HERIS tersenyum sendirian menatap telefon pintarnya. Perasaan
rindu yang ditanggung selama beberapa hari ini terubat jua setelah mendengar
suara Hanis. Tak dapat bertemu,
dapat dengar suara pun jadilah. Itu sudah cukup membuatkan dia berasa bahagia.
“Tengok telefon senyum sorang-sorang. Apa yang menggelikan
hati sangat? Boleh cerita dekat ibu?” tegur Puan Marisa yang baru keluar dari
dapur. Dia kemudiannya mengambil tempat di sebelah Heris yang bersandar malas
pada sofa baldu berbentuk L itu.
“Tak ada apa-apalah, ibu.” Heris menggeleng sambil
menyimpan telefon di dalam poket seluar. Kini badannya sudah ditegakkan semula.
“Heris ni, kalau ibu tanya selalu aje jawab tak ada
apa-apa. Tapi, ibu
peliklah tengok Heris sekarang. Nampak lain macam aje.”
“Lain macam? Lain macam macam mana maksud ibu?” soal Heris
kerut muka.
“Macam orang tengah dilamun cinta. Heris ada bercinta dengan
sesiapa ke sekarang?” tebak Puan Marisa sambil merenung wajah Heris.
Heris terbatuk kecil. Soalan ibunya itu tulus betul. Nampak
sangat ke dia tengah angau?
“Siapalah yang nakkan Heris ni, ibu? Kerja pun pelukis aje.
Mana ada perempuan yang nak pandang,” keluh Heris sekali gus menafikan tebakan
Puan Marisa.
“Bukannya tak ada orang nak pandang. Tapi, Heris tu yang
tak nak pandang orang. Sampai bila Heris nak tutup pintu hati tu? Iman perlukan
seorang mak. Kesian ibu tengok dia. Heris tak terfikir ke nak cari pengganti
Munirah?” soal Puan Marisa lagi.
Dia sabar menanti balasan Heris. Kali ini, entah jawapan apa pula yang Heris akan beri
kepadanya.
Sebelum ini, Heris banyak berdalih setiap kali dia bertanya
mengenai soal itu. Walaupun Heris rapat dengannya tetapi tidak semua yang ada dalam hati Heris dia dapat baca apa.
Heris mengeluh kecil. Tangan Puan Marisa kemudian diraih
lalu digenggam erat.
“Bukan Heris tak terfikir, ibu. Tapi, kalau boleh Heris nak
cari bakal isteri yang boleh terima diri Heris seadanya. Yang faham keadaan
Heris sebagai seorang bapa tunggal dan faham pekerjaan Heris. Heris tak nak dia
terima Heris seorang aje. Iman pun dia kena terima jugak. Tapi, setakat ni
Heris belum jumpa lagi orang yang macam Heris nak tu. Ibu bersabarlah ya. Kalau
ada nanti Heris bawa dia jumpa dengan ibu,” pujuk Heris lembut.
Dia harap jawapan itu mampu menoktahkan pertanyaan bilakah
dia akan menamatkan zaman dudanya. Susah juga rupanya jadi duda. Mengalahkan
bujang terlajak pula.
“Kalau dah ada calon tu, cepat-cepatlah bawa dia jumpa
dengan ibu. Nanti ibu boleh pinangkan dia untuk Heris. Lagi cepat Heris kahwin,
lagi bagus. Hati ibu pun tak rasa risau lebih-lebih.” Puan Marisa mengingatkan
Heris.
“Yalah, nanti bila Heris dah jumpa calon yang sesuai Heris
bawa dia jumpa ibu cepat-cepat,” balas Heris sekadar ingin mengambil hati Puan
Marisa. Dia faham benar dengan hasrat ibunya itu. Tetapi, soal hati bukanlah
boleh dipaksa-paksa.
“Sebenarnya, ibu tak sabar nak tengok Heris kahwin semula.
Ibu kasihan tengok Heris hidup sendirian dan besarkan Iman sorang-sorang. Apa
kata kalau ibu tolong carikan isteri baru untuk Heris? Nanti cepat sikit Iman
dapat pengganti mama dia.”
“Eh, tak payahlah, ibu. Heris muda lagi. Banyak masa lagi
nak fikir tentang hal tu. Ibu janganlah risau. Heris tak kisah pun bersendirian
macam ni. Mungkin belum ada jodoh Heris lagi. Lama-lama nanti adalah tu.” Heris
membantah. Dalam hati, dia berasa amat cuak. Janganlah dalam diam-diam ibu
carikan jodoh untuknya pula. Hanis nak letak mana?
Dia bukannya sengaja berniat hendak berbohong. Tetapi,
untuk bercerita tentang Hanis belum tiba waktunya lagi. Lagipun, semuanya masih
tergantung. Dia tidak berani meletak harapan tinggi kerana bimbang ia tidak
menjadi seperti yang diharapkan.
Puan Marisa mengeluh. “Heris memanglah tak kisah. Tapi, ibu
kisah.”
“Heris faham maksud ibu. Tapi ibu janganlah risau sangat
pasal hal ni. Heris janji, bila dah tiba masanya nanti ibu akan dapat seorang
menantu baru dan Iman jugak akan dapat seorang mama baru.” Heris
bersungguh-sungguh meyakinkan Puan Marisa.
Puan Marisa hanya mengangguk. Dia harap Heris akan
mengotakan janjinya itu.
“Okeylah, ibu... Heris masuk bilik dulu. Nak pergi jenguk
Iman dah tidur ke belum. Ibu pun berehatlah ya. Jangan tidur lambat-lambat
sangat.” Heris bingkas dari sofa. Sengaja dia mencipta alasan itu untuk melepaskan diri daripada diasak dengan
soalan kahwin.
“IMAN?” Mata Heris melilau-lilau mencari kelibat anaknya apabila
mendapati bilik kosong. Apabila ternampak Iman keluar dari bilik air, dia
tersenyum lega. Tetapi gaya Iman berjalan buat dia rasa pelik. Lantas dia
pimpin Iman duduk di atas katil.
“Kenapa ni? Iman sakit perut ke?”
“Papa, sakit kepala Iman datang lagi. Tadi Iman muntah,”
adu Iman perlahan.
“Kenapa tak panggil papa tadi? Kan papa dah pesan, kalau
ada apa-apa jangan diam dan buat papa risau. Sekarang rasa macam mana? Sakit
lagi? Kita pergi klinik nak?” Heris mula dilanda cuak. Masuk kali ini sudah
banyak kali juga Iman mengadu hal sama kepadanya.
“Tak naklah, papa. Nanti doktor suruh Iman makan ubat. Ubat
doktor pahit. Iman tak suka. Papa tolong picit dahi Iman ajelah.” Iman menolak cadangan Heris dan
terus berbaring
menyelimutkan badannya.
“La... Ada pulak cakap macam tu. Mestilah doktor suruh makan
ubat. Kalau tak, macam mana nak sembuh cepat?” balas Heris. Lucu pula dia
mendengar kata-kata Iman. Begitu pun, dia akur
dengan permintaan Iman. Dahi Iman dipicit perlahan-lahan,
Iman memejam mata. Terasa lega sedikit apabila Heris
berbuat demikian walaupun tidak sepenuhnya rasa pening itu hilang. Sejak
akhir-akhir ini, semakin kerap dia diserang sakit kepala. Sakitnya pula terasa
seperti hendak hantuk kepala ke dinding. Tidak tahu apakah puncanya. Makan ubat
pun keadaan tetap sama.
“Kalau bangun
pagi esok tak hilang jugak sakit kepala Iman tu, kita pergi jumpa doktor ya?
Papa risaulah sebab sekarang Iman selalu aje sakit kepala. Dulu tak kerap macam
ni.” Heris memujuk Iman lembut.
Sesekali
terdetik juga dalam hati mungkinkah Iman ada menghidap apa-apa penyakit?
Tetapi, setiap kali bawa Iman ke klinik, doktor memberitahu ia cuma sakit
kepala biasa.
“Balik-balik
doktor tu akan cakap Iman tak apa-apa. Iman kena makan ubat tu, ubat ni,” omel
Iman pula setelah celik semula.
Heris tersenyum.
Tengah sakit macam tu pun mulut Iman tetap pot-pet, pot-pet.
“Okeylah, nanti papa bawa Iman jumpa doktor lain pulak.”
Iman hanya
mengangguk lesu. Namun, dia berharap sakit itu akan hilang pagi esok agar tidak
perlu pergi klinik. “Papa, jom tidur.”
“Papa belum
mengantuk lagi. Lagipun papa ada kerja sikit nak buat. Iman tidur dulu ya?”
“Okey. Tapi papa
jangan tidur lambat-lambat sangat tau. Selamat malam, papa,” ucap Iman sambil
mengapai tangan kanan Heris lalu menyalaminya.
“Selamat malam,”
balas Heris sambil mengucup dahi Iman. Dia dodoikan Iman sehingga Iman lelap
sebelum berlalu ke meja kerjanya selepas itu.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment