HANIS menolak perlahan pintu butik. Terasa lega sekali
apabila disapa oleh kesejukan pendingin hawa di dalamnya. Baru sahaja masuk
bilik dan ingin duduk di atas kerusi, tiba-tiba terdengar pintu diketuk.
“Ada apa, Aida?” tanya Hanis setelah pekerjanya itu
melangkah masuk.
“Cik Hanis, ada pelanggan nak jumpa,” beritahu Aida.
“Okey, suruh dia tunggu sekejap. Nanti saya keluar.”
Aida mengangguk dan terus beredar.
Hanis terus mencapai sebuah cermin kecil yang berada di atas
meja bagi memastikan solekan pada wajahnya masih kelihatan elok. Setelah
berpuas hati, dia keluar mendapatkan pelanggan yang dimaksudkan oleh Aida.
“Encik...?” Hanis menyapa pelanggan yang berdiri
membelakanginya dan sedang leka memerhati baju-baju yang dipamerkan pada badan
patung. Apabila pelanggan itu berpaling, dia tergamam.
Izam?
Izam tersenyum memandang Hanis.
“Err... Kau ada buat temu janji ke hari ni?” soal Hanis
sedikit gugup. Seingatnya tak ada. Atau dia sendiri yang terlupa?
Izam menggeleng.
“Tak ada. Aku datang bagi pihak Rehan. Kau sendiri dah
nampak kan dia mengamuk marahkan aku sebab aku tak datang jumpa kau. Jadi,
terpaksalah aku datang jugak. Kalau tak, kau faham-faham sendirilah,” ujar
Izam.
Disebabkan enggan mengusutkan keadaan, dia terpaksa mengalah
dengan Rehan. Namun, sampai ke saat ini Rehan masih bermasam muka dengannya.
Hanis mengangguk. Memahami kerana telah menyaksikan
pergaduhan Izam dan Rehan malam kelmarin. Mujurlah dia kurang sibuk hari ini.
Dapatlah dia penuhi temu janji yang sudah tamat tempoh itu.
“Tunang kau tu garang semacam. Takut aku dibuatnya,” komen
Hanis sambil mengajak Izam pergi ke bilik pejabatnya.
“Aku panggil dia mak singa,” balas Izam separuh berbisik.
Hanis tahan gelak. Patutlah garang sangat!
Setelah masing-masing mengambil tempat, Hanis tunjuk rekaan
baju pengantin yang dihasilkannya dan menerangkan kepada Izam apa yang
dikehendaki oleh Rehan dalam rekaan tersebut.
Izam hanya berpeluk tubuh merenung wajah Hanis. Apa yang
Hanis beritahu ibarat masuk telinga kanan, keluar pula telinga kiri. Dia tidak
begitu berminat mendengar. Sebaliknya, wajah manis gadis itu yang lebih mencuri
perhatiannya.
“Jadi, macam mana? Okey tak design baju ni? Ada apa-apa
komen atau kau nak tambah?” Hanis menyoal Izam setelah tamat beri penerangan.
“Ha? Apa kau cakap?” Izam tersentak dan pandang Hanis
terpinga-pinga. Postur badannya ditegakkan semula.
“Design baju pengantin tu. Okey ke tak okey?”
Mata Izam turun ke meja. Diteliti lama lakaran tersebut.
Cantik sudah semestinya. Tetapi, apa yang Hanis tulis mengenai fabrik, lace dan
manik yang akan digunakannya dia langsung tidak faham apa-apa. Memang Hanis ada
terangkan kepadanya tadi. Disebabkan ralit merenung Hanis, semuanya tidak
melekat dalam kepala.
“Okay, proceed.” Izam mengangguk. Dia tidak kisah bagaimana
rupa baju itu setelah siap nanti. Dia yakin Hanis tidak akan mengecewakan hati
pelanggannya.
Di luar tadi dia telah meneliti baju-baju rekaan Hanis.
Semuanya menambat hati. Ternyata Hanis mengotakan janjinya untuk jadi seorang
pereka fesyen yang berjaya. Cita-cita Hanis dahulu kini sudah menjadi nyata.
Dia tumpang bangga dengan pencapaian Hanis.
“Kalau semuanya dah okey, aku akan cuba siapkan semua ni
secepat mungkin. Ukuran badan Rehan aku dah ada. Cuma yang kau aje belum ada.
Boleh aku ambil ukuran sekejap?” soal Hanis. Apabila Izam mengangguk, dia terus
capai tali inci dan mula membuat ukuran.
Ketika mengambil ukuran di bahagian dada, pandangannya dan
Izam saling berlaga. Dada Hanis mula dilanda debar.
“Ke mana kau menghilang selama ni, Hanis? Kenapa kau
tinggalkan aku tanpa sebarang khabar?” tanya Izam. Matanya masih tumpah pada
wajah Hanis.
Pertanyaan itu buat Hanis tersentak. Bukankah mereka
sekarang sedang berbincang mengenai baju pengantin Izam dan Rehan? Mengapa pula
Izam membangkitkan soal yang tidak berkenaan?
“Semuanya dah selesai untuk hari ni. Untuk proses fitting
nanti aku akan beritahu semula bila kau dan Rehan perlu datang ke butik aku.”
Hanis ingin duduk kembali di atas kerusi sejurus selesai mengukur badan Izam
tetapi tangan lelaki itu pantas menyambar lengannya terlebih dahulu.
“Hanis, aku nak dengar jawapan kau. Kenapa kau tinggalkan
aku dulu?” Izam berasa tidak puas hati dengar jawapan Hanis yang tidak ada
kena-mengena langsung mengenai soalannya tadi
“Apa gunanya aku jawab? Hal tu dah lama lepas. Semuanya dah
tak penting lagi untuk dibincangkan,” balas Hanis.
Izam terkedu. Terkelip-kelip dia merenung Hanis.
“Semudah tu aje kau cakap? Aku separuh mati cari kau lepas
kau pindah sekolah dulu. Hidup aku betul-betul rasa terseksa kehilangan kau.
Sampai sekarang aku masih rasa derita dengan perpisahan kita.”
Hanis mengangkat muka tatap wajah Izam. Jelas terpancar
kesedihannya. Kalau Izam derita, dia juga turut merasakan hal yang sama. Dia
dan Izam sama-sama derita.
Suasana di dalam pejabat itu hening seketika.
“Aku masih tak dapat lupakan kau, Hanis,” kata Izam setelah
lama mendiamkan diri.
“Tapi kau dah jumpa pengganti aku. Tahniah untuk perkahwinan
kau yang bakal berlangsung nanti. Aku tumpang gembira.” Hanis menggagahkan diri
mengukir senyum walaupun hatinya terluka.
“Kau silap! Aku tak pernah menggantikan kau dengan orang
lain.”
Hanis tersenyum tawar. Benarkah? Jika begitu mengapa Izam
memilih Rehan?
“Kau tak perlu jaga hati aku, Izam,” kata Hanis sebal.
“Dari dulu aku sentiasa jaga hati kau. Tapi kau yang tak
pernah jaga hati aku. Kau cakap kau cintakan aku. Tapi, kenapa aku orang
terakhir yang tahu kau tukar sekolah? Dan kau tak datang jumpa aku pun nak ucap
selamat tinggal. Hati aku sakit, Hanis. Sakit sangat-sangat. Kau tak tahu macam
mana keadaan aku lepas kau pergi. Pelajaran aku merosot. Prestasi sukan aku
hancur! Semua sebab kau!” Izam meluahkan segala apa yang dia pendam dalam hati
selama ini. Bertahun-tahun tersimpan amat menyesakkan dadanya.
Hanis sudah teresak-esak menangis. Langsung tidak berdaya
hendak mempertahan diri. Memang salah dia pergi tanpa pesan. Salah dia kerana
membiarkan cinta mereka tergantung tanpa pengakhiran yang manis. Semua salah
dia!
“Izam, aku tak berniat nak lukakan hati dan perasaan kau.
Aku cuma tak tahu apa cara yang tepat untuk beritahu kau yang aku harus pergi.
Maafkan aku,” ungkap Hanis perlahan sambil tunduk menahan sebak yang masih
bersisa.
Perasaan Izam terpujuk sedikit setelah mendengar ungkapan
maaf daripada Hanis.
“Tak ada luka yang paling teruk selain kau tinggalkan aku,
Hanis. Tapi, lepas jumpa kau semula dekat rumah Jasmin, aku rasa bahagia
sangat. 10 tahun aku tunggu peluang tu datang. Kau boleh rasa tak apa yang aku
rasa?” tanya Izam. Perlahan-lahan dia bawa tangan Hanis ke dadanya. Tatkala itu
pandangan dia dan Hanis saling berlaga.
Hanis dapat merasakan degupan jantung Izam. Namun, dia kalah
dengan renungan mata Izam. Dia tarik semula tangannya dan kembali ke meja
mengemas barang-barang. Siap sedia mahu menamatkan perbincangannya dengan Izam.
“Ada apa-apa lagi ke yang kau nak bincang pasal baju tu?
Kalau tak ada, perbincangan kita tamat kat sini aje,” ujar Hanis enggan
memanjang-manjangkan lagi hal tersebut. Urusan antara dia dan Izam sekarang
adalah atas dasar klien semata-mata dan tidak melibatkan soal peribadi.
“Antara kita ada banyak lagi hal yang perlu dibincangkan,”
tekan Izam.
“Tapi tak ada kena-mengena dengan hal peribadi. Pasal hal
kita tu, aku rasa lebih baik lupakan aje. Ia dah tak penting lagi untuk
dibincangkan.”
Izam benar-benar rasa terpukul. Kata-kata Hanis umpama belati
tajam yang menoreh hatinya.
“Hanis...” Izam masih ingin meneruskan bicara, namun niatnya
terhalang apabila pintu terkuak luas secara tiba-tiba.
“Aunty!” Seorang kanak-kanak perempuan meluru masuk
mendapatkan Hanis.
“Iman...” Hanis sempat menyeka pipi sebelum memeluk erat
tubuh gadis kecil itu dan mendukungnya.
“Iman rindu sangat-sangat dekat aunty.” Iman mengucup mesra
kedua-dua belah pipi Hanis.
Izam pula hanya melihat sahaja gelagat Hanis dan anak kecil
bernama Iman itu tanpa kata. Dalam hati, dia tertanya-tanya apakah perhubungan
mereka kerana kedua-duanya kelihatan begitu rapat sekali. Bagaikan ibu dan
anak.
“Dia yang paksa saya bawa datang jumpa awak,” sampuk satu
suara lain dari muka pintu, membuatkan Izam terus berpaling. Matanya terjegil.
“Eh, Heris!” tegur Izam. Patutlah dia rasa macam pernah
dengar sahaja suara lelaki itu tadi. Jadi, Iman anak Herislah?
“La... Kau pun ada sekali, Izam?” Heris turut terkejut sama.
Lantas dia masuk menghampiri Izam. “Bincang pasal baju pengantin ke?”
“Ha’ah.” Izam mengangguk.
“Maaflah sebab ganggu urusan kau dengan Hanis. Kalau macam
tu, kau bincanglah dulu,” kata Heris kemudian merapati Hanis untuk mengambil
Iman daripada dukungannya.
Namun, Iman menggeleng laju. Enggan melepaskan pelukannya
yang memaut erat leher Hanis.
“Iman tak nak! Iman nak duduk dengan aunty. Aunty,
sebenarnya tadi papa tipu aunty. Bukan Iman yang paksa papa datang ke sini.
Tapi papa yang ajak Iman. Papa cakap, papa rindu nak jumpa aunty,” adu Iman
sekali gus membuatkan Hanis tergamam. Kemudian dia ketawa. Dia tidak mahu
mengambil serius dengan apa yang diperkata oleh Iman.
Heris kerut muka sambil menyentuh pangkal lehernya. Malu
sungguh dia rasa apabila Iman berkata begitu di depan Hanis dan Izam. Isy, Iman
ni... Tak boleh nak berselindung langsung. Tetapi dia akur. Kanak-kanak
sememangnya jujur dalam berkata-kata. Orang dewasa macam dia sahaja yang suka
berselindung.
“Hanis, awak jangan ambil hati dengan cakap Iman tu. Dia
memang suka kenakan saya,” ujar Heris sambil ketap bibir memandang Iman.
“Papa tipu!” Iman menafikan lagi.
Heris menggigit bibir. Dapat malu lagi dia. Tak boleh jadi
macam ni, getus Heris yang sudah tidak keruan dipermain oleh Iman.
“Jomlah ikut papa keluar. Aunty Hanis nak buat kerja tu. Tak
boleh ganggu dia lama-lama. Nanti papa belanja Iman makan aiskrim, nak?” pujuk
Heris bersungguh-sungguh. Selepas itu barulah Iman mendepakan tangan kepadanya.
Dia menarik nafas lega.
“Duduk dengan papa dulu ya. Nanti aunty datang jumpa Iman
dan papa,” ujar Hanis sambil mengusap-usap kepala Iman yang sudah pun berada
dalam dukungan Heris.
Iman mengangguk.
“Okeylah, Hanis, Izam, aku keluar dulu ya. Jumpa lagi,”
ungkap Heris sebelum beredar meninggalkan kedua-duanya.
Izam tersenyum hambar memandang Hanis sambil menyeluk
sebelah tangan ke dalam poket seluar.
“Sekarang aku dah faham kenapa kau cakap hal kita dah tak
penting lagi untuk dibincangkan. Nampaknya kau pun dah jumpa pengganti aku
jugak. Tahniah, Hanis,” perli Izam bersama cemburu yang mula berputik dalam
hati. Malam kelmarin di rumah Jasmin. Hari ini di butik Hanis pula.
“Ia bukan seperti yang kau fikirkan.” Hanis cepat-cepat
menyangkal. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Izam kala itu. Heris
bukan kekasih dia. Bukan!
“Kalau ia bukan seperti yang aku fikirkan, apa lagi yang
sepatutnya aku fikir?”
Hanis terdiam apabila Izam meninggi suara kepadanya. Dadanya
didatangi sebak lagi.
Izam menghembus nafas perlahan. Kemudian dia mendekati Hanis
rapat. Wajah Hanis direnung sedalam-dalamnya. Tangannya mahu mengelus wajah itu
namun, dijatuhkan semula.
“Mungkin kau dah lupa aku ni cinta pertama kau. Tapi aku
masih ingat. Sampai bila-bila pun aku takkan lupakan kau, Hanis. Sebab kau
sentiasa penting buat aku,” ungkap Izam sebelum berlalu pergi.
Hanis duduk bersandar pada meja melepaskan tangisannya.
“Aku tak lupa, Izam. Aku selalu ingat.” Lambat-lambat Hanis
menjawab. Perlahan dan penuh sebak.
“EMM... Sedapnya aiskrim ni. Nah, aunty rasalah sikit.” Iman
dekatkan aiskrim di tangannya ke bibir Hanis.
Hanis bersedia hendak buka mulut. Apabila hampir-hampir
hendak makan, Iman melarikan semula aiskrim tersebut.
“Pandai kenakan aunty ya?” Pipi Iman dicubit manja. Suara
Iman ketawa riang. Seronok barangkali dapat menyakat dia.
Heris yang menyaksikan gelagat nakal Iman itu turut tergelak
sama. Kemesraan kedua-duanya diterjemahkan oleh Heris di dalam buku lukisan
saiz A3 yang turut dibawa bersama. Dia tersenyum senang hati melihat Hanis
melayan keletah Iman dari jauh.
Ia mengingatkannya kepada Munirah, arwah isterinya.
Sebagaimana rapatnya hubungan Iman dengan Munirah, begitulah juga dengan Hanis.
Kadang-kadang Iman tidak betah berjauhan dengan Hanis dalam tempoh yang lama.
Jika tidak, Iman pasti akan merengek meminta dibawa berjumpa dengan Hanis.
Namun, jika Iman tidak meminta sekalipun, dia tetap cuba mencari masa
membawanya bertemu dengan gadis itu.
Setelah hampir dua tahun mengenali Hanis, dia akui telah
jatuh cinta kepadanya. Hanis berjaya memecah tembok hatinya yang membeku
semenjak Munirah pergi menghadap Ilahi. Sifat keibuan yang ada dalam diri Hanis
juga turut mencuit naluri lelakinya untuk bercinta semula. Kini, hanya Hanis
sahaja yang bertakhta di hati. Dia memasang impian untuk membina hidup bersama
Hanis.
“Awak lukis gambar saya dan Iman?” soal Hanis setelah
mengambil tempat di sebelah Heris.
Penat melayan Iman, dia melepaskan lelah berbual dengan
Heris seketika. Sementara Iman pula dibiarkan bermain gelongsor sendirian.
Heris menghulur lukisan kepada Hanis. “Untuk awak.”
“Wah, cantiknya. Nanti awak tolong framekan lukisan ni untuk
saya, boleh? Saya nak gantung kat dalam bilik tidur saya,” puji Hanis sambil
meneliti lukisan tersebut.
Halus sekali sentuhan tangan Heris. Ah, pelukis berbakat
seperti Heris ini memang tidak perlu diragui kemampuannya. Heris melukis
cincai-cincai pun hasilnya tetap menjadi juga.
“Sekali lagi? Agaknya dah berapa banyak ya gambar awak
dengan Iman yang awak letak kat dalam bilik awak tu?” soal Heris.
Setiap kali dia melukis gambar Hanis bersama Iman, Hanis
memang sentiasa meminta dia berbuat demikian. Namun, dia tidak kisah memenuhi
permintaan itu. asalkan mampu menggembirakan hati Hanis.
“Banyak jugak. Kalau dikumpul, rasa-rasanya dah boleh buka
mini galeri kut,” jawab Hanis disulami ketawa kecil.
“Saya rasa Iman sukakan awak,” kata Heris seraya melempar
pandangan ke arah Iman yang dilihat bermain buai pula.
“Ya, saya pun sukakan Iman jugak.”
“Kalau macam tu, mungkin awak boleh pertimbangkan hasrat
saya untuk menggantikan tempat mama Iman,” ungkap Heris bersahaja.
Hanis terkesima. Adakah Heris cuba melamarnya lagi?
“Saya tak layak. Mungkin ada orang lain yang lebih sesuai
menggantikan tempat Munirah sebagai mama Iman,” balas Hanis. Matanya dilarikan
sejauh mungkin daripada wajah Heris.
“Siapa?”
“Sesiapa saja.”
“Kenapa bukan awak?”
Hanis menarik nafas panjang. Hatinya berdebar-debar setiap
kali berbicara tentang soal itu. Dia faham maksud Heris. Tetapi pintu hatinya masih
belum terbuka untuk lelaki lain.
“Heris, awak tahu kan apa jawapan saya?” ujar Hanis
perlahan. Dia yakin, Heris tetap akan faham sekalipun dia tidak bertanya
begitu.
Heris melepas keluhan. Perlahan-lahan dia mengangguk. Ah,
dia sendiri tidak tahu mengapa dia terlalu berharap. Sedangkan harapannya sudah
berkali-kali punah setiap kali Hanis menolak hasrat hatinya itu. Sungguh,
cintanya terhadap Hanis begitu menebal sekali hadir dalam diri. Sehinggakan dia
rasa tidak mampu untuk berpaling daripada Hanis dan membuka ruang kepada gadis
lain.
“Agaknya, siapa ya lelaki bertuah yang berjaya mencuri hati
awak nanti?” Heris berseloroh dalam senyum. Kalau ada, mungkin dialah lelaki
yang paling cemburu.
“Atau awak ada simpan seseorang kat dalam hati awak dan tak
dapat lupakan dia sampai sekarang?” Heris terus menebak apabila Hanis hanya
diam tidak berkutik. Mungkinkah telahannya benar kerana dia lihat air muka
Hanis terus berubah selepas itu.
“Saya nak pergi tengok Iman.” Hanis cepat-cepat bangun
meninggalkan Heris. Biarlah Heris berteka-teki sendiri. Dia tidak mahu
pengakuannya akan menggores hati Heris. Memang kebenaran itu menyakitkan!
Heris hanya memerhati Hanis berlalu pergi. Dia tersenyum
tawar.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment