“HAPPY birthday to you, Min.” Pipi gebu Jasmin dikucup kiri
dan kanan. Kemudian Hanis menghulur hadiah.
“Terima kasih, Hanis. Aku gembira kau datang,” ucap Jasmin
tersenyum senang hati.
“Orang dah jemput mestilah datang. Tapi, lain kali boleh tak
buat tema yang realistik sikit dan tak merepek macam ni,” balas Hanis sambil
mengerling Heris di sebelah. Kasihan Heris terpaksa jadi mangsa. Nasiblah...
Jasmin tergelak. Begitu juga dengan Heris.
“Kalau buat tema macam ni senanglah sikit aku nak tahu
dengan siapa kau sekarang. Itu boyfriend atau suami?” tanya Jasmin kini
mengalih perhatian kepada teman Hanis itu.
“Dua-dua salah. Heris ni kawan biasa aku aje.” Hanis
membetulkan tanggapan Jasmin.
“Tapi nampak secocok,” usik Jasmin lagi sambil dipersetujui
oleh Heris yang membuat isyarat bagus kepadanya.
“Merepeklah kau ni!”
“Okey, okey... Apa-apa ajelah. Tapi kalau betul-betul
berjodoh jangan lupa jemput aku makan nasi minyak tau.”
Hanis cubit lengan Jasmin. Memandai sahaja Jasmin ni. Namun,
dia tidak mengambil serius dengan gurauan gadis itu. Mengenalinya sejak belajar
di universiti, memang begitulah sikap Jasmin. Suka sangat mengusik dia.
“Hanis, Heris, jemputlah masuk dan makan. Enjoy apa yang
ada. Sekejap lagi aku datang join kau orang kat dalam. Aku tunggu semua tetamu
sampai dulu,” pelawa Jasmin mesra.
Hanis pamit Heris pergi ke pekarangan kolam renang dan
berdiri di satu sudut. Sesekali dia menegur dan berbalas lambaian dengan
beberapa orang kenalan yang dikenalinya.
Suasana majlis itu meriah dengan bunyi alunan muzik dan
suara para tetamu bergelak ketawa. Heris memerhati gelagat mereka sambil
kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak muzik yang dipasang. Semuanya
dilihat berkepit dengan pasangan masing-masing. Tetapi, tidak diketahui sama
ada hubungan itu atas dasar apa. Mungkinkah suami isteri, kekasih atau
setidak-tidaknya hanya sekadar kawan sebagaimana dia dengan Hanis?
“Heris, awak nak minum? Kalau nak, saya ambilkan air untuk
awak sekali,” tawar Hanis.
“Tak apa ke awak pergi sorang-sorang? Nak saya temankan?”
soal Heris. Sepatutnya, sebagai lelaki dialah yang pergi ambil. Ini sebaliknya
pula.
“Tak apa. Awak tunggu aje saya dekat sini ya.”
“Okey. Terima kasih.” Heris memerhati Hanis berlalu pergi
dan tersenyum sendirian. Entah mengapa malam itu dia berasa bahagia sekali
dapat berdampingan dengan Hanis.
MATA Izam melilau-lilau mencari kelibat Rehan yang hilang
entah mana. Rasa macam tunggul sahaja apabila ditinggalkan terkontang-kanting
sendirian begini. Teruk betul cara Rehan melayannya. Menyesal pula dia turutkan
kehendak Rehan datang ke sini. Apabila bayang Rehan gagal dijumpai, dia pergi
ke meja minuman untuk membasahkan tekak. Ketika mencapai gelas, tanpa diduga
ada satu tangan lain yang turut memegang gelas tersebut. Izam tersentak dan
terus melepaskannya.
“Maaf...” ucap Izam dan pemilik tangan tadi serentak.
Mereka bertemu mata dan kedua-duanya saling tergamam.
“Hanis?”
“Izam?”
“Ak... aku...” Izam hilang kata-kata hendak berbicara.
Oh, Tuhan! Hanis, gadis yang dicari-cari selama 10 tahun
akhirnya muncul di depan mata. Rindunya terpadam saat itu juga.
Hanis juga masih belum hilang dilanda rasa terkejut. Dia
berasa tidak percaya melihat lelaki yang berdiri di hadapannya adalah Izam. Tidak
semena-mena dadanya didatangi sebak. Air mata mula bergenang. Sekuat hati dia
cuba menahan daripada luruh.
“Tak sangka kita boleh jumpa dekat sini. Aku rasa semua ni
macam mimpi,” kata Izam setelah agak lama berdiam diri.
Wajah Hanis ditatap tanpa kelip. Hanis sudah dewasa dan
semakin cantik juga! Terpegun dia melihat penampilan Hanis yang anggun memakai
gaun labuh berwarna emerald green. Gaya rambut Hanis yang disanggul ke bawah
dan bahagian pony dibuat bergelombang ke atas menambahkan lagi kecantikannya.
Cukup menambat hati.
“Kenapa tengok aku macam tu? Ada yang tak kena ke?” Hanis
berasa tidak selesa. Walaupun sudah lama mengenali Izam, namun malam ini terasa
seperti pertemuan pertama mereka. Janggal dan kekok.
“Aku rasa aku dah jatuh cinta pandang kedua dekat kau.” Izam
membalas selamba.
Hanis berusaha mengawal rasa malu yang semakin menebal
hadir. Hilang kata-katanya hendak membalas. Baru berjumpa Izam sudah tidak
segan-segan hendak mengurat dia. Macam zaman sekolah dahulu.
“Kau apa khabar?” soal Hanis cuba menutup rasa gugupnya.
Tidak keruan rasanya apabila direnung begitu oleh Izam.
“Baik. Dan rasa bertambah baik bila jumpa dengan kau.” Izam
tersenyum. Kini dia berharap agar masa tidak akan cepat berlalu supaya dia
dapat menghabiskan masa bersama Hanis lebih lama lagi.
Melihat reaksi Hanis yang tampak segan hendak berbual
dengannya, Izam capai gelas berisi air oren yang sudah tersedia di atas meja
lalu menghulur kepada Hanis.
“Minumlah. Aku belanja,” gurau Izam.
Dia menarik nafas lega kerana berjaya memancing ketawa
Hanis. Ah, dia rindu sekali mahu bercanda dengan gadis itu kerana gelak tawa
Hanis begitu mendamaikan perasaannya. Seperti yang dia rasakan sekarang.
“Terima kasih,” ucap Hanis lalu minum beberapa teguk
menghilangkan rasa dahaganya.
“Kau sorang aje ke?”
“Berdua.”
Izam dan Hanis menoleh serentak apabila terdengar ada suara
lain menyampuk perbualan mereka.
“Heris...” Hanis tergamam.
“Patutlah lama sangat awak pergi. Bersembang dengan kawan
rupanya,” kata Heris membuatkan Hanis mula dihimpit rasa bersalah.
“Heris, saya minta maaf. Saya tak berniat nak buat awak
tertunggu lama. Err... Nah, air untuk awak,” kata Hanis seraya menghulurkan
minuman kepada Heris.
“Air ni untuk pujuk saya ke?”
“Saya betul-betul tak sengaja tadi. Maaf ya?”
Heris mengambil gelas
dari tangan Hanis sambil berkata, “Saya tak marah pun. Cuma merajuk sikit aje.”
Hanis tergelak dan menarik nafas lega. Heris yang dia kenal
mana pernah marah. Orangnya tenang-tenang sahaja.
Izam yang menyaksikan gurau senda kedua-duanya mula
berteka-teki dalam hati. Hanis dengan lelaki yang bernama Heris itu nampak
mesra semacam. Apa perhubungan mereka? Adakah Hanis sudah berkahwin? Takkanlah!
Izam cepat-cepat menepis telahan hatinya. Kalau suami, mustahil Hanis panggil
lelaki itu guna panggilan nama. Ah, ada juga pasangan suami isteri membahasakan
diri begitu dan bercakap seperti kawan. Suara hatinya yang lain pula bersuara,
membuatkan dia semakin tidak keruan memikirkan semua kemungkinan tersebut.
“Siapa ni, Hanis? Suami kau ke?” soal Izam mendapat
kepastian. Wajah Heris dipandang atas bawah. Tampan dan segak orangnya. Nampak
serasi sahaja berdampingan dengan Hanis.
Nak tergelak Heris dengar pertanyaan Izam itu. Namun, dia
aminkan kata-kata Izam tadi dalam hati semoga menjadi kenyataan suatu hari
nanti.
“Bukan suami. Kawan dia aje, bro. Tapi mesra,” jelas Heris
sambil menjeling Hanis. Keningnya dijongket.
Hanis menyiku perlahan lengan Heris sebelum
memperkenalkannya kepada Izam. Kedua-duanya saling berjabat tangan.
“Dah lama ke kenal dengan Hanis?” Heris menyoal Izam usai
bersalaman.
“Izam ni kawan lama saya, Heris. Kawan zaman sekolah
menengah dulu,” celah Hanis menjawab bagi pihak Izam.
Izam angguk mengiakan.
“Oh, ingatkan kekasih lama,” seloroh Heris sambil tertawa.
Berderau darah Hanis mendengar gurauan Heris. Matanya naik
ke wajah Izam yang turut sama terkedu. Dia yakin Heris tidak tahu-menahu
mengenai sejarah cinta mereka dahulu. Mungkin niat Heris hanya ingin mengusik
mereka tanpa menyedari kata-katanya itu adalah benar.
“Kau datang dengan siapa?” Hanis cepat-cepat mengalih topik.
Izam serba salah hendak menjawab pertanyaan Hanis. Haruskah
dia berselindung tentang status dirinya yang sebenar?
“Dengan...”
“Izam! Kat sini awak rupanya. Puas saya cari awak tadi,” celah
Rehan yang tiba-tiba datang mendekati Izam dan memaut erat lengan lelaki itu.
Izam tersentak dan tidak jadi meneruskan bicara tadi. Dia
tunduk memandang lengannya. Kenapa dengan Rehan ni? Mesra lain macam sahaja,
getusnya hairan. Dia cuba meleraikan tangan Rehan namun gagal kerana Rehan
memegang kejap.
Hanis terkedu lagi. Selain terkejut melihat aksi mesra, dia
juga berasa tidak sedap hati menatap wajah gadis yang berdamping dengan Izam
itu. Adakah benar tanggapan yang sedang bermain di fikirannya pada saat ini?
“Hanis, Heris, kenalkan, ini Rehan. Tunang aku.”
Lambat-lambat Izam menyebut perkataan tunang.
Dia mencuri pandang ke wajah Hanis untuk melihat reaksinya.
Senyum di bibir Hanis sudah tidak semanis tadi. Tidak semena-mena dia rasa
bersalah terhadap Hanis.
“Hai...” Rehan melambai tangan kepada Heris. Apabila matanya
berkalih ke wajah Hanis, dia terdiam sejenak sambil cuba mengingati sesuatu.
“Eh, rasanya kita pernah jumpa, kan? Bukan awak ni pemilik
butik Hanaqi Couture ke? Cik Hanis Aqilah?” Dia ingat. Hanislah orang yang
berurusan dengannya sewaktu datang ke Hanaqi Couture beberapa minggu sebelum
itu.
Ada seorang rakan yang telah mencadangkan kepadanya supaya
tempah baju pengantin di butik itu kerana pakej yang ditawarkan berpatutan.
Rekaannya juga menarik dan ada kelainan. Disebabkan itulah dia tidak berfikir
panjang dan terus bersetuju menggunakan khidmat Hanis sebagai pereka baju
perkahwinannya.
Hanis menarik nafas dalam-dalam meleraikan gelodak rasa yang
mengasak jiwa. Benarlah firasatnya tadi. Gadis itu tunang Izam! Dan... hatinya
patah seribu.
“Ya, saya Hanis Aqilah. Panggil Hanis aje,” kata Hanis.
Ditutup rasa sedihnya dengan senyuman.
Izam kerut muka memandang Rehan. “Macam mana awak kenal
Hanis?”
Rehan mendongak. Pelik dia mendengar pertanyaan Izam itu.
“Takkanlah awak tak kenal? Hanis kan designer baju pengantin kita. Hari tu awak
dah pergi butik dia kan, bincang pasal baju pengantin tu?”
Jantung Izam seperti direntap mendengar kata-kata Rehan. Dia
tidak pernah tahu semua itu sebab urusan baju pengantin Rehan yang uruskan.
Jadi, Hanis juga turut menjadi orang penting yang terlibat dalam persiapan
kahwinnya? Apa maksud semua ini?
“Sebenarnya, urusan baju tu masih belum selesai lagi sebab
saya tak jumpa pun dengan Hanis hari tu,” akui Izam terus terang.
Mata Rehan terbuntang. Darahnya mula menyirap. Dia memang
tidak suka dengar pengakuan itu.
“Habis tu, awak pergi ke mana? Kan saya dah pesan dekat awak
suruh ke sana dan selesaikan semua tu?” Suara Rehan meninggi memarahi Izam. Dia
tidak peduli lagi apa tanggapan Hanis dan Heris terhadapnya yang turut
menyaksikan perang mulut antara dia dengan Izam.
“Saya pergi. Tapi lewat sikit sebab saya ada banyak kerja.
Masa saya sampai sana, butik tu dah tutup.” Sementelah, dia telefon Rehan untuk
dapatkan nombor telefon Hanis, Rehan tidak jawab panggilannya. Jadi, bukan
salah dia seorang.
“Memanglah dah tutup kalau awak datang lambat. Saya suruh
awak pergi pukul berapa? Awak pergi pukul berapa? Teruk betullah awak ni! Minta
tolong sikit pun payah.” Rehan mengetap bibir. Sakitnya hati dia dibuat Izam.
“Saya bukannya sengaja nak datang lambat. Kan saya dah cakap
dekat awak hari tu, saya ada banyak kerja. Hal kerja saya mana boleh tinggal
macam tu aje.” pertahan Izam. Dia kata tidak boleh pergi, Rehan tetap memaksa.
Sekarang, masih salah dia juga ke?
“Alasan! Saya tahu, awak memang sengaja tak nak tolong saya.
Bukannya saya tak tahu perangai awak yang lebih pentingkan kerja daripada fikir
perasaan orang! Eii... saya dah bosanlah dengan awak ni!” Rehan terus mengangkat
kaki dari situ.
“Rehan!” teriak Izam. Namun, Rehan langsung tidak berpaling.
Kelibatnya hilang di celah-celah kehadiran tetamu lain.
Hanis dan Heris pula hanya mampu berbalas-balas pandangan.
Tidak terkeluar sepatah kata pun dari bibir masing-masing.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment