ADIB sekadar merenung pelan yang terbentang luas di depan matanya
itu dengan pandangan yang kosong. Sejak tadi, satu kerja pun belum dia buat.
Fikirannya melayang terkenangkan Nor.
Ah! Kenapa wajah gadis itu begitu kerap mendominasi
ingatannya sekarang? Di mana-mana sahaja dia terbayangkan wajah cantiknya dan
senyuman manisnya. Oh! Cukup membuatkan dia berasa seperti orang gila. Nor
berjaya membuai perasaan lelakinya sehingga kadang-kadang datang menjelma dalam
mimpinya. Cinta Nor telah merasuki dirinya. Sesungguhnya dia telah jatuh cinta.
Cinta yang sebenar-benarnya cinta.
“Adib... tak tidur lagi, sayang? Dah pukul berapa ni?” tegur
Puan Muhaini, lantas mengejutkan Adib daripada lamunan.
Adib menoleh sekilas. Dia lihat mamanya sedang berdiri di
muka pintu bilik tidurnya sambil memandang tepat ke arahnya.
Puan Muhaini berjalan masuk mendekati Adib. Matanya sempat
mengerling jam pada dinding. Sudah hampir mencecah ke pukul 3.00 pagi. Semasa
dia mahu turun ke dapur untuk membasahkan tekak tadi, dia lihat lampu di bilik
Adib masih lagi menyala cerah. Itu yang menarik perhatiannya untuk singgah ke
situ. Kalau Adib sudah tidur, pasti biliknya gelap-gelita.
Adib sekadar senyum. Dia menggeleng perlahan.
“Belum lagi, ma. Adib ada kerja sikit nak siapkan ni. Esok
nak tunjuk dekat klien,” jawab Adib memberi alasan. Padahal, dari tadi kerja
dia tidak bersentuh.
“Tapi mama tengok Adib lebih banyak termenung aje daripada
buat kerja. Kenapa? Adib ada masalah ke?” soal Puan Muhaini lagi.
Sebenarnya, sebelum dia masuk tadi lagi dia sudah
memerhatikan kelakuan Adib. Memang Adib hanya sekadar termenung tanpa membuat
apa-apa kerja. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.
“Tak adalah, mama,” kata Adib masih cuba menafikan.
Puan Muhaini senyum. Dia dapat menebak sesuatu. Sikap Adib
sedikit berlainan pada pagi itu.
“Betul ke ni? Hmm... biar mama teka. Biasanya anak mama ni
kalau dia termenung macam ni, dia bukan fikir fasal kerja, tapi dia fikir fasal
perempuan. Betul tak?” tanya Puan Muhaini. Matanya tertancap lama pada wajah
kacak Adib.
Adib tersentak. Alamak! Mama dia tahu ke perkara yang
bermain di fikiran dia? Kalau tahu, malulah dia.
“Mama ni, ada-ada sajalah,” getus Adib lantas ketawa kecil,
cuba mengawal perasaannya. Buat-buat tidak tahu sudah.
Puan Muhaini mengusap-usap perlahan belakang bahu Adib.
“Okey… beritahu mama, perempuan mana yang dah buat fikiran
Adib jadi tak tentu arah macam ni? Hmm? Aurora, Julia, Nina?” soal Puan Muhaini
lagi. Beberapa nama kenalan perempuan Adib meniti bibirnya. Kalau diikutkan,
ramai lagi yang dia mahu sebut, tetapi tiga nama itu sahaja yang terlintas di
ingatannya.
Ketawa Adib terhambur kuat. Dia tidak menyangka mamanya
menghafal nama-nama kawan perempuan dia. Padahal, bukan dia pernah bawa balik
ke rumah pun.
“Isy, mama ni... mana adalah. Dia orang semua tu kawan ajelah,
mama. Tak lebih pun daripada tu,” sangkal Adib.
“Habis, kalau mereka semua tu hanya kawan aje, siapa pulak
yang lebih daripada kawan?” soal Puan Muhaini nakal. Sengaja dia mahu mengusik
perasaan Adib. Dia lihat reaksi Adib sedikit berubah.
Adib tercengang. Ini macam soalan perangkap sahaja. Kalau
silap jawab, habislah dia.
“Tak ada siapa-siapalah, mama. Eh, mama tak mengantuk lagi
ke? Dah lewat dah ni. Mama pergilah tidur dulu, ya,” ujar Adib cuba mengalihkan
topik bicara. Dia bangun dari kerusi dan memeluk erat bahu Puan Muhaini lalu
mengheretnya perlahan ke muka pintu bilik. Bukan menghalau, tetapi jika dia
tidak buat begitu, pasti dirinya akan berterusan didesak agar menceritakan
segala-galanya.
Puan Muhaini berasa seperti tidak berpuas hati dengan
jawapan yang didengarnya. Dia dapat merasakan bahawa Adib sedang menyembunyikan
sesuatu daripadanya. Daripada raut wajahnya sahaja pun Puan Muhaini sudah dapat
meneka perasaan Adib. Dia tahu, Adib sedang dilamun cinta. Selama 30 tahun dia
membesarkan Adib, takkanlah dia tidak kenal dengan sikap anaknya sendiri.
“Mama tak mahu tidur selagi mama tak tahu siapa nama
perempuan yang mengganggu fikiran anak mama ni. Cepat cakap dengan mama, siapa
dia?” soal Puan Muhaini inginkan penjelasan sambil menghinggut lengan Adib
perlahan.
“Betul, mama. Adib tak tipu. Mana ada Adib fikir fasal
Nor...” ucap Adib terlepas kata-kata. Alamak! Macam mana pulak aku boleh
tersebut nama dia pulak ni? Aduh, kantoi sudah! gerutu Adib yang sudah malu
sendiri.
Puan Muhaini ketawa lucu melihat reaksi Adib. Itulah, cakap
bohong sangat. Kan sudah terima balasan.
“Ooo... jadi nama dia Nor, ya?” ucap Puan Muhaini. Dia
merenung lama wajah Adib yang tertunduk malu. Alah, dengan ibu sendiri pun
hendak malu juga. Bukannya dia marah pun.
“Hmm...” balas Adib teragak-agak mengangguk. Terasa wajahnya
begitu membahang.
“Nor? Hmm... sedap mama dengar nama tu. Mesti cantik kan
orangnya? Kalau macam tu, nanti bawalah dia jumpa dengan mama,” cadang Puan
Muhaini.
Adib pantas mendongak. Dia tergamam. Antara percaya dengan
tidak.
“Be... Betul ke, mama?” soal Adib tergagap-gagap.
Puan Muhaini angguk dan tersenyum lebar. Kemudian, sepantas
kilat tubuhnya ditarik ke dalam pelukan Adib. Pipinya dikucup lama.
“Thanks, mama. I love you so much,” bisik Adib perlahan.
Hatinya berbunga riang mendengar kata-kata mamanya itu. Dia berasa semakin
bersemangat. Fikirannya mula ligat.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment