SUDAH lebih sejam dia duduk di perhentian bas itu. Sedari tadi, matanya melilau mencari bayangan teksi. Namun tiada sebuah pun kereta teksi yang kelihatan melintas di atas jalan raya itu. Badannya sudah berasa lenguh-lenguh kerana terlalu lama menunggu. Petang itu pula hujan turun dengan lebat. Petir dan kilat sabung menyabung. Terasa kesejukan begitu dingin menyapa tubuhnya.
Pagi tadi sewaktu dia datang kerja awal pagi, cuaca cerah saja. Tiada pula tanda-tanda hari mahu hujan. Tetapi sebaik saja dia keluar dari pejabat, tempias hujan menyambutnya. Tanpa payung, dia meredah dalam kebasahan hujan menuju ke perhentian bas itu. Basah lencun dia dibuatnya. Kalau naik bas, sah-sah dia diketawakan oleh orang ramai.
Mahu tumpang rakan-rakan yang lain, semuanya sudah pulang awal. Hanya dia seorang saja yang balik lambat. Ini semua gara-gara Adiblah ni. Beri kerja banyak sangat. Suruh buat itulah, inilah. Dekat-dekat nak balik baru sibuk nak beri kerja. Awal-awal tadi tak nak beri. Benci betul. Kan dah dapat musibah. Ada juga yang tidur di perhentian bas ini nanti. Rungutnya sendirian.
Nor melirik ke arah jam di tangan. Sudah pukul 6.30 petang. Dia mengeluh perlahan. Memang lambatlah dia sampai ke rumah hari ini. Hai, hujan pula bila mahu berhenti? Hari semakin gelap. Sudahlah hanya dia seorang saja yang berada di situ. Teksi pula masih tak datang-datang.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi hon kereta. Sebuah kereta jenis Perdana V6 berwarna hitam berhenti di pinggir jalan raya itu. Betul-betul di depan wakaf tempat dia sedang berteduh daripada hujan. Kemudian, cermin tingkap kereta itu diturunkan. Seraut wajah menyapanya dari dalam. Alamak Adib! Nor buat-buat tidak nampak.
“Tunggu siapa?”
Lelaki kacak bercermin mata hitam itu menegur. Barangkali tertanya-tanya mengapa dia masih lagi berada di situ dalam keadaan hujan lebat begini.
“Siapa? Saya ke?” soal Nor memandang kiri kanan.
Sengaja dia buat-buat bertanya walhal dia sedia maklum soalan itu memang ditujukan kepada dirinya.
“Yalah. Takkan hantu pula,” balas Adib.
Ish, mulut dia... Nor menggerutu. Nanti ada hantu betul-betul dekat situ mahunya pengsan dia.
“Saya tunggu teksi,” balasnya pula separuh menjerit. Hujan lebat menenggelamkan suaranya.
“Kalau macam tu, masuklah. Saya hantarkan awak balik.”
“Eh, tak apalah. Saya balik dengan teksi je.” Nor menolak pelawaan Adib.
Balik dengan dia? Jangan harap.
“Hujan lebat ni. Lagipun dah lewat petang. Bahaya awak duduk kat sini sorang-sorang. Awak tak takut ke?”
Nor senyum tawar. Memanglah dia takut. Tapi terpaksa buat-buat berani depan Adib. Selagi boleh mengelak, selagi itu dia akan menolak ajakan Adib itu.
“Tak apalah Encik Adib. Saya balik dengan teksi je. Kejap lagi adalah tu. Terima kasih. Encik Adib baliklah dulu.”
Adib melirik ke pergelangan tangannya.
“Dah dekat pukul tujuh dah ni. Ada ke lagi? Hujan-hujan macam ni, teksi susah nak dapat. Masuklah, biar saya hantarkan awak balik.”
Nor mengeluh. Ish, dia ni tak faham bahasa betul. Dah orang tak nak masuk dipaksa juga. Eeee geramnya. Kalau orang lain yang mempelawa, boleh juga dia pertimbangkan. Tapi ini Adib. Oh, tolonglah. Nanti tak pasal-pasal pula nama dia busuk sebab kena tuduh ada skandal dengan lelaki kasanova ini.
“Masuk!” Suara Adib menekan seolah-olah memberi arahan.
Mahu tidak mahu, akhirnya terpaksa juga dia menurut. Nor melangkah longlai masuk ke dalam kereta Adib. Haruman pewangi kereta jenama Ambi-Pur yang terbias ke segenap ruang di dalam kereta itu menyambut kehadirannya sebaik saja dia masuk ke dalamnya. Basah kereta kau, jangan nak salahkan aku pula nanti. Getusnya dalam hati.
“Lain kali, kalau balik lambat beritahu je kat saya. Saya boleh tolong hantarkan awak balik.”
Adib senyum memandangnya. Boleh tahan manis juga senyuman lelaki itu. Tapi dia tak boleh jatuh hati. Bahaya!!
Nor membetulkan kedudukannya di atas kerusi itu. Seperti tidak selesa pula rasanya. Sudahlah baju dia basah kuyup. Pendingin hawa di dalam kereta Adib pula tambah membuatkan badannya menggigil kesejukan.
“Takkanlah saya nak menyusahkan Encik Adib pula. Teksi banyak kat sini. Lagipun saya dah biasa naik teksi.”
“Yalah, tapi bukan selalu bernasib baikkan? Kalau hujan-hujan macam ni, teksi memang susah nak dapat. Lagipun, bahayalah awak tunggu kat situ sorang-sorang lewat-lewat macam ni. Kalau jadi apa-apa kan susah..."
Nor sekadar membatu mendengar kata-kata Adib itu. Memang ada kebenaran juga tapi dia tahu jaga diri dia. Sepanjang dua tahun dia menggunakan pengangkutan awam itu, tidak pernah terjadi lagi sebarang kejadian buruk.
Ah, Adib ni tiba-tiba saja sibuk ambil berat tentang diri dia, kenapa? Selama ini dia bukan pernah ambil kisah pun. Entah-entah ada niat lain ni. Janganlah Adib cuba buat perkara tidak elok pula terhadap dia. Fikirannya ligat memikirkan jalan penyelesaian untuk melepaskan diri sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang buruk.
“Tak payah risau. Saya tak ada niat buruk pun terhadap awak,” jelas Adib kemudiannya. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Macamlah dia tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh gadis di sebelahnya itu.
Nor meneguk air liur. Aik, macam mana Adib tahu apa yang bermain di fikirannya? Pakai ilmu hitam ke apa dia ini? Nor terus membisu tanpa kata.
Suasana di dalam kereta itu sunyi sepi. Masing-masing saling melayan perasaan. Adib pula tekun saja memandu. Penuh bergaya dia lihat penampilan lelaki itu. Berkaca mata hitam jenis aviator. Secocok dengan penampilan rambutnya yang mengenakan gaya spike. Handsfree yang melekat di telinganya menambahkan lagi gaya metroseksual yang begitu sinonim dengan dirinya.Sungguh kacak lelaki itu pada pandangan matanya. Tetapi sayang, mata keranjang dan kaki perempuan. Kalau mahu jatuh cinta, mesti kena fikir dua tiga kali.
“Saya tahulah, saya ni kacak. Tapi tak perlulah awak curi-curi tengok saya macam tu. Kalau terpikat terus terang je,” seloroh Adib.
Matanya menoleh sekilas ke arah Nor. Dia sedar, mata gadis itu mencuri pandang dia dalam diam. Ingat dia tak nampak ke? Tapi dia sendiri pun turut sama juga berbuat demikian terhadap Nor.
Baju kurung yang melekat rapat di badannya itu menggamit perhatiannya. Itu belum lagi dikira dengan mahkota hitam ikalnya yang turut basah disimbahi hujan. Seksi dan begitu menggoda. Hatinya terpaut.
“Eh, bila masa pula saya curi-curi tengok Encik Adib? Janganlah perasan sangat,” ujar Nor sambil mencebikkan bibirnya.
Dia cuba menutup perasaan malunya tatkala rahsianya itu dibongkar Adib. Huu, malunya dia. Adib ni, nampak saja apa yang dia buat. Matanya dilarikan ke luar cermin tingkap kereta. Wajahnya terasa berbahang.
Adib ketawa lucu. Dia dapat melihat kesan rona merah yang timbul di pipi Nor itu. Malulah tu.
“Rumah saya masuk simpang depan tu. Encik Adib berhenti kat depan tu sajalah. Tak payah susah-susah hantar sampai depan rumah,” pinta Nor apabila kereta Adib mula memasuki ke kawasan taman perumahan rumahnya. Dia berasa seperti tidak sabar-sabar mahu keluar dari kereta itu.
Adib menoleh sekilas.
“Eh, tak apalah. Hujan lebat ni, nanti awak basah pula.”
Adib meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan permintaan Nor itu. Hujan lebat macam ini takkan dia mahu tinggalkan Nor di tepi jalan saja. Kejamlah dia kalau berbuat demikian. Nanti jatuh sakit, dia pula yang dipersalahkan.
“Eh, tak apalah. Bukannya jauh pun. Lagipun saya memang dah basah kuyup pun. Encik Adib berhenti sajalah kat sini.”
“Kenapa pula? Awak tak nampak ke hujan lebat ni? Nanti demam siapa yang susah?” soal Adib memandangnya kehairanan. Dia tidak mengendahkan kata-kata Nor itu.
“Encik Adib ni...” Nor mengeluh.
“Okey, beritahu saya mana satu rumah awak?”
“Belok kiri, hujung sana. Pagar warna silver,” ungkapnya antara dengar dan tidak.Dia ingatkan dia mahu merahsiakan lokasi rumahnya daripada pengetahuan Adib. Tapi bila Adib berkeras begitu, terpaksa juga dia beritahu. Huh, menyesal tumpang dia.
Adib memandu sehingga menemui destinasi yang dimaksudkan.
“Eh, dah, dah... sampai sini je cukup.” Nor cuba menahan Adib daripada memasuki perkarangan rumahnya. Lebih-lebihlah pula.
“Tak apalah. Hujan lebat ni. Saya pun tak ada payung nak payungkan awak. Alang-alang pintu pagar dah terbuka, biarlah saya hantar awak sampai depan pintu rumah.”
Adib terus membelok masuk ke dalam perkarangan rumah Nor dan memarkirkan keretanya di bawah garaj depan rumah teres setingkat itu.
“Encik Adib ni... malulah saya macam ni,” rungut Nor geram. Memang Adib ni mengada-ada. Makin dilarang makin dibuat. Gila!
“Nak malu apa? Kalau awak nak suruh saya hantar sampai dalam bilik awak pun tak apa. Lagi saya suka.”
Adib tersenyum nakal memandangnya. Nor mencebikkan bibirnya. Ish, ada juga yang makan penumbuk nanti.
“Umm, kalau macam tu saya masuk dalam dululah. Terima kasih sebab hantarkan saya balik.”
Nor cepat-cepat keluar dari perut kereta itu. Tak betah dia duduk berdua lama-lama dengan Adib dalam kereta itu. Takut nanti ada aksi yang terlarang pula. Kalau dengan Adib memang dia kena berhati-hati sikit. Bukan dia tidak kenal siapa lelaki itu. Silap hari bulan, dia pula yang menjadi mangsanya.
Adib angguk tanpa bersuara. Matanya hanya memerhatikan kelibat Nor yang semakin lama semakin menghilang dari pandangan matanya. Fuh, seksinya. Habis terbayang pakaian dalam di sebalik baju kurung cotton putih yang dikenakan Nor itu. Hilang rasa mengantuknya. Adib tersenyum nakal sendirian.
Hujan yang turun benar-benar memberi rahmat kepadanya. Kalau hari-hari hujan, bagus juga. Desis hatinya.
*****
DAUN pintu rumahnya ditolak dari luar. Sebelum ditutup kembali, sempat jua dia mengintai dari celah pintu itu. Dia lihat kereta Adib masih lagi tersadai di perkarangan rumahnya. Ish, dia tu tak nak balik ke? Takkan nak kena halau baru nak pergi dari sini. Nor mengomel sendirian.
“Lewat balik hari ni, Nor. Balik dengan apa?” Suara ibunya menegur tatkala dia sedang asyik memerhatikan kelibat Adib di luar rumahnya itu. Nor tersentak. Pintu rumahnya cepat-cepat ditutup.
“Kawan Nor yang hantarkan. Tunggu teksi tak ada sebuah pun yang lalu.”
“Habis, mana kawannya? Kenapa tak ajak dia masuk dulu? Minum-minum dulu.” Mak Eton memanjangkan lehernya mencari-cari kelibat kawan Nor yang dimaksudkannya.
“Dah lewatlah mak. Lagipun tu kawan lelaki. Nanti kalu orang tengok tak manis pula.”
Nor menyelak langsir yang menutupi tingkap rumahnya itu. Mengintai kembali bayangan Adib dan keretanya. Dah hilang. Fuh, lega. Dia mengurut dada perlahan dan menghela nafasnya. Risau juga dia kalau-kalau ibunya berjaya menjejak kehadiran Adib. Dibuatnya orang tua itu mempelawa Adib masuk dan minum di dalam rumahnya, haru dia nanti.
Bukan dia tak kenal dengan perangai ibunya itu. Bila ada je kawannya yang datang ke rumah, selalu saja disuruh masuk. Minum-minum dan makan-makan. Macam kedai kopilah pula nak ajak makan minum. Alahai ibu dia tu. Baik hati sangat.
“Itulah... kan mak dah cakap, ambillah lesen. Nanti senang nak pergi kerja, balik kerja. Kalau balik lambat tu tak adalah menyusahkan siapa-siapa. Tak payahlah kau susah-susah duk tunggu teksi dua tiga jam. Kau tu bukannya tak mampu nak ambil lesen.”
Oh tidak! Ceramah ibunya sudah mula menusuk ke dalam telinganya. Sikit masa lagi pasti telinganya berbahang panas.
“Ish, tak mahulah Nor. Takutlah. Lagipun bukan ada motor atau kereta pun kalau nak ambil lesen. Membazir je.”
“Kalau ikut perasaan takut, memang sampai ke tualah kau tu tak berlesen. Sekarang, budak-budak sekolah pun ramai yang dah ambil lesen. Kau ni yang dah tua, masih lagi nak berkira-kira? Nanti dah ambil lesen, belilah motor ke sebuah. Bukan mahal pun. Cuma nak menyenangkan kau pergi balik kerja je.”
Nor menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bukan sekali dua dia didesak supaya mengambil lesen. Tapi setiap kali diasak oleh ibunya, bermacam-macam alasan yang dia berikan. Bukan dia tak mahu dengar kata-kata ibunya, tapi dia berasa gerun setiap kali membayangkan dirinya berada di atas jalan raya. Dihimpit oleh kereta, lori, motor, atau bas. Kalau tersepit macam mana? Itu yang seringkali bermain di fikirannya.
“Ala, mak... nantilah orang fikir-fikirkan.”
Mak Eton mengeluh panjang. Dia tahu benar, kalau Nor berkata demikian memang dia tidak berminat mengikut nasihatnya.
“Nak fikir apa lagi? Mak cakap ni untuk kebaikan kau juga. Sampai bila kau nak pergi kerja naik bas dan teksi je? Tak nak merasa ada motor atau kereta sendiri?”
Mata Mak Eton membulat memandangnya. Dia tahu, ibunya mesti geram mendengar alasan yang dia berikan. Biarlah. Bukannya dia tak biasa pun.
“La, mak ni... tu kira okeylah tu daripada naik beca atau basikal. Dahlah mak, Nor nak masuk bilik dulu. Salin baju dan mandi. Dah melekit-lekit dah badan ni.”
Nor berjalan meninggalkan ibunya yang tercegat memandangnya di ruang tamu itu. Lama-lama kalau selisih pendapat dengan ibunya boleh jadi panas telinga dia.
Mak Eton sekadar menggeleng melihat kelakuan anaknya itu.
“Degil! Cakap orang tua bukannya nak dengar. Apa nak jadilah dengan anak dara sorang ni,” omelnya sendirian.
Kadang-kadang pening kepala juga dia dibuatnya melayan kerenah anak sulungnya itu. Kata-katanya bukan mahu didengar. Nasihatnya ibarat masuk ke telinga kanan dan keluar pula di telinga kiri. Susah betul mahu mengajarnya. Itu belum masuk bab menjawab. Kalau masuk bab itu, memang dialah yang jadi juara. Tak boleh dinafikan lagi.
© Noraini Mohamad 2011
© Noraini Mohamad 2011
No comments:
Post a Comment