21 May 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 3

“BESARNYA kucing-kucing encik ni. Encik beri dia orang makan apa?” soal Husna yang teruja melihat dua ekor kucing yang duduk di dalam bakul masing-masing. Sudahlah besar, gemuk pula tu. Kalau buat peneman tidur malam-malam, mesti lena sampai ke pagi.
           
“Pembetulan. Bukan kucing aku tapi kucing girlfriend aku,” tegas Naim. Marah benar dia apabila Husna mengatakan dua ekor kucing itu milik dia. Dia memang tidak suka dikaitkan dengan kucing.
           
“Habis tu, apa yang encik nak suruh saya tolong?” Husna masih tidak nampak pertolongan apa yang perlu dihulurkannya kepada lelaki itu.
           
“Aku nak suruh kau mandikan kucing-kucing tu. Lepas tu, beri dia orang makan kenyang-kenyang. Lepas tu pulak, kau tidurkan dia orang sampai dia orang lelap.”
           
“Ha?” Husna sedikit melopong. Kalau mandi dan beri makan kucing tu memanglah dia biasa buat di rumah. Tapi kalau tidurkan kucing, tak pernah pula dia buat. Bukankah kucing tidur sendiri dan tidak perlu sesiapa menidurkannya? Apa yang lelaki ni merepek?
           
Naim menjeling Husna sekilas.
           
“Kau suka ke tak suka ke, kau kena tolong aku jugak!” desaknya lagi.
           
Eh ini bukan minta tolong lagi. Ini dah dikira memaksa. Hisy! Husna mengetap bibirnya geram.
           
Naim terus memecut laju keretanya di atas jalan raya. Akhirnya, setelah hampir sepuluh minit perjalanan mereka sampai di sebuah kawasan apartment yang cukup elit. Serba-serbi lengkap dari segi infrastrukturnya dan kelihatan sangat esklusif.
           
Husna terkebil-kebil sebaik sahaja keluar dari kereta. Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia jejakkan kakinya ke kawasan mewah begitu. Kalaulah dia yang menetap di sini, belum cukup sebulan sudah tentu dihalau keluar terlebih dahulu oleh tuan rumah sebab tak mampu nak bayar sewa.
           
“Hah, apa lagi… cepatlah angkat kucing dua ekor tu keluar!” arah Naim sekaligus menghilangkan khayalan Husna.

Husna berdengus perlahan. Ah, rasa seperti sudah jadi kulilah pula. Suka hati sahaja arahkan dia buat itu dan ini.

“Ini apartment girlfriend aku. Dia pesan kat aku tadi suruh uruskan kucing-kucing dia sebab hari ni dia balik kerja lambat. Tapi kau tahu jelah kan, aku ni tak suka kucing. Sebab tu aku minta tolong dengan kau,” terang Naim panjang lebar ketika dia dan Husna sama-sama berjalan menuju ke arah lif.
           
Husna tidak memberi reaksi apa-apa dan hanya sekadar mendengar. Patutlah beria-ia sangat nak minta tolong. Lelaki itu memang bertuah sebab terserempak dengan dia semula. Tetapi adakah dia juga bertuah terserempak dengannya?

*****

PINTU lif terbuka di tingkat sepuluh. Setiap langkah yang diatur oleh Naim hanya dituruti sahaja oleh Husna dari belakang. Tidak terkeluar sepatah perkataan pun dari mulut Naim yang sudi bertanya sama ada tangan Husna lenguh atau tidak membibit dua buah bakul di kiri dan kanan tangannya.
           
Naim kemudiannya berhenti di hadapan apartment bernombor 398 yang terletak di barisan hujung sekali.
           
“Okey, sekarang kau pergi bawa kucing dua ekor tu masuk bilik air dan mandikan dia orang sampai bersih. Ingat, jangan kau pulak yang ikut serta mandi sekali,” pesan Naim sebelum masuk meninggalkan Husna yang terkial-kial sendirian di muka pintu.
           
Husna mengelek kedua-dua ekor kucing yang bernama Anchu dan Chicky masuk ke dalam bilik air untuk dimandikan. Kedua-duanya pula tampak seperti sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak pula kedengaran bunyi suara mereka mengiau sebab takutkan air. Situasi itu membuatkan Husna berasa senang hati mengusik dengan merenjiskan air ke muka dengan mereka.
           
“Hoi! Aku suruh kau mandikan kucing tu, bukannya suruh kau main-main dengan dia orang. Cepatlah buat kerja yang aku suruh tu!” Suara Naim menyergah Husna dari muka pintu bilik air. Lain yang dia suruh buat, lain pula yang Husna buat.
           
“Saya nak mesra-mesra dengan dia orang dulu. Nak suruh dia orang biasa dengan saya,” jawab Husna sambil mendongak.
           
“Tak payahlah nak mesra lebih-lebih sangat. Aku dah tak ada masa dah ni. Karang mak nenek tu telefon, membebel pulak dia bila tahu kucing-kucing dia tak siap mandi lagi. Dah, cepat mandikan dia orang.” Naim bercekak pinggang sebelum beredar dari situ.
           
Husna hanya mencebik. Mujurlah dia ini jenis yang sukakan kucing. Bolehlah dia tunaikan permintaan lelaki itu. Kalau tidak, jangan haraplah!
           
Peralatan mandian kucing yang tersedia di dalam bakul kecil itu dibelek satu persatu. Ada shampoo, sikat dan beberapa peralatan yang lain termasuklah berus gigi. Eh, kucing pun kena berus gigi juga ke? Macam mana nak gosok ni? Husna garu kepala.
           
Namun melihat kesemua peralatan mandi itu dia dapat menebak bahawa pemilik kucing itu benar-benar menjaga kebersihan kucing-kucingnya. Kalau kucing di rumah dia, usah kata nak berus gigi, mandi pun belum tentu. Nak suruh badan bau wangi, letak bedak sahajalah.
           
Selepas siap memandikan Anchu dan Chicky, Husna memberi mereka makan sehingga kenyang. Patutlah dua ekor kucing itu besar sangat. Makan makanan yang mahal rupanya. Terbeliak mata dia apabila melihat stok makanan kucing berjenama ProDiet di dalam plastik besar yang terletak di ruang makan khas kucing tersebut.
           
Husna terkenangkan kucing-kucingnya yang hanya makan nasi dengan ikan kukus sahaja. Kucing kampung, biasalah. Makan sekadar yang termampu sahaja. Mahu makan makanan segera seperti  ProDiet itu, terpaksa catu duit belanja dialah jawabnya.
           
Sesudah itu, dibawa pula ke dalam bilik tidur khas untuk menidurkan mereka. Sekali lagi Husna tergamam apabila masuk ke dalamnya. Semua kelengkapan tidur tersedia lengkap. Bukan tidur di dalam kotak atau bakul biasa, tetapi di atas katil yang lengkap dengan bantal dan selimut. Oh, ada lampu tidur juga. Jelas menggambarkan betapa pemiliknya begitu memanjakan kucing-kucingnya.
           
Usai Anchu dan Chicky tidur, Husna keluar ke ruang tamu semula mendekati Naim yang sedang bermalas-malasan di atas sofa. Timbul rasa geram di hati apabila melihat lelaki itu begitu senang hati sekali berbaring sambil menonton televisyen.
           
“Saya dah selesaikan kerja yang encik suruh buat tu. Sekarang, boleh encik hantar saya balik?” tanya Husna. Memanglah dia kena balik. Sekarang sudah masuk waktu maghrib. Bimbang ibu dan ayah dia risau pula nanti.
           
Naim segera bangkit.
           
“Dia orang dah tidur ke?” tanya Naim.
           
“Dah,” jawab Husna sepatah.
           
“Kau tunggu sekejap. Biar aku pergi jenguk dia orang sekali lagi sama ada dah  tidur betul-betul ke atau tidur-tidur ayam je. Bukannya boleh percaya sangat kucing dua ekor tu.”
           
Naim berjalan ke arah bilik tidur Anchu dan Chicky. Apabila yakin kucing-kucing itu benar-benar telah tidur lena, Naim keluar semula dari bilik tersebut.
           
“Hah, jomlah aku hantarkan kau balik,” kata Naim sambil mencapai kunci keretanya di atas meja kaca berhampiran. Eh, pekak ke minah ni? Tadi beria-ia sangat minta hantarkan balik. Sekarang, dia ajak balik buat-buat tidak tahu pula.
           
Naim menoleh sekilas ke arah Husna yang sedang duduk di atas sofa. Laa, sudah tidur ke?
           
“Wei, bangunlah. Yang kau tidur kat sini, kenapa? Ini rumah orang, bukannya rumah kau.” Naim mencuit bahu Husna menggunakan hujung kunci keretanya beberapa kali.

“Saya kat mana ni?” tanya Husna setelah terjaga. Kelihatan seperti mamai sedikit. Ah, tidak sedar bagaimana dia boleh terlena. Mungkin kerana terlalu letih berjalan hari ini. Letak kepala sekejap sahaja pun terus terlelap.
           
“Kat bilik aku,” jawab Naim.
           
“Hah!” Husna terloncat. Dia terus bangun dari sofa.
           
Naim ketawa terbahak-bahak. Geli hati betul dia melihat gelagat Husna yang kelihatan cuak itu. Tahu pun takut. Macamlah aku ada hati sangat mahu tidur dengan kau! Kata Naim di dalam hati.
           
“Kau boleh tanya aku, kau ada dekat mana? Tidur tak sampai lima minit pun dah boleh lupa. Apalah kau ni. Kau ni ada penyakit nyanyuk ke?” perli Naim.
           
“Saya letih sangat tadi,” balas Husna sambil menenyehkan matanya beberapa kali.
           
“Alah, baru minta tolong sikit dah merungut letih? Macamlah berat sangat kerja yang kau buat tu.”  Naim mencebir lagi.
           
Husna menggigit bibir. Lelaki di depan dia ni memang terlebih makan cili burung agaknya. Dia bukan penat sebab itulah. Dia penat sebab hari ini hampir sehari suntuk dia berjalan turun naik ke pejabat orang cari kerja.
           
“Kalau macam tu, kenapa encik sendiri tak buat? Kenapa paksa saya buat?” bidas Husna pula. Satu jelingan tajam dilemparkan ke arah Naim.
           
“Sebab aku ni tak suka kucing. Lagi satu, sebab aku malas nak kotorkan tangan aku pegang kucing yang ada berjuta-juta kuman dan bakteria tu. Dahlah, cepat keluar. Nanti kalau girlfriend aku nampak aku bawa masuk perempuan dalam rumah dia, mengamuk pulak dia nanti.” Naim menggesa Husna. Akhirnya, dia mampu menarik nafas lega kerana dapat menyelesaikan masalahnya. Harap-harap tak ada bebelan lagi yang dia dengar nanti.

*****

“APA lagi yang awak duduk termenung dekat tangga tu? Mahgrib dah masuk lama dah. Masuklah ke dalam rumah cepat. Setan banyak bertenggek kat luar malam-malam macam ni.” Pak Hashim menegur kelakuan isterinya.

“Nak masuk macam mana? Hati saya ni tengah duk risaukan si Husna tu. Manalah perginya maghrib-maghrib macam ni tak balik lagi.” Mak Milah menjawab. Hatinya serba risau apabila anak bongsunya itu belum berada di depan mata.

“Anak awak tu, dah besar. Tahulah dia balik nanti.”

“Memanglah dah besar, tapi dia tu perempuan. Takutlah kalau terjadi apa-apa dekat dia. Tambah-tambah hari dah gelap macam ni. Saya risaulah, bang.” Mak Milah terus berkeluh-kesah. Dipanjangkan lehernya ke arah simpang jalan masuk ke rumahnya. Kosong. Namun, dia masih berharap kelibat Husna akan kelihatan di jalan itu nanti.

“Awak tu, suka sangat berfikir yang negatif. Selama ni pun kalau dia ke bandar, bukannya dia tak tahu jalan balik ke rumah,” tegur Pak Hashim lagi sambil menggeleng lemah.

“Awak mana nak risaukan dia. Dia bukannya anak kesayangan awak,” bidas Mak Milah laju.

“Sudahlah, Milah. Malas saya nak melayan awak lagi. Suka hati awaklah nak duduk bertenggek kat situ sampai tengah malam pun.” Pak Hashim terus masuk ke dalam rumah. Kalau bertekak pun tidak ke mana juga.

Mak Milah pula terus duduk bertongkat dagu di tangga, melayani perasaan risaunya. Ke manalah anak dia itu pergi? Dia tertanya-tanya sendiri. Tidak lama selepas itu, sebuah kereta masuk ke halaman rumahnya. Mak Milah kehairanan. Siapa pula yang datang? Dia rabun jauh, mana nak nampak. Namun, setelah melihat Husna keluar dari kereta itu, barulah dia menarik nafas lega.

“Assalamualaikum, mak.” Husna memberi salam.

“Wa’alaikumussalam. Husna, kenapa balik lambat? Risau mak tadi tau.”

“Teksi tak ada, mak. Mujur ada kawan Husna tolong hantarkan husna balik.” Kawan? Sejak bila pula dia jadi kawan dengan lelaki itu? Nama pun dia tidak tahu. Kawan apa macam tu?

“Kawan kamu yang mana pulak ni? Mak tak pernah tengok pun. Ajaklah dia singgah dulu.”

“Sekejap ya, mak.” Husna pergi mendapatkan Naim semula.

“Encik tak nak singgah ke rumah saya dulu ke? Mak saya pelawa encik naik. Nanti bolehlah solat dekat sini terus,” tanya Husna.

Naim melihat jam di tangan.

“Tak apalah. Aku balik sembahyang dekat rumah jelah. Sempat kut sampai.” Naim beralasan. Sebenarnya, dia risau sebab tikar sembahyang pun jarang dia hampar. Malulah dia kalau orang lain tahu tentang soal itu. Dibuatnya tiba-tiba kena jadi imam, ha… siapa nak jawab?

“Iya ke? Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih sebab hantar saya balik.” Husna akur. Dia juga malas mahu mendesak.

“Sama-sama. Aku balik dulu.” Naim mengundurkan keretanya dan terus meninggalkan kawasan rumah Husna.

“Kawan mana tu, Husna? Mak tak pernah tengok pun dia sebelum ni. Pakai kereta mewah macam tu, mesti anak orang kaya, kan?” Mak Milah berasa hairan. Sepanjang pengetahuan dia, anaknya itu tidak ada kawan di kalangan orang kaya begitu. Rata-ratanya terdiri daripada yang setaraf mereka sahaja.

“Kawan baru kenal, mak. Dahlah, mak. Jom kita naik. Dah malam ni,” ajak Husna sambil mendaki anak tangga rumahnya. Sebelum masuk, dia sempat berpaling ke arah jalan. Kereta lelaki itu telah hilang dari pandangan.

*****

“DAPAT ke kerja yang kau cari tadi?” tanya Pak Hashim kepada Husna ketika mereka sekeluarga sedang makan malam di dapur.

“Tak dapat, ayah. Nanti esok Husna cuba lagi,” jawab Husna.

“Kenapalah nasib kau ni tak macam abang dan kakak kau? Dia orang belajar tinggi-tinggi, habis belajar je terus dapat kerja yang bagus-bagus. Tapi kau? Hmm… susah-susah sangat, kau kahwin jelah, Husna.”

Nasi yang ingin disuap masuk ke dalam mulut terhenti. Husna melirik ke wajah ayahnya. Kahwin? Ah, itu adalah perkara terakhir yang akan dia fikir di dalam hidup dia. Apa kaitan tidak dapat kerja yang bagus dengan kahwin? Adakah kahwin itu akan dapat menyelesaikan masalah susah nak dapat kerja yang dia alami?

“Abang ni, kenapa cakap macam tu dekat dia? Janganlah nak bandingkan si Husna ni dengan si Taufik dan Lela tu pulak,” sampuk Mak Milah yang ternyata turut tidak berasa senang dengan kata-kata suaminya itu. Terdengar dengusan kecil yang dilepaskannya.

“Kenapa? Salah ke apa yang saya cakap tadi? Memang betul pun. Taufik dan Lela tu, keluar je dari universiti terus jadi pegawai. Anak awak ni, jadi apa? Jadi tunggul je duduk kat rumah main dengan kucing. Tak boleh nak dibanggakan langsung.” Pak Hashim sempat mengerling ke arah Husna.

Husna tunduk memandang nasi yang baru suku masuk ke dalam perutnya. Pedih sekali kata-kata ayahnya itu. Dia ingin membuka mulut untuk melawan, tetapi bimbang jika dikatakan sebagai kurang ajar. Lebih-lebih lagi mereka sekarang menghadap rezeki. Kata-kata itu ternyata payah sekali untuk ditelan.

Mak Milah yang duduk di sebelah suaminya itu turut sama terkedu.

“Astagfirullahalazim, abang ni… bercakap tu tak fikir perasaan orang langsung. Kecil hati Husna tu dengar abang cakap macam tu tau. Taufik dan Lela tu dapat kerja sebab dah rezeki dia orang. Si Husna ni, mungkin rezeki dia lambat. Lain orang, lain rezekinya. Sudahlah, Husna… kamu jangan nak ambil hati sangat dengan apa yang ayah kamu cakap tadi. Makan nasi tu,” gesa Mak Milah. Sebenarnya, lebih kepada memujuk perasaan Husna. Dia nampak wajah Husna berubah sebaik sahaja mendengar kata-kata suaminya tadi.

“Husna dah kenyang, mak. Mak dengan ayah makanlah ya.” Husna bangun menuju ke singki dan membasuh tangannya. Putus sudah selera dia mahu makan. Kata-kata ayahnya tadi sudah cukup mengenyangkan perutnya.

Selepas itu, Husna masuk ke bilik. Di dalam bilik, Husna menangis sepuas hati. Hatinya cukup terguris apabila ayahnya membandingkan dia dengan abang dan kakaknya. Dia tahu, sejak dari dahulu lagi ayahnya tidak pernah berasa bangga dengan dirinya. Sebabnya, di antara mereka tiga beradik, dialah satu-satunya anak yang paling tidak berjaya.

Walaupun berjaya masuk ke universiti, tetapi dia tidak pernah dapat anugerah Dekan setiap semester seperti mereka. Abang dan kakaknya menghabiskan pengajian tepat pada waktunya, tetapi dia pula terpaksa menambah dua semester disebabkan gagal dalam beberapa subjek yang diambilnya.

Apabila tamat pengajian, kedua-duanya berjaya mendapat pekerjaan di sektor awam dan bergelar pegawai tinggi. Dia pula masih menganggur sehingga sekarang. Sebab itulah ayah dia tidak berasa bangga dengannya. Mahu dipuji jauh sekali. Dikeji lagi ada.

Bagi ayah, ukuran bangga itu adalah apabila anaknya berjaya menjawat jawatan tinggi, ada kereta dan rumah seperti mereka. Tidak hairanlah satu kampung ayahnya mencanangkan kejayaan mereka untuk menyatakan betapa bangganya ada anak seperti mereka.

Bukannya dia tidak berusaha. Tetapi seperti kata ibunya tadi, rezeki setiap orang tidak akan sama. Mujurlah ibunya faham. Tetapi hati dia telah koyak rabak ditujah dengan kata-kata sembilu itu. Husna terus menangis sehingga tidak sedar bila dia terlelap. 

*****

NAIM sampai di rumah keluarganya sedang-sedang elok sahaja azan isyak berkumandang. Terlepas sudah solat maghrib yang sengaja tidak ditunaikannya. Namun baginya itu biasa walaupun solat merupakan rukun Islam kedua dan wajib ditunaikan oleh semua orang Islam seperti dia.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, dia ditegur oleh Dato’ Mazlan yang sedang duduk di ruang tamu menonton televisyen.

“Ha, Im… lewat balik. Pergi ke mana tadi?”

“Pergi hantar kawan balik ke rumah dia, papa,” jawab Naim sambil menghenyakkan punggungnya di atas sofa baldu berwarna putih susu itu. Tali lehernya dilonggarkan.

“Anchu dan Chicky tu ke?” soal Dato’ Mazlan lagi. Dia ingat, petang tadi Naim ada sebut dua nama itu di depannya. Tetapi dia tidak sempat pula bertanya panjang kerana Naim begitu tergesa-gesa mengejar masa. Mahu menegur kelakuannya di dalam bilik mesyuarat tadi pun tidak sempat juga.

Naim kerut dahi. Itu kucing Bella, bukannya kawan dia. Yang dia maksudkan tadi itu adalah perempuan yang dia jumpa di tepi jalan sewaktu terlanggar kucing petang tadi. Namun diiakan sahaja kerana malas mahu bercakap banyak. Nanti banyak pula disoal oleh papanya itu.

“Yalah, dia oranglah.”

“Pelik betul nama orang zaman sekarang ni,” komen Dato’ Mazlan sambil bergumam.

Memanglah pelik sebab nama itu nama kucing bukannya nama manusia. Naim menjawab di dalam hati.

“Biasalah, pa… zaman moden macam sekarang ni, nama pun kenalah ikut peredaran zaman jugak. Mama mana, pa?” soal Naim bertanyakan tentang mamanya pula. Dipanjangkan lehernya mencari kelibat wanita separuh umur itu. Biasanya di mana ada papa, di situlah juga ada mamanya.

“Mama solat kat atas. Im dah solat ke belum?”

Alamak! Mulalah Naim berasa berdebar-debar mahu menjawab soalan papanya.

“Err… belum lagi, papa,” jawab Naim tersengih. Janganlah papa dia tanya, maghrib sembahyang ke tidak? Kalau dia jawab tidak, memang kepala dia kena hempuk dengan meja kaca di depan sofa ini.

“Pergilah bersihkan diri Im tu dulu. Lepas tu solat. Malam ni, Im tidur kat sini ke?”

“Haah. Tidur kat sini jelah kut. Letihlah nak balik ke rumah. Okeylah, papa… Im naik ke bilik dulu ya.” Naim segera angkat punggung dan mendaki anak tangga menuju ke biliknya pula.

Masuk sahaja ke dalam bilik, dia terus menghempaskan badannya ke atas katil sambil menggeliat malas. Sambil berbaring terlentang, dia sempat mengenangkan kembali kejadian yang berlaku petang tadi. Bibirnya tiba-tiba sahaja tersenyum meleret. Siapalah nama perempuan itu tadi ya? Lupa pula mahu bertanya nama. Ucap terima kasih pun dia terlupa juga. Mujurlah si gadis itu menjadi penyelamatnya keadaan. Kalau tidak, memang terkial-kiallah dia mahu menguruskan kucing-kucing Bella yang mengada-ada macam tahi kuda itu.

Telefon Naim tiba-tiba berbunyi. Nama Bella terpampang lagi di skrin. Dengan malas, dia menjawab panggilan tersebut.

“Dah, dah… I dah buat semua yang you suruh buat tu,” terang Naim sebelum Bella membuka mulutnya. Lebih baik dia bercakap dahulu untuk mengelakkan Bella memebel panjang kepadanya. Badan sedang letih, tidak larat mahu mendengar bebelan mak nenek.

“Thank you, sayang. I baru je sampai kat rumah ni. Lega hati I bila tengok dia orang dah tidur. Sorry tau sebab susahkan you tadi. Love you, sayang.” Suara Bella kedengaran lembut dan bernada riang. Jika Bella bersuara lembut macam perempuan Melayu terakhir seperti itu bermakna tugas yang Naim buat memang memuaskan hatinya.

“Hmm… love you too,” balas Naim lemah. Bella cakap sorry sebab susahkan dia? Memanglah Bella banyak menyusahkan dia, tetapi dia pun banyak susahkan orang lain juga. Tak apalah, yang penting semuanya sudah selesai.

Naim berkira-berkira mahu bangun dan menuju ke bilik air untuk mandi, tetapi terasa begitu malas sekali mahu bangkit. Ah, baring dululah sebelum mandi. Naim memejam mata dan dia terus hanyut dalam mimpi.

© Noraini Mohamad 2012

14 May 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 2

TELEFON Naim berbunyi lagi. Sempat dia mengerling ke arah dashboard keretanya. Sudah hampir pukul enam setengah petang. Matilah dia kali ini kena bebel lagi.

“Sayang! You kat mana ni? Dah balik kerja ke belum? Kenapa tak pergi ambil lagi Anchu dan Chicky? Awin dah lama tunggu you tau.” Bella terus membebel sebaik sahaja Naim menjawab panggilan.

“Ya, ya… I on the waylah ni. Jalan sesak ni. You suruhlah Awin tunggu sekejap,” balas Naim. Mukanya berkerut menahan bebelan Bella. Agaknya, semua orang yang bernama Bella ni memang jenis suka membebel kut. Bunyi pun dah dekat-dekat dengan bunyi bebel juga. Naim sempat menelah.

“Tadi I beritahu you suruh you pergi ambil dia orang pukul berapa? Sekarang ni dah pukul berapa? Awin tu dah lambat tau nak keluar sebab tunggu you lama sangat. You ni, tolonglah respek sikit masa orang lain.”

Mak aih! Bella cakap fasal respeklah pula. Habis, masa dia ni ada ke Bella respek? Ini yang buat dia rasa nak naik angin ni.

“You ingat, jalan kat bandar KT ni macam jalan kat kampung ke? Lengang tak ada kereta? I baru habis mesyuarat tadi. Nak kena pergi berkejar ambil dia orang pulak. Memanglah makan masa sikit.”

“Eii… balik-balik itu jelah alasan you! Dahlah, pergi ambil dia orang cepat-cepat. Nanti you jangan lupa buat apa yang I dah pesan tadi tu sekali.”

“Ya, I belum hilang ingatan lagi. Dahlah, I tengah memandu ni. Bye.” Naim mencampakkan telefonnya di tempat duduk sebelah pemandu. Dia berdengus bengang. Kalau tidak disebabkan kes dia langgar kucing tadi, tentu dia sudah sampai di rumah Awin.

Ini semua sebab perempuan hantu kucing itulah. Suruh hantar pergi kliniklah. Fasal kucing pun nak kecoh. Bukannya dia langgar orang pun! Kan sudah kena bebel dengan mak nenek. Malang betullah dapat kekasih yang kuat membebel macam Bella itu. Lama-lama nanti, tidak mustahil telinga dia boleh dapat penyakit kanser telinga.

Tanpa berlengah, Naim terus memecut keretanya laju-laju. Sebaik sahaja sampai di rumah Awin, sedang elok sahaja Awin sudah menunggunya di depan pintu pagar.

“Sorry, Awin. I lambat sikit. You dah lama ke tunggu?” tanya Naim berbasa-basi. Sengaja dia bertanya soalan itu untuk menampakkan keramahannya walaupun dia sendiri sudah tahu gadis di hadapannya itu telah lama menantinya. Kalau buat ramah, risiko kena marah kurang sedikit.

“Yalah. Tadi Bella cakap you nak datang sebelum pukul enam. I tunggu dari pukul lima setengah tadi lagi. Boyfriend I dah bising-bising dah,” jawab Awin sambil memberi isyarat matanya ke arah seorang lelaki yang duduk di atas kerusi batu di halaman rumahnya.

Naim memanjangkan leher untuk menjenguk. Sempat dia angkat tangan ke arah lelaki itu. Namun lelaki itu hanya sekadar menjongketkan keningnya. Senyum pun tidak. Marah sangatlah tu. Nasib kaulah, lelaki. Kalau kau bengang, aku ni lagilah bengang.

“Sorry, sorry… I tak berniat nak buat you tertunggu lama. Hah, mana Anchu dan Chicky?”

“Ada kat dalam. Sekejap ya, I masuk ambilkan dia orang.” Awin beredar dan masuk ke dalam rumahnya. Beberapa minit selepas itu, dia keluar semula bersama dua buah bakul sederhana besar yang dibibit di kedua-dua belah tangannya.

Naim yang melihat keadaan itu cepat-cepat membukakan pintu kereta di bahagian belakang bagi membolehkan Awin meletakkannya di dalam kereta.

“Bye Anchu dan Chicky. Jumpa lagi. Muaaah!” Awin sempat melayangkan flying kiss kepada kedua-dua ekor kucing itu sebelum menutup pintu kereta.

Naim hanya mencebir melihat gelagat Awin. Dengan kucing pun bercium bagai juga? Reti ke kucing nak sambut flying kiss tu? Awin ni, sama sahaja macam Bella. Omel Naim.

“Okeylah, Awin. Terima kasih. Jumpa lagi ya,” ucap Naim sebelum melangkah masuk ke dalam keretanya.

“Okey, bawa kereta tu hati-hati sikit. Jangan laju-laju sangat. Nanti dia orang takut pula.” Awin sempat berpesan sebelum Naim menutup pintu kereta.

Naim hanya mengangguk. Dia terus beredar dari kawasan perumahan Awin.

Di sepanjang perjalanan pulang, hatinya resah memikirkan bagaimanan mahu menguruskan kucing-kucing kesayangan Bella itu. Tergaru-garu kepalanya apabila mengingatkan pesanan Bella yang menyuruhnya memberi makan, memandikan dan menidurkan mereka. Aduhai, leceh betullah. Ada ke patut Bella suruh dia buat semua itu. Tidak maco langsung.

“Meow!” Tiba-tiba kedengaran salah seekor kucing tersebut mengiau kuat.

“Hah! Jangan bising-bising kat dalam kereta aku ni. Duduk diam-diam!” sergah Naim dalam nada garang sambil menoleh sekilas ke belakang. Terkejut dia mendengar kucing itu mengiau. Pantang sungguh dia kalau mendengar suara kucing. Tengok kucing di depan mata lagilah.

“Meooww….” Suara kucing itu berbunyi sayu. Seolah-olah menjawab, ‘Baiklah.’

“Ha, bagus. Jangan nak buat kereta aku ni macam kereta tuan kau pulak. Boleh bising-bising sesuka hati. Kalau aku dengar kau mengiau lagi sekali, aku campakkan kau dua ekor keluar dari kereta ni, faham?” ugut Naim lagi sambil berdengus. Eh, macam orang bodoh sahaja bercakap dengan kucing. Lantaklah!

Kucing itu terus diam dan tidak berbunyi lagi.

Naim terus memandu sambil melayan fikirannya yang hanyut entah ke mana. Tiba-tiba….

“Ha… baru aku teringat!” Naim memetik jarinya sambil tersenyum. Dia sudah mendapat idea bagaimana mahu menyelesaikan masalahnya. Pedal minyak kereta terus ditekan kuat.

 *****

HUSNA menarik nafas lega apabila diberitahu bahawa kucing yang dilanggar tadi tidak mengalami kecederaan yang serius. Di atas saranan doktor, kucing itu ditinggalkan beberapa hari di klinik untuk pemantauan dan rawatan susulan.

Setelah selesai semua urusan di situ, Husna bersiap-siap mahu pulang. Ketika itu jam sudah mencecah ke pukul tujuh petang. Sudah hampir waktu maghrib. Hendak balik naik apa? Ada lagikah bas dan teksi masa-masa macam ini? Hatinya bersoal sendiri.

Husna kemudiannya berjalan menuju ke perhentian teksi berhampiran. Mahu mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau bernasib baik. Dapat tahan sebuah teksi, bolehlah dia sampai ke rumah cepat-cepat.

Pon! Pon!

“Oh, rimau!” Husna melatah spontan apabila disergah oleh bunyi kereta dari belakang. Hisy! Tidak pernah hayat dia melatah, tiba-tiba sahaja boleh keluar latah pula. Husna mengurut dada perlahan. Dia segera berpaling.

Eh, mamat yang langgar kucing tadi. Apa lagi yang dia buat di sini? Husna tertanya-tanya sendirian di dalam hati. Ingatkan sudah tidak ada jodoh lagi mahu bertemu.

“Ada apa ni, encik? Datang nak minta baki duit rawatan kucing tadi ke?” Husna menyoal sambil menundukkan sedikit kepalanya. Takkanlah berkira sangat kut.

“Kau nak balik ke? Marilah aku hantarkan,” pelawa lelaki itu.

Husna terkedu sejenak. Kenapa pula tiba-tiba sahaja lelaki itu menjadi budiman dengan dia? Tadi minta tolong hantarkan kucing ke klinik bukan main sombong lagi.

“Tak apalah, encik. Saya tak ada duit nak bayar tambang dekat encik. Kereta encik ni kereta mahal,” jawab Husna. Sebenarnya dia berasa segan kerana tidak pernah naik kereta semahal itu. Eh, pernahlah. Tadi, masa dia buat muka tidak malu suruh lelaki itu hantar dia pergi ke klinik. Tapi tadi, tidak pula dia berrasa segan. Mungkin sebab cemas dengan keadaan kucing yang dilanggar. Jadi, dia tidak sempat memikirkan rasa malu dan segan.  

“Ala, kau jangan bimbanglah. Aku bagi kau tumpang free je. Duit minyak semua aku tanggung. Cepatlah naik.”

Husna masih teragak-agak. Kenapa lelaki itu beria-ia sangat mahu menumpangkan dia balik? Ke dia ada niat jahat? Ah, sudah! Husna mula berfikir yang bukan-bukan. Lagipun dia mana kenal dengan lelaki itu. Dibuatnya nanti dia kena bawa lari atau dijual ke mana-mana, tidak ke naya dia nanti.

“Hoi! Yang kau keras macam patung tu, kenapa? Kau takut ke aku buat benda tak elok dekat kau? Kau jangan risaulah, aku sikit pun tak tergoda tengok kau.” Lelaki itu seolah-olah dapat membaca fikiran Husna.

“Macam mana saya nak tahu encik ni tak ada niat jahat dekat saya? Saya bukannya kenal encik pun.”

Lagipun dia ingat pesan ibunya, jangan naik kereta orang yang dia tidak kenal sembarangan. Bahaya. Tambah-tambah sekarang banyak kejadian jenayah yang tidak dijangkakan. Tidak salah kalau dia bersikap hati-hati.

“Muka aku ni macam muka pembunuh bersiri ke? Takkanlah fasal kes aku langgar kucing tadi, kau terus anggap aku ni orang jahat. Sudahlah, kau jangan nak banyak tanya sangat. Naik cepat!”

Kali ini lelaki itu kelihatan bersungguh-sungguh mempelawa. Dibuka pintu kereta  bahagian penumpang dari dalam dan menyuruh Husna masuk.

Akhirnya, dalam takut-takut Husna menerima pelawaan itu. Namun hatinya tidak putus-putus berdoa agar tidak ada hal yang buruk akan menimpa dirinya.

“Kau tak payahlah buat muka cuak macam tu kat depan aku. Sekarang ni, niat aku baik nak tolong kau. Karang kalau setan dah mula hasut aku buat jahat, gelap pulak masa depan kau kang. Baik kau fikir yang baik-baik fasal aku,” kata lelaki itu lagi setelah Husna masuk ke dalam kereta.

Husna mengetap bibir. Macam sudah puas hidup sahaja lelaki ini. Cakap macam esok sudah tidak ada hari lagi. Huh!

“Kenapa encik susah-susah nak tumpangkan saya balik? Bukan ke tadi encik cakap encik ada hal penting. Ni tak mencuri masa encik ke?”

“Dah banyak dah masa aku kena curi hari ni. Ni, aku nak tanya kau sesuatu. Kau suka kucing?”

Laju Husna mengangguk. Memanglah dia ini hantu kucing. Dia pantang kalau jumpa kucing di mana-mana. Mesti cepat sahaja kucing itu berada di dalam pelukannya. Kalau tidak, takkanlah dia berasa marah sangat bila lelaki itu buat endah tidak endah sahaja terhadap kucing yang dilanggarnya. Apa sahaja tentang kucing, dia suka!

Lelaki itu tersenyum nipis.

“Kalau macam tu, kau kena tolong aku.”

“Tolong apa pulak ni?”

“Tolong aku uruskan dua ekor kucing kat belakang tu.” Lelaki itu menujahkan ibu jarinya ke tempat duduk belakang.

Husna berpaling. Serentak dengan itu, dia menjerit kuat. 


© Noraini Mohamd 2012
 
           

07 May 2012

Mahadewi Tercipta Untukku 37

HUJUNG minggu itu Saleha keluar bersama-sama Nor untuk menonton wayang. Itulah pertemuan pertama mereka setelah hampir sebulan tidak bersua muka. Janji Nor untuk datang melawatnya di pejabat seperti yang dipatri dahulu ternyata hanya omong kosong. Malu katanya mahu berjumpa dengan Adib dan semua orang. Sebaliknya, Nor lebih banyak berhubung dengannya di YM saja. Sesekali ada juga mereka berbual kosong di telefon dan berbalas-balas komen di Facebook.

Usai menonton wayang, mereka singgah melepaskan dahaga di Kopitiam Mocha iaitu sebuah kafe yang sentiasa menjadi persinggahan wajib mereka setiap kali keluar bersama.

“Kau tak nak kerja balik ke dekat syarikat lama tu? Sunyilah sejak kau tak ada,” rungut Saleha sebaik saja minuman yang dipesan mereka sampai ke meja. Memang dia terasa benar kehilangan Nor. Kalau dulu, mereka selalu saja bergurau senda di pejabat. Sekarang mahu bergurau senda dengan siapa? Paling tidak pun hanya Hadi saja yang suka melayan kerenahnya. Tapi Hadi lelaki. Mana sama dengan Nor.

“Tak naklah. Baik aku duduk rumah je. Jadi amah, tolong mak aku kat rumah buat kerja. Lagi seronok,” balas Nor sambil tangannya mengacau perlahan kopi di dalam cawan. Kalau mahu dikatakan bosan, kadang-kadang terasa juga. Tapi dia selesa kerana tidak berdepan dengan sebarang tekanan. Paling teruk pun dia kena bebel dengan ibu dia saja. Ah, semua itu dia sudah lali.

Saleha ketawa kecil.

“Betul ke seronok jadi amah? Tapi, lagi seronok kalau jadi amah yang majikan dia handsome macam Encik Adib tu, kan. Boleh jugak cuci-cuci mata.”

Kali ini giliran Nor pula yang ketawa. Kalau yang itu, hari-hari bekerja tanpa cuti pun dia sanggup.

“Kalau macam tu, kau tanyalah dia sama ada dia perlukan amah ke tak? Kalau dia cakap nak, kau kerjalah dengan dia.”

“Eii... tak mahulah aku. Kau bukannya tak tahu cerewet dia tu macam mana. Tengok muka memanglah handsome, tapi kalau nak uruskan serba-serbi tentang diri dia, memang aku tak sanggup.” Saleha menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia mula terkenangkan sikap cerewet Adib yang pembersih tahap dewa. Kalau di pejabat, sedikit habuk pun dia tidak benarkan masuk ke dalam pejabatnya.

Nor senyum sumbing.

“Dia cerewet sebab dia tu seorang yang perfectionist. Biasalah, orang macam dia tu... kau takkan tak tahu,” jawab Nor. Pengalamannya selama dua tahun menjadi setiausaha Adib membuatkan dia kenal sikap lelaki itu. Tapi yang peliknya, dia boleh saja layankan sikap cerewet Adib itu. Mungkin kerana sudah terbiasa kut.

“Wah, nampaknya kau lebih memahami dia berbanding aku. Kalau aku tanya kau sesuatu, boleh?”

“Apa dia?”

“Kau tak rindu dekat dia ke?”

Ketawa Nor pecah kuat. Ini soalan kuiz tahap berapa pula ni? Tidak mencabar minda langsung. Dalam banyak-banyak soalan, soalan itu jugalah yang ingin ditanya oleh Saleha.

“Buat apalah aku nak rindu dekat dia? Bukannya dapat duit berjuta-juta ringgit pun,” seloroh Nor. Kopi di dalam cawan putih itu dihirup perlahan. Namun hatinya tercuit juga dengan pertanyaan Saleha itu. Tuhan saja yang tahu betapa rindunya dia terhadap Adib. Tapi dia malu mahu mengaku di depan Saleha.

“Hih! Kau ni… tak baik tau kau cakap macam tu. Dia separuh mati duk rindukan kau, tapi kau pulak boleh cakap macam tu je? Kau ni memang hati batu betullah,” dengus Saleha geram.

“Habis, ofis sekarang macam mana? Kau kerja okey ke?” Nor sengaja mengubah topik lain pula.

“Aku okey je. Ofis pulak macam biasalah. Eh, aku ada benda nak beritahu kau ni. Aku dah tahu siapa yang mereka-reka cerita fasal hal kau nak kahwin tu.”

“Siapa?” Laju Nor bertanya.

“Hadi.”

“Hadi?” tukas Nor dengan mata yang membuntang.

Saleha mengangguk.

“Tapi kenapa pulak Hadi sengaja reka-reka cerita macam tu? Dah tak ada kerja ke mamat tu nak buat?”

“Bukan tak ada kerja, tapi dia saja nak sakat Encik Adib tu ha. Hadikan tahu yang Encik Adib tu sukakan kau. Jadi dia rekalah cerita hal kau nak kahwin sebab nak tengok reaksi Encik Adib macam mana,” terang Saleha lagi.

Nor termangu seketika.

“Jadi, Encik Adib pun dah tahulah fasal salah faham tu semua?”

“Haah. Bukan main marah lagi dia bila tahu semua tu. Siap dia potong lagi gaji Hadi separuh bulan sekali dengan elaun-elaun dia yang lain.”

“Sampai tahap macam tu sekali? Eii... Encik Adib tu, tak patut betul. Kesian kat Hadi.”

“Kesian kat Hadi je? Habis, Encik Adib yang kena tipu tu kau tak kesian ke? Dahlah Hadi tipu dia, kau pulak bencikan dia. Dialah yang sepatutnya kau kena lebih kesiankan tau.”

“Kau ni... suka betul menangkan Encik Adib tu. Berapa juta dia kasi upah dekat kau untuk bela dia ha?” cebik Nor kurang senang. Bukan tidak kasihan. Tapi kalau gaji kena potong, berapa sen sangatlah yang tinggal? Nak bayar itu ini lagi. Agaknya, Adib ni memang suka kut tengok pekerja dia sendiri makan pasir. 

Saleha hanya tersengih. Mana ada dia bela Adib. Dia cuma menyatakan rasa simpati saja.

“Sekarang, hal tu dah selesai. Jadi, dah tak ada alasanlah untuk kau marahkan  Encik Adib lagi. Jomlah datang kerja balik kat sana,” pujuk Saleha sambil memegang lengan Nor.

“Eh, siapa pulak cakap tak ada? Mestilah ada. Banyak lagi alasan lain yang buat aku rasa nak marah dekat dia.”

Nor masih tidak mahu mengalah. Walaupun dia mungkin boleh memaafkan, tapi dia juga ada ego dia sendiri. Apa? Adib ingat dia sorang saja ke yang ada ego? Huh!

“Fasal apa lagi? Fasal Azmi ke?” Saleha menelah.

Nor tidak menjawab. Kopi di dalam cawan itu dihirup lagi.

“Ha... Kalau fasal si Azmi tu, untuk pengetahuan kau, Encik Adib pun dah tahu segala-galanya jugak.”

Uhuk! Uhuk!

Nor tersedak kuat. Cawan kopi itu di letakkan perlahan di atas piring. Hisy, kenapa batuk ni terlalu susah mahu berhenti. Tubuhnya terbongkok-bongkok menahan sakit di dada.

“Aik, fasal apa pulak kau batuk teruk sangat ni? Terkejut ke?” soal Saleha. Dia berasa lucu melihat reaksi wajah Nor yang sudah merona merah akibat menahan batuk yang tidak henti-henti sejak dari tadi.

“Err... macam mana Encik Adib tahu?” Teragak-agak Nor menyoal.

“Azmi sendiri yang berterus-terang dengan Encik Adib. Hadi cerita, hebat jugak dia orang bergaduh. Siap bertumbuk bagai lagi.”

“Hah? Kau biar betul. Siapa yang tumbuk siapa pulak ni?” Mata Nor terjegil memandang Saleha.

“Encik Adiblah yang tumbuk Azmi.”

Terlepas satu keluhan panjang dari mulut Nor.

“Encik Adib tu memang. Suka bertindak melulu. Sebab tu aku selalu rasa bengang dengan dia. Kau tengok, dengan sepupu sendiri pun dia sanggup naik tangan. Teruk betul,” luah Nor kesal. Geram pun ada juga dia mendengar cerita yang Saleha khabarkan itu.

“Yalah, berebut kau punya fasal. Macam tulah jadinya. Dia cuma nak pertahankan apa yang dia sayang.”

“Sayang kau cakap? Sayang apa macam tu? Tu namanya tak waras. Bertindak ikut perasaan. Hih, kau nikan... tak tahulah aku kenapa kau duk sebelahkan dia sangat. Ke kau dah jatuh sayang dengan dia?”

“Hisy! Mulut kau... habis, si Rafi aku tu nak letak kat mana pulak? Ala... tu semua cerita yang dah lepaslah. Sekarang ni, dia orang dah berbaik semula dah. Kau jangan risaulah. Sekarang ni, Encik Adib pun dah tahu siapa betul dan siapa yang salah. Kau tunggu jelah dia datang pujuk kau ek,” ujar Saleha sambil tersenyum.

Nor hanya diam tanpa menunjukkan sebarang reaksi.

“Hei, kau tahu tak... sejak kau berhenti kerja, Encik Adib tu asyik termenung aje tau. Hmm… dia rindu dekat kaulah tu,” usik Saleha lagi sambil mencuit manja lengan Nor. Dia berasa teruja apabila bercerita perihal Adib kepada Nor.

Nor mencebikkan bibirnya. Ah, sedikit pun dia tidak berasa terharu mendengar cerita Saleha itu. Entah-entah, Saleha sengaja menokok tambah cerita untuk menyedapkannya lagi. Tapi jauh di sudut hati, perasaannnya berbunga-bunga juga. Tanpa sedar, bibirnya menguntum senyum bahagia.

“Yang kau duk senyum-senyum sorang tu kenapa pulak?” tegur Saleha kepelikan.

Nor tersentak, lantas cepat-cepat membuat mimik muka serius semula.

“Ala... kau beritahu jelah dekat dia, jangan buat perkara yang tak berfaedah tu lagi. Banyak lagi kerja lain yang boleh dia buat daripada duduk termenung ingatkan aku. Kalau rindu dekat aku pun apa yang dia dapat? Buang masa aje, kan?”

“Kau marah dekat dia lagi ke? Orang kata, marah tu tanda sayang tau. Ha... kau sayang Encik Adib ek?” Saleha menggerak-gerakkan jari telunjuknya ke muka Nor.

“Kau ni, tak habis-habis cuba nak memadankan aku dengan dia. Aku mandikan kau dengan kopi hitam ni baru kau tahu.” Wajah Saleha dijeling tajam.

Saleha hanya tersengih.

“Sekarang, aku nak kau jujur dengan aku. Sebenarnya, kau ni ada perasaan ke tidak dekat Encik Adib tu?”

“Soalan kau tu macam soalan bodoh je. Malaslah aku nak jawab,” jawab Nor. Gila ke apa mahu suruh dia mengaku perasaan dia? Macam sudah tidak ada soalan lain lagi yang mahu ditanya. Beri sejuta ringgit pun dia tidak akan mengaku.

“Ala... kau jawab jelah. Lagipun, bukannya ada orang lain tahu pun. Kau dengan aku je. Cepatlah jawab, kau sayang Encik Adib ke tak?”

Nor buat endah tidak endah. Kopi yang hanya berbaki separuh cawan itu diteguk lagi masuk ke dalam anak tekak.

Apabila pertanyaannya tidak mendapat reaksi, Saleha bertindak menggoncang lengan Nor dengan kuat. Sehinggakan menganggu Nor menikmati kopinya.

“Apa dia?” keluh Nor lemah. Hai, nak minum kopi pun tak senang. Tanya soalan macam polis. Desis hatinya.

“Aku tanya kau, kau sayang Encik Adib ke tak?”

“Tak!” tegas Nor yakin. Jangan haraplah dia nak mengaku.

“Okey, soalan lain pulak. Kau sayang Encik Adib ke tak?”

“Hei! Kau ni dah tak ada soalan lain ke yang nak ditanya? Kan aku dah jawab tadi. Tak jelas lagi ke?” Nor menggigit bibirnya. Geram pula dia apabila asyik mendengar soalan yang sama saja sejak dari tadi. Cakap tadi soalan lain. Saleha ni memang sengaja agaknya mahu memaksa dia supaya mengaku perasaan dia terhadap Adib.

“Kau sayang Encik Adib ke tak?”

“Dahlah tu, Saleha. Jangan nak lebih-lebih boleh tak?”

“Kau sa....”

“Ya!” Nor pantas mencantas pertanyaan Saleha sebelum sempat Saleha menghabiskannya. Dia berasa rimas apabila soalan yang lapuk itu saja diulang tanya. Terpaksa dia mengalah juga akhirnya.

Saleha senyum meleret. Dia berasa semakin seronok dengan permainannya itu.  Baru puas hati dia dapat mencungkil perasaan Nor dan mendengar pengakuan daripada mulutnya sendiri.

“Suka?”

“Hmm....” Nor angguk lemah.

“Cinta?”

Nor befikir sejenak. Soalan bunuh diri ke ni? Tapi dia jawab juga.

“Ya....”

“Ya apa?” Saleha buat-buat tidak faham.

Hih, Saleha ni... buat hati dia rasa nak terbakar sajalah! Sabarnya sudah tidak tertahan lagi.

“Ya! Aku cintakan dia. Aku sayangkan dia. Aku sukakan dia. Dan aku pun rindukan dia! Hah, sekarang kau dah puas hati? Ke kau nak aku jerit kuat-kuat biar semua orang dalam kafe ni dengar luahan hati aku ni?” soal Nor sinis. Terasa tebal sekali muka dia apabila terpaksa mengaku semua itu. Mana dia mahu sorokkan? Eii... malunya!

Saleha ketawa terbahak-bahak sambil menekan perutnya.

“Kalau kau berani, kau buatlah,” cabarnya.

“Ah, malaslah aku nak layan kau!” Kopi di dalam cawan itu terus dihirup lagi sehingga habis. Sambil-sambil itu, Nor berusaha memujuk perasaannya supaya bertenang melawan keadaan itu. Tak guna betul Saleha ni. Kenakan dia pula supaya mengaku tentang perasaannya terhadap Adib.

Walaupun dia rapat dengan Saleha, tapi dia tetap berasa malu untuk mengakui semua itu. Apatah lagi sebelum ini dia sudah acap kali menafikannya. Bimbang juga dikatakan menjilat ludahnya sendiri. Ah, memang dia sudah jilat semula pun!

“Okeylah. Kalau macam tu, nanti aku nak beritahu Encik Adib apa yang kau dah cakap dekat aku tadi.”

Rahang Nor jatuh.

“Eh, kau gila ke? Kau jangan nak mengada-ada, okey.”

“Biarlah dia tahu semua tu. Nanti tak adalah dia tertanya-tanya lagi tentang perasaan kau terhadap dia. Lepas tu, kau dengan dia pasti akan jadi pasangan yang paling bahagia. Kau dapat bayangkan tak situasi tu?” Saleha kelihatan begitu teruja menuturkan kata-kata. Ceh, habis jiwanglah tu.

“Dah, dah… jangan nak lebih-lebih. Kau ingat, dia akan percaya ke dengan semua cakap kau tu? Kau tak payahlah nak cakap banyak sangat depan dia kalau kau tak ada bukti,” jelas Nor pula sambil mencemikkan bibirnya. Di dalam hatinya, dia berasa sedikit lega kerana alasan itu masih dapat menyelamatkan dia daripada dimalukan oleh Saleha di depan Adib sekiranya Saleha benar-benar memaksudkannya.

“Siapa cakap tak ada bukti? Ini… kalau dia dengar recording ni, mesti dia akan percaya punyalah.” Saleha tersengih sambil menunjukkan telefonnya kepada Nor.

Mata Nor membuntang tajam. Nafasnya tiba-tiba terasa seperti tidak cukup oksigen. Dalam diam-diam, rupa-rupanya Saleha telah merakamkan perbualan mereka tadi di telefonnya. Tidak!!!

Nor segera bangun dan menerkam ke arah Saleha.

“Saleha! Baik kau padamkan balik semua tu!” gesa Nor sambil cuba merampas telefon yang berada di tangan Saleha namun gagal. Telefon itu segera disimpan semula di dalam beg galasnya dan dipeluk kemas.

“Nope! Ini bukti yang berharga tau. Terima kasih untuk pengakuan ikhlas kau tu.” Saleha sudah ketawa besar apabila melihat wajah Nor yang sudah bertukar kemerahan itu. Dia berasa seperti tidak sabar-sabar lagi mahu pergi ke pejabat esok. Ah,  kalau tidak sempat esok pun, petang ini juga dia mahu beritahu Adib.

Nor menampar bahu Saleha berkali-kali tanda geram. Usahanya untuk merampas telefon Saleha sudah tidak berhasil lagi. Hatinya mulai resah memikirkan reaksi Adib apabila rakaman itu jatuh ke tangannya nanti. Habislah dia kali ini. Mana dia mahu letak muka dia kalau Adib bertanya tentang semua itu? Malulah dia. Argh! Nor menjerit kuat di dalam hati.


*****
p/s: Sedih untuk menyatakan bahawa ini adalah entri terakhir e-novel Mahadewi Tercipta Untukku (MTUK). Ini kerana manuskrip e-novel ini sedang melalui proses penilaian untuk diterbitkan. Sekiranya ia berjaya menambat hati penerbit, insyaAllah e-novel ini akan dibukukan. Sekiranya tidak, selepas tamat proses penilaian saya akan siarkan semula di blog. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengikut e-novel ini yang sudi memberi sokongan, komen, teguran dan penghargaan kepada karya saya ini. Yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk datangnya daripada saya sendiri.

E-novel Meow! Kau Curi Hatiku (MKCH) akan menggantikan e-novel MTUK termasuk juga dengan e-novel Pertarungan Cinta. Peminat Encik Adib dan Nor Qaseh Umairah jangan sedih-sedih tau. Sayang semua. :)

#Maaf, penulis Emoq ni memang seorang yang skema sikit. Tengok ayat pun dah tahu. Hehehe.