“YA Allah,
Miki... Apa yang kau dah buat ni?” Muslim terkejut setelah melihat hasil
dandanan Miki ke atas rambut Zara. Matanya tidak mahu berkelip. Miki di sebelah
lagilah dia tak nak pandang.
“Buat nenek kau terngangalah,” jawab Miki selamba. Dia senyum sambil
menjongket kening.
Di saat itu, barulah Muslim menoleh wajah Miki. Dia tidak tahu bagaimana
hendak menzahirkan perasaannya.
“Aku suka. Kau memang terbaik, Miki!” puji Muslim lantas mencapai tangan
Miki dan menggenggamnya erat-erat.
“Kau suka gaya rambut Zara ke kau suka
Zara?” seloroh Miki separuh berbisik. Satu penumbuk singgah di bahunya selepas
itu. Dia gelak sambil menggosok-gosok bekas tumbukan Muslim tadi.
“Dua-dua.” Muslim tersenyum penuh makna.
Zara merenung Muslim dan Miki silih berganti. Dia nampak kedua-duanya
saling berbisik sesama sendiri, tetapi tidak
tahu apakah yang diperkatakan mereka. Adakah Muslim dan Miki kutuk rambut dia?
Zara terus berpaling menghadap cermin semula. Sebenarnya, dia sendiri terkejut
melihat gaya baru rambutnya. Inilah kali pertama dia menata rambut. Semuanya
sebab Muslim yang paksa!
“Cantiknya sayang abang. Abang suka tengok penampilan sayang macam ni.”
Tiba-tiba Zara terasa ada hembusan halus menyapa cuping telinganya.
Apabila dia toleh, hatinya terus bergetar. Tidak sedar bila Muslim berdiri di
sebelah.
“Err... Okey ke macam ni?” Zara lontar
pertanyaan itu sebab tidak tahu hendak cakap apa. Seluruh tubuhnya rasa
menggigil. Macam orang nak demam. Kedudukan Muslim yang begitu rapat dengannya
membuatkan dia semakin gementar.
“Cantik sangat-sangat. Nenek abang mesti berkenan kalau tengok sayang
nanti.” Spontan Muslim memegang beberapa helai rambut Zara. Gaya long hair wavy itu dilihat sangat sepadan dengan bentuk muka
Zara. Dalam masa dua hari sahaja dia rasa dia sudah jatuh cinta banyak kali kepada Zara. Parah, parah...
“Abang?” Zara menyoal sebelum menekup mulut rapat. Matanya terkelip-kelip
pandang Muslim. Isy! Macam mana pulak aku boleh tersasul panggil Muslim abang
ni? Bikin malu diri sendiri ajelah.
Tangkai hati Muslim bagaikan direntap. Zara panggil aku abang? getus Muslim
seperti tidak percaya. Terasa diri seperti di awang-awangan. Nak sahaja dia
suruh Zara ulang panggilan itu sekali lagi.
“Abang lagilah berkenan.” Muslim tersengih nakal. Dalam hati, dia
menyambung lagi kata-katanya, Sayang, sudi tak kahwin dengan abang sekarang?
Tidak semena-mena wajah Zara bertukar menjadi merah padam. Semakin malu
dia dengan Muslim.
“Err... ada apa-apa lagi ke yang awak nak ubah?” Zara cepat-cepat menukar
topik.
Muslim pandang Zara atas bawah sebelum menggeleng.
“Kita dah tak cukup masa. Tinggal setengah jam aje lagi nak ke pukul 1.00. Kita kena gerak cepat sebab nanti jalan jam. Karang membebel pulak nenek abang tu,” kata
Muslim. Diam tak diam, sudah hampir tiga jam mereka berada di butik Miki.
Zara mengangguk lega. Namun, dia tetap berasa rimas dengan penampilannya
yang dirasakan seperti gaya mak Datin. Kalau
bukan sebab terpaksa menyamar jadi kekasih Muslim, jangan harap dia nak pakai
kebaya pendek dan kasut tumit tinggi begini. Dengan rambutnya lagi. Janganlah
ada orang curi-curi tangkap gambar dia dan sebar dalam Facebook.
Muslim meminta Zara menunggu seketika untuk berurusan dengan Miki
mengenai soal bayaran.
“Berapa semuanya, Miki?” tanya Muslim yang sudah pun menarik keluar
dompet daripada poket belakang seluarnya.
“Harga kawan.” Miki tersengih.
Muslim merenung Miki. Dia mengeluh berat. “Miki, kau jangan jadi tak
betul. Baju, kasut, aksesori, mekap, rawatan rambut, semua tu ada harga tau.
Butik kau ni bukannya jual barang-barang picisan.”
“Alah, relakslah! Kau kan tengah ada masalah sekarang. Aku cuma tolong
mana-mana yang patut aje,” balas Miki.
“Mana boleh macam tu. Walaupun kau kawan baik aku, tapi butik ni butik
kau cari makan. Bukannya butik sedekah barang. Nah, ambil duit ni. Kalau tak
cukup, kau datang tuntut kat ofis aku esok.” Muslim keluarkan wang sebanyak
seribu ringgit lalu letak di atas tapak tangan Miki. Itu yang susahnya kalau
berurusan dengan kawan baik sendiri. Murah hati sangat sampai serba salah dia
dibuatnya.
Miki akhirnya akur. Kalau diikutkan, niat dia hanya hendak tolong Muslim
sahaja. Dengan Muslim memang dia tidak berkira sebab selama ini Muslim sudah
banyak menolongnya. Butik ini berdiri pun sebahagiannya daripada usaha Muslim
juga yang menolong dia meminjamkan modal.
“Terima kasih, Mus. Senang-senang nanti datanglah lagi. Bawa Zara cuba
gaya lain pulak. Apa pun, aku doakan kau
terlepas daripada kena kahwin dengan calon pilihan nenek kau tu,” ungkap Miki
sambil menepuk-nepuk bahu Muslim.
“Harap-harap macam tulah. Okeylah, Miki,
aku kena pergi dulu. Apa-apa hal, telefon aku ya,” kata Muslim seraya berjabat
tangan dengan Miki sebelum mengajak Zara beredar.
“Bye, baby!
Jumpa lagi!” laung Miki sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Zara yang
ketika itu sudah hampir hendak keluar dari butiknya.
Zara sempat berpaling. Sedaya upaya dia cuba memaniskan muka walaupun
berasa geli mendengar nama panggilan itu. Suka hati Mikilah nak panggil dia
apa-apa pun. Dia sudah penat hendak marah.
DARI jauh Muslim sudah nampak
kelibat Hajah Rokiah, Puan Mariam dan Encik Syukri yang ternanti-nanti
kedatangannya bersama Zara di dalam Hotel Primula itu. Dia kerling Zara sekilas
dan tersenyum. Mengerti apa yang dirasakan oleh Zara sekarang.
“Sayang janganlah takut. Buat macam biasa aje. Kalau ada apa-apa, abang
akan cuba back up sayang ya,” bisik
Muslim.
Zara menarik nafas panjang. Beberapa potong ayat suci al-Quran dibaca dalam hati bagi menghilangkan perasaan
gementarnya. Harap-harap menjadilah lakonan dia nanti.
“Dah lama ke semua orang tunggu Mus?” sapa Muslim sebaik tiba di meja.
Wajah ketiga-tiganya dipandang silih berganti.
“Taklah, kami pun baru sampai jugak tadi. Duduklah, Mus. Sebelah Mus tu siapa namanya?” Puan Mariam unjur ibu jari ke arah
gadis yang berdiri di sebelah Muslim. Dia tidak sangka Muslim ada kekasih secantik
itu.
Muslim tersenyum menjeling Zara sebelum mengenalkan gadis itu kepada ahli
keluarganya. “Kenalkan... ini Zara. Pilihan hati Mus yang Mus beritahu
semalam.”
Tanpa disuruh, Zara terus hulur tangan kepada Puan Mariam. Tangan wanita
itu dikucup lembut. Dengan Encik Syukri pula, dia hanya tunduk dan hulur
senyum. Manakala dengan Hajah Rokiah, dia hulurkan tangan, malangnya tidak bersambut. Hati Zara semakin
berdebar-debar. Apa yang tak kena ni? Kecut perutnya melihat Hajah Rokiah
memandang dia tidak berkelip.
“Nenek...” Muslim sudah tersengih-sengih melihat reaksi Hajah Rokiah yang
terlopong merenung Zara dengan mulut yang sedikit ternganga. Betul cakap Miki
tadi. Tinggal lalat sahaja tidak masuk ke dalam mulut neneknya. Good job, Miki! Hati Muslim memuji.
Hajah Rokiah tersentak. Lekas-lekas dia sambut tangan Zara. Tatkala Zara
tunduk mencium tangan, hatinya tiba-tiba rasa tersentuh. Spontan dia menyentuh
ubun-ubun Zara. Bayangan Ros Maria, gadis yang ingin dijodohkan dengan Muslim
sebelum ini terus lenyap daripada ingatan.
“Cantiknya Zara nenek.” Hajah Rokiah bersuara perlahan. Dia akui, gadis
di hadapannya itu sangat cantik. Ros Maria awal-awal lagi sudah kalah. Dia
memang tidak berasa ralat jika tidak dapat tengok Muslim berkahwin dengan Ros
Maria kalau penggantinya secantik ini!
Zara tersipu-sipu malu menyambut kata-kata Hajah Rokiah. Lebih-lebih lagi
apabila semua mata di situ tertancap ke arahnya. Sempat dia mengerling Muslim.
Segaris senyuman dihadiahkan oleh lelaki itu kepadanya. Manis.
Muslim menarik kerusi bagi pihak Zara dan menyuruhnya duduk. Sedaya upaya
dia cuba mempamerkan sikap gentlemannya terhadap
Zara di hadapan ahli keluarga. Biarlah nampak macam betul-betul bercinta supaya
semua orang percaya Zara itu merupakan kekasihnya.
“Zara dah lama ke kenal dengan Muslim?” tanya Hajah Rokiah, mula menyoal
serba sedikit tentang hubungan Zara dan Muslim.
“Dah hampir dua tahun, nek,” jawab Zara tersenyum. Maaf, nenek. Sebenarnya baru dua
hari. Zara sambung pula ayat itu dalam hati.
Hajah Rokiah mengangguk dan bergumam. Sampai hati Muslim bercinta
senyap-senyap di luar pengetahuannya. Mati-mati dia ingat Muslim belum ada
kekasih.
“Zara pernah tak bincang dengan Muslim pasal hal kahwin? Yalah, dah dua
tahun bercinta kan... Takkanlah
tak ada sebarang perancangan nak kahwin?” Hajah
Rokiah menyoal lebih lanjut.
Ya Allah, susahnya soalan. Apa yang aku nak jawab? Zara gabra, namun dia
berkali-kali mengingatkan diri agar bertenang. Nafas ditarik dalam-dalam bagi
menghilangkan ketegangan.
“Pernah. Tapi biasalah, nek. Bincang gitu-gitu aje. Tak adalah serius
sangat. Kami masih muda. Nak beri peluang pada diri masing-masing bina kerjaya
dulu.” Wah! Pandai jugak aku reka dialog. Zara tahan gelak.
“Berapa umur Zara sekarang?”
“27 tahun.”
“Isy! Muda apanya kalau umur dah masuk 27
tahun. Dah sesuailah tu kalau kahwin,” sangkal Hajah Rokiah sekali gus membuatkan lidah Zara jadi kelu.
Zara memandang Muslim. Tidak terjawab dia dibuatnya. Usia 27 tahun tu tua sangat ke? Tua pada angka sahaja kut.
Tetapi hati masih muda remaja. Jawapan itu hanya berani disuarakan dalam hati.
“Kalau boleh, nenek nak Zara dengan Mus kahwin cepat-cepat. Bercinta
lama-lama ni bukannya elok sangat. Dalam keturunan keluarga nenek, lelaki mesti
kahwin pada umur 28 tahun. Kebetulan pulak,
tahun ni umur Muslim dah genap 28 tahun. Jadi,
molek sangatlah kalau dia kahwin. Zara pun kena beringat jugak, kahwin
lambat-lambat ni tak bagus untuk orang perempuan. Takut nanti susah nak dapat
zuriat,” kata Hajah Rokiah sambil menjeling Puan Mariam dan Encik Syukri.
Kedua-duanya mengangguk bersetuju.
Zara telan air liur. Kahwin lambat susah nak dapat zuriat? Siapa cakap?
Ibu saudaranya berkahwin umur 35 tahun elok
sahaja dapat anak. Malah, setelah umur menjangkau 40-an pun masih dikurniakan
rezeki anak oleh Allah. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Hajah Rokiah itu.
“Nenek ni... Janganlah takutkan Zara macam
tu. Zaman sekarang bukan macam zaman dulu-dulu dah. Kahwin umur 37 tahun pun tak ada masalah bagi orang perempuan
zaman sekarang. Kan, sayang?” Muslim mempertahankan Zara. Apabila neneknya mula
mengeluarkan hujah, dia terpaksa cari jalan membangkang sepertimana yang telah dia janjikan tadi.
Zara mengangguk laju. Mujur ada tukang penyelamat. Oh, jadi tujuan makan
tengah hari ini, agenda utamanya sebab nak bincang pasal hal kahwinlah? Kena
gastriklah nampaknya perut dia nanti.
“Mana boleh macam tu. Dah ada calon ni, eloklah dipercepat.
Kan benda baik tu,” bantah Hajah Rokiah.
“Bagilah Mus dan Zara kenal hati budi dulu, nek.” Muslim kerling Zara
penuh makna. Kata-katanya penuh tersirat.
“Dua tahun kenal, tak cukup kenal lagi ke?”
“Kalau boleh nak kenal lagi lama,” jawab Muslim. Andai nenek dia tidak
memaksa sekalipun, dia tetap perlukan masa untuk
mengenali Zara.
Hajah Rokiah mengeluh lemah. Banyak sangat alasannya. Dia cari calon
isteri untuk Muslim ditolaknya mentah-mentah tanpa tengok gambar. Kini, sudah
ada calon pilihan sendiri pun masih liat juga hendak berkahwin? Apa masalah
Muslim sekarang?
“Nenek tak fahamlah cara orang zaman sekarang ni bercinta,” rungut Hajah
Rokiah, kecewa.
Ah! Memang nenek tak akan faham pun. Zaman dahulu dan sekarang, mana
sama. Kenapalah nenek aku ni suka sangat suruh ikut cara orang lama bercinta? Hati Muslim menggerutu.
“Nek, kita cakap kemudianlah pasal hal ni. Mari kita makan dulu. Kesian
Zara. Dah lapar dah perut dia tu.” Muslim sengaja menggunakan alasan itu untuk
mematikan bicara Hajah Rokiah.
Cadangan Muslim dipersetujui oleh Encik Syukri. “Yalah, mak. Kita makan
dulu ya. Dah nak sejuk dah semua lauk-pauk ni.”
Hajah Rokiah akur. Sambil makan dia turut memerhati sikap Zara. Timbul
rasa kagum apabila melihat Zara bijak menyesuaikan diri. Bukan hanya pandai
bersembang, malah pandai juga mengambil hatinya dengan menolong mencedok lauk
untuk dia dan anak menantunya. Hatinya sudah jatuh berkenan dengan calon
pilihan Muslim itu.
“Awak nak ikan lagi?” Zara tanya Muslim apabila melihat isi ikan kerapu
masak stim di dalam pinggan Muslim sudah licin dimakan.
“Ehem!” Muslim berdeham tiba-tiba.
Zara kerut dahi dan terpinga-pinga. Apa pula yang tak kena dengan Muslim
ni?
“Sayang, boleh hulurkan air untuk abang?” pinta Muslim.
Glup! Zara telan air liur. Patutlah Muslim berdeham tadi. Rupa-rupanya
dia tersasul bahasakan nama panggilan mereka. Huh! Nak juga panggil
abang-sayang. Mengada-ada betul mamat sengal ni. Lagi satu, air duduk
betul-betul di depan mata pun nak suruh dia ambil juga ke? Macamlah tangan
Muslim tu patah. Nak tak nak, dia terpaksa ikut rentak Muslim.
“Minum perlahan-lahan, abang,” kata Zara sewaktu menghulur gelas kepada
Muslim.
Muslim senyum meleret. Dia mengangguk. Kalau hatinya diibaratkan seperti
ais, memang sudah lama ia cair jadi air. Dengar Zara sebut perkataan abang
jiwanya bergetar hebat. Itu baru berlakon. Kalau betul-betul? Memang semua ini
gila!
USAI makan, Muslim dan Zara
terus meminta diri pulang ke pejabat. Hanya tinggal Hajah Rokiah bersama Puan
Mariam dan Encik Syukri sahaja berbual-bual di meja makan.
“Macam mana, mak? Mak suka ke dengan calon pilihan Muslim tadi?” tanya
Puan Mariam kepada Hajah Rokiah. Teringin juga nak tahu pandangan ibu mentuanya
itu tentang Zara.
Hajah Rokiah tersenyum seraya mengangguk. “Suka. Memang hati mak berkenan
sangat tengok orangnya. Pandai betul dia ambil hati. Yam pulak macam mana?”
“Yam pun suka jugak, mak. Tengok cara dia layan Muslim makan tadi, Yam
rasa macam dia tu dah jadi isteri Muslim pulak. Sejuk hati Yam tengok. Kalau
nak kahwin memang dah lulus sangat dah tu,” nyata Puan Mariam. Kemudian dia
pandang suaminya di sebelah. “Pendapat abang macam mana?”
“Kalau orangnya cantik dan berbudi bahasa macam tu, apa lagi yang abang
nak cakap? Memang sudilah buat jadi menantu.” Encik Syukri membalas secara
berseloroh sekali gus mengundang tawa Puan
Mariam dan Hajah Rokiah. Dia akui cakap Muslim malam tadi dan tarik semula kata-katanya.
“Mak rasa mak nak percepat perkahwinan dia
orang. Kamu berdua setuju tak?” Hajah Rokiah menyatakan hasratnya.
Puan Mariam dan Encik Syukri berbalas pandangan seketika.
“Kami tak kisah, mak. Cuma... tak tahulah Muslim setuju ke tak,” nyata Puan Mariam turut mewakilkan jawapan bagi
pihak Encik Syukri.
“Kahwin dengan kekasih sendiri takkanlah dia tak nak?”
“Tapi, Yam tengok tadi dia macam mengelak aje masa mak suruh dia dan Zara
kahwin cepat-cepat.”
Hajah Rokiah terdiam memandang menantunya itu sebelum bersuara semula.
“Kamu berdua jangan bimbanglah. Biar mak sendiri yang bincang dengan dia.
Pandai-pandailah mak desak sampai dia setuju,” ujar Hajah Rokiah meyakinkan
Puan Mariam dan Encik Syukri.
Puan Mariam toleh ke arah Encik Syukri
sekali lagi. Suaminya mengangguk tanda setuju.
“Biarlah mak yang cakap. Cakap kita ni dia susah sikit nak dengar. Asyik
ikut kepala dia sendiri aje selama ni,” kata Encik Syukri, bersetuju dengan
kata-kata Hajah Rokiah tadi.
“Yalah. Kalau macam tu, mak buatlah apa-apa yang patut sampai dia
setuju.” Puan Mariam menyokong kata-kata Encik Syukri.
Senyum di bibir Hajah Rokiah kian melebar. Dalam hati dia berikrar akan
melakukan apa sahaja untuk pastikan Muslim naik pelamin pada tahun ini.
“Habis tu, Ros Maria macam mana pulak,
mak? Kalau cakap tak jadi, keluarga dia boleh terima ke? Yalah, kan mak dah
beritahu dia orang mak nak jodohkan Ros Maria dengan Muslim. Takutlah dia orang
berharap pulak.” Encik Syukri membangkitkan perihal gadis yang menjadi calon
pilihan emaknya sebelum itu.
“Pasal soal tu tahulah mak selesaikan dengan mereka nanti. Hari tu mak
memang ada cakap berkenan nak jodohkan si Ros tu dengan Muslim. Tapi, awal-awal
mak dah kata dekat dia orang, mak cuba dulu pujuk Muslim dan tak semestinya
semua tu jadi. Alah, pandai-pandailah mak kelentong. Keluarga dia orang baik.
Tentu mereka boleh terima dan faham,” ujar Hajah Rokiah meredakan kerisauan
Encik Syukri.
Encik Syukri mengangguk. “Harap-harap macam
tulah.”
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment