14 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 1

NAIM meraba-raba poket seluar slek hitamnya apabila mengesan isyarat getar telefon bimbit. Hisy! Siapa pulalah yang telefon dia semasa tengah sibuk bermesyuarat begini? Mengganggu konsentrasi betul. Terlupa pula dia hendak mematikan telefon tadi. Melihat nama yang tertera pada skrin, dia berasa serba salah mahu menjawab. Aduhai, kenapalah masa-masa macam ini dia nak telefon?

Naim membebel dalam hati.Hendak tak hendak, dia jawab juga. Jika tidak, bertalu-talu panggilan telefon dan mesej yang dia akan dapat nanti sekiranya panggilan itu tidak diendahkan.

“Bella, I tengah mesyuarat ni. You telefon semula lepas I habis mesyuarat nanti, boleh?” bisik Naim perlahan. Dia terpaksa mengawal suaranya untuk mengelak orang lain mendengar perbualan tersebut. Kalau bos besar dengar, lagilah teruk dia kena marah nanti.

“Ops! Sorry. Tak apalah, sayang. I cuma nak pesan dekat you aje. Nanti lepas balik kerja, you tolong ambilkan Anchu dan Chicky kat rumah Awin ya. Hari ni I balik lambat sikitlah,” pesan Bella.
               
“Apa?!” Naim bertanya kuat.
               
Serentak dengan itu, semua mata di dalam bilik mesyuarat itu tertumpu ke arahnya. Naim telan air liur. Habislah dia kali ini. Lebih-lebih lagi apabila melihat mata bos besar turut mencerlung tajam ke arahnya.
               
“Alah… bolehlah, sayang… I tak sempat nak pergi ambil. Lagipun, pukul 6.00 nanti Awin nak keluar. Jadi, kena ambil dia orang sebelum Awin keluar. Nanti tak ada orang kat rumah dia. Lepas you ambil dia orang, you jangan lupa mandikan dia orang dan beri dia orang makan tau. Lepas tu, tidurkan dia orang sekali.” Panjang lebar Bella memberi arahan kepada Naim.
               
“Bella, I...” Naim ingin membangkang, namun Bella cepat-cepat memintas percakapannya terlebih dahulu.
               
“Okeylah, sayang. I ada kerja ni. Nanti apa-apa, I telefon you semula ya. Love you. Bye,” kata Bella sekali gus memutuskan panggilan.
               
Naim terlopong. Eii, si Bella ni, suka betul menyusahkan dia. Ingat dia ni bibik ke apa sampai nak kena buat semua kerja tu? Naim terus mengomel dalam hati sambil menumbuk meja, tidak berpuas hati.
               
“Ehem!” Dato’ Mazlan tiba-tiba berdeham kuat.
               
Naim tersentak. Cepat-cepat dia simpan semula telefon bimbitnya di dalam poket seluar. Dia cuba menumpukan kembali perhatiannya pada butir-butir perbincangan yang sedang diusulkan oleh ahli-ahli mesyuarat lain. Sayangnya, satu pun tidak masuk ke dalam kepala. Yang bermain di fikiran dia sekarang adalah permintaan Bella yang tidak munasabah itu. Hatinya gusar.

*****

SETELAH hampir dua jam berbincang, akhirnya mesyuarat pun berakhir. Naim tidak menunggu lama untuk beredar dari bilik mesyuarat tersebut. Namun, hasrat itu terbantut apabila Dato’ Mazlan memanggilnya.
               
“Tunggu sekejap. Papa ada hal sikit nak cakap dengan Im,” pinta Dato’ Mazlan kemudiannya berjalan menghampiri Naim.
               
“Ada apa, papa? Cakap kat rumah malam karang tak boleh ke? Im ada hal ni,” jawab Naim.
               
Aduh! Masa dia hendak cepat-cepat macam inilah ada hal yang papa dia hendak cakap. Kenapa dari tadi tidak mahu cakap? Dia tahu, papa dia mesti mahu menegur sikapnya yang tidak fokus dalam mesyuarat tadi. Bukannya dia tidak pernah ditegur. Sebelum ini pun sudah acap kali dia kena tegur. Tetapi, biasalah, dia bukan jenis yang makan saman. Kena marah pun buat pekak telinga sahaja.
               
“Im nak ke mana ni?” soal Dato’ Mazlan sambil memandang Naim tepat.
               
“Err… Im ada hal sikit, papa. Nak pergi ambil Anchu dan Chicky.” Jujur Naim berterus terang. Dikerling sekilas jam di tangan. Ada lebih kurang 20 minit lagi sebelum jam mencecah ke pukul 6.00 petang. Janganlah papanya banyak menyoal. Dia sedang mengejar masa. Nanti terlambat, sakit pula telinga dia mendengar bebelan Bella.
               
“Anchu dan Chicky? Siapa pula tu?” Dahi Dato’ Mazlan berkerut rapat. Ada ke orang bernama pelik macam itu? Hatinya tertanya-tanya sendiri.
               
Naim mengeluh dalam hati. Aduh! Banyak soalanlah pula.“Papa mana kenal. Dia orang tu kawan Bella. Okeylah, papa. Im kena pergi dulu. Nanti kat rumah kita bincang semula ya.”

Naim segera meninggalkan Dato’ Mazlan yang kelihatan terpinga-pinga sendirian. Ah! Lantaklah kalau papa dia nak marah pun. Semua itu sudah tidak penting lagi. Yang penting sekarang, pergi ke rumah Awin dan jemput Anchu dan Chicky. Huh! Macam sudah tidak ada nama lain sahaja yang nak diberi. Dengar pun rasa meluat. Naim masih sempat mengutuk dalam situasi kalutnya.

*****

HUSNA duduk di atas sebuah bangku di kaki lima jalan, melepaskan rasa penatnya berjalan. Air mineral di tangan diteguk laju bagi menghilangkan rasa dahaga. Tamat misi mencari kerja pada hari itu.Dari awal pagi sampailah ke lewat petang, satu bandar dia tawaf. Tetapi, satu kerja pun tidak berjaya dia dapat.
               
Kenapalah susah sangat nak dapat kerja sekarang? Belajar tinggi-tinggi pun menganggur juga. Malang betul nasibnya. Adik-beradik dia yang lainsemuanya sudah mendapat pekerjaan yang bagus. Malah, sudah mampu membeli rumah dankereta sendiri pun. Cuma dia seorang sahaja yang masih belum bernasib baik merasai semua itu. Husna mengeluh panjang mengenangkan kekurangan dirinya.
               
Sambil berehat, mata Husna melilau-lilau ke atas jalan raya, melihat kenderaan yang lalu-lalang. Dalam masa yang sama juga otaknya masih ligat berfikir di manakah lagi tempat yang harus dia pergi untuk mencari kerja. Kalau hari ini gagal, esok kenalah cuba lagi.
               
Sudah lima bulan dia mengganggur sejak keluar dari universiti. Kawan-kawannya yang lain, semuanya sudah bekerja dan sudah dapat pegang duit gaji sendiri. Dia pula hanya mengharapkan duit simpanan PTPTN sahaja. Mujurlah dia seorang yang berjimat cermat. Sekurang-kurangnya ada juga duit belanja untuk menyambung kehidupannya. Tetapi, sampai bila mahu bergantung dengan duit itu? Semakin lama, semakin susut duit simpanannya. Sebab itulah dia kena cari kerja cepat-cepat.
               
Ketika Husna sedang susah hati memikirkan nasib dirinya, tiba-tiba terdengar bunyi tayar kereta berdecit kuat di atas jalan raya. Husna pantas memanjangkan lehernya. Hatinya berdebar-debar. Ya Allah! Ada kucing kena langgar dengan kereta. Hatinya semakin kuat berdebar.
               
“Eh, yang encik duk tengok saja kucing tu kesakitan, kenapa? Tolonglah dia.” Husna menegur seorang lelaki yang hanya berdiri di sisi keretanya tanpa berbuat apa-apa sebaik sahaja dia datang mendekati.
               
Hisy! Boleh pula lelaki itu hanya tengok sahaja kucing itu menggelupur kesakitan. Bukannya ada perasaan hendak tolong.
               
“Kucing tu dah tak lama dah tu. Biar ajelah dia mati kat situ. Rim kereta aku ni,kau tak nak tanya pulak teruk ke tidak tercalar kena divider,” jawab lelaki itu selamba. Dibelek-belek rim keretanya sambil mengomel sendirian dalam butir-butir bicara yang tidak begitu jelas untuk didengar oleh Husna.
               
Husna tercengang. Eh, ada juga manusia macam ni? Sudahlah tidak ada perasaan belas kasihan, benda yang tidak bernyawa itu pula yang lebih dirisaukannya. Ini yang buat dia rasa bengang ni.
               
“Encik dah langgar kucing tu, lepas tu encik tak mahu bertanggungjawab pulak?” tanya Husna sambil bercekak pinggang. Matanya mencerlung tajam ke wajah lelaki itu.
               
Lelaki itu buat muka tidak bersalah.
               
“Dah dia melintas tak tengok kiri kanan, kau nak salahkan aku pulak? Kucing nilah yang salah. Sepatutnya, dekat jalan raya macam ni mana boleh melintas. Kalau nak melintas jugak, pergilah melintas kat zebra crossing sana. Guna aje lampu isyarat yang dah ada tu.”
               
“Kucing manalah reti nak guna lampu isyarat. Encik ni tak reti nak fikir ke?” tempelak Husna. Geram sungguh dia mendengar jawapan bodoh yang diberikan oleh lelaki itu. Tengok penampilan macam orang professional,tetapi otak tidak tahu letak di mana.
               
“Ah! Aku tak ada masalah nak fikir benda remeh-temeh macam tu!” Lelaki itu membalas kasar.
               
“Habis, kucing ni macam mana? Kesian dia. Encik kenalah bawa dia pergi ke klinik. Nanti kalau lambat rawat mungkin dia akan mati,” kata Husna. Dia berasa risau melihat keadaan kucing itu yang semakin lemah. Takkanlah nak biarkan ia mati di sini macam lelaki itu kata tadi? Tidak tergamak dia hendak buat begitu.
               
Lelaki itu membeliakkan matanya.
               
“Apa? Kau nak suruh aku bawa kucing ni pergi ke klinik? Hei! Kau ingat, aku tak ada kerja lain ke yang nak kena buat? Aku ni dahlah lambat. Kucing ni pulak datang buat hal. Biar ajelah dia mati kat situ. Kau tolong aku, boleh? Alihkan kucing tu kat tepi sikit. Nanti kalau kereta aku bergerak, terlanggar lagi, orang cakap aku bunuh dia pulak,” arahnya sambil mengacu tangan ke arah kucing yang terbaring lemah itu.
               
Husna mengetap bibir. Lelaki ini memang sudah melampau!
               
“Hei! Encik ni tak ada akal ke? Mana boleh biar macam tu aje. Itu dah dikira menyeksa binatang namanya. Saya tak kira, encik kena bertanggungjawab jugak terhadap kucing ni. Hah, kat sana tu ada klinik haiwan. Encik pergilah hantar cepat-cepat,” gesa Husna setelah terlihat sebuah klinik haiwan di seberang jalan berhampiran. Dia mengangkat kucing tersebut dengan penuh berhati-hati dan menghulurkannya kepada lelaki itu.
               
Lelaki itu nyata terkejut dengan tindakan Husna dan mengundur beberapa langkah ke belakang.
               
“Jangan bagi kucing tu dekat dengan aku!” jeritnya lagi.
               
“Kenapa? Encik takut kucing ke?” tebak Husna pula. Dia boleh mengesan dengan cepat sikap geli lelaki itu terhadap kucing. Eleh, harapkan badan sahaja sasa. Tetapi, penakut rupanya. Husna mengejek dalam hati.
               
“Aku bukan takut. Tapi, kucing tu kan tengah luka. Nanti darah dia terkena baju aku ni pulak. Kau nak tolong basuh ke?” sangkal lelaki itu, menafikan tanggapan Husna.
               
“Habis tu, sekarang macam mana? Kucing ni nak kena ditolong. Bukannya dibiarkan sakit macam ni.”
               
“Macam mana apa? Kalau kau nak tolong, kau tolong ajelah.Aku ada hal lain yang lebih penting. Nah, kau ambillah duit ni buat bayar rawatan kucing tu. Kira selesailah hutang aku dengan dia. Aku dah tolong bayarkan duit rawatan untuk dia dah cukup baik tau daripada tak tolong langsung.” Lelaki itu mengeluarkan duit sebanyak seratus ringgit lalu menghulurkannya kepada Husna.
               
Husna tergamam. Macam itu sahaja? Lelaki ini memang nak kena diajar! Tanpa berlengah, Husna terus masuk ke dalam kereta lelaki itu dan duduk diam-diam di dalamnya. Ketika itu, dia bagaikan terlupa bahawa dia tidak pernah kenal dengan lelaki itu. Tetapi, dengan muka tidak malu, dia boleh pula merempuh masuk ke dalam kereta itu, seperti sudah bertahun-tahun mereka berkawan. Ah, kalau pasal kucing memang dia tidak ada kompromi.
               
Lelaki itu terkedu melihat tindakan Husna. Lantas dia menguak semula pintu keretanya.
               
“Hei! Yang kau masuk ke dalam kereta aku ni, kenapa pulak? Aku kenal kau ke? Kau keluar sekarang! Aku tak mahu bulu kucing tu melekat kat dalam kereta aku.” Lelaki itu mengarahkan Husna keluar. Bera wajahnya menahan marah dengan tindakan perempuan yang tidak dikenalinya itu.
               
“Hantar kucing ni ke klinik dulu. Lepas tu baru saya akan keluar dari kereta encik.” Husna bertegas. Dia terus membatukan dirinya tanpa mengendahkan permintaan tersebut. Peduli apa dia.
               
“Eii… Kau ni, sama aje dengan kucing tu. Menyusahkan aku aje. Kau tahu tak yang aku ni dah lambat nak balik sebab aku ada hal penting yang nak kena diselesaikan? Hisy!” Lelaki itu terus merungut dan melepas kemarahannya pada bumbung kereta. Namun, selepas melihat Husna berdegil, dia masuk ke dalam kereta dan terus memandu ke arah klinik haiwan yang dimaksudkan oleh Husna tadi.
               
“Yang kau sibuk-sibuk sangat nak tolong kucing tu, kenapa? Kucing tu kucing kau ke?” tanya lelaki itu kepada Husna setelah keretanya berhenti di hadapan klinik.
               
“Habis, kalau encik tengok ada orang kena langgar, encik akan biar macam tu aje ke?” soal Husna kembali.
               
“Kalau orang yang kena langgar, aku tolonglah. Tapi, yang aku langgar tadi tu, kucing aje pun. Aku pergi kerja, hari-hari nampak ada kucing yang kena langgar. Tapi, tak pernah pulakaku jumpa orang yang prihatin macam kau, yang bimbangkan pasal kucing macam bimbang tengok orang mati sebab kena langgar.” Lelaki itu menyindir Husna dengan lantang.
               
Husna mendengus. Eii… lelaki ni memang teruk betullah. Tidak lahir dalam dunia lagi bagus kut. Kalau kau tak ada hati dan perasaan, memanglah kau tak akan jadi prihatin macam aku, jawab Husna dalam hati.
               
“Saya tolong kucing ni atas ihsan sesama makhluk. Encik sepatutnya kena berbelas kasihan dengan kucing. Kucing pun makhluk Tuhan juga,” bidas Husna tentang sikap tidak bermoral lelaki itu. Biar sedar diri sedikit. Sudahlah duduk menumpang di bumi Allah. Dengan sesama makhluk Allah pun hendak berlagak juga. Macamlah sempurna sangat.
               
“Dah, dah… Kau jangan nak membebel macam ustazah pulak. Cepat keluar dari kereta aku. Pergi selamatkan kucing kau yang dah nak mampus tu.” Lelaki itu menghalau Husna buat ke sekian kalinya.
               
“Terima kasih!” ucap Husna lantas keluar. Rasa marahnya dilampias dengan menghempas kuat pintu kereta lelaki itu.
               
Lelaki itu segera menurunkan cermin. “Woi! Jahanam pintu kereta aku, kau nak bayar ganti rugi ke?” pekiknya dalam nada bengang.
               
Husna hanya menjeling. Ada aku kisah?

© Reeani Annur 2014

4 comments: