BELLA terus berusaha menghubungi Naim tanpa henti. Namun, setiap
kali panggilan berdering, setiap kali itulah dia berasa hampa. Dia semakin
geram. Sudah hampir dua jam Naim pergi. Tetapi, sampai sekarang masih belum
pulang lagi. Dia bukan risau keadaan Naim, tetapi dia lebih risaukan keadaan
kucingnya, Chicky.
Bella terus mundar-mandir di
depan televisyen sambil menekapkan telefonnya di telinga. Hatinya berdoa agar
panggilan yang dibuat pada kali ini akan dijawab oleh Naim. Namun, jawapannya
tetap sama seperti tadi. Akhirnya, telefon kesayangannya itu dicampak ke atas
sofa.
“Eii! Mana dia pergi ni? Kenapa
tak jawab telefon? Argh, bencinya!”
Bella mencekak rambutnya yang
melepasi paras bahu sambil mengetap gigi. Geram. Mustahil pergi berjumpa doktor
sampai memakan masa hampir dua jam? Setahu dia, kalau sakit yang tidak terlalu
teruk seperti demam, tempoh rawatannya hanya mengambil masa sekitar 10 atau 15
minit sahaja.
Naim ni, pergi klinik haiwan ke
klinik sakit puan? Hatinya semakin gundah memikirkan tentang Chicky.
Harap-harap tidak ada kejadian buruk yang menimpa Chicky. Bella tidak
henti-henti berdoa dalam hati.
*****
“KAU tinggal berapa orang kat rumah ni? tanya Naim ketika mendaki
anak tangga dapur rumah Husna untuk naik ke atas rumah. Penuh berhati-hati dia
melangkah.
Husna pula membuntuti dari
belakang.
“Dengan mak dan ayah saya,” jawab
Husna ringkas.
Sejak abang dan kakaknya
berhijrah ke Kuala Lumpur, hanya dia seorang sahaja yang menjadi peneman ibu
dan ayahnya di rumah ini. Abang Taufik dan Kak Lela hanya sekali-sekala pulang
ke kampung.
Naim bergumam. Patutlah sunyi
sepi sahaja rumah Husna, getusnya. “Mak dan ayah kau, mana? Aku tak nampak pun
dia orang dari tadi.”
Mata Naim melilau-lilau mencari
kelibat orang tua Husna. Nasi sudah jatuh ke dalam perut, tetapi tuan rumah
belum berjumpa lagi. Tidak patut betul.
“Mungkin dia orang dah pergi ke
kebun kut. Keluarga saya ada usahakan kebun sayur. Biasanya, dia orang selalu
habiskan masa dekat sana,”jelas Husna tanpa disuruh. Dia memang sedia maklum,
jika rumahnya sunyi sepi begini, ke mana lagi ibu dan ayahnya pergi melainkan
ke kebun sayur yang terletak di belakang rumahnya. Kebanyakan masa mereka
banyak dihabiskan di situ sahaja.
“Ya ke? Habis, kalau dia orang
pergi ke kebun, kau pulak buat apa kat rumah? Jaga kucing kau?” perli Naim
sambil mengerising. Disusuli pula selepas itu gelak tawa kecil.
Husna berdengus halus. Mahu
sahaja dia bidas semula kata-kata Naim itu. Namun, belum sempat dia membuka
mulut, terdengar Naim melatah kuat sambil mengangkat tinggi kaki kanannya.
“Oh, kucing kau merempit!” Naim
terkejut melihat dua ekor kucing Husna masuk ke dalam rumah secara tiba-tiba
sambil berlari berkejaran sebaik sahaja dia sampai di muka pintu. Tangannya
mengurut dada perlahan. Hih, kucing ni… Nak bagi aku mati terkejut ke?
gerutunya geram.
Ketawa Husna terhambur kuat. Naim
melatah? Lucunya!
“Yang kau sakan sangat duk
gelakkan aku ni, kenapa? Apa yang lucu sangat?” tanya Naim sambil menjeling
Husna. Bengang sungguh dia apabila diketawakan sedemikian. Tak guna punya
kucing. Buat malu dia sahaja.
Ketawa di bibir Husna terus
lenyap. Namun, dalam hati, dia masih galak mentertawakan Naim. Siapa yang tidak
berasa lucu kalau mendengar lelaki melatah? Lebih-lebih lagi lelaki seperti
Naim. Tengok dari luaran, bukan main lagi nampak gagah. Tetapi, apabila
berhadapan dengan kucing, tiba-tiba jadi pengecut macam tikus.
“Lain kali, kucing kau tu patut
letak tali dekat leher dia. Lepas tu, tambat dekat bawah pokok. Barulah tak
menyusahkan orang.” Naim mengusul cadangan itu kepada Husna.Rasa bengangnya
terhadap kucing Husna masih juga belum reda.
Diintai-intai semula kelibat dua
ekor kucing tadi. Kalau jumpa, mahunya dia jentik-jentik hidung kucing itu
sampai berdarah. Seketika kemudian, Naim tersedar. Ah! Macamlah dia berani
sangat hendak buat semua itu. Padahal, kucing datang dekat kaki pun rasa seram
sejuk macam ternampak hantu.
“Kenapa pulak nak buat kucing
saya macam tu? Tak baiklah. Mana boleh seksa kucing macam tu,” bantah Husna.
Dia bukannya macam Naim yang selalu bersikap kejam terhadap binatang.
Kucing-kucingnya memang sudah biasa dibiarkan bebas begitu sejak dari dahulu
supaya senang mereka mahu ke mana-mana. Kucing kampung mana betah kena cucuk
hidung dan duduk diam-diam.
“Kucing kau tu, menakutkan aku.
Kau tahu tak!” ujar Naim lagi.
Husna mencebir. Bukan kucing dia
yang menakutkan Naim, tetapi Naim sendiri yang takut dengan kucing.
Pandai-pandai sahaja Naim putar belit ayat.
“Encik...” panggil Husna
tiba-tiba.
“Apa?” Naim memandang Husna
kehairanan bersama keningnya yang terangkat sebelah.
“Err… Tak apa ke encik tinggal
Chicky lama-lama kat dalam kereta tu? Dia tak kotorkan kereta encik ke?” Husna
menyoal. Dia mengharapkan agar Naim boleh memahami maksudnya itu.
“Hah?” Naim terlopong. Barulah
dia teringat tentang kucing Bella itu.
Hisy! Macam mana dia boleh
terlupa mahu keluarkan Chicky dari kereta tadi? Dibuatnya Chicky membuang
najis, habislah berbau kereta dia nanti. Tanpa berlengah, Naim cepat-cepat
turun tangga dan berlari ke arah keretanya.
*****
“ADOI!” Naim menepuk dahi beberapa kali dan bersandar di badan
keretanya.Benar sekali sangkaannya. Sebaik sahaja dia membuka pintu kereta, ada
bau yang kurang menyenangkan menusuk ke rongga hidungnya.
Sah! Kucing Bella buat tahi di
dalam kereta dia. Tak guna punya kucing! Hatinya tidak henti-henti menggerutu
Chicky. Naim berpaut di belakang but kereta sambil menahan rasa mual. Tekaknya
terasa kembang. Kenapalah nasib dia malang sangat hari ini? Rasa seperti mahu
pengsan sahaja apabila tercium bau najis kucing. Kalau bau macam minyak wangi
boleh tahan lagi. Ini…
“Kenapa ni, encik?” soal Husna,
terkocoh-kocoh mendekati Naim apabila melihat seperti ada sesuatu yang tidak
kena. Dia berasa sedikit cemas melihat keadaan itu.
“Kucing tu buat dajal kat dalam
kereta aku pulak. Habis satu kereta aku bau busuk. Bodoh punya kucing! Kalau
nak berak, beraklah kat tempat lain. Janganlah berak dalam kereta aku!” Naim
mengomel tidak puas hati.
Husna memanjangkan lehernya
mengintai-intai ke dalam kereta. Hidungnya juga dapat mengesan bau kurang sedap
seperti yang dikatakan oleh Naim.
“Salah encik jugak. Kenapa dari
tadi encik tak keluarkan dia?” balas Husna. Tidak pula dia bersimpati dengan
nasib malang Naim itu.
Naim mencekak pinggang. Wajah
Husna dipandang tajam seperti mahu menelannya hidup-hidup. Semakin bengang dia
rasa apabila Husna menyalahkan dia. Perempuan ni memang tidak sayang mulut
agaknya.
“Kau jangan banyak cakap boleh
tak? Hah, sekarang aku nak kau keluarkan kucing tu dari kereta aku dan
bersihkan bakul dia cepat! Aku tak nak hidu bau busuk ni lagi.”
“Apa hal pulak saya yang kena
bersihkan semua tu?” Husna berasa tidak puas hati.
“Sebab kau tu hantu kucing. Mesti
kau dah biasa main dengan benda kotor macam tu kan. Cepatlah keluarkan dia!”
desak Naim lagi sambil menolak tubuh Husna ke arah pintu kereta belakang yang
sudah terkuak luas.
Mahu tidak mahu, Husna terpaksa
akur dengan permintaan Naim. Kasihankan Chicky. Dia kemudiannya membongkokkan
badan, masuk ke dalam kereta dan menarik keluar bakul Chicky. Setelah itu
diletakkan ia di atas tanah. Penutup bakul dibuka dan bau yang kurang
menyenangkan itu semakin kuat menyengat ke hidung. Namun baginya, semua itu
sudah biasa dihadapi. Dia tidak ada apa-apa masalah berhadapan dengan dengan
situasi tersebut.
“Uwek!” Naim hampir sahaja
termuntah di situ. Air matanya sudah bertakung. Kepalanya juga sudah
berdenyut-denyut pening. Sumpah! Dia tidak tahan dengan bau busuk itu. Dia
tidak tahu bagaimana Husna boleh hadapi semua itu dalam keadaan yang sangat
tenang.
Husna sempat mengerling ke arah
Naim. Huh! Lebih-lebihlah pula. Mengalahkan perempuan yang mengandung sahaja.
Menyampah betul! Sempat dia mencemuh Naim dalam hati.
“Encik tolong pegangkan kucing ni
sekejap, boleh? Saya nak bersihkan najis dia ni,” pinta Husna sambil
menghulurkan kucing tersebut kepada Naim.
“Apa? Kau gila? Aku mana boleh
pegang kucing!” Naim mengundur beberapa langkah. Permintaan Husna itu
membuatkan nafasnya semakin tidak cukup oksigen.
“Habis tu, siapa yang nak tolong
pegang? Nanti kalau kucing ni lari jenuh pulak nak mengejarnya.”
“Kau kelek ajelah kucing tu. Aku
tak mahu masuk campur. Gelilah!” Naim terus beredar dari situ dan membiarkan
Husna menguruskannya sendirian.
Husna berdengus. Apa punya
oranglah macam ni. Hendak tidak hendak, dia terpaksa mendukung Chicky sambil
membersihkan najisnya. Mujurlah najis itu jenis kering. Kalau tidak, jenuhlah
dia hendak mencuci.Bagi menghilangkan kesan bau, Husna menyembur tempat terkena
najis tadi dengan penyembur Febreze sebelum mengalas dengan beberapa helai
surat khabar di atas kain alas asalnya. Setelah selesai kesemuanya, barulah dia
meletak semula Chicky di dalam bakul.
“Encik!” Husna memanggil Naim
yang sedang leka meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Macam senang hati
sangat.
“Hah, dah ke? Dah tak ada bau
dah?” soal Naim sebaik sahaja menghampiri keretanya semula. Nafasnya dilepaskan
perlahan-lahan. Bimbang sekiranya terhidu lagi aroma bau yang tidak
menyenangkan itu.
“Dah. Nanti encik suruhlah
kekasih encik bersihkan semula kain alas tu. Saya lapik dengan kertas surat khabar
aje. Saya rasa, lebih baik encik hantar Chicky balik cepat-cepat. Kesian dia.
Mesti rasa tak selesa.”
“Apa kau cakap? Kesian dia?
Kucing tu yang kau lebih kesiankan? Habis, aku ni kau tak kesian ke? Boleh kena
kanser hidung aku macam ni duk hidu bau busuk najis dia.” Naim menempelak Husna
penuh geram. Dia berasa tidak puas hati kerana Chicky sentiasa berjaya menarik
simpati orang lain berbanding dia. Tadi Bella. Sekarang Husna pula. Sungguh
tidak adil sekali!
“Biasalah tu. Encik pun takkanlah
tak pernah membuang? Mana ada bahan kumuh berbau wangi,” bidas Husna pula.
“Yang kau duk sebelahkan kucing
tu sangat, kenapa? Memang hantu kucing macam kau ni tugas dia kena bela kucing
ek? Hih, tak faham betul aku. Sudahlah, sekarang kau pergi letak kucing tu kat
dalam but kereta aku. Aku tak nak kereta aku berbau busuk,” arah Naim seraya
membuka but kereta.
Husna terlopong. Wajah Naim
dicerlung tajam.
“Eh, encik ni memang dilahirkan
tanpa ada perasaan ke? Lemaslah dia nanti kalau duduk kat dalam but. Biarlah
dia duduk kat tempat duduk belakang tu aje,” bantah Husna pula. Naim ni, nak
bunuh kucing ke? Mustahil itu pun Naim tidak boleh nak berfikir? Kejamlah dia
ni!
“Sekarang ni kereta ni kereta
siapa? Kereta kucing tu ke kereta aku?”
“Tak kisahlah kereta siapa-siapa
pun. Tapi, encik mana boleh buat dia macam tu. Saya nak encik letak kucing tu
kat tempat duduk belakang. Kalau encik cuba nak buat jahat dekat kucing tu,
saya akan laporkan kepada pihak polis,” ugut Husna penuh tegas.
Naim mengetap bibir. Tak guna!
Main ugut-ugut dialah pula. Pasal kucing pun sampai nak libatkan pihak polis
juga? Tidak faham sungguh.
“Kau ni, memanglah. Mengada-ada
macam kucing tu jugak. Huh!” Naim berdengus sambil mengacah mahu menolak kepala
Husna, namun sempat gadis itu mengelak. Mujur sahaja Husna seorang perempuan.
Kalau lelaki, memang sudah lama kena sekeh kepala.
Tanpa berlengah, Husna segera
meletak bakul Chicky di tempat duduk belakang.
“Chicky, duduk diam-diam ya.
Kalau pembuli kucing tu cuba nak buat jahat dekat kau, kau beritahu aje dekat
aku. Biar aku ajar dia nanti,” pesan Husna. Harap-harap Chicky faham maksud
dia.
“Kau fikir, dia fahamlah tu apa
yang kau cakap?” Naim bertanya sinis sebelum masuk ke dalam keretanya. Pintu
dihempas kuat, tanda dia bengang dengan gadis itu. Termasuk dengan Chicky
sekali.
Husna hanya mencemik. Kau mana
nak faham. Kau bukannya ada hati dan perasaan!
*****
SEPANJANG perjalanan pulang, Naim membuka kesemua cermin kereta
untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan. Bau itu sudah beransur pergi.
Tetapi, rasa panas hatinya masih belum surut lagi. Jangan haraplah selepas ini
dia hendak bazirkan masa dia buat perkara bodoh seperti ini lagi.
Bunyi telefon membuatkan Naim
tersentak. Diraba-raba poket seluarnya, namun tidak ada. Ke mana pula perginya?
Mata Naim meliar-liar mencari. Akhirnya, dia terjumpa telefon bimbitnya di
celah kerusi yang didudukinya. Entah bila masa ia terjatuh, dia sendiri tidak
sedar.
“Hah, Wani, apa hal ni? Saya
tengah memandu ni,” jawab Naim tanpa bertanya siapa gerangan orang yang
menelefonnya. Kalau nombor pejabat dia yang naik pada skrin, siapa lagi kalau
bukan Wani.
“Encik Naim, Dato’ nak bercakap.
Sebentar ya, saya sambungkan talian,” kata Wani.
“Eh, nanti! Nanti!” bantah Naim
laju. Dia mula berasa cuak. Dia tahu, papanya pasti mahu membebel kerana dia
masih belum masuk ke pejabat walaupun waktu rehat sudah lama tamat.
“Dato’ dah lama tunggu saya
sambungkan panggilan dekat Encik Naim. Dia nak bercakap dengan encik,” ulang
Wani lagi.
“Saya tak nak bercakap dengan
dia. Kalau dia tanya, awak cakap aje awak tak dapat telefon saya. Okeylah, saya
tengah memandu ni. Tunggu ajelah saya balik ke pejabat nanti.” Naim tetap
bertegas tidak mahu bercakap dengan Dato’ Mazlan. Sekarang bukan masa yang
sesuai dia hendak dengar ceramah yang panjang berjela.
“Encik Naim!” Wani berteriak
sebelum Naim memutuskan panggilan.
“Apa lagi ni, Wani? Awak nak
suruh kereta saya ni terbabas ke masuk ke dalam longkang ke?” Naim mengetap
bibir geram.
“Err… Tadi Cik Bella ada telefon
pejabat. Dia suruh encik hantar Chicky ke rumah dia cepat-cepat,” beritahu Wani
tentang pesanan yang Bella tinggalkan tadi.
“Yalah, saya nak pergilah ni.
Kalau duk sembang macam ni, macam mana nak sampai cepat?” Panggilan itu terus
dimatikan oleh Naim. Apalah Bella ni. Kalau hendak cepat-cepat, lain kali
pergilah hantar kucing tu ke klinik sendiri. Senang. Habis cerita. Tidak
perlulah sampai sibuk menelefon dia sehingga ke pejabat.
Telefon Naim berbunyi lagi. Naim
mengeluh buat ke sekian kalinya. Wani ni, memang sengaja hendak cari pasal
dengan dia agaknya. Terasa darahnya sudah mula menyirap dan naik ke atas
kepala.
“Awak nak apa lagi ni? Kan saya
cakap saya tengah memandu sekarang. Apa-apa hal, tunggu ajelah sampai saya
balik ke pejabat nanti!” tengking Naim. Sungguh, dia berasa sangat bengang.
Rasa seperti mahu campak sahaja telefonnya ke luar tingkap.
“Sayang, I ni!” teriak Bella.
Naim meneguk air liur. Alamak!
Salah orang. Ah, ini tidak lain tidak bukan mesti hendak tanya pasal kucing
dia. Naim sempat menoleh ke belakang. Bakul ada, tetapi kucing di dalamnya
tidak tahulah hidup ataupun mati. Kalau mati lagi bagus kut. Barulah rasa aman
sedikit.
“Maaf, maaf… I ingatkan Wani
tadi.” Naim menepuk dahinya perlahan.
“Huh! Cakap tu tak boleh
perlahan-lahan sikit ke? Asyik nak menengking aje. You kat mana ni? Kenapa tak
balik lagi?” Bertimpa-timpa soalan daripada Bella ditujukan kepada Naim. Ada
nada marah dan geram yang dilepaskan bersama.
Apa tidaknya, dari tadi dia cuba
menghubungi Naim. Tetapi, baru sekarang Naim sudi menjawab panggilannya. Kalau
Naim ada di depan matanya sekarang, memang lengan lelaki itu sudah menjadi
mangsa tamparan dan cubitan tangannya.
“I dalam perjalanan nak pergi
rumah youlah ni. Maaflah, I lambat sikit. Ramai orang kat klinik tadi,” bohong
Naim. Ramailah sangat. Yang sebetulnya bukan ramai orang, tetapi singgah makan
di rumah orang!
“Kalau ya pun ramai orang,
takkanlah sampai tak boleh jawab telefon langsung. Banyak kali I telefon you
tadi. You ni, buat I tak senang duduk ajelah.”
Naim mengerut muka apabila mulut
Bella semakin riuh dengan bebelan. Semakin serabut fikirannya.
“Telefon I tertinggal kat dalam
kereta tadi,” nyata Naim. Kali ini dia tidak berbohong lagi. Namun, dia yakin,
sebentar lagi gegendang telinga dia akan pecah dek jeritan nyaring Bella.
Habislah dia.
“Apa?!” Suara Bella memetir kuat.
“Helo! Helo! Apa dia? I tak
dengarlah apa yang you cakap. Cakap kuat sikit boleh tak? Ha? Tak dengarlah!” Naim
terus mematikan telefon. Terpaksalah dia buat taktik kotor begitu untuk
mengelakkan diri daripada terus dibebel oleh Bella. Telinga dia rasa sakit
kalau mendengar mulut Bella membebel. Perempuan, memanglah!
© Reeani Annur 2014
No comments:
Post a Comment