10 July 2013

Benci Tanda Sayang 5

JARUM jam pada dinding sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Nor tergesa-gesa menyusun fail-fail yang berada di atas mejanya. Dia sudah terlewat 15 minit daripada kebiasaannya. Sejak akhir-akhir ini, waktu pulangnya sudah tidak menentu lagi. Lebih-lebih lagi apabila syarikat tempat dia bekerja berjaya memperolehi banyak projek pembinaan. Dia yang bukan arkitek pun dikerah balik lambat seperti arkitek juga.

Tetapi mujurlah hari ini lebih baik berbanding tiga hari yang lepas, balik lambat dalam kondisi yang memalukan. Usai siap semuanya, Nor bangun ingin meninggalkan tempatnya. Namun, dalam masa yang sama juga kelibat Adib turut dilihat keluar dari biliknya. Tanpa mempedulikan langkah Adib yang semakin dekat menyainginya, Nor terus menuju ke arah pintu. Hatinya berdoa agar tidak ada perkara yang akan membantutkan hasratnya untuk pulang pada waktu itu.

“Eh, awak pun baru nak balik ke? Jomlah, saya hantarkan,” sapa Adib sewaktu tangan Nor hampir-hampir mahu menarik pintu.

Tangan Nor terus menjadi kaku. Sekali lagi? Oh, tidak! Nor memusingkan badannya perlahan-lahan.

“Tak apalah, Encik Adib. Saya balik dengan teksi aje. Lagipun hari ni tak hujan, mesti banyak teksi yang lalu-lalang,” tolak Nor penuh hemah. Janganlah Adib cuba nak paksa-paksa dia lagi macam hari itu. Tidak sanggup dia mahu menumpang kereta Adib lagi.

“Kalau naik teksi, kena bayar tambang. Tapi kalau naik dengan saya, percuma aje,” usik Adib sambil tersengih memandang Nor.

Pula! Kalau percuma tetapi tidak selesa, tidak ada gunanya juga. Adib ingat dia suka sangat ke tumpang kereta orang? Nor mengomel dalam hati.

“Tapi, saya lebih suka naik teksi. Mahal pun tak apa, asalkan selesa. Maaf ya, Encik Adib, saya dah lambat ni. Saya kena pergi dulu,” balas Nor lagi.

Dia segera menarik pintu tanpa berlengah lagi. Sebaik sahaja keluar dari pejabat, dia mencepatkan langkahnya menuju ke arah lif pula. Sesekali, jam di tangannya dikerling. Hatinya turut berdoa agar pintu lif segera terbuka. Dia tidak mahu naik lif yang sama dengan Adib.

“Nor, tunggu!” panggil Adib.

Nor terus menekan butang lif berkali-kali. Aduh, kenapa lambat sangat lif ni? Dia semakin resah apabila melihat kelibat Adib yang semakin lama semakin dekat menghampiri. Dan akhirnya Adib berjaya merapati dia sekali lagi.

“Awak ni kenapa? Bila nampak saya aje, selalu nak jauhkan diri daripada saya. Muka saya ni macam muka pembunuh bersiri ke?” soal Adib bersama ekor matanya yang turun naik memandang Nor. Hairan pula rasa hatinya melihat gelagat Nor itu.

“Saya rasa Encik Adib kena suruh orang datang tengok-tengokkan lif nilah. Lambat betul nak terbuka. Naik lenguh dah kaki saya ni duk berdiri kat depan ni,” dalih Nor ke topik lain. Dia memang sengaja memilih untuk tidak mahu menjawab pertanyaan Adib itu.

Lif ini pun satu hal juga. Masa-masa beginilah hendak lambat-lambat. Kebiasaannya, apabila tekan sahaja butang turun, terus sahaja pintu lif terbuka. Tetapi hari ini, seperti sengaja pula bersekongkol dengan Adib.

“Saya tanya lain, awak jawab lain,” balas Adib seakan-akan merungut. Dia mengerising sambil menggeleng perlahan. Ada juga yang nak kena pulas telinga nanti.

Nor tidak memberi apa-apa reaksi. Ah, faham-faham sahajalah yang dia memang tidak berminat dengan soalan itu. Tidak lama kemudian, pintu lif terbuka dan Nor cepat-cepat masuk mendahului Adib. Sepanjang berada di dalam lif tersebut, Nor memilih untuk terus mendiamkan diri walaupun dia sedar mata Adib galak menodai wajahnya. Macam tidak pernah jumpa orang sahaja Adib ni. Kalau Adib ada niat jahat lain, dia sudah bersedia untuk membuka langkah silat yang pernah dia belajar ketika di sekolah menengah dahulu.

Setelah beberapa minit, pintu lif kembali terbuka di tingkat paling bawah. Tanpa menunggu lebih lama, Nor cepat-cepat keluar dan bergegas menuju ke perhentian teksi berhampiran. Dalam fikirannya cuma memikirkan satu perkara sahaja. Teksi.

Mata Adib pula hanya mampu memerhati kelibat Nor yang meninggalkannya tanpa kata. Kenapa gadis itu bukan seperti gadis lain yang berasa teruja setiap kali dia ingin mendekati? Pelik. Fikiran Adib bertalu-talu ditegur oleh pelbagai persoalan.

Setelah Nor hilang daripada pandangan, Adib berjalan menuju ke tempat parkir berhampiran.


NOR memanjangkan lehernya ke atas jalan raya sambil matanya melilau-lilau mencari teksi. Tadi ada beberapa buah teksi yang dia tahan, tetapi tidak berhenti pula kerana sudah ada penumpang. Isy, geram betul. Masa dia mahu naik macam inilah teksi semuanya sudah penuh. Kalau dia tidak mahu naik, banyaklah pula yang lalu-lalang di depan matanya sambil membunyikan hon. Kadang-kadang dia tidak tahan pun, ada juga yang berhenti bertanya.

Setelah penat berdiri, akhirnya Nor kembali duduk di atas bangku yang disediakan di bawah pondok perhentian teksi. Pada waktu itu, dia mula teringatkan kembali kata-kata ibunya yang menyuruh dia supaya mengambil lesen motosikal atau kereta. Tidak dinafikan, kadang-kadang terasa penat juga apabila selalu berhadapan dengan situasi begini. Pergi kerja awal, balik kerja lambat. Itulah, cakap ibu sendiri tidak mahu dengar. Sekarang, tanggunglah sendiri akibatnya. Padan muka! Nor memarahi dirinya sendiri.

Sedang dia enak berkhayal dalam lamunannya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi tayar yang bergesel kuat dengan jalan raya. Nor tersentak. Sebuah kereta Perdana V6 berwarna hitam berhenti di pinggir jalan. Kemudian, pintu kereta di bahagian sebelah pemandu dikuak dari dalam dan ternganga luas, lantas menyerlahkan raut wajah pemiliknya.

Ah, dia lagi. Sudah tidak ada muka lainkah? Asyik-asyik muka yang sama sahaja. Nor mengeluh perlahan. Isyarat Adib yang meminta dia supaya masuk ke dalam keretanya hanya dipandang sepi. Aku tak mahu balik dengan kaulah! Hati Nor menjerit kuat.

“Pintu tu takkan ditutup selagi awak tak masuk!” ujar Adib separa menjerit. Dia juga seperti tidak mahu mengaku kalah.

Nor mengetap bibir. Seperti ugut dia pun ya juga. Cepat sahaja perasaan geramnya terhadap Adib membuak-buak hadir. Dia ingatkan gangguan Adib tadi berakhir setakat di depan pintu lif sahaja. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Sehingga ke perhentian teksi Adib berusaha mencari jalan untuk memastikan hajatnya tercapai. Dasar lelaki Melayu yang tidak faham bahasa Melayu. Tolak berkali-kali pun masih tidak serik-serik juga. Agaknya dia kena bercakap bahasa Melayu baku lama kut baru Adib boleh faham dengan jelas.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi hon kereta dibunyikan kuat tanpa henti. Nor menggelabah.

© Reeani Annur 2013 – Benci Tanda Sayang


P/s: Hanya mampu siarkan setakat ini sahaja. Apapun, semoga 5 bab ini mampu memberi sedikit gambaran dan penilaian terhadap novel BTS ini. Sudi-sudikanlah mendapatkan novel ini bila dah ada di pasaran nanti. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment