“MAK, Nor rasa Nor nak berhenti kerjalah.” Hasrat itu
tiba-tiba sahaja terbit dari bibir Nor ketika dia dan ibunya sibuk membuat
persiapan untuk makan malam di dapur.
Tangan Mak Eton yang sedang rancak memotong sayur terhenti.
Wajah Nor yang duduk di depannya itu direnung lama.
“Kenapa pulak ni? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba
saja nak berhenti kerja?” soal Mak Eton kehairanan.
“Makin lama makin tak seronoklah bekerja kat situ. Nor
ingat, Nor nak cari kerja kat tempat lainlah pulak,” balas Nor.
Mak Eton mengeluh perlahan.
“Orang lain ramai yang duk cari kerja, susah nak dapat
kerja, kau pulak senang-senang aje nak berhenti kerja? Kau ingat, sekarang ni
senang ke nak dapat kerja? Dah ada kerja tu, dah kira beruntung tau. Kalau ada
masalah yang remeh-temeh kat tempat kerja tu, bersabar sajalah,” nasihat Mak
Eton. Dia menggeleng kepala mengenangkan sikap Nor itu. Seperti tidak bersyukur
pun ada juga.
“Mak tak faham…” balas Nor bersuara lemah. Cakap memanglah
senang. Tetapi yang melalui semua itu adalah dia seorang. Tidak tertanggung
rasanya dia dengan masalah yang dihadapi di pejabat sekarang. Serabut apabila
difikirkan.
“Ini mesti ada kaitan dengan Adib tu, kan? Kenapa? Apa yang
dia dah buat dekat
kau?” soal Mak Eton, inginkan kepastian.
“Malaslah cakap fasal hal dia,” jawab Nor sambil mencebik
bibir.
Dengar nama pun sudah berasa menyampah, usahkan hendak
bercakap tentang dia pula. Hakikatnya, dia memang tidak boleh dengar nama Adib.
Rasa panas semacam sahaja telinga dia. Lama-lama tidak mustahil boleh keluar
api kalau asyik nama itu yang singgah ke pendengarannya.
Mak Eton sekadar senyum. Memang dia sudah dapat menduga. Dia
perasan, sejak akhir-akhir ini Nor banyak merungut tentang sikap lelaki itu.
Boleh jadi, itulah punca yang membuatkan dia mahu berhenti kerja.
“Orang lelaki ni, biasalah. Kalau dah suka, macam-macam
perkaralah yang dia cuba nak buat,” ujar Mak Eton.
“Eh, apa yang mak merepek ni?” soal Nor seolah-olah tidak
mengerti. Padahal, dia memang sudah sedia faham maksud kata-kata ibunya itu.
Ah, macam tahu-tahu sahaja ibunya itu.
Mak Eton menjuihkan bibir.
“Alah, kau ingat, mak ni tak tahu ke yang si Adib tu suka
dekat kau? Yang kau ni pulak menyampah sangat dengan dia tu, kenapa?” soal Mak
Eton hairan. Tidak faham sungguh dia dengan sikap Nor.
“Siapa yang tak menyampah, mak? Perempuan dah keliling
pinggang, tapi masih gatal nak mengurat perempuan lain. Dahlah selalu bawa
perempuan masuk dalam pejabat. Eii, tolonglah. Nor tak sukalah dengan lelaki
macam tu!” balas Nor.
Dia memicit-micit batang sawi yang dipegangnya itu sehingga
lunyai, melepaskan perasaan geramnya terhadap Adib. Tetapi memang dia pantang
benar dengan sikap lelaki seperti itu. Senang-senang sahaja mempermainkan
perasaan orang lain. Itulah sikap Adib yang paling dia berasa jengkel. Meluat.
“Jadi, memang betullah Adib tu sekarang tengah mengurat kau
ya? Hmm... patutlah kau marah sangat. Sampai nak berhenti kerja. Habis, kalau
tak ada perempuan keliling pinggang dia, kau sukalah ya?” soal Mak Eton lagi.
Nor menepuk dahi. Aduh, sekali dia pula yang terkena dengan
ibunya.
“Isy! Mak ni, dah mulalah tu nak mengarut,” omel Nor.
Mak Eton merenung wajah Nor yang mencuka itu. Dia
seakan-akan mengerti apa yang sedang bergolak dalam diri Nor.
“Nor, dengar cakap mak. Kita ni, jangan cepat sangat buat
tanggapan pada orang kalau hanya sekadar melihat dari luaran. Kena kenal dulu
hati budi, baru boleh buat penilaian. Dah berapa kali mak cakap, buka hati dan
perasaan kau tu. Jangan pandang semua perkara sama aje. Kalau dia buruk
sekalipun, bukan hak kita untuk menghukum dia,” nasihat Mak Eton lagi kepada
Nor.
Dia tidak mahu Nor berterusan menghukum orang lain hanya
kerana kenangan silamnya yang ternyata tidak menyebelahinya. Mak Eton tahu,
Adib bukanlah seburuk yang disangkakan oleh Nor. Daripada pengamatannya, dia
dapat merasakan bahawa Adib seorang lelaki yang baik. Barangkali Nor sahaja yang
terlalu mengikut hati dan perasaannya.
“Lelaki, mak. Sama aje semuanya. Mak janganlah nak
sebelahkan dia sangat. Hati dan perasaan Nor ni, memang takkan terbuka dengan
orang macam dia tu,” tegas Nor.
Mak Eton menggelengkan kepala sambil mengeluh panjang.
“Mak bukannya nak sebelahkan dia. Tapi, mak cuma nak
ingatkan kau aje. Kadang-kadang, apa yang kita benci tu, itulah yang akan jadi
kesukaan kita nanti. Jangan hari ni kau cakap kau benci dia, esok lusa kau
cakap kat mak kau suka dia pulak,” kata Mak Eton lagi.
Nor sedikit tersentap. Mujur tidak terhiris jari tangannya
oleh mata pisau yang sedang dipegang itu. Isy, ibu dia ni... kalau fasal Adib,
tidak pernah ada yang salah. Semuanya baik-baik sahaja.
“Eii, mak ni... ke situ pulak,” balas Nor. Dia bagaikan
hilang kata-kata.
“Dulu, mak pun macam kau jugak. Benci dekat arwah ayah kau
tu. Tapi lama-lama, jadi sayang. Kau tengok, sampai ke akhir hayat ayah kau,
jodoh kami kekal. Sebab tulah orang selalu cakap, kalau kita bencikan sesuatu,
jangan keterlaluan sangat. Takut jadi macam itulah nanti. Kau faham kan maksud
mak ni?” sambung Mak Eton mengangkat kening, memandang Nor lama.
“Alah, mak ni... Jodoh setiap orang tu takkan sama. Mak
janganlah berdoa macam tu pulak dekat anak mak ni. Dahlah, mak, tak payahlah
kita cakap fasal soal jodoh ni. Bukannya Nor dah nak kahwin pun,” ujar Nor
seraya bingkas dari kerusi dan berjalan menuju ke singki.
Sengaja dia cuba melarikan diri daripada ibunya. Kalau
bercakap fasal hal Adib dengan ibunya memang dia sentiasa kalah. Malaslah dia
mahu memanjang-manjangkan semua itu. Nanti semakin melarat-larat pula. Lagi
teruk dia kena hentam ada. Sawi yang telah dipotong itu dibilas dengan air
paip. Tetapi kata-kata ibunya terus terngiang-ngiang di telinga. Benarkah
kebencian itu boleh bertukar menjadi cinta?
RINA menolak pintu masuk pejabat Morphosis Archiland dengan
kuat. Dia menuju ke arah kaunter hadapan pejabat tersebut kemudian mengetuk
meja kaunter beberapa kali.
“Adib, please,” ujar Rina sambil menjeling sekilas ke arah
gadis yang duduk di kaunter tersebut. Kaca mata hitam besar yang dikenakan
kemudiannya disisipkan ke atas kepala.
Nor mendongak. Hatinya mengeluh. Seorang lagi buah hati
kesayangan Adib datang mahu melepaskan rindu. Dia memang kenal dengan gadis
yang bernama Rina itu. Jenis manusia yang sombong dan berlagak. Dalam
kebanyakan teman wanita Adib, Rinalah gadis yang paling kerek pernah dia jumpa.
Memang hatinya selalu sakit kalau berurusan dengan gadis berambut perang itu.
“Maaf, Cik Rina. Encik Adib sedang mesyuarat. Dia tak boleh
jumpa dengan sesiapa sekarang. Cik Rina ada apa-apa pesanan untuk Encik Adib?”
soal Nor lembut sambil menguntum senyuman. Ah, terpaksa pula dia menjadi
hipokrit demi mahu menjaga hati tetamu.
“Saya nak jumpa dia sekarang!” tegas Rina memandang tajam ke
arah Nor. Dia peduli apa kalau Adib sedang bermesyuarat sekalipun. Yang dia
tahu, dia datang ke situ hanya kerana mahu berjumpa dengan Adib.
“Kalau macam tu, Cik Rina boleh duduk dulu di situ sementara
tunggu Encik Adib habis mesyuarat,” balas Nor mempelawa sambil mengunjurkan ibu
jarinya ke arah sofa hitam yang terletak di sudut menunggu berhampiran.
Sebenarnya, sebelum memulakan mesyuarat tadi, Adib telah
berpesan agar dia tidak diganggu. Dia hanya menurut arahan Adib sahaja dan
bukannya suka-suka hendak mengadakan alasan.
Rina mencekak pinggang rapat. Dia berasa bengang dengan
sikap perempuan yang sedang bercakap dengan dia sekarang. Eii... perempuan
gemuk ni, nanti ada juga yang makan penampar dia, gerutunya dalam hati.
“Hei! Awak ni tak faham bahasa ke? Saya cakap, saya nak
jumpa dia sekarang! Se... ka... rang! Faham? Saya ada hal penting yang nak
bincang dengan dia ni,” arah Rina dengan nada yang tinggi. Matanya terus
mencerlung tajam ke wajah Nor yang dilihatnya terus tersenyum manis seperti
orang yang tiada perasaan.
Hai, kena tengking-tengking macam ini pun masih mampu
tersenyum lagi?
“Maaf, Cik Rina. Encik Adib dah pesan tadi yang dia tak mahu
diganggu semasa tengah mesyuarat. Jadi, kalau Cik Rina nak jumpa dia, Cik Rina
kena tunggu sampai dia habis mesyuarat,” jelas Nor lagi. Dia harap Rina faham
apa yang dia sampaikan.
Rina mendengus kuat.
“Helo! Awak ingat, saya ni ada masa ke nak kena
tunggu-tunggu orang ni, hah? Awak dengan bos awak tu, sama aje! Okeylah, kalau
awak tak nak panggilkan dia, biar saya sendiri yang pergi jumpa dengan dia!”
tengking Rina lantas dia melangkah laju menuju ke arah bilik Adib.
Kalau dia kata dia mahu berjumpa Adib, memang dia
betul-betul maksudkannya. Dia tidak mahu keinginannya itu terhalang. Lagipun,
dia ada banyak perkara mahu diselesaikan dengan lelaki itu. Apa pun yang
terjadi, hal itu tetap kena selesai hari ini juga.
Nor berasa cuak. Dia segera bangun dari kerusi dan cuba
menghalang Rina daripada masuk ke dalam pejabat Adib. Habislah dia kali ini.
Perempuan itu sudah datang penyakit gila.
“Cik Rina, tunggu!” panggil Nor. Dia segera memintas langkah
Rina yang sudah semakin hampir mahu memasuki bilik Adib. Hanya tinggal mahu
memulas tombol pintu sahaja. Dia mesti menghalang tindakan Rina itu. Nanti
tidak semena-mena pula dia dipersalahkan oleh Adib.
Rina mengetap bibir. Cerlungan matanya semakin tajam.
“Kau ni, memang perempuan tak guna. Betul-betul menyusahkan
aku, tahu tak!” getus Rina menjerit kuat lantas menolak kuat tubuh Nor yang
berdiri di depannya.
Akibat tolakan itu, Nor hilang pertimbangan dan jatuh
tersungkur ke arah sebuah pasu bunga yang terletak di ruang kiri pintu bilik
Adib. Kepala Nor terhantuk kuat mengenai bucu pasu tersebut.
“Argh!” Nor mengerang kesakitan. Terasa seperti ada cecair
pekat yang meleleh keluar. Tangannya perlahan-lahan menjamah dahi. Darah?
Kepalanya mula berpusing-pusing.
Serentak dengan itu juga, Adib muncul di muka pintu
biliknya. Dia terkejut melihat Nor yang terbaring lemah dalam keadaan dahi yang
berdarah. Dia ingin meluru mendapatkan Nor, namun segera dihalang oleh Rina.
“Hei, Rina! Apa yang you dah buat ni, hah? You dah gila ke?”
soal Adib kasar. Serta-merta dia dapat menebak bahawa Rinalah punca kejadian
itu berlaku. Kalau bukan Rina, siapa lagi? Ah, perempuan itu memang selalu
sahaja suka cari fasal dengan semua orang.
“Dia yang gila. Siapa suruh dia halang I nak jumpa dengan
you,” balas Rina sambil menjeling tajam ke arah Nor yang telah pun dipapah oleh
Saleha untuk bangun dari situ. Dia sekadar ketawa sinis melihat keadaan Nor
yang cedera. Tiada perasaan kesal yang melingkari diri atas tindakan kasarnya
tadi.
Padan muka! Itulah balasannya kalau berani cuba menghalang
keinginan aku, ujar Rina dalam hati.
Adib mendengus. Mendengar jawapan Rina itu lagilah buat dia
berasa hendak marah.
“I ada banyak kerja sekarang. I tak boleh jumpa you. You
baliklah dulu,” pinta Adib. Dia tidak mahu memanjang-manjangkan hal tersebut.
Rina mengerising mendengar kata-kata Adib.
“Banyak kerja? Banyak kerja atau you memang sengaja nak
larikan diri daripada I? Ni, mesej yang you hantar ni, apa maksud you? You cuba
nak larikan diri daripada I, kan?” soal Rina tidak berpuas hati. Telefon bimbit
yang tertera mesej daripada Adib itu dihalakan tepat ke muka Adib. Mesej yang
mengundang rasa sakit hatinya. Mesej perpisahan daripada Adib!
“Rina, please! Ni ofis I. Tolong jangan nak buat kecoh dekat
sini. You baliklah dulu. Kita bincang hal ni lain kali, okey?” pinta Adib dalam
nada yang masih terkawal. Dia cuba untuk bertoleransi dengan Rina
sebaik-baiknya.
“You halau I? Hei! I ni kekasih you tau. Selama ni, I datang
sini tak pernah ada apa-apa masalah pun. Sekarang, apa masalahnya?” soal Rina
geram.
Kalau dahulu, pejabat Adib itu bebas untuk dia keluar masuk
sesuka hatinya. Malah, Adib sendiri tidak pernah marah. Apatah lagi berani
menghalaunya keluar. Tetapi sekarang, kedatangannya seolah-olah sudah tidak
dialu-alukan lagi. Tergamak Adib memperlakukan dia begitu.
Adib mengeluh perlahan. Penat betul melayan kerenah
perempuan seorang ini. Sempat hatinya bersungut.
“You dah baca kan mesej yang I hantar semalam tu? Jadi, I
harap you faham dan sekarang, you bolehlah pergi dari sini,” pinta Adib.
“No! I takkan pergi selagi I tak dapat penjelasan daripada
you,” balas Rina. Dia terus berkeras.
“Semua tu dah jelas, kan? Jadi, you nak penjelasan apa
lagi?” soal Adib pula. Suaranya semakin tinggi dan menekan.
Pertengkaran dia dan Rina telah menarik perhatian para
pekerjanya di situ. Namun, dia sudah tidak peduli lagi.
“You ada perempuan lain, heh? Kalau tak, takkan you
tiba-tiba aje nak putuskan hubungan dengan I? Adib, I kenal you. I tahu, kalau
tak kerana you dah ada perempuan lain, you takkan buat I macam ni. I nak tahu
siapa perempuan tu!” getus Rina yang terus mendesak. Walaupun dia sedia maklum
Adib mempunyai ramai perempuan lain, tetapi Adib tidak pernah bersikap sedingin
ini. Melainkan Adib benar-benar telah jatuh cinta dengan perempuan lain.
Memang sikap Adib begitu berbeza sekali sekarang. Panggilan
telefon dan mesej yang dihantar kepadanya sudah tidak mendapat balasan seperti
dahulu. Tiada lagi kata-kata manis daripadanya. Yang ada kini hanyalah kata
putus. Semalaman dia tidak lena tidur memikirkan tentang hal tersebut. Kerana
mesej perpisahan itu jugalah yang membawa langkahnya ke pejabat Adib hari ini.
“Eh, apa yang you mengarut ni? Sudahlah, Rina. I tak ada
masa nak layan you. You balik ajelah. I ada banyak kerja nak kena buat ni,”
ujar Adib sudah tidak ada kuasa mahu melayan Rina. Dia ingin masuk kembali ke
dalam biliknya tetapi tangan Rina pantas memaut lengannya.
“Adib, tolonglah... Jangan buat I macam ni. I sayangkan you.
Please, don’t leave me. I tak boleh hidup tanpa you, sayang,” rayu Rina sambil
menangis teresak-esak. Dia memeluk erat tubuh sasa Adib.
Tidak! Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu.
Adib mengeluh. “Rina, lepaskan I!”
Pelukan Rina ditepis kasar. Dia berasa rimas dengan pujuk
rayu gadis itu.
“Adib, please... Jangan buat I macam ni. I sayangkan you. I
nak you saja dalam hidup I,” rengek Rina lagi sambil memandang wajah Adib sayu.
Dia bagaikan meminta simpati. Dia berharap Adib akan
mengubah kembali keputusan yang telah dibuatnya. Dia tidak mahu melalui
detik-detik perpisahan itu. Cintanya terhadap Adib begitu mendalam.
“Okey, kalau you berdegil tak mahu keluar dari ofis I, biar
I sendiri yang bawa you pergi dari sini. You ikut I sekarang,” arah Adib dengan
geram. Dia mencapai tangan Rina dan mengheretnya ke arah pintu masuk pejabat.
Rina memberontak dan meronta-ronta minta dilepaskan tetapi
Adib bagaikan sudah nekad. Lelaki itu seperti sudah tidak ada rasa simpati lagi
terhadapnya. Sebaik sahaja sampai di muka pintu, tubuhnya terus ditolak kasar.
Dia terjelepok di atas lantai sambil menangis.
“Mulai dari hari ni, tolong jangan datang cari I lagi. Kita
dah tak ada apa-apa hubungan, okey!” ujar Adib lantang. Pintu itu kemudiannya
dikunci rapat agar tidak dapat dimasuki oleh Rina kembali.
“Sampai hati you, Adib. Tergamak you buat I macam ni. You
memang lelaki yang tak guna! I bersumpah yang you takkan bahagia dengan
perempuan tu lepas apa yang you dah buat dekat I macam ni. You memang lelaki
yang tak guna! Tak guna!” jerit Rina
bagaikan perempuan yang sedang dirasuk. Dia meraung kuat sambil menumbuk-numbuk
pintu.
Adib tidak mengendahkan raungan Rina. Dia malas hendak
mengambil peduli lagi tentang hal gadis itu. Menyakitkan hati dia sahaja.
Disebabkan Rina, tidak semena-mena pejabat dia menjadi kecoh. Mujurlah tidak
ada tetamu lain di dalam pejabatnya pada waktu itu. Jika tidak, pasti dia
menanggung malu besar.
Inilah padahnya kalau menjalinkan hubungan dengan perempuan
yang syok sendiri. Dia baru berhasrat mahu berubah menjadi lelaki yang baik,
tetapi sudah diduga dengan bermacam-macam perkara. Jangan ada yang bunuh diri
sebab dia sudahlah.
“PERLAHAN-LAHANLAH sikit. Sakitlah!” Nor mengaduh kesakitan
apabila Saleha menekan kuat dahinya yang terluka akibat terhantuk di bucu pasu
bunga tadi.
Saleha ni bukannya hendak tolong kurangkan kesakitan dia,
tambah sakit lagi dia adalah. Macam nak bunuh dia pun ada juga. Kemudian, Nor
menyandar lesu di sofa di dalam bilik rehat itu. Tak guna betul kekasih Adib
itu. Lain kali kalau aku jumpa dia, memang aku bakar rambut karat perempuan
tidak sedar diri itu. Selepas itu, hantuk-hantuk pula kepalanya ke dinding biar
sampai lupa ingatan. Huh, geram! Hatinya tidak henti-henti menyumpah Rina.
“Kau kena pergi kliniklah, jumpa doktor. Tengok dahi tu,
bukannya luka sikit.” Saleha menasihati Nor.
“Tak apalah, Sal. Sikit aje ni. Nanti lepas tuam dengan ais
ni baiklah tu,” balas Nor tetap berkeras.
“Eii, kau ni degillah. Nantikan melarat-larat, makin teruk
pulak. Kau tak nampak ke dahi kau yang terbelah tu?” soal Saleha berdengus
geram.
“Kalau kau berhenti membebel, mungkin sakit aku ni boleh
reda sikit kut,” pinta Nor.
“Suka hati kaulah! Kalau jadi apa-apa, jangan nak salahkan
aku, okey!” bentak Saleha sambil meletakkan semula tuala kecil yang berbalut
ais ke dalam mangkuk. Dia berpeluk tubuh dan menyandarkan badannya ke sofa.
Terasa sedikit bengang dengan kedegilan Nor yang tidak mahu mendengar
kata-katanya. Sudah kebal sangatlah tu.
“Alah, sikit aje ni. Bukannya teruk sangat pun. Nanti balik
rumah, aku suruh mak aku sapukan minyak gamat pada luka ni. Lepas tu, baiklah.
Kau tak payah risau, okey. Dah, tak payahlah nak buat mulut muncung macam tu
kat depan aku. Hodohlah,” seloroh Nor sambil menyiku lengan Saleha.
Saleha menjeling sekilas.
“Sepatutnya, Rina tu patut hentak kepala kau dengan pasu
kan, baru kau rasa luka tu teruk. Baru kau ada perasaan nak jumpa dengan
doktor,” sindir Saleha.
“Isy! Mulut kau ni... sama aje macam longkang busuk kat luar
sana tu tau,” balas Nor, kemudiannya disulami gelak tawa. Sempat lagi Saleha
membuat lawak dalam keadaan dia yang sakit begini.
Saleha turut sama tergelak.
“Apalah malang sangat nasib kau ni, kan? Tak fasal-fasal
pulak jadi tempat orang yang putus cinta melepaskan kemarahan,” ujar Saleha.
Dia terkenangkan kembali kejadian yang menimpa Nor tadi. Dramatik sungguh
kejadian itu. Macam drama di dalam televisyen pun ada juga.
“Eh, kau rasa-rasa kan... Kenapa Encik Adib tu tiba-tiba aje
putuskan hubungan dia dengan perempuan tu ya? Bukan ke selama ni dia seronok
sangat berkepit dengan si Rina tu? Ke sana ke sini tak boleh berenggang
langsung,” soal Saleha berasa hairan.
Nor menjongket bahu tinggi.
“Manalah aku tahu. Kau tanyalah Encik Adib sendiri,” jawab
Nor.
“Kau dengar tak tadi, perempuan tu cakap Encik Adib ada
perempuan lain? Kau agak-agak, siapa ya perempuan tu?” soal Saleha lagi.
“Yang kau sibuk-sibuk sangat nak tahu siapa perempuan tu,
kenapa? Biarlah dia nak ada perempuan lain ke apa ke. Itu dia punya fasallah.
Lagipun, apa yang nak dihairankan? Encik Adib tu kan kaki perempuan? Memanglah
dia selalu tukar-tukar perempuan. Kalau dia tu setia pada seorang, tak adalah
pulak orang panggil dia kaki perempuan,” balas Nor lagi.
Saleha pantas menyiku lengan Nor. “Kau ni tak baik tau.
Entah-entah, Encik Adib tu memang betul-betul dah jumpa dengan seseorang yang
dah buat dia jatuh cinta. Ha... sebab tulah dia putuskan hubungan dia dengan
perempuan sengal tu. Lagipun sekarang, aku tengok dia dah jarang bawa masuk
perempuan ke dalam pejabat kita ni.”
“Kalau dah namanya kaki perempuan, tak ada maknanya nak jadi
pencinta yang setia. Kau ingat, senang ke lelaki macam dia tu nak insaf? Insaf
hari ni, esok lusa buat lagi,” ujar Nor sambil mencebik bibir.
Namun, dia tidak menafikan memang sudah ada sedikit
perubahan yang berlaku pada diri Adib. Sekarang pun, jika ada panggilan
daripada mana-mana perempuan yang mencarinya, Adib sentiasa memesan kepada dia
supaya menapisnya terlebih dahulu. Begitu juga sekiranya ada perempuan yang
datang hendak berjumpa dengan dia. Adib tidak lagi membenarkan sesiapa masuk ke
dalam biliknya dengan sewenang-wenangnya.
“Tapi aku rasa, mungkin betul kut Encik Adib tu dah jatuh
cinta pada seseorang. Entah-entah perempuan tu kau...” teka Saleha sambil
keningnya naik turun memandang Nor.
“Kau jangan nak mengarut boleh tak?” pinta Nor.
“Yalah. Kalau bukan kau, siapa lagi? Cuma kau aje yang dalam
perhatian dia sekarang. Bertuahlah kau, Encik Adib tu sukakan kau,” ucap
Saleha.
“Ah, sudahlah... Tak payah nak serabutkan kepala fikir fasal
hal dia. Banyak lagi hal lain yang lebih penting yang nak kena fikir. Ni,
kepala aku ni,” balas Nor menghalakan jari telunjuk ke dahinya.
Saleha mendengus.
“Dah tu, aku suruh kau pergi klinik kau tak nak. Bahayalah
kalau dibiarkan macam ni. Nanti kena jangkitan kuman, melarat-larat pulak,”
balas Saleha sambil menuamkan kembali tuala yang dibalut dengan ketulan ais itu
di sekitar dahi Nor. Darah sudah berhenti mengalir tetapi luka itu masih perlu
dirawat. Dia lihat, kulit di dahi Nor itu sudah mula membengkak. Risau juga
hatinya.
“Tak apalah, Sal. Aku rasa aku nak tidur sekejaplah. Kepala
aku ni rasa macam pening-pening aje. Nanti kalau Encik Adib tanya, kau beritahulah
dia yang aku tak sihat ya,” pinta Nor lagi. Dia merebahkan tubuh dan
mengunjurkan kakinya di atas sofa. Barangkali kesan hentakan kuat di pasu tadi
yang membuatkan kepalanya berasa pening.
“Yalah. Kalau macam tu, kau berehatlah dulu,“ ujar Saleha
seraya bangun.
Nor mengangguk lemah. Kemudian, dia memejam
matanya rapat. Dia harap selepas bangun daripada tidur nanti keadaannya akan
bertambah baik.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment