari situ.

Nor bangun dari kerusinya dan tergesa-gesa menuju ke arah bilik fotostat yang terletak bersebelahan dengan bilik pantri itu. Jangan Adib turut sama mengekori dia sudah. Kalau tak, memang dia cabut balik awal hari ini.

Adib sekadar berpeluk tubuh memerhatikan gelagat Nor yang kelam kabut cuba melarikan diri daripadanya. Tahu pun takut. Tadi berani sangat mengata dia. Kata-kata pedas yang keluar dari bibir gadis itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Tak apa, satu hari nanti dia akan pastikan Nor menarik semula kata-kata itu.

Kemudian matanya melirik pula ke arah Saleha yang dilihatnya sedang tekun menaip sesuatu di komputernya. Yang ini pun sama juga dengan Nor. Bila depan dia macam ini, mulalah semuanya buat-buat sibuk. Pergi fotostat dokumenlah, menaip suratlah. Memang pandai berlakon. Huh!

© Noraini Mohamad 2011

No comments:

Post a Comment