Salam. Saya akan letak beberapa bab novel Benci Tanda Sayang di sini supaya pembaca dapat menilai karya saya ini. Lepas baca nanti, kalau berminat nak dapatkan novel BTS ini, boleh order dengan saya, FP, ataupun boleh dapatkan di kedai-kedai buku. Semoga terhibur.
*****
SPLASH! Air lopak yang bertakung di tepi jalan itu
terpercik ke muka Nor ketika dia sedang berteduh di pondok perhentian teksi.
“Hisy, tak guna betul pemandu kereta ni. Hujan lebat
macam ni pun tak reti nak bawa kereta perlahan-lahan ke?” gerutu Nor sambil menyapu muka. Sudahlah tadi basah kuyup
kena hujan, sekarang kena simbah dengan air lopak pula.
Macam
mana nak balik dalam keadaan basah macam ni? Nor termangu sendirian. Sedang dia
asyik menggelamun, terdengar pula tayar kereta berdecit kuat. Segera dia mengangkat mukanya.
Hatinya terus diserang debar. Isy, kenapa boleh
jumpa dia di sini pula?
“Awak
tak balik lagi ke? Tunggu siapa ni?” soal Adib setelah cermin keretanya
diturunkan. Dia menanggalkan cermin mata hitamnya
dan memandang Nor dari atas sehingga ke bawah.
“Err… siapa? Saya ke?” soal Nor kembali sambil matanya
memandang ke kiri dan ke kanan. Beg tangan yang tersangkut di bahu segera dibawa ke depan dan dipeluk erat. Malu apabila
menyedari mata Adib tidak berkelip memandangnya dalam keadaan basah kuyup
begitu.
“Yalah,
takkan hantu pulak. Mana ada orang lain dekat
situ selain awak!” jawab Adib geram. Boleh pula soalan bodoh begitu ditanyakan kepadanya.
“Oh...
Saya tunggu teksi,” balas Nor separuh
menjerit.
Hujan
yang turun dengan lebat menenggelamkan suaranya. Sesekali matanya mengerling ke
atas jalan raya, mengintai teksi. Mestilah tunggu teksi, takkan tunggu kau
pula! omel Nor dalam hati.
“Kalau
macam tu, masuklah. Biar saya hantarkan awak balik,” pelawa Adib.
Nor
terlopong.
“Ha? Err... tak
apalah, Encik Adib. Saya balik dengan teksi aje.
Sekejap lagi adalah tu,” tukas Nor menolak secara baik.
Dia menggerakkan tangannya ke kiri dan kanan
beberapa kali.
Balik
dengan Adib? Gila! Tidak inginlah dia naik kereta bosnya itu. Sudahlah keadaan
dia basah kuyup. Malu sahajalah yang dia
dapat nanti.
Mata
Adib turun melirik pergelangan tangan kanannya.
“Dah
dekat pukul 7.00 dah ni. Ada lagi ke teksi
waktu-waktu macam ni?” soal Adib lagi.
“Ada...
Tapi mungkin lambat sikit kut,” balas Nor
dengan harapan agar Adib percaya dengan kata-katanya. Sebenarnya, dia sendiri
tidak pasti sama ada masih ada teksi atau tidak yang lalu di situ. Kalau tidak
ada, memang dia terpaksa tidur di perhentian teksi itulah jawabnya.
“Kut?
Hujan-hujan macam ni, teksi mana senang nak dapat. Lagipun, hari dah nak gelap
ni. Cuba tengok semak samun kat belakang
awak tu. Awak tak takut ke duduk dekat sini sorang-sorang?” tanya Adib lebih lanjut. Mulutnya
dijuihkan ke belakang perhentian teksi itu
sambil tersengih. Sengaja mahu menduga Nor.
Nor
berpaling perlahan-lahan. Kemudian, cepat-cepat dia memandang Adib semula
dengan perasaan serba salah. Fikirannya mula
terbayang perkara yang bukan-bukan. Hantu pocong, toyol, hantu Kak Limah. Eii, takutnya! Sudahlah bermacam-macam bunyi suara
cengkerik yang dia dengar dari semak samun
itu.
“Err....” Nor cuba mencari
alasan untuk menolak pelawaan Adib itu.
“Tak
payahlah bagi alasan lagi dengan saya. Masuk
cepat!” getus Adib dan memberi isyarat supaya
Nor masuk ke dalam keretanya.
Nor
menggigit bibir. Aduh, habislah dia kali ni. Mahu beri alasan apa lagi untuk
menolak pelawaan Adib itu? Fikirannya ligat memikirkan sesuatu. Dia tidak mahu
balik bersama Adib. Tidak mahu!
“Nor
Qaseh Umairah! Awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Masuk dalam kereta saya
ni cepat. Jangan sampai saya keluar dari kereta ni dan heret awak masuk ke
dalam pulak!” teriak Adib dengan suara yang
menekan tinggi. Dia berasa sedikit tercabar dengan kedegilan Nor.
Nor
tersentak. Pandangan mata Adib yang tajam itu tidak berani ditentang lama-lama.
Mahu tidak mahu, akhirnya Nor terpaksa juga menurut. Kakinya melangkah longlai
masuk ke dalam kereta Adib. Ah, habis basah
kereta Adib. Dia tidak mahu bertanggungjawab
nanti.
“KALAU dari tadi awak beritahu saya tak ada teksi, kan senang. Tak perlulah
awak susah-susah pergi redah hujan tunggu teksi dekat situ. Tengok, sampai
basah kuyup dibuatnya. Itu pun susah ke nak beritahu saya? Bukannya saya makan
awak pun kalau awak beritahu nak tumpang kereta saya,”
bebel Adib sebaik sahaja keretanya meluncur di atas jalan raya. Dalam
masa yang sama, matanya tidak lepas memandang Nor yang jelas kelihatan tidak
selesa dengan keadaannya yang basah itu.
Nor
hanya tersenyum tawar. Minta tolong Adib tumpangkan dia balik? Oh, itu adalah
perkara yang paling mustahil untuk dia lakukan. Dia lebih sanggup tumpang lori
ayam daripada tumpang kereta Adib. Ini pun sebab kena paksa, jadi dia tidak ada
pilihan lain.
“Saya
dah biasa naik teksi. Lagipun, biasanya teksi memang banyak lalu dekat kawasan
ni,” balas Nor.
“Memanglah
banyak, tapi bukan selalu bernasib baik, kan? Lagipun,
bahayalah awak tunggu dekat situ sorang-sorang. Dahlah hujan lebat. Kalau
terjadi apa-apa nanti kan susah. Mujur saya ternampak awak tadi. Kalau tak,
sampai ke malamlah awak duduk menunggu dekat situ,”
ujar Adib lagi, terus membebel macam mak nenek.
Namun, dia berasa senang hati dengan pertemuan itu. Inilah
peluang yang sering dia tunggu-tunggu selama ini. Berkat hujan turun, dapatlah
dia bersama-sama dengan Nor.
Nor
hanya membatukan diri mendengar leteran Adib. Memanglah bahaya, tetapi salah
siapa? Salah Adib juga yang menyebabkan dia balik lambat. Kalau tidak kerana
Adib memaksa dia supaya menyiapkan model projek perumahan yang akan
dibentangkan dalam mesyuarat esok, memang awal-awal lagi dia sudah cabut balik
awal. Semuanya disebabkan Adib. Tetapi cara Adib bercakap macam orang yang tidak
bersalah sahaja. Sakit hati betul dia dengar jawapan Adib itu.
Nor menjeling wajah Adib sekilas bersama dengusan. Namun, entah mengapa perasaan marahnya terus menjadi
reda sebaik sahaja terpandang wajah lelaki itu. Dalam diam-diam, hatinya memuji
ketampanan Adib yang ternyata kelihatan begitu maco mengenakan cermin mata
hitam jenis aviator berserta gaya rambut spike.
“Saya
tahulah saya ni kacak, tapi tak perlulah awak curi-curi pandang saya macam tu.
Kalau awak terpikat dekat saya, terus terang
aje,” tegur Adib sambil tersengih meleret
apabila matanya berjaya menangkap sepasang mata Nor yang sedang galak menodai
wajahnya. Situasi yang normal apabila dia berdamping dengan mana-mana gadis
sekalipun. Terselit sedikit perasaan bangga di hati.
Nor
tersentak.
“Eh,
bila masa pulak saya curi-curi pandang Encik
Adib? Janganlah perasan sangat,” balas Nor sambil mencebikkan bibirnya.
Dia
segera mengalihkan pandangannya ke luar cermin kereta. Malu. Alah, curi-curi
pandang sikit pun tidak boleh ke? Bukannya luak pun wajah kau tu. Dah muka kau
macam pelakon Fahrin Ahmad, omel Nor dalam hati.
Adib
ketawa.
“Perempuan
memang macam tu, kan? Hati cakap suka, tapi mulut suka menafikan. Hmm... saya memang dah faham sangat dah sikap orang
perempuan ni. Lagipun, orang perempuan ni bukannya susah sangat nak tahu
perasaan dia, kan?” ujar Adib.
Nor
menjeling sekilas. Haih!
Adib perli dia pula? Adib ni memang sengaja nak cari gaduh dengan dia.
“Tapi
saya ni jauh berbeza kalau nak dibandingkan dengan perempuan-perempuan murahan
yang Encik Adib kenal tu,” ucap Nor tegas dan lantang. Dengan sengaja, dia mengutuk
sejumlah teman wanita Adib yang padat macam ikan sardin di dalam tin. Mana
boleh samakan dia dengan mereka semua. Sama sekali tidak akan sama.
“Ya? Oh, saya suka dengar jawapan awak tu,” ujar Adib
sambil senyum bersahaja. Dia terus memandu tenang.
“Rumah
awak masuk lorong yang mana satu ni?” soal Adib sekali
gus menoktahkan topik tersebut.
Walaupun
sudah kenal selama dua tahun, tetapi sekali pun dia belum pernah menjejakkan
kaki ke rumah Nor. Bukan tidak mahu mengambil tahu, cuma tidak pernah diberi
kesempatan. Gadis itu jual mahal sangat dengannya.
“Masuk
simpang tiga kawasan perumahan dekat depan sana tu. Nanti Encik Adib berhenti
kat tepi jalan ajelah. Saya jalan kaki aje masuk
ke dalam,” pinta Nor yang sudah siap-siap
membuka tali pinggang keledar.
“Eh,
kenapa pulak awak nak berjalan kaki?” soal Adib sambil memandang Nor dengan dahi yang
berkerut. Orang nak hantar sampai ke rumah, dia nak berjalan pula. Pelik betul, omel Adib dalam hati.
“Tak
apalah. Bukannya
jauh sangat pun saya nak berjalan. Jalan kaki sekejap aje.
Lagipun saya memang dah basah kuyup pun terkena hujan tadi. Alang-alang dah
basah ni, biarlah saya redah aje hujan ni. Okey,
dah... dah. Berhenti. Saya turun dekat sini aje,” pinta Nor lagi.
Adib
menekan brek kereta secara mengejut. Tindakannya itu membuatkan dia dan Nor
saling terdorong ke depan. Kemudian, sepantas kilat dia memandang Nor.
“Awak
ni dah gila ke?” ujar
Adib dengan marah.
“Gila
sebab apa pulak?” tanya
Nor mula naik angin. Adib kata dia gila? Tidak sayang mulut betul lelaki
ni!
“Kan
hujan lebat ni,” sambung Adib lagi.
“Jadi,
apa masalahnya? Bukannya hujan batu,” jawab Nor selamba.
“Sekarang
ni, bukan masalah hujan batu. Tapi, kepala awak tu yang keras macam batu! Lebih
baik awak duduk aje diam-diam dan beritahu saya
dekat mana rumah awak. Selagi saya tak jumpa rumah awak, jangan harap saya
benarkan awak keluar dari kereta ni. Faham!” getus Adib tegas sambil mencerlung tajam. Dia geram mendengar
jawapan Nor itu. Dengan bos sendiri pun berani mahu melawan cakap? Memang cari
fasallah jawabnya.
Nor
mengetap bibir rapat. Dasar mulut puaka yang tidak ada insurans nyawa. Sudahlah
di pejabat selalu kena paksa, di luar pejabat pun kena paksa juga. Eii... benci betul dia dengan Adib ni!
“Cepatlah
beritahu saya, mana satu rumah awak?” tekan Adib lagi dalam marah yang sudah tidak tertahan.
“Belok
kiri, rumah hujung sekali. Pagar warna silver,” ungkap Nor, antara dengar dan tidak.
Dia malas bercakap kuat-kuat. Adib bukan pekak pun.
“Dalam
mulut awak tu ada banyak emas ke? Takut saya curi sampai tak boleh nak buka
mulut luas-luas?” perli Adib.
Nor
menjeling sekilas. Telinganya sudah naik berasap mendengar sindiran Adib itu.
Jawapan yang sama terus diulang sekali lagi,
sepatah demi sepatah. Macam budak sekolah rendah baru belajar mengeja. Kalau
Adib tidak dengar juga, nanti dia belikan Adib putik
kapas supaya Adib dapat bersihkan longgokkan tahi telinga yang tersumbat
di dalam telinganya itu.
Adib
hanya berdengus dan terus memandu sehingga menemui destinasi yang dimaksudkan.
“Eh!
Dahlah tu, Encik Adib. Berhenti kat luar pagar aje
cukup. Tak perlulah masuk sampai ke dalam kawasan rumah saya pulak,” ujar Nor yang mula menjadi cemas apabila
kereta Adib tidak berhenti di luar pintu pagar rumahnya, sebaliknya terus
membelok masuk ke pekarangan rumahnya. Ingat rumah sendiri ke main masuk-masuk
sesuka hati sahaja?
“Tak
apalah. Alang-alang pintu pagar dah terbuka, biarlah saya hantar awak sampai
depan pintu rumah. Kan selamat daripada terkena hujan. Okey, awak dah selamat
sampai,” ujar Adib sambil menarik brek tangan kereta.
Bibirnya senyum segaris.
“Dah?
Encik Adib tak mahu bawa masuk sekali ke kereta ni sampai ke dalam rumah saya?”
sindir Nor pula dalam rasa geram yang masih
bersisa.
Adib
ketawa lagi.
“Kalau
kereta saya ni muat masuk, bukan setakat dalam rumah awak aje… sampai ke dalam bilik awak pun saya sanggup masuk,” ucap Adib.
Hati
Nor bertambah geram mendengar jawapan Adib. Aduh, sekali dia pula yang terkena.
Sakit sungguh perasaan dia melayani kerenah nakal Adib. Mujurlah Adib sudah
tumpangkan dia balik. Kalau tidak, memang sudah lama dia memaki hamun Adib dan
jadi orang yang tidak kenang budi.
“Hmm… kalau macam tu, tak apalah. Saya masuk dalam
dulu. Terima kasih sebab hantarkan saya balik,” ucap Nor seraya membuka pintu
kereta. Namun, sebelum dia menutup kembali pintu
kereta, Adib membalas ucapannya sekali gus
membuatkan dia tergamam.
“Kasih
awak diterima. Saya simpan kat dalam ni,” jawab Adib
sambil menunjukkan isyarat tangan ke dada serentak dengan kenyitan
matanya yang nakal.
“Gila!”
balas Nor spontan sambil mencebikkan bibir. Dia cepat-cepat beredar dari situ
dan masuk ke dalam rumah.
Adib
ketawa lucu. Ah! Kenyit
mata pun marah juga?
DAUN
pintu rumah ditolak dari luar. Sebelum ditutup kembali, sempat juga Nor mengintai
dari celah pintu untuk memastikan sama ada Adib benar-benar telah pergi ataupun sebaliknya.
“Eh,
ada lagi? Takkanlah nak tunggu aku halau dengan parang dulu kut baru reti nak
balik rumah,” omel Nor sendirian.
Dari
celah pintu itu, dia dapat menangkap gelagat Adib yang kelihatan seperti sedang
bercakap dengan seseorang melalui handsfree yang terpasang di telinganya. Ah,
kalau ya pun mahu bersembang biarlah jauh-jauh sedikit dari rumah dia. Kalau
ibu dia perasan nanti jenuh pula dia hendak menjawab. Nanti mulalah bertanya
soalan macam Detektif Conan. Penat!
“Nor,
kau tengok apa tu? Terhendap-hendap macam perompak nak pecah masuk rumah orang,” tegur Mak Eton, ibu Nor.
Dia hairan melihat kelakuan Nor yang dilihat sedikit aneh itu. Matanya
turut sama mengintai-intai ke arah pintu. Terdetik juga di hatinya untuk
mengambil tahu apa yang sedang diperhatikan oleh Nor.
Nor
tersentak. Pintu rumahnya cepat-cepat ditutup. Minta-minta ibu dia tidak
perasan.
“Err... tak ada apa-apalah, mak. Tengok hujan tu ha... Macam tak
nak berhenti aje,” balas Nor yang segera berdalih. Dia menarik nafas lega apabila
ibunya mengangguk dan mempercayai kata-katanya.
“Lewat
balik hari ni. Balik naik apa?” soal Mak Eton.
“Tumpang
kereta kawan. Nor terlepas teksi tadi,” jawab Nor.
“Dah
tu, mana kawannya? Dah balik ke? Kenapa tak jemput dia masuk? Minum kopi
secawan dua dulu ke?” soal Mak Eton lagi.
Isy, ibu dia ingat rumah mereka ni kedai
kopi ke nak diajak minum-minum macam tu? Di pejabat pun hari-hari Adib minum
kopi. Cukup-cukuplah tu.
“Dah
lewatlah, mak... Nak minum kopi apanya dekat
maghrib-maghrib macam ni. Lagipun, tu kawan lelaki. Nanti kalau jiran-jiran
tengok, tak manis pulak ajak lelaki masuk dalam
rumah lewat-lewat petang macam ni,” balas Nor sambil berjalan mendekati tingkap
rumahnya pula. Kelibat Adib diintai kembali.
Akhirnya,
barulah hati dia berasa lapang. Dia ingatkan Adib tidak jumpa pintu pagar tadi.
“Itulah...
Kan dari dulu lagi mak dah pesan, ambil
lesen cepat-cepat. Kalau terjadi hal macam ni, tak adalah nak menyusahkan
siapa-siapa atau minta tolong orang lain hantarkan kau balik,” sambung Mak Eton lagi.
“Tak
mahulah, mak. Nak ambil lesen buat apa? Nor bukannya ada motor atau kereta pun nak drive.
Buat membazir duit aje,” balas Nor.
Seperti
biasa, alasan lapuk itu diulang untuk ke sekian kalinya apabila ibunya membuka
topik lesen. Topik yang paling bosan bagi dia. Entah mengapa, dalam
banyak-banyak topik, topik itulah yang paling digemari oleh ibunya. Sudah tidak
ada topik lain ke? Lain kali, bukalah topik fasal makanan ke. Barulah dia tidak
berasa bosan.
“Itu
kata orang yang penakut macam kau. Cubalah fikir ke depan sikit. Kalau asyik
diturutkan sangat perasaan takut tu, bila masa pulaknya
kau nak jadi berani? Cuba kau tengok budak-budak bawah umur daripada kau.
Rata-rata, semuanya dah ada lesen memandu. Dah pandai pandu kereta, tunggang
motosikal. Yang kau ni pulak, tahu naik bas dan
teksi aje. Nak buat lesen sekarang, bukannya mahal sangat pun. Kau tu pun
bukannya tak mampu nak bayar,” ujar Mak Eton panjang
lebar. Mulutnya mula menjadi seperti
bertih jagung.
Nor
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bukan sebab banyak kelemumur atau ada
kutu, tetapi kerana dia sudah tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana
lagi untuk menepis bebelan ibunya.
“Hmm... nantilah,
mak, orang fikir-fikirkan,” ujar Nor dengan
malas.
“Kau
nak fikir apa lagi? Mak cakap ni untuk kebaikan kau jugak.
Sampai bila kau nak pergi kerja, balik kerja naik bas dan teksi aje? Kau tak nak ke merasa ada motor atau kereta
sendiri?” getus Mak Eton tidak puas hati dengan
kata-kata Nor. Suara Mak Eton mulai meninggi. Dengan harapan mahu buat
Nor berasa gerun.
“La, mak ni... Tu
kira okeylah tu, daripada Nor naik beca atau
basikal. Apa yang mak risaukan sangat? Naik teksi atau bas pun sama aje. Tak ada beza apa-apa pun.
Sampai jugak ke tempat kerja. Lebih awal lagi
daripada budak-budak lain kat pejabat tu yang naik kereta atau motor,” balas Nor lagi.
“Memang
susahlah kalau bercakap dengan orang yang degil macam kau ni. Tahu beralasan aje! Cakap mak kau tak nak dengar,” ucap Mak Eton sambil melepaskan keluhan panjang.
Buat
habis air liur dia sahaja beri Nor nasihat. Guna pakainya tidak. Tidak ada
kesedaran langung. Tetapi kalau dia tidak bising begini, sudah pastilah Nor
akan terus mengambil enteng tentang soal ini. Paling tidak, biarlah Nor sedar
tentang kepentingan mempunyai lesen kereta atau motosikal.
“Bukannya
Nor tak nak dengar, mak. Cuma Nor belum bersedia
aje lagi. Mak janganlah risau, ya. Nanti bila
Nor dah bersedia, bukan setakat lesen kereta dan motor aje
Nor ambil, silap hari bulan, dengan lesen kapal terbang sekali Nor ambil. Ha... lagi senang. Pergi kerja, balik kerja, naik
kapal terbang aje,” jawab Nor lagi sambil berseloroh.
Mak
Eton membeliakkan matanya sambil mencekak pinggang. Tidak semena-mena pula dia
dipermainkan oleh Nor. Bertuah betul anak
dia ni.
“Mak cakap betul-betul, kau main-main pulak ya...” tegur Mak Eton
sambil mengetap gigi kemudian
mencubit lengan Nor. Lama.
Nor
melompat-lompat dan mengaduh kesakitan.
“Sakitlah,
mak...” rungut Nor sambil mengosok-gosok bekas cubitan tangan ibunya itu.
“Tahu
pun sakit. Hati mak ni lagi sakit tau bila kau tak nak dengar nasihat mak,” kata Mak Eton.
“Yalah,
yalah... Nanti Nor ikutlah cakap mak tu.
Okeylah, mak... Nor nak pergi mandi dulu. Dah melekit-lekit dah badan ni kena
air hujan tadi,” ujar Nor sekali gus
menamatkan perbualan dia dan ibunya. Dia melangkah longlai menuju ke bilik.
©
Reeani Annur – Benci Tanda Sayang 2013
BEST2......NK LG.....
ReplyDeletebest.. tp mcm tak logik bila hujan pakai cermin mata hitam... atau saya silap baca???
ReplyDeleteBetul dah apa yang awak baca tu. Mungkin saya kurang peka. Terima kasih untuk teguran tu. :)
Delete