04 July 2011

Mahadewi Tercipta Untukku 10

“MAK, Nor rasa Nor nak berhenti kerjalah...”

Tangan Mak Eton yang sedang rancak memotong sayur terhenti. Wajah Nor yang duduk di depannya itu direnung lama.

“Kenapa pula ni? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja nak berhenti kerja,” soal Mak Eton kehairanan.

“Tak seronoklah bekerja kat situ. Nor ingat nak cari kerja kat tempat lainlah pula,” balas Nor.

Mak Eton mengeluh perlahan.

“Kau ni, orang lain ramai yang duk cari kerja, susah nak dapat kerja, kau pula senang-senang je nak berhenti? Kau ingat senang ke nak dapat kerja sekarang? Dah ada kerja tu dah kira beruntung tau. Kalau ada masalah yang remeh-temeh kat tempat kerja tu, bersabar sajalah,” nasihat Mak Eton. Dia menggelengkan kepala melihat sikap Nor itu. Zaman sekarang bukan senang nak dapat kerja. Di luar sana ramai lagi orang yang mengganggur. Nor ni seperti tidak bersyukur pula.

“Mak tak faham...” Nor bersuara lemah. Cakap memanglah senang. Tapi yang melaluinya dia. Tak tertanggung dia dibuatnya dengan masalah yang dihadapinya sekarang. Serabut bila difikirkan.

“Umm, ni mesti ada kaitan dengan Adib tu kan?” Mak Eton menduga. “Kenapa? Apa yang dia dah buat dekat kau?” soal Mak Eton kembali.

“Malaslah cakap pasal hal dia.”

Dengar nama pun dah rasa menyampah, usahkan nak bercakap tentang dia pula. Dia memang tak boleh dengar nama Adib. Rasa panas semacam saja telinganya. Lama-lama tak mustahil boleh keluar api kalau asyik nama itu saja yang singgah ke pendengarannya.

Mak Eton sekadar senyum. Memang dia sudah dapat menduga. Dia perasan, sejak akhir-akhir ini Nor banyak merungut tentang sikap lelaki itu. Pasti itulah yang menjadi punca dia mahu berhenti kerja.

“Orang lelaki ni biasalah. Kalau dah suka, macam-macam perkaralah yang dia cuba nak buat...”

“Eh, apa yang mak merepek ni?” soalnya seolah-olah tidak mengerti. Padahal dia sedia faham maksud kata-kata ibunya itu. Macam tahu-tahu saja ibunya itu.

Mak Eton mencebik bibir.

“Alah, kau ingat mak ni tak tahu ke yang Adib tu suka dekat kau? Yang kau ni pula, menyampah sangat dengan dia tu kenapa?” soalnya hairan. Apalah salah Adib sehinggakan Nor berasa begitu benci terhadapnya. Tak faham sungguh dia.

“Siapa yang tak menyampah mak. Perempuan dah keliling pinggang tapi masih gatal nak mengorat perempuan lain. Eee, tolonglah! Nor tak sukalah dengan lelaki macam tu!” Nor memicit-micit batang sawi yang dipegangnya itu sehingga lunyai. Melepaskan perasaan geramnya terhadap Adib. Memang dia pantang benar dengan sikap lelaki seperti itu. Senang-senang saja mempermainkan perasaan orang lain. Itulah sikap Adib yang membuatkan dia berasa jengkel. Meluat.

“Jadi, betullah Adib tu sekarang tengah nak mengorat kamu ya? Umm, patutlah marah sangat. Sampaikan nak berhenti kerja. Habis, kalau tak ada perempuan keliling pinggang dia, kau sukalah ya?”

Aduh, sekali dia pula yang terkena dengan ibunya.

“Ish! Mak ni, mengarutlah...” Nor mencebikkan bibirnya.

Mak Eton memandang lama wajah Nor yang mencuka itu. Dia mengerti apa yang sedang bergolak dalam diri Nor.

“Nor, dengar cakap mak. Kita jangan cepat buat tanggapan pada orang kalau hanya sekadar melihat dari luaran. Kena kenal dulu hati budi baru boleh buat penilaian. Dah berapa kali mak cakap, buka hati dan perasaan kau tu. Jangan pandang semua perkara sama je. Kalau dia buruk sekalipun, bukan hak kita untuk menghukum dia,” nasihat Mak Eton lagi kepada Nor.

Dia tidak mahu Nor berterusan menghukum orang lain hanya kerana kenangan silamnya yang ternyata tidak menyebelahinya. Mak Eton tahu, Adib bukanlah seburuk yang disangkakan Nor. Daripada pengamatannya, dia dapat merasakan bahawa Adib seorang lelaki yang baik. Barangkali Nor yang terlalu mengikut hati dan perasaannya.

“Lelaki mak. Sama je semuanya. Mak janganlah nak sebelahkan dia sangat. Hati dan perasaan Nor ni takkan terbuka dengan orang macam dia tu,” tegasnya.

Mak Eton menggelengkan kepalanya sambil mengeluh panjang. Susah betul bercakap dengan orang yang tak ada perasaan macam Nor ni.

“Mak bukan nak sebelahkan dia. Tapi mak cuma nak ingatkan kau aje. Kadang-kadang apa yang kita benci, itulah yang akan jadi kesukaan kita nanti. Jangan hari ni kau cakap kau benci dia, esok lusa kau cakap kat mak kau suka dia pula.”

Nor sedikit tersentap. Mujur tak terhiris jari tangannya oleh mata pisau yang dipegangnya itu.

“Eee, mak ni... ke situ pula.” Dia bagaikan hilang kata-kata.

“Dulu, mak pun macam kau juga. Benci dekat arwah ayah kau tu. Tapi lama-lama jadi sayang. Kau tengok, sampai ke akhir hayat ayah kau, jodoh kami kekal. Sebab tulah, orang cakap kalau kita bencikan sesuatu, jangan keterlaluan sangat. Takut jadi macam itulah nanti. Kau fahamkan maksud mak ni?” Mak Eton mengangkat keningnya. Memandang Nor lama.

“Alah, mak ni... jodoh setiap orang takkan sama. Mak janganlah berdoa macam tu pula dekat anak mak ni. Eee, dahlah mak. Tak payahlah kita cakap pasal soal jodoh ni. Bukannya Nor dah nak kahwin pun,” ujar Nor seraya bingkas dari kerusi dan berjalan menuju ke singki. Sengaja dia cuba melarikan diri daripada ibunya. Kalau bercakap pasal hal Adib dengan ibunya memang dia sentiasa kalah. Malaslah dia mahu memanjang-manjangkan semua itu. Nanti makin melarat-larat pula. Lagi teruk dia kena hentam ada.

Tetapi kata-kata ibunya terus terngiang-ngiang di telinganya. Benarkah kebencian itu boleh bertukar menjadi cinta?

© Noraini Mohamad 2011
 

25 June 2011

Mahadewi Tercipta Untukku 9

NOR memandang lama ke arah mejanya. Kehadirannya di situ pada pagi Isnin itu disambut dengan kejutan di luar jangkaannya. Hai, siapa pulalah yang buat kerja gila macam ni, pagi-pagi buta begini? Getusnya sendirian. Hatinya diburu persoalan.

Nor menoleh sekilas ke arah Saleha yang sedang leka bermain game di dalam komputernya itu. Huh, pagi-pagi lagi dah mula buat kerja yang tak berfaedah. Makan gaji buta sajalah Saleha ni.

“Eh, Saleha... siapa yang bagi bunga ni?” soalnya sambil mencuit bahu gadis itu.

Mata Saleha dikerling sekilas ke arah sejambak bunga mawar merah yang terletak diam di atas meja Nor. Kemudian menoleh pula ke wajah Nor.

“Ala, siapa lagi kalau bukan bos kesayangan kau tu. Kau tengoklah dekat kad yang dia bagi tu. Cintamu mekar di hati...”

Saleha mengulang kembali ayat di dalam kad yang dia baca tadi. Dia sengih memandang Nor. Boleh tahan jiwang juga mamat handsome tu. Karang ayat serupa  macam lagu rock kapak zaman dulu-dulu.

Nor tersentak. Adib? Dia seperti tidak percaya. Lalu bunga itu dicapai dan dibaca bait-bait ayat yang tertera di atas sekeping kad kecil yang terselit di celah-celah kuntuman bunga tersebut.

“Kau mahadewi yang tercipta untukku. Cintamu mekar di hati...~Qusyairy Adib.”

Biar betul. Adib ke yang tulis semua ni? Ayat Adib ni jiwang gila. Dah gila ke apa lelaki tu? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja beri dia bunga. Ish, menyampahnya. Nor mendengus kasar.


“Nah, ambillah!” Bunga mawar itu dihempas ke atas meja Saleha.

Saleha tersentak. Dia mendongak.

“Eh, apa pasal pula kau bagi dekat aku? Dia bagi dekat kaulah, bukannya dekat aku.” Bunga itu diletakkan semula ke meja Nor. Ada pula macam tu. Pemberian orang bukannya nak dihargai. Apalah dia ni. Getus Saleha geram.

“Aku tak nak!” Nor menepis bunga itu ke tepi.

“Ish, kau ni peliklah. Orang lain dapat bunga, bukan main suka lagi. Tapi kau, ada pula tak suka,” bentak Saleha. Dia hairan dengan sikap Nor itu. Dia ni memang tak ada perasaan ke? Setahu dia, semua perempuan sukakan bunga. Apatah lagi kalau bunga itu diterima daripada seseorang yang istimewa. Mahunya tidak melompat kegembiraan. Kalau dia sendiri yang dapat, lagilah. Mesti tersenyum bahagia berhari-hari.

Nor mencebikkan bibirnya.

“Kalau kau suka, kau ambillah. Aku tak kisah pun. Tapi kalau kau tak nak, aku buang dalam tong sampah.”

“Eh, kau ni... ada pula macam tu. Tak baik tau. Kau kena ingat, kalau ada orang beri apa-apa dekat kita, kita kena hargai. Bukannya suka-suka hati nak buang pemberian orang tu dalam tong sampah!”

Saleha menjeling tajam ke arah Nor. Dia berasa kesal dengan sikap Nor yang langsung tidak menghargai pemberian orang. Macam tak ada adablah pula.

Nor melepaskan keluhan. Dia memandang Saleha sambil mencekak pinggangnya.

“Kau tahu apa maksud pemberian ni?” soalnya serius.

Saleha angguk.

“Maksud dia, Encik Adib tu sukakan kau,” balas Saleha dalam nada yang serius juga. Apalah, itu pun nak tanya dia. Sendiri fahamlah. Dalam televisyen pun banyak buat cerita pasal lelaki beri bunga pada perempuan. Kalau bukan sebab suka, sebab apa lagi? Takkan sebab benci pula kot. Tak pernah dengarlah pula kalau ada lelaki bencikan perempuan dia beri hadiah bunga.

Nor ketawa sinis. Dia berasa lucu mendengar jawapan Saleha. Adib sukakan dia? Kelakarnya.

“Nope! Maksud dia, pemberian ni kena ada balasan.” Suara Nor menekan kuat.

“Yalah... kalau dia sukakan kau dan kau pun sukakan dia, memanglah kau kena balas cinta dia.”

Nor menggetap geram bibirnya. Perasaan marahnya memang tak dapat dibendung lagi tatkala mendengar kata-kata Saleha itu. Memang ada yang nak kena sembur dengan api nanti.

“Hei, kau ni tak faham ek? Aku tak suka dialah. Dan aku pun tak suka bunga ni. Faham! Okey, kalau kau tak nak bunga ni, aku buang...” Tangan Nor pantas mencapai bunga itu dan mahu dibuang ke dalam tong sampah berhampiran. Namun, tindakannya itu cepat-cepat dihalang oleh Saleha.

“Eh, eh... janganlah. Kau ni... cantik tu bunga yang Encik Adib beri. Kalau tak suka pun, janganlah sampai nak buang dalam tong sampah. Letaklah dalam pasu ke? Boleh juga buat hiasan kat atas meja ni.” Saleha memujuk. Sayang pula rasanya bunga yang segar dan cantik begitu mahu dibuang. Nanti kalau dilihat oleh Adib, apa pula perasaannya. Nor ni, tak pandai nak jaga perasaan orang langsung. Gumam hatinya sendirian.

“Kalau nak buat hiasan, letak je kat atas meja kau. Jangan letak kat atas meja aku. Aku tak nak bunga tu semakkan meja aku. Nah, ambil!”

Bunga itu bertukar tangan kembali. Tak ada maknanya untuk dia menerima pemberian Adib itu. Semua itu pasti ada maksud yang tersirat. Bukan dia tak tahu taktik lelaki. Adib silap kalau mahu memenangi hatinya dengan cara itu.

Saleha tersenyum lebar menerima jambangan bunga tersebut. Dia mencium mawar merah yang dipegangnya itu berkali-kali. Tak apalah, kalau Nor tak mahu hargai pun. Biar dia sajalah yang hargai. Lagipun, bukan senang nak dapat bunga daripada  mana-mana lelaki. Dengan tunang dia sendiri pun dia tak pernah terima. Jadi, anggap sajalah bunga pemberian Adib itu diterima daripada tunangnya. Saleha senyum sendirian. Hai, gembiranya dia hari itu, dapat sejambak bunga mawar.

*****

ADIB bersandar di pintu bilik pantri sambil berpeluk tubuh santai. Sedari tadi matanya leka memerhatikan gelagat Nor yang berada di dalam bilik kecil itu. Wah, bukan main senang hati lagi dia tengok. Sambil buat air, sambil menyanyi. Siap dengan gaya sekali. Sampaikan dia berdiri di depan pintu itu pun Nor tak sedar. Tak apa, dia mahu tengok selama mana Nor mengambil masa untuk menyedari kehadirannya di situ.

Nor menghirup perlahan Nescafe panas yang berada di tangannya. Umm, nikmatnya. Rasa segar kembali matanya yang layu. Tengahari itu dia tidak makan. Malas pula rasanya mahu turun ke kedai. Lagipun, pagi tadi dia sudah menjamah nasi goreng kampung yang dibawa dari rumahnya. Perutnya masih lagi terasa kenyang. Kalau makan lagi, alamatnya naik mendadaklah berat badan dia. Nanti makin tembam pula.

Ini pun dia rasa beratnya sudah kian bertambah dari sehari ke sehari. Niat di hati mahu diet tapi tak menjadi-jadi juga. Godaan makanan tidak mampu ditepis. Mana tahan dia bila tengok makanan yang sedap-sedap di depan mata.

Dia dan makanan memang tak boleh dipisahkan. Bagaikan irama dan lagu. Tapi mujurlah badannya tidak terlalu berisi sangat. Sekurang-kurangnya dia masih lagi kelihatan cantik jika mengenakan apa jua jenis pakaian. Bak kata Adib hari itu, dia sudah comel berbadan begini. Walaupun sedikit berisi namun masih mampu menarik perhatian orang. Jadi tidaklah dia berasa runsing sangat memikirkannya. Kalau gemuk itu tidak cantik, takkanlah lelaki sekacak Adib berusaha  untuk mendekati dia. Maknanya dia masih cantiklah tu. Alahai, perasan pula dia. Nor senyum sendirian.

Tiba-tiba fikirannya teringatkan Adib. Bukan dia tidak menyedari hakikat bahawa lelaki itu sedang memburu cintanya. Dia memang nampak kesungguhan Adib untuk memikat dirinya. Tapi dia sendiri tidak tahu mengapa hati dan perasaannya seperti membeku. Perasaan untuk mencintai dan dicintai bagaikan tiada lagi dalam diri.

Barangkali kerana terkesan oleh pengalaman cintanya yang lalu. Yang membuatkan dirinya tidak lagi percaya pada bait-bait kata yang bernama cinta. Pengkhianatan yang diterimanya membuatkan dia berasa benci dengan mana-mana lelaki yang cuba mendapatkan cintanya.

Atas sebab-sebab itulah dia tidak menyenangi Adib. Kalau diikutkan memang Adib mempunyai ciri-ciri lelaki yang sempurna. Ada rupa, ada nama, ada harta dan ada segala-galanya yang diinginkan oleh seorang perempuan untuk dijadikan pasangan hidup. Namun hati dia tetap tidak terbuka untuk menerima kehadirannya. Maafkan aku, Adib.

Selesai membuat air, Nor mahu beredar dari situ. Tetapi langkahnya menjadi kaku sebaik saja dia terpandang kelibat Adib yang sedang merenung tajam ke arahnya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.

Aik, bila masa pula Adib muncul di situ? Kenapa dia boleh tidak perasan kehadirannya? Haih, Adib ni... buat dia terkejut sajalah. Pasti Adib sudah lama berdiri di situ memerhatikan gerak gerinya. Dia tengok enak saja lelaki itu bersenggeng di pintu sambil berpeluk tubuh. Eh... jadi, gelagat dia yang menyanyi-nyanyi dan tersenyum sendirian tadi, pasti turut disaksikan juga olehnya. Waaargh!! Nor menjerit dalam hati. Patutlah dia tengok Adib senyum-senyum saja memandang dia.

“Orang tua-tua cakap, kalau anak dara duduk di dapur sambil menyanyi, kemungkinan besar dapat jodoh dengan lelaki tua...” Adib berseloroh sambil tersenyum nakal. Dia tidak dapat menahan rasa lucu mengenangkan tingkah laku Nor yang dilihatnya tadi.

Nor mendeham beberapa kali untuk menutup kekagetan yang menyelubungi dirinya. Cheh, Adib ni... perli dialah tu. Huh! Dia buat-buat tidak endah dengan kata-kata Adib itu.

“Encik Adib nak buat kopi ke? Umm, silakanlah. Saya dah selesai buat yang saya punya.”

Dia cepat-cepat keluar dari pantri dan meninggalkan Adib sendirian di situ. Kalau nak buat air, buat sajalah. Tak perlulah curi-curi tengok gelagat dia pula. Jahat! Desis hati kecilnya.

*****

NOR kembali semula ke tempat duduknya. Sesekali Nescafe yang berada di sisinya itu dihirup perlahan. Fuh, tenangnya perasaan dia dapat bersenang lenang begitu. Tambah-tambah dengan suasana di pejabat yang sunyi sepi dikala semua orang keluar menjamu selera. Barulah rasa selesa mahu merehatkan diri.

“Kenapa? Awak tak suka ya dengan bunga yang saya beri tu?”

Pertanyaan Adib membuatkan dia sekali lagi tersentak. Eh, Adib ni bela hantu raya ke? Ke mana saja dia pergi bayangannya selalu saja ada. Tadi di bilik pantri. Sekarang di tempat duduk dia pula.

Nor menoleh sekilas ke arah jambangan bunga pemberian Adib yang kini terhias cantik di atas meja Saleha. Barangkali Adib sendiri sudah tahu bunga itu tidak mendapat perhatian daripadanya. Tapi, cantik juga bunga itu selepas menjadi perhiasan. Berseri-seri meja Saleha. Tak apalah, biarlah bunga itu duduk di atas meja Saleha saja.

“Encik Adib, lain kali tak payahlah susah-susahkan diri, bazirkan duit belikan saya bunga. Saya bukannya suka sangat dengan bunga-bunga ni,” ujar Nor acuh tak acuh.

Adib terkedu seketika. Namun dia masih mampu mengukir senyuman. Pertama kali dia dengar perempuan tak suka bunga. Patutlah, dia tengok bunga pemberiannya itu jadi perhiasan di atas meja Saleha. Tapi itu lebih baik daripada bunga tersebut dibuang ke dalam tong sampah.

“Ooo... iya ke? So, kalau awak tak suka bunga, awak suka apa?” Adib menongkat dagunya di atas meja kaunter sambil merenungnya lama. Terleka juga dia sejenak saat matanya menodai raut wajah manis yang dimiliki Nor itu. Kalaulah dia dapat memilikinya. Pasti bahagia.

Nor mengeluh perlahan. Perasaan geramnya kian menebal hadir. Semakin lama semakin menipis kesabaran dia.

“Encik Adib, apa sebenarnya yang Encik Adib nak daripada saya ni?” soalnya penuh lantang dan berani. Entah dari mana dia dapat keberanian itu. Tetapi dia memang sudah tak mampu mengawal lagi perasaannya. Sikap Adib dari sehari ke sehari semakin menjadi-jadi. Dia jadi seperti meluat pula dengan perhatian yang Adib berikan itu.

“Saya nak awak!” ungkap Adib sambil tersenyum nakal.

Glurp! Nor terkesima. Dia menelan air liur. Dia ingatkan dia sudah cukup berani. Tapi rupa-rupanya Adib lagi berani daripada dia. Terang-terang pula tu jawapan yang dia berikan. Adui la... tapi dia sengaja mengeraskan hatinya. Dia tidak mahu Adib mengesan kekagetannya itu.

“Maaflah, mungkin Encik adib dah salah orang kot. Saya bukannya macam perempuan-perempuan yang Encik Adib kenal tu.”

“Sebab awak bukan macam dia oranglah, saya sukakan awak.” Adib berterus terang. Dia tidak mahu berselindung lagi. Memang itulah kenyataannya. Dia memang sudah jatuh hati pada gadis yang berada di depan matanya itu. Dia rasa Nor pun sedar hakikat itu. Tetapi sengaja buat-buat tidak mengerti.

“Awak tahu tak, sepanjang saya kenal dengan mana-mana perempuan, saya tak pernah jumpa dengan perempuan yang keras hati macam awak ni...”

Keras hati? Hahaha! Nor ketawa mendengar kata-kata Adib.

“Kalau lembut hati, takut pula jatuh kat tangan lelaki yang salah. Bukan ke satu kerugian kalau perempuan yang baik jatuh kat tangan lelaki yang salah. Saya cuma tak nak jadi mangsa kerugian tu. Takut nanti gelap masa depan,” Nor menyindir keras.

Alah, kalau keras hati pun apa salahnya. Pergilah cari perempuan lain. Bukan dia seorang saja perempuan yang ada dalam dunia ni.

Adib senyum kelat. Pedas sungguh sindiran yang Nor berikan kepadanya. Namun dia masih cuba berlagak tenang.

“Saya tahu apa yang awak fikirkan tentang diri saya. Tak apa, saya maafkan semua kata-kata awak itu sebab awak belum kenal siapa saya yang sebenarnya.”

“Umm, tak apalah Encik Adib. Saya memang tak berminat pun nak kenal siapa Encik Adib yang sebenarnya. Boleh tinggalkan saya sendirian?” soalnya memandang Adib. Sebab dia kenallah dia cakap macam tu. Benda terang lagi disuluh. Takkanlah dia mahu menidakkannya pula. Dia rasa dia belum buta menilai sikap Adib.

Adib melepaskan keluhan panjang. Dia berasa tercabar mendengar kata-kata Nor itu.

"Okey... tapi sebelum tu saya nak ingatkan awak tentang satu perkara. Saya bukan seorang lelaki yang cepat berputus asa. Lambat laun, awak pasti akan jatuh cinta pada saya...” Adib mengenyit matanya nakal sambil membetulkan tali lehernya. Bibirnya mengukir senyuman sinis ke arah Nor sebelum dia berlalu pergi dari situ.

Okey, tak apa. Dia akur dengan kata-kata Nor. Dia memang bukan seorang lelaki yang baik kerana gemar berpelesiran dengan ramai perempuan. Tapi dia pencinta yang setia. Itu hakikat. Dan kau, Nor Qaseh Umairah, akan kupastikan jadi milikku. Adib memasang tekad.

Nor menggetap rapat bibirnya. Kata-kata Adib tadi terngiang-ngiang di telinganya. Jatuh cinta pada Adib? Jangan harap! Kau hanya buat kerja sia-sia Adib. 

© Noraini Mohamad 2011
 

21 June 2011

Mahadewi Tercipta Untukku 8

ADIB sekadar merenung pelan yang terbentang luas di depan matanya itu dengan pandangan yang kosong. Sejak dari tadi, satu kerja pun belum dia buat. Fikirannya melayang, terkenangkan Nor. Argh! Kenapa wajah gadis itu begitu kerap mendominasi di ingatannya sekarang?

Di mana-mana saja dia terbayang wajah cantiknya dan senyuman manisnya. Oh, cukup membuatkan dia rasa seperti orang gila. Nor berjaya membuai perasaannya sehingga kadang-kadang menjelma di dalam mimpinya. Cinta Nor telah merasuki dirinya. Ya, sesungguhnya dia telah jatuh cinta. Cinta yang sebenar-benarnya cinta.

“Adib... tak tidur lagi, sayang? Dah pukul berapa ni?” Suara Puan Muhaini mengejutkan dia dari lamunan. Adib menoleh sekilas. Dia lihat mamanya sedang berdiri di depan pintu bilik tidurnya sambil memandang tepat ke arahnya.

Puan Muhaini berjalan masuk mendekati anak tunggalnya itu. Dia lihat jam sudah hampir mencecah ke pukul 3.00 pagi. Dia ingatkan semua orang di dalam rumahnya sudah tidur. Tapi bila dia mahu turun ke dapur untuk membasahkan tekaknya tadi, dia lihat lampu di bilik Adib masih lagi menyala cerah. Itu yang menarik perhatiannya untuk singgah ke situ. Kalau Adib sudah tidur, pasti biliknya itu gelap gelita.

Adib sekadar senyum. Menggeleng perlahan.

“Belum ma. Adib ada kerja sikit nak siapkan ni. Esok nak tunjuk dekat klien.” Adib beralasan. Padahal dari tadi kerja dia tak bersentuh.

“Tapi mama tengok Adib lebih banyak termenung je daripada buat kerja. Kenapa? Adib ada masalah ke?” soal Puan Muhaini.

Sebenarnya, sebelum dia masuk tadi dia terlebih dahulu memerhatikan kelakuan Adib. Dia nampak dengan jelas Adib hanya sekadar termenung tanpa membuat apa-apa kerja. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.

“Tak adalah mama...” Adib cuba menafikan. Haih, takkan dia mahu beritahu pada mama dia pula tentang apa yang sedang dia fikirkan.

Puan Muhaini senyum. Dia dapat menebak sesuatu. Sikap Adib sedikit berlainan pada pagi itu.

“Betul ke ni? Umm, biar mama teka. Biasanya, anak mama ni kalau dia termenung macam ni, dia bukan fikir pasal kerja. Tapi fikir pasal perempuan. Betul tak?” Mata Puan Muhaini tertancap lama pada wajah kacak Adib.


Adib tersentak. Alamak!! Mama dia tahu ke apa yang bermain di fikiran dia? Kalau tahu, malulah dia. Adui, habislah dia kalau semuanya terbongkar.

“Mama ni, ada-ada sajalah...” Adib ketawa kecil. Cuba mengawal perasaannya. Buat-buat tak tahu sudah.

Puan Muhaini mengusap-usap perlahan belakang bahu anaknya itu.

“Okey, beritahu mama, perempuan mana yang buat fikiran Adib jadi tak tentu arah macam ni, ni? Umm? Aurora, Julia, Nina?”

Beberapa nama kenalan perempuan Adib meniti di bibirnya. Kalau diikutkan,  ramai lagi yang dia mahu sebut tetapi tiga nama itu saja yang terlintas di ingatannya. Itulah, ramai sangat berkawan dengan perempuan. Kadang-kadang pening kepala dia mahu menghafal nama-nama mereka semua. Ada juga yang bernama pelik. Nak sebut pun payah. Berbelit lidah dibuatnya.

Ketawa Adib terhambur kuat. Mama dia tu, hafal saja nama-nama kawan perempuan dia. Padahal bukan dia pernah bawa balik ke rumah pun. Adib menggelengkan kepalanya. Dia mengerising lucu.

“Ish, mama ni... mana adalah. Dia orang semua tu kawan jelah, mama. Tak lebih daripada tu,” sangkalnya.

“Umm, kalau mereka semua tu hanya kawan je, siapa pula yang lebih daripada kawan?” soal Puan Muhaini nakal. Sengaja dia mahu mengusik perasaan Adib. Dia lihat reaksi Adib sedikit berubah.

Adib tercengang. Ini macam soalan perangkap je. Ish, tak boleh jadi macam ni. Kalau silap jawab, habislah dia.

“Tak ada siapa-siapalah mama. Eh, mama tak mengantuk lagi ke? Dah lewat dah ni. Mama pergilah tidur dulu.” Adib cuba mengalihkan topik bicara. Dia bangun dari kerusi dan memeluk erat tubuh mamanya lalu mengheretnya perlahan ke muka pintu bilik. Bukan menghalau tapi kalau dia tidak buat begitu, dia pasti dirinya itu akan berterusan didesak menceritakan segala-galanya.

Puan Muhaini seperti tidak berpuas hati dengan jawapan yang didengarinya. Dia dapat merasakan bahawa Adib sedang menyembunyikan sesuatu daripadanya. Dari raut wajahnya saja, Puan Muhaini sudah dapat meneka perasaan Adib. Dia tahu, Adib sedang dilamun cinta. 28 tahun dia membesarkan Adib, takkanlah dia tidak kenal dengan sikap anaknya sendiri. Dia mahu tahu siapakah gadis yang telah berjaya mencuri perasaannya.

“Mama tak mahu tidur selagi mama tak tahu siapa nama perempuan yang mengganggu fikiran anak mama ni. Cepat cakap dengan mama, siapa dia?” Puan Muhaini menghinggut lengan Adib perlahan.

“Betul mama. Adib tak tipu. Mana ada Adib fikir pasal Nor...”

Eh, alamak! Tiba-tiba saja lidahnya tersasul menyebut nama Nor. Adib menyedari kebodohannya. Macam mana pula dia boleh tersasul begitu? Kan dah terkantoi. Bodoh! Adib memalingkan mukanya menghadap ke dinding. Dahinya ditepuk perlahan.

Puan Muhaini ketawa lucu melihat reaksi Adib. Itulah, cakap bohong sangat. Kan dah terima balasan.

“Ooo... jadi nama dia Nor ya?” Puan Muhaini merenung lama wajah Adib yang tertunduk malu. Ala, dengan ibu sendiri pun nak malu. Bukan dia marah pun.

“Umm...” Adib teragak-agak mengangguk.

“Nor? Hurmm... sedap mama dengar nama tu. Mesti cantikkan orangnya? Kalau macam tu, nanti bawalah dia jumpa dengan mama...”

Adib pantas mendongak. Dia meneguk air liur. Biar betul. Adib tergamam. Antara percaya dan tidak.

“Be... betul ke mama?” soalnya tergagap-gagap.

Puan Muhaini angguk dan tersenyum lebar. Sepantas kilat tubuhnya ditarik kasar ke dalam pelukan Adib. Pipinya dikucup lama.

“Thanks, mama. I love u so much!!” bisik Adib perlahan. Hatinya berbunga riang mendengar kata-kata mamanya itu. Wah, nampaknya mama dia memberikan reaksi yang positif. Adib berasa semakin bersemangat.

© Noraini Mohamad 2011
 

Mahadewi Tercipta Untukku 7

“INI dokumen yang awak suruh saya sain hari tu. Nanti awak telefon Mr. Lee, suruh dia datang ke pejabat jelaskan baki pembayaran dia yang tertunggak tu, okey.” Fail berwarna biru itu dihulurkan kepada Nor.

Nor mengangguk perlahan. Lepas tiga hari baru sain? Macamlah sibuk sangat. Perkara yang boleh diselesaikan dalam tempoh tak sampai seminit pun boleh jadi tiga hari bila sibuk berkepit dengan perempuan. Tak pasal-pasal banyak kerja dia yang tertangguh. Gerutu Nor sendirian.

“Awak cakap apa tadi?” soal Adib memandang tepat ke mukanya.

Nor tersentak. Eh, bila masa pula dia bercakap? Ke Adib dengar dia bersungut di dalam hati tadi? Habislah dia kalau Adib tahu.

“Mana ada saya cakap apa-apa dekat Encik Adib,” nafinya.

“Iya ke? Tapi saya dengar macam awak mengata saya je tadi.”

“Eh, tak adalah. Tu bisikan syaitan je tu. Mana ada saya mengata Encik Adib,” sangkalnya lagi. Ish, dia ni macam tahu-tahu saja. Bahaya betul orang macam ni.

“Umm, apa-apa jelah. Tapi kalau awak ada mengata saya, baik awak tarik semula kata-kata awak tu. Kalau tak nanti kena denda keluar makan dengan saya lagi.”

Adib senyum sambil mengenyit matanya nakal sebelum berlalu dari situ.

“Gila!”

Nor menggelengkan kepalanya mengenangkan kata-kata Adib tadi. Fail yang berada di tangannya itu dihempas ke atas meja.

“Apa awak cakap? Saya gila?” soal Adib sambil kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

Nor tersentak dan menjerit kuat. Dia tergamam apabila melihat Adib masih lagi berdiri berhampiran mejanya. Hish! Macam halimunan. Buat dia terkejut saja. Tadi dia tengok Adib sudah angkat kaki dari situ. Tapi sekarang ada depan mata dia pula. Hairan betul.

“Err... ma.. mana ada, Encik Adib. Sa.. saya cakap Saleha ni yang gila.”

Tiba-tiba pula Saleha yang menjadi mangsa. Nor menoleh sekilas ke arah Saleha. Gadis itu menjegilkan matanya tajam sambil menggetap bibir. Apa nak buat, itu saja alasan yang terlintas di fikiran dia untuk menutup penipuan tersebut.

“Encik Adib ada perlukan apa-apa lagi ke?” Nor cuba mengalih perhatian Adib.

“Umm... saya lupa nak beritahu, tolong buatkan saya secawan kopi. Sekarang,” pinta Adib sebelum dia sekali lagi berlalu pergi dari situ. Kali ini dia benar-benar pergi dan tidak berpatah kembali. Nor akur dan segera menuju ke bilik pantri.

*****

NOR mengetuk perlahan pintu bilik Adib dan masuk menuju ke arah meja Adib. Adib sekadar mengerling sekilas dan kemudian membelek kembali dokumen di dalam fail yang berselerakan di atas mejanya itu.

“Encik Adib, ini kopi Encik Adib. Ada apa-apa lagi?” soalnya memandang Adib sejurus selepas meletakkan cawan kopi itu di sisinya.

Adib menggeleng tanpa menoleh ke arahnya.

“No. Thanks,” ucapnya pendek.

Nor angguk dan mula beredar dari situ.

“Ermm, Nor...”

Tiba-tiba namanya dipanggil Adib. Pintu bilik itu tak jadi dibuka. Nor berpaling.

“Iya, Encik Adib…” sahutnya.

“Umm, pasal hal hari tu, awak jangan salah faham ya...”

Nor mengerutkan dahinya. Tidak memahami maksud kata-kata Adib itu.

“Hal apa pula ni Encik Adib?” soalnya.

“Pasal hal saya dan Aurora yang awak nampak tempoh hari.”

Adib memandang Nor lama. Dia harap Nor mengerti apa yang dia maksudkan. Entah mengapa dia berasa seperti risau pula apabila memikirkan  tanggapan Nor terhadap dirinya mengenai kejadian tersebut.

“Ooo... pasal hal tu. Okey...”

Nor senyum. Dia ingatkan apalah tadi. Ah, hal Adib dengan Aurora bukan urusan dia. Buat apa dia nak ambil tahu. Buang masa dia saja. Banyak lagi benda penting yang dia kena fikir dan ambil tahu.

“Saya cuma tak nak awak fikir yang bukan-bukan pasal diri saya,” tingkah Adib lagi.

“Tak apa, Encik Adib. Saya faham.”

Nor masih bermuka manis.

“Saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia.”

Haaa, yang ini dia tak faham. Kenapa pula Adib beria-ia memberitahu dia tentang semua itu? Kalau Adib nak ada apa-apa hubungan ke? Skandal ke? Dia peduli apa. Bukan dia berminat pun mahu ambil tahu.

Kalau Adib tak beritahu dia pun, dia tahu Adib memang ada apa-apa dengan perempuan seksi itu. Kalau tak ada apa-apa, takkanlah duduk berdua-duaan bersama di dalam bilik. Siap duduk di atas riba lagi. Adib ingat dia buta ke? Dia saja je malas nak kecoh.

“Tak apalah, Encik Adib. Kalau Encik Adib ada hubungan pun, saya tak ada apa-apa masalah. Saya keluar dulu Encik Adib.”

Adib bingkas dari kerusi.

“Nor... saya tahu awak ada tanggapan buruk terhadap saya. Sebab tu awak acuh tak acuh dengan sayakan?”

Tombol pintu itu tak jadi dipulas. Sekilas dia berpaling kembali ke arah Adib.

“Kalau Encik Adib tahu, baguslah. Tak perlu saya beritahu Encik Adib sebab-sebabnya kan?” balasnya sambil tersenyum sinis. Kemudian tombol pintu dipulas dan ditarik kuat. Dia segera keluar dari bilik Adib. Kalau faham, bagus. Senang cerita. Tak perlu dia terang dengan panjang lebar lagi.

Adib bagaikan terpempan. Dia kembali duduk bersandar di kerusinya dan menghela nafas panjang. Dia tahu, Nor sememangnya mempunyai stigma yang buruk terhadap dirinya.

Walaupun luaran dia dilihat seperti tidak kisah namun Adib tahu jauh di sudut hatinya, Nor tetap mengganggap dirinya bukan seorang lelaki yang baik untuk di dampingi. Ah, bagaimana lagi dia harus membuktikannya? Adib kebingungan. Mungkin hanya masa saja yang mampu menentukannya.

© Noraini Mohamad 2011