29 June 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 6

SIAP! Naim menutup dokumen tender yang tebal di hadapannya sambil menarik nafas lega. Barulah dia boleh bernafas sedikit. Dia bersandar malas sambil memejam matanya. Melepaskan rasa letih yang dialami setelah hampir separuh hari dia bergelumang dengan kerja-kerja di pejabat.

Perutnya berbunyi tiba-tiba. Naim celik mata semula. Jam di tangan ditoleh. Sudah mencecah pukul 1.45 petang. Patutlah perut dia menggila lapar. Dia bingkas dari kerusi dan mengorak langkah keluar dari bilik. Misi mencari makanan yang sedap-sedap bermula!
           
Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, telefon yang terpegang di tangan berkelip-kelip menyala. Nama Bella terpampang di skrin. Naim mengeluh. Hai, masa-masa beginilah baru Bella sibuk hendak menelefon dia. Akhirnya, butang menjawab panggilan ditekan dan telefon ditekapkan ke telinga.
           
“Sayang….” Suara Bella berjeda panjang dalam keadaan sayu sebelum sempat Naim membuka mulut.
           
“Bella, kenapa dengan you ni? You tak sihat ke?” soal Naim sedikit cemas. Jarang sekali Bella telefon dia dalam nada sedih begitu. Yang dia selalu dengar hanyalah nada-nada yang ceria sahaja. Kadang-kadang nadanya mengada-ada sedikit. Begitulah Bella yang dia kenal. Tetapi kali ini lain macam sahaja bunyinya. Ada sesuatukah yang terjadi?
           
“Bukan I tapi Chicky. I tengah susah hati ni, sayang. Chicky tak mahu makan. Dia asyik termenung je dari pagi tadi. I risau ni,” kata Bella diiringi satu keluhan yang berat, menggambarkan betapa dia benar-benar runsing.
           
Naim tercengang. Chet! Buang karang sahaja dia berasa risau tadi. Ingatkan Bella yang sakit, tetapi rupa-rupanya kucing Bella, Chicky. Kalau Chicky yang sakit, tak beritahu dia pun tak apa. Bukan dia kisah sangat pun fasal kucing kesayangan Bella itu.
           
“Habis tu, kalau you beritahu I, I boleh buat apa? I bukannya ada ubat nak sembuhkan dia.” Mati lebih bagus kut. Naim menyambung ayat terakhir itu di dalam hati.
           
“Sayang, you tolong I bawakan dia pergi ke klinik, boleh? I risaulah kalau jadi apa-apa dekat dia.”
           
Naim meneguk air liur. Gerun semacam dia mendengar permintaan Bella itu. Oh, itu kerja gila namanya. Mana mungkin orang yang tidak sukakan kucing seperti dia akan bawa kucing pergi ke klinik. Mimpi di siang hari sahajalah.
           
“Kenapa I pulak? Itukan kucing you. You pergilah hantar sendiri. I nak keluar pergi lunch ni. I Belum makan apa-apa lagi sejak dari pagi tadi. Perut I lapar tau. Lagipun….”
           
“Ala… takkanlah you sanggup biarkan kucing I ni sakit macam ni? Makan tu bila-bila masa pun you boleh makan. Tapi kucing I ni, kalau tiba-tiba je dia sakit tenat, macam mana?” Bella lebih pantas menyampuk kata-kata Naim.
           
Naim tercengang lagi. Mudahnya Bella bercakap. Seolah-olah kucing itu lebih penting berbanding dirinya. Bella tidak tahukah betapa perut dia ini sudah mencucuk-cucuk sakitnya minta diisi. Ini pilih kasih namanya apabila melebih-lebihkan hal lain berbanding hal kekasih sendiri. Ah, tidak semena-mena pula dia rasa cemburu dengan kucing jantan itu.
           
“Yang you beria-ia sangat nak suruh I pergi hantarkan dia pergi ke klinik, kenapa? You kan tak kerja hari ni. You jelah yang pergi hantar sendiri,” jawab Naim. Dia malas mahu membuat kerja yang buang masa begitu. Banyak lagi hal lain yang lebih penting dia mahu buat. Makan, salah satu daripadanya. Dia fikir, itu lebih nikmat berbanding hantar kucing pergi ke klinik.
           
“I mana boleh pergi. Nanti kalau I pergi, siapa pulak yang nak jaga Anchu kat rumah? Lagipun, Anchu belum mandi dan makan lagi ni.”
           
Pulak dah! Naim menepuk dahinya berulang-ulang kali. Sakit hati sungguh dia mendengar jawapan Bella itu. Semuanya memihak kepada kucingnya sahaja.
           
“Sayang, you tolong I ya. You datang ambil Chicky dan bawa dia pergi ke klinik sekarang. Please….” Bella terus memujuk Naim dengan nada suara manja yang kedengaran sedikit mengada-ada.
           
Naim mengeluh panjang. Bukan sebab jiwa dia bergetar mendengar rayuan Bella, tetapi disebabkan Bella tidak mengerti keadaannya yang sedang kelaparan.
           
“Sekarang mana boleh. I nak pergi makan ni.”
           
“Ala, sayang… bolehlah. Tolonglah I, pergi hantarkan Chicky pergi ke klinik sekejap. Bukannya lama sangat pun. Lepas dah bawa dia pergi jumpa doktor, you pergilah makan.” Bella masih belum mahu berputus asa melembutkan hati Naim supaya bersetuju dengan permintaannya.
           
Tangan Naim serta-merta naik ke belakang kepala. Rambut dia yang tersisir kemas sudah menjadi sedikit kusut dek penangan tangan yang ligat menggaru-garu kulit kepala yang tidak gatal. Permintaan Bella itu kian merunsingkan fikirannya. Hisy! Bella ni memang tidak faham bahasa Melayu ke?
           
“Macam ni ajelah. Kalau you nak suruh I hantarkan jugak Chicky tu pergi ke klinik, you tunggu I balik kerja dulu. Nanti I temankan you bawa Chicky pergi sana. Tapi sekarang, I memang betul-betul tak free,” jelas Naim. Kalau kehendak Bella itu dituruti, bila masa pulanya dia hendak makan? Waktu rehat pun hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi mahu tamat. Manalah sempat untuk dia berbuat demikian.
           
“Petang karang? Mana boleh, sayang! Nanti kalau terjadi apa-apa dekat Chicky, siapa yang nak bertanggungjawab?” Suara Bella berubah nada serta-merta. Jika tadi kedengaran manja, tetapi sekarang sudah bertukar sedikit kasar pula.
           
“Habis tu, kalau I mati kebulur, siapa pulak yang nak bertanggungjawab? Sekarang ni, siapa yang lebih you sayang? I ke atau kucing you tu?” Naim bertanya kembali dalam nada geram bersama intonasi suara yang tinggi. Memang dia tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan itu. Bella seolah-olah meminggirkan perasaannya. Kalau beginilah keadaannya, lebih baik Bella bercinta dengan kucing dia sendiri sahaja.
           
Bella berdengus kuat. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi ‘tut’ beberapa kali.
           
Telefon dicampakkan ke atas dashboard kereta. Naim mengeluh panjang sambil meraup muka. Dia katup mata rapat-rapat. Letih betul perasaan dia melayani kerenah Bella yang suka merajuk. Dia memang sudah sedia maklum, jika dia ada meninggikan suara atau tidak dapat memenuhi kehendak Bella, memang Bella akan tarik muka masam dengan dia.
           
Naim termenung lama sebelum tangannya mencapai semula telefon itu dan menekan pantas nombor telefon Bella.
           
“Yalah, yalah… you tunggulah sekejap. Nanti I datang ambil Chicky,” kata Naim sejurus panggilannya disahut oleh Bella. Akhirnya, dia mengalah jua. Kalau dia berkeras sekalipun, dia tidak akan menang juga. Bagaikan sudah termaktub dalam perhubungan mereka apabila Bella merajuk, dia yang kena pujuk. Tetapi apabila tiba giliran dia merajuk, dia sendiri yang memujuk rajuknya. Nak harapkan Bella pujuk dia, tunggu janggut dia tumbuh dululah. Itupun kalau Bella sudi hendak memujuk.
           
Serta merta suara Bella menjerit riang. Rajuknya sebentar tadi sudah bertempiaran lari.
           
“Thank you, sayang. I tahu, you takkan sampai hati biarkan Chicky I sakit. Okey, I tunggu you datang ya. Bye!” Bella menoktahkan bicaranya sekaligus memutuskan panggilan.
           
Muka Naim berkerut memandang telefon.
           
“Huh! Ni bukan fasal tak sampai hati tengok kucing kau sakit. Tapi sebab aku tak sampai hati tengok orang yang aku sayang merajuk. Kalau tak, jangan haraplah aku nak peduli dengan semua tu!” omelnya dalam geram yang tidak tertahan. Terpaksalah dia korbankan waktu makannya walaupun perut dia sudah mencucuk pedih. Semuanya sebab Chicky. Siaplah kau nanti, Chicky! 

*****

MATAHARI mencacak tinggi di atas kepala. Peluh mulai berembun di dahi. Namun, Husna terus mengheret kaki tanpa arah tujuan. Mahu meneruskan agenda mencari kerja, rasanya seperti sudah penat sahaja. Penat naik lif dan turun naik tangga pejabat orang. Namun hasilnya tetap mengecewakan. Pelik sungguh. Orang lain dia lihat senang-senang sahaja dapat kerja, tetapi dia pula satu peluang pun susah nak dapat. Malangnya nasib dia. Husna mengeluh mengenangkan kesukarannya memperolehi pekerjaan.
           
Tetapi apabila dia menyedari keterlanjurannya, dia cepat-cepat beristighfar. Mungkin semua ini ujian Tuhan buat dirinya. Bak kata ibu dia kepada ayahnya semalam, mungkin rezeki dia lambat tiba dan dia tidak seharusnya berasa kesal. Yang penting dia sudah berusaha sedaya upaya. Selebihnya, biarlah dia bertawakal sahaja.
           
Husna terus melangkah sambil meliarkan mata ke arah deretan bangunan yang tersergam tinggi di kiri dan kanan kawasan yang dilaluinya. Secara tidak sengaja, dia turut terpandang sebuah klinik haiwan. Lantas, dia teringatkan kucing yang dilanggar semalam. Bagaimanakah keadaan kucing itu sekarang? Dia tertanya-tanya sendirian. Akhirnya, Husna memanjangkan langkah pergi ke klinik haiwan tersebut.
           
“Ha, Cik Husna… datang nak tengok kucing ke?” Doktor Haikal, doktor haiwan yang bertugas di klinik itu ramah menyapa Husna sebaik sahaja ternampak Husna masuk ke dalam kliniknya. Kebetulan pula ketika itu tidak ada pesakit.
           
“Ya, doktor. Macam mana keadaan kucing tu sekarang?” tanya Husna sambil menguntum senyum. Dia selesa sekali berbual dengan doktor itu kerana orangnya sangat ramah. Rupa parasnya juga boleh tahan kacak. Berkaca mata berbingkai hitam, rambut belah tepi dan ada sejemput janggut di dagu.
           
“Nampaknya, keadaan dia dah semakin baik berbanding semalam. Pembantu saya cakap, dia dah mula makan pagi tadi. Mari saya bawakan awak pergi tengok dia,” ajak Doktor Haikal seraya berjalan mendahului Husna di hadapan.
           
Husna mengekor dari belakang. Doktor Haikal menjemputnya masuk ke dalam sebuah bilik yang menempatkan kucing-kucing yang tercedera dirawat. Dia kira, itu merupakan wad kucing. Kucing-kucing di situ ditempatkan di dalam sebuah sangkar khas berjaring yang panjang. Setiap sangkar itu juga turut mempunyai nombor sangkar masing-masing sebagai pengenalan identitinya.
           
Doktor Haikal berhenti di sangkar nombor lima di mana kucing tersebut ditempatkan. Pintu sangkar dibuka luas. Tangannya ligat mengelus-elus badan kucing yang terbaring lemah itu. Namun kondisinya tidaklah selemah semalam.
           
“Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi, keadaan dia akan bertambah okey. Awak tak perlu risaulah. Kucing ni, saya tengok semangatnya kuat,” terang Doktor Haikal. Sebagai seorang pakar haiwan, dia sememangnya boleh mengenal pasti daya semangat dan kekuatan yang dimiliki oleh haiwan-haiwan yang dirawatnya.
           
“Baguslah kalau macam tu. Saya harap, kucing ni akan cepat sembuh. Nanti legalah sikit hati saya ni, doktor,” jawab Husna. Matanya mengerling kucing itu sambil mengukir senyum. Kucing itu memberi respons dengan mengeong perlahan apabila Doktor Haikal mengusap-usap badannya.
           
“Bagus ada orang macam awak ni. Kasihkan haiwan macam kasihkan nyawa sendiri. Mujurlah awak cepat-cepat bawa dia ke sini semalam. Kalau kucing ni lambat dirawat, mungkin peluang dia untuk hidup tipis.”
           
Husna tertunduk malu mendengar pujian yang dihamburkan oleh Doktor Haikal kepadanya. Apa yang dia lakukan adalah sebahagian daripada tuntutan dan  tanggungjawabnya sebagai seorang manusia. Bukankah setiap hamba Allah itu perlu ada sifat saling kasih mengasihi sesama makhluk.
           
“Kucing pun sama macam manusia jugak, doktor. Ada hati dan perasaan. Cuma orang yang langgar dia tu aje yang tak ada hati dan perasaan,” kecam Husna mengenai sikap lelaki yang melanggar kucing itu. Hatinya masih lagi berasa marah apabila mengingatkan sikap tidak bertanggungjawabnya. Tidak bolehkah tanamkan sedikit perasaan belas ihsan terhadap kucing walaupun tidak sukakan haiwan itu? Bukannya susah sangat pun.
           
“Betul cakap awak tu, Husna. Tapi tak apalah, yang penting kucing ni dah selamat. Saya akan pantau keadaannya sampai dia sihat semula. Insya-Allah, dia akan pulih seperti sediakala.” Doktor Haikal memberi jaminan. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan Husna. Tangannya sudah berhenti menggosok badan kucing dan diselukkan ke dalam poket baju kot putihnya pula.
           
Perbualan mereka terganggu sejenak apabila pembantu Doktor Haikal menjengulkan kepalanya di dalam bilik itu, memaklumkan Doktor Haikal mempunyai pesakit yang perlu dirawat. Doktor Haikal meminta diri dan meninggalkan Husna keseorangan di situ.
           
Kini giliran Husna pula yang membelai-belai tubuh kucing itu. Air matanya bergenang melihat ketabahan yang dipamerkan oleh haiwan tersebut. Lawanlah kesakitanmu itu, wahai kucing.  Esok masih ada sirna buatmu. Desis hatinya.
           
“Kucing, kau kena kuat semangat tau. Nanti bila kau dah sembuh, aku bawa kau balik ke rumah aku dan tinggal dengan aku jelah. Rumah aku pun banyak kucing. Nanti kau boleh kawan dengan dia orang,” kata Husna. Di hatinya sudah terdetik mahu membela kucing itu. Tetapi biarlah keadaannya pulih terlebih dahulu.
           
Hampir lima belas minit meluangkan masa di situ, Husna memutuskan mahu pulang. Tombol pintu dipulas dan dia menapak keluar. Usai menutup pintu dan berpaling ingin pergi, tanpa disengaja dia terlanggar sesusuk tubuh yang kebetulan juga baru keluar dari bilik hadapan bersetentangan dengan bilik dia keluar tadi.
           
“Err… maaf, encik. Saya tak sengaja,” ucap Husna kelam-kabut. Mujur dia sempat memegang bakul yang dibibit oleh lelaki itu daripada terjatuh. Kenapalah dia cuai sangat. Dia sempat memarahi dirinya sendiri. Bakul itu dihulurkan semula kepada lelaki dilanggarnya tadi.
           
“Eh, kau lagi!” Muka lelaki itu terkejut apabila terpandangkan wajah Husna.
           
Husna mendongak. Terus sahaja matanya membesar. Dia mula rasa tidak tentu arah. Kenapa banyak sangat pertemuan yang tercipta di antara dia dengan lelaki itu hari ini? Adakah ini yang dikatakan jodoh? Ah, tidak inginlah dia berjodoh dengan pembuli kucing. Tanpa berlengah, Husna cepat-cepat berjalan menuju ke pintu keluar.
           
“Hei! Tunggu! Aku ada sesuatu nak minta tolong dengan kau ni.” Lelaki itu  berteriak dan tergesa-gesa mengejar Husna dari belakang. 
           
Husna berhenti melangkah. Perlahan-lahan dia memusingkan badan, menghadap lelaki itu semula. Hatinya menahan debar melihat langkah lelaki itu yang semakin mendekat.
           
“Aku….”
           
“Chicky Arshavin….” Tiba-tiba nama tersebut dipanggil oleh seorang petugas di kaunter.
           
Secara serentak, mata lelaki itu dan mata Husna ditarik ke arah kaunter. Sepatah ayat yang keluar dari mulut lelaki itu tadi tergantung lama. Kemudian, lelaki itu menoleh Husna semula.
           
“Aku nak pergi settlekan urusan kat kaunter sekejap. Kau jangan lari ke mana-mana tau. Tunggu aku kat sini,” pesan lelaki itu sebelum terkocoh-kocoh menghampiri kaunter.
           
Husna hanya memerhati gelagat lelaki itu. Apa pula lelaki itu buat di klinik haiwan ini? Takkanlah ada kucing yang dia langgar lagi kut. Ah, takkanlah baik sangat pembuli kucing itu nak bawa kucing yang dilanggarnya ke klinik. Semalam pun, dia sendiri yang hantarkan, bukannya lelaki itu. Lelaki itu cuma menghantarnya di luar klinik sahaja. Itupun setelah jenuh memaksa.
           
“Ada apa ni, encik? Apa yang encik buat kat sini? Encik langgar kucing lagi ke?” soal Husna bertalu-talu setelah mereka berdua keluar dari klinik. Hatinya dihujani pelbagai persoalan.
           
Lelaki itu meletakkan bakul yang dipegangnya di atas lantai. Sejurus kemudian, dia menepuk-nepuk kedua-dua belah tangan. Badannya digigilkan apabila memandang bakul tersebut.
           
“Huh, kalau aku langgar, tak adanya aku baik hati nak datang hantar dia ke klinik. Biar jelah dia mati kat tepi jalan tu,” jawabnya sinis. Dia menjeling Husna tajam.
           
Husna mencebik. Naik menyampah pula dia mendengar jawapannya. Tanya elok-elok pun dijawab secara kurang ajar. Hatinya berasa geram. Memang sah lelaki itu manusia yang jenis tidak ada hati dan perasaan!
           
“Habis tu, dalam bakul tu apa? Biawak ke?” Sinis Husna bertanya sambil melipatkan kedua-dua tangannya ke dada. Rasanya tidak salah kut kalau dia meniru rentak percakapan lelaki itu. Kalau dia bercakap lembut pun lelaki itu bercakap kasar juga.
           
“Biawak abah kau! Ni kucing girlfriend aku, Chicky. Yang kau duk mandikan semalam tulah. Kau dah lupa? Agaknya kau ni menghidap penyakit nyanyuk tahap kronik kut.” Lelaki itu pulangkan paku buah keras kepada Husna. Wajahnya begitu bera sekali apabila Husna menyindirnya.
           
Chikcy? Akhirnya Husna berjaya menangkap kucing yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Oh, jadi Chicky Arshavin itu tadi nama penuh kucing kekasih lelaki itulah. Mak aih, nama… bukan main hebat lagi. Macam nama pemain bola antarabangsa Rusia, Andrey Arshavin. Manalah dia nak tahu Chikcy Arshavin itu merupakan kucing sama  yang dia mandikan semalam.
           
“Kenapa dengan Chicky? Dia sakit ke?”
           
Husna cepat-cepat tunduk menjenguk Chicky di dalam bakul. Kata-kata pedas yang ditujukan kepadanya sudah tidak diambil peduli lagi setelah mengetahui keadaan kucing itu. Dari celah-celah lubang bakul itu, dia dapat melihat Chicky sedang mengekerot dan kelihatan sedikit lemah.
           
“Semalam, saya tengok kucing ni sihat je. Kenapa hari ini tiba-tiba jatuh sakit pulak?” tanya Husna lagi. Dia pandang lelaki itu meminta kepastian.
           
“Kau tanya aku, manalah aku tahu! Aku ni bukannya hantu kucing macam kau yang tahu serba-serbi fasal kucing. Dah, dah… kau jangan tanya aku banyak-banyak. Aku malas nak jawab. Ni, aku nak minta tolong sesuatu dengan kau, boleh?” Lelaki itu bertanya sambil menjongket kening tinggi. Soalan Husna terus berkubur tanpa jawapan.
           
“Tolong apa?”
           
“Tolong aku jagakan kucing ni sekejap. Aku nak pergi makan.”
           
Ha? Mulut Husna ternganga. Lelaki ni sebenarnya betul ke tak betul? Semalam suruh dia mandikan kucing, beri kucing makan dan tidurkan kucing. Hari ini suruh jaga kucing pula? Kenapa mesti dia?
           
“Err… kalau macam tu, encik bawalah dia pergi makan sekali,” cadang Husna. Hisy! Ingat dia ini ada banyak masa sangat ke nak jaga kucing orang lain? Dia nak balik rumahlah.
           
“Takkanlah sambil aku makan, aku nak kena jaga dia pulak. Tak berseleralah aku makan nanti. Kau suka kucing, kan? Ha, kau tolonglah jaga kucing ni untuk aku sekejap. Lagipun perut aku dah lapar sangat-sangat ni. Aku belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi, tahu?”
           
Lelaki itu menekankan perkataan ‘tahu’ sambil mendekatkan mukanya ke muka Husna. Bebola matanya mencerlung Husna dengan tajam .
           
Kepala Husna terdorong sedikit ke belakang dan matanya terkelip-kelip memandang wajah lelaki itu. Air liurnya tersekat-sekat di kerongkong. Eii… cara lelaki itu bercakap macam gaya ah long nak minta hutang sahaja. Kecut perut dia dibuatnya. Tidak beragak langsung!
           
“Hoi! Yang kau duk tengok-tengok aku macam orang tak puas hati ni, kenapa? Boleh ke tidak ni?” sergah lelaki itu sambil mencekak pinggangnya.
           
Husna tersentak. Hei, dia ni… tidak boleh cakap elok-elokkah? Sudahlah nak minta tolong dengan orang, tetapi budi bahasa dicampak ke laut. Pelik betul. Biasanya, lelaki kalau berjumpa dengan mana-mana perempuan, tutur katanya semua manis-manis belaka. Namun lelaki ini tidak. Mulutnya jenis mulut longkang, yakni setiap kata-kata yang dilafazkan hanya menyakitkan hati dan perasaan dia sahaja.
           
“Hmm, yalah….” Husna akhirnya bersetuju. Ah, dia malas mahu bertekak dengan lelaki itu. Sebab itu dia bersetuju sahaja.
           
“Bagus! Kau duduk kat situ jaga kucing tu sampai aku datang ke sini semula, tahu?”
           
Lelaki itu meninggalkan Husna dan berjalan ke arah sebuah sebuah restoran berhampiran. Bayangannya menghilang setelah masuk ke dalamnya.
           
Husna pula duduk di kaki lima sambil mengosok-gosok tubuh Chicky sedang tidur lena. Terasa panas sedikit suhu badannya. Mungkin kucing itu demam. Dia menduga sendiri. Ketika dia leka bermain-main dengan Chicky, tiba-tiba lelaki itu muncul kembali di hadapannya.
           
“Eh, cepatnya encik makan?” tegur Husna hairan. Dia segera bangun dan menyapu kotoran di belakang punggungnya. Takkan makan pun macam pelesit juga?
           
“Makan apa, semua lauk kat kedai tu dah habis licin. Makan angin jelah perut aku ni,” jawab lelaki itu. Terpamer riak hampa di wajahnya.
           
“Habis tu, macam mana sekarang?”
           
“Tak apalah, nanti aku cuba tengok kat kedai lain pulak. Kau tolong aku lagi sekali bawa kucing tu masuk ke dalam kereta aku,” arah lelaki itu seraya berlalu ke arah keretanya yang diparkir di hadapan klinik tersebut.
           
Husna mengetap bibir. Sekali lagi? Ingat dia ini kulikah nak suruh buat itu dan ini sesuka hati? Tadi boleh sahaja pegang bakul itu sendiri. Sekarang, tiba-tiba suruh dia pula? Huh, ambil kesempatan betullah mamat ni. Dalam terpaksa, Husna menurut. Pintu kereta bahagian penumpang belakang dibuka dan bakul itu diletakkan di tengah-tengah kerusi.
           
“Bye, Chicky. Jangan lupa makan ubat ya. Nanti cepat sembuh,” pesan Husna kepada Chicky sebelum menutup pintu kereta. Dilambai-lambaikan tangannya sebagai tanda perpisahan.
           
“Kau pesan dekat kucing macam tu, dia faham ke apa yang kau cakap?” tegur lelaki itu yang sedari tadi memerhatikan gelagat Husna.
           
“Fahamlah kut. Kalau orang macam encik yang cakap, barulah dia tak faham,” perli Husna, lantas menghempas pintu kereta dan berlalu pergi.
           
“Hoi! Kau nak ke mana tu?” tanya lelaki itu setelah Husna menapak agak jauh.
           
“Balik!” jerit Husna tanpa menoleh.
           
“Jomlah, aku hantarkan.”
           
Husna segera berpaling. Dia salah dengarkah?

© Noraini Mohamad 2012
 

15 June 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 5

HARI sudah melewati waktu tengah hari. Husna membuat keputusan untuk berhenti makan di sebuah kedai makan yang terletak di pinggir jalan raya besar itu. Setelah hampir separuh hari dia mencari kerja, akhirnya barulah dia tersedar bahawa perutnya itu masih belum terisi apa-apa makanan sejak dari pagi.
           
Di rumahnya pagi tadi, ibunya ada memasak nasi goreng untuk sarapan. Namun dia tidak menjamah. Bukan tidak sedap, tetapi kerana ingin mengelak daripada bertembung dengan ayahnya. Hatinya masih lagi terasa dengan kata-kata ayahnya malam tadi. Hanya air kosong sahaja yang diminum sebagai alas perutnya.
           
Husna melewati meja yang tersusun dengan pelbagai jenis lauk-pauk di atasnya. Dia rambang mata. Semuanya sedap-sedap belaka. Namun akhirnya lauk ayam goreng dan sayur lemak pucuk paku yang menjadi pilihannya. Cukuplah untuk mengisi kekosongan perutnya. Yang penting dapat menghilangkan rasa lapar. Dia pun bukanlah seorang yang cerewet sangat dalam soal makan.
           
Ketika dia sedang makan, terasa kakinya digesel-gesel oleh sesuatu. Husna segera tunduk ke bawah meja. Ada seekor kucing sederhana besar mengeong meminta diberikan sesuatu.
           
“Hei, comel… kamu lapar ya? Nak makan?” tanya Husna. Beberapa pasang mata yang melihat gelagatnya bercakap dengan kucing tidak dipedulikan. Salah ke dia bercakap  dengan kucing? Di rumah pun dia bercakap macam ini juga dengan semua kucingnya.
           
Kucing yang bulunya bertompok warna hitam dan putih itu menyahut, seolah-olah mengiakan pertanyaan Husna. Ia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan mendarat di atas paha Husna, bagaikan meminta simpati.
           
Husna mencubit sedikit isi ayam yang hampir-hampir tinggal tulang di dalam pinggannya, lalu diberikan kepada kucing itu. Dengan lahap, kucing itu makan dan menghabiskannya dalam sekelip mata.
           
Husna tunduk menggosok-gosok belakang badan kucing itu. Dia tahu, kucing itu lapar. Terdetik rasa sedih di hati mengenangkan nasib kucing itu yang terpaksa mencari makan sendiri. Lebih-lebih lagi dalam keadaan fizikalnya yang cacat sebelah tangan. Sekiranya ia kucing buangan, tergamak benar manusia yang menyisihkannya.
           
Selepas habis makan, kucing itu mengeong kembali. Husna beranggapan kucing itu masih lagi berasa lapar. Nasi yang tinggal di dalam pinggannya pula sudah hampir licin dimakannya. Kalau diberi pun memang tidak akan mengenyangkan kucing itu.
           
Oleh kerana tidak sampai hati, Husna bangun semula pergi menambahkan nasi dan mengambil seekor ikan goreng. Lalu, ikan itu gaulkan bersama-sama dengan nasi. Setelah itu, diletakkan nasi yang telah bergaul dengan ikan goreng tadi di atas sehelai tisu. Kemudian Husna meletakkannya di bawah meja. Bersungguh-sungguh kucing itu makan.
           
Belakang badan kucing itu sekali lagi diusap manja. Husna tersenyum sendirian melihat kucing itu mengisi perutnya. Terbit rasa senang hati setelah dapat menolong kucing itu makan. Tambah membuatkan hati dia senang apabila semua nasi yang diberi habis licin dimakan oleh kucing itu. Setelah makan, ia tidur kekenyangan di bawah meja.
           
Husna juga secara tidak langsung turut berasa kenyang.
 

*****

“PAGI tadi saya jumpa dengan Haji Ripin kat kedai Pak Mat. Dia ada tanya fasal anak kita.” Pak Hashim memberitahu Mak Milah mengenai hal tersebut tatkala mereka bersiap-siap mahu menjamu selera makan tengah hari.
           
“Anak kita yang mana satu? Kita ni ada tiga orang anak, bang,” kata Mak Milah sambil menghulurkan mangkuk air basuh tangan kepada suaminya.
           
“Si Husna tulah…,” jawab Pak Hashim sambil menyelukkan tangan kanannya ke dalam mangkuk putih itu. Kemudian, dia menyudu lauk gulai lemak nangka yang terhidang di hadapannya ke dalam pinggannya.
           
Sambil menyuapkan nasi ke dalam mulut, Mak Milah mengerutkan dahinya.
           
“Kenapa pulak si Haji Ripin tu tanya fasal Husna? Dia berkenan dekat anak kita ke?” tebaknya.
           
“Apa pendapat awak, Milah?” tanya Pak Hashim pula.
           
Mak Milah terbatuk tiba-tiba. Sampai berair-air matanya menahan batuk yang menggila itu. Pantas tangannya mencapai gelas berisi air kosong berhampiran, lalu diteguk perlahan untuk menghilangkan batuknya.
           
“Abang ni dah gila ke? Haji Ripin tu kan dah tua. Dah sama umur dengan abang dah. Takkanlah abang jodohkan dia dengan Husna pulak,” bantah Mak Milah setelah batuknya reda. Sungguh, dia benar-benar terkejut dengan hasrat suaminya itu.
           
“Apa salahnya. Diakan duda. Bukannya suami orang. Lagipun, orangnya jugak berduit. Kalau Husna kahwin dengan dia, senanglah sikit hidup dia nanti. Tak payah susah-susah nak cari kerja. Duduk kat rumah je, jaga makan minum pakai si suami. Tiap-tiap bulan, suami beri duit nafkah buat belanja,” jawab Pak Hashim tenang. Mulutnya terus-menerus menyumbat nasi ke dalamnya.
           
“Saya tak setuju! Anak kita tu baru dua puluh enam tahun. Haji Ripin tu, dah lima puluh enam tahun. Lelaki macam dia tu boleh diibaratkan sebagai ayah Husna tau, abang. Bukannya suami!” Mak Milah memandang Pak Hashim dengan pandangan yang kurang puas hati. Selera makannya sudah ditarik pergi sedikit demi sedikit.
           
“Saya cuma fikir untuk kesenangan dia saja. Haji Ripin tu pun bukanlah tua sangat pun. Dia pun berkenan dengan Husna. Salah ke?” tanya Pak Hashim lagi sambil menghentakkan tangannya bagi menjatuhkan nasi yang bertenggek di celah-celah jarinya.
           
“Mana abang tahu hidup Husna akan senang kalau kahwin dengan dia? Kaya tu belum tentu akan buat anak kita berasa bahagia. Kalau nak tengok anak kita senang sekalipun, janganlah sampai sanggup memperjudikan masa depan anak kita, abang.” Mak Milah terus menghentam hasrat Pak Hashim. Kalau dia sendiri yang menentang, tidak mustahil Husna juga akan turut menentang sama nanti. Siapa yang nak kahwin dengan orang tua?
           
Pak Hashim berhenti menyuap nasi masuk ke dalam mulut. Wajah Mak Milah dipandang lama.
           
“Itulah awak… bila saya nak buat sesuatu untuk anak-anak, awak cakap saya ni gilalah, tak betullah. Cubalah awak fikir ke depan sikit. Kalau Husna tu kahwin dengan Haji Ripin tu, kita jugak yang boleh menumpang kesenangan mereka nanti.”
           
“Habis sekarang, abang rasa kita sekeluarga tak cukup senang ke?” bidas Mak Milah lagi. Sedikit lantang berbanding tadi.
           
“Hati saya ni tak cukup senang tengok anak awak tu. Satu benda pun tak ada apa yang boleh membanggakan saya. Nak contohi abang dan kakak dia tu, lagilah jauh dia nak capai semua tu. Lebih baik dia kahwin saja daripada buat saya rasa malu. Haji Ripin tu, orang paling kaya dekat kampung kita ni tau. Paling kurang, bila dia kahwin dengan Haji Ripin, tak adalah saya rasa malu sangat. Tak ke awak pun berasa bangga nanti bila dapat bermenantukan orang kaya?”
           
Pak Hashim bersungguh-sungguh mempertahankan hasratnya. Dia sudah dapat membayangkan sedikit sebanyak keadaan itu apabila semuanya menjadi kenyataan. Pasti semua orang kampung memuji-muji dia sekeluarga kerana dapat menantu kalangan orang yang berduit. Tentang usia Haji Ripin pula yang sudah memasuki usia emas bukanlah satu persoalan yang besar. Baginya cinta boleh dipupuk dan tidak mengenal usia.
           
“Abang ni, memanglah. Yang kaya, yang berjaya itulah yang abang agung-agungkan sangat. Perasaan anak, abang langsung tak ambil peduli. Walau macam mana sekalipun, saya tetap tak bersetuju dengan keputusan abang!” Mak Milah terus bangun dari kerusi dan membasuh tangannya di singki. Dia benar-benar berasa marah dengan suaminya.
           
Pak Hashim pula hanya mengekori kelibat isterinya yang berlalu dari meja makan. Dia berdengus sambil merungut-rungut sendirian.

*****

MAK MILAH duduk di atas pangkin di belakang rumahnya membawa hati yang kecewa di atas apa yang telah berlaku di antara dia dan suaminya tadi. Segala macam perasaan yang berkampung di dalam dirinya.
           
Kalau benar suaminya benar-benar memaksudkan kata-katanya tadi, dia akan menentang habis-habisan. Manalah dia sanggup melihat anaknya berkahwin dengan lelaki tua seperti Haji Ripin itu. Haji Ripin dengannya pula hanya berbeza umur dua tahun sahaja. Takkanlah mahu jadi menantu dia pula.
           
Memanglah Haji Ripin itu orangnya kaya-raya. Tetapi itu tidak bermakna dia  lelaki yang sesuai dijodohkan dengan anaknya. Siapa yang tidak kenal dengan lelaki itu. Pantang benar apabila melihat perempuan cantik di depan mata. Mulalah datang penyakit gatal macam orang terkena miang buluh. Lagipun, sejarah perkahwinan Haji Ripin banyak yang tidak menyenangkan hatinya.
           
Sebelum ini, Haji Ripin sudah berkahwin sebanyak lima kali. Namun, semuanya tidak kekal lama. Ini disebabkan oleh sikapnya yang mata keranjang. Siapa yang tahan bersuamikan lelaki begitu. Usia sudah tua, tetapi perangai mengalahkan orang muda. Tetapi yang itu jugalah yang suami dia berkenan mahu buat menantu.
           
Sebagai ibu, kalau boleh, dia mahu melihat Husna bertemu jodoh dengan pasangan yang sesuai dengannya. Bukanlah dia memilih sangat, tetapi biarlah semua itu akan menyenangkan hatinya dan hati anaknya juga. Dia yakin, dalam soal ini Husna lebih suka membuat keputusan sendiri berbanding campur tangan orang tua.
           
Walaupun suami dia seringkali mengatakan tiada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan anaknya bongsunya itu, namun dia tetap sayangkan Husna. Husna anak yang baik. Tahu tanggungjawabnya terhadap kedua orang tuanya. Setiap bulan, Husna seringkali menghulurkan duit belanja kepada dia. Sedangkan Taufik dan Lela yang bekerja sebagai pegawai kerajaan pun jarang menghulurkan duit belanja. Namun Husna yang tidak bekerja dan hanya bergantung dengan duit simpanan belajarnya dahulu dilihat lebih bertimbang rasa.
           
Dia hairan melihat sikap suaminya yang bersikap berat sebelah. Kalau dia yang tidak membela Husna daripada ketidakadilan orang lain terhadapnya, siapa lagi?


© Noraini Mohamad 2012
 

02 June 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 4

NAIM mempercepatkan langkahnya apabila menyedari ada seekor kucing berwarna hitam mengekorinya dari belakang sebaik sahaja dia keluar dari sebuah kedai makan. Semakin laju dia berjalan, semakin laju juga kucing itu mengejarnya. Apa hal pula kucing itu mengikut dia? Hatinya tertanya-tanya.         
           
Naim memberhentikan langkahnya dan berpaling ke belakang. Dia benar-benar kecut perut melihat kucing itu berada begitu hampir dengan kakinya. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang dan kucing itu juga ikut menapak sama.
           
“Hei, kucing! Yang kau ikut aku ni, kenapa? Aku ni bukannya tuan kau. Shioh!” halau Naim sambil menggerak-gerakkan tangannya. Sambil-sambil itu, dikerling juga matanya ke kiri dan kanan mencari sesuatu yang boleh dijadikan perisai untuk mempertahankan diri. Sayangnya, tidak ada.
           
Kucing itu memandang Naim dengan pandangan yang cukup tajam sekali. Seolah-olah ada menyimpan perasaan marah terhadap Naim. Mulutnya menyeringai sehinggakan misainya yang panjang itu bergerak-gerak beberapa kali. Manakala suaranya pula mengeluarkan bunyi garau.
           
“Aku kata pergi, pergilah!” Naim menghentakkan kakinya pula, cuba mengacah kucing itu dengan harapan ia akan berasa takut dengannya. Namun kucing itu tetap statik. Malah, ia terus mengeong dalam bahasa yang Naim sendiri tidak faham. Semakin lama semakin garang bunyinya.
           
Sekarang, keadaan sudah bertukar menjadi sebaliknya pula. Bukan kucing itu yang berasa takut dengan Naim, tetapi Naim pula yang berasa semakin takut dengan kucing itu. Tanpa berlengah, Naim terus memecut sekuat hati untuk menyelamatkan diri.
           
Kucing itu mengejar Naim dan menerkam Naim dari belakang.
           
“Argh! Tolong! Tolong! Jangan cakar aku!” 

Naim menjerit kuat sambil menepis serangan kucing hitam itu yang datang bertalu-talu. Dek kegelian bercampur takut, dia jatuh tergolek di atas lantai di kaki lima bangunan. Sementara orang ramai yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu pula hanya memerhati sahaja kejadian kucing menyerang manusia tanpa menghulurkan sebarang pertolongan.
           
“Tolong, kucing… lepaskan aku! Aku tak bersalah!” 

Suara Naim merayu-rayu. Ketakutan yang dirasakannya begitu hebat sekali. Namun, rayuannya seakan-akan tidak diendahkan oleh kucing itu. Seperti berdendam dengan Naim, kucing itu terus mencakar muka Naim tanpa belas. Membuak-buak darah keluar dari bekas cakaran tersebut.
           
“Argh! Sakit! Sakit! Mama… tolong Naim, ma….” 

Naim menggelupur sambil menekup mukanya. Nama mamanya dijerit berulang-ulang kali meminta bantuan. Terasa sungguh pedih sekali apabila kuku kucing yang tajam itu menoreh mukanya. Kulitnya terasa seperti disiat-siat.
           
“Im… kenapa ni?” soal Datin Hanim sambil menepuk bahu Naim. Dia cemas apabila melihat keadaan Naim yang tiba-tiba sahaja meracau seperti orang yang sedang dirasuk. Tangan Naim bergerak ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang menepis sesuatu. Sementara kakinya pula menunjal-nunjal hujung tilam sehingga selimut yang menutupi tubuhnya itu melurut ke bawah.
           
“Im, bangun sayang….” Kali ini goncangan tangan Datin Hanim semakin kuat menggegarkan tubuh Naim.
           
 Naim terus terjaga. Tercungap-cungap nafasnya. Peluh sudah membasahi seluruh muka dan badannya.
           
“Im, kenapa terjerit-jerit ni?” soal Datin Hanim lagi.
           
“Ada kucing kejar Im tadi, mama. Dia cakar muka Im. Mama ada nampak tak  kucing tu? Warna hitam dan badan gemuk. Besar kucing tu, mama….”
           
Mata Naim meliar ke segenap ruang biliknya mencari kelibat kucing yang menyerangnya tadi. Air liurnya ditelan dengan susah payah.
           
“Kucing mana pulak Im cakap ni. Rumah kita mana ada bela kucing. Im ni mengigau fasal kucing agaknya,” jawab Datin Hanim yang akhirnya dapat menebak punca mengapa Naim meracau-racau yang bukan-bukan sebentar tadi.
           
“Hah?” 

Naim terkebil-kebil. Dia memandang lama wajah Datin Hanim yang duduk di birai katilnya. Ketika itu, barulah Naim sedar bahawa itu semua hanyalah mimpi semata-mata. Naim meraup muka sambil menarik nafas lega. Dia ingatkan betul-betul tadi. Ah, apa kejadahnya tiba-tiba sahaja dia mengigau fasal kucing? Yang paling dia benci itulah yang selalu mendatangi dia. Bukankah bagus kalau Lisa Surihani yang muncul dalam igau dia tadi. Hati Naim sempat menggerutu.
           
“Im tidur tak salin baju ke? Tak mandi lepas balik semalam?” Datin Hanim memandang Naim dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Semuanya masih lengkap dengan pakaian kerjanya.
           
Naim tunduk. Dia hanya tersenyum nipis. Dia ingatkan nak tidur sekejap sahaja, tetapi tidak sangka pula terlajak sampai pagi. Isyak ke mana, subuh pun tidak tahu ke mana. Bertambah-tambah dosanya kepada Tuhan.
           
Datin Hanim menggeleng lemah.
           
“Itulah… siapa suruh tak bersihkan diri dulu sebelum tidur. Kan dah dapat mimpi pelik-pelik. Dahlah, bangun cepat. Dah pukul berapa ni. Nanti lewat pulak nak ke pejabat.” Datin Hanim menepuk lembut bahu Naim sebelum bangun dan keluar dari bilik anaknya.
           
Naim hanya memerhati. Selepas Datin Hanim keluar, dipandang sekali lagi ke sekeliling biliknya dengan perasaan cuak. Kelibat kucing hitam gemuk yang menyerangnya masih terbayang-bayang di mata. Ngeri sungguh.
           
Kemudian, Naim bangun dari katil dan mendekati cermin berbentuk empat segi  panjang yang tergantung di dinding bilik. Dia menilik mukanya beberapa kali untuk memastikan wajahnya bukanlah seperti di dalam igauan buruknya tadi. Bibirnya melakar senyum. Mujurlah masih kacak lagi. Hati Naim menghamburkan pujian sebelum tangannya mencapai tuala mandi yang tersidai di rak penyidai berhampiran. Lalu dia  berjalan masuk ke dalam bilik air.

*****

“MANA Naim? Tak bangun lagi ke?” soal Dato’ Mazlan ketika sampai di meja makan untuk bersarapan. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Datin Hanim.
           
“Dah bangun. Tengah mandi agaknya. Tadi masa kejutkan dia, dia meracau-racau jerit minta tolong,” kata Datin Hanim sambil menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan. Aroma nasi lemak itu merebak ke segenap ruang makan. Wangi.
           
“Kenapa pulak dia jerit minta tolong? Apa yang dah berlaku?” Dahi Dato’ Mazlan berkerut hairan.
           
“Mengigau kucing cakar muka dia,” jawab Datin Hanim sambil meletakkan pinggan yang sudah berisi nasi lemak di hadapan suaminya. Kemudian, dituangkan pula kopi ke dalam cawan dan diletakkan di sebelah kiri pinggan tersebut. Selepas itu, barulah disendukkan untuk dirinya sendiri pula.
           
Dato’ Mazlan ketawa kecil. Terasa lucu pula mendengar cerita itu. Dia memang sedia maklum dengan sikap anak lelakinya yang takut dengan binatang berkaki empat itu.
           
“Anak awak tu, nampaknya ke bawa pergi berubat jumpa dengan tok bomoh minta air penawar untuk hilangkan perasaan takut dia kepada kucing,” seloroh Dato’ Mazlan seraya menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya.
           
Datin Hanim ikut ketawa sama.
           
“Tak tahulah saya nak kata apa lagi, abang. Kalau dah memang jenis tak suka kucing tu, buatlah apa-apa pun tetap tak jadi apa-apa jugak.”
           
“Selamat pagi, mama, papa. Ha, pagi-pagi ni dah sebut nama Im, kenapa? Mengata Im ya?” sapa Naim sebaik sahaja datang menyertai Datin Hanim dan Dato’ Mazlan di meja makan itu. Dari jauh, lagi dia sudah mendengar mama dan papanya menyebut nama dia. Pasti ada sesuatu yang diperkatakan oleh mereka.
           
“Ha, im… duduklah. Ni ha, papa duk dengar mama cerita fasal Im mengigau ada kucing cakar muka Im, betul ke?” tanya Dato’ Mazlan sambil memandang Naim yang kelihatan segak mengenakan kemeja ungu polos dan seluar slek hitam.
           
Naim yang baru sahaja duduk di atas kerusi berhadapan dengan Dato’ Mazlan tercengang. Ah, wajahnya terasa membahang. Lebih-lebih lagi apabila melihat ada senyuman terukir di bibir lelaki tua itu. Apabila dia memandang ke arah mamanya, bibir merahnya juga turut ikut tersenyum sama. Apa ni, pakat-pakat mengusik dia pula. Malulah!
           
“Mimpi aje, pa… tak ada apa-apalah,” jawab Naim. Dia mencapai sekeping roti di hadapannya lalu menyapukan mentega kacang di atasnya. Roti itu kemudiannya dikunyah perlahan-lahan.
           
“Tidur dalam keadaan tak bersih macam tu, memanglah dapat mimpi yang buruk-buruk,” sampuk Datin Hanim pula sambil menjeling manja ke arah Naim.
           
“Im letih sangat semalam, mama. Tak sedar bila masa Im terlelap.” Naim tersengih-sengih. Tangannya menjengkau cawan kopi pula. Air di dalamnya dihirup perlahan-lahan.
           
“Jangan amalkan macam tu selalu, Im. Kalau boleh, setiap kali sebelum tidur tu ambillah wuduk. Baca selawat dan ayat Kursi. Barulah terhindar dari mimpi yang bukan-bukan,” nasihat Dato’ Mazlan kemudiannya.
           
Naim hanya mengangguk. Pagi-pagi lagi dia sudah kena dengar ceramah. Beginilah keadaannya kalau dia balik ke rumah mama dan papanya. Selalu sahaja disumbat dengan kata-kata nasihat. Hendak tak hendak, terpaksalah dia menadahkan telinga mendengar semua itu.
           
Oh, patutlah dia selalu mengigau dan mimpi yang bukan-bukan. Selama ini dia tidur bertemankan lagu-lagu jiwang rock kapak zaman 80-an dan 90-an. Bukannya ayat suci Al-Quran. Teruknya dia.

*****

HUSNA berlegar-legar di bawah Wisma Dato’ Mazlan setinggi lima tingkat itu sambil berkira-kira sama ada mahu masuk ke dalam bangunan itu ataupun tidak. Betul ke keputusan yang dia buat ini? Minta kerja dengan syarikat terkenal macam ni, boleh ke diterima bekerja? Tetapi kalau dia tidak cuba, macam mana dia hendak tahu nasibnya baik atau buruk.
           
Akhirnya, setelah berjaya memujuk diri supaya berfikiran positif, Husna melangkah yakin ke arah lif dan pergi ke tempat yang ingin ditujunya. Perasaan takut dan tidak yakin dibuang jauh-jauh.
           
“Selamat datang ke Mazlan Properties Sdn Bhd. Ada apa-apa yang boleh saya bantu cik?” Penyambut tetamu di kaunter hadapan syarikat itu menyapa Husna sebaik sahaja dia mendekati kaunter tersebut. Senyuman manis yang terukir di bibirnya membuatkan hati Husna berasa sedikit lega.
           
“Cik, saya datang nak tanya ada kerja kosong tak dekat sini?” nyata Husna terus terang.
           
“Maaf, cik. Buat masa sekarang belum ada sebarang kekosongan lagi. Biasanya kalau ada, kami akan iklankan dalam surat khabar. Tapi kalau cik tak keberatan, cik boleh tinggalkan dulu resume cik kepada kami.”
           
Begitu ramah sekali penerangan yang diberikan oleh perkerja yang bernama Suri itu. Nama yang tertera di atas tag nama yang tersemat di dadanya.
           
Husna mengangguk tanda faham. Dikeluarkan resume daripada fail yang dipegangnya, lalu dihulurkan kepada Suri.
           
“Nanti kalau ada kekosongan, pihak kami akan hubungi cik semula ya,” kata Suri lagi setelah menyambut resume yang dihulurkan Husna.
           
“Terima kasih,” ucap Husna sambil tersenyum. Kemudian, dia pun berjalan keluar dari pejabat itu dan menuju ke arah lif. Sedang elok sahaja apabila dia sampai di depan pintu lif, lif pun terbuka.
           
Seorang lelaki keluar dari lif ketika dia ingin masuk. Husna bergerak ke sebelah kiri untuk mengelakkan perlanggaran berlaku. Tetapi lelaki itu juga ikut mengelak ke arah yang sama. Langkahnya terhalang. Lalu Husna beralih pula ke sebelah kanan. Dan sekali lagi hal yang sama berulang. Kenapa dengan lelaki ni? Sudah beri laluan pun masih tidak mahu lalu juga. Husna mengomel geram.
           
“Eh, yang kau halang laluan aku ni, kenapa? Ketepilah sikit!” tengking lelaki itu dengan nada keras kepada Husna.
           
Hati Husna berdebar-debar sebaik sahaja dia mendengar suara tersebut. Mindanya cepat sahaja dapat menebak. Takkanlah dia pula kut. Husna pantas mendongak. Dan saat itu juga dia terlopong.
           
“Kau?” Lelaki itu menujahkan jari telunjuknya ke muka Husna setelah pandangan mereka saling bertembung. Wajahnya kelihatan benar-benar terkejut.
           
Husna menggigit bibir. Ah, kenapa dia boleh bertembung dengan pembuli kucing ini dekat sini pula? Mana-mana dia pergi asyik pandang muka yang sama sahaja. Tak ada muka lain ke? Kalau muka Fahrin Ahmad tu sedaplah juga matanya nak memandang.
           
“Kau buat apa dekat sini?” soal lelaki itu sambil menjongketkan keningnya.
           
“Err… encik pulak buat apa dekat sini?” Soalan lelaki itu dibalas dengan soalan. Husna semakin kaget.
           
Lelaki itu pula mendengus kuat.
           
“Aku tanya kau, kau tanya aku balik? Dah kat sini tempat kerja aku, buat apa lagi… datang kerjalah. Kau tu, buat apa dekat sini?”
           
“En… encik kerja kat sini ke?”
           
Husna menelan air liur. Biar betul. Dia salah dengar ke apa ni? Kalau benar lelaki itu bekerja di sini, bermakna tadi dia minta kerja di pejabat lelaki inilah! Oh, tidak! Tanpa berlengah, Husna berpatah masuk ke dalam pejabat itu semula.
           
“Cik, boleh pulangkan semula resume saya tadi?” pinta Husna sebaik sahaja dia menghampiri kaunter hadapan itu semula. Ah, kalau buruk siku pun tak apalah. Yang penting dia mahu dapatkan semula resume dia tadi. Dia tidak mahu lelaki itu tahu yang dia datang ke sini sebab nak minta kerja.
           
“Kenapa, cik?” soal Suri terpinga-pinga.
           
“Err… saya tak jadilah nak minta kerja dekat syarikat ni. Tolong ya, cik.” Husna memandang Suri penuh pengharapan.
           
Akhirnya, resume itu kembali semula ke tangannya. Setelah mengucapkan terima kasih, Husna terus pergi. Sampai sahaja di pintu pejabat itu, sekali lagi dia bertembung dengan lelaki tadi. Namun, dia tidak berhenti dan terus berlari menuju ke arah lif.
           
“Hei, tunggu!” Lelaki itu berteriak dan cuba mengejar Husna. Tetapi sayangnya, ketika itu Husna telah masuk ke dalam lif dan serta merta pintu lif tertutup.
           
Di dalam lif pula, Husna menarik nafas lega. Mujurlah dia sempat menyelamatkan diri. Hisy, nasib malang betul dia jumpa lelaki itu dekat sini. Kalaulah dia tahu lelaki itu bekerja di sini, tidak ingin dia jejakkan kakinya ke situ. Rasa kesal bertimpa-timpa datang menjengah di hati Husna.

*****

NAIM masuk ke pejabat penuh dengan tanda tanya. Apa pula hantu kucing itu buat di sini? Kalau nak kata pergi ke pejabat orang lain, mustahillah pula. Hanya pejabat dia sahaja yang ada di aras empat ini. Sudahlah begitu, apabila nampak muka dia, dipandang seperti orang yang nampak hantu sahaja. Buruk sangat ke rupa dia? Hati Naim diselubungi tanda tanya.
           
“Suri, siapa perempuan yang pakai baju kurung warna ungu tu tadi? Apa dia buat dekat pejabat kita ni?” tanya Naim kepada Suri, petugas yang duduk di kaunter hadapan sebaik sahaja dia melintas lalu di situ. Ah, pakai baju pun sama warna dengan dia juga. Macam sehati sejiwa pula.
           
“Oh, dia datang nak minta kerja dekat sini, Encik Naim. Tapi saya beritahu dia buat masa sekarang, tak ada kerja kosong lagi. Saya suruh dia tinggalkan resume, tapi lepas tu dia datang balik minta pulangkan semula pada dia,” jawab Suri.
           
Naim bergumam. Dikerling sekali lagi ke arah pintu pejabat seolah-olah bayangan perempuan tadi masih berada di situ. Ada juga ke macam tu? Sudah beri sesuatu dekat orang, lepas tu boleh pula ambil semula. Buruk siku betul!
           
“Kenapa, Encik Naim? Encik Naim kenal ke dengan dia?”
           
Naim cepat-cepat berpaling semula  ke arah Suri.
           
“Tak ada apa-apalah. Saya masuk ke bilik dulu.” Naim senyum seraya beredar menuju ke biliknya pula.
           
Sebaik sahaja meletakkan briefcasenya di atas meja, Naim duduk di atas kerusi. Dia masih terkenangkan kejadian di depan pintu lif tadi. Semalam jumpa di tepi jalan. Hari ini jumpa di tempat kerja dia pula. Esok jumpa di mana pula? Ah, jumpa di mana-mana pun tak kisahlah. Jangan datang jumpa dia bawa kucing sudah.

© Noraini Mohamad 2012