21 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 8

“NAMA aku Naim Naqiuddin. Lepas ni kau panggil aku Naim ajelah. Tak payah panggil encik. Kau bukannya pekerja aku pun nak panggil aku macam tu. Tapi, kalau kau rasa lidah kau tu berbelit nak sebut nama aku, suka hati kaulah nak panggil apa-apa pun.”
               
Husna terkejut apabila lelaki itu secara sukarela memperkenalkan diri sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta. Naim Naqiuddin. Husna menyebut nama itu dalam hati. Nama boleh tahan sedap. Rupa pun boleh tahan kacak. Tetapi, perangai… Masya-Allah.
               
“Kau pulak tak ada nama ke?” tanya Naim yang masih lagi tidak lepas daripada memandang Husna yang sedang ralit memakai tali pinggang keledar.
               
Husna sekali lagi terkaku. Naim tanya nama dia? Ada rasa ingin tahu juga rupanya. Perlahan-lahan dia mendongak dan berpaling muka ke kanan. Naim tidak berkelip memandangnya, menantikan jawapan.
               
“Err… nama saya Nurul Husna. Panggil Husna aje.” Tergagap-gagap Husna menjawab. Hisy, sudah jadi sesi suai kenallah pula. Entah mengapa, dia rasa pertemuannya dengan Naim kali ini seperti lain macam sahaja.
               
Naim bergumam. Husna. Sedap juga nama itu. Hatinya sempat memuji. Kemudian dia menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan kawasan klinik tersebut. Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya saling membisu. Naim fokus dengan pemanduannya manakala Husna pula jauh membuang pandangan ke luar cermin kereta.
               
“Kau datang ke pejabat aku tadi buat apa?” soal Naim, sekali gus memecah kesunyian yang melanda antara dia dan Husna. Bosanlah asyik diam sahaja. Lagipun, persoalan itu memang sejak dari pagi tadi lagi bermain-main di fikirannya.
               
Husna menggelabah. Alamak! Kenapa Naim tanya soalan itu pula? Apa dia nak jawab ni? Dia tidak mahu Naim tahu yang dia pergi ke sana sebab nak minta kerja. Malulah dia nanti. Sudahlah semalam dia bergaduh bagai nak rak dengan lelaki itu pasal kucing. Alih-alih, hari ini datang nak minta kerja pula. Tetapi, manalah dia tahu Naim bekerja di syarikat itu.
               
“Err… tak ada apa-apalah. Saja aje berjalan-jalan,” balas Husna. Dia memaling mukanya ke cermin dan menggigit bibir. Dia tahu, jawapan itu bunyinya seperti tidak logik. Namun, yang lebih penting, Naim tidak tahu hal yang sebenar.
               
Naim tergelak.
               
“Dalam banyak-banyak tempat kat Kuala Terengganu ni, kat pejabat aku jugakyang kau nak pergi berjalan-jalan ya? Dah tak ada tempat lain ke? Ada apa yang menarik sangat kat pejabat aku tu?” tanya Naim lagi.
               
Gila agaknya perempuan ini pergi berjalan-jalan tanpa tujuan di pejabat orang. Kalau pergi berjalan-jalan ke pantai tu, boleh lagi masuk dek akal. Sempat dia mengutuk Husna dalam hati.
               
Husna terdiam. Dia kehilangan kata-kata mahu menjawab pertanyaan Naim. Sudahnya, dia hanya membiarkan sahaja pertanyaan itu tanpa jawapan. Cakap pasal hal lain tidak boleh ke?
               
Naim mengerling sekilas sambil tersungging senyum. Agaknya, Husna sedang fikir jawapan bodoh yang lain pula kut. Apabila teringat semula alasan Husna tadi, dia masih tidak boleh berhenti ketawa. Matanya sempat menyoroti fail hitam yang berada di atas riba gadis itu.
               
“Kau tengah cari kerja ke? Kenapa kau minta balik resume kau tadi?” Naim masih belum berputus asa mahu mencari jawapan daripada Husna.
               
“Saya lupa nak letak gambar pasport.” Laju sahaja Husna membalas. Sekali lagi dia memberi alasan merepek. Bilalah Naim hendak berhenti bertanya? Dia sudah malas mahu membuka mulut mengenai hal itu.
               
Ketawa Naim semakin menggila bergema. Perutnya yang sedari tadi berasa lapar serta-merta berasa kenyang disumbat dengan lawak jenaka yang dibuat oleh gadis itu.
               
“Bukan lupa nak letak gambar pasport. Tapi, sebab kau dah tahu aku kerja kat situ, kan? Jadi, kau pun terus tak jadi nak minta kerja kat situ.Bukan begitu?” Naim membetulkan kata-kata Husna. Dia seakan-akan sudah dapat membaca tindakan Husna itu. Husna ingat, dia ini budak kecil lagikah mahu kelentong dia begitu? Agak-agaklah sikit kalau mahu menipu pun.
               
Husna menelan air liur. Hah, betullah tu. Dia memang tidak mahu bekerja satu bumbung dengan lelaki itu. Nanti mesti selalu kena buli. Kalau kucing pun Naim sanggup buli, inikan pula manusia.
               
“Err…” Husna serba salah hendak mengiakan.
               
“Baguslah kalau kau tak jadi minta kerja kat pejabat aku tu. Kat sana memang tak ada jawatan sebagai penjaga kucing atau pengasuh kucing. Kau kena pergi minta kerja tu kat tempat lain,” sindir Naim lagi sambil tersenyum sinis.
               
Husna ketap bibir rapat-rapat. Agaknya, mamat ni sudah puas hidup kut.

*****

SETELAH hampir 20 minit menempuh perjalanan, akhirnya kereta Naim berhenti di hadapan rumah Husna. Husna siap-siap membuka tali pinggang keledar. Lega hatinya apabila dapat menjejakkan kaki ke rumah sendiri.
               
Naim yang duduk di sebelah hanya memerhati Husna yang sudah pun menguak pintu.
               
“Kau agak-agak esok kita jumpa kat mana pulak?” tanya Naim sebelum Husna keluar dari keretanya.
               
Eh, dia tidak bermaksud apa-apa dengan pertanyaan itu. Lagipun sudah dua hari berturut-turut mereka berjumpa. Mungkin esok mereka akan bertemu lagi. Rasa-rasanyalah!
               
Sebelah kaki Husna yang sudah terjulur keluar diangkat naik semula. Dahinya berkerut memandang Naim.
               
“Kalau encik langgar kucing lagi, mungkin kita akan berjumpa lagi kut,” perli Husna lantas terus keluar dan menghempaskan pintu. Sengaja dia menyindir Naim. Huh, tidak inginlah dia mahu berjumpa dengan Naim setiap hari. Anggap sahajalah hari ini merupakan hari terakhir mereka berjumpa.
               
Naim hanya menjongket bahu. Dia tidak terkesan dengan sindirian halus Husna itu. Perlahan-lahan dia mengundur kereta untuk keluar dari kawasan rumah Husna. Ketika dia mahu memusing stereng, terdengar pula bunyi ketukan yang bertalu-talu pada pintu cermin bahagian pemandu. Tangannya segera menekan butang cermin automatik.
               
“Hah, apa hal lagi ni? Berat hati nak lepaskan aku pergi ke?” Kening Naim terjongket sebelah.
               
“Encik belum makan lagi, kan? Kalau nak singgah makan dulu, jemputlah naik ke rumah saya.” Husna mempelawa Naim penuh ramah.
               
Naim terkedu. Tanpa sedar, tangannya sudah pun mematikan enjin kereta. Rezeki jangan ditolak!

 *****

“WANI, Encik Naim mana? Tak masuk ke pejabat lagi ke?” tanya Dato’ Mazlan kepada setiausaha Naim. Dia masuk ke dalam bilik anaknya tadi, kosong. Tidak ada sesiapa di dalamnya.
               
“Encik Naim belum masuk ke pejabat lagi, Dato’,” jawab Wani.
               
“Cuba telefon dia, tanya dia berada dekat mana. Lepas tu, suruh dia balik ke pejabat cepat sikit. Pukul 3.00 nanti saya nak ajak dia pergi ke Rekabina Architect,” arah Dato’ Mazlan pula.
               
“Baik, Dato’.” Wani segera mencapai gagang telefon lalu mendail nombor telefon bimbit Naim. Berkali-kali dia mencuba, namun hanya bunyi deringan sahaja yang kedengaran. Panggilan itu langsung tidak berjawab.
               
“Dapat tak?” tanya Dato’ Mazlan lagi yang masih tidak berganjak dari di situ.
               
“Tak dapat, Dato’. Encik Naim tak jawab panggilan tu.” Wani meletakkan semula gagang telefon ke tempat asalnya.
               
Dato’ Mazlan bergumam. Ke mana pula anak dia ini pergi? Hatinya tertanya-tanya sendirian.
               
“Tak apalah, Wani. Nanti awak cuba telefon dia semula. Kalau dia jawab, sambungkan ke bilik saya,” pesan Dato’ Mazlan.
               
“Baik, Dato’.” Wani mengangguk perlahan.
               
Setelah Dato’ Mazlan beredar, telefon di atas meja Wani berdering kuat. Sangkanya mungkin Naim yang menelefon. Wani cepat-cepat menjawab.
               
“Boleh sambungkan panggilan ni kepada Encik Naim?” pinta si pemanggil perempuan di hujung talian.
               
Wani mengeluh. Sangkaannya meleset sama sekali. Bukan Naim yang menelefon. Tetapi, Bella, buah hati kesayangan Naim. Dia memang kenal dengan suara Bella. Dia juga sudah boleh menebak tujuan panggilan itu dibuat. Cari kekasih hatilah tu.
               
“Maaf, Cik Bella. Encik Naim masih belum masuk ke pejabat lagi.” Lembut Wani menyusun kata-kata.
               
“Bos awak tu pergi ke mana? Kenapa saya telefon dia banyak kali dia tak jawab?” Suara Bella kedengaran seperti menahan geram. Marah pun ada juga.
               
“Saya tak pastilah, Cik Bella. Saya pun dah banyak kali cuba hubungi dia, tapi semuanya tak dijawab. Cik Bella ada apa-apa pesanan ke?” soal Wani.
               
Bella terdiam sejenak, seolah-olah memikirkan sesuatu.
               
“Kalau dia ada telefon awak, beritahu diasuruh hantarkan Chicky ke rumah saya cepat-cepat. Saya dah naik risau ni kenapa dia belum balik-balik lagi. Dahlah saya telefon dia tak dapat.”
               
Muka Wani berkerut mendengar bebelan Bella. Setiap kali gadis itu membuat panggilan, memang ada sahaja bebelan yang keluar dari mulutnya. Kadang-kadang dia faham, kadang-kadang dia tidak faham. Pening juga kepala dia melayan kerenah Bella. Entah bagaimana Naim boleh tahan dengan sikap perempuan seperti itu.
               
“Err… Chicky tu apa, Cik Bella?” Teragak-agak Wani bertanya.
               
“Kucing sayalah!” jawab Bella dengan laju sebelum mematikan panggilan.
               
Wani terkulat-kulat merenung gagang telefon. Kucing? Hih, manalah dia tahu Chicky itu seekor kucing.

*****

HUSNA hanya memerhatikan gelagat Naim yang makan nasi seperti orang yang sudah setahun tidak berjumpa makanan. Biar betul dia ni. Lapar sangat ke sampai makan tidak tengok kiri dan kanan langsung? Kuah gulai lemak nangka di dalam mangkuk sudah hampir kering ditimba masuk ke dalam pinggan nasi. Begitu juga dengan isi nangka. Sementara ikan cencaru goreng sudah nampak tulang. Manakala sambal belacan di dalam piring kecil di sebelahnya pula sudah habis licin!
               
“Kenapa kau tengok aku macam tu? Kau tak pernah tengok orang makan ke?” soal Naim setelah menyedari mata Husna asyik sekali tertancap ke arahnya. Suapan nasi ke mulut menjadi perlahan semula.
               
Husna menggeleng perlahan.
               
“Tak adalah. Cara encik makan tu, macam orang yang dah lama tak jumpa nasi. Lapar sangat ke?” tanya Husna. Hairan. Ini bumi Malaysia, bukannya bumi Afrika yang negaranya seringkali mengalami masalah kebuluran makanan.
               
Naim susah payah menelan nasi masuk ke dalam kerongkong. Kemudian, dihentak tangannya beberapa kali bagi menjatuhkan nasi yang melekat di celah-celah jarinya. Lalu nasi yang jatuh itu dikumpul sebelum disuap masuk ke dalam mulut.
               
“Kan aku dah beritahu kau tadi. Aku lapar. Dari pagi aku tak makan apa-apa. Jumpa nasi dan lauk sedap macam ni, memang aku tak peduli apa-apa lagi dah,” jawab Naimsambil menjilat-jilat jarinya sehingga licin. Dia bersendawa panjang sejurus selepas itu.
               
Ah, kalau Husna nak kata dia tidak senonoh ke, pelahap ke, lantaklah. Yang penting,perut dia kenyang.
               
Husna hanya tersenyum nipis. Hatinya terasa lega mendengar kata-kata Naim. Mula-mula tadi dia ingatkan Naim tidak makan lauk kampung seperti itu. Ternyata tanggapannya meleset sama sekali.
               
“Lauk kampung macam ni pun encik cakap sedap ke?” tanya Husna lagi.Yalah, biasanya orang kaya hanya makan makanan yang mahal-mahal dan ada standard sahaja.
               
“Sedaplah. Kalau tak sedap, takkanlah aku makan sampai habis pulak. Maaflah sebab aku dah habiskan semua lauk-lauk ni.”Naim tersengih-sengih sambil mempamer riak muka tidak bersalah. Memang sedap sungguh lauk yang dia makan tadi. Tambah-tambah dimakan bersama sambal belacan. Lagilah membuatkan dia berasa lupa diri.    
               
“Encik anggaplah ajelah semua ni sebagai ucapan terima kasih saya kepada encik sebab sudi hantar saya balik ke rumah,” kata Husna.
               
Sebetulnya, memang itulah tujuan utama dia mempelawa Naim makan. Sebab dia tidak tahu bagaimana mahu membalas budi baik Naim yang telah bersusah payah menghantarnya pulang semalam dan hari ini. Kalau dalam bab ini, memang dia akui Naim tidak kejam.
               
“Aku sudi aje terima. Tapi, kasih kau tu, memang awal-awal lagi aku terpaksa tolak. Aku ni dah ada yang punya.” Naim berseloroh seraya bangun dari kerusi dan berlalu menuju ke singki berhampiran.
               
Husna menjeling sambil mencebikkan bibirnya. Eleh, aku pun tak inginlah!

© Reeani Annur 2014
 

2 comments:

  1. Best ehem....kalu jodoh tak kemana.tentu nsnti terjatuh cinta reenikan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau dah jodoh, tak ke mana Kak Edah. Hehe...

      Delete