10 tahun kemudian...
BUNYI deringan telefon mengganggu tidur lena Izam. Dalam keadaan mamai, dia meraba-raba tangannya ke atas meja kecil di sebelah katil.
“Hmm...” jawab Izam malas dalam keadaan mata yang masih
terpejam.
“Encik Izam ada kat mana? Tak masuk pejabat ke hari ni?”
soal Hetty, setiausaha Dato’ Dahlan, bosnya, dalam nada suara risau.
“Saya kat rumah lagi ni. Pukul 9.00 nanti saya masuklah ke
pejabat.”
“Pukul 9.00? Encik Izam, sekarang dah pukul 11.00. Semua
orang tengah tunggu Encik Izam untuk mulakan mesyuarat.”
“Ha?!” Izam celik mata serta-merta. Dia tengok jam telefon
pintarnya. Genap pukul 11.00 pagi. Ah! Teruklah kena marah nanti.
“Kenapa awak tak ingatkan saya semalam? Saya baru bangun
tidur ni.” Izam bangkit, selak gebar dan cepat-cepat turun dari katil. Dia rentap
tuala di rak penyidai lalu memecah masuk ke dalam bilik mandi.
“Kan saya dah ingatkan sebelum Encik Izam balik semalam? Lupa lagilah tu. Tak
apalah. Encik Izam bersiaplah dulu. Nanti saya beritahu Dato’ Encik Izam datang
lambat sikit,” kata Hetty sebelum menamatkan perbualan.
Izam buka semula pintu bilik air dan campak telefon pintarnya ke atas katil. Selepas itu, dia mandi
seperti lipas kudung.
“Mak Yam, kenapa tak kejutkan Izam tadi? Mak Yam tahu tak
sekarang dah pukul berapa? Izam dah lambat tau nak hadiri mesyuarat.” Izam
membebel kepada pembantu
rumahnya setelah turun ke tingkat bawah.
Sambil itu tangan kirinya
sibuk membutang lengan baju sebelah kanan. Kelam-kabut dia bersiap tadi. Mujur
baju kerjanya sudah tersedia rapi di dalam almari. Kalau tidak, semakin
lambatlah dia.
Mak Yam yang ketika itu sedang mengelap almari berhenti
membuat kerja. Sempat dia lepaskan keluhan sebelum bersuara.
“Dah naik merah dah tangan Mak Yam ni ketuk pintu bilik
Izam. Tapi Izam diam aje. Mak Yam nak masuk, pintu terkunci. Tak dapatlah Mak
Yam nak kejutkan,” jawab Mak Yam.
Dahi Izam berkerut. Jadi salah aku sendirilah ni?
“Yalah... Kalau Mak Yam ketuk perlahan macam mana Izam nak dengar? Mak
Yam bukannya tak tahu Izam ni macam mana kalau dah jumpa bantal. Lain kali
ketuklah kuat sikit,” kata Izam masih enggan mengakui kekhilafannya.
“Tak apalah. Esok lusa Mak Yam pasang bom kat depan pintu bilik Izam. Kalau Mak Yam
ketuk pintu Izam tak bangun, Mak Yam letupkan aje bom tu.” Mak Yam berseloroh
sambil tergelak. Dengan Izam, dia sudah biasa bergurau senda begitu.
Eh, Mak Yam ni... Aku serius dia buat lawak sarkastik pula.
Izam mengomel dalam hati. Kata-kata Mak Yam sengaja tidak dibalas. Dia terus
ayun kaki ke muka pintu kerana menyedari sudah terlambat hendak ke pejabat.
“Izam tak nak sarapan dulu ke?” Mak Yam bertanya apabila
melihat Izam tidak singgah di meja makan seperti selalu.
“Dah nak masuk tengah hari dah pun. Nak sarapan apa lagi,
Mak Yam? Tak apalah. Izam makan kat luar aje nanti. Dah tak sempat dah ni. Izam
pergi dulu,” balas Izam terkocoh-kocoh menyarung kasut sebelum masuk ke dalam
kereta.
Sepanjang perjalanan, hatinya tidak tenteram.
Sekejap-sekajap, dia kerling jam di tangan. Lebih kurang lima minit lagi jam akan
menginjak ke pukul 11.30 pagi. Izam berasa semakin gerun memikirkan amukan
bosnya yang bakal meletus nanti. Kau memang sengaja cari nahas, Izam, getus hatinya
berulang-ulang kali.
PINTU lif terbuka di tingkat 10. Izam terus keluar dan panjangkan
langkah ke pejabat Dahlan Arkitek. Sebaik sahaja melangkah masuk, dia tergamam
melihat Dato’ Dahlan sedang rancak berbual dengan dua orang klien berdekatan
pintu. Jantungnya terus diserang debar. Hendak tegur dia tidak berani.
“Terima kasih, Dato’. Jumpa lagi,” ucap salah seorang klien
kepada Dato’ Dahlan. Mereka saling berjabat tangan sebelum kedua-duanya meminta
diri.
Sejurus itu, barulah Izam berani menegur Dato’ Dahlan.
“Selamat pagi, papa. Maaf, Izam lambat sikit,” ucap Izam
sambil menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat.
Dato’ Dahlan
pandang jam di pergelangan tangan sebelum memandang Izam semula.
“Sikit Izam cakap? Mesyuarat mula pukul 10.00 pagi. Tapi,
pukul 11.30 pagi baru Izam tunjuk muka dalam pejabat ni. Kenapa tak masuk kerja
pukul 5.00 petang aje?” perli Dato’ Dahlan tanpa bertapis. Geram sungguh dia
dengan sikap Izam. Gara-gara kelewatannya, dia terpaksa tanggung malu di hadapan
dua orang kliennya tadi.
“Maaf, papa. Izam bukannya sengaja nak datang lambat. Tapi
Izam tak terjaga tadi,” jawab Izam jujur. Dia tidak berani hendak menipu kerana
khuatir jika Hetty sudah memberitahu punca sebenar kelewatannya kepada Dato’
Dahlan.
“Dah tu, apa gunanya alarm kat dalam telefon
canggih Izam tu? Buat hiasan aje ke?” bidas Dato’ Dahlan laju. Jika terlambat
datang kerja, itu sahajalah alasan yang Izam beri. Telinganya sudah tidak boleh menerima lagi alasan lapuk
Izam itu.
Izam terkeseng-keseng mendengar sindiran Dato’ Dahlan. Nak
balas dia tidak berani. Silap hari bulan, kena sindir lagi pedas daripada tadi.
“Kalau nak kerja, buatlah cara nak kerja. Kalau tak nak
kerja, ramai lagi orang yang nak kerja dekat sini. Jangan ingat bila Izam kerja
dengan syarikat keluarga sendiri, Izam boleh masuk kerja sesuka hati Izam aje.
Mana pergi etika kerja Izam? Malulah sikit dengan pekerja bawahan lain dan
semua klien kita.” Bebelan demi bebelan terpacul dari mulut Dato’ Dahlan, membuatkan telinga Izam
semakin berdesing mendengarnya.
“Ya, papa. Izam mengaku salah Izam. Izam minta maaf sekali
lagi. Lain kali Izam janji akan ubah sikap buruk Izam ni.”
“Dah naik muak dah papa dengar janji Izam tu. Hari ni minta
maaf, esok lusa buat lagi. Kalau macam inilah sikap Izam, Izam pergilah ke
mana-mana tempat sekalipun kat dalam dunia ni, sampai bila-bila pun Izam tak
akan berjaya!” Dato’ Dahlan terus meninggalkan Izam yang terkebil-kebil
memandangnya tanpa suara. Lama-lama menghadap Izam, dia risau tekanan darah tingginya
naik lagi.
Izam menghembus nafas panjang. Walaupun kelibat Dato’
Dahlan sudah lenyap daripada pandangan, namun kata-katanya tadi terus
terngiang-ngiang di telinga. Pedas. Macam tergigit cili padi sahaja. Padan muka
aku!
Langkah kaki diorak menuju ke bilik pejabat. Di saat mahu memulas tombol pintu, Izam
terasa ada tangan melekat pada bahunya. Cepat-cepat dia pusingkan badan. “Kau
ni, Syam... Buat
aku terkejut ajelah.”
Hisyam tersengih-sengih memandang Izam. “Yang kau terkejut
sangat ni apa hal? Atas kepala aku ada tumbuh tanduk ke?”
“Kau nak ke mana ni?” tanya Izam tanpa melayan gurauan
Hisyam.
“Pergi minum dekat kafe
sekejap. Jom temankan aku.”
“Bos baru aje pertikai etika kerja aku tadi. Kalau aku ikut
kau, entah apa lagi yang dia akan pertikai nanti. Kau ajak ajelah orang lain. Aku dah tak sanggup dah
nak dengar bebelan dia yang menusuk hati tu,” tolak Izam sambil menggeleng. Dia
malas nak bangkitkan kemarahan Dato’ Dahlan lagi.
“Alah, relakslah... Macam tak biasa kena marah. Jomlah
temankan aku. Sekejap aje. Bukannya lepak lama sangat pun.” Hisyam terus
berusaha memujuk Izam.
“Maaflah, Syam. Lain kali ajelah. Kalau kau nak lepak
dengan aku, tunggu masa lunch nanti, boleh? Nanti
aku belanja kau makan sekali.”
“Betul ke ni kau nak belanja aku makan?”
“Setakat nasi berlauk kat kedai Pak Majid tu, no hallah.”
“La... Aku ingatkan kau nak belanja aku makan dekat hotel lima bintang tadi. Baru nak request menu mahal-mahal,” seloroh Hisyam sambil tergelak.
“Banyaklah kau!” Izam turut ketawa sama.
“Ni kau ada nak pesan apa-apa tak? Kopi ke?”
Izam menggeleng.
“Betul ni?”
“Ya!”
“Tapi kalau ada nanti call aje aku, okey?”
“Thanks, bro...” Izam senyum. Dia perhati kelibat Hisyam berlalu sampai
hilang sebelum masuk ke dalam bilik pejabatnya.
KOPI di dalam cawan diminum perlahan-perlahan sambil sebelah
tangan lagi sibuk mendail nombor telefon seseorang. Setelah dua kali deringan,
panggilan itu dijawab oleh suara manja seorang gadis.
“Morning, sayang...”
Hisyam tengok jam di tangan. “You masih dalam selimut ek? Dah nak dekat
pukul 12.00 ni. Kenapa tak bangun lagi?”
Rehan menggeliat. Matanya yang terasa berat hendak dibuka
ditenyeh beberapa kali.
“Malasnya nak bangun. Badan I rasa letih sangat. Semalam I
balik kerja pukul 3.00 pagi. Mengantuk tak hilang lagi ni,” adu Rehan.
“So, you nak suruh I
datang rumah you ke? Serviskan badan you supaya jadi segar semula?” Bibir
Hisyam herot mengukir senyum nakal.
Rehan dakap bantal peluk di sebelahnya. “I rindu youlah,
sayang. Hari ni you free tak? Jom lepas
rindu.”
“I tengah kerja sekarang. Kalau nak jumpa, tunggu lepas I
habis kerja petang karang. Masa tu barulah I free,”
balas Hisyam. Cawan didekatkan kembali pada bibir dan dia minum kopi sampai
habis.
Rehan mengeluh tiba-tiba. “Alah, sayang... Petang ni tak
boleh jumpalah. I baru teringat pasal appointment I dengan designer baju pengantin tu. Dia suruh I pergi butik dia pukul
4.00 petang ni.”
“Kalau macam tu, you pergilah jumpa dia dulu. Dah selesai
nanti kita jumpalah.”
“Lama kut appointment tu sebab ada
banyak benda yang nak dibincangkan. Hmm... Malas pulak rasanya nak pergi.”
“Kalau malas, suruh ajelah tunang you pergi. Habis cerita,”
usul Hisyam. Terdengar Rehan petik jari kuat selepas itu sambil menjerit
gembira.
“Yes! Kenapa I tak terfikir
pasal dia ek? You ni memang panjang akallah, sayang,” puji Rehan. “Okeylah,
nanti I suruh dia aje yang pergi. So, petang ni bolehlah
kita jumpa. Seronoknya, sayang! Tak sabar I nak jumpa dengan you.”
Pujian Rehan buat Hisyam tersenyum lebar. “Cara you rindu I ni macam dah
berbulan-bulan kita tak berjumpa. Agaknya bila dah jumpa I, apa yang you nak
buat?”
Rehan berjeda panjang. “I... nak... you, boleh?”
Hisyam gelak. “You nak I? Nak buat apa dengan I?” soalnya
sengaja mahu menduga.
“Adalah. Mana boleh beritahu you sekarang. Nanti tak surpriselah,” kata Rehan sambil gigit bibir. Dia tergelak
sendiri dengar pertanyaan Hisyam itu.
“Oh, nak kena jumpa dan duduk sebelah you dululah ek baru
you nak beritahu I? Hmm... Sekarang dah pukul 12.00 tengah hari. I habis kerja
pukul 5.00 petang. Tapi, jawapan you tadi tu buat I rasa semakin tak sabar nak
jumpa dengan you. Jadi, I akan minta balik sejam lebih awal daripada biasa.
Pukul 4.00 nanti kita jumpa ya. Tunggu I kat depan pintu rumah you.”
Bergema ketawa manja Rehan di corong talian. Gurauan nakal
lelaki itu buat dia rasa senang mendampinginya. “Gelojoh betullah you ni.”
Hisyam hanya tersengih. “Okeylah, kita jumpa petang ni ya. Take care. I love
you, baby.”
“I love you too.”
IZAM hanya membaca sepintas lalu SMS kiriman Rehan. Disebabkan
sibuk membuat kerja, mesej itu diabaikan sahaja. Namun, dia tidak dapat
menumpukan perhatian terhadap kerjanya apabila Rehan terus mengganggu dengan
menelefonnya tanpa henti.
“Apa hal ni, Rehan? Dari tadi asyik duk ganggu saya. Saya
tengah kerjalah. Telefon masa saya tengah rehat nanti tak boleh ke?” Izam
menjawab panggilan Rehan dengan kurang senang.
“SMS saya tadi dapat ke tak?”
“Dapat.”
“Dah tu, kenapa tak balas?” Suara Rehan mula meninggi.
Geram pula dia dengar jawapan Izam itu.
“Malas,” jawab Izam acuh tak acuh.
Rehan mendengus kasar. “Huh! Saya pun malas nak cakap
banyak dengan awak. Petang nanti tolong buat apa yang saya suruh tadi tu.”
“Maaf, saya tak dapat pergi. Saya ada banyak kerja.”
“Susahlah macam ni. Minta tolong pun berkira. Nama aje
tunang. Tapi tak boleh diharap langsung!” sindir Rehan, terus membuatkan Izam jadi
berang.
“Awak jangan nak kurang ajar dengan saya. Awak ingat saya
duduk kat pejabat ni goyang kaki aje ke? Saya pun ada banyak kerjalah yang nak
kena buat. Kalau awak tak boleh faham situasi saya, lebih baik awak diam aje!”
Izam menjerkah. Kalau Rehan ada di depan dia sekarang, memang percuma sahaja
mukanya makan penampar.
“Eleh, macamlah awak seorang aje yang bekerja. Hei! Kalau
saya tak ada hal, takkanlah saya minta tolong dengan awak pulak?”
“Kan saya dah cakap tadi, saya ada banyak kerja.”
“Peduli apa saya dengan kerja awak yang tak pernah habis tu? Saya tak kira. Awak sibuk
ataupun tak, saya nak awak pergi jugak ke sana. Appointment saya
dengan designer tu pukul 4.00 petang. Jadi, pastikan
awak sampai ke sana tepat pada waktunya.” Talian telefon dimatikan pantas oleh
Rehan setelah menghabiskan ayat terakhirnya.
Izam mendengus kuat. Telefon di tangan dilempar kasar ke
atas meja. Ah! Sakitnya hati dia.
“MAKAN kuih aje?” tegur Hisyam setelah melihat Izam meletak
pinggan di atas meja. Dia pandang Izam pelik. Sekarang waktu tengah hari. Takkanlah makan kuih sahaja
kut untuk alas perut?
“Tak ada seleralah,” jawab Izam sambil menarik kerusi di
hadapan Hisyam.
“Takkanlah kena marah dengan bos sampai hilang terus selera
nak makan nasi?” Hisyam tersengih-sengih memandang Izam dan kuih ketayap
berwarna hijau itu silih berganti.
“Bukan pasal hal tu. Ni pasal lain.” Izam menggigit separuh
kuih tersebut. Sedap juga inti di dalamnya. Sedang-sedang manis sahaja. Secukup
rasa. Untuk dia yang kurang gemar makan kuih manis, rasa itu masih boleh
diterima.
Muka Hisyam berkerut merenung Izam. “Pasal apa? Rehan?”
tebaknya.
Izam hanya tersenyum senget. Menyampah betul dengar nama
itu disebut di depannya.
Melihat respons Izam yang kelihatan agak berat hendak buka
mulut, Hisyam yakin telahannya tadi tepat.
“Kali ni bergaduh pasal apa pulak?” soalnya ingin tahu.
“Macam biasalah. Urusan kahwin semuanya aku kena buat
sorang-sorang. Dia cuci tangan aje,” jelas Izam masih berasa tidak puas hati dengan Rehan.
Terasa dirinya seperti kuli Rehan sahaja kena buat itu ini.
Masalahnya sekarang, siapa yang nak kahwin? Dia dengan Rehan ke atau dia seorang?
Hisyam menyedut perlahan jus lobak merah di hadapannya. Dalam
masa yang sama, bayangan Rehan yang bertubuh langsing itu bermain-main di mata.
Bibirnya mengoles senyum.
“Itulah harga yang kau kena bayar bila bercinta dengan
model top.
Saham dia tengah naik sekarang. Sibuklah sikit penuhi pertunjukan fesyen sana
sini. Jadi, kau kenalah berkorban sikit demi tunang tersayang,” usik Hisyam
sekadar hendak memancing reaksi Izam.
“Bila masa pulak aku ni bercinta dan sayangkan dia?
Meluatlah aku!” marah Izam sambil menjeling Hisyam yang terkekek-kekek
melepaskan tawa.
Geram pula dia apabila Hisyam mempersendanya. Macamlah
Hisyam tidak tahu perkahwinan dia dengan Rehan diatur oleh keluarga dan
bukannya sebab suka sama suka.
“Ada apa-apa yang aku boleh tolong ke? Kalau ada, jangan
segan-segan beritahu aku,” kata Hisyam setelah ketawanya reda.
“Tak apalah, Syam. Jangan risau. Setakat ni aku boleh
uruskan lagi semua tu. Cuma yang buat aku rasa terkilan, sikap Rehan tu aje
yang suka lepas tangan dalam soal ni.”
Hisyam menghela nafas panjang. “Entahlah, Zam... Aku pun
dah tak reti nak komen apa pasal hubungan kau dengan Rehan tu. Kau layankan
ajelah kerenah dia selagi kau mampu.”
“Sekali dua, bolehlah aku nak layan. Tapi kalau lama-lama,
naik rimas aku dibuatnya. Dahlah, malas aku nak cakap pasal dia lagi. Putus
selera aku nak makan,” ujar Izam sekali gus menoktahkan kisah Rehan di situ.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment