06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 6

KEESOKAN pagi, Zara datang ke pejabat Muslim seperti yang disuruh. Berdebar-debar hatinya sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik lelaki itu. Harap-harap perbincangan mereka berlangsung sekejap sahaja sebab dia tidak ingin menghabiskan masa lama-lama dengan Muslim.
“Awak nampak macam resah aje. Kenapa? Awak takut ke?” soal Muslim setelah Zara duduk menghadapnya. Wajah Zara ditatap puas-puas. Dia ni, buat reaksi muka macam mana sekalipun tetap nampak cantik jugak, bisik hati kecil Muslim.
Zara ukir senyum sambil menyelitkan sebahagian rambutnya di belakang telinga. Macam mana dia tidak berasa takut? Di dalam bilik itu hanya ada dia dan Muslim sahaja. Andai kata Muslim nak buat sesuatu yang tidak elok kepadanya, dengan siapa dia hendak minta tolong?
“Jadi, apa yang perlu saya buat untuk tolong awak?” Zara terus ke topik sebenar tanpa menjawab pertanyaan Muslim. Tidak perlulah dia layankan sangat hal negatif yang dia fikirkan tadi. Dia perlu bersangka baik supaya apa yang bakal berlaku nanti adalah perkara yang baik-baik sahaja.
“Awak kena menyamar jadi kekasih saya dan yakinkan nenek saya yang awak ni adalah calon isteri yang tepat buat saya,” kata Muslim.
Zara terdiam. Yang pertama mungkin tidak ada masalah. Yang kedua tu buat urat perut dia rasa macam berselirat. Perkataan calon isteri menghadirkan debaran yang hebat di hati.
“Kenapa saya perlu yakinkan nenek awak?” Sehabis tenang Zara bertanya.
“Sebab saya tak nak dijodohkan dengan calon pilihan dia. Kalau awak berjaya yakinkan dia, saya akan terlepas daripada kena paksa kahwin dengan orang yang saya tak suka. Dalam situasi sekarang, awak merupakan penyelamat saya. Awak kena bantu saya keluar daripada masalah ni,” jelas Muslim tanpa berselindung.
“Jadi, sebab itulah awak sanggup bayar kepada Encik Peon 50 ribu?” teka Zara.
“Saya terdesak dan tak ada pilihan lain.”
Zara bergumam perlahan. Namun, dalam fikirannya masih ada persoalan lain yang ingin ditanya.
“Kalau saya berjaya meyakinkan nenek awak, apa yang akan jadi lepas tu? Adakah saya kena kahwin dengan awak?”
“Awak sudi kahwin dengan saya?” soal Muslim tersenyum nakal. Dia tertunggu-tunggu jawapan daripada Zara.
“Setahu saya, saya cuma kena menyamar jadi kekasih awak aje, kan? Bukannya sampai kena berkahwin dengan awak,” jawab Zara. Seingatnya, isi kandungan surat perjanjian yang dia baca semalam memang tidak ada menyebut langsung tentang soal kahwin. Kalau ada sekalipun jangan harap dia akan bersetuju.
“Saya tanya aje. Manalah tahu kut-kut dalam diam-diam awak memang nak kahwin dengan saya, tapi malu nak mengaku.” Kening Muslim terjongket tinggi.
Ya Allah! Perasannya mamat ni. Tak kuasa rasanya nak melayan. Zara menyumpah-nyumpah Muslim dalam hati.
“Jangan nak merepeklah!” cemuh Zara dengan geram.
“Awak pernah bercinta sebelum ni?” tanya Muslim ingin tahu. Niat di hati nak cuba cungkil rahsia peribadi Zara, sama ada sudah mempunyai kekasih ataupun belum.
Zara menggeleng.
Muslim tersenyum penuh makna. Nampaknya aku ada peluanglah nak kenal dia lebih rapat lepas ni. Bagus! Rezeki jangan ditolak.
“Kalau macam tu, saya akan ajar awak cara-cara nak bercinta. Awak dah bersedia ke nak bercinta dengan saya?” Muslim terus galak merenung wajah Zara. Dalam hati, dia ketawakan diri sendiri. Bercinta pun tidak pernah, ada hati nak mengajar orang pula.
“Awak boleh ajar saya macam mana cara-cara nak bercinta. Tapi, saya minta tolong jangan ajar saya yang bukan-bukan. Ajar mana yang perlu aje,” kata Zara.
Ketawa Muslim terhambur tiba-tiba.
“Yang bukan-bukan tu, maksudnya macam mana? Ajak awak pergi check-in dekat hotel ke? Begitu?” Muslim pandang Zara sambil tersenyum nakal.
Zara ketap bibir. Muslim ni, otak dia fikir apa? Isy! Geram betul. “Maksud saya tadi, awak ajar saya setakat mana yang perlu ajelah. Tak payah nak ajar lebih-lebih macam kita nak ni betul-betul bercinta. Contohnya, macam...”
“Macam apa?” potong Muslim tidak sabar-sabar ingin tahu.
Tidak semena-mena Zara jadi kaget. Lama dia terdiam mencari ayat yang sesuai untuk membuatkan Muslim faham dengan apa yang bakal dia perkatakan nanti.
“Err... contohnya, janganlah suruh saya panggil awak abang atau sayang kat depan nenek awak nanti. Panggil biasa-biasa aje,” ungkap Zara malu-malu. Dia terus melarikan matanya ke arah lain sejurus menghabiskan kata-kata itu.
Muslim bergumam sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Suruh panggil abang atau sayang, itu dikira ajaran yang bukan-bukan ke? Setahu saya, dalam mana-mana silibus orang bercinta, panggilan macam tu dikira satu kemestian walaupun tak wajib. Dan saya nak, kat depan nenek saya nanti awak kena panggil saya abang atau sayang. Barulah lakonan kita nampak real sikit,” putus Muslim.
Niatnya yang sebenar sebab nak mengusik Zara sahaja. Teringin nak tengok reaksi Zara macam mana. Apabila melihat muka Zara bertukar jadi merah padam, hatinya semakin memberontak hendak mengenakan gadis itu.
“Oh! Tak, tak... Bukan kat depan nenek saya aje. Bila berdua macam ni pun awak kena panggil saya abang jugak. Hmm... saya rasa panggilan abang tu lebih sedap berbanding sayang. Jadi, awak panggil saya abang ajelah,” kata Muslim lagi sambil menahan ketawa.
Zara telan air liur. Tidak cukup oksigen rasanya dia hendak bernafas. Cadangan Muslim itu dirasakan tidak munasabah langsung.
“Saya tak setuju!” Zara hentak tangan atas meja. Dia tidak mahu panggil Muslim dengan nama panggilan itu. Tidak mahu!
“Sayang, please... Panggil abang ya. Untuk kali ni aje.” Muslim menukar nama panggilan mereka secara tiba-tiba dan menggenggam tangan Zara kejap.
Zara terkedu. Sah! Muslim sudah gila.
Interkom telefon di dalam bilik Muslim berbunyi kuat, sekali gus menghentikan perbualannya dengan Zara. Di kesempatan itu, Zara terus menarik tangannya daripada pegangan tangan Muslim. Klien Encik Peon ni boleh tahan gatal juga orangnya. Suka hati dia sahaja main pegang-pegang tangan orang. Lain kali kalau Muslim suruh datang ke pejabatnya lagi, jangan harap dia bersetuju.
Suara Lily bergema dari corong talian interkom.
“Encik Muslim, panggilan daripada Hajah Rokiah. Dia nak bercakap dengan Encik Muslim. Boleh saya sambung sekarang?”
“Okey,” pinta Muslim sambil pandang Zara dan meletakkan jari telunjuk pada bibir, meminta Zara agar diam sekejap. Setelah deringan berbunyi, dia segera mengangkat gagang.
“Selamat pagi, nenek. Hari ni Mus masuk pejabat pukul 8.01 pagi. Lewat satu minit sebab tadi singgah beli kuih lapis kat tepi jalan,” beritahu Muslim siap-siap sebelum Hajah Rokiah bersuara.
“Aik, nenek belum soal lagi Mus dah jawab?” Hajah Rokiah ketawa kecil.
“Mus dah hafal dah soalan nenek tu,” balas Muslim lebih lanjut.
Rentetan kejadian masuk pejabat lambat tempoh hari, dia terpaksa sediakan laporan kedatangan setiap kali Hajah Rokiah menelefonnya. Leceh betul. Tetapi, cakap bos takkanlah dia hendak bangkang pula. Dah buat salah terpaksalah terima hukumannya.
“Baguslah datang pejabat awal. Tak adalah darah nenek selalu naik kalau macam ni.” Hajah Rokiah bersuara senang hati.
“Okeylah, nek... Mus nak sambung buat kerja pulak ni. Ada apa-apa lagi ke?” Muslim sengaja cari alasan mahu tamatkan perbualan kerana tidak mahu Zara tertunggu lama.
“Ada. Tengah hari nanti nenek nak ajak Mus lunch sama-sama. Ibu dan abah pun ada sekali. Nenek dah buat tempahan kat Hotel Primula. Jangan tak datang pulak. Ajak buah hati Mus sekali. Boleh nenek kenal-kenal dengan dia.”
Muslim tercengang. Ajak buah hati? Maksudnya bawa Zaralah? Bebola mata Muslim melirik ke arah Zara yang terkebil-kebil memandangnya. Dia tersenyum lebar. Menjadi juga tipu helah aku. “Err... nenek tak masuk pejabat ke hari ni?”
“Tak, sebab nenek ada urusan kat luar dengan beberapa syarikat pembekal cili kita. Tapi ingat, jangan nak ponteng kerja pulak. Duduk diam-diam aje kat pejabat buat kerja.”
Muslim sengih. “Tak. Mus dah insaf buat kerja tak berfaedah tu. Nenek jangan risaulah,” balasnya.
“Baguslah kalau macam tu. Okeylah, kita jumpa kat hotel tengah hari nanti. Mus jangan datang lambat pulak,” pesan Hajah Rokiah lagi mengingatkan Muslim.
“Ya, nek. Pukul 1.00 tepat-tepat Mus datang ke sana bawa bakal isteri Mus,” kata Muslim seraya meletak gagang. Wajah Zara di hadapannya ditatap kembali.
“Sayang, pukul 1.00 nanti ikut abang keluar lunch dengan famili abang ya. Nenek abang nak jumpa sayang.” Muslim menyampaikan permintaan Hajah Rokiah tadi kepada Zara.
Jantung Zara terus berdetak laju. Dalam sekelip mata perutnya mula memulas-mulas. Rasa nak terkentut pun ada juga. Namun, terpaksa ditahan buat sementara waktu. Ya Allah... takutnya dia.      
“Sayang abang okey?” Muslim pelik tengok Zara pegang perut sambil kerut muka.
“Hah? Err... okey. Saya okey.” Zara mengangguk laju. Dia tarik nafas dalam-dalam, cuba menghilangkan debarannya.
Muslim kerling jam di tangan. Ada lebih kurang tiga jam lagi nak cecah pukul 1.00 tengah hari. Dia mengemas semua fail yang berada di atas meja sebelum bangkit mendekati Zara. “Jom ikut abang.”
“Pergi ke mana?” tanya Zara terpinga-pinga memandang Muslim.
Muslim sengih. “Shopping!
           
“SAYANG, kenapa diam aje ni? Marahkan abang ke?” Muslim menyoal Zara setelah separuh perjalanan mereka tempuhi.
Dari saat mula-mula melangkah masuk ke dalam kereta sampailah sekarang, Zara langsung tidak membuka mulut. Dia tidak tahu sama ada Zara masih marahkan dia atau sedang runsing memikirkan pertemuan yang bakal berlangsung pada tengah hari nanti.
“Eii... Boleh tak kalau awak jangan bahasakan diri macam tu? Saya gelilah. Tak suka dengar. Menyampah!” Zara lepas perasaan tidak puas hati. Rasa nak termuntah dengar Muslim guna nama panggilan abang-sayang antara mereka.
“Sedap apa? Abang suka dengar. Sweet! Macam gula-gula kapas,” balas Muslim seperti tidak terkesan langsung dengan kemarahan yang dihamburkan oleh Zara. Ah! Peduli apa dia. Zara suka ke, tak suka ke, dia tetap nak bahasakan diri abang dan sayang juga.
“Huh! Sweetlah sangat. Lagi meluat adalah.” Zara mendengus sambil lipat tangan ke dada. Dia pandang ke luar tingkap. Tengok pokok lagi tenang daripada tengok muka Muslim. Sakit hati!
Muslim toleh Zara sekilas. Tersenyum.
“Abang suka tengok sayang marah-marah macam ni. Sebab bila sayang marah muka sayang jadi merah. Sweet. Macam gula-gula kapas jugak.” Semakin galak dia menyakat Zara.
Zara jeling Muslim.
“Saya rasa awak ni kena pergi ke hospital. Jumpa doktor pakar sakit jiwa. Skru kat dalam kepala awak tu dah longgar. Sebab tu awak jadi gila macam ni,” sindir Zara. Kenapalah dia ditakdirkan bertemu dengan lelaki miring macam Muslim ni. Sakit seluruh perasaannya.
Muslim gelak besar. “Sayang tak boleh tolong ketatkan ke? Punca abang jadi gila sebab sayang jugak.”
Mata Zara terjegil. Sebab dia?
“Apa yang awak merepek ni? Apa yang saya dah buat dekat awak sampai awak tuduh saya punca awak jadi gila?” Zara ketap bibir geram. Semakin melalut-lalut Muslim ni bercakap. Agaknya memang betullah kut skru dalam kepala Muslim sudah longgar.
“Betul ni sayang nak tahu?”
“Dah tu, buat apa saya tanya awak tadi? Awak ingat saya tanya sebab nak isi masa lapang aje ke?” Sinis Zara perli Muslim.
“Puncanya sebab...” Muslim berjeda seketika sambil tersenyum meleret memandang Zara. “Tak apalah, sayang. Lain kali ajelah abang beritahu ya?”
Muka Zara bertukar jadi cemberut. Sambil mendengus dia berkata, “Huh! Sakit hati betul bercakap dengan orang yang otak tak center macam awak ni.”
Muslim mahu ketawa, tetapi cuba tahan daripada berbuat demikian. Tadi kena kata gila. Sekarang otak tak center pula. Gilanya dia dekat Zara semakin tidak terkawal. Walaupun baru dua hari kenal Zara, tetapi dia tidak dapat menidakkan hakikat yang dirinya sudah jatuh cinta pandang pertama kepada gadis itu.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment