Benci Tanda Sayang 3
ADIB
bersiul-siul kecil sambil mengatur langkah keluar dari biliknya. Sudah
melewati waktu tengah hari. Seluruh pejabatnya sudah bergelap,
menandakan semua orang sudah keluar makan tengah hari. Perutnya juga
turut memberi isyarat yang sama. Di rumah tadi dia tidak sempat
bersarapan. Hanya sempat menjamah secawan kopi sahaja. Tambahan pula,
pagi tadi dia ada mesyuarat dengan Encik Marzuki, jurutera dari Syarikat
Alam Bina yang bekerjasama dengan syarikatnya dalam perlaksanaan projek
perumahan yang sedang dijalankan sekarang. Bimbang terlewat sampai, itu
yang membuatkan dia tidak sempat bersarapan.
Adib berjalan
melintasi kaunter hadapan pejabatnya untuk menuju ke arah pintu. Namun,
sebaik sahaja dia ingin menarik pintu, dia perasan sesuatu. Dia
memusingkan badannya semula dan menuju ke arah kaunter.
“Dah
pukul 1.00 ni. Awak tak keluar makan ke?” tanya Adib menegur sesusuk
tubuh manusia yang sedang lena beralaskan lengan di atas meja sebaik
sahaja dia menghampiri.
Diam. Tidur mati ke? Kepalanya terjenguk-jenguk mengamati.
“Nor...” tegur Adib lagi sambil mengetuk meja beberapa kali.
Beberapa minit kemudian barulah tegurannya itu mendapat reaksi. Nor
mendongak. Matanya yang kuyu tiba-tiba menjadi segar sebaik sahaja
pandangan matanya dan Adib bertembung. Dia terus bangun dari kerusi.
Hilang rasa mengantuknya.
“Awak tak keluar makan ke?” soal Adib semula, mengulangi pertanyaan yang sama seperti sebelumnya.
“Tak, saya dah kenyang,” jawab Nor pendek, acuh tidak acuh. Dalam hati,
dia menggerutu kerana tidurnya terganggu. Dia baru hendak
bermalasan-malasan, tetapi Adib pula datang mengacau. Kalau sehari tidak
ganggu dia, memang tidak sah agaknya Adib ni.
“Ya ke? Atau awak diet?” tebak Adib sambil senyum sinis.
Belum sempat Nor membuka mulut, Adib terlebih dahulu menyampuk.
“Alah... tak payah dietlah. Awak memang dah comel pun. Jom, ikut saya,” pelawa Adib mesra.
“Ikut Encik Adib? Nak pergi ke mana pulak?” soal Nor lantas mengerutkan dahi.
“Pergi mana lagi, pergi lunchlah. Kan dah pukul 1.00 dah ni. Jomlah, hari ni saya belanja awak makan,” ujar Adib.
Ha? Makan tengah hari dengan Adib? Nor melopong beberapa saat.
“Tak naklah. Saya baru aje lepas makan tadi. Kenyang lagi ni. Lain kali
ajelah ya. Atau mungkin Encik Adib boleh ajak orang lain,” balas Nor
yang menolak secara baik. Orang mahu tidur, dia mahu ajak makan pula.
Kalau dia sudi pun tidak tahu sama ada dia berselera ataupun tidak
hendak makan nanti.
Mata Adib kemudiannya meliar ke segenap ruang di dalam pejabat. Sesudah itu, kembali semula tertancap ke wajah Nor.
“Tapi sayangnya saya tak nampak pulak sesiapa pun yang ada dekat sini melainkan awak seorang,” kata Adib lagi.
Nor memandang ke sekeliling. Alamak, betullah. Hanya dia dan Adib
sahaja yang berada di dalam pejabat itu. Dia mula terkial-kial mencari
alasan.
“Err… betul, Encik Adib, saya dah kenyang. Lagipun,
saya ada banyak kerja yang nak kena siapkan ni. Ha, ini….” ujar Nor
sambil pantas mencapai sebuah fail yang berada di atas meja itu dan
menunjukkan kepada Adib.
Sesekali dia berpura-pura membeleknya
di depan Adib. Walaupun keadaan di dalam pejabat itu gelap dan hanya
disinari dengan cahaya dari luar cermin pejabat sahaja, tetapi dia
bersungguh-sungguh meyakinkan Adib.
Adib mendengus. Tadi
tidur, sekarang tiba-tiba pula ada banyak kerja. Huh, nak tipu dia
lagilah tu. Hari ini, dia mana ada beri apa-apa kerja pun lagi kepada
Nor. Kuat betul beralasan. Fail yang dipegang oleh Nor itu segera
dirampas dan ditutup rapat sehingga menerbangkan beberapa helai rambut
Nor ke belakang.
“Hmm... mengikut peraturan di pejabat ni,
waktu rehat adalah waktu untuk berehat dan bukannya waktu untuk membuat
kerja. Jadi, awak kena patuhi peraturan tu,” ucap Adib sedikit tegas.
“Ta... tapi...” ujar Nor mula tergagap-gagap.
“Alah, satu jam aje... Bukannya lama pun. Jomlah, ikut saya. Kalau tak
nanti, awak akan dipersalahkan sekiranya perut saya ni masuk angin,”
tambah Adib lagi.
Eh, apa kena-mengena dengan dia pula? Adib ni
mengada-ada betul. Suka benar memaksa dia buat perkara yang dia tidak
suka. Nor cuba untuk terus menolak, tetapi apabila melihat mata lelaki
itu mencerlung tajam ke arahnya, dia terpaksa akur juga. Memang dia
tidak ada pilihan lain lagi.
“Okeylah...” tutur Nor lemah.
Namun persetujuan itu bukan ikhlas daripada hati kerana dia sedikit pun
tidak berasa gembira menerima pelawaan Adib. Jika Adib mengizinkan dia
kembali menyambung tidurnya, itulah hal yang paling menggembirakan hati
dia. Tetapi sayangnya, itu semua tidak terjadi. Hampanya...
“Ha... macam tulah gadis idaman saya. Jom!” ujar Adib gembira.
Dia berasa puas apabila berjaya memujuk Nor supaya bersetuju dengan
pelawaannya. Bukan senang sebenarnya mahu mengajak Nor ke mana-mana.
Sebelum ini, dia asyik gagal sahaja. Melainkan dengan satu cara iaitu
menggunakan kuasa sebagai seorang bos! Itu sahajalah cara yang paling
berkesan. Maka, sudah pastilah dia akan terus mengguna pakai alasan
tersebut untuk menawan hati Nor selepas ini.
ADIB membawa
Nor menjamu selera di sebuah restoran makanan laut yang diberi nama
Thai Seafood Paradise. Restoran itu memang sentiasa menjadi restoran
kegemarannya untuk singgah makan. Ini kerana terdapat banyak pilihan
makanan yang memenuhi seleranya. Datang setiap hari pun dia tidak berasa
jemu.
Adib mengambil tempat duduk di hujung ruang yang
sedikit tersorok daripada pandangan orang yang lalu-lalang. Barulah
berasa selesa sedikit mahu menikmati selera bersama pujaan hati
tersayang. Namun, kelihatannya mungkin hanya dia seorang yang
berperasaan sedemikian. Apa tidaknya, reaksi Nor sejak melangkah keluar
dari pejabat sehinggalah sampai ke restoran hanya diam membisu. Sepatah
ditanya, sepatahlah yang dijawab. Mahu bersembang pun tidak seronok.
Tiada kemesraan antara mereka. Masih marah barangkali kerana dipaksa
mengikutnya datang ke situ. Atau merajuk?
Sebaik sahaja pesanan
sampai, Adib mengisi perutnya dengan penuh selera. Terasa begitu lega
apabila dapat menghilangkan rasa lapar yang mencucuk sejak dari pagi.
Tetapi berlainan pula dengan gadis yang duduk di hadapannya.
“Kenapa awak tak makan? Tak sedap ke nasi goreng tu?” soal Adib. Matanya
memandang Nor dan nasi goreng paprik di dalam pinggan itu silih
berganti.
Dia lihat makanan tersebut langsung tidak diusik
oleh Nor. Tertanya-tanya juga dia kenapa? Takkanlah tidak sedap? Makanan
dia sendiri pun sudah hampir separuh pinggan dia habiskan. Rasa seperti
mahu tambah lagi sepinggan.
“Hmm... sedap...” jawab Nor perlahan sambil mengangguk.
Nasi yang sedang dikunyah oleh Adib bagaikan mahu tersembur keluar.
Adib tidak dapat menahan ketawa. Dia ketawa berdekah-dekah mendengar
jawapan Nor. Hai, dia buat lawaklah pula. Mujur tidak tercekik nasi yang
dia telan.
“Awak ni... kelakar jugak ya,” ujar Adib usai meneguk jus oren di dalam gelas yang terletak di sebelah kirinya.
Nor mengerut dahi kehairanan. Dia tertanya-tanya sendiri mengapa Adib
tiba-tiba sahaja ketawa macam orang yang sedang menonton lawak Mr. Bean.
“Kenapa Encik Adib ketawa? Apa yang lucu sangat?” soal Nor,
menahan perasaan geram di hati. Mahu dikatakan dia sedang membuat lawak,
dia bukannya masuk rancangan Maharaja Lawak pun.
“Tak adalah,
jawapan awak tu. Macam mana awak tahu makanan tu sedap kalau awak
sendiri pun belum makan lagi? Nasi tu beritahu awak ke?” soal Adib lalu
kembali dalam ketawa yang masih lagi tersisa.
Mata Nor jatuh
ke pinggan yang berada di depan matanya. Eh? Dia hilang kata-kata. Ah,
terkena pula dia. Patutlah Adib ketawa sakan. Wajahnya mula terasa
membahang. Tiba-tiba sahaja dia berasa malu dengan Adib. Adib pun satu,
siapa suruh tanya dia soalan macam tu? Itu sahajalah jawapan yang dia
boleh jawab pun. Jawapan yang paling selamat dia kira. Tetapi tidak
sangka pula sampai boleh menjadi bahan ketawa Adib.
“Itulah...
lain kali, jangan buat lawak di depan saya. Nanti lagi kuat saya
ketawakan awak. Kalau sedap, habiskanlah nasi tu. Tak payah nak
malu-malu dengan saya. Kalau awak malu, lapar ajelah yang awak dapat,”
ujar Adib lagi seakan-akan cuba meredakan perasaan malu Nor. Dia tahu,
Nor malu dengannya. Raut wajah Nor yang merona merah telah memberi
jawapannya.
“Saya dah kenyanglah, Encik Adib. Kan saya dah cakap tadi saya dah makan,”
getus Nor.
Adib segera meletakkan sudu yang dipegangnya di atas pinggan. Kemudian,
dia mengesat perlahan mulutnya dengan kain napkin putih yang terletak
di atas riba. Jus oren disedut buat sekian kalinya sebelum matanya
beralih lama ke wajah Nor.
“Setakat makan biskut dan cicah
dengan air Milo, kenyang ke? Mana ada orang kenyang setakat makan macam
tu? Kalau nak diet sekalipun, janganlah melampau-lampau sangat.” Adib
menegur dalam senyum.
Ah, bukan dia tidak nampak di atas meja
Nor tadi ada secawan Milo dan sepaket kecil biskut Tiger. Kalau dia
sendiri makan biskut itu pun dia tidak akan berasa kenyang sampai ke
petang. Sekadar buat alas perut bolehlah.
Nor berdeham kecil.
Dapat malu lagi. Isy, Adib ni tahu sahaja semua perkara yang dia makan
dan dia buat. Setahu dia, di pejabat bukannya ada CCTV pun. Entah-entah,
Adib membela hantu raya kut.
“Mana ada saya diet. Saya cuma...” ucap Nor namun kata-katanya segera dipintas oleh Adib.
“Sudahlah, jangan nak buat apa-apa alasan lagi. Habiskan nasi tu cepat.
Selagi awak tak habiskan nasi tu, kita takkan keluar dari restoran ni,”
ujar Adib tegas sambil menyandarkan badannya di kerusi dan berpeluk
tubuh memandang Nor.
Nor mengetap rapat bibir dan
menyumpah-nyumpah Adib dalam hati. Mahu tidak mahu, dipaksa juga dirinya
untuk menelan nasi goreng tersebut sehingga habis. Adib kejam!
© Reeani Annur 2013 - Benci Tanda Sayang
No comments:
Post a Comment