06 July 2015

Meow! Kau Curi Hatiku 13

NAIM meneliti resume-resume yang berada di atas mejanya. Dia baru sahaja selesai menemu duga beberapa orang calon yang berminat mengisi kekosongan jawatan setiausaha yang diiklankan di dada akhbar. Dia tidak menyangka ramai yang datang mencuba nasib. Walhal, baru beberapa hari iklan itu tersiar. Mungkin kerana jenama Mazlan itu sendiri mahal harganya. Siapa yang tidak mahu bekerja dengan syarikat kontraktor terkenal begini?
Namun, dia belum memutuskan untuk memilih sesiapa. Melihat gaya penampilan setiap calon yang datang, dia tidak menafikan semuanya mempunyai penampilan menarik. Tetapi, apabila dia bertanya sama ada suka kucing ataupun tidak, semuanya menggeleng. Jadi, bagaimana dia hendak memilih?
Dia tahu, ramai yang berasa hairan apabila dia bertanya mengenai kucing, sedangkan jawatan yang diiklankan itu jawatan setiausaha. Sebenarnya, dia cuma mahu mencari orang yang boleh menguruskan pasal kucing sahaja. Yang boleh menjaga makan minum kucing dan kencing berak kucing itu sendiri. Pendek kata, kalau tidak pandai bergaya pun tidak mengapa asalkan hal penjagaan kucing itu beres. Harap-harap dapatlah dia menemui pekerja yang dikehendaki sebelum Bella berangkat ke Australia.
Alahai, Bella. Kenapalah kau pergi ke sana lama sangat? Aku jugak yang terseksa nak jaga kucing-kucing kau tu. Hati Naim mengeluh panjang.
“Encik Naim, ada calon baru yang datang nak temu duga. Nak suruh dia masuk sekarang ke?” Suara Wani tiba-tiba bergema kuat melalui interkom telefon yang terletak di atas meja Naim.
“Okey. Suruh dia masuk sekarang,” putus Naim sambil membetulkan kot dan tali lehernya. Tidak lama kemudian, kedengaran pintu biliknya diketuk beberapa kali.
“Masuk!” Naim memberi arahan sambil menanti kemunculan calon temu duga itu.
Pintu terkuak luas. Seorang gadis yang ayu berbaju kurung dan bertudung litup melangkah masuk, merapati meja Naim sambil menguntum senyum. Naim terkaku.

“ENCIK NAIM?” panggil Husna sambil melambai tangannya beberapa kali di depan muka Naim. Dia ni, kenapa? Tiba-tiba sahaja menjadi bisu. Adakah Naim terkejut melihat dia datang semula ke situ meminta kerja?
Naim tersedar. Dia berdeham dua kali bagi menutup rasa malunya. Jantungnya yang bergetar hebat tadi cuba ditenangkan sebaik mungkin.
“Kau buat apa kat pejabat aku ni? Datang berjalan-jalan lagi ke?” perli Naim sambil memandang tepat ke muka Husna setelah Husna duduk menghadapnya. Dia teringat kata-kata Husna tempoh hari yang menyatakan dia datang ke syarikat ini sebab hendak berjalan-jalan sahaja. Alasan yang paling bangang dia kira.
Husna tunduk tersenyum. Berbahang mukanya mendengar sindiran Naim. Ingat lagi rupanya Naim tentang hal itu.
“Saya datang nak mohon jawatan kosong yang syarikat encik iklankan kat dalam surat khabar tu,” jawab Husna berterus terang. Tidak ada sebab dia hendak berbohong lagi. Kalau Naim masih hendak mengutuk dia, biarkan sahajalah.
Naim bergumam.
“Mana resume kau? Aku nak tengok,” pinta Naim sambil menadah tangan.
Husna menghulur resume yang diambil dari fail yang dipegangnya. Hatinya berdebar-debar menanti reaksi Naim.
“Oh, kau ada ijazah Pentadbiran Perniagaan? Aku ingatkan kau ada ijazah Pengurusan Kucing,” komen Naim setelah membaca semua maklumat pada resume Husna. Matanya mengerling sekilas ke wajah Husna untuk melihat reaksinya.
Hahaha! Sengaja dia mengenakan Husna. Husnakan suka kucing. Dia bertemu dengan Husna pun disebabkan kucing juga.
“Masa saya memohon ijazah tu, tak ada pulak kursus Pengurusan Kucing yang pihak universiti tawarkan. Kalau ada, memang dah lama saya ambil kursus tu.” Husna menjawab selamba. Sakit betul hatinya apabila Naim menyindir. Tak boleh cakap baik-baik sikit ke?
Mendengar jawapan Husna, Naim tergelak lagi. Kenakan dia pula. Memang nak kena hantu kucing ni.
“Ini gambar pasport kau tahun bila?” tanya Naim lagi sambil merenung gambar Husna memakai anak tudung Syria berwarna putih yang dipadankan bersama shawl polos berwarna biru muda. Gaya bertudung zaman sekarang. Dia pun tahu juga serba sedikit tentang fesyen tudung.
Husna ternganga. Soalan macam itu pun ada juga ke ditanya dalam sesi temu duga?
“Err… awal tahun ni,” jawab Husna teragak-agak.
“Cantik,” tutur Naim perlahan. Antara dengar dan tidak.
Hisy, kenapa pula tiba-tiba dia berasa seperti lain macam sahaja? Hati, janganlah kau bahagi-bahagikan perasaanku. Aku ni sudah berpunya. Naim cepat-cepat mengingatkan dirinya kembali.
“Apa, encik?” soal Husna pula. Dahinya berkerut memandang Naim.
Naim menggelabah apabila menyedari dia terlanjur kata.
“Hah? Mana ada apa-apa. Aku cakap gambar ni gelap sangat. Lain kali, kalau nak letak gambar dalam resume, letaklah gambar yang terang-terang sikit. Baru nampak jelas.” Naim melencong ke arah lain.
Ah, pasal gambar pun nak komen juga ke? Sudah macam gaya juri program realiti televisyenlah pula mamat ni. Husna ikut mengomel dalam hati. Tidak kisahlah gambar itu gelap ataupun terang. Yang penting, dia tampal muka dia pada resume itu. Nak tengok, tengok sahajalah. Janganlah banyak komen pula.
“Jawatan tu masih ada kekosongan lagi ke, encik?” Husna kembali mengheret Naim ke topik asal. Tujuan dia datang ke situ sebab hendak memohon kerja. Bukannya bersoal jawab benda yang merapu macam itu.
“Kau tahu tak jawatan apa yang kau nak minta ni?” soal Naim. Kening kanannya terangkat tinggi sebelah.
“Setiausaha, kan?” jawab Husna. Rasa-rasanya, dia tidak salah menjawab. Sebab seingatnya hanya ada satu jawatan sahaja yang diiklankan. Jadi, dia memang yakin dengan jawapannya.
“Jawatan tu memang jawatan setiausaha. Tapi…” Naim berjeda panjang. Dia tersengih-sengih memandang Husna yang ternanti-nanti dia menghabiskan ayat-ayatnya.
“Tapi, apa, encik?” soal Husna lagi. Hih, dia ni… Kalau nak cakap, cakap sahajalah. Janganlah buat orang tertanya-tanya macam ni. Husna berasa geram dengan sikap Naim.
“Tapi, tugas-tugas dia tak ada kaitan langsung dengan kerja-kerja pejabat yang biasa setiausaha buat,” jelas Naim.
“Maksud encik?” Husna mengerut dahi. Apa yang Naim cakap ni?
“Okeylah. Biar aku terus terang aje dengan kau. Yang sebenarnya, jawatan tu memang jawatan setiausaha. Tapi, kau tak perlu catat minit mesyuarat, atur janji temu atau apa-apa ajelah. Yang kau kena buat adalah jaga kucing.” Bibir Naim sudah terherot-herot mengukir senyum.
Ha? Tidak semena-mena rahang Husna jatuh ke bawah. Setiausaha apa macam tu kalau tugas dia kena jaga kucing? Naim ni merepek sahajalah.
“Ke… kenapa pulak kena jaga kucing? Apa kena-mengena setiausaha dengan kucing?” tanya Husna tergagap-gagap. Dia mula berasa keliru.
Naim mendengus.
“Kau ni, banyak tanya betullah. Suka hati akulah nak beri tugas apa-apa pun. Ada kena-mengena ke, tak ada kena-mengena ke, itu bukan persoalannya sekarang. Kalau kau dah berminat nak mohon kerja ni, tentu kau pun dah bersedia dengan semua risiko, kan?” tempelak Naim penuh lantang.
Husna terdiam. Mentang-mentanglah Naim bos. Suka hati dia sahaja mahu meminda tugas-tugas jawatan. Ah, tiba-tiba sahaja dia rasa tertipu.
“Kau betul-betul serius ke nak minta kerja ni?” tanya Naim lagi. Matanya tidak berkelip merenung Husna.
“Err...” Husna teragak-agak mahu mengangguk. Dia memang serius nak minta kerja. Tetapi, bukanlah kerja yang macam Naim sebutkan tadi walaupun hakikatnya dia memang suka dengan kucing. Yang dia harapkan adalah kerja yang ada kaitan dengan nama jawatan yang hendak dipohon dan bukannya yang menyimpang jauh daripada asalnya.
“Apa yang kau nak kisah sangat? Kerja yang aku nak bagi ni, kerja yang paling senang sekali tau kat dalam dunia ni. Kau cuma perlu jaga kucing aje. Lain-lain hal, kau tak perlu risau. Lagipun, aku rasa jawatan ni memang sesuai dengan kau. Sebab kau hantu kucing, kan?” Naim menggerakkan keningnya beberapa kali sambil tersengih-sengih memandang Husna.               
Dia rasa, dia sudah menemukan calon pekerja yang sesuai. Kenapalah sebelum ini dia tidak teringat langsung mengenai Husna? Kalau dia tahu Husna boleh menolong dia, tidak perlulah sampai beria-ia dia membuat iklan di dalam surat khabar. Tetapi, mujurlah Husna juga turut terbaca iklan tersebut. Sekali lagi Husna telah menyelamatkan dia daripada masalah besar yang dihadapinya.
Husna termangu sejenak. Memanglah senang. Sebab dia sendiri sudah terbiasa dengan keadaan itu. Tetapi, andai kata dia terima, apa pula jawapan yang dia nak beritahu sekiranya ada orang tanya apakah pekerjaan yang dia buat? Mustahil dia nak cakap jadi penjaga kucing pula kut? Apalah Naim ni. Mana ada setiausaha menggalas tugas menjaga kucing. Tidak pernah dibuat oranglah!
Naim ternanti-nanti jawapan daripada Husna. Dia tahu, Husna teragak-agak mahu menerima tawaran tersebut. Tetapi, dia nekad, apa pun yang terjadi, Husna tetap kena tolong dia selesaikan masalah yang dihadapinya.
“Apa kelebihan yang saya dapat kalau saya terima tawaran kerja ni?” Barulah terdengar suara Husna bertanya setelah lama membisu.
Senyum di bibir Naim terus meleret bersama matanya yang berbicara dalam bahasa yang sukar untuk dimengertikan.

HUSNA melangkah longlai keluar dari lif. Dia rasa, itulah sesi temu duga yang paling lama dia pernah lalui sepanjang memohon pekerjaan. Macam kena soal siasat dengan polis pun ada juga. Jam di tangannya sudah hampir mencecah pukul 12.00 tengah hari. Husna berfikir sejenak ke manakah hala tujunya kini. Hendak terus pulang ke rumah atau mahu pergi ke mana-mana dahulu?
Tiba-tiba Husna teringat kucing yang dilanggar oleh Naim tempoh hari. Agaknya apakah perkembangan kucing itu sekarang? Sudah sihatkah? Tanpa berfikir panjang, Husna melajukan langkah ke arah klinik haiwan yang terletak di seberang jalan.
“Macam mana keadaan kucing tu sekarang, doktor?” tanya Husna setelah bertemu dengan Doktor Haikal.
Seperti biasa, doktor muda itu ramah melayannya. Sementelah ketika dia melangkah masuk, klinik itu lengang tanpa pesakit. Dapatlah Doktor Haikal meluangkan masa berbual-bual dengannya.
“Alhamdulillah. Dah semakin sihat. Awak nak bela ke kucing tu nanti?” tanya Doktor Haikal, menoleh ke arah Husna sekilas.
Husna mengangguk laju. Lagipun kucing itu comel. Kalau beri makan banyak-banyak dan jaga elok-elok, pasti akan bertambah comel nanti. Nampaknya semakin bertambahlah askar-askar kucing di rumahnya. Tetapi, tidak mengapa. Dia lagi suka.
“Kalau saya bawa balik hari ni, boleh ke?” Husna bertanya penuh pengharapan.
“Boleh, tak ada masalah. Tapi, awak nak bawa balik dengan apa? Setahu saya, awak datang ke bandar naik teksi, kan?” Doktor Haikal menebak.
Husna baru teringat tentang hal tersebut. Ya tak ya juga. Macam mana dia nak bawa kucing itu balik ke rumah? Dia bukannya ada kenderaan sendiri. Naik kenderaan awam ni susah sedikit kalau nak bawa binatang peliharaan. Itulah masalahnya kalau terlalu gilakan kucing. Kesan dan akibatnya tidak pernah difikirkan dahulu sebelum berbuat apa-apa. Kan sudah dapat masalah.
“Hmm… Kalau tak dapat bawa balik hari ni, tak apalah. Nanti saya datang semula bawa kenderaan sendiri,” jawab Husna. Terpaksalah dia memberi alasan begitu. Kenderaan sendiri konon. Mimpi sahajalah hendak memiliki kenderaan sendiri. Husna mengejek diri sendiri.
“Tapi, kalau awak nak pinjam bakul kucing kat klinik saya ni pun tak ada masalah. Nanti orang tak perasan sangat kut awak bawa kucing.” Doktor Haikal seperti memahami kehendak Husna. Di kliniknya memang dia ada menyediakan bakul kucing sebagai persediaan bagi menghadapi hal-hal yang tidak diduga.
“Tak apa ke macam tu?” Husna berasa serba salah.
“Tak apa. Tapi, nanti pulangkanlah semula bakul tu kalau datang ke bandar ya. Jangan lupa isikan pengerasnya sekali,” usik Doktor Haikal sambil menjeling manja. Ah, bukannya dia berkira sangat pun. Kalau Husna nak ambil terus pun tidak mengapa. Ada banyak lagi bakul lain yang dia simpan di dalam stor.
Husna tergelak. Pandai juga Doktor Haikal melawak. Terpaut pula hati dia dengan sikap humornya. Ah, sudah! Penyakit gatalnya sudah mula datang. Husna ketawa dalam hati. Namun, dia hanya main-main sahaja. Cincin di jari lelaki itu telah menyedarkannya bahawa Doktor Haikal telah dimiliki.
“Awak dari mana ni?” tanya Doktor Haikal mengenai dirinya pula.
“Saya baru balik dari temu duga kat Wisma Dato’ Mazlan tadi. Kebetulan dah dekat, jadi saya datanglah singgah tengok kucing sekejap.” Husna melorek senyum. Janganlah Doktor Haikal sibuk nak ambil tahu pasal jawatan yang dia minta itu pula. Nanti kalau bicara mereka semakin meleret-leret, terbongkar pula rahsia tugas setiausaha yang kena jaga kucing itu. Malu sahajalah yang dia dapat nanti.
Doktor Haikal mengangguk. Dia kenal tempat yang diberitahu oleh Husna itu. Lagipun Wisma Dato’ Mazlan juga terletak tidak jauh dari kliniknya.
“Oh, syarikat kontraktor terkenal tu. Bukan senang nak masuk kerja di situ. Setahu saya, syarat-syarat dia agak ketat. Banyak tapisan. Kalau ada orang dalam, mungkin cerah peluang nak dapat kerja kat situ. Awak tak ada kenal siapa-siapa ke kat sana?”
“Tak ada. Main cuba nasib aje. Saya tengok iklan yang dia orang siarkan kat dalam surat khabar tadi. Itu yang saya cepat-cepat datang temu duga,” jawab Husna.
Ah, terpaksa berbohong lagi tentang orang dalam yang dimaksudkan oleh Doktor Haikal tadi. Walhal, kalau diikutkan, Naim itu orang dalam yang kuat juga di Mazlan Construction Sdn. Bhd. Tetapi, tidak perlulah kut dia hendak bercerita panjang lebar. Lagipun dia bukannya kenal rapat sangat dengan si pembuli kucing itu.
“Tak apalah. Harap-harap ada rezeki awak nanti ya. Saya doakan awak berjaya,” ucap Doktor Haikal penuh ikhlas.
Husna berasa terharu dengan keikhlasan Doktor Haikal mendoakan kejayaannya. Semoga sahaja doanya itu menjadi kenyataan. Tetapi, kalau boleh, dia tidak mahu menjadi penjaga kucing.
“Terima kasih, doktor. Kalau macam tu, bolehlah saya pinjam bakul doktor bawa balik kucing tu ya,” kata Husna.
“Oh! Boleh, boleh. Awak tunggu sebentar ya. Saya pergi ambil bakulnya.” Dalam sekelip mata sahaja kelibat Doktor Haikal menghilang dari bilik rawatan kucing itu, pergi mendapatkan apa yang diminta oleh Husna.
Sementara Husna pula sudah berasa tidak sabar-sabar lagi mahu menjejak kaki ke rumah bersama dengan kucing yang dikutipnya itu.

“SIMPAN semua resume ni dalam fail. Kalau ada orang tanya pasal jawatan kosong tu, katakan ia telah diisi.” Naim menghulur resume semua calon yang telah ditemu duga olehnya sebentar tadi kepada Wani. Selesai juga masalah dia akhirnya. Bolehlah dia tidur dengan lena selepas ini.       
“Encik Naim dah jumpa calon ke?” tanya Wani. Terkejut juga dia kerana tarikh tutup yang diiklankan belum sampai ke penghujungnya lagi.
Naim mengangguk sambil tersenyum. Wajah Husna terbayang di mata. Dialah calon yang paling sesuai. Husna, si hantu kucing. Gelaran hantu kucing itu terus melekat kuat kepada Husna sejak kali pertama dia bertemu dengannya.
“Habis tu, kedudukan saya macam mana pulak?” Wani memberanikan diri bertanya perihal tersebut. Dia memang susah hati sejak dari awal lagi apabila mendapat tahu bosnya mahu mencari setiausaha baru. Kalau dia dipecat, di mana dia mahu bekerja selepas ini?
“Macam mana apa pulak ni maksud awak?” Naim mengangkat kening tanda tidak mengerti.
“Pekerja baru tu nanti akan gantikan tempat saya sebagai setiausaha kat syarikat ni, kan?” telah Wani.
Naim merenung Wani lama.
“Eh, apa yang awak merepek ni, Wani? Bila masa pulak saya cakap dia akan gantikan tempat awak?” tanya Naim semula. Seingatnya, tidak pernah pula dia mengeluarkan kenyataan hendak menggantikan Wani dengan orang lain. Daripada siapa pula Wani mendengar khabar itu?
“Yalah, jawatan tu kan saya sorang saja yang pegang kat dalam syarikat ni. Kalau Encik Naim cari pekerja baru, maksudnya salah seorang daripada kami kena keluar dari sini. Bukan begitu?” nyata Wani.
Naim ketawa terbahak-bahak sambil menepuk meja Wani. Patutlah dia tengok muka Wani cuak semacam. Rupa-rupanya takut kena pecat. Kasihannya. Pasti sudah beberapa hari Wani susah hati memikirkan hal tersebut. Naim membuat tafsirannya sendiri.
“Awak ni dah salah faham sebenarnya. Saya cari orang untuk isi jawatan tu bukannya sebab nak gantikan tempat awak. Tapi, saya nak suruh dia tolong selesaikan masalah saya,” jelas Naim. Sisa-sisa ketawa masih terukir di bibirnya. Lucu betul.
“Oh, ya ke?” Wani tersengih malu. Hatinya kembali berasa lega sebaik sahaja mendengar penjelasan Naim.
“Apa masalah Encik Naim?” tanya Wani lagi. Besar sangatkah masalah yang dihadapi oleh bosnya itu sampai perlu buat iklan dalam surat khabar?
“Kekasih saya nak pergi ke Australia minggu depan. Dia suruh saya jagakan kucing-kucing dia sepanjang dia tinggal kat sana. Tapi, saya ni, mana suka kucing. Jadi saya terpaksalah cari orang untuk jagakan kucing-kucing dia tu,” terang Naim mengenai hal sebenar.
“Ha? Sebab tu aje ke?” Wani terlopong, memandang Naim terkebil-kebil.
Naim mengiakan.
“Yalah. Awak ingat sebab apa? Sudahlah, saya nak keluar sekejap ni. Ada apa-apa hal, awak telefon aje saya nanti,” pesan Naim sebelum meninggalkan Wani kelihatan masih terkedu mendengar jawapannya.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment