24 January 2016

Lelaki Penuh Kejutan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Maaf, sebab lama sangat tak update entri di blog ni. Laptop saya tak boleh nak loading web. Selalu saja error. Jadi, saya banyak update di Facebook saja, terutamanya di grup. 

Okey, saya ada berita gembira buat followers yang follow e-novel Heroku Superstar Meletup! Alhamdulillah, kalau tak ada aral, novel tu akan diterbitkan pada bulan Februari ni. Tak lama dah. Tinggal beberapa hari saja lagi. Tapi, tajuknya telah bertukar kepada Lelaki Penuh Kejutan. Jadi, yang ternanti-nanti buah tangan terbaru Reeani Annur, inilah dia. 

Saya kongsikan gambar cover dan blurb sekali. Penerbit iaitu Penerbitan Fajar Pakeer akan buka pre-order pada 26hb Januari 2016. Jadi, bila pesanan dah dibuka, cepat-cepat inbox dia orang dekat Facebook dan order LPK.

Seperti biasa, novel saya masih mengekalkan gaya santai dan humor. Konflik pun tak berat sangat. Kalau rasa nak baca cerita yang relaks dan kelakar, saya rekomen belilah. Haha! 

Dekat bawah saya sertakan gambar cover dan blurb. Jadi, jomlah buat koleksi. 

Cover rasmi Lelaki Penuh Kejutan

Daripada seorang penyanyi jalanan yang tidak punya apa-apa, Fadil menempa kemasyhuran bergelar superstar terkenal setelah menjuarai satu pertandingan realiti TV. Namanya menjadi sebutan, digilai ramai peminat dan perempuan-perempuan yang memandangnya sebelah mata dahulu kini cuba mendekati dia semula.

Nena - “Boleh kita jadi macam dulu semula?”
Qistina - “Tapi… Kalau I jadi girlfriend you, I berani jamin I takkan merajuk. Lagi I sayang you adalah.”

Dua-dua cantik orangnya. Tetapi, hanya cinta Nuha yang dia dambakan. Cuma masalahnya sekarang, Nuha pula berbelah bahagi hendak terima lamarannya.

“Tak apa ke saya kahwin dengan awak?”
“Dah tak ada soalan bodoh lain ke kau nak tanya?”
“Yalah, awak tu Fad Ashraf. Penyanyi tersohor Malaysia. Saya ni siapa? Taraf saya dengan awak ibarat enggang dengan pipit. Tak kecewa ke peminat awak nanti kalau awak kahwin dengan gadis nobody macam saya ni?”

Dapatkah Fadil memujuk Nuha mengahwininya? Sejauh manakah Nena dan Qistina berusaha memenangi hati Fadil?

“Bahagia dalam bercinta tu kau hanya boleh rasa bila jumpa dengan orang yang betul. Yang tahu hargai diri kau dan boleh terima kau seadanya.”

20 October 2015

Heroku Superstar Meletup! 2


NUHA mundar mandir di wakaf. Sekejap-sekejap dia tengok jam di tangan.

“Ya Allah, manalah perginya Pak Awi ni? Dah lebih 20 minit aku tunggu. Karang membebel pulak bos aku tu kalau lambat sampai ofis,” sungutnya sendirian. Resah hati tidak dapat dibendung lagi. Nak sampai ke pejabat terpaksa meredah banyak lampu isyarat. Lagilah makan banyak masa. Memang tadah telingalah jawabnya nanti.

Nuha mendecit. Tidak pernah lagi Pak Awi lambat menjemput dia. Selalunya on time sahaja. Kadang-kadang dia baru hendak melintas jalan sudah ternampak teksinya menunggu di depan wakaf.

“Hisy! Tak boleh jadi macam ni. Aku kena telefon Pak Awi tanya dia ada dekat mana sekarang. Kalau dia tak jadi datang senang aku tahan teksi lain,” kata Nuha.

Dia menggagau beg tangannya mengeluarkan telefon Samsung Galaxy Y warna coral pink. Walaupun touch screen tetapi tak berapa nak pintar sangat sebab fungsinya terhad dan tak boleh nak download banyak aplikasi. Dia guna buat hantar SMS dan telefon orang sahaja.

Dalam masa yang sama tiba-tiba terdengar bunyi tayar kereta terseret kuat. Nuha terus panggung muka. Ha, sampai pun. Tetapi kenapa ganas sangat Pak Awi bawa teksi hari ni? Betul ke Pak Awi yang pandu kereta? Untuk mendapatkan kepastian, dia tunduk sedikit mengintai wajah si pemandu.

“Hah! Tengok apa lagi? Masuklah cepat. Pintu tak kunci pun,” balas Fadil. Rasanya memang dah betul kut pelanggan ayah aku ni, getusnya apabila melihat di bahu gadis itu tersangkut beg tangan warna merah.

Nuha tersentak apabila disergah begitu. Alamak! Bukan Pak Awi. Dia tidak kenal siapa gerangannya. Tak pernah jumpa pun sebelum ni. Tetapi, apabila diperhati ada iras-iras macam Pak Awi juga. Siapa pula mamat ni?

“Janganlah tengok aku macam tu. Karang jatuh cinta tak pasal-pasal pulak kau jadi angau,” tambah Fadil lagi. Hairan sangatlah tu kut tengok bukan ayah dia bawa teksi.

Nuha mencebik. Boleh tahan perasan mamat drebar ni.

“Sebelum saya masuk, saya nak tanya. Ini teksi Pak Awi, kan? Tapi kenapa awak pulak yang bawa?” soal Nuha inginkan kepastian. Dia mesti tahu semua itu. Dibuatnya lelaki itu orang gila ke, entah ke mana pula dia kena bawa lari nanti.

“Dah dia suruh. Aku bawalah. Yang kau tercegat lagi dekat luar tu, kenapa? Nak suruh aku tolong buka pintu ke? Tak kuasalah aku!” jawab Fadil sinis. Leceh betullah perempuan ni. Banyak tanya pulak. Aku tinggal karang baru terhegeh-hegeh nak masuk.

Nuha mengerut muka. “Pak Awi suruh awak bawa? Habis tu mana dia? Ke awak curi teksi ni daripada dia? Baik awak cakap betul-betul.”

Ek eleh perempuan ni. Ada jugak jadi mangsa ciuman aku karang. Mulut tak bertapis langsung. Baru aje jumpa dah penuh dengan prasangka, gerutu Fadil geram.

“Daripada aku curi teksi ayah aku ni, baik aku curi kereta Ferrari terus. Boleh jugak buat eksyen dekat kau kalau terserempak kat tepi jalan. Setakat teksi Proton Iswara ni, apa kelasnya?”

Nuha tergamam. Apa? Mamat ni anak Pak Awi? Biar betul!

“Pak… Pak Awi tu ayah awak?” tanya Nuha tergagap-gagap. Patutlah muka ada iras-iras Pak Awi. Tetapi, boleh percaya ke? Takkan anak Pak Awi serabai macam ni? Penampilan Pak Awi kemas sahaja. Baju selalu tuck in dalam seluar slek. Siap pakai kopiah dan kasut kulit lagi. Mamat ni pula, hujung rambut sampai kaki macam mat pet aje. Hisy, aku musykil!

“Dah tu, takkan ayah kau pulak? Apa punya banganglah soalan kau tu. Hah, ni kau nak naik ke tak nak? Kalau tak nak, aku nak blah!” marah Fadil sambil menjeling Nuha.

“Saya nak awak tunjuk dulu bukti yang Pak Awi tu ayah awak. Kalau betul, baru saya naik,” kata Nuha.

Fadil mendecit. Kenapalah ayah dia tak cakap tadi pelanggan tetapnya itu seorang yang banyak songeh. Tak pasal-pasal pula kena tunjuk pengenalan diri kepadanya.

“Nah, ini IC aku. Kau tengok betul-betul nama aku tu bin siapa.” Kad pengenalan dihulurkan kepada Nuha. Dah macam gaya kena tahan dengan pegawai JPJ yang buat road block sahaja.

Nuha membaca nama yang tertera. Fadil Ashraf bin Aluwi. Jadi, memang betullah mamat ni anak Pak Awi. Huh! Jauh beza benar perangai ayah dengan anak. Ayah bercakap dengan pelanggan sopan sahaja. Anaknya pula mulut macam brek tak makan.

“Sekarang kau percaya ke tak? Ke kau masih anggap aku ni pencuri teksi lagi?” sindir Fadil sambil merampas kasar kad pengenalannya dari tangan Nuha.

Eh, dia ni… minta baik-baik tak boleh ke? Main rampas bodoh macam tu aje. Nuha menggerutu tidak puas hati. Tanpa membalas pertanyaan Fadil, dia terus masuk duduk di belakang. Malaslah nak duduk di depan. Dengan Pak Awi sahaja dia berani duduk sebelah menyebelah.

“Hantar saya ke Wisma Indah. Cepat sikit sebab saya dah lambat,” pinta Nuha.

“Kau masuk kerja pukul berapa?”

“8.30.”

Fadil mengerling jam dekat dashboard. “Sekarang dah pukul 9.07. Bos kau tak marah ke masuk kerja lambat?”

“Kalau awak bawa teksi laju macam Dominic Toretto dan cepat sampai ke ofis saya, mungkin bos saya tak jadi nak marah.” Nuha tahan geram mendengar pertanyaan Fadil. Buat-buat tanya pulak. Kan bagus kalau Fadil tekan pedal minyak tu rapat-rapat daripada tanya soalan bengap macam tadi.

Fadil tersenyum senget. Kalau bukan sebab dia singgah makan roti canai dekat kedai tadi, mungkin kelewatan ini tidak berlaku. Tak apalah, yang kena marah Nuha. Bukannya dia. Fadil ketawa dalam hati.

Tercabar dengan kata-kata Nuha tadi, dia menekan pedal minyak rapat dan drift sehingga Nuha terhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Mana-mana kereta yang berada di hadapan habis dia potong sehinggalah tiba di satu lampu isyarat. Lampu hijau tidak sempat dikejar dan akhirnya dia menekan brek mengejut. Tindakan itu telah menyebabkan Nuha terdorong ke hadapan dan tercium kerusi di hadapannya.

“Hei! Apa awak ni bawa kereta macam orang mabuk minum air daun ketum aje. Bawa elok-elok sikit tak boleh ke?” bebel Nuha sambil menjeling Fadil geram.

Fadil menoleh Nuha sekilas. “Tadi kau jugak yang suruh aku bawa macam Dominic Torreto, kan? Hah, bila aku dah jadi si Dom tu kau pot-pet pot-pet pulak macam itik serati. Kau ni memang jenis cakap tak serupa bikin eh?”

“Maksud saya tadi tu bawa laju-laju janganlah sampai mengabaikan keselamatan penumpang.”

“Ah, dan-dan aje sekarang ada maksud. Tadi kau tak sebut pun pasal tu semua!” tempelak Fadil laju.

Nuha mendengus. Banyak mulut betullah mamat ni. Dahlah cakap kasar tak bertapis. Menyakitkan hati ajelah! Eii… Stresnya naik teksi drebar perangai macam jerangkung ni.

Bagi menghilangkan rasa bengangnya, Nuha berpaling ke luar tingkap. Namun, dia perasan mata Fadil asyik mencuri pandang ke arahnya. Apa hal pulak ni jeling-jeling macam tu? Namun, dia sengaja buat-buat tidak nampak.

Setelah lampu bertukar hijau kembali, Fadil meneruskan pemanduannya dengan tenang. Sedang-sedang laju sahaja dia bawa. Terlebih laju karang tak pasal-pasal penumpang banyak songeh itu membebel dia lagi nanti.

“Kau pergi kerja memang selalu naik teksi ke?” tanya Fadil.

“Hmm…” Nuha hanya bergumam malas.

“Kau tak ada kereta sendiri? Motosikal ke?”

“Tak ada.”

“Ya tak ya jugak kan? Kalau ada kenderaan sendiri buat apa naik teksi pergi kerja?” Fadil ketawa sendiri kemudiannya.

Nuha tunjuk muka bosan. Ngok ngek betul mamat ni. Sendiri tanya sendiri jawab. Tiba-tiba dia merasakan kelajuan teksi itu menjadi perlahan. Semakin lama semakin perlahan.

“Eh, apa hal ni awak bawa teksi perlahan sangat? Kalau macam ni pukul berapa saya nak sampai pejabat?” Kali ini Nuha sudah tidak dapat menahan rasa geram dan marahnya terhadap Fadil. Gaduh pun gaduhlah. Dia memang tidak suka cara Fadil memandu kereta. Tidak lancar macam Pak Awi. Kenapalah Pak Awi suruh Fadil hantar dia pagi ni.

“Bukan aku yang bawa perlahan. Tu! Minyak kereta dah nak habis…” ujar Fadil seraya memberi isyarat signal kiri. Sebaik sahaja berhenti di tepi jalan, enjin kereta terus mati.

Mata Nuha terjegil melihat jarum meter minyak. Aduh! Malang betullah nasib dia hari ini. Tak pernah lagi naik teksi tiba-tiba teksi mati di tepi jalan. Ini memang betul-betul mengundang kemarahan!

“Dah tahu nak hantar orang, kenapa tak isi minyak penuh tadi?”

“Mana aku perasan. Ayah aku tak pesan pun suruh isi minyak. Kau ni asyik membebel aje dari tadi. Bingit telinga aku tahu tak? Daripada kau duk bising macam ni, baik kau keluar tolong aku tolak kereta ni,” arah Fadil membuatkan mata Nuha terjegil.

“Apa?!”

“Ya! Tolak kereta ni sampai ke stesen minyak kat depan tu ha…”

Rahang Nuha terus jatuh. Anak Pak Awi ni memang menyakitkan hatilah!!!


Copyright Reeani Annur 2015

18 October 2015

Heroku Superstar Meletup! 1

“FADIL!”
“Hmm…”
“Bangunlah. Kau tak malu ke dekat ayam-ayam ayah kat luar tu? Dia orang dah ke mana perginya cari rezeki. Kau pulak masih terbongkang kat tempat tidur buat tahi mata. Apa nak jadilah dengan kau ni Fadil?” Pak Awi menggeleng kepala melihat Fadil masih terbaring di atas katil dengan kaki terkangkang dan mulut ternganga. Tak senonoh betul anak bongsunya itu.
Fadil menggeliat malas. Sempat juga menggosok-gosok telinga. Pagi-pagi dah cakap pasal ayam. Aduhlah… Nak tidur pun tak senang. 
“Sekejap lagi Fad bangunlah, ayah. Mengantuk sangat ni,” balas Fadil seraya menarik selimut kelubung satu badan. Mimpi membuat konsert bersama Amy Search tadi cuba disambung semula.
“Astagfirullah al-azim… Fadil, kau nak suruh ayah jadi Incredible Hulk dulu ke baru kau nak bangun? Kau jangan… Karang ayah dah bertukar jadi makhluk hijau tu bukan setakat selimut kau ayah tarik. Dengan seluar kau sekali ayah londeh sampai bogel.” Pak Awi sudah bercekak pinggang.
Mata Fadil automatik celik. Dia turunkan selimut perlahan-lahan setakat bawah mata dan perhati susuk tubuh ayahnya. Nasib baik kulit masih sawo matang. Dengan malas dia bangkit duduk tercongok sambil menggenyeh mata. Memang tak lena tidurnya kalau asyik kena kacau sahaja.
“Sekarang dah pukul berapa, ayah?”
“7.00. Dah, pergi mandi cepat. Sekejap lagi ada perkara yang ayah nak minta tolong dengan kau sikit,” balas Pak Awi.
Terkebil-kebil Fadil memandang Pak Awi. “Minta tolong pasal apa pulak ni, ayah?”
“Hantar pelanggan ayah pergi kerja. Hari ni ayah tak boleh bawa teksi. Pukul 8.00 nanti ayah nak pergi Kuantan dengan Haji Zaki.”
“Suruh dia naik teksi lain tak boleh ke? Bukannya teksi ayah aje yang ada. Dah tu kalau pergi hantar, balik kerja karang nak kena pergi jemput jugaklah?” soal Fadil. Ah, malasnya! 
“Kenalah sebab dia tu pelanggan tetap ayah. Hati pelanggan ni mesti nak kena jaga. Tak boleh layan sambil lewa. Kau jangan ada niat malas nak tolong ayah. Sebelum kau pergi melalak kat tepi jalan tu, buat apa yang ayah suruh dulu.” Pak Awi menempelak Fadil. Memang dia tahu sangat perangai anak bongsunya itu. Kalau minta tolong apa-apa selalu banyak alasan.
Fadil mendecit perlahan sambil mengerut muka. Potong mood betullah!
“Yalah, yalah…”
“Hah, tunggu apa lagi? Pergilah mandi cepat.”
“Nak pergilah ni. Ayah dah mandi ke?” tanya Fadil setelah bangun dari katil. Dia menarik malas tuala yang tersangkut dekat kerusi. Sejuknya nak mandi awal-awal. Hari lain biasanya dia mandi pukul 9.00 ke atas.
“Semua orang kat dalam rumah ni dah wangi belaka. Kau seorang aje yang busuk,” perli Pak Awi.
Fadil menggaru-garu pipi. Terasa pedih telinganya mendengar jawapan itu. Pagi-pagi lagi sudah kena tembak tanpa belas. Tidak tunggu lama, dia terus keluar pergi ke bilik air.

“MINUM, bang…” pelawa Mak Ani sambil meletak secawan kopi di hadapan Pak Awi yang baru duduk di meja makan.
Pak Awi minum perlahan-lahan. Kemudian termenung seketika. Tingkah lakunya itu diperhati oleh Mak Ani tanpa sedar.
“Hai, pagi-pagi lagi dah termenung jauh. Teringat dekat siapa pulak ni?”
Mata Pak Awi terus berkalih ke wajah Mak Ani sebelum jatuh ke arah kelibat Fadil yang baru keluar dari bilik air. Cepatnya mandi budak ni. Mandi kerbau gamaknya, getus Pak Awi dalam hati.
“Anak awak itulah. Kalau tak buat darah saya ni naik pagi-pagi memang tak sah. Minta tolong sikit pun nak bersungut. Tapi kalau duk jamming dengan kawan-kawan dia tak ada pulak macam tu,” omel Pak Awi tentang Fadil.
Mak Ani tersenyum. Dia faham apa yang dirasa oleh suaminya. Setiap hari memang ada sahaja rungutan yang dia dengar mengenai Fadil.
“Kalau suruh dia kerja bawa teksi aje macam abang tak boleh ke?”
“Risaulah saya, Ani. Karang entah ke mana-mana pulak perginya dia bawa teksi tu. Daripada habiskan duit minyak baik tak payah. Awak bukannya tak tahu dia tu kaki merayau.”
“Habis, ni abang minta tolong dia pergi hantar orang abang tak takut ke dia melencong ke mana-mana nanti? Kut dibawanya penumpang jalan-jalan pusing bandar tu. Karang ada pulak yang tak sampai ke tempat kerja.” Mak Ani berseloroh lalu tergelak kecil.
Pak Awi hirup lagi kopi sebelum membalas, “Dah tak ada orang lain. Terpaksalah saya minta tolong dengan dia.”
Mak Ani mengeluh tiba-tiba. Dia pun risau memikirkan masa depan Fadil. Umur sudah menjangkau 28 tahun. Tetapi hidup masih tidak tentu arah. Cari duit dengan menyanyi di tepi jalan sahaja bersama kawan-kawan. Kalau minta kerja di mana-mana, cuma bertahan sehari dua. Hari ini masuk kerja, esok lusa sudah berhenti. Kadang-kadang masuk kerja pagi. Petang karang sudah kena pecat.
“Abang, kalau kita kahwinkan aje si Fadil tu tak boleh ke? Barulah dia belajar jadi bertanggungjawab sikit,” usul Mak Ani.
Terbelahak panjang Pak Awi mendengar cadangan isterinya. Tak bernas langsung dia dengar.
“Hisy! Musnah hidup anak orang nanti. Kerja pun terumbang-ambing, nak kasi bini dia makan apa? Silap hari bulan, bini dia pulak yang tanggung dia nanti. Takkan awak tak ingat kenapa dia tak jadi kahwin dulu?”
Mak Ani menghela nafas. Dia ingat. Tetapi dia lebih senang menganggap Fadil tidak ada jodoh dengan bekas pilihan hatinya itu.
“Abang rasa Fadil tu ada kekasih baru tak lepas dia putus tunang dulu?”
Pertanyaan Mak Ani buat Pak Awi tersenyum senget.
“Ada ke perempuan sudi pandang lelaki macam dia tu? Duit pun kadang-kadang ada. Kadang-kadang tak ada. Dengan gaya selekehnya lagi. Cuba awak tengok fesyen rambut dia. Menggerbang mengalahkan rambut hantu Kak Limah. Mujur sangatlah kalau ada yang berkenan,” balas Pak Awi sekali gus membuatkan Mak Ani tergelak-gelak.
“Abang ni… tak baik tau cakap macam tu dekat Fadil. Anak kita tu handsome apa? Kalau dia gunting rambut dan tukar gaya penampilan, saya rasa ramai yang datang tanya dia dah ada yang punya ke belum?”
Kali ini giliran Pak Awi pula yang ketawa.
“Minta-minta terbukalah hati dia nak buat apa yang awak cakap tu. Mata saya ni selalu rasa sakit tengok penampilan dia yang entah apa-apa tu.”
“Ayah, kunci keretanya mana?”
Pak Awi berhenti ketawa. Dia menala mata ke arah Fadil yang berdiri di tangga dapur.
“Dah ada kat dalam kereta. Tadi ayah dah panaskan enjin. Ni, ayah nak beritahu. Pelanggan ayah tu biasa tunggu dekat wakaf tepi sekolah. Kau nampak perempuan galas beg tangan warna merah, yalah tu orangnya.”
“Kalau hari ni dia pakai beg warna lain macam mana pulak nak cam?”
“Susah-susah sangat nanti kau panggil ajelah nama Nuha. Kalau dia menyahut, betullah tu,” kata Pak Awi lagi.
“Hmm… yalah. Fad pergi dulu.” Fadil mahu berpaling tetapi tidak jadi apabila Mak Ani memanggil.
“Fad tak nak sarapan dulu ke?”
“Balik nantilah, mak. Tak pun Fad singgah ajelah dekat mana-mana kedai makan nanti,” balas Fadil.
“Pergi hantar pelanggan ayah tu dulu baru singgah mana-mana,” pesan Pak Awi penuh tegas.
“Ya, tahu…” Fadil menjawab malas. Dia siap-siap hendak naik ke atas rumah.
“Eh, nanti-nanti!”
Apa lagilah ayah aku ni. Berat nak berpisah ke? gerutu hati Fadil saat berpaling semula menghadap Pak Awi.
“Kau ni tak ada seluar elok sikit ke nak pakai? Dengan koyak dan berbulunya sana sini. Tak senonohlah ayah tengok. Pergi tukar seluar lain.” Pak Awi menggeleng melihat gaya seluar jean Fadil yang menampakkan kepala lututnya. Baju T-shirt pun sama. Siap ada gambar tengkorak besar lagi. Tak berkenan langsung dia melihatnya.
Fadil tunduk melihat penampilannya. “Ayah, inilah namanya rock. Barulah stylo,” jawab Fadil selamba.
“Stylo apa kejadahnya. Ayah tengok macam style kena gigit anjing gila aje. Kau jangan nak malukan ayah, Fad. Karang orang tengok, ayah pulak kena kata tak pandai ajar anak pakai baju.”
“Mulut orang, ayah. Biarlah dia orang nak cakap apa-apa pun. Yang penting ayah tahu kan Fad ni baik walaupun bergaya macam ni.” Fadil tersengih-sengih sambil menarik jean terlondeh naik ke pinggang. Tak salah kut junjung bakul depan ayah sendiri.
Pak Awi mengeluh. Sempat dia mengerling Mak Ani. Tersenyum sahaja isterinya itu. Bab menjawab handal sangat Fadil ni.
“Okeylah, ayah, mak… Fad pergi dulu. Karang lambat membebel pulak pelanggan ayah tu.”
“Nuha nama dia.”
“Aaa… Nuha!” Fadil menggerakkan jari telunjuknya. Ya, dia belum nyanyuk lagi.
“Hati-hati pandu teksi tu, Fad.” Mak Ani berpesan sebelum kelibat Fadil menghilang.

Copyright Reeani Annur 2015

12 October 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! Edisi Puasa & Raya [Part 4 - Akhir]

ZARA membetulkan langsir yang baru dipasang. Dia tersenyum. Siap pun mengemas. Selepas ini mahu menggosok baju raya pula. Urusan masak-memasak di dapur dibuat oleh Puan Mariam, Hajah Rokiah dan Puan Hawa. Dia malas nak menyibuk.

“Nah, air untuk sayang. Mesti penat kan mengemas dari tadi.” Muslim datang ke ruang tamu membawa segelas air Horlicks untuk Zara.

Zara tersenyum dan menyambut senang. Hilang sedikit penatnya. Baru sahaja nak minum tiba-tiba Dilla datang mencelah perbualan mereka.

“Dilla pun buat kerja jugak. Tak ada ke air untuk Dilla?” soal Dilla sambil memandang Muslim. Pasang langsir apalah sangat. Dia mop lantai lagi penat. Berpeluh-peluh satu badan. 

“Abang buat untuk Zara aje. Kalau Dilla nak minum buatlah sendiri,” kata Muslim.

Dilla muncung mulut. Tak sportinglah Muslim ni. Tetapi dia tetap nak mengada-ada juga dengan sepupu kesayangannya itu.

“Dilla nak abang buatkan untuk Dilla, boleh?”

“La… buat air punyalah senang. Takkan Dilla tak pandai?”

“Habis tu kenapa Zara tak buat sendiri? Zara pun tak pandai buat air jugak ke?” perli Dilla geram. Dia pandang Muslim dan Zara bergilir-gilir.

Zara memegang kemas muk di tangan menahan geram. Rasa nak ketuk-ketuk sahaja kepala Dilla sampai biol. Tak pun simbah air ke mukanya biar sampai melecur dekat mulut. Namun dia sabarkan diri. Memang dengan sepupu Muslim ni dia kena banyak bersabar sebab sikap mengada-adanya over sangat!

“Awak nak air ke? Nah, ambillah.” Muk dihulur kepada Dilla. Terbantut sudah keinginannya hendak minum.

Dilla tersengih. Tawaran Zara tidak ditolak. Lagipun Muslim yang buat. Rugilah kalau dia jual mahal.

Muslim terkedu. Tambah terkedu apabila Zara berlalu dari situ meninggalkan dia dan Dilla tanpa berkata apa-apa. Dia nak kejar tetapi Dilla sempat menahan.

“Abang, jomlah temankan Dilla minum. Meh kita duduk sini.” Dilla henyak punggung atas sofa dan tepuk ruang di sebelahnya. Suruh Muslim duduk di situ.

Muslim mendecit perlahan. Kalau ikutkan hati dia nak bersembang dengan Zara. Tetapi Dilla pula kacau daun. Spoil betul. Namun dia tidak menolak pelawaan Dilla itu.

Dilla memandang Muslim tersenyum-senyum. Sambil minum pun matanya tidak lepas daripada merenung pada wajah lelaki itu.

“Sedap air Horlicks ni. Pandai abang buat,” puji Dilla. Dia minum lagi.

Tingkah laku Dilla diperhati oleh Muslim melalui ekor matanya. Sebal juga hatinya apabila air yang dia buat untuk Zara diminum oleh Dila. Tidak semena-mena dia berasa meluat dengan sikap Dilla. Sebelum ni taklah terasa sangat.

“Abang, abang tahu tak? Raya tahun ni Dilla rasa seronok sangat tau dapat beraya dengan abang. Tak sabarnya nak pergi rumah pak lang, pak uda dan mak usu. Kita pergi sama-sama ya naik satu kereta?” nyata Dilla penuh teruja. Dia sudah dapat membayangkan suasana itu esok. Pergi rumah saudara mara naik kereta Muslim. Dia duduk sebelah Muslim dan Zara duduk di belakang. Tak pun Zara naik kereta lain. Biar dia dengan Muslim sahaja naik kereta bersama. Seronoknya!

“Abang rasa abang tak dapat join Dilla beraya esok,” kata Muslim.

Dilla terkesima. Air mukanya terus berubah.

“Kenapa pulak?”

“Sebab malam ni abang nak balik kampung Zara dekat Dungun. Raya tahun ni giliran rumah Zara dulu.”

Mata Dilla terbuntang. “Apa?! Abang biar betul! Abang cakap dekat Dilla hari tu tahun ni abang raya dekat sini dulu.”

“Kalau ikut perancangan memang macam tu. Tapi malam ni tiba-tiba aje abang rasa nak beraya dekat sana dulu. Mungkin seminggu lepas tu baru balik ke sini semula.”

“Ala… tak seronoklah macam ni!” keluh Dilla sambil tarik muka masam. Musnah harapannya nak berkepit dengan Muslim.

Muslim sembunyi senyum. Dia bangun. “Okeylah, abang nak pergi kemas baju sekarang. Gelas tu jangan lupa basuh.”

“Abang!!” Dilla menjerit memanggil Muslim tetapi Muslim langsung tidak berpaling. Dia mendengus dan meletak muk kasar di atas meja sehingga air terpercik keluar. Sia-sia sahajalah balik Malaysia tetapi tak dapat beraya dengan Muslim. Bencinya!



MUSLIM masuk ke bilik dan mendekati Zara yang sedang menggosok baju Melayunya. Suis seterika ditutup dan dicabut plugnya.

Zara terpinga-pinga dengan tindakan Muslim.

“Abang, kenapa tutup suis tu? Tak nampak ke Zara tengah iron baju ni?” Dia mahu memasang kembali plug tadi namun Muslim menghalang.

“Tak payah iron sekarang. Iron dekat rumah sayang aje nanti.”

Rumah dia? Bertambah terkebil-kebil Zara. “Abang cakap apa ni? Zara tak faham.”

Muslim merenung Zara lama. Dua-dua tangan Zara diraih. Erat dia genggam.

“Abang minta maaf pasal Dilla tadi. Abang tahu sayang merajuk. Jadi, sekarang abang nak pujuk sayang. Kita balik Dungun malam ni. Esok kita beraya dekat sana,” jelas Muslim. Dia yakin hati Zara mesti akan terpujuk.

Mata Zara bercahaya. “Jadi, tahun ni giliran raya jatuh rumah keluarga Zara dululah? Betul ke ni, abang? Abang tak tipu Zara?” soal Zara bertalu-talu. Apabila Muslim mengangguk dia terus merangkul tubuhnya.

“Eii! Seronoknya dapat balik kampung. Terima kasih, abang. Zara sayang abang!” Pipi Muslim dicium lama. Gembira tak terkata dia. Akhirnya tercapai juga hasratnya mahu beraya di kampung. Nasi minyak lauk gulai ayam terbayang-bayang dalam kepala. Yes! Boleh makan banyak-banyak.

Zara melepaskan pelukan perlahan-lahan. Begitu pun masih ada persoalan membelenggu fikirannya.

“Tapi… bukan ke abang dah beritahu dekat nenek, ibu dan abah tahun ni kita beraya dekat sini dulu? Dia orang dah tahu ke abang tukar fikiran?”

“Pasal tu sayang jangan risau. Sebelum abang pujuk sayang, abang dah terus terang dekat dia orang. Dia orang okey. Tak apalah, seminggu lepas tu boleh beraya lagi dekat sini. Raya kan sebulan,” kata Muslim.

Senyum Zara melebar. Eh, ada lagi seorang.

“Sepupu abang tak merajuk ke?”

“Dilla tu?” Muslim mengerising. “Lantak dialah. Dia bukan isteri abang pun sampai abang perlu peka sangat perasaan dia. Lagipun abang terfikir, kalau raya dekat sini, mesti dia asyik nak berkepit dengan abang aje. Nanti sayang jugak yang selalu makan hati. Kuih raya terus tak habis makan nanti,” selorohnya sambil tergelak.

“Jadi, abang buat keputusan ni sebab nak jaga hati Zaralah?”

“Lebih kurang. Lagi satu hal, abang rimaslah dia asyik nak bertempel aje. Kalau raya dekat sana, tak ada orang nak kacau sayang nak bertempel dengan abang.”

Zara ketawa. Akhirnya dia menang.

“Kalau macam tu. Jom kita kemas baju sekarang!”



1 Syawal…

BAJU Melayu emerald green tersarung segak pada tubuh Muslim. Lengkap dengan songkok dan samping. Zara tersenyum melihat penampilan Muslim selepas membantunya bersiap.

“Okey, dah siap. Lepas ni dah boleh pergi beraya,” ujar Zara.

Muslim tengok cermin. Dia ikut tersenyum sama.

“Kacak tak abang pagi ni?”

Zara mengangguk sambil tunjuk isyarat okey. “Kacak sangat! Macam Beto Kusyairy.” Dia tergelak. Sempena hari raya dia puji Muslim ikhlas. Dah tak ada cemik mulut lagi dah.

Pandangan Muslim berkalih ke Zara pula. Direnung tubuh Zara atas bawah yang manis mengenakan baju kurung moden berwarna sedondon. Dia berkenan dengan tema warna yang Zara pilih. Apabila berdiri berdua begini nampak betul-betul sehati sejiwa.

“Zara Zafirah abang pun cantik pagi ni. Hati abang kena curi lagilah…”

Tersipu-sipu Zara dibuatnya. Dia hulur tangan. Setelah Muslim menyambut, dia tunduk mencium.

“Abang, Zara minta ampun dan maaf atas semua salah Zara pada abang selama ni. Halalkan semua makan minum Zara jugak,” ucap Zara.

Muslim menyentuh lembut kepala Zara. Sebagaimana hatinya tersentuh saat bibir Zara mengucup tangannya.

“Abang pun sama.”

Zara tegakkan kembali badannya dan memandang Muslim sambil tersenyum.

“Ada duit raya tak untuk Zara?” Dia tadah tangan di depan muka Muslim.

“Dah jadi isteri orang pun nak duit raya jugak ke?”

“Mestilah.”

Muslim bergumam seketika. Bibirnya tersenyum nakal.

“Duit raya tak ada. Tapi ciuman raya ada.” Ciuman kilat dihadiahkan kepada Zara pada bibirnya.

“Selamat hari raya!” ucap Muslim tersengih.

Zara terkedu kemudian ketawa. Inilah hari raya yang terindah buatnya. Raya sebagai seorang isteri kepada Harith Muslim di kampung halaman sendiri. Bermakna.



-TAMAT-

Reeani Annur 2015