JAM di dinding sudah menunjukkan ke angka 5.15 petang. Nor tergesa-gesa menyusun fail-fail yang berada di atas mejanya itu. Sudah lewat 15 minit dia hari itu. Dia kena turun cepat-cepat, nanti terlepas teksi lambat pula dia sampai ke rumah.
Ketika dia ingin meninggalkan tempatnya, kelibat Adib turut sama kelihatan keluar dari biliknya. Nor ingin segera bergegas keluar dari pejabat itu namun sapaan Adib mematikan langkahnya.
“Nak balik ke? Jom, saya hantarkan.” Adib mempelawa.
“Eh, tak apalah Encik Adib. Saya boleh balik dengan teksi je. Lagipun hari ni tak hujan, mesti banyak teksi,” Nor menolak baik.
Tak mahulah dia tumpang dengan Adib. Nanti terhutang budi susah pula. Baik-baik Adib ni mesti ada maksud di sebaliknya. Bukannya dia tak tahu.
“Kalau naik teksi, kena bayar tambang. Kalau naik dengan saya, percuma aje...”
Adib sengih memandangnya.
“Tapi saya lebih suka naik teksi je. Mahal pun tak apa asal selesa. Maaf ya Encik Adib, saya dah lambat ni. Saya pergi dulu.”
Nor berjalan mendahului Adib tanpa berlengah lagi. Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke arah lif. Sesekali jam di tangannya ditoleh. Kalau dilayan kerenah Adib tu, memang kena tinggal dengan teksilah dia.
“Nor, tunggu!!”
Adib mengejarnya dari belakang. Namun panggilan Adib itu tidak diendahkan. Dia melajukan langkah kakinya dengan harapan dapat melarikan diri daripada Adib. Dari jauh dia cuba mengejar pintu lif yang sudah terbuka apabila ada seorang lelaki keluar dari situ tadi. Tetapi sebaik saja dia sampai di depan lif, pintu lif sudah kembali tertutup.
Argh! Malang betul nasib dia. Sudahnya, Adib berjaya juga merapati dia sekali lagi. Lelaki berkemeja hitam itu berdiri di sebelahnya sambil tersenyum. Nor tidak mengendahkan kehadiran Adib. Malas dia mahu melayan lelaki itu walaupun dia sedar mata Adib galak menodai raut wajahnya.
“Kenapa awak selalu nak jauhkan diri daripada saya? Saya bukan buat apa-apa pun dekat awak,” soal Adib hairan.
Dari dulu lagi dia memang perasan gadis itu sentiasa cuba untuk mengelakkan diri daripadanya. Kadang-kadang bersikap acuh tak acuh. Dingin benar sikapnya. Kalau pekerja lain, tak pernah pula bersikap seperti itu terhadapnya.
Nor menjeling sekilas.
“Memang Encik Adib tak buat apa-apa dekat saya. Tapi, dah ramai yang bercakap tentang hal saya dan Encik Adib.”
“So?”
“Saya tak suka jadi buah mulut orang lain. Takut nanti ada yang salah tafsir. Encik Adib fahamkan? Saya minta diri dulu.”
Pintu lif terbuka dan Nor cepat-cepat masuk tanpa menunggu Adib. Ah, biar dia turun sendirilah sorang-sorang. Dia menekan butang penutup lif dan pintu lif kembali tertutup. Nor menyandar rapat di dinding lif dan menghela nafas panjang. Fuh, lega perasaan dia apabila dapat melepaskan diri daripada lelaki itu.
Adib hanya tersenyum dan menjungkitkan bahunya mendengar kata-kata yang terbit dari bibir Nor sebentar tadi. Pedih juga kedengarannya. Tapi tak apa. Dia sikit pun tidak berasa hati.
Nampaknya usaha dia seperti ada jalan berliku. Tapi itu bukan masalah besar. Dia bukan seorang lelaki yang mudah mengaku kalah. Pintu lif terbuka kembali dan Adib masuk ke dalamnya.
*****
NOR memanjangkan lehernya ke atas jalan raya mencari-cari kelibat teksi. Ada beberapa buah teksi yang ditahan tadi tetapi tidak berhenti kerana sudah dipenuhi penumpang. Bas pun tiada nampak bayangan. Masa dia nak naik, tak adalah pula teksi yang kosong melintas lalu di depan mata. Ish, geram betul. Nor merungut sendirian.
Kakinya sudah berasa lenguh. Dia kembali duduk di atas bangku yang terdapat di perhentian bas itu. Lama-lama begini susah juga dia. Pergi kerja awal, balik kerja lambat. Sudah dua tahun begini. Sampaikan pemandu teksi dan bas pun sudah dapat cam muka dia. Tapi takkanlah nak kena ambil lesen juga kot. Ish, takutnya dia.
Tiba-tiba dia melihat sebuah kereta berhenti di pinggir jalan itu. Kemudian pintu kereta itu dibuka dari dalam.
“Masuklah...”
Hurmm, dia lagi. Tak ada muka lain ke? Asyik-asyik muka yang sama je. Nor mengeluh panjang. Tapi dia sekadar membatukan diri tanpa memberi sebarang reaksi daripada pelawaan Adib itu.
Dia ingatkan gangguannya berakhir setakat di depan pintu lif itu saja. Rupa-rupanya berlarutan sampai ke sini. Adib ni memang tak kenal erti putus asa. Tak penat ke dia? Lama-lama naik rimas juga dia dengan sikap Adib itu.
Adib menanti sabar. Memang dia tahu, dia kena banyak bersabar dengan kerenah gadis itu.
“Pintu tu takkan ditutup selagi awak tak masuk!”
Suara Adib separa menjerit. Jangan ingat dia sudah mengaku kalah. Lagi dia berusaha ada.
Nor menggetap rapat bibirnya. Perasaan geramnya terhadap Adib semakin membuak-buak. Lama dia mendiamkan diri, lama itu jugalah Adib membiarkan pintu keretanya terkuak. Dan akhirnya dia terpaksa akur lagi dengan pelawaan Adib itu.
Pintu kereta dihempas kuat sebaik saja dia melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah Adib. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Adib. Menyampah!
Adib senyum. Dia dapat mengesan riak-riak marah yang sedang melingkari perasaan Nor. Mujur tak tercabut pintu keretanya tadi dihempas oleh gadis itu. Tak apalah kalau tercabut pun, asalkan dia berjaya memujuk Nor masuk ke dalam keretanya.
“Hai, kenapa diam je ni? Marah kat saya ke?” soal Adib.
Sepanjang perjalanan itu, dia lihat Nor hanya membisukan diri. Mulutnya muncung tajam. Wah, betul-betul marah nampaknya.
“Orang kata marah tu tanda sayang...” Adib berseloroh sambil tersenyum nakal memandang Nor. Namun reaksi Nor tetap dingin.
“Oh, saya terlupa pula... saya ni bukan lelaki idaman awakkan?”
Adib sengaja menyindir. Dia teringat peristiwa di mana dia mendengar perbualan di antara Nor dan Saleha tempoh hari. Kata-kata Nor yang menyatakan bahawa dia bukan lelaki idamannya masih terngiang-ngiang di telinganya. Memang dia berasa tercabar dengan pengakuan berani itu. Belum pernah dia dengar mana-mana gadis berkata seperti itu terhadap dirinya.
“So, boleh tak awak beritahu saya, macam mana ciri-ciri lelaki idaman awak yang sebenarnya?”
Nor menjeling sekilas.
“Kenapa pula Encik Adib sibuk nak tahu? Penting ke semua tu?” soalnya kasar.
“Penting!”
“Kenapa pula?”
“Sebab setahu saya, saya ni lelaki idaman semua perempuan yang ada dalam Malaysia ni. Tapi awak boleh pula cakap yang saya ni bukan lelaki idaman awak?” soal Adib dengan nada yang sedikit menekan.
Dia punyalah kacak tetapi masih juga gagal menarik perhatian Nor. Tak tahu menilai ke dia ni? Desis hatinya.
Nor senyum sinis. Memang pun.
“Yalah, citarasa saya mana sama dengan dia orang. Dia orang mungkin suka dengan lelaki playboy macam Encik Adib ni. Tapi saya tak suka. Maaflah.” Nor menyindir. Ah, lantaklah kalau Adib terasa pun. Dia cakap perkara yang betul saja.
“So, awak suka lelaki yang macam mana?”
Adib memandang Nor. Kalau dia yang cukup sempurna ini tiada dalam senarai lelaki idaman Nor, ciri yang bagaimana pula yang mampu menarik perhatiannya? Takkanlah begitu tinggi citarasa dia?
Nor membiarkan pertanyaan Adib itu tanpa jawapan. Malas dia nak jawab. Adib ni, sibuk saja. Semua perkara dia mahu ambil tahu. Jangan harap dia nak beritahu semua tu. Huh!
“Encik Adib berhenti kat depan pagar jelah nanti. Tak payah susah-susah hantar saya sampai masuk dalam garaj.”
Nor pantas mengingatkan Adib sebaik saja kereta Adib mula membelok memasuki lorong kawasan perumahannya. Dia tak mahu kejadian yang sama berulang kembali. Bukan apa, dia cuma tak mahu ibunya terserempak dengan Adib. Nanti banyak pula soalan yang tak berkenaan bertalu-talu ditanyanya nanti.
Adib memberhentikan keretanya di depan rumah teres satu tingkat bernombor 4886 itu. Mujurlah pintu pagar tertutup. Kalau terbuka, memang dia tidak peduli permintaan Nor tadi.
Tanpa sebarang kata, Nor segera membuka pintu dan keluar dari kereta itu.
“Awak tak nak jemput saya minum kopi dulu ke?”
Adib menjengah sedikit wajahnya ke cermin tingkap kereta. Berseloroh sambil tersenyum.
Minum kopi? Jangan bermimpi. Ingat rumah dia warung kopi ke apa? Nak ajak minum-minum macam tu.
“Maaflah Encik Adib, rumah saya tak ada orang. Nanti kalau jiran-jiran lain nampak tak manis pula.” Nor beralasan.
Dalam hatinya berdoa semoga Adib cepat-cepat beredar dari situ. Tapi dia lihat Adib seperti sengaja ingin melengah-lengahkan pemergiannya.
“Nor! Kenapa berborak kat luar pagar je tu? Ajaklah kawan tu masuk dalam rumah!” Jeritan suara ibunya kedengaran sayup-sayup dari pintu rumahnya.
Nor menoleh. Dia lihat ibunya sedang berdiri di muka pintu sambil memandang ke arahnya. Mungkin ibunya sudah mulai perasan akan kehadiran Adib di situ. Nor mengeluh. Ini memang suatu petanda yang tidak baik.
“Tak payahlah mak. Dah lewat ni. Lain kali jelah.”
Dia tidak bersetuju dengan pelawaan ibunya. Sebenarnya dia memang tak sudi pun nak menjemput Adib masuk ke dalam rumahnya. Kalau jemput nanti takut tak mahu balik pula.
“Jemput sajalah. Ni, mak baru lepas goreng keropok lekor dan mee goreng. Ajaklah kawan kamu tu masuk. Boleh makan sekali.”
Nor mengeluh lagi. Kali ini lebih panjang. Ish, ibu dia tu ada-ada sajalah. Nor menggigit bibirnya dan menoleh ke arah Adib. Lelaki itu senyum lebar memandangnya. Barangkali dia juga sudah mendengar dengan jelas pelawaan ibunya itu.
“Umm... jemputlah masuk Encik Adib,” ujar Nor perlahan. Antara ikhlas dan tidak.
*****
“JEMPUTLAH makan Encik Adib. Jangan malu-malu.” Mak Eton mempelawa Adib sebaik saja mereka semua duduk berkumpul di meja makan itu.
Adib mengangguk perlahan. Mee goreng yang terhidang di depan matanya itu benar-benar membangkitkan seleranya. Pekat lagi basah. Cukup untuk membuat perutnya memberontak.
“Panggil Adib je mak cik. Tak payah berencik-encik.”
Mak Eton senyum. Berbudi bahasa juga lelaki itu. Dia berasa senang dengan sikap merendah diri Adib.
“Yalah Adib. Mak cik minta maaflah ya. Menyusahkan Adib je sebab selalu kena hantar Nor balik.”
Nor menoleh ke arah ibunya. Selalu?
“Ish... mak ni, mana ada selalu. Baru dua kali.” Nor menyangkal. Membetulkan kata-kata ibunya itu. Kalau selalu tu setiap hari. Ini baru dua kali. Itu pun sebab kena paksa. Bukan dia yang suruh hantarkan. Nor menggetap geram bibirnya.
“Yalah, dua kali pun menyusahkan orang lain juga,” tegas Mak Eton.
Nor diam. Malaslah dia mahu bertekak dengan ibunya di depan Adib. Nanti keluar ayat yang pedas dari mulutnya dikatakan seperti kurang ajar pula oleh Adib.
Adib sekadar senyum.
“Tak adalah mak cik. Adib yang nak hantarkan dia balik. Bukan Nor yang suruh. Tak ada menyusahkan pun.”
Lagi dia suka adalah. Boleh juga dia cari peluang untuk mendekati Nor. Memang itu niat dia yang sebenarnya. Kalu tidak, pasti hasrat dia untuk memenangi hati Nor tidak akan tercapai.
Mak Eton menghela nafas. Kalaulah Nor dengar cakap dia, tak mungkinlah situasi seperti itu terjadi berulang-ulang kali.
“Mak cik dah suruh dia tu ambil lesen. Dah berbuih dah mulut mak cik ni nasihatkan dia. Tapi dia tak nak. Macam-macam alasan yang dia beri. Takutlah, ngerilah. Eeee... tak tahulah mak cik nak nasihatkan dia macam mana lagi.”
Adib senyum mendengar kata-kata Mak Eton. Ooo... penakut rupanya dia. Sekilas matanya melirik ke arah Nor. Gadis itu menjelingnya tajam. Amboi, marahnya.
“Tak apa mak cik, kalau mak cik nak Adib jadi driver dia hari-hari pun tak ada masalah. Lagipun jalan rumah Adib satu laluan juga, jadi apa salahnya.”
Mak Eton ketawa mendengar kata-kata Adib. Boleh tahan juga Adib berjenaka. Pandai pula mengambil hatinya. Bagus juga buat menantu ni. Gerutunya dalam hati.
“Ish, ada pula macam tu. Kamu ni, nanti naik lemaklah dia kalau macam tu...”
Ketawa Mak Eton masih tersisa. Kemudian dia menoleh pula ke arah Nor yang sedari tadi diam membisu.
“Hah, yang kamu ni pula tak nak makan ke?” tegur Mak Eton apabila mendapati mee goreng yang terhidang di dalam pinggan itu tidak diusik.
“Kejap lagilah mak, lepas mandi nanti. Kenyang lagi perut ni makan tadi. Umm, Angah mana? Dia ada balikkan? Tak makan sekali ke?”
Nor bertanya tentang Naim, adik bongsunya yang mesra disapa sebagai Angah saja. Tercari-cari juga dia kelibat Naim yang berusia 23 tahun itu. Adiknya itu sentiasa saja pulang ke rumah walaupun menetap di asrama kolejnya.
“Adik kamu tu tak ada kat rumah. Lepas zuhur tadi kawan dia ada datang, ajak dia pergi main futsal. Katanya nak balik lepas asar. Kejap lagi baliklah tu,” balas Mak Eton.
Anak lelaki dia tu kalau balik ke rumah pun bukannya selalu melekat di rumah. Ada saja agendanya bersama kawan-kawan. Balik ke tak balik ke, sama juga keadaannya.
“Assalamualaikum...”
Kedengaran satu suara memberi salam dari luar.
“Waalaikumussalam. Haaa, panjang pun umur dia. Angah, mari sini, nak. Duduk makan. Mak ada masak mee goreng ni. Kawan Along pun ada sekali.” Mak Eton mempelawa dari jauh.
Naim berjalan masuk menuju ke arah meja makan. Dari kejauhan dia lihat ada seorang lelaki yang turut serta berkumpul bersama ahli keluarganya. Agaknya itulah kawan kakaknya yang dimaksudkan oleh ibunya tadi. Naim bersalaman dengan Adib dan duduk bersebelahannya.
“Eh, Along bawa balik boyfriend baru ke mak?” usiknya sambil memandang Nor. Dia sedikit hairan melihat kehadiran Adib kerana selama ini jarang dia melihat kakaknya itu membawa balik mana-mana kawan lelaki ke rumah mereka.
Barangkali Adib merupakan teman istimewa barunya. Apa tidaknya, siap makan bersama lagi seisi keluarga. Setahu dia hanya kawan lelaki yang istimewa saja yang biasa dijemput untuk makan-makan begitu.
“Hei, mulut tu jangan cabul. Nanti ada yang kena sumbat dengan botol sos cili ni…”
Nor menjegilkan matanya ke arah Naim. Ada ke patut Adib itu dikatakan kekasihnya. Tolonglah. Tak sesuai langsung. Kenapalah semua orang berfikir, dia dan Adib sedang menjalinkan hubungan. Hairan betul dia dengan tanggapan itu.
“Ala, kalau boyfriend pun apa salahnya. Alongkan bujang terlajak. Semua orang dalam rumah ni duk tertunggu-tunggu along bawa balik calon suami,” ujar Naim sambil tangannya mencapai sebatang keropok lekor di dalam pinggan yang terhidang di atas meja itu.
“Angah!!!” Nor menjerit geram. Memang nak kena budak ni sorang. Tak sayang mulut betul.
Adib memandang kedua-dua beradik itu silih berganti. Kata-kata Naim itu bagaikan mengundang perhatiannya.
“Bujang terlajak?” soalnya memandang Naim lama. Dia seperti tidak memahami maksud di sebalik kata-katanya itu.
“Yalah, bujang terlajaklah. Umur dah tua, tapi masih tak ada boyfriend. Abang Adib tahu tak, kawan-kawan dia yang lain semuanya dah ada boyfriend. Ada yang dah kahwin, dah ada anak. Tapi dia sorang je yang masih single. Sebab itulah kami kat rumah ni panggil dia bujang terlajak.”
Hahaha! Naim berdekah-dekah ketawa. Adib turut sama menyusuli. Geli hati betul dia mendengar kata-kata adik lelaki Nor itu. Ada gelaran juga rupanya si Nor ni.
“Ooo... kalau macam tu siapa-siapa yang nak masuk line bolehlah ya?” Adib mula cucuk jarum.
“Tak payah masuk line, masuk meminang je terus,” balas Naim yang masih lagi disulami sisa-sisa ketawanya.
Sebenarnya dia sendiri memang berharap kakaknya itu cepat-cepat mendirikan rumah tangga. Lagipun umurnya sudah mencecah angka 26 tahun. Umur seperti itu sebetulnya sudah layak untuk berkahwin dan memiliki anak. Teringin juga dia untuk memiliki anak saudara. Ibunya juga pasti teringin mahu menimang cucu.
“Iya? Boleh ek?”
Adib semakin bersemangat. Kalau boleh, sekarang juga dia mahu masuk meminang Nor.
Naim memandang Adib.
“Kenapa? Abang Adib nak try ke? Haa, cubalah. Mana tahu bernasib baik. Boleh jadi abang ipar saya.”
Adib mengerutkan dahinya.
“Kenapa pula ada perkataan bernasib baik? Ada yang bernasib malang juga ke?” soal Adib lagi sambil menghirup kopi panas di dalam cawan yang dipegangnya itu.
Naim mengangguk laju.
“Ooo… ada. Kalau Abang Adib nak tahu, sebelum ni Along dah reject lima orang lelaki yang datang meminang dia tau.”
Uhuk! Adib terbelahak panjang. Hampir tersembur kopi yang dihirupnya. Gelagatnya mengundang tawa Naim dan Mak Eton.
“Wow!!!” ujar Adib sambil mengelap mulutnya dengan tisu. Terkesima dia seketika mendengar semua itu.
Lima orang? Biar betul. Dia seperti tidak percaya. Takkan begitu tinggi citarasa gadis itu sampai dia menolak kesemua pinangan yang datang. Terlalu memilih sangat ke dia ni? Pandangan matanya dilirik ke arah Nor.
Nor berasa seperti ingin menjerit. Tak guna betul adiknya itu. Dikenakan dia pula di depan Adib. Malunya dia apabila kisah itu sampai ke pengetahuan Adib. Perasaan geramnya terhadap Naim hadir meluap-luap. Rasa mahu dicekik-cekik saja lehernya itu.
“Angah, kau ni kan... memang tak sayang mulut. Mak, tengoklah tu. Eee, geramnya.” Nor menggetap bibirnya.
Mak Eton menggelengkan kepala melihat gelagat dua orang anaknya yang berkelahi. Ada-ada sajalah. Macam budak-budak.
“Sudah, sudah... kau orang berdua ni, depan tetamu pun nak bertekak. Ish, buat malu jelah.” Mak Eton menegur.
“Angah tu haaa...”
“Aik, pasal apa pula Angah? Angah cakap benda yang betul je. Bukannya Angah tipu pun.” Naim mempertahankan dirinya.
“Yalah, tapi tak perlulah nak beritahu semua tu dekat orang lain.”
“Dah abang Adib tanya, Angah jawab jelah. Yang Along nak marah-marah ni kenapa? Takut Abang Adib masuk meminang Along ke?” soalnya kembali.
Naim dan Nor terus bertelagah di depan Adib dan Mak Eton. Masing-masing seperti tidak mahu mengalah.
Mak Eton memandang ke arah Adib. Lelaki itu asyik tersenyum dari tadi melihat ‘drama’ kedua-dua anaknya itu. Terbit juga perasaan malu terhadap Adib. Apalah nak jadi dengan kedua-dua anaknya itu. Ish!
“Maaflah Adib, dua orang anak mak cik ni memang macam ni. Tak boleh berjumpa. Kalau jumpa macam anjing dengan kucinglah jawabnya.”
Adib sekadar tersenyum. Terhibur juga dia dengan kelakuan Nor dan adiknya itu. Itulah pertama kali sepanjang dia mengenali Nor, dia dapat melihat sikap humor Nor. Berada dalam lingkungan keluarga gadis itu membuatkan dia berasa selesa. Senda gurau adiknya dan keramahan ibunya bagaikan membuat dia berasa seperti sebahagian daripada keluarga tersebut.
Rasa-rasanya kalau dapat memiliki Nor pasti dia dapat menyesuaikan dirinya dengan cepat bersama mereka. Adib mula membayangkan percaturannya bakal menjadi lebih mudah selepas ini.
© Noraini Mohamad 2011
No comments:
Post a Comment