16 August 2013

Benci Tanda Sayang - Edisi Khas Puasa & Hari Raya

Dua hari sebelum raya...

“B!!” Suara Nor memetir panggil Adib.

Adib tersentak lantas membuka mata. Wajah Nor sedang mencerlung ke arahnya sambil bercekak pinggang.
             
“Ya, sayang? Kenapa jerit-jerit ni?” soal Adib. Dia bangkit perlahan-lahan dari kerusi.
           
“Tadi sayang pesan apa dekat B?”
           
“Suruh tengok kuih raya kat dalam ketuhar tu.” Adib kerling ketuhar yang terletak di atas kabinet dapur.
           
Nor mendengus. Eii… geramnya dia dengar jawapan Adib itu. Sumbat dalam ketuhar baru tahu.
           
“Habis, kuih sayang hangus rentung pun B tengok ajelah? Buat-buat tak tahu aje?”
           
“Eh, mana ada B buat tak tahu. B jaga betul-betullah macam yang sayang suruh,” jawab Adib.
           
Nor memuncungkan mulut ke arah dulang di sebelah ketuhar.
           
Adib menoleh. Matanya membuntang. Kuih semperit itu sudah bertukar kehitaman. Alamak! Macam mana boleh jadi rentung macam ni? Patutlah Nor jeling dia tahap maut. Adib  pandang Nor dengan serba salah.

“Err… Sayang….”

“Tak nak panggil sayang kalau macam ni. Benci tau! Penat orang buat, tapi B buat macam ni pulak.” Nor hentak kaki lalu terus berpaling tinggalkan Adib. Keinginannya hendak sambung buat kuih raya serta merta terbantut.

Adib gigit bibir. Isteri kesayangan sudah merajuk. Jenuhlah dia nak memujuk nanti. Kuih yang tidak jadi itu dipandang kosong. Pelik. Macam mana dia boleh tidak sedar kejadian itu? Padahal, dia bukan duduk jauh pun daripada ketuhar.

Ah! Malas dia nak fikir banyak-banyak. Yang penting, pujuk isteri dahulu. Adib bergegas keluar dari dapur.

*****

ADIB tolak pintu bilik. Dia orak langkah menghampiri Nor yang duduk berteleku di hujung katil. Bahu Nor disentuh lembut.

“Sayang, janganlah merajuk macam ni. B bukannya sengaja nak buat kuih sayang hangus. B sendiri tak tahu macam mana boleh jadi macam tu,” pujuk Adib.

Nor mendengus.
           
“Memanglah B tak tahu sebab B tidur mati kat depan ketuhar tu!” Nor tepis tangan Adib. Rasa geramnya belum reda. Masih terbayang-bayang lagi rupa kuih semperit dia yang hitam legam.
           
Erk! Muka Adib berbahang kena sindir. Makan dalam betul ayat Nor beri.
           
“Sayang…” panggil Adib lagi yang masih enggan berputus asa memujuk Nor. Jemari Nor dicapai lalu digenggam erat. Namun dia mengeluh apabila Nor tarik semula tangannya.
           
“Tak payah nak bersayang-sayang sangatlah. Bukannya boleh buat kuih tu jadi macam elok semula.” Nor lipat tangan ke dada sambil jeling Adib.
           
Adib menggaru kepala walaupun tidak gatal.
           
“Alah… janganlah macam ni, sayang. Okey, okey… Nanti B tolong sayang buat yang lain ya? Nak tak?”
           
“Mana sempat. Banyak lagi kerja lain yang nak dibuat.”
           
“Ha… kalau macam tu, apa kata kalau kita beli aje? B sponsor untuk sayang.”
           
“Mana sama!”
           
“Dah tu?”
           
“Three!” balas Nor spontan lantas bangun dan keluar dari bilik.
           
Eh! Buat lawak pula dia, omel Adib sendirian. Dia duduk atas katil, meraup muka. Semua cara tak jalan. Apa lagi cara yang tinggal nak pujuk Nor?

*****

“LAIN macam aje isteri kamu tu, Adib. Apa yang tak kenanya?” tanya Mak Eton kepada Adib setelah Nor meninggalkan mereka di dapur usai berbuka puasa.
           
“Merajuk,” jawab Adib pendek. Sebab merajuk jugalah Nor protes tidak mahu masak dan menggesanya berbuka puasa di rumah Mak Eton.
           
Mak Eton bergumam. Patutlah. Kalau tidak, mulut Nor macam bertih jagung.
           
“Merajuk fasal apa? Kahwin dengan tak kahwin pun sama aje kamu berdua ni. Tak penat ke asyik bergaduh aje? Cubalah bawa berbaik sikit. Bulan baik ni, tak elok bermasam muka sangat,” nasihat Mak Eton.
           
Adib senyum tawar. “Dia marah sebab Adib buat kuih raya dia rentung.”
           
“La, kenapa boleh jadi mcam tu? Kamu sabotaj kuih dia ke?”
           
“Hisy! Takkanlah Adib nak buat macam tu pulak, mak. Dia suruh Adib jaga sebab dia pergi mandi dan solat. Tapi Adib terlelap. Tak sedar kuih tu dah terlebih masak. Hitam legam habislah jawabnya.” Ada ketawa menyusul sebaik sahaja Adib menghabiskan kata-kata itu. Lucu pula bila dikenang.
           
Mak Eton ketawa. Alahai menantu dan anak dia ni. Macam-macam hal.
           
“Memanglah patut isteri kamu tu merajuk. Dah tu, tak makan pujuk lagilah ni?”
           
“Tak reti dah Adib nak pujuk anak mak tu,” keluh Adib.
           
“Hai, bukan ke kamu ni bekas playboy tersohor kat dalam KL dulu? Takkanlah tak reti kut nak mengayat dan pujuk isteri sendiri?” perli Mak Eton dalam nada berseloroh. Dia yakin, Adib tak ambil hati dengan gurauannya itu. Menantu dia ini, kena sindir ataupun kata apa-apa dengan dia, tak pernah tarik muka masam. Senyum sahaja.
           
Adib tersengih. Amboi, mak mentua aku ni. Mengata nampak. Tak sayang mulutlah tu, gerutu Adib di dalam hati.
           
“Skill dah tumpullah, mak. Banyak cara yang Adib dah lupa. Kalau nak guna pakai jugak, kena belek buku nota semula.” Adib ikut berseloroh sama. Dia pun pandai buat lawak sarkastik.

“Raya dah nak dekat ni, janganlah asyik duk bergaduh sangat. Tak elok.”

“Yalah, mak. Adib faham. Nantilah Adib cari jalan macam mana nak pujuk Nor. Adib nak pergi solat dulu, mak. Dah lewat ni.” Adib meminta diri beredar dari dapur.
           
Usai menunaikan solat maghrib, Adib duduk berehat di ruang tamu sambil membelek Tab Samsungnya. Hendak berbual dengan Nor, Nor buat tidak layan sahaja dengannya. Dia tidak mahu mengganggu mood isterinya. Biarlah dia beri Nor ruang sedikit. Sambil-sambil itu, boleh juga dia fikirkan cara-cara nak memujuk Nor.
           
“Aik, berkepit dengan tab aje? Isteri kesayangan abang mana?” soal Naim setelah duduk menyertai Adib di atas sofa. Matanya meliar mencari kelibat Nor namun tidak nampak bayang. Biasanya, di mana ada Adib, di situ ada Nor.
           
Adib sekadar jongket bahu. “Entah. Dalam bilik kut,” jawabnya tanpa pandang Naim.
           
“Bengang kuih raya hangus tak hilang lagi ke?” soal Naim, berbisik di telinga Adib. Dia sengih tayang gigi.
           
“Yalah. Kalau tak, tak adanya abang duk berkepit dengan tab ni aje!” Adib membalas.
           
“Alah, setakat along tu… kacang ajelah nak pujuk. Nak angah tolong?” Naim menawarkan diri membantu.

“Tolong macam mana?” Kening Adib terjongket.

“Adalah cara-caranya. Meh bagi angah pinjam tab abang sekejap.” Tab Adib bertukar tangan. Tangan Naim laju menaip sesuatu sebelum dia tunjukkan sesuatu kepada Adib.

Adib kerut dahi. “Apa hal pulak angah tunjuk abang resepi kuih semperit ni? Nak suruh abang buat apa?” soal Adib tidak mengerti.
           
Hisy! Abang ipar aku ni, lambat tangkap betul, gerutu Naim. “Buat apa lagi? Buat kuih semperitlah. Ada berani?”
           
Mata Adib terjengil. Naim nak suruh dia buat kuih? Gila! Kalau jaga kuih pun dah hangus rentung. Buat kuih entah apa yang jadi nanti. Nak suruh ketuhar tu meletup ke?
           
“Abang mana reti buat kuih muih ni, angah. Kalau makan tu, abang retilah. Bagilah idea yang bernas sikit.”
           
“Tak reti boleh belajar. Kalau tak, apa guna orang letak resepi kat dalam Internet,” jawab Naim selamba.
           
Ya tak ya juga. “Tapi kalau tak jadi, macam mana?”
           
“Mesti jadi punyalah!” Naim bersungguh-sungguh meyakinkan Adib.
           
Adib termangu. Dia pandang Naim dan skrin tab silih berganti. Boleh jalan ke idea ni?

*****

NOR tengok jam di dinding. Pukul 10.00 malam. Mana pula Adib pergi? Tak nak balik ke rumah ke? Nor mengomel sendirian sambil matanya meliar mencari kelibat si suami. Sudahlah tadi pergi solat terawih dia berdua sahaja dengan ibunya. Adib dan Naim tidak diketahui ke mana pergi. Entah pergi ke masjid ataupun tidak.
           
Gagal menjumpai apa yang dicari, Nor duduk di atas sofa, menonton televisyen. Tidak lama selepas itu, Mak Eton datang menyertai.

“Nak tidur kat rumah mak ke malam ni?” tanya Mak Eton.

“Taklah. Tengah tunggu Adiblah ni nak balik ke rumah. Dia tak ada beritahu mak ke, ke mana dia pergi?” balas Nor yang sudah berasa gusar.

“Tak ada pulak dia cakap. Alah, kau tunggu ajelah. Sekejap lagi dia baliklah tu.”

“Menantu mak tu suka sangat buat Nor risau.” Nor merungut.

“Yang kau risau sangat ni, kenapa? Bosan sebab tak ada teman gaduh ke?” Mak Eton senyum sinis.

Nor diam tidak berkutik. Malas hendak menjawab sindirian ibunya itu.

“Fasal kuih pun nak bergaduh? Tak faham betullah mak.” Dahulu sebelum kahwin, asyik bergaduh mengenai sikap playboy Adib. Selepas kahwin, fasal kuih raya pula. Kalau tak bergaduh, memang tak aman agaknya hidup anaknya itu, getus Mak Eton.

Telinga Nor sudah berasa berdesing. “Yalah, dah dia buat kuih raya Nor hangus rentung. Takkanlah Nor nak gelak dan tepuk tangan pulak.”

Mak Eton melepas tawa. “Kalau dah tahu si Adib tu tak boleh diharap, kenapa kau minta tolong dengan dia?”

“Dah tu, nak minta tolong dengan siapa lagi? Mana ada orang lain selain dia.”

“Sudah-sudahlah tu merajuknya. Kesian pulak mak tengok dia. Raya lusa. Masih ada masa lagi nak buat yang lain,” kata Mak Eton, memujuk.

“Mana sempat, mak. Kerja lain pun banyak lagi yang Nor nak kena buat.” Nor beralasan. Tetapi kalau ada masa sekalipun, dia memang sudah tidak ada mood hendak buat kuih lain.

Nor mengeluh. Dia baru berangan-angan hendak buat kuih raya hasil air tangan sendiri buat suami. Alih-alih, suami sendiri yang merosakkan rancangannya. Siapa yang tidak rasa bengang?

“Nak seribu daya. Tak nak seribu dalih.”

Ewah! Berperibahasa pula ibu dia. Nor buat-buat tak dengar. Sabar, hati…

Bunyi deruman enjin kereta memasuki pekarangan rumah mengalih perhatian Nor. Dia segera bangun, berjalan ke pintu. Amboi, bukan main senang hati lagi dia tengok Adib dan Naim bergelak ketawa sebaik keluar dari kereta. Memang tak patut! Buang masa sahaja dia berasa risau tadi.

“B pergi mana? Keluar tak cakap pun. Buat orang risau aje,” tanya Nor. Wajah Adib dan Naim dipandang bergilir-gilir.

“Tak pergi mana pun. Angah ajak Abang Adib keluar jalan-jalan ambil angin tadi.” Naim menjawab bagi pihak Adib.

Adib angguk mengiakan kata-kata Naim. “Maaflah, B tak sempat nak beritahu sayang tadi. Tergesa-gesa sangat.”

“Along jangan marah, nanti muka along berkedut macam nenek kebayan.” Naim cepat-cepat menyelamatkan diri, masuk ke dalam rumah apabila Nor mengacah hendak ketuk kepalanya.

“Isteri kamu tu, bosan. Tak ada teman nak bergaduh,” sampuk Mak Eton pula, tergelak kecil. Dia tinggalkan Adib dan Nor berdua-duaan di ruang tamu tersebut. Malas hendak kacau bicara pasangan suami isteri itu.

Adib renung Nor yang masih masam mencuka raut wajahnya. Alahai, marah-marah pun tetap comel juga cinta hati dia ni.

“Rindu B, ya?” Hidung Nor dicuit manja. Cuba memancing senyum di bibir merah gadis itu.

“Taklah. Benci.”

“Benci tanda sayang.” Adib berseloroh.

Ketawa Nor terlepas. Spontan dada Adib menjadi mangsa tumbukan manjanya. Daripada hendak marah, terus bertukar menjadi sayang. Sungguh, dia benar-benar menyayangi lelaki yang bernama Qusyairy Adib itu.

Melihat bibir Nor mengukir senyum, Adib terus menarik tubuh Nor ke dalam dakapannya. Ubun-ubun Nor dikucup hangat.

“B minta maaf,” bisik Adib.

Nor mendongak. Matanya bertembung dengan mata Adib. Rasa cinta semakin meresap ke dalam jiwa. “Sayang maafkan B,” balas Nor.

“Jadi, sayang dah tak marahkan B lagi?”

Nor menggeleng, menyimpul senyum. “Benda dah jadi, nak buat macam mana? Tak apalah, B… tak ada rezekilah tu.”

“Nanti B ganti kuih yang lain ya?”

“Tak payahlah, B…” Nor menolak.

Adib genggam jemari Nor erat. “Isteri B ni, macam merajuk lagi aje dengan B,” usiknya.

“Lepas kena peluk tadi, dah hilang dah semua rajuk sayang tu,” ungkap Nor malu-malu.

“Sayang B ni, comel,” puji Adib sambil heret Nor semula ke dakapannya.

*****

SELEPAS menghantar Nor pulang ke rumah, Adib keluar semula pergi ke rumah ibu mentuanya. Rancangannya dengan Naim harus dilaksanakan dengan penuh rapi agar tidak terbongkar. Nasib baik Nor percaya dengan alasannya yang mengatakan ada kerja yang perlu diselesaikan di pejabat.
           
Sebaik sahaja Adib sampai dan jejakkan kaki di dapur, Naim sudah menyediakan bahan-bahan dan peralatan hendak buat kuih semperit yang dibeli oleh mereka ketika keluar tadi.
           
Adib sarung apron dan topi. Ah, sudah macam gaya tukang masak professional sahaja rupanya apabila Naim tunjuk gambar yang dirakamkan. Pecah ketawa mereka berdua di dapur.
           
“Okey, jangan buang masa lagi. Mari kita mulakan operasi membuat kuih raya. Mula-mula, abang nak kena buat apa ni?” tanya Adib kepada Naim.
           
“Ketuhar dah dipanaskan. Tepung pun dah diayak. Sekarang, abang pukul mentega dan gula. Lepas dah rata, masuk pulak telur kuning dan esen vanilla. Lepas tu, kacau rata dan sebati.” Naim baca cara-cara buat membuat kuih itu dari Internet melalui tab yang terpegang di  tangannya. Dia tukang baca resepi, Adib tukang buat kuih. Adillah tu.
           
Adib buat seperti yang disuruh. “Lepas tu, buat apa lagi?” soalnya setelah siap buat proses mengadun bahan tadi.
           
“Hmm… Masuk campuran tepung kat dalam campuran abang buat tadi. Uli biar sampai jadi doh lembut.”
           
Adib uli dengan bersungguh-sungguh usai mencampurkan kesemua bahan. Fuh! Penat juga rupanya buat kuih raya ni. Berpeluh dia dibuatnya.  
           
Naim sudah ketawa terbahak-bahak melihat gelagat abang iparnya. Namun dia berasa kagum dengan kesungguhan Adib yang begitu bersemangat hendak menggembirakan hati kakaknya. Bertuah betul Nor dapat suami macam Adib. Dia pun turut rasa beruntung sebab dapat abang ipar yang sporting dan satu kepala dengannya. Boleh buat macam-macam perkara gila dan menyeronokkan.
           
“Okey, siap!” Adib bersorak gembira apabila berjaya membuat doh. Permukaan atasnya ditekan dengan jari telunjuk. Lembut. Serupa macam dalam gambar yang ditunjuk dalam resepi. 
           
“Eh, mana siap lagi, abang. Lepas dah jadi doh, kena masuk doh tu dalam acuan kuih semperit tu pulak.” Naim hulur acuan semperit kepada Adib.
           
“Masuk macam mana pulak ni?” tanya Adib sambil menilik-nilik acuan kuih tersebut.
           
“Sumbat aje doh tu dalam acuan. Lepas tu, tolak. Nanti dia keluar bentuk. Macam dalam gambar ni, ha…” Naim tunjuk gambar yang dimaksudkannya.
           
Adib angguk dan ikut arahan yang diberi. Ceh! Senang sangat rupanya buat kuih semperit ni, desis Adib dalam hati setelah melihat hasil yang terbentuk daripada acuan itu.
           
“Wah, dah jadi tu. Lepas ni, tentu bertambah sayang along dekat abang,” kata Naim yang turut berasa teruja melihat kuih semperit yang tersusun elok di dalam dulang. Tunggu masa hendak dibakar sahaja.
           
Adib sengih. “Mestilah. Dia takkan berani merajuk dengan abang lagi,” ujar Adib. Dulang pertama sudah selamat berada di dalam ketuhar. Hatinya berdoa agar kuih semperitnya tidak mengalami nasib yang sama dengan kuih Nor.
           
“Duit raya angah jangan lupa tau.”
           
“Ada nanti. Tapi angah kena buat kerja yang abang suruh tu dulu. Dah selesai semua, baru abang beri.” Adib kenyit mata nakal.
           
“Okey, set!” Naim acung ibu jari tinggi.

*****

Sehari sebelum raya…

BUNYI hon motosikal dari luar pagar membuatkan Nor berhenti memasang langsir. Dia keluar menjenguk tetamu yang datang.
           
“Cari siapa?” soal Nor setelah menghampiri.
           
“Nor Qaseh Umairah,” jawab lelaki itu.
           
“Sayalah orangnya.”
           
“Ada kiriman untuk akak.” Lelaki itu menghulur bungkusan kotak empat segi yang dibalut dengan sampul hadiah kepada Nor.
           
“Awak ni, pekerja dari syarikat penghantaran mana?” tanya Nor. Dia teragak-agak hendak terima bungkusan tersebut. Kalau Pos Laju, City Link ataupun G-dex, dia kenallah. Boleh dicam melalui logo kenderaan  dan pakaian uniformnya.
           
Tetapi lelaki itu, dia lihat hanya pakai jaket hitam dan seluar jean. Muka pula langsung tidak nampak sebab pakai topi keledar tertutup. Mencurigakan.
           
“Sendirian Berhad.” Lelaki itu menjawab selamba.
           
“Yalah, saya tahulah ada nama Sendirian Berhad kat belakang. Tapi kat depan nama  syarikat awak kerja tu, nama apa?”
           
“Sendirian Berhadlah, kak. Syarikat sendiri-sendiri. Tak ada berdaftar dengan SSM pun. Cepatlah ambil bungkusan ni. Saya ada nak pergi hantar barang kat tempat lain pulak ni.” Lelaki itu mendesak Nor mengambil bungkusan di tangannya.
           
Dalam rasa berbelah bagi, Nor menerima. “Tak ada kena sign apa-apa ke?”
           
“Tak ada.”
           
“Habis tu, macam mana saya nak tahu siapa pengirimnya?” Hisy! Syarikat penghantaran apa macam ni? Nor berasa tidak sedap hati. Betul ke lelaki itu kerja dengan syarikat penghantaran? Tengok gaya macam ada yang tak kena sahaja.
           
“Syarikat penghantaran kami tak perlukan semua tu, kak. Orang suruh hantar barang, kami serah aje. Lepas tu, selesai.”
           
“Betul ke ni? Takkanlah tak ada buat rekod apa-apa? Kalau pelanggan nak check status penghantaran, macam mana kalau tak ada bukti penerimaan?” Nor menyoal bertalu-talu. Banyak persoalan yang buat dia berasa musykil.
           
“Lecehlah along ni…” Lelaki itu mendecit sebelum menyedari dia tersasul. Alamak! Kantoi. “Okey, kak… Saya pergi dulu. Assalamualaikum!”
           
“Hei! Nanti, nanti! Apa awak sebut tadi? Along?” Nor tahan lelaki itu daripada pergi. Dia mengesyaki sesuatu. Dia buka cermin topi keledar lelaki itu.
           
“Angah?!” Mata Nor buntang tengok wajah Naim.
           
Naim tunjuk isyarat peace kepada Nor. Dalam hati, dia menggerutu sebab Nor berjaya mengesan identitinya.
           
Nor mendengus. Geram betul dia dengan Naim. Hampir-hampir dia terpedaya tadi. Naim ni memang nak kena luku kepala dengan dia agaknya.

“Apa semua ni, angah? Dah lama buat kerja macam ni?” Rahang Nor bergetap tahan perasaan marah.
           
“Baru hari ni. Angah tolong orang aje ni. Sambil-sambil tu, cari duit raya sikit.” Naim sengih sambil buat muka tidak bersalah.
           
“Tolong siapa? Ni, barang apa angah hantar dekat along ni?” Nor masih tidak berpuas hati dengan jawapan Naim.
           
“Mana boleh cakap. Itu semua private and confidential. Dah termaktub dalam perjanjian,” balas Naim. Kalau dia beritahu Nor, tak ada kejutanlah nanti.
           
“Along tak kira! Along nak tahu jugak siapa pengirimnya? Cepat beritahu along.” Nor terus mendesak Naim.
           
“Rahsia.”
           
“Angah, kau jangan main-main dengan along. Along mengadu dekat mak nanti baru tahu.”
           
Naim menggerising. Nak ugut dialah pula. “Mak pun tahulah fasal hal ni.”
           
Ha? Nor melopong. Jadi, ibu dia pun terlibat sekalilah? Eii… Konspirasi apakah semua ini? Nor semakin tidak sedap hati.
           
“Tak payah banyak tanya sangatlah, along. Bila along buka bungkusan tu nanti, along tahulah siapa pengirimnya. Okeylah, angah nak balik dulu. Jangan lupa baca bismillah banyak-banyak nanti.” Naim terus memecut laju motosikalnya meninggalkan Nor.
           
Nor masuk semula ke dalam rumah. Tanpa buang masa, dia terus mengoyak bungkusan itu. Jantungnya berdebar-debar ingin tahu isi kandungannya. Jangan si pengirim itu kirim bom sudahlah. Karang meletup rumah dia, beraya di tempat lain pula dia nanti.

Mata Nor membulat tiba-tiba. Kuih semperit! Hisy, siapa pula yang kirim kuih raya itu kepada dia? Dua balang besar pula tu. Misteri sungguh. Eh, ada kad raya juga. Nor cepat-cepat membuka dan membacanya.
           
Sayang,
             
Kuih semperit tu B hadiahkan buat sayang sebagai ganti kuih semperit sayang yang B rosakkan semalam. Makanlah bersama rasa cinta sebab B buat dengan sepenuh cinta B terhadap sayang. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. 

Yang selalu mencintaimu,
B

Nor terkaku. Rasa sebak dan terharu datang silih berganti. Perlahan-lahan Nor buka balang plastik kedap udara itu dan tarik keluar sekeping biskut. Dia makan sambil tahan sebak yang datang menghimpit. Tak sangka Adib sanggup buat kuih itu untuk dia.
           
“Sayang!” Adib menjerit kuat dari muka pintu.
           
Nor tersentak. Biskut di tangannya terlucut dan jatuh ke lantai. Dia angkat muka dan pandang Adib yang sedang merenungnya tidak berkelip.
           
“Sayang tak puasa ke hari ni?” tanya Adib.
           
Nor berhenti mengunyah. “Alamak! Lupa!” Seperti lipas kudung Nor berlari pergi ke dapur, memuntahkan semula makanan di dalam mulutnya.


*****

“JANGAN gelak! Karang sayang merajuk lagi baru tahu.” Nor tarik muka masam di depan Adib. Geram betul dia dengan Adib yang masih belum berhenti mentertawakannya sejak kejadian makan biskut semperit tadi. Eii… malunya dia. Mana hendak sorok muka ni?
           
“Mentang-mentanglah abang suruh makan bersama cinta, terus sayang makan ya. Tak ingat dah yang sayang tu tengah puasa.” Adib terus galak mengusik Nor. Aduh, Sakit perut dia ketawa banyak sangat.
           
“Jahatlah B ni…”
           
“Bukan jahatlah, sayang. Romantis.” Adib betulkan kata-kata Nor.
           
Nor senyum. Hmm… memang Adib romantis pun. Bahagianya dia rasa dapat memiliki suami seperti Adib.
           
“Perasan!” Nor jelir lidah. Padahal, hatinya sudah berbunga-bunga.
           
“Sayang suka tak dengan hadiah yang B beri tu?”
           
Nor angguk. “Suka. Sedap sangat. Tapi mana B belajar buat kuih tu?”
           
“Belajar dari Pak Cik Google aje.” Adib sengih. Terima kasih kepada Naim yang mengusulkan cadangan itu.

“Bila masa B buat?”
           
“Malam tadi, lepas hantar sayang balik. B buat kat rumah mak. Angah jadi assistant B.”
           
“Oo… jadi B tipu sayanglah? Cakap ada kerja kat pejabat. Padahal pergi buat kuih raya dekat rumah mak. Pandainya!” Perut Adib menjadi sasaran tangan Nor.
           
Adib mengaduh sambil ketawa. “B tak ada niat pun nak tipu sayang. B Cuma tak nak sayang tahu. Kalau tak nanti, kantoilah B.”
           
Nor mencebir. “Angah menyamar jadi pekerja syarikat penghantaran tu, idea B jugak, kan?”
           
“Terpaksalah B upah angah. Kalau B guna Pos Laju, lepas raya nanti baru kuih raya tu sampai kat tangan sayang tau,” jelas Adib.
           
“Berapa B beri upah dekat dia?” soal Nor ingin tahu.
           
“Dua ratus aje. Lepaslah dia nak buat belanja beli baju raya. Yang penting, kuih raya B selamat sampai ke tangan sayang sehari sebelum raya.”
           
“Hmm… Memang sesuai sangatlah B jadi abang ipar dia. Sama-sama gila,” ujar Nor. Patutlah Naim beria-ia sangat menolong Adib. Upah yang Adib beri boleh tahan lumayan juga. Tetapi kalau bab duit,  dia tahu Adib tidak pernah berkira.
           
“B memang gila. Gilakan sayang,” bisik Adib di telinga Nor.
           
Kata-kata Adib buat Nor semakin jatuh cinta terhadap suaminya. “Buka puasa petang nanti, kita berbuka dengan kuih semperit B tu ya. Kita makan bersama rasa cinta.”
           
Adib cubit pipi Nor. Dia angguk, tersenyum bahagia.


*****

Satu hari di hari raya…

“SAYANG! Cepatlah sikit. Apa yang sayang buat lama sangat kat dalam tu? Angah dah telefon B dua tiga kali dah ni.” Adib melaung dari muka pintu. Jenuh dia tunggu Nor keluar. Perempuan kalau bab bersiap memanglah. Berat hendak berpisah dengan cermin.
           
“B, tudung sayang tak nak jadi. Tengok ni…” Nor merengek sambil tunjuk depan tudungnya yang kelepet kepada Adib.
           
“Alah, sayang ni… Padahal, nak manja-manja dengan B. Nak suruh B yang betulkan tudung sayang tu, kan?” Adib sengaja menyakat Nor. Tidak semena-mena lengannya dicubit oleh Nor selepas itu.
           
“Mengada!” Nor mencebir.
           
“Mengada dengan isteri sendiri tak apa. Asalkan bukan dengan Lisa,” seloroh Adib lagi.
           
Nor ketap bibir. Eii… Nak raya pun ingat kekasih lama lagi ke? Memang sengaja nak cari fasal dengan dia Adib ni, gerutu Nor. Nama Lisa memang sentiasa membuatkan hatinya terasa  panas.
           
“Tadi B baru aje lepas minta maaf dengan sayang. Sekarang, dah nak sakitkan hati sayang semula.”
           
Adib mengekek. Cemburulah tu.

“Alah, B gurau aje, sayang. B minta maaf ya. Meh sini, B betulkan tudung sayang tu,” ujar Adib lantas membetulkan tudung Nor.
           
“Okey, dah cantik dah.” Adib senyum pandang Nor.
           
Nor berpaling menghadap cermin berdekatan pintu. Dia senyum.

“Okey, jom kita gerak pergi rumah mak sekarang. Eh, sekejap. Sayang lupa nak ambil sesuatu. B tunggu sayang kat dalam kereta ya.” Nor berpatah masuk ke dalam rumah semula.
           
Adib hanya menggeleng. Dia berlalu masuk dalam kereta menghidupkan enjin.
           
“Sayang lupa ambil apa tadi?” soal Adib setelah Nor masuk ke dalam kereta.
           
“Semperit cinta kita.” Nor tayang balang kuih raya itu kepada Adib.
           
Bibir Adib tersungging senyum. Dia tidak mahu mempersoalkan. Dia cuma ingin mengatakan sesuatu.
           
“Sayang, cukup-cukuplah tu buat B jatuh cinta dekat sayang. Kita pergi beraya dulu ya? Balik raya nanti, kita sambung bercinta lagi, boleh?”
           
Nor tergelak. Dia angguk perlahan. “Okey, B.”
           
Pipi Nor diusap lembut. “I love you, sayang,” bisik Adib sambil mengukir senyum.
           
“I love you too.” Nor peluk bekas semperit itu erat-erat.

Syawal kali ini terasa indah. Ada Adib. Ada semperit. Ada cinta. Ada bahagia. Terima kasih, Tuhan.

© Reeani Annur – Benci Tanda Sayang 2013
           

13 comments:

  1. waaaaaa......seronoknya baca n3 ni
    senyum x sudah ni.....
    best yg sgt best.....
    tq tq tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waaah! Akak pun senyum tak sudah baca komen Nana ni. Terima kasih dik sebab sokong BTS. Muaah!

      Delete
  2. Best gilalah adik..terubat rindu dgn adib n nor...sukalah adib, nakal-nal gitu. Nor pun sma, garang tapi manja..hehehe..*****untuk adik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah! Ada bintang jugak ke acu? Hihihi.. Terima kasih. Adik simpan dalam hati. :)

      Delete
  3. Replies
    1. Tq Baby Mio. Ha, nanti tunggu Meow! Kau Curi Hatiku versi raya pulak ye.

      Delete
  4. lepas mio kau curi hatiku pulak versi raya.

    ReplyDelete
  5. Best tu aje yg mampu akk katakan huhuhu

    ReplyDelete
  6. sweet...terfikir betul ke adik uda yg tak kawin lg buat story nih...hahahaha...mmg besttt

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamak! Kantoi uda bocor status adik. Hahaha... sweet sikit-sikit dan terkawal bolehlah adik tulis, uda. Tapi kalau sampai tahap nak kena kencing manis tu tak retilah adik... ngeeee! Tq uda.

      Delete